S
eronok juga berjalan-jalan lenggang kangkong di Shanghai ini. Keadaan jalan dan pengangkutan awamnya juga teratur dan bersih berbanding dengan Beijing.
Ingat tak entri yang lepas saya ceritakan tentang saya merayau di Pekan Air Qibao yang tua tetapi indah dan tenang? Dalam entri kali ini saya ingin ceritakan tentang kisah rayauan saya di tempat lain pula. Maklumlah masa saya ke Pekan Air Qibao itu waktu masih pagi. Hari masih panjang. Banyak lagi yang boleh saya teroka pada hari itu di Shanghai.
Bertih dan Bepang Beras Tepi Jalan
Setelah saya merayau-rayau di Pekan Tua Qibao saya pun ke Shanghai Old Street. Hari sudah tengahari. Sebelum perut saya menyanyikan lagu "Wo Ai Ni" (nak lawan Shila Amzahlah tu) saya perlu cari restoren halal supaya perut saya senyap. Ketika menuju ke restoren halal itu saya berjumpa dengan peniaga bertih dan bepang beras di tepi jalan. Saya tertarik dengan periuk yang digunakan untuk memasak bertih itu. Periuknya berbentuk labu, diletakkan di atas bara api, kemudian ia dipusing-pusingkan dengan tangan. Nampak klasik cara membuatnya.
Minat saya melihat keunikan periuk itu membuat seorang gadis Shanghai yang membeli di situ meletakkan ke tapak tangan saya beberapa bertih dan bepang beras yang baru dimasak. Saya malu-malu menerima pemberian yang tidak disangka-sangka dari seorang gadis Shanghai yang saya tidak kenali. Saya hanya mampu berkata, "Xie xie".
Bertih dan bepang itu masih panas. Masih segar. Masih gebu. Mula-mula tu teragak-agak juga hendak makan bertih tu. Tapi menengokkan ia hanyalah beras dan periuknya tidak bercampur dengan bahan-bahan lain yang meragukan sayapun dengan bismillah sumbatkan bertih itu ke mulut. Rasanya manis. Rasanya lebih kurang sama dengan bertih dan bepang yang kita boleh dapati di Pekan Rabu Alor Star. Tapi yang ini
Makan Guotie (Dumpling Goreng) Shanghai
Beberapa tapak daripada tempat menjual bertih itu terdapat sebuah restoren halal. Saya sudah ke sini dua kali sebelum ini. Peniaganya peramah dan selalu menegur saya. "Orang Malaysia, kan?" tekanya dengan yakin.
Setiap kali saya lalu saya nampak peniaganya menggoreng atau mengukus jiaozi di kaki lima restorennya. Selalunya saya nampak ada orang sedang membeli jiaozi ini. Saya suka jiaozi. Lebih-lebih lagi jiaozi kukus atau rebus! Tapi bila dipesan, ia habis, saya kecewa.
Kali ini saya nampak jiaozi goreng atau ia dipanggil guotie (dumpling goreng). Jiaozi berubah nama kalau ia dimasak cara berlainan. Apabila digoreng jiaozi dpanggil guotie. Guotie itu tinggal beberapa ketul sahaja di luar kedai itu. Guotie itu diletakkan di dalam periuk di atas dapur. Dapur dan periuknya seolah-olah sengaja diletakkan di kaki lima restoren untuk menarik pelanggan. Jiaozi rebus atau kukus tidak kelihatan. Harap-harap guotie yang ada ini rezeki saya. Saya lalu bertanya peniaganya. Dia menjemput saya duduk. Alhamdulillah ADA!
Saya duduk berkongsi dengan sebuah keluarga Shanghai di sebuah meja panjang. Mereka senyum melihat gelagat saya. Mereka menegur saya dan hendak berbual-bual dengan saya. Saya kata saya tak tahu cakap China, tetapi mereka terus saja cakap dan bercerita walaupun mereka tahu saya tak faham.
