Tagline

A Blog About Traveling Around The World From The Lens and Eyes of A Malaysian-Muslim Woman

Select Your Preferred Language


Select Your Preferred Language
BAHASA MELAYU | ENGLISH

Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini

Adsense



Isnin, 27 Oktober 2014

Backpacker Ciput Main Redah di Jepun (17): Menyapa Osaka Castle Di Dalam Hujan

P etang kian hampir berlabuh. Langit Osaka kelihatan mendung dan tak lama lagi akan menghamburkan titisan hujan. Namun keinginan untuk melihat Istana Kota Osaka atau Osaka Castle atau Osaka Castero enggan pudar barang sejenak. 

Awal-awal pagi "yanushi' (tuan rumah) di Guesthouse Caminoro telah berpesan berkali-kali untuk kami bawa payung. Payung itu kami jinjing seharian walaupun penuh rasa leceh. Kami telahpun keluar rumah di Mikuni sejak 9.30 pagi dan telah menaiki keretapi, monorel dan berjalan kaki mencari masjid di Toyokawa. (Lihat entri lepas DI SINI)

Dengan tambang 240 yen (RM7.26) kami sampai di stesen Morinomiya dari Umeda. Dari situ kami berjalan kaki menuju ke Istana Kota Osaka yang kelihatan tersergam kukuh di atas sebuah bukit. Namun ia kelihatan halus kerana jarak Istana Kota itu dari stesen Morinomiya jauh. Adakah kami akan menapak sejauh itu? 

Nun di hujung sana, di atas bukit, Istana Kota Osaka begitu jauh dari pandangan mata. Bolehkah kami menapak sehingga ke situ?

Kami melalui taman-taman yang terdapat di situ dan berhenti rehat di bangku untuk minum dan mengudap biskut kering. Banyak pokok sakura di situ, tetapi hanya daun yang menghijau. Kalau musim bunga, taman ini pasti ceria dengan warna-warni indah bunga sakura.

Pokok ivy yang menjalar segar di taman berhadapan dengan Istana Kota Osaka
Tanah ini ditutupi dengan pokok ivy hijau yang menjalar
Cuaca makin mendung. Langit Osaka semakin gelap. Istana Kota Osaka kelihatan muram diseliputi awan dan langit mendung

Cuaca semakin mendung. Awan berkepul-kepul seakan-akan sudah terlalu berat menakung air. Tak lama lagi kepulan awan itu akan tiris dan akan berhamburanlah air hujan. Aahhh....!!! Dapatkah kami menuju ke Istana Kota itu? Bertalu-talu pertanyaan ini mengganggu sanubari saya. 

Inilah cabaran yang perlu saya hadapi untuk sampai ke Istana Kota itu dalam keadaan hari akan hujan. Jauh perjalanannya juga satu perkara. Mendaki bukit juga satu hal. Hendak berjalan pantas rasanya sudah tiada kudrat. Faktor usia seolah-olah menyedut tenaga yang ada dalam tubuh dan telah menjadikan pergerakan saya terbatas. 

Ichiban-yagura (menara kecil) yang menjadi benteng pertahanan di Istana Kota Osaka 

Semakin hampir kami mendaki bukit, semakin jelas kami melihat kaki bukit yang di kelilingi air. Semakin ramai juga kami melihat orang menuruni bukit sebagai petanda mereka sudah selesai melawat Istana Kota itu dan hendak pulang. Sedangkan kami baru sampai. Keadaan ini seakan-akan menemplak muka saya. Kami berjalan bertentangan dengan orang ramai. Orang nak pulang, kami baru nak datang. Isshhh!! Cobaan!!!

Peta menunjukkan Istana Kota Osaka yang dilingkari parit besar.  Peta ini terdapat di tepi jalan.
Rinti-rintik hujan berjatuhan di parit besar yang melingkari tembok Istana Kota Osaka 

Apabila kami menghampiri Istana Kota itu, hujanpun mula turun setitik demi setitik lalu membasahi bumi. Kami mengembangkan payung lutsinar yang kami jinjing tadi. Titisan hujan semakin lama semakin laju dan kasar.  Tanah ditakungi air. Kasut kami mula dimasuki air. Kaki seluar kami mulai basah.

Kami berlari untuk berlindung. Bangunan yang ada di situ kami terpa. Orang sudah ramai berlindung di situ. Kami mencelah-celah masuk mencari tempat di anjung. Rupa-rupanya bangunan itu ialah Osaka City Museum. Tetapi ia sudah tutup kerana sudah lewat petang.

