T
ahukah anda bahawa lombong bijih timah bawah tanah terpanjang dan terdalam di dunia letaknya di negara kita? Lombong bijih bawah tanah itu letaknya di Sungai Lembing, Kuantan, Pahang.
|
Pekan Sungai Lembing yang mendapat jolokan "pekan koboi" |
Saya ke sana pada 1 Mac 2014 baru-baru ini. Saya pergi bersama keluarga dan kawan saya Hajah Salwa yang memiliki Wilayah Utara Travel Sdn Bhd. Jadi kami pergi beramai-ramai dengan sebuah bas dari Penang.
|
Masjid Jamek Sungai Lembing |
Mula-mula kami ke Masjid Jamek Sungai Lembing kerana kami diundang untuk menghadiri Karnival Falak. Kedatangan kami dinanti-nantikan dan apabila sampai kami disambut oleh pengajur karnival dengan tangan terbuka. Kami dijamu dengan sarapan, makan tengahari dan malam. Sudah tentu masakan tradisional Pahang! :)
|
Menimba ilmu tentang planet dan arah kiblat yang betul |
Dalam karnival itu kami mendengar ceramah tentang cara yang betul melihat arah kiblat dan mempelajari tentang planet.
Muzium Sungai Lembing
|
Bungalow Pengurus PCCL di atas bukit ini dijadikan Muzium Sungai Lembing |
Kemudian kami ke muzim Sungai Lembing untuk mengetahui sejarah perlombongan bijih timah di situ. Dengan memasuki muzium ini barulah kami mengetahui sejarah Sungai Lembing dan kekayaan hasil buminya.
|
Sejarah Sungai Lembing dan perusahaan bijih timahnya |
|
Pekerja di Sungai Lembing kebanyakanya adalah mat salleh |
Lombong bijih di Sungai Lembing ini mula beroperasi pada tahun 1888. Ia diusahakan oleh Syarikat PCCL milik orang Inggeris dan ramai komuniti Inggeris di sini. Mereka mengaut keuntungan tahun demi tahun akibat kenaikan harga timah dunia. Perkembangan perlombongan yang menggalakan berlaku di antara tahun 1915 hingga 1926. Sehingga 1915 keluasan lombongnya ialah 40 batu dan dalamnya sehingga 1,200 kaki.
Sungai Lembing kemudiannya menjadi sebuah bandar yang mewah dan sofistikated. Terdapat pejabat, rumah rehat, kedai bebas cukai, club house, hospital, sekolah, panggung wayang dan kilang di sini.
Kemudian PCCL mengalami kemerosotan pada tahun 1930an akibat kemelesetan ekonomi dunia dan keadaan kembali pulih beberapa tahun tetapi akhirnya ditutup pada 1986.
|
Alatan janakuasa untuk perlombongan |
|
Alat-alat untuk kegunaan perusahaan melombong |
|
Replika lombong bijih |
|
Replika jalan keretapi bawah tanah |
|
Pahat dan penyangkut untuk kerja-kerja melombong |
|
Timba untuk mengisi batu-batu dan bijih dari kolong lombong |
|
Dulang membijih |
|
Relau |
Lombong Bijih Timah Bawah Tanah Terpanjang Di Dunia
Kami kemudiannya ke lombong bijih bawah tanah yang terpanjang di dunia. Cuaca pada masa ini panas kerana kemarau. Saya sangkakan kalau masuk ke dalam lombong bawah tanah ini tentu panas dan peredaran udaranya kurang.
Apabila sampai di kawasan lombong itu kami lihat ada banyak terowong di situ. Apabila digabungkan keseluruhan terowong ini panjangnya ialah 322km. Jauhnya lombong ini adalah melebihi perjalanan dari Kuantan ke Kuala Lumpur. Wah panjangnya!
|
Van yang kami naiki ke lombong bijih bawah tanah terpanjang dan terdalam di dunia. |
|
Papantanda ini terdapat di bahagian pintu masuk |
|
Pintu masuk terowong Tei Pei Tong |
Lombong bijih timah Sungai Lembing ini mendapat jolokan "El Dorado of the East." Kami masuk melalui terowong Tei Pei Tong. Untuk memasukinya kami boleh memilih untuk berjalan kaki atau naik keretapi. Kami pilih naik keretapi. Keretapi itu ada di luar pintu terowong bawah tanah itu. Ia sangat antik. Teringinnya nak naik. Tetapi ketika itu roda keretapi itu rosak. Kami kecewa.
"Kenapalah ia rosak masa kami datang jauh-jauh ni?" keluh kami.
Kami lalu meminta pekerja di situ memperbaikinya.
"Berapa lama nak repair?" tanya kami.
"Tak lama, habis repair roda ni dah boleh naiklah," kata pekerja di situ.
