Tagline

A Blog About Traveling Around The World From The Lens and Eyes of A Malaysian-Muslim Woman

Select Your Preferred Language


Select Your Preferred Language
BAHASA MELAYU | ENGLISH

Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini

Adsense



Ahad, 14 April 2013

Banda Acheh (4): Mengenal Budaya Acheh


R umah Acheh, Muzium Acheh, Muzium Tsunami, Kenduri Kahwin....wah banyaknya nak dilawati di Banda Acheh. Rasa macam tak cukup sahaja 3 hari saya di sini.

Saya rasa kita patut mengenali budaya Acheh kerana kerajaan Acheh pernah meluaskan pengaruhnya sehingga ke tempat kita. Banyak persamaan budaya dan bahasa di antara kita dan Acheh. Orang Acheh ramai yang menetap di tempat kita. Misalnya di Pulau Pinang terdapat komuniti Acheh. Masjid Melayu di Lebuh Acheh dan penempatan di Pantai Acheh Pulau Pinang adalah bukti luasnya pengaruh Acheh.

 

Rumoh Acheh


Kalau sesiapa yang tak pernah tinggal di rumah kampung atau melihat rumah tradisional Acheh boleh ikut saya ke sini.  Rumoh Acheh tidak banyak terdapat di Banda Acheh kerana kebanyakan penduduknya tinggal di rumah batu yang kos pembinaannya lebih murah berbanding dengan rumah tradisional.

Rumah tradisional Acheh dibuat daripada kayu. Tiang-tiangnya tinggi. Di bawah rumah terdapat tempat menyimpan padi. Tangga untuk masuk ke rumah itu letaknya di bahagian hadapan. Anak-anak tangganya adalah batang panjang yang kecil-kecil dan bilangannya ganjil. Pada hujung atap dan dinding terdapat banyak ukiran bermotifkan tumbuh-tumbuhan.

Halaman rumah Acheh

Serambi depan Rumoh Acheh



Semasa masuk ke dalam rumah, bahagian serambi rumah itu mirip seperti rumah tradisional Melaka, tetapi rumah Melaka lebih tinggi tingkap dan bumbungnya. Nampak macam ada persamaan dengan rumah-rumah tradisional di Malaysia tetapi sebenarnya berbeza.

Ada 3 bahagian utama yang dipanggil  seuramoë keuë (serambi depan), seuramoë teungoh (serambi tengah) dan seuramoë likôt (serambi belakang).

Serambi depannya mempunyai banyak tingkap kecil yang berlangsir. Lantainya papan dan di hujung serambi ini terhampar permaidani. Ruang ini tidak ada perabut. Ia kecil dan memanjang. Ia bertujuan untuk tetamu lelaki duduk dan tidur. Di dindingnya terdapat lukisan berbingkai gambar tokoh-tokoh Acheh.

Di serambi tengah terdapat bilik. Serambi tengah ini dipisahkan dari serambi depan oleh dinding dan ia  lebih tinggi daripada serambi depan. Terdapat 3  anak tangga yang perlu dipijak untuk ke serambi tengah ini.

Serambi belakang


Di serambi belakang terdapat sebuah buaian bayi dibuat daripada rotan. Di tepi dinding ada katil. Barangkali mudahlah si ibu mendodoikan anak dari situ. Di sebelah kirinya pula ada rumoh dapu (rumah dapur). Terdapat periuk belanga, kukur kelapa, alatan memasak dan dapur kayu api lama dijadikan hiasan di situ.

 

 

Muzium Acheh


Kemudiannya kami pergi ke Muzium Acheh. Di dalam muzium ini kami lihat Al-Quran tulisan tangan, tembikar,  alat-alat pertanian, peta Acheh, binatang berkepala dua dan macam-macam lagi. Di luar muzium ini kami dapat melihat makam raja dan meriam.

Bahan-bahan pameran di dalam dan di luar Muzium Acheh

Kawasan makam diraja yang terdapat di luar Muzium Acheh


Kawasan makan diraja yang berpagar


 

Rumah Cut Nyak Dhien


Kami kemudiannya pergi ke Rumah Cut Nyak Dhien. Rumah ini letaknya di Lampisang, Lhok Nga di Acheh Besar. Cut Nyak Dhien adalah srikandi yang memperjuangkan Acheh dari dijajah. Beliau berjuang sehingga ke tua. Cut adalah gelaran bagi golongan bangsawan/raja.