Hujan semakin lebat. Kami berteduh di anjung Osaka City Museum
Orang ramai berteduh di anjung Osaka City Museum ketika hujan lebat. Mereka tidak mempunyai payung.

Hujan semakin lebat. Bilakah ia akan berhenti? Kami hanya merenung ke luar dan melihat hujan turun. Istana Kota itu ada di hadapan muzium ini tetapi terlindung disebabkan ada pokok dan dinding. Hari gelap dan kabus tebal juga membuatkan ia tidak kelihatan. 

Kami sudah sampai, tetapi kami tidak dapat melihat Istana Kota itu kerana hujan terlalu lebat. Mungkin ini petanda Pencipta raga ini ingin saya beristirehat dan tidak mengizinkan saya melihat Istana Kota ini walaupun sudah berada di hadapan.

Hujan reda dan orang ramai mula berjalan dalam hujan

Tak lama rupanya hujan lebat itu. Hujan lebat tadi tiba-tiba reda. Saya sudah mula melihat orang yang memiliki payung berjalan di bawah hujan yang reda itu. Tak sabar rasanya saya untuk melihat Istana Kota yang tadinya tertangguh untuk dilihat.

Saya lalu mengembangkan payung dan berjalan perlahan-lahan menuju Istana Kota Osaka yang beberapa tapak sahaja di hadapan saya.

Istana Kota Osaka di sebalik payung lutsinar saya yang dititisi hujan
Hujan semakin reda dan saya dapat melihat Istana Kota Osaka (bahagian hadapan) ketika hujan reda
Atap Istana Kota Osaka yang diukir 
Saduran emas pada atap Istana Kota Osaka
Kota Istana Osaka bahagian hadapan. Saya ambil gambar ini dari bawah tembok batu 
Istana Kota Osaka pernah dimusnahkan oleh serangan musuh dan dibina semula. Ia juga pernah dipanah petir dan dibina semula.
Saya di balik payung lutsinar di Istana Kota Osaka. Saya gembira kerana akhirnya dapat melihat Istana Kota Osaka dari jarak dekat
Saya merenung Istana Kota Osaka yang tinggi ini dari bawah. Saya tidak masuk ke dalam
Istana Kota Osaka mula dibina pada 1583
Kesenian ukiran Jepun
Bumbung yang berlapis-lapis
Burung-burung berterbangan di atap Istana Kota ini selepas hujan berhenti
Ini bahagian belakang Istana Kota Osaka
Istana Kota Osaka ini dibina semula berkali-kali dan kini ia berbentuk modern sejak 1997. Di dalamnya ada lif dan dijadikan muzium.
Ini parit besar di bahagian belakang Istana Kota Osaka
Taman hijau ini letaknya di belakang  Istana Kota Osaka. Hujan berhenti sebentar
Saya meninggalkan Istana Kota Osaka melalui jambatan di jalan belakang setelah lebih sejam berada di sini

Meninggalkan Istana Kota Osaka Menuju Ke Osaka Business Park


Kami menghabiskan masa agak lama juga di kawasan Istana Kota Osaka itu. Kami dapat pergi ke belakang kawasan Istana Kota itu dan dapat melihat keindahan bandar Osaka dari atas bukit. Hujan yang tadi turun kini berhenti. Tetapi tak lama kemudian kembali turun dengan renyai-renyai. Stokin saya sudah basah kuyup. Lengan baju saya dan kaki seluar saya juga sudah lencun. Rasa sangat tak selesa.

Kamipun berjalan kaki ke stesen yang terdekat. Apabila melihat peta, kami dapati setesen yang paling dekat ialah Osaka Business Park. Kami harus melalui taman-taman dan Pusat Membeli-belah untuk ke stesen itu. 

Hujan yang tadi berhenti sebentar, turun kembali
Patung ini terdapat di dalam taman di luar kawasan  Istana Kota Osaka
Jalan ini menuju ke Osaka Business Park Station iaitu stesen paling hampir di situ
Peta menunjukkan lokasi Osaka Castle, taman-taman dan stesen Osaka Business Park

Kebasahan dan kesejukan membuatkan perut ini meronta-ronta minta diisi. Apa yang boleh kami makan? Bekalan makanan masak sendiri sudah habis dimakan tengahari tadi. Kami nampak ada Mall di situ dan kami masuk. Kami mencari-cari kedai yang menjual makanan yang boleh kami makan dan memanaskan badan kami.

