Tagline

A Blog About Traveling Around The World From The Lens and Eyes of A Malaysian-Muslim Woman

Select Your Preferred Language


Select Your Preferred Language
BAHASA MELAYU | ENGLISH

Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini

Adsense



Sabtu, 8 Mac 2014

Menyapa Bayu Laut New England, Amerika Syarikat: Mengembara Cara Main Redah dan Memandu di Amerika Utara Sejauh 2,798.2km (Bhg 4)

Ketika pegawai Imigresen di sempadan Kanada-Amerika Syarikat yang bersebelahan dengan Maine memeriksa passport kami dan bertanyakan kami apa yang kami buat di Kanada, saya merasa sedikit cemas. Mr Hubby yang memandu ketika itu menjawab pertanyaan pegawai Imigresen itu. 

"Just visiting the country," jelas Mr Hubby.

Kami semua duduk di dalam kenderaan. Pegawai yang bermuka serius itu melihat muka kami satu persatu dari luar van dan kereta. Lampu suluh di halakan ke muka kami dan ke atas lantai kenderaan.

"What did you bring home?" tanya pegawai Mat Salleh beruniform itu.

"Just souvenirs, " jawab Mr Hubby.

"I need to see what is inside your trunk."

Pegawai itu lalu meminta kami membuka bahagian belakang kenderaan kami. Dia lalu memeriksa barang-barang di dalam kenderaan. Apa yang ada di dalamnya? Suspensnya saya ketika itu, manalah tahu ada barang terlarang sesat dalam kenderaan kami.

Satu demi satu barang-barang di dalam belakang van kami diselak-selak. Apa yang dilihat pegawai Imigresen itu? Cuma periuk belanga, pinggan mangkuk, makanan, pakaian busuk kami dan stroller yang dilihatnya. Pegawai yang tadinya kelihatan serius, kini tidak lagi begitu serius.

Lalu dia berkata, "I let you guys go now." 

"Thank you. You have a nice day," jerit kami gembira.

"You too," katanya.

Hah LEGA!

Kamipun meninggalkan Kanada dan memandu meredah malam buta memasuki Maine yang letaknya di Amerika Syarikat.


Maine—The Pine Tree State


"Wow! Cantiknya!" Pastinya saya menjerit begini apabila masuk ke Maine. Tapi tidak. Tidak. Tidak. Saya tidak berkata tentang kecantikan Maine ketika itu. Saya cuma merasa sedikit seram. Apa tidaknya, kami sampai di sempadan Kanada-Amerika selepas tengah malam buta. Memang betul-betul buta. Jalan di sempadan sangatlah gelap-gelita serta sunyi. Tiada kenderaan atau rumah di sepanjang jalan. Di keliling hanya hutan belantara pokok pine. Patutlah Maine juga dipanggil The Pine Tree State.

Yang nampak ketika itu adalah jalan raya yang kecil disuluh oleh cahaya lampu van sewa kami. Saya amat risau kalaulah kenderaan kami rosak atau tayarnya pancit. Siapalah yang akan menolong kami di malam buta yang tiada satupun manusia atau kenderaan lalu-lalang. Walaupun ejen kereta sewa kami itu AAA adalah ejen yang sangat establish, namun di tempat yang sunyi dan jauh dari orang ramai ini, tentu ia akan memakan masa dan bermasalah. Filem seram Pet Sematary adaptasi novel seram karya Stephen King mula menghantui fikiran saya. Ini disebabkan penggambaran filem horror ini dibuat di Maine.

Mr Hubby memandu bergilir-gilir dengan Nik dan saya tidak dapat lagi menjadi co-pilot atau berbual-bual untuk menghilangkan kebosanannya memandu. Anak saya di dalam car seat sedang tidur. Dia kena duduk di dalam car seat. Ini adalah undang-undang yang wajib di Amerika Syarikat bagi kanak-kanak 5 tahun ke bawah. Shima dan anak-anak juga tidur di belakang. Taufik dan Marina mengekori kami dengan kereta dari belakang. Suasana sunyi dan sejuk membuatkan saya rasa sangat mengantuk. Saya tertidur duduk di kerusi.



Apabila hari sudah siang barulah saya dapat melihat keindahan New England.  New England adalah negeri-negeri di bahagian Timur Laut Amerika Syarikat seperti Maine, New Hampshire, Vermont, Massachusetts, Rhode Island dan Connecticut. Kebanyakannya terletak di pinggir lautan Atlantik. New England pernah saya kaji dalam subjek Georgafi di sekolah Menengah. Saya tahu tentang kegiatan nelayan Maine dengan hasil tangkapan seperti halibut, herring, trout, mackerel, tuna, salmon, shad dan cod dalam buku Georgrafi. 

