Tagline

A Blog About Traveling Around The World From The Lens and Eyes of A Malaysian-Muslim Woman

Select Your Preferred Language


Select Your Preferred Language
BAHASA MELAYU | ENGLISH

Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini

Adsense



Sabtu, 2 Mac 2013

Backpack Solo ke Shanghai (4): Pekan Air Qibao (Qibao Old Town)


S aya pernah ke Kampung Air di Brunei. Pernah juga ke kota air di Venice. Kedua-duanya menarik. Tetapi kota air di China belum lagi. Menarikkah seperti di Venice dan Brunei?

Pagi Sabtu musim dingin 2013 di Shanghai saya habisi dengan menjelajah Pekan Air Qibao yang juga dikenali dengan Qibao Old Town. Untuk ke sana saya menaiki keretapi bawah tanah di laluan 9 dan turun di stesen Qibao. Mudah sahaja saya menjumpai Pekan Air ini kerana ada papantanda besar di situ. Ketika itu hari masih pagi lagi. Kira-kira pukul 8.30 pagi.  Kedai-kedaipun baru dibuka dan orang tidak ramai lalu-lalang di situ. Suasana amat tenang dan tidak sesak langsung. Suasana yang lengang ini membuatkan saya berjalan berlenggang-lenggang. 


Pekan ini kurang pengunjung pada awal pagi


Di Pekan Air tua itu terdapat banyak kedai-kedai menjual pelbagai barangan sehari-harian dan juga cenderamata. Banyak juga pakaian musim sejuk dan kasut but dijual dengan harga murah. (Yalah dah dekat hujung-hujung musim sejuk, murahlah). Kedai kain kapas, sutera, cadar dan seni jahitan patchwork juga meriah di situ. Sebenarnya tidak ada apa yang hendak saya beli. Saja jalan-jalan, jamu mata.


Pekan lama Qibao ini terletak di dalam air


Keindahan pekan lama Qibao terletak pada senibina purbanya dan pekannya yang terletak di dalam air.

Tiang-tiang dan tangga-tangga kedai ditanam dalam air


Pekan tua ini telah dibina ketika zaman Dinasti Song (960-1126) dan menjadi tempat perdagangan yang maju pada zaman Dinasti Ming (1368-1644) dan Qing (1644-1911).

Qibao juga dikenali dengan julukan pekan 'tujuh khazanah' kerana ia dianggap mempunyai keistimewaan menurut pandangan penganut Buddha. Keistimewaan itu terletak pada patung Buddha, loceng, penyepit, ayam, pokok, tulisan dan kapak yang diperbuat daripada emas, gangsa dan jed yang terdapat di sebuah kuil di sini yang saya tidak masuk.

Jambatan yang merintangi sungai-sungai di pekan lama Qibao


Menyusuri Sungai


Saya menyusuri kota air ini dengan menaiki sampan yang dikayuh oleh seorang warga emas berusia dalam lingkungan 70an. Saya cuma bayar 10 yuan (RM5) sahaja. Apek itupun mendayung sampan menggunakan pendayung kayu. Dayung, dayung, dayung. Pendayung kayu itu menolak air sungai yang tenang itu. Terperciklah air. Bunyi percikan air yang ditolak oleh pendayung itu memecah kesunyian pagi.

Pendayung warga emas ini mendayung sampan sambil duduk


Menaiki sampan itu membuatkan saya dapat menyaksikan pekan itu dari arah sungai. Saya lalu di bawah jambatan yang melengkung. Kemudian lalu berdekatan pelantar air, tangga di tepi tebing, belakang rumah dan kedai. Ketika itu hari masih awal pagi. Saya rasa sayalah orang pertama yang menaiki sampan itu sebab ketika saya ke sana, tiga orang pendayung sampan sedang menunggu penumpang. Saya hanya seorang sahaja naik sampan itu. Seronoknya. Rasa macam permaisuri pula duduk seorang-seorang dalam sampan yang dikayuh oleh seorang apek. Apek itu pula senyum dan posing depan kamera saya semasa saya tangkap gambarnya. Mula-mula apek ini berdiri dan mendayung sampan itu tetapi kemudian dia duduk. Agaknya penat. Kesianpun ada bila tengok apek itu duduk.