Tak lama kemudian saya dihidangkan dengan 6 biji guotie. Wah rezeki yang lama saya nanti-nantikan sudah berada di depan mata! Apalagi... Tapi cup, cup! Tangkap gambar dulu. Keluarga Shanghai yang duduk semeja dengan saya gelakkan saya tangkap gambar. Lepas itu, saya tadah tangan dan baca doa. Mereka gelak juga sambil bercerita tentang perbuatan saya berdoa itu. Saya hairan kenapa mereka gelakkan saya baca doa? Lalu saya pun berkata, "Saya orang Islam. Kena baca doa. Awak orang Islam ke? Merekapun mengaku mereka orang Islam. Barangkali mereka tak buat macam saya buat??? Tapi saya tidak hairan, sebab saya sudah faham, ramai orang Islam di China sudah lupa solat apalagi berdoa. Salah merekakah yang lalai? Salah pemerintahkah yang menyekat orang Islam beribadat?
Tanpa berlengah-lengah lagi sayapun cicah guotie ini dengan kicap. Ngap!! Yum.. yum.. mmm... sedapnya. Mak mertua lalu pun tak nampak ni! Habis sepinggan guotie itu saya baham. Saya minta lagi sepinggan. Mereka hidang lagi 6 biji. Ngap! Lesap lagi.
Suara Ghaib: "Apasal hidang je, Ngap? Hidang je, Ngap? Sedap sesangat ke? Tengok rupa...... "Kalau anda ingin tahu Jiaozi atau dumpling adalah makanan yang popular di Shanghai. Jadi kalau anda ke Shanghai, jangan ketinggalan menikmatinya. Jangan sekali sekali!
Saya: "Hei! Cup! Cup! Jangan tengok guotie pada rupa. Jangan lihat bentuknya saja, tapi kena rasa dan nikmati intinya. Pasal tulah tak sampai beberapa saat dihidang ia lesap ke dalam perut makcik ini yang tak reti bahasa tak sedap."
Masjid Fuyou
Ada sebuah lagi masjid yang saya belum pergi: Masjid Fuyou. Selesai makan sayapun mencari Masjid Fuyou untuk solat jamak zohor dan asar. Saya menemuinya di Jalan Fuyou bersebelahan dengan Shanghai Old Street, beberapa tapak sahaja dari kedai halal itu tadi. Ia begitu mudah untuk dicari kerana ia terletak bersebelahan dengan deretan kedai-kedai.
Ada yang menyapa saya di situ dengan ramah dan menjemput saya masuk.
Saya rasa gambar-gambar yang saya ambil dan letakkan di bawah ini dapat menceritakan tentang Masjid Fuyou dan suasana di dalam dan persekitarannya.
Taman Yuyuan
Saya telah melihat banyak taman di Beijing tapi belum lagi di Shanghai. Katanya Taman Yuyuan cantik dan patutlah dilawati kalau sudah berada di Shanghai. Jadi petang di Musim Sejuk 2013 ini saya menyaksikan keindahan dan lanskap yang disajikan oleh Taman Yuyuan yang popular itu.
Taman Yuyuan yang kuno telah dibina semasa dinasti Ming dan ia masih terpelihara. Ia amat berbaloi untuk dilawati kerana di sini saya melihat keindahan senibina bangunan China kuno, pentas kuno, lanskap taman dan tasik yang dihuni oleh ikan-ikan pelbagai warna.
Saya kehabisan perkataan untuk menjelaskan tentang Taman Yuyuan. Gambarfoto di bawah ini boleh menggantikan perkataan saya untuk menceritakan tentang kecantikan Taman Yuyuan.
Cantik, bukan?
Begitulah saya menghabiskan hari saya di Shanghai.
Petang yang berbaki itu saya hendak ke mana pula? Sebelum ini saya sudah ke Sungai Huangpu, tapi itu waktu malam. Bagaimana agaknya suasana Sungai Huangpu pada siang hari pula? Jadi, ikuti saya Backpack Solo ke Shanghai dalam entri akan datang.
