Tagline

A Blog About Traveling Around The World From The Lens and Eyes of A Malaysian-Muslim Woman

Select Your Preferred Language


Select Your Preferred Language
BAHASA MELAYU | ENGLISH

Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini

Adsense



Selasa, 12 Mac 2013

9 Bulan di Beijing: Ku Tinggal Ia dengan Seribu Memori, Sejuta Ilmu


S embilan bulan sudah saya berada di Beijing. Kalau seorang ibu mengandungkan anak, anaknya sudah cukup sifat dan bersedia untuk dilahirkan. Begitulah saya yang datang ke Beijing tanpa sebarang pengetahuan tentangnya. Kini saya sudah bersedia keluar sebagai seorang bayi.



Hari-hari Terakhir di Beijing

 

 



Pemandangan dalam kampus Peking University


Hari-hari terakhir di Beijing saya habisi dengan berjumpa dengan insan-insan yang berhati mulia yang banyak membantu saya selama saya berada di sini. Kebanyakan mereka belanja saya makan enak-enak di restoren besar-besar dan memberi hadiah. Ada yang telah menjadi adik kepada saya. Ada yang menjadi anak kepada saya. Ada yang menjadi kawan. Tidak kurang juga yang menjadi penawar kedukaan dan kesunyian saya. Pendek kata, orang China sebenarnya amat suka membantu dan peramah.

Penulis dibelanja makan huo guo lagi oleh seorang kawan yang berasal dari Beijing


Tasik di Peking University yang beku di musim sejuk dijadikan tempat ice skating dan ice hockey


Kisah Tiga Saudara Islam Saya di China

 

Orang Islam berjalan menuju ke dewan solat di Masjid Changying, Beijing


Berbagai ragam manusia yang saya temui di China. Ada yang defensif. Ada yang kritis. Ada yang berhati-hati. Ada yang tidak puas hati. Ada yang redha. Dalam ramai-ramai manusia ini ada tiga orang insan yang menjadi saudara Islam saya selama saya berada di Beijing. Mereka mempunyai kisah tersendiri dan latarbelakang tersendiri, namun hakikatnya mereka menghadapi masalah yang sama. Berikut adalah kisah tiga saudara saya itu:


Sofia (bukan nama sebenar) adalah wanita Islam dari Xinjiang. Sofia telah membuka mata saya tentang Islam di China. Sofia ingin berjihad tetapi tidak mampu kerana dia dibelenggu. Dia dipaksa membuka hijab kerana bekerja dengan pemerintah. Sekiranya dia enggan dia perlu berhenti kerja dan membayar gantirugi Tetapi Sofia tidak mampu untuk membayarnya kerana dia terikat dengan perjanjian biasiswa. Berhenti kerja dengan pemerintah kerana ingin memakai hijab dan mencari peluang kerja di syarikat swasta adalah sesuatu yang sukar untuk diperolehi di Xinjiang. Dengan berkelulusan ijazah Sarjana, adakah Sofia sanggup bekerja menjadi pembantu kedai?

Kata Sofia, "Di Xinjiang, wanita tidak dibenarkan solat di masjid. Pemerintah juga melarang siswa solat di asrama. Di bulan Ramadhan mereka dilarang berpuasa. Orang Islam dipaksa oleh majikannya menghadiri majlis yang dihidangkan dengan arak, memberi ucapan dengan melaga-lagakan gelas arak dan meminumnya. Ramai pula saudara kita ini yang bersekongkol dengan puak-puak itu demi kepentingan duniawi."