Kami singgah di Pusat Membeli-belah Business Park Mall kerana kebasahan dek hujan dan kelaparan
McDonald's di Business Park Mall
Hanya ini yang boleh kami makan ketika kesejukan, kebasahan dan kebuluran di Osaka
Kami tak minum Coca-cola tapi tertarik dengan keantikan mesin ini yang terdapat di Osaka Business Park Mall

Begitulah sepetang di Istana Kota Osaka (Osaka Castle) di dalam hujan Osaka. Kami kebasahan dan rasa tidak selesa seluruh badan. Kaki juga terlalu lenguh kerana jauh berjalan kaki. Hari juga sudah senja. 

Malam ini adalah malam terakhir kami di Osaka. Adakah kami akan pulang ke Guesthouse Caminoro dan salin pakaian kami yang basah atau terus jalan sampai pengsan? Ikutilah sambungannya dalam entri akan datang.

...bersambung                                                                               

...baca entri akan datang di sini
[] Backpacker Ciput Main Redah di Jepun (17): Menyapa Osaka Castle di dalam Hujan

Baca kisah sebelumnya di bawah ini:
[] Backpacker Ciput Main Redah di Jepun (14): Dari Kyoto ke Osaka dan Mencari Rumah Untuk Bermalam
[] Backpacker Ciput Main Redah di Jepun (15): Tinggal Bersama Tuan Rumah di Guesthouse Caminoro, Osaka 
[] Backpacker Ciput Main Redah di Jepun (16): Menjejak Masjid di Osaka

Sabtu, 18 Oktober 2014

Backpacker Ciput Main Redah di Jepun (16): Menjejak Masjid di Osaka

B ersusah-susah itu kadang-kadang menyeronokkan. Untuk itu kami sengaja naik keretapi, monorel dan berjalan kaki. Backpack kami ini adalah satu misi pencarian dan nikmat penderitaan kerana sengaja bersusah-susah. 


Hari ini Jumaat. Pencarian kami hari ini ialah masjid. Kami rancang hendak solat Jumaat di mana-mana masjid di Osaka. Saya serahkan kepada anak saya untuk pilih masjid mana. Ada beberapa masjid di Osaka. Kami cari masjid yang belum (mungkin jarang) disebut-sebut oleh blogger, supaya boleh menambah senarai masjid yang boleh dikunjungi kepada mereka yang berminat melawat masjid.


Pada pagi Jumaat itu kami tidaklah tergesa-gesa. Kami memasak di rumah dahulu. Makan-makan. Rileks-rileks dahulu. Pukul 9.30 pagi baru kami keluar rumah. Yanushi kami sudah berpesan supaya membawa payung kerana katanya hari akan hujan. Pada mulanya kami malas hendak mengheret payung ke sana ke mari, tetapi setelah disuruh beberapa kali, kamipun mencapai payung lutsinar (transparent) yang terletak di tangga rumah inapan kami.

Kami menaiki dua buah keretapi untuk ke masjid. Ini disebabkan kami perlu menukar laluan keretapi. Masjid ini letaknya di Toyokawa.


Naik Keretapi dari Mikuni ke Umeda 


Oleh kerana rumah kami di Mikuni, sudah tentu kami menaiki keretapi dari Mikuni. Kami ke stesen Umeda dahulu.

Tiket dari Mikuni ke Umeda berharga 190 yen
Dalam keretapi Hankyu dari Mikuni ke Umeda.  

Sungai bersih dan lebar ini kami lalui ketika menaiki keretapi

Naik Keretapi dari Umeda ke Stesen #19 (Hankyu Kyoto Line)


Dari Umeda, kami  ke stesen #19 pula. Menaiki keretapi sudah tidak menjadi masalah kami walaupun mesin tiket bertulis Jepun. Ini disebabkan ia mudah difahami. 

Mesin membeli tiket
Tiket dari Umeda 

Naik Monorel Laluan Hankyu Kyoto di Stesen #19 ke Toyokawa 


Setelah menaiki keretapi, kami naik monorel pula. Monorel ini menggunakan Laluan Hankyu Kyoto yang bermula di stesen #19 menuju ke Toyokawa.

Bilik menunggu bertutup disediakan di stesen #19 (Laluan Hankyu Kyoto)
Monorel Hankyu Kyoto baru sampai di platform di stesen #19
Keadaan dalam monorel Hankyu Kyoto dari stesen #19 ke Toyokawa yang tidak ramai penumpang
Tiket 330 yen yang kami beli untuk menaiki monorel dari stesen #19 ke Toyokawa


Di Toyokawa dan Mencari Masjid


Kami sampai sudah tengah hari di Toyokawa. Kamipun berjalan kaki untuk mencari masjid. Kami melalui kedai-kedai, rumah-rumah, bengkel-bengkel kereta dan sawah padi. Yang menarik di sini, sawah padinya terletak di celah-celah pekan, berdekatan pasaraya dan kilang. 

