Tagline

A Blog About Traveling Around The World From The Lens and Eyes of A Malaysian-Muslim Woman

Select Your Preferred Language


Select Your Preferred Language
BAHASA MELAYU | ENGLISH

Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini

Adsense



Isnin, 27 Oktober 2014

Backpacker Ciput Main Redah di Jepun (17): Menyapa Osaka Castle Di Dalam Hujan

P etang kian hampir berlabuh. Langit Osaka kelihatan mendung dan tak lama lagi akan menghamburkan titisan hujan. Namun keinginan untuk melihat Istana Kota Osaka atau Osaka Castle atau Osaka Castero enggan pudar barang sejenak. 

Awal-awal pagi "yanushi' (tuan rumah) di Guesthouse Caminoro telah berpesan berkali-kali untuk kami bawa payung. Payung itu kami jinjing seharian walaupun penuh rasa leceh. Kami telahpun keluar rumah di Mikuni sejak 9.30 pagi dan telah menaiki keretapi, monorel dan berjalan kaki mencari masjid di Toyokawa. (Lihat entri lepas DI SINI)

Dengan tambang 240 yen (RM7.26) kami sampai di stesen Morinomiya dari Umeda. Dari situ kami berjalan kaki menuju ke Istana Kota Osaka yang kelihatan tersergam kukuh di atas sebuah bukit. Namun ia kelihatan halus kerana jarak Istana Kota itu dari stesen Morinomiya jauh. Adakah kami akan menapak sejauh itu? 

Nun di hujung sana, di atas bukit, Istana Kota Osaka begitu jauh dari pandangan mata. Bolehkah kami menapak sehingga ke situ?

Kami melalui taman-taman yang terdapat di situ dan berhenti rehat di bangku untuk minum dan mengudap biskut kering. Banyak pokok sakura di situ, tetapi hanya daun yang menghijau. Kalau musim bunga, taman ini pasti ceria dengan warna-warni indah bunga sakura.

Pokok ivy yang menjalar segar di taman berhadapan dengan Istana Kota Osaka
Tanah ini ditutupi dengan pokok ivy hijau yang menjalar
Cuaca makin mendung. Langit Osaka semakin gelap. Istana Kota Osaka kelihatan muram diseliputi awan dan langit mendung

Cuaca semakin mendung. Awan berkepul-kepul seakan-akan sudah terlalu berat menakung air. Tak lama lagi kepulan awan itu akan tiris dan akan berhamburanlah air hujan. Aahhh....!!! Dapatkah kami menuju ke Istana Kota itu? Bertalu-talu pertanyaan ini mengganggu sanubari saya. 

Inilah cabaran yang perlu saya hadapi untuk sampai ke Istana Kota itu dalam keadaan hari akan hujan. Jauh perjalanannya juga satu perkara. Mendaki bukit juga satu hal. Hendak berjalan pantas rasanya sudah tiada kudrat. Faktor usia seolah-olah menyedut tenaga yang ada dalam tubuh dan telah menjadikan pergerakan saya terbatas. 

Ichiban-yagura (menara kecil) yang menjadi benteng pertahanan di Istana Kota Osaka 

Semakin hampir kami mendaki bukit, semakin jelas kami melihat kaki bukit yang di kelilingi air. Semakin ramai juga kami melihat orang menuruni bukit sebagai petanda mereka sudah selesai melawat Istana Kota itu dan hendak pulang. Sedangkan kami baru sampai. Keadaan ini seakan-akan menemplak muka saya. Kami berjalan bertentangan dengan orang ramai. Orang nak pulang, kami baru nak datang. Isshhh!! Cobaan!!!

Peta menunjukkan Istana Kota Osaka yang dilingkari parit besar.  Peta ini terdapat di tepi jalan.
Rinti-rintik hujan berjatuhan di parit besar yang melingkari tembok Istana Kota Osaka 

Apabila kami menghampiri Istana Kota itu, hujanpun mula turun setitik demi setitik lalu membasahi bumi. Kami mengembangkan payung lutsinar yang kami jinjing tadi. Titisan hujan semakin lama semakin laju dan kasar.  Tanah ditakungi air. Kasut kami mula dimasuki air. Kaki seluar kami mulai basah.