Mendengarkan keluhan Sofia membuatkan saya teringat pada hadith riwayat Muslim ini:
Daripada Abu Said al-Khudri r.a. berkata: Bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: “Kamu akan mengikut jejak langkah umat-umat sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga jikalau mereka masuk ke lubang biawak pun kamu akan mengikuti mereka.” Sahabat bertanya, “Ya Rasulullah! Apakah Yahudi dan Nasrani yang kau maksudkan?” Nabi SAW menjawab, “Siapa lagi kalau bukan mereka.”
Hanya orang tua-tua di masjid


Yusuf Qienchen (bukan nama sebenar) adalah pemuda Islam dari Xian. Dia siswa universiti di Beijing dan tinggal di asrama. Yusuf dilahirkan Islam kerana kedua-dua ibubapanya Islam dan mendidiknya dengan cara Islam. Solat, puasa, berdoa, makan makanan halal, membaca quran dan menghafal surah-surahnya menjadi amalannya. Tetapi amalannya itu terbantut kerana dibelenggu oleh undang-undang perlembagaan negara itu yang melarang siswa yang tinggal di asrama di Beijing untuk melakukan solat. Keistimewaannya sebagai siswa akan lucut dan dia boleh dikenakan tindakan tatatertib dan dibuang universiti.

Walaupun kita melihat ramai orang Islam di Beijing dan terdapat banyak masjid di segenap daerah. Namun masjid ini selalunya kosong. Jarang sekali kita melihat orang muda berada di masjid. Yang ada biasanya orang tua-tua. Orang muda datang ke masjid pada hari perayaan utama Islam sahaja. Perkara ini tentu membimbangkan kita sekiranya ia berlaku di tanahair kita. Marilah kita sama-sama renungkah firman Allah SWT ini yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang Yahudi dan Nasrani menjadi walimu (pemimpinmu); sesungguhnya sebahagian mereka adalah wali bagi sebahagian yang lain. Barangsiapa antara kamu mengambil mereka menjadi wali (pemimpin), maka sesungguhnya orang itu termasuk golongan mereka. ” (Al-Maidah 5: 51)
"Janganlah orang mukmin menjadikan orang kafir sebagai pemimpin, melainkan orang-orang beriman. Barang siapa berbuat demikian, nescaya dia tidak akan memperoleh apa pun dari Allah, kecuali kerana menjaga diri dari sesuatu yang kamu takuti dari mereka. Dan Allah memperingatkan kamu akan diri (siksa)-Nya, dan hanya kepada Allah tempat kembali." (Ali Imran 3:28)
Ingatkah anda pada peristiwa anak-anak lelaki saya yang menunggu solat asar di masjid Dongsi tetapi tertidur dan dihalau keluar dengan kasar oleh Tok Siaknya? Apabila saya menegur sikap Tok Siak itu, dia memberi alasan yang anak-anak saya tidur di masjid dan ini dilarang. Hujah saya, "Mengimarahkan masjid dituntut oleh Islam." Peristiwa ini mengingatkan saya pada hadith riwayat Muslim ini:

Daripada Abdullah bin Amr bin Ash r.a. berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Bahawasanya Allah SWT tidak mencabut (menghilangkan) akan ilmu itu dengan sekaligus dari (dada) manusia. Tetapi Allah SWT menghilangkan ilmu itu dengan mematikan alim ulama. Maka apabila sudah ditiadakan alim ulama, orang ramai akan memilih orang-orang yang jahil sebagai pemimpin mereka. Maka apabila pemimpin yang jahil itu ditanya, mereka akan berfatwa tanpa ilmu pengetahuan. Mereka sesat dan menyesatkan orang lain.”

Di luar tembok Masjid Changying, Beijing. Kelihatan orang Hui menuju ke masjid.


Idris Zhuo (bukan nama sebenar) pemuda Islam dari Lanzhou adalah seorang yang pendiam, tetapi bijak mengeluarkan hujah dalam bahasa Inggeris tinggi dan berpandangan jauh. Dia seorang siswa di universiti di Beijing. Dia berasal dari keluarga yang miskin lagi daif dari kawasan pedalaman. Untuk sampai ke kampungnya dari Beijing memakan masa dua hari kerana ia harus melalui jalan pengangkutan awam yang murah dan pelbagai. Dia masuk ke universiti dengan pembiayaan sebuah badan yang memaksa rela Idris mengambil kursus Bio-optics yang dia tidak minati.