Oleh kerana tertarik untuk merasai pengalaman menaiki keretapi antik yang digunakan oleh pekerja lombong itu kami sanggup menunggu untuk diperbaiki.
|
Menanti roda keretapi antik lombong bijih diperbaiki |
Setelah menunggu untuk diperbaiki lebih kurang 15 minit, iapun siap untuk dinaiki.
Seronoknya kami dapat naik keretapi antik itu masuk ke dalam terowong. Yay! Tapi sekejap je dah sampai. Tak puas!
|
Alah kenapa dah sampai? |
Setelah itu kamipun berjalan kaki di dalam lombong bawah tanah itu. Gelapnya samar-samar! Ada lampu di sepanjang dinding terowong. Suhunya sejuk. Macam air-cond! Peredaran udaranya sempurna kerana ada liang-liang udara dibina di dinding sejak dahulu. Seronoknya kami berada di dalamnya dengan suhu macam ini. Rasa tak mahu keluar. Sangkaan kami yang lombong bawah tanah ini panas dan peredaran udaranya kurang ternyata salah.
|
Lorong dalam lombong bijih bawah tanah El Derado of the East |
|
Lorong lombong bjih bawah tanah ini panjang dan sejuk |
|
Informasi di dinding terowong tentang Sungai Lembing yang hebat |
Banyak informasi yang kami perolehi ketika memasuki lorong di bawah
tanah El Derado of the East ini.
|
Lubang dan laluan untuk mendapatkan bijih |
Barulah kami mengetahui bahawa bijih bukan sahaja dikorek menggunakan
kapal korek di lombong seperti di Lembah Kinta atau di Taiping Perak, tetapi bijih juga diperolehi melalui
pengorekan tanah di bawah tanah. Bijih timah itu diperolehi dengan memecahkan batu-batu yang terdapat di lombong ini.
|
Bumbung, tangga dan kabel dalam terowong bawah tanah |
Terdapat juga staletit dan stalemit di bumbung terowong. Ada kalanya kami menaiki tangga menuju ke bahagian atas dan melihat cara pelombong menggunakan kabel, syaf dan lif untuk turun-naik. Dapatlah kami membayangkan kerja-kerja pelombongan bijih
bawah tanah.
|
Patung menggambarkan aktiviti pelombong haram yang mencuri bijih timah di sini pada tahun 1987 |
Di satu sudut bahagian lombong itu yang dinamakan "Lubang Sejuta Ringgit", ada tayangan video tentang aktiviti pelombongan haram. Pelombong itu telah mencuri bijih di sini dalam jangka masa yang lama bermula pada tahun 1987 (selepas lombong ini ditutup dengan rasmi). Dianggarkan jumlah curian itu bernilai jutaan ringgit. Sehingga kini pelombong itu tidak diketahui dan mungkin sudah menjadi kaya-raya di luar sana.
|
Lubang yang dikorek untuk mendapatkan bijih secara haram menjadikan ia tidak rata dan tidak stabil. Lubang ini diterangi dengan lampu merah dan dipagari. |
|
Lubang yang digunakan untuk mengorek bijih bawah tanah ini amat jauh dan dalam. Ia juga ditebuk dari arah atas |
Ketika memasuki lombong bijih bawah tanah ini, saya dan anak-anak teringatkan pengalaman kami memasuki lombong emas di Ballarat, Victoria, Australia. Klik
di sini untuk imbas kembali. Suasananya hampir sama tetapi perjalanan memasuki lombong bijih bawah tanah Sungai Lembing ini lebih lama dan panjang berbanding dengan yang di Australia. Pengalaman yang amat berbaloi dan penuh ilmu! Anda tak teringin ke sinikah? Bantulah Malaysia maju dalam pelancongan!
...bersambung
Menarik ni kak.sy xtau kewujudan tmpt ni..hehe nkpi la gk nnti...thanks for the info ye! =)
BalasPadamKami semuapun tak tahu pasal tempat ini pada mulanya. Dah pergi baru tahu. Itulah sebabnya saya tulis pasal lombong ni. Tak ramai orang tulis pasal ni, yang ada pun dalam bahasa Inggeris je.
PadamTeringin nak naik keretapi tu... Best nampaknya.
BalasPadamBest naik keretapi lombong sebab antik dan unik...tapi tak puas sebab sekejap je.
PadamBest nya. Ada.sambungan x?
BalasPadamAda sambungannya. Ada 3 siri untuk Sg Lembing yang saya dah tulis. Jemputlah baca entri-entri itu :)
PadamSkrg ni...bijih timah ada lagi tapi harga dia dh jatuh..tapi mungkin aka stabil balik..dan bijih timah akan dilombong semula
BalasPadamYa, saya setuju dgn Razif.
Padam