B
ersusah-susah itu kadang-kadang menyeronokkan. Untuk itu kami sengaja naik keretapi, monorel dan berjalan kaki. Backpack kami ini adalah satu misi pencarian dan nikmat penderitaan kerana sengaja bersusah-susah.
Hari ini Jumaat. Pencarian kami hari ini ialah masjid. Kami rancang hendak solat Jumaat di mana-mana masjid di Osaka. Saya serahkan kepada anak saya untuk pilih masjid mana. Ada beberapa masjid di Osaka. Kami cari masjid yang belum (mungkin jarang) disebut-sebut oleh blogger, supaya boleh menambah senarai masjid yang boleh dikunjungi kepada mereka yang berminat melawat masjid.
Pada pagi Jumaat itu kami tidaklah tergesa-gesa. Kami memasak di rumah dahulu. Makan-makan. Rileks-rileks dahulu. Pukul 9.30 pagi baru kami keluar rumah. Yanushi kami sudah berpesan supaya membawa payung kerana katanya hari akan hujan. Pada mulanya kami malas hendak mengheret payung ke sana ke mari, tetapi setelah disuruh beberapa kali, kamipun mencapai payung lutsinar (transparent) yang terletak di tangga rumah inapan kami.
Kami menaiki dua buah keretapi untuk ke masjid. Ini disebabkan kami perlu menukar laluan keretapi. Masjid ini letaknya di Toyokawa.
Naik Keretapi dari Mikuni ke Umeda
Oleh kerana rumah kami di Mikuni, sudah tentu kami menaiki keretapi dari Mikuni. Kami ke stesen Umeda dahulu.
|
Tiket dari Mikuni ke Umeda berharga 190 yen |
|
Dalam keretapi Hankyu dari Mikuni ke Umeda. |
|
Sungai bersih dan lebar ini kami lalui ketika menaiki keretapi |
Naik Keretapi dari Umeda ke Stesen #19 (Hankyu Kyoto Line)
Dari Umeda, kami ke stesen #19 pula. Menaiki keretapi sudah tidak menjadi masalah kami walaupun mesin tiket bertulis Jepun. Ini disebabkan ia mudah difahami.
|
Mesin membeli tiket |
|
Tiket dari Umeda |
Naik Monorel Laluan Hankyu Kyoto di Stesen #19 ke Toyokawa
Setelah menaiki keretapi, kami naik monorel pula. Monorel ini menggunakan Laluan Hankyu Kyoto yang bermula di stesen #19 menuju ke Toyokawa.
|
Bilik menunggu bertutup disediakan di stesen #19 (Laluan Hankyu Kyoto) |
|
Monorel Hankyu Kyoto baru sampai di platform di stesen #19 |
|
Keadaan dalam monorel Hankyu Kyoto dari stesen #19 ke Toyokawa yang tidak ramai penumpang |
|
Tiket 330 yen yang kami beli untuk menaiki monorel dari stesen #19 ke Toyokawa |
Di Toyokawa dan Mencari Masjid
Kami sampai sudah tengah hari di Toyokawa. Kamipun berjalan kaki untuk mencari masjid. Kami melalui kedai-kedai, rumah-rumah, bengkel-bengkel kereta dan sawah padi. Yang menarik di sini, sawah padinya terletak di celah-celah pekan, berdekatan pasaraya dan kilang.
Kami cari lagi masjid itu. Nak tanya orang tetapi tidak ada seorang pun lalu-lalang. Mulalah kami melilau dan sesat. Apabila kami berjumpa saja orang tepi jalan kami terus tanya tanpa segan silu. Kami tunjukkan alamatnya. Tunjukkan petanya. Tapi nampaknya orang di situ kesemuanya tidak tahu bahasa Inggeris. Semua tidak dapat menolong kami. Ada yang terus angkat tangan mengalah dan mengeleng-geleng kepala apabila kami mendekati mereka.