Seperti Yusuf, Idris juga dilahirkan Islam kerana kedua-dua ibubapanya orang Islam. Mereka beretnik Hui. Orang Hui adalah seperti orang Melayu iaitu semuanya Islam. Ibubapa Idris Zhuo tidak pernah tinggalkan solat 5 kali sehari. Namun ibubapa Idris buta huruf kerana tidak pernah berpeluang untuk ke sekolah dan tidak pernah keluar dari kampung mereka. Kini ibubapa Idris sudah tua dan tidak boleh berjalan kerana mengalami masalah tulang dan lutut. Saya amat sedih mendengarkan cerita Idris, "Ibubapa saya tidak mampu untuk membeli susu." Tanpa dipinta air mata saya menitis setitik demi setitik mendengarkan kisah kemiskinan keluarga Idris Zhuo.

Apabila saya berbual dengan Idris tentang kemajuan China yang tidak sekata. Dia menyetujui hujah saya. Selama saya di China saya telah melihat kota-kota yang amat jauh majunya. Saya juga telah ke Wilayah-wilayah Autonomi yang jauh ketinggalan. Jurang di antara kota dan pedalaman terlalu luas. Yang di pedalaman duduk di bawah tempurung: tiada kemudahan bekalan air, tiada kemudahan internet, tiada peluang pendidikan.

Beribu-ribu kanak-kanak terpaksa ditinggalkan di kampung-kampung kerana ibubapa terpaksa berhijrah ke bandar demi sesuap nasi. Mereka tidak dapat membawa anak-anak mereka berhijrah sama kerana perlu menanggung kos yang tinggi untuk persekolahan anak-anak. Sekiranya anak-anak itu dilahirkan di Wilayah Autonomi A dan berhijrah ke Provinsi B, maka ia tidak memperolehi keistimewaan yang sama sebagaimana anak-anak yang dilahirkan di Provinsi B kerana setiap Wilayah Autonomi dan Provinsi mempunyai undang-undang dan peraturan yang berbeza. Kanak-kanak yang ditinggalkan di kampung membesar dengan sendiri tanpa ibubapa. Ada ibubapa yang tidak dapat pulang ke kampung sejak berhijrah dan yang mendukacitakan sudah bertahun-tahun anak-anak itu tidak melihat ibubapa mereka. Ramai kanak-kanak ini menjadi mangsa keganasan seks dan terlibat dengan jenayah. Ini bukan masalah baru, tetapi telah lama berakar umbi.

"Saya baru menonton sebuah filem dokumentari tentang kanak-kanak di Ningxia yang miskin, mereka terpaksa mendapatkan air dari sebuah perigi yang jauh dari rumah mereka, " cerita saya pada Idris.

"Itu sama seperti yang berlaku di kampung saya," kata Idris. "Saya sendiri mengambil air di pergi yang jauh menggunakan keldai. Saya amat merasai diskriminasi ini," keluh Idris.

Idris terlalu ingin keluar dari China untuk melihat dunia. Namun dia mempunyai masalah untuk mendapatkan pasport.

"Saya tak faham mengapa ia jadi masalah?" tanya saya minta penjelasan.

"Oleh kerana saya ke universiti melalui satu kumpulan badan tertentu maka saya harus mendapat tandatangan daripada pegawai badan itu untuk permohonan mendapatkan pasport. Saya sudah cuba untuk memperolehi tandatangan itu, tapi gagal," jelas Idris.

"Mungkinkah ia ada kaitan dengan Islam?" saya cuba mengorek jawapan yang sebenar.

"Mungkin itu salah satu sebabnya," rungut Idris.

Mengapa semua perkara yang menyedihkan ini berlaku? Mungkin ini berpunca dari sikap sesetengah golongan yang mementingkan periuk nasi sendiri sebagaimana diriwayatkan oleh Thabrani dan Abu Nuaim melalui hadith ini:
Daripada Muazd Bin Jabal r.a. berkata, aku telah mendengar Rasulullah SAW. bersabda: “Ambillah pemberian itu selama ia masih sebagai pemberian. Tetapi apabila ia telah menjadi rasuah dalam pandangan agama maka jangan kamu mengambilnya. Namun kenyataannya kamu tidak akan dapat meninggalkan rasuah itu kerana kamu takut fakir dan kamu sangat berhajat untuk mengambilnya”.