Tak jauh menyusuri sungai, apek itu pun kona...eh dekatnya...rasa tak puaslah.

Mata saya menikmati pemandangan dari sampan 

Sampan ini mendekati sebuah jambatan

Sampai ini melalui sungai yang di atasnya ada kedai-kedai



Senyum Seorang Diri



Saya bergambar di pekan lama Qibao


Setelah menaiki sampan yang tidak berapa nak jauh itu saya pun berjalan-jalan menghirup angin pagi di pekan lama itu.  Rileks rileks saja saya berjalan di situ. Bangku-bangku juga banyak terdapat di pinggir sungai. Kalau terasa lenguh berjalan, saya duduk. Maklumlah saya solo. Ikut suka hati saya saja hendak buat apa.

Oleh kerana saya bersendirian, maka gambarfoto saya posing seorang-seorang di bawah ini saya ambil sendiri dengan meletakkan kamera di atas batu. Kamera saya setkan pada self-timer. Kemudian saya berlari ke hadapan kamera dan senyum seorang-seorang. Kemudian saya tengok hasilnya pada kamera. Dua tiga kali saya ulang buat begitu. Kadang-kadang tersilap, tersenget, terlalu jauh... Orang yang lalu-lalang ada yang berhenti melihat gelagat saya tangkap gambar sendiri itu. Merekapun turut senyum dan ketawa melihat saya. Ha ha ha.

Selfie cara lama



Lepak-lepak dan Minum-minum 

 

Mengisar biji soya dengan menggunakan mesin kisar antik


Setelah posing-posing, rileks rileks, berjalan kaki dan merayau-rayau menikmati udara pagi di Pekan Air Qibao yang indah, saya nampak seorang lelaki sedang mengisar sesuatu dengan pengisar batu.

"Awak tahu tak apa ini ?" tanya lelaki itu dengan peramah.

Pada masa itu saya tidak perasan. 

"Biji kacang soya," katanya lagi.

"Oh!' barulah saya perasan.

"Dah lebih 100 tahun usia pengisar batu ini," kata pemiliknya sambil memusing-musingkan pengisar batu itu dengan tangan.

Saya melihat lelaki itu meletakkan biji-biji soya ke dalam satu lubang kecil yang terdapat di atas batu itu dengan senduk, meletakkan air dan menadah biji soya yang hancur ke dalam bekas yang bertapis.

"Duduklah. Cubalah minum air soya yang baru dikisar dengan pengisar antik ini. Tapi kena tunggu sebentar, kena dimasak dahulu," kata pemilik itu lagi. 

Saya pun duduk di bangku depan kedai sambil menunggu biji soya dikisar, ditapis, diperah dan dimasak.

Air soya yang sudah dimasak disajikan kepada saya


Setelah menunggu kira-kira sepuluh minit, soya yang baru dikisar dan masih panas berasap-asap itupun dihidangkan kepada saya. Sambil minum saya dapat melihat beberapa orang lelaki sedang main dam China di sebuah meja.

Setelah minum sayapun beredar dari situ.

Pertunjukan monyet di kaki lima


Apabila berjalan seorang diri, saya bebas berjalan atau berhenti berehat mengikut kehendak sendiri. Tak jauh dari pekan tua air itu saya dapat melihat ramai orang berkerumun. Sayapun turut melihat. Rupa-rupanya ada pertunjukan monyet yang melucukan.

Jom teman saya jalan-jalan di Shanghai dalam entri akan datang.

...bersambung

Baca kisah seterusnya "Backpack Solo ke Shanghai (5)" DI SINI

Baca kisah sebelumnya "Backpack Solo ke Shanghai (3)" DI SINI

Baca kisah sebelumnya "Backpack Solo ke Shanghai (2)" DI SINI

Baca kisah sebelumnya "Backpack Solo ke Shanghai (1)" DI SINI



14 ulasan:

  1. Assalamualaikum permaisuri NA,
    Jalan berlenggang di pekan Qibao
    Berbaloikah jika saya ke sana
    Sebab saya rasa hendak ke Hangzhou

    Terberpantun pulak... hehe

    BalasPadam
    Balasan
    1. Waalaikumusalam wahai Putra Mie,
      Tak payah berlenggang di Pekan Qibao,
      Pekan airnya kecil sekali,
      Rasanya berbaloi lagi ke Hangzhou.