Kami berlari untuk berlindung. Bangunan yang ada di situ kami terpa. Orang sudah ramai berlindung di situ. Kami mencelah-celah masuk mencari tempat di anjung. Rupa-rupanya bangunan itu ialah Osaka City Museum. Tetapi ia sudah tutup kerana sudah lewat petang.

Hujan semakin lebat. Kami berteduh di anjung Osaka City Museum
Orang ramai berteduh di anjung Osaka City Museum ketika hujan lebat. Mereka tidak mempunyai payung.

Hujan semakin lebat. Bilakah ia akan berhenti? Kami hanya merenung ke luar dan melihat hujan turun. Istana Kota itu ada di hadapan muzium ini tetapi terlindung disebabkan ada pokok dan dinding. Hari gelap dan kabus tebal juga membuatkan ia tidak kelihatan. 

Kami sudah sampai, tetapi kami tidak dapat melihat Istana Kota itu kerana hujan terlalu lebat. Mungkin ini petanda Pencipta raga ini ingin saya beristirehat dan tidak mengizinkan saya melihat Istana Kota ini walaupun sudah berada di hadapan.

Hujan reda dan orang ramai mula berjalan dalam hujan

Tak lama rupanya hujan lebat itu. Hujan lebat tadi tiba-tiba reda. Saya sudah mula melihat orang yang memiliki payung berjalan di bawah hujan yang reda itu. Tak sabar rasanya saya untuk melihat Istana Kota yang tadinya tertangguh untuk dilihat.

Saya lalu mengembangkan payung dan berjalan perlahan-lahan menuju Istana Kota Osaka yang beberapa tapak sahaja di hadapan saya.

Istana Kota Osaka di sebalik payung lutsinar saya yang dititisi hujan
Hujan semakin reda dan saya dapat melihat Istana Kota Osaka (bahagian hadapan) ketika hujan reda
Atap Istana Kota Osaka yang diukir 
Saduran emas pada atap Istana Kota Osaka
Kota Istana Osaka bahagian hadapan. Saya ambil gambar ini dari bawah tembok batu 
Istana Kota Osaka pernah dimusnahkan oleh serangan musuh dan dibina semula. Ia juga pernah dipanah petir dan dibina semula.
Saya di balik payung lutsinar di Istana Kota Osaka. Saya gembira kerana akhirnya dapat melihat Istana Kota Osaka dari jarak dekat
Saya merenung Istana Kota Osaka yang tinggi ini dari bawah. Saya tidak masuk ke dalam
Istana Kota Osaka mula dibina pada 1583
Kesenian ukiran Jepun
Bumbung yang berlapis-lapis
Burung-burung berterbangan di atap Istana Kota ini selepas hujan berhenti
Ini bahagian belakang Istana Kota Osaka
Istana Kota Osaka ini dibina semula berkali-kali dan kini ia berbentuk modern sejak 1997. Di dalamnya ada lif dan dijadikan muzium.
Ini parit besar di bahagian belakang Istana Kota Osaka
Taman hijau ini letaknya di belakang  Istana Kota Osaka. Hujan berhenti sebentar
Saya meninggalkan Istana Kota Osaka melalui jambatan di jalan belakang setelah lebih sejam berada di sini

Meninggalkan Istana Kota Osaka Menuju Ke Osaka Business Park


Kami menghabiskan masa agak lama juga di kawasan Istana Kota Osaka itu. Kami dapat pergi ke belakang kawasan Istana Kota itu dan dapat melihat keindahan bandar Osaka dari atas bukit. Hujan yang tadi turun kini berhenti. Tetapi tak lama kemudian kembali turun dengan renyai-renyai. Stokin saya sudah basah kuyup. Lengan baju saya dan kaki seluar saya juga sudah lencun. Rasa sangat tak selesa.

Kamipun berjalan kaki ke stesen yang terdekat. Apabila melihat peta, kami dapati setesen yang paling dekat ialah Osaka Business Park. Kami harus melalui taman-taman dan Pusat Membeli-belah untuk ke stesen itu. 

Hujan yang tadi berhenti sebentar, turun kembali
Patung ini terdapat di dalam taman di luar kawasan  Istana Kota Osaka
Jalan ini menuju ke Osaka Business Park Station iaitu stesen paling hampir di situ
Peta menunjukkan lokasi Osaka Castle, taman-taman dan stesen Osaka Business Park

Kebasahan dan kesejukan membuatkan perut ini meronta-ronta minta diisi. Apa yang boleh kami makan? Bekalan makanan masak sendiri sudah habis dimakan tengahari tadi. Kami nampak ada Mall di situ dan kami masuk. Kami mencari-cari kedai yang menjual makanan yang boleh kami makan dan memanaskan badan kami.