Sudah jauh kami berjalan kaki, mujurlah cuaca tidak panas. Tetapi kami masih tidak jumpa-jumpa masjid yang dicari. Waktu sekarang sudah pukul 1.00 petang. Sudah masuk waktu zohor. Mungkin solat Jumaat dilakukan sekarang. Tapi mungkin juga jemaah di sini solat pada pukul 1.30 petang, sebagaimana di Beijing.
Kami teruskan pencarian kami. Baca panduan. Baca alamat. Baca peta. Pusing. Patah balik. Masuk lorong. Keluar balik. Fuh!!! :(
|
Sawah padi ini di tepi jalan raya dan bersebelahan dengan kilang dan pasaraya |
|
Pasaraya yang kami lalui ini penuh dengan iklan dan warnanya amat terang dan menyakitkan mata |
|
Kami lalu kawasan rumah-rumah |
Kaki kami sudah terasa lenguh tetapi kami masih tidak jumpa masjid yang dicari. Kemudian kami melalui jalan berbukit berdekatan dengan kawasan perumahan. Tak ada seorang pun orang yang lalu lalang di situ. Kami mengharapkan dapat melihat orang Islam menuju ke masjid. Tetapi hampa.
Kamipun melalui kawasan rumah-rumah. Anak saya berjalan mendahului saya. Saya merasa kepenatan, jadi saya berjalan perlahan-lahan di belakang anak saya. Tiba-tiba kami berselisih dengan dua orang budak lelaki berusia sekitar 13-15 tahun. Mereka memakai seragam sekolah. Rupa parasnya seperti orang Islam. Kulit mereka sawo matang. Mereka menegur saya yang membuat saya terkejut gembira.
"Assalamualaikum," sapa salah seorang daripada mereka.
"Waalaikumusalam," jawab saya gembira.
"We are Indonesians. Are you looking for the mosque?" tekanya.
Bagai pucuk dicita ulam mendatang, sudah tentu saya menjawab, "Yes!"
"Where is it?" tanya saya.
"Over there! It is not far from here. We just came from there," beritahu mereka sambil menunding jari ke arah sebuah rumah di belakang lorong.
"Have they finished the prayer?" tanya saya.
"There are still people in there, " jawabnya
"Terima kasih," kata saya dengan gembira.
"Sama-sama, " jawab mereka.
Tak sangka kami berjumpa dengan budak Indonesia di sini. Mungkin mereka tinggal berdekatan. Kedua-dua budak Indonesia itu telah menunjukkan masjid yang kami cari. Alangkah lega dan bersyukurnya kami. Kami pun berjalan pantas supaya tidak terlewat.
Menemui Masjid di Toyokawa
Sempatkah kami solat Jumaat? Kami jalan pantas-pantas.
|
Jalan masuk ke masjid |
|
Kami sudah mula nampak masjid itu |
|
Inilah masjid yang kami cari |
|
Inilah nama masjid ini |
|
Pintu masuk masjid di sebelah kiri. Bilik kecil di hadapan ini ialah bilik mengambil wudu. |
Kami bergegas menuju ke masjid dan apabila kami sampai, kami lihat dua orang lelaki sedang keluar dari masjid. Orang lelaki itu memberitahu saya yang tempat solat wanita di tingkat atas. Katanya jemaah sedang membaca doa. Solat Jumaat sudah selesai. Rasa terkilan juga kerana kami terlepas solat Jumaat.
Kami cepat-cepat mengambil wudu dan solat zuhur. Saya solat di tingkat atas. Anak saya di tingkat bawah.
|
Bunga-bunga yang ditanam di luar masjid |
|
Tempat solat wanita di tingkat atas |
Setelah selesai solat, anak saya memberi tahu saya yang Imam menunggu saya. Saya pun turun ke tingkat bawah dan bertemu dengan Imam. Katanya dia harus pergi segera ke Kobe kerana dia bekerja di sana.