Maine mempunyai pantai yang panjang, pulau-pulau yang berbatuan dan berbukit-bukau. Apabila kami sampai di Maine, saya amat gembira kerana tidak menyangka saya sudah sampai di tempat cantik ini. Buku Georgrafi New England terbentang di hadapan saya. Tapi ini adalah sebuah buku yang sangat besar, buku yang sebenar dan nyata. Dan saya menghirup udaranya dan bernyawa di dalamnya.

Hero-hero kami bergambar di University of Southern Maine

Kami singgah di universiti yang terdapat di tempat itu. University of Southern Maine adalah antara universiti yang kami tuju dan lihat. Kami bergambar di papan tanda universiti itu kerana mungkin inilah pertama kali dan yang terakhir kami dapat datang ke sini.

Memang benar, walaupuan kembara main redah kami di Amerika Utara telah berlalu 22 tahun yang lalu,  sehingga hari ini kami belum lagi berpeluang ke sana lagi.


Portland dan Rumah Api


Portland kota terbesar di Maine
Kawasan restoren tepi pantai di Portland

Kami menuju ke Portland iaitu kota terbesar di Maine. Oleh kerana Portland adalah di pinggir laut, maka makanan laut amat terkenal di sini terutamanya lobster. Tapi kami tidak makan lobster itu kerana ragu-ragu dengan campuran masakannya yang mungkin mengandungi wain. Restaurant tepi pantai dengan bendera gambar lanun dapat kami lihat dengan banyaknya. Ketika kami sampai di sini cuaca agak panas. Kami singgah sebentar sahaja di sini dan merayau-rayau melihat pemandangan.

Rumah Api Portland
Cenderamata yang saya beli di Portland

Di tebing laut Portland ada banyak rumah api. Sebuah Rumah Api yang kami lawat ialah Rumah Api Portland. Ia adalah sebuah rumah api yang bersejarah di Maine. Ia telah dibina pada 1787. Letaknya di Cape Elizabeth, di kepala tebing berbatuan menghadap Casco Bay.

Bayu laut membelai-belai wajah kami. Lautan Atlantik yang luas membiru dan ombak yang memukul batuan tebing membuatkan saya seperti berada di dalam filem romantik The Butcher's Wife lakonan Demi Moore.

Cantiknya rumah api itu. Tingginya 24 meter. Pemandangan sekelilingnya juga indah permai. Kami mengabadikan gambar di sini. Kemudiannya membeli cenderamata bergambar rumah api tersebut yang dibuat daripada logam nipis bersalut emas yang diletakkan di atas baldu biru. Sehingga kini saya menyimpannya.


New Hampshire—The Granite State


Di lebuh raya New Hampshire

Setelah itu kami melalui New Hampshire. Kami tidak menghabiskan masa yang lama di New Hampshire. Kami cuma mengambil gambar di papan tanda Welcome to New HamphsireThe Granite State sebagai kenangan kami pernah melalui negeri ini. Mungkin ini pertama dan terakhir?

Seharian kami di Maine dan belum lagi merehatkan badan. Kami menuju ke Boston yang letaknya di Massachusetts. Di sana ada banyak campground. Kami mencari-carinya. Badan yang penat dan minta dimandikan membuatkan kami tidak sabar-sabar untuk segera berjumpa dengan campground di Boston. Teruja benar kami. Kami hendak menginap di kabin kayu yang letaknya dipinggir sungai atau tasik dan kami boleh memancing. 


Memasuki Massachusetts  dan Mencari Campground


Lewat petang kami masuk ke Massachusetts. Kami menemui Boston Campground yang kami cari. Ia letaknya agak jauh dari kota Boston. Kedudukannya di dalam belukar hijau. Hari sudah senja ketika itu. Seperti biasa hero-hero kami melakukan rundingan dengan pemilik kabin. Setelah bersetuju dengan harga yang ditawarkan, walaupun tidaklah murah sangat berbanding dengan motel, kami tetap mahu menginap di situ. Ini disebabkan kami ingin sangat merasa tidur di log cabin

Kawasan campground itu amat luas. Ada banyak cabin dan khemah serta motor home di situ. Ada banyak kemudahan seperti bilik air yang diletakkan setempat dan dikongsi bersama, tempat barbeku dan picnic table. Nampaknya  campground ini tidak ada sungai. Aah...tak bolehlah kami memenuhi hasrat kami memancing. Terkilan juga...tapi apa boleh buat?

Kami membawa masuk sleeping bag, bantal dan selimut ke dalam kabin kerana ini semua perlu dibawa sendiri. Cuma ada bunk bed sahaja dalam kabin itu. Setiap keluarga memilih sebuah kabin. Kami memasak dan makan di luar kabin serta menaiki buaian yang disediakan.

Oleh kerana pada waktu malam cuaca sejuk dan badan kami penat kamipun tidur awal.


Log cabin kami di Boston Campground
Persekitaran Boston Campground

Main buai di log cabin

Merayau di Boston, Massachusetts


Havard University, Boston University dan MIT

Boston terkenal dengan universiti-universiti terkemuka seperti Havard University, Boston University dan Massachusetts Institute of Technology (MIT). Jadi kami mengambil peluang ini untuk melihat-lihat universiti terkemuka ini.