Rumusan: Apakah Yang China Telah Berikan Kepada Saya?

 

Muzium arkeologi di Peking University

Tasik beku dan pagoda di kampus Peking University

Saya diberikan hak oleh majikan saya untuk menjalani cuti sabatikal selama 9 bulan di mana-mana saja di dunia ini. Membuat keputusan untuk ke China sebenarnya menanggung risiko yang besar. Saya sudah buat keputusan walaupun saya sebenarnya boleh memilih negara lain yang jauh lebih maju. Saya pernah tinggal di Amerika Syarikat dan Australia dalam jangka masa yang panjang iaitu 8 tahun. 8 tahun bukan sekejap. Saya telah terlalu selesa dengan kemajuan negaranya yang pesat, pendidikannya yang bertaraf dunia, kebajikannya yang melimpah ruah, hak kepenggunaannya yang ditunaikan, kecanggihan teknologinya yang ke hadapan, kecekapan bekerjanya yang efisyen, perhubungan awamnya yang amat prihatin, kebebasan bersuaranya yang terbuka luas dan banyak lagi keselesaan yang dihidangkan kepada saya oleh negara-negara maju ini. Memilih ke China sebenarnya menjerumuskan diri ke kancah siksa, pedih, derita, cengkaman dan belenggu. Di China saya banyak berjalan kaki, menaiki kenderaan awam, menunggang basikal, kesejukan dalam musim dingin tanpa penghawa panas, ketiadaan elektrik, ketiadaan facebook, ketiadaan twitter, ketiadaan blogspot, ketiadaan youtube dan macam-macam ketiadaan.

Kampus Universiti Komunikasi China yang saya tinggalkan dalam musim dingin

Saya tidak menyesal memilih China malahan saya telah mempelajari banyak perkara yang orang lain tidak tahu. Saya tidak mahu mengatakan bahawa China telah mengubah kehidupan saya tetapi China telah mengubah perspektif saya. Ironinya, China telah banyak mengajar saya lebih memahami Malaysia. China mengajar saya tentang erti syukur, erti nikmat, erti keselesaan, erti jihad. Dan yang lebih besar daripada itu China telah mengajar saya tentang kelazatan Islam yang saya kecapi di tanahair saya. Cuba renungkan hadith ini yang mempunyai kaitan dengan hujah-hujah saya ini:
Daripada Ali bin Abi Thalib r.a., “Bahawasanya kami sedang duduk bersama Rasulullah SAW di dalam masjid. Tiba-tiba datang Musab bin Umair r.a. dan tiada di atas badannya kecuali hanya sehelai selendang yang bertampung dengan kulit. Tatkala Rasulullah SAW melihat kepadanya Baginda menangis dan menitiskan air mata kerana mengenangkan kemewahan Musab ketika berada di Mekah dahulu (kerana sangat dimanjakan oleh ibunya) dan kerana memandang nasib Musab sekarang (ketika berada di Madinah sebagai seorang Muhajirin yang terpaksa meninggalkan segala harta benda dan kekayaan di Mekah). Kemudian Nabi Muhammad SAW bersabda, “Bagaimanakah keadaan kamu pada suatu saat nanti, pergi di waktu pagi dengan satu pakaian, dan pergi di waktu petang dengan pakaian yang lain pula. Dan bila diangkatkan satu hidangan diletakan pula satu hidangan yang lain. Dan kamu menutupi (menghias) rumah kamu sepertimana kamu memasang kelambu Kaabah?” Maka jawab sahabat, “Wahai Rasulullah, tentunya di waktu itu kami lebih baik daripada di hari ini. Kami akan memberikan penumpuan kepada masalah ibadat sahaja dan tidak usah mencari rezeki.” Lalu Nabi SAW bersabda, “Tidak! Keadaan kamu di hari ini adalah lebih baik daripada keadaan kamu di hari itu.”  (Hadith Riwayat al-Tarmizi)
Saya kini melangkah masuk ke Malaysia dengan membawa pulang seribu memori, sejuta ilmu.