...bersambung
Baca kisah seterusnya "Backpack Solo ke Shanghai (6)" DI SINI
Baca kisah sebelumnya "Backpack Solo ke Shanghai (4)" DI SINI
Baca kisah sebelumnya "Backpack Solo ke Shanghai (3)" DI SINI
Baca kisah sebelumnya "Backpack Solo ke Shanghai (2)" DI SINI
Baca kisah sebelumnya "Backpack Solo ke Shanghai (1)" DI SINI
Pengalaman catatan perjalanan yang sangat menarik TQ
BalasPadamSalam Azmatun Ismail,
PadamTerima kasih kerana meluangkan masa membaca catatan perjalanan saya dan meninggalkan maklumbalas. Cuma ini sahaja yang saya mampu catatkan di sini.
Serasi betul selera NA dengan makanan China ye, 12 biji sekali lalu je. Tapi memang kena mencuba juga makanan tu kalau saya jumpa nanti...
BalasPadamMie,
PadamMakanan China memang serasi dengan saya. Makanannya berkhasiat, kurang lemak, kurang minyak, kurang berempah, kurang pedas.
Kalau Mie ke Shanghai nanti, cubalah makan jiaozi ini. Mungkin ia sesuai dengan selera Mie. Belum cuba belum tahu.
Salam Yong
BalasPadammemang unik periok masak bertih tu....ngaper tak hangkut balik satu....mesti org kampung suker...hehe...
Salam Yong ASP,
PadamTerima kasih Yong kerana rajin singgah di blog kume ni dan selalu menghiburkan hati kume dengan ulasan-ulasan yang lucu :)
Hangkut balik? Eee..Tumpo ngangkutnye.. :D
eerrrrr....lucu ker Yong ? * sambil kokak kuku jari kelingking sampai pedih *.
PadamMaklum ler Yong, tak sempat nak berlawak kat opis...stress dengan deadline yang boleh membawa maut kalau tak sampai ke garisan....hehe....
Sian kat kuku tu jadi mangsa kokak :P
PadamStress gini kenalah bawa berjalan, bawa bertenang :)
salam kak
BalasPadamcantik Taman Yuyuan tu
saya suka foto yg bawah mcm pintu melengkung tu
Salam Rezeki,
PadamLokasi di Shanghai ini memang sesuai untuk peminat fotografi macam Rezeki. Banyak subjek boleh ditembak. Lebih-lebih lagi Rezeki ada lensa dan kamera yang baik, hasilnya tentu memuaskan.
Tapi kamera saya biasa-biasa je, tak canggih. Guna standard lens je.
Pintu melengkung itu ialah pintu tembok yang memisahkan taman kecil itu dengan taman yang lain dalam Taman Yuyuan. Boleh dikatakan ada banyak taman kecil dalam Taman Yuyuan itu. Taman dalam taman gitu :)
best la entry2 ni .. bg semangat .. hehehe ..saya pun ada cita2 nak travel satu dunia.. huhu .. saya baru balik dari kunming. dekat kunming ada satu tempat yg terletaknya masjid terbesar di china.. SHADIAN . bersih,tenang dan ramai muslim di situ .. harap2 dapat pi travel tempat lain pula.
BalasPadamNurdiyana Amir,
PadamSuka entri tentang Shanghai ni? Alhamdulillah.
Saya belum lagi sampai ke Kunming. Pernah merancang hendak ke Kunming pada Februari lalu tetapi tak jadi sebab tiket keretapi sudah habis. Bertuah Nurdiyana dapat sampai ke Kunming yang unik dan dapat pula menjejakkan kaki ke masjid mereka. Tentu ia satu pengalaman yang amat bermakna pada Nurdiayana.
Semoga Nurdiyana dapat berpeluang ke tempat-tempat lain dan menimba ilmu yang berharga.
Terbaik entri naramas..bila baca banyak pula tempat hendak dilawati..kena pilih betul2 takut tak sempat nanti.