      Hangzhou cuma sejam naik keretapi,
      Dulu saya tak pergi sebab tak sempat,
      Qibao dekat dengan hotel diinapi,
      Pergi ke situ pada masa yang singkat.

      Padam
  2. best jugak travel solo,
    nak jalan , berhenti sume ikut suka .
    cuma tangkap gambar je agak susah.

    teringin nak backpack solo, soon.
    bila habis belajar dan dah kumpul duit. :D

    BalasPadam
    Balasan
    1. Nandhoi,
      Salam. Yang seronoknya jalan sorang sorang ni kita bebas. Tangkap gambar memang susah sikit, kena pandai guna self-timer pada kamera. Ataupun suruh orang tangkapkan gambar. Gambar saya dekat jambatan yang di atas tu saya suruh orang tangkapkan. Orang itu dari Taiwan. Masa itu diapun tengah tangkap gambar jadi sayapun suruhlah dia tangkap gambar saya sekali.

      Nanadhoi kumpullah duit dulu, nanti dah cukup bolehlah backpack. Sebenarnya masa belajar lagi saya dah backpack :).

      Padam
  3. Salam Yong

    Ngape idok bawe kaki tige tu...kat ke mudah nak di ejaskan kamera tu.....

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam Yong ASP,
      Tripod tu ada, tapi besar gedebak dan berat. Tak pernah bawa masa travel. Bawa dekat dekat je.

      Padam
  4. Wah cantiknya pemandangan kota air ni. Nampak tenang je Kan . Mungkkinkah sebab di waktu pagi? Sya fresh yang dikisar tu pon nampak sedap!

    Hidangan khas untuk puteri katanya hehehehehe.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Rain,
      Hah sekarang Rain dapat tengok gambar dalam entri ni? :) Saya seronok bila tahu Rain dapat tengok gambar ni. Rain tengok di rumah ke?

      Kota air ini cantik, tenang dan jauh dari kesesakan. Mungkin juga masih awal pagi. Ambil gambar masa awal pagi boleh menghasilkan gambar yang cantik sebab matahari agak condong sikit, lagi pula refleksi air menambahkan lagi seri pada gambar.

      Soya fresh tu memang sedap, duduk rileks di bangku dengan udara musim sejuk yang nyaman menambahkan kesedapannya. Hidangan untuk Puteri? he he he ada-ada saja Rain ni :)

      Padam
  5. hehe...kitorang pun pernah buat mende yang sama kalau nak ambik gambar berdua, macam orang tak betul pun ada, hehe...gambar reflection nampak jambatan dengan bangunan-bangunan tu cantik, kalau tak salah, citer-citer kungfu china banyak buat kat sini ye kak...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam Orga,
      He he he tangkap gambar sendiri sebab kita malas nak suruh orang tangkapkan. Kalau nasib baik orang tu dapat hasilkan gambar yang menarik, kalau tidak kita frust, kan?

      Reflection di permukaan air selalu menghasilkan gambar yang cantik. Ini membuatkan yang amatur pun nampak pro. Ya, akak pun rasa di sini selalu dijadikan lokasi penggambaran filem.

      Padam
  6. salam kak

    buat street photography kat lorong tu pasti best, byk subjek yg boleh ditembak

    kalau saya mau leka berejam kat situ hehe

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam Rezeki,
      Terima kasih kerana singgah di blog ini dan meninggalkan ulasan.

      Ya, memang banyak subjek yang boleh diabadikan dalam lensa kamera kita apabila berjalan-jalan di China ini. Saya ada sambung tentang street photography dalam entri akan datang.

      Padam
  7. Balasan
    1. Muhammad Khairuddin Lim,
      Berbaloi pergi Pekan Air Qibao ini. Kita boleh lihat pekan lama di atas air, naik sampan dan membeli-belah. Kalau datang awal pagi orang tidak terlalu ramai, jadi boleh berjalan dengan tenang.

      Padam

Kini giliran anda pula untuk memberi pandangan/ulasan.

Ulasan tanpa nama akan dipadamkan.