Kami singgah di Pusat Membeli-belah Business Park Mall kerana kebasahan dek hujan dan kelaparan
McDonald's di Business Park Mall
Hanya ini yang boleh kami makan ketika kesejukan, kebasahan dan kebuluran di Osaka
Kami tak minum Coca-cola tapi tertarik dengan keantikan mesin ini yang terdapat di Osaka Business Park Mall

Begitulah sepetang di Istana Kota Osaka (Osaka Castle) di dalam hujan Osaka. Kami kebasahan dan rasa tidak selesa seluruh badan. Kaki juga terlalu lenguh kerana jauh berjalan kaki. Hari juga sudah senja. 

Malam ini adalah malam terakhir kami di Osaka. Adakah kami akan pulang ke Guesthouse Caminoro dan salin pakaian kami yang basah atau terus jalan sampai pengsan? Ikutilah sambungannya dalam entri akan datang.

...bersambung                                                                               

...baca entri akan datang di sini
[] Backpacker Ciput Main Redah di Jepun (17): Menyapa Osaka Castle di dalam Hujan

Baca kisah sebelumnya di bawah ini:
[] Backpacker Ciput Main Redah di Jepun (14): Dari Kyoto ke Osaka dan Mencari Rumah Untuk Bermalam
[] Backpacker Ciput Main Redah di Jepun (15): Tinggal Bersama Tuan Rumah di Guesthouse Caminoro, Osaka 
[] Backpacker Ciput Main Redah di Jepun (16): Menjejak Masjid di Osaka

31 ulasan:

  1. akak comeyyynyer berpayung lutsinar!hehehe alaaa hujan plak kan...mesti rasa kurang selesa nak berjalan...pasrah jer la...teringat dolu pi Seoul hujan jer...jadi ke hulu ke hilir jalan pakai poncho jer dgn angkut 'anak gajah' kat belakang...tabah btol...hehehe

    BalasPadam
    Balasan
    1. Ha ha ha macam tu pun comey ke? :D Memang rimas bila baju dan seluar basah lencun masa berjalan. Pikul pula anak gajah, ishh...betul-betul kaki jalan he he he...

      Padam
  2. Balasan
    1. Kena gigih walaupun hujan sebab masa mencemburui kita.

      Padam
  3. Saya waktu kecil sering main hujan-hujanan. Tapi kalau kehujanan di Jepang, sampai badan basah semua pasti dingin banget ya Bu Prof. ?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Saya juga Mas...masa kecil suka main hujan. Lepas itu tidur lena.
      Dingin kena hujan bergantung kepada suhunya. Kebetulan ketika kami ke Jepang, baru masuk musim panas. Walaupun kebasahan, tidak dingin, cuma rimas.

      Padam
  4. Kat Jepun kalau musim hujan..biasanya seharian...memang kena bawa payung.. tak boleh tunggu hujan berhenti...

    Sampai juga ke castero tu... omedeto gozaimasu...

    Akhirnya makan makkudonarudo utk mengisi perut... hehe

    BalasPadam
    Balasan
    1. Oh begitu cara hujan di Jepun ya...kena sentiasa bawa payunglah.

      Sampai juga ke Castero he he he ...arigatou gozaimasu :)

      Amboi panjangnya McD dalam nihongo...terkolap lidah menyebutnya :D

      Padam
  5. Cantiknya istana tu dari jauh. Syg la cuaca hujan tp masih cantik lg. Btw kami baru post pasal trip 8 hari di Melbourne & Tasmania. Kalau ada masa jemput singgah di www.thetravelling3o.com :)

    BalasPadam
    Balasan
    1. Cantik istana tu tapi selepas hujan lagi cantik dengan langit biru dan burung terbang di puncak bumbung istana.

      Insya Allah saya akan baca blog thetravelling3o.

      Padam
  6. cantik sungguh istana tu.Hujan ke tak hujan time travel harus gigih.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Ya, cantik istana tu. Hujan pun redah juga sebab mengejar masa.