Kami cari lagi masjid itu. Nak tanya orang tetapi tidak ada seorang pun lalu-lalang. Mulalah kami melilau dan sesat. Apabila kami berjumpa saja orang tepi jalan kami terus tanya tanpa segan silu. Kami tunjukkan alamatnya. Tunjukkan petanya. Tapi nampaknya orang di situ kesemuanya tidak tahu bahasa Inggeris. Semua tidak dapat menolong kami. Ada yang terus angkat tangan mengalah dan mengeleng-geleng kepala apabila kami mendekati mereka.

Sudah jauh kami berjalan kaki, mujurlah cuaca tidak panas. Tetapi kami masih tidak jumpa-jumpa masjid yang dicari. Waktu sekarang sudah pukul 1.00 petang. Sudah masuk waktu zohor. Mungkin solat Jumaat dilakukan sekarang. Tapi mungkin juga jemaah di sini solat pada pukul 1.30 petang, sebagaimana di Beijing. 

Kami teruskan pencarian kami. Baca panduan. Baca alamat. Baca peta. Pusing. Patah balik. Masuk lorong. Keluar balik. Fuh!!! :(


Sawah padi ini di tepi jalan raya dan bersebelahan dengan kilang dan pasaraya
Pasaraya yang kami lalui ini penuh dengan iklan dan warnanya amat terang dan menyakitkan mata


Kami lalu kawasan rumah-rumah


Kaki kami sudah terasa lenguh tetapi kami masih tidak jumpa masjid yang dicari. Kemudian kami melalui jalan berbukit berdekatan dengan kawasan perumahan. Tak ada seorang pun orang yang lalu lalang di situ. Kami mengharapkan dapat melihat orang Islam menuju ke masjid. Tetapi hampa.

Kamipun melalui kawasan rumah-rumah. Anak saya berjalan mendahului saya. Saya merasa kepenatan, jadi saya berjalan perlahan-lahan di belakang anak saya. Tiba-tiba kami berselisih dengan dua orang budak lelaki berusia sekitar 13-15 tahun. Mereka memakai seragam sekolah. Rupa parasnya seperti orang Islam. Kulit mereka sawo matang. Mereka menegur saya yang membuat saya terkejut gembira.

"Assalamualaikum," sapa salah seorang daripada mereka.

"Waalaikumusalam," jawab saya gembira.

"We are Indonesians. Are you looking for the mosque?" tekanya.

Bagai pucuk dicita ulam mendatang, sudah tentu saya menjawab, "Yes!" 

"Where is it?" tanya saya.

"Over there! It is not far from here. We just came from there," beritahu mereka sambil menunding jari ke arah sebuah rumah di belakang lorong.

"Have they finished the prayer?" tanya saya.

"There are still people in there, " jawabnya

"Terima kasih," kata saya dengan gembira.

"Sama-sama, " jawab mereka.

Tak sangka kami berjumpa dengan budak Indonesia di sini. Mungkin mereka tinggal berdekatan. Kedua-dua budak Indonesia itu telah menunjukkan masjid yang kami cari. Alangkah lega dan bersyukurnya kami. Kami pun berjalan pantas supaya tidak terlewat.


Menemui Masjid di Toyokawa


Sempatkah kami solat Jumaat? Kami jalan pantas-pantas.

Jalan masuk ke masjid
Kami sudah mula nampak masjid itu
Inilah masjid yang kami cari
Inilah nama masjid ini
Pintu masuk masjid di sebelah kiri.  Bilik kecil di hadapan ini ialah bilik mengambil wudu.


Kami bergegas menuju ke masjid dan apabila kami sampai, kami lihat dua orang lelaki sedang keluar dari masjid. Orang lelaki itu memberitahu saya yang tempat solat wanita di tingkat atas. Katanya jemaah sedang membaca doa. Solat Jumaat sudah selesai. Rasa terkilan juga kerana kami terlepas solat Jumaat. 

Kami cepat-cepat mengambil wudu dan solat zuhur. Saya solat di tingkat atas. Anak saya di tingkat bawah.

Bunga-bunga yang ditanam di luar masjid
Tempat solat wanita di tingkat atas

Setelah selesai solat, anak saya memberi tahu saya yang Imam menunggu saya. Saya pun turun ke tingkat bawah dan bertemu dengan Imam. Katanya dia harus pergi segera ke Kobe kerana dia bekerja di sana. 