Saya sempat berbual-bual dengan Imam itu yang berasal dari Mesir. Katanya dia hanya datang ke masjid ini pada hari Jumaat dan Sabtu disebabkan dia tinggal di Kobe. Dia menjemput kami datang ke masjid lagi pada keesokan hari kerana ada kelas agama. Kami memberitahunya bahawa kami akan meninggalkan Osaka esok hari.
Saya meminta kebenaran Imam untuk mengambil gambar di dalam masjid itu. Imam membenarkan. Hati saya merasa sayu dan sedih kerana masjid itu agak sepi. Kurang jemaah dan kurang terurus. Namun jauh di sudut hati, saya bersyukur kerana ada insan yang membina masjid di sini dan Islam masih boleh diamalkan di Jepun. Semoga Islam dapat disebarluaskan di Jepun.
|
Ruang solat lelaki |
|
Imam masjid ini berasal dari Mesir |
Oleh kerana sudah tengahari, perut kami pun dah mula nyanyi lagi "Chotto mate kudasai". Kamipun tanya Imam, "Di mana restoren halal?" Imam itu memberitahu kami bahawa berdekatan dengan stesen keretapi terdapat restoren yang menghidangkan makanan halal, diusahakan oleh orang Nepal. Nama restoren itu Sagun.
Mendengarkan itu, kamipun mencari restoren tersebut.
Mencari Restoren Halal
Kami jumpa restoren itu, tetapi di dinding bahagain luar restoren itu tidak ada logo halal atau tanda-tanda menggambarkan restoren itu untuk orang Islam. Yang kami lihat adalah gambar-gambar arak dan gajah. Oleh kerana ragu-ragu, kamipun meninggalkan restoren itu.
|
Restoren Sagun yang ini diusahakan oleh orang Nepal |
|
Disamping makanan, arak turut dijual di sini |
|
Hiasan gajah di dinding bahagian luar restoren Sagun |
Lepak di Stesen Monorel Toyokawa
Kami kemudiannya ke stesen Monorel Toyokawa. Kami duduk di kerusi yang disediakan di stesen monorel. Di sini kami makan biskut yang kami bawa dari rumah.
Setelah mengisi perut, kamipun menaiki monorel untuk ke Kota Osaka (Osaka Castle). Untuk itu kami menukar laluan di beberapa stesen termasuklah stesen Umeda.
|
Monorel dari Saito-nishi menuju ke stesen monorel Toyokawa |
|
Jalan ini menuju ke Islamic Centre Osaka. Diambil dari stesen monorel Toyokawa |
|
Landasan monorel |
|
Monorel yang kami naiki sampai dari Saito-nishi |
Sebelum ini kami bertanya pegawai yang bekerja di stesen keretapi Hankyu tentang Osaka Castle. Tetapi pegawai itu tidak tahu. Saya merasa hairan kerana dia tidak tahu Osaka Castle yang menjadi ikon Osaka. Saya berulang kali menyebut "Osaka Castle, Osaka Castle". Pegawai itu pun mengikut sebutan saya, "Osaka Castle? Castle? Castle...?" berulang kali dia menyebutnya tetapi katanya dia tidak tahu.
Saya amat tak berpuas hati kerana dia tidak tahu Osaka Castle yang terkenal itu. Saya lalu mencari gambar Osaka Castle yang terdapat di dalam beg saya. Setelah menemuinya sayapun menunjukkan gambar itu padanya. Sebaik-baik dia melihat gambar Osaka Castle...dia lalu berkata, "Castero!"
Pertama kali mendengar perkataan Castle bertukar menjadi Castero membuatkan saya nak tergelak. Tapi saya tahan...."Oh Castero! Patutlah dia tak faham. Kena cakap dalam telor Jepun rupa-rupanya...Osaka Castero..." kik kik kik :D
Osaka Castero...Osaka Castero...
Dapatkah kami menemui Osaka Castero? Temui saya dan anak saya dalam entri akan datang.