Rumah Cut Nyak Dhien adalah rumah tradisional Acheh sebagaimana yang kita lihat di Rumah Acheh di atas tadi. Tetapi bezanya dari penggunaan perabut, saiz rumah, bilangan anak tangga, bilangan tiang dan sebagainya. Oleh kerana ini rumah seorang bangsawan maka perabutnya banyak dan saiz rumahnya besar.

Rumah Cut Nyak Dhien Srikandi Acheh

Perabut di serambi depan rumah Cut Nyak Dhien

Telaga di bahagian serambi belakang

 

Gunungan


Kami kemudian pergi melihat taman permainan diraja Sultan Iskandar Muda yang dipanggil Gunungan. Gunungan ini dibina oleh Sultan Iskandar Muda berbentuk gunung-ganang. Ia dibina untuk permaisuri beliau yang berasal dari Pahang, Tanah Melayu. Oleh kerana Pahang bergunung-ganang dan permaisurinya sentiasa merindui Pahang maka Sultan Iskandar Muda membina Gunungan ini supaya permaisurinya dapat menghilangkan rindu pada kampung halamannya. 

Di Gunungan, permaisuri bermain di situ, mandi-manda dan kemudiannya makan di situ. Dikatakan setiap kali permaisuri bermain dan mandi-manda di situ, seekor lembu disembelih untuk dibuat jamuan makan. Gunungan itu adalah campuran batu dan simen yang mempunyai anak-anak tangga, lubang-lubang dan lorong-lorong yang sempit.

Perlu melalui lorong-lorong dan anak-anak tangga di Gunungan




Kenduri Kahwin Acheh


Dalam perjalanan kami nampak sebuah majlis kenduri kahwin. Kami kemudiannya singgah di majlis kenduri itu. Kami ingin sangat hendak tahu cara orang Acheh meraikan majlis perkahwinan. Walaupun tidak kenal kami dijemput masuk oleh tuan rumah. Kami duduk dan dijamu kuih lepat yang dibungkus dengan daun pisang. Oleh kerana masih awal pagi, kami hanya dapat melihat mereka bergotong-royong membuat persiapan seperti menyusun kerusi meja dan memasak.  Pengantin pula ketika itu sedang berdandan di salon.

Kanak-kanak berpakaian tradisional Acheh

Hiasan daripada kertas warna di letakkan di jalan masuk rumah pengantin. Hiasan ini ditaja oleh Bank Sumut

Pelamin diletakkan di luar rumah

Bergotong-royong memasak gulai kari


Muzium Tsunami


Selesai melihat-lihat orang Acheh meraikan majlis perkahwinan, kami ke Muziuk Tsunami pula. Muzium Tsunami adalah muzium yang menyimpan cerita-cerita tentang tragedi tsunami 2004. Ia bertingkat-tingkat. Terdapat juga kedai menjual cenderamata di sini. Sempatlah juga saya membeli magnet peti sejuk di sini.


Menuju ke pintu masuk Muzium Tsunami


Informasi dan bahan-bahan tentang tsunami 2004

Replika Masjid Lampisang d Lampuuk yang terselamat dari bencana tsunami



Banyak yang telah kami tahu tentang budaya dan sejarah Acheh apabila berkunjung ke sini. Banyak persamaan walaupun ada juga perbezaan dengan budaya kita.

...bersambung




2 ulasan:

  1. Keadaan dalam rumah tradisi macam kurang cahaya masuk dan mungkin juga menyeramkan...

    Papan ucapan yang besar bagak tu mungkin menunjukkan keluarga pengantin merupakan golongan orang berada atau memang dah kebiasaan di sana?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Mie,
      Memang gelap di dalam Rumoh Acheh itu. Nak ambil gambarpun susah. Kalau malam atau senja pasti seram sebab tak ada orang tinggal di dalamnya. Tapi disebabkan kami datang pagi, tak rasa seram.

      Papan ucapan itu memang kebiasaan di sana. Sebenarnya ada banyak papan ucapan itu di jalan masuk rumah pengantin itu, kira-kira 3-4 buah. Setiap papan ditaja oleh individu/syarikat tempat pengantin itu bekerja. Pengantin itu orang keturunan bangsawan sebab nama mereka Cut & Teuku.

      Padam

Kini giliran anda pula untuk memberi pandangan/ulasan.

Ulasan tanpa nama akan dipadamkan.