BalasPadamTempat-tempat yang saya ceritakan di entri ini wajib pergi, sebabnya nak makan dan solat. Taman Yuyuan ini amat popular, rugi pula kalau ke Shanghai tak masuk ke taman ini. Tapi semua ini di tempat yang sama.
Padamcemburu saya tengok naramas mengembara sorang diri...Kalaulah saya boleh join sekali..best nyer....Baru2 ini saya ke vietnam bersama kawan2...tapi semuanya jenis tidak "explorer"..Sudahnya saya keluar jalan sorang diri naik bas di Ho Chi Min City, cuba mengenali negara orang, sambil bershopping...
BalasPadamUmmi F,
PadamSaya terpaksa mengembara sorang-sorang pada masa itu sebab tak ada sesiapa bersama saya di Beijing ketika itu. Keluarga di Malaysia, kawan-kawan Beijing pula semua bercuti dan tak ada di Beijing..saya sangat sunyi, mujurlah ada tiket keretapi ke Shanghai..
Kalaulah kita kenal masa tu, bolehlah join sekali, taklah saya sunyi...
Ummi F, tak semua orang explorer dan adventurous macam kita.
Salam,
BalasPadamSaya suka merujuk blog ni bila mahu ke tempat2 yg sama. Baru-baru ni, saya 'jelajah' tempat makan best di Penang dgn kawan. Memang syok! Terima kasih kerana memberi info yg detailed, terutamanya tentang lokasi.
InshaAllah, lagi 2 minggu saya akan ke Shanghai pula bersama ibu. Boleh saya tahu lokasi sebenar kedai halal yg jual guotie tu? Di area mana (Shanghai Old Street), mudah dicari? Teringin saya merasanya - saya pernah ke Shanghai sebelum ni tapi tak jumpa pula. Selalu jumpa mee tarik & roti2 Uygur (nan & yg berinti kambing) tu.
Salam Hanisah,
PadamTerima kasih kerana merujuk pada blog ini. Di mana tempat makan yang Hanisah pergi di Penang tu? Makan apa? Sedap tak?
Kedai jual guotie itu letak bersebelahan dengan Shanghai Old Street dan tidak berjauhan dengan Masjid Fuyou itu. Saya sudah lupa nama jalannya. Kalau tak silap, ia terletak di sudut Fangbang Middle Road dengan Baodai Long. Ia mudah dicari kerana di situ ada sebuah lagi restoren makanan halal (di kepala simpang Fangbang Middle Road).
Terima kasih banyak atas info lokasi kedai guotie...akan saya cari sampai dapat, inshaAllah.
PadamDi Penang hari tu, saya sempat cuba pasembur campur di Union Street, char kueteow Bob di Jln Akuarium, nasi lemuni di Astaka Bkt Jambul, nasi beriyani di nasi kandar line clear (saya pilih nasi beriyani dan bukan nasi putih kerana teringatkan nasi beriyani zaman saya budak2 dulu), popiah pasar malam Taman Saadon & beberapa lagi tempat seperti sup kambing di Restoran Hameed, mee goreng sambal sotong Jln Tamil dan cendol Jln Chowrasta. Kalau nak cuba semua tempat yg ada dalam blog ni, alamat kena tinggal di Penang lebih lama lagilah :)
Trip saya memang jadi "JJCM tak hengat" hehe. Pada saya, semuanya sangat sedap - memang kena dgn selera saya & kawan2 sehinggakan sampai sekarang saya masih terngiang-ngiang nasi lemuni - tuan kedai siap tunjukkan pokok lemuni@legundi yg ditanam di sekitar tempat parkir & saya tak melepaskan peluang bertanyakan resipi.
Seronok saya mendengar cerita Hanisah. :) Makanan dan tempat yang Hanisah pilih juga bagus.
PadamHanisah lagi hebat! Saya sendiri pun tak pernah bersembang dengan penjual nasi lemuni tu he he he...