33 ulasan:

  1. entry yg sgt terkesankan jiwa..

    3 org dgn dunia yg berbeza tapi satu agama..cerita ini bt sy bnr2 insaf..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam Don't Afraid to Try,
      Ketiga-tiga sahabat Islam kita itu sebenarnya hidup dalam belenggu. Mereka tidak berdaya membuat apa-apa. Ditelan mati emak, diluah mati bapak. Doakanlah supaya iman mereka tetap teguh dan mereka terus berpegang dengan tali-tali Allah.

      Padam
  2. Balasan
    1. Salam Azmatun Ismail,
      Alhamdulillah. Semoga kita sama-sama dapat mengambil iktibar daripada kisah-kisah ini.

      Semoga umat Islam sentiasa dilindungi Allah.

      Padam
  3. Saya seteju dengan yang diatas. Entri yang sangat baik. Beruntung kita yang lahir sebagai Islam dan berada di bumi Malaysia. Welcome home.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam Maza,
      Terima kasih.

      Semoga Allah tidak membolak-balikkan hati kita. Keselesaan beramal ibadat di Malaysia membuatkan kita kadang-kadang lalai dan leka.

      Kita lahir sebagai Islam dan hendaknya kita juga mati sebagai Islam.

      Padam
  4. Wah ini nampaknya entry yang terakhir mengenai bumi China. Banyak panduan yang boleh dikutip dari semua entry yang NA terbitkan terutama untuk kaki jalan.

    Mungkin sebelum pencen nanti NA boleh bercuti sabatikal di negara lain pulak...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam Mie,
      Saya rasa saya hendak berehat sekejap daripada bercerita mengenai China. Sekiranya ada kesempatan dan ada permintaan daripada pembaca saya akan tulis satu dua entri lagi. Banyak lagi kembara saya di negera lain terutama Indonesia yang telah lama menjadi pekasam.

      Kalau panjang umur, murah rezeki, kesihatan baik, insyaAllah dapatlah saya ke negara lain pulak sebelum saya pencen.

      Padam
  5. salam kak

    jauh perjalanan, luas pandangan
    semua pengalaman itu terlalu berharga dan tak dapat dibeli dgn wang ringgit menjadikan kita insan yang lebih mensyukuri nikmat Allah atas apa jua kurniannya tak kira walau di mana bumi Allah ini kita berpijak

    saya suka dgn semua foto kat atas ni yang menceritakan segalanya
    conceptual photography genre

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam kembali Rezeki,
      Mengembara ini sebenarnya sama seperti kita mentelaah buku. Bezanya orang yang mengembara dapat ilmu lebih luas. Dia dapa lihat jalan mana yang ada duri, lubang atau parit. Dia dapat menghidu bau makanan, menyedut udara sebenar dan berkomunikasi secara bersekemuka dengan masyarakat di tempat itu. Tetapi orang yang membaca buku dapat sedikit sahaja daripada ilmu itu. Dia tidak dapat menghidu bau, menyedut udara, berkomunikasi secara bersekemuka dan tidak dapat melihat realiti yang dilihat oleh orang yang mengembara. Itulah sebabnya si pengembara dapat pengalaman yang tidak ternilai harganya. Kebiasaannya si pengembara akan insaf dan sedar tentang kehebatan Allah apabila melihatkan alam yang terbentang luas ini dengan penghuni dan budayanya yang berbagai.

      Terima kasih kerana menyukai gambarfoto di sini :)

      Padam
  6. terima kasih kak sebab berkongsi kisah 3 Muslims di China ni.

    betapa kita beruntung lahir dan hidup di Malaysia ini, dengan segala saluran kemudahan ada, dan yang lebih penting, begitu mudah untuk kita menjadi seorang yang practically Muslim.

    memilih untuk mengembara ke kawasan yang mundur dari negara kita memang menginsafkan.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam MasZuber,
      Kisah 3 Muslim itu adalah kisah benar sahabat-sahabat saya di Beijing. Identiti mereka saya sembunyikan supaya tidak timbul masalah kepada mereka nanti. Orang seperti mereka sebenarnya mendapat ganjaran yang lebih di sisi Allah kerana mereka memperjuangkan Islam di negara yang mengongkong Islam.