      Padam
  7. Cantiknya.. titisan hujan pun nmpk cantik.. :)

    BalasPadam
    Balasan
    1. Titisan hujan sebenarnya penuh seni bagi orang yang menghargai keindahan ciptaan-Nya.

      Padam
  8. Prof sangat tabah dan kuat. Kalau saya, saya dah nangis di kaki bukit dah rasanya, hehehehe. Saya pun rasa tak selesa basah2. Nanti asyik nak cari toilet jer.

    Oh, dapat makan begitu pun dah bersyukur sangat kan prof. Susah nak cari yang halal.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Kena kuat semangat sebab dah hampir sampai. Rugi pula rasanya kalau tak dapat melihat dekat. Basah-basah tentu tak selesa. Mujurlah tandas di Jepun bersih, bolehlah kerap masuk.
      Ya, disebabkan makanan halal susah nak cari di Osaka, bekalan makanan masak sendiri dah habis, perut pula lapar terpaksalah makan McD. Begitulah kita bila berada di tempat orang.

      Padam
  9. Assalamualaikum wbt. Saya secara tidak sengaja termasuk ke sini. Apa-apa sahaja mengenai Jepun memang menarik minat (fascinates) saya. Membaca coretan ini mengimbau kembali kenangan saya sewaktu bertugas di Hilton Osaka sekitar tahun 1992 dulu! Tulisan anda sangat menarik dan begitu juga dengan gambar-gambarnya. This will definitely be one of my favourites blog to read...well done!

    BalasPadam
    Balasan
    1. Waalaikumusalam Uncle. Terima kasih kerana singgah di blog ini dan meninggalkan ulasan. Tentu pengalaman Uncle bertugas di Jepun lebih bermakna daripada saya yang hanya mengembara dan singgah sebentar.

      Padam
  10. setiap ayat yg prof dititipkan , tak pernah kecewakan sy ...
    malah mengajar saya lebih menghargai bahasa melayu ..

    tetap akan tggu smapi habes cerita jepun neh ...
    lain dr yg lain !

    BalasPadam
    Balasan
    1. Bahasa Melayu mempunyai keindahan tersendiri. Terpulang kepada kita untuk menggunakannya dengan cara yang sesuai.

      Terima kasih Eda. Teruskan hasrat Eda untuk membaca cerita kembara Jepun saya :)

      Padam
  11. Salam kenal! Blongnya keren! Saya lihat bahwa Anda upload banyak foto travel. Jika Anda mau share dan download foto2 dengan gampang kunjungi page kami di: www.kumpulbagi.com
    Semuanya gratis, cepat dan tanpa limitasi. Anda bisa upload sebanyak files (audio, video, pdf, jpg, dll.), membuat koleksi berkas dan bagikan dengan lainya. Coba servis kami tanpa registrasi :)

    BalasPadam
  12. Balasan
    1. Tak pi. Apa istimewa Tasik Biwa tu? Cer cerita :)

      Padam
  13. Balasan
    1. Nak ke sana? Eloklah tu....bacalah blog ini untuk rujukan.

      Maaf terlambat balas komen ini, sebab terlalu sibuk sekarang ini.

      Padam
  14. Mcm kene repeat jer pergi osaka ni.. sebab pergi time winter hari tu.. kene try spring pulak la.. :D

    BalasPadam
    Balasan
    1. Saya pun macam Time Traveller jugak :) Kena repeat jugak :) Banyak lagi tempat yang tak sempat kami terjah.

      Spring rasanya lebih cantik, eloklah cuba spring pula...

      Padam
  15. ohoiii kena terjah jugak jepun soon...nice sharing... sila sharing byk2 lg.. bleyh guide beginner cam me ni :)

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih Jane. Kalau nak terjah Jepun, jangan lupa rujuk blog ini untuk memudahkan perjalanan.

      Padam
  16. subhanallah...cantiknya kawasan istana lama ni...hijau je.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Istana itu letaknya di atas bukit yang di kelilingi takungan air dan taman. Ketika saya ke situ musim panas, jadi tamannya penuh hijau. Kalau Sai pergi musim bunga, penuh dengan bunga-bunga Sakura yang berwarna putih, merah, merah jambu...tentu cantik....kalau Sai pergi musim luruh, penuh dengan daun-daun bewarna merah, kuning, coklat, jingga... :)

      Padam

Kini giliran anda pula untuk memberi pandangan/ulasan.

Ulasan tanpa nama akan dipadamkan.