Tram di kota Boston 1992
Suasana di kota Boston amat menarik hati kami. Ia agak berlainan dengan kota-kota lain di Amerika Syarikat. Ia mempunyai tram di atas jalan raya dan bangunan di kota ini mempunyai senibina yang unik.

Meredah kota Boston yang penuh dengan cafer, bar dan universiti yang sangat popular

Kami juga merayau meredah kota Boston melihat cafe, pub dan kedai. Antara cafe yang terkenal ialah Hard Rock Cafe dan Cheers. Cheers ialah pub yang digunakan dalam penggambaran sitcom  televisyen Cheers dan sangat popular pada tahun 1980an. Kami cuma lihat dari luar sahaja, tak masuk.

Cuaca panas kota Boston tidak membuat kami kalah meredah Boston Tea Party di Pelabuhan Boston tempat sejarah Revolusi Amerika diabadikan

Kami kemudiannya ke tepi laut melihat teluk dan menaiki kapal Perang Dunia II yang berlabuh di Boston Habor. Bayu teluk meniup wajah kami. Ada banyak teluk di negeri ini. Patutlah Massachusetts dipanggil The Bay State.

Kami sempat ke Boston Tea Party menyaksikan peninggalan sejarah pembuangan teh ke dalam laut di pelabuhan Boston sebagai protes politik dalam peristiwa Revolusi Amerika 1773. Kami semua belajar sejarah pembuangan teh ini dalam kelas Sejarah di  Sekolah Menengah di Malaysia. Jadi seronok sangat dapat melihat tempat bersejarah ini dengan mata kepala sendiri.

Setelah dua hari kamipun meninggalkan kota Boston yang indah dan penuh sejarah itu menuju ke kota New York pula. Kami harus meninggalkan Massachusetts walaupun belum puas meredahnya. Tapi sekurang-kurangnya saya telah berada dua hari di Massachusetts "And Massachusetts is one place I have seen. I will remember Massachusetts..." Lagu Massachusetts oleh Bee Gees mengiang-ngiang di telinga saya:

Feel I'm goin back to Massachusetts,
Somethings telling me I must go home.
And the lights all went out in Massachusetts
The day I left her standing on her own.

Tried to hitch a ride to San Francisco,
Gotta do the things I wanna do.
And the lights all went out in Massachusetts
They brought me back to see my way with you.

Talk about the life in Massachusetts,
Speak about the people I have seen,
And the lights all went out in Massachusetts
And Massachusetts is one place I have seen.

I will remember Massachusetts...

Rhode Island—The Ocean State


Kami pernah berada di Rhode Island - The Ocean State

Dalam perjalanan menuju ke New York kami melalui Rhode Island sebuah lagi negeri dalam wilayah New England.  Rhode Island adalah negeri paling kecil di Amerika Syarikat. Ia letaknya di pinggir Lautan Atlantik. Ia bukanlah sebuah pulau tetapi negeri di tanah besar. State nickname bagi Rhode Island ialah The Ocean State. Kami bercadang tidak mahu meredah Rhode Island, cuma lalu sahaja di negeri itu.

 

 

Connecticut—The Constitution State


Kemudiannya kami memandu ke New Haven, Connecticut. New Haven bukanlah ibu negeri Connecticut, tetapi kami ke situ kerana ingin melihat universiti terkenal yang ada di situ.

Poskad Yale University yang saya beli di Yale


Di New Haven kami melihat Yale University. Yale ialah universiti ketiga paling tua di Amerika Syarikat. Ia telah ditubuhkan sejak abad ke-17. Saya sangat terkesima serta terpukau melihat senibina bangunan universiti ini yang sangat antik, indah dan penuh seni. 

Poskad bangunan di Yale University

Yale telah melahirkan alumni dan elit terkemuka seperti Presiden Amerika Syarikat iaitu William Howard Taft, Gerald Ford, Bill Clinton dan George W. Bush.

Sehari sahaja kami di New Haven. Kami kemudiannya meneruskan perjalanan ke kota New York pula. Sampaikah kami ke kota New York, kota terbesar di dunia ketika  itu? 

...bersambung


2 ulasan:

  1. Prof ada menonton drama bersiri Once Upon A Time yang kini menginjak ke siri ke 4? Plot drama ni di Maine (mcm tiada kaitan pla kan: terlintas saja bila tulisan Prof menyentuh tentang Maine)

    BalasPadam
    Balasan
    1. Saya tak tengok Once Upon A Time, cuma tengok promo saja ~ banyak guna special effects kan.
      Maine tempat yang cantik dan selalu dijadikan lokasi penggambaran filem.

      Padam

Kini giliran anda pula untuk memberi pandangan/ulasan.

Ulasan tanpa nama akan dipadamkan.