      Di Malaysia kita diberi kemudahan untuk beramal, tapi malangnya kita leka dan lalai.

      Sesekali keluar dari comfort zone dan merasa hidup susah boleh membuatkan kita lebih tabah. Allah sentiasa menguji hambaNya selagi kita hidup.

      Padam
  7. Assalam Naramas Aman.
    Tersangat teruja dgn entry2 catatan perjalanan NA. Terasa kerdilnya saya dibumi sendiri. Mmg saya gila membaca blog segala mcm perjalanan yg dikongsi oleh bloggers dan mmg kalau ikutkan hati nak terbang ketempat tersebut...tp apakan daya...terkadang apa yg kita idamkan tidak selari dgn kehidupan dan kekangan2 yg ada...apapun terima kasih atas perkongsian catatan perjalanan NA...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Waalaikumusalam Norizah Noor,
      Terima kasih kerana membaca blog ini dan meninggalkan ulasan.

      Membaca catatan perjalanan orang lain juga boleh menambah pengetahuan Tanggungjawab si pengembara pula perlulah menyibarkan ilmu yang diperolehi kepada orang lain supaya orang lain yang tidak berpeluang ke tempat itu dapat mengetahuinya. Saya anggap kembara saya di China ini adalah rezeki yang Allah berikan kepada saya.Ilmu yang saya perolehi di China tidak ternilai harganya. Dan saya ingin kongsikan ia dengan orang lain semampu yang boleh. Norizah pun ada rezeki yang Allah berikan tetapi dalam bentuk lain.

      Padam
  8. mashaAllah cantiknya semua gambar nie :)

    x
    Farah

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam Farah,
      Semua gambar ini saya ambil pada musim sejuk baru-baru ini. Kalau ambil pada musim lain mungkin hasilnya lain. Saya tak sangka Farah suka gambar-gambar ini.

      Padam
  9. Prof dah balik ke? sebenarnya saya selalu follow post prof. saya setuju berada China byk mgajar kita. perkongsian cerita cerita prof sgt menarik. moga dapat berjumpa dengan prof lagi :)

    raihana. BLCU ,Beijing.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam Raihana,
      Ya, saya dah balik Malaysia. Masa saya balik tu semua student Malaysia di BLCU tak ada. Semua cuti. Tak dapat nak jumpa di sana sebelum balik. Nanti kirimkan salam saya pada Kamilah, Suhaili, Fasha, dll.
      Ye ke Raihana selalu follow blog saya ni? Terima kasihlah. Memang China banyak mengajar kita. Raihana tentu lebih banyak belajar di sana sebab tinggal di sana lebih lama. Semoga kita dapat berjumpa lagi.

      Padam
  10. Salam Yong

    Sebak keme baca 3 org pemuda pemudi Islam yang tertindas dalam mengamalkan ajaran agama dan mempertahankan iman di negara sendiri. Bagaimana ler gamak nyer beban di hati deme yang menanggungnyer.
    Tadi baca sebak jer...la ni dah berjujuran ayor mater....bila banyak yang terpikior dan tergambar dalam otak keme.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam Yong ASP,
      Itulah keluhan yang sering disuarakan oleh 3 sahabat saya. Lebih-lebih lagi yang dari Xinjiang itu. Mereka sering meminta pandangan dan nasihat saya tentang masalah ini. Tetapi mereka terlalu berhati-hati takut-takut apa yang disuarakan itu menjadi masalah kepada diri mereka sendiri. Musuh-musuh Islam sentiasa mencari jalan untuk melenyapkan Islam. Sedikit demi sedikit ia dilakukan.

      Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Sama-samalah kita berdoa semoga saudara-saudara Islam kita itu kuat imannya dan Allah sentiasa melindungi mereka.

      Padam
  11. Salam Prof..puas jugak lah berkelana di negara orang ye....ikut seruan Nabi S.A.W lah ni kan..Tuntutlah ilmu sampai ke negeri Cina....