Saya sempat berbual-bual dengan Imam itu yang berasal dari Mesir. Katanya dia hanya datang ke masjid ini pada hari Jumaat dan Sabtu disebabkan dia tinggal di Kobe. Dia menjemput kami datang ke masjid lagi pada keesokan hari kerana ada kelas agama. Kami memberitahunya bahawa kami akan meninggalkan Osaka esok hari.

Saya meminta kebenaran Imam untuk mengambil gambar di dalam masjid itu. Imam membenarkan. Hati saya merasa sayu dan sedih kerana masjid itu agak sepi. Kurang jemaah dan kurang terurus. Namun jauh di sudut hati, saya bersyukur kerana ada insan yang membina masjid di sini dan Islam masih boleh diamalkan di Jepun. Semoga Islam dapat disebarluaskan di Jepun.

Ruang solat lelaki
Imam masjid ini berasal dari Mesir

Oleh kerana sudah tengahari, perut kami pun dah mula nyanyi lagi "Chotto mate kudasai". Kamipun tanya Imam, "Di mana restoren halal?" Imam itu memberitahu kami bahawa berdekatan dengan stesen keretapi terdapat restoren yang menghidangkan makanan halal, diusahakan oleh orang Nepal. Nama restoren itu Sagun.

Mendengarkan itu, kamipun mencari restoren tersebut.


Mencari Restoren Halal


Kami jumpa restoren itu, tetapi di dinding bahagain luar restoren itu tidak ada logo halal atau tanda-tanda menggambarkan restoren itu untuk orang Islam. Yang kami lihat adalah gambar-gambar arak dan gajah. Oleh kerana ragu-ragu, kamipun meninggalkan restoren itu.

Restoren Sagun yang ini diusahakan oleh orang Nepal
Disamping makanan, arak turut dijual di sini

Hiasan gajah di dinding bahagian luar restoren Sagun

Lepak di Stesen Monorel Toyokawa


Kami kemudiannya ke stesen Monorel Toyokawa. Kami duduk di kerusi yang disediakan di stesen monorel. Di sini kami makan biskut yang kami bawa dari rumah. 

Setelah mengisi perut, kamipun menaiki monorel untuk ke Kota Osaka (Osaka Castle). Untuk itu kami menukar laluan di beberapa stesen termasuklah stesen Umeda.

Monorel dari Saito-nishi menuju ke stesen monorel Toyokawa
Jalan ini menuju ke Islamic Centre Osaka. Diambil dari stesen monorel Toyokawa
Landasan monorel
Monorel yang kami naiki sampai dari Saito-nishi 

Sebelum ini kami bertanya pegawai yang bekerja di stesen keretapi Hankyu tentang Osaka Castle. Tetapi pegawai itu tidak tahu. Saya merasa hairan kerana dia tidak tahu Osaka Castle yang menjadi ikon Osaka. Saya berulang kali menyebut "Osaka Castle, Osaka Castle". Pegawai itu pun mengikut sebutan saya, "Osaka Castle? Castle? Castle...?" berulang kali dia menyebutnya tetapi katanya dia tidak tahu.

Saya amat tak berpuas hati kerana dia tidak tahu Osaka Castle yang terkenal itu. Saya lalu mencari gambar Osaka Castle yang terdapat di dalam beg saya. Setelah menemuinya sayapun menunjukkan gambar itu padanya. Sebaik-baik dia melihat gambar Osaka Castle...dia lalu berkata, "Castero!"

Pertama kali mendengar perkataan Castle bertukar menjadi Castero membuatkan saya nak tergelak. Tapi saya tahan...."Oh Castero! Patutlah  dia tak faham. Kena cakap dalam telor Jepun rupa-rupanya...Osaka Castero..." kik kik kik :D

Osaka Castero...Osaka Castero...

Dapatkah kami menemui Osaka Castero?  Temui saya dan anak saya dalam entri akan datang.

Tunggu ya.....akan saya ceritakan.


Video Kembara Kami Di Osaka


Tetapi sebelum saya meninggalkan entri ini buat sementara waktu, silalah tonton video yang kami tangkap di Osaka...tengok tau jangan tak tengok :)






...bersambung                                                                                  

...baca entri akan datang di sini
[] Backpacker Ciput Main Redah di Jepun (17): Menyapa Osaka Castle di dalam Hujan

Baca kisah sebelumnya di bawah ini:
[] Backpacker Ciput Main Redah di Jepun (14): Dari Kyoto ke Osaka dan Mencari Rumah Untuk Bermalam
[] Backpacker Ciput Main Redah di Jepun (15): Tinggal Bersama Tuan Rumah di Guesthouse Caminoro, Osaka