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam Nekcik,
      Negeri China ni luas, tak habis saya menjelajahnya. Namun begitu alhamdulillah saya dapat 'cover' bahagian utara China. Setakat ini puaslah jugak sebab saya dapat tinggal di sana dan mendekati masyarakatnya. Jadi saya sudah faham dengan keadaan ekonomi, politik dan sosial mereka.

      Tuntutlah ilmu sampai ke negeri China itu menurut padangan sesetengah ilmuan/ustaz adalah tidak sahih/hadis palsu. Jadi saya tidak berani petik ia di sini.

      Padam
  12. salam prof..

    entri yang terkesan di hati saya. Tak salah china merupakan negara yang mempunyai ramai muslim kan? tapi tak sangka keadaan dorang sangat menyedihkan, hak dinafikan dihina sebegini. Tak mampu lakukan apa2 namun hanya mampu berdoa moga Allah swt memberi kekuatan iman yang teguh pada mereka amin.Rasa bertuah dilahirkan di Malaysia..syukur.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam Orga,
      Ya, di China orang Islamnya ramai melebihi 13 juta orang. Bilangan sahaja ramai tetapi yang beramalnya kurang. Ini bukan salah mereka. Bukan juga salah ibu mengandung. Tapi salah pemerintah yang menyekat dan ingin melenyapkan Islam dari bumi ini.

      Sama-samalah kita berdoa semoga saudara Islam kita di sana mempunyai iman yang teguh.

      Padam
  13. As-Salam, saya silent reader sebenarnya, dh ikuti semua blog Prof. dari bermula dan berakhirnya pengembaraan Prof di negara China. Pengalaman Prof memang menakjubkan. Saya sgt kagum dgn keberanian Prof. berjalan seorang diri di negara China.

    Blog Prof. adalah salah satu blog yg saya pasti baca setiap pagi (sekiranya ada update). :D

    BalasPadam
    Balasan
    1. Waalaikumusalam Hulubalang,
      Oh silent reader ya :) Terima kasih banyak-banyak kerana menjadi pengunjung setia blog ini.

      Saya terpaksa berjalan seorang diri di China kerana ketika itu kawan dan ahli keluarga tidak dapat bersama kerana masing-masing ada komitment dan tugas hakiki yang perlu ditunaikan.

      Saya harap Hulubalang dapat memperolehi ilmu dan faedah dari blog yang tidak seberapa ini.

      Padam
  14. Kita patut bersyukur tinggal di malaysia..tinggal di pedalaman pun x sesusah hidup di china..bantuan sana sini in syaa allah cukup..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Ya, betul tu Fazliaton, Kita seharusnya bersyukur kerana tinggal di Malaysia.

      Padam
  15. Ciku baru nak start baca kisah di beijing ni.Terus terkesima membaca dan rasa ingin membaca lagi .Entry yang penuh dengan ilmu dan syukur dengan nikmat yang Allah berikan.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Teruskan terkesima dan teruskan membaca entri-entri lain tentang China. Banyak ilmu yang boleh dipelajari di China.

      Padam
  16. Saya tidak menyesal memilih China malahan saya telah mempelajari banyak perkara yang orang lain tidak tahu. Saya tidak mahu mengatakan bahawa China telah mengubah kehidupan saya tetapi China telah mengubah perspektif saya. Ironinya, China telah banyak mengajar saya lebih memahami Malaysia. China mengajar saya tentang erti syukur, erti nikmat, erti keselesaan, erti jihad. Dan yang lebih besar daripada itu China telah mengajar saya tentang kelazatan Islam yang saya kecapi di tanahair saya.

    Kupasan yang menyentuh perasaan saya.. Harap suatu hari dapat berjumpa Prof dan mungkin boleh backpack bersama..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Kupasan dari sanubari sendiri yang sebenarnya setelah lama di China.

      Padam
    2. Insya Allah kita boleh berjumpa pada suatu hari nanti.

      Padam

Kini giliran anda pula untuk memberi pandangan/ulasan.

Ulasan tanpa nama akan dipadamkan.