Tagline

A Blog About Traveling Around The World From The Lens and Eyes of A Malaysian-Muslim Woman

Select Your Preferred Language


Select Your Preferred Language
BAHASA MELAYU | ENGLISH

Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini

Adsense



Rabu, 22 Februari 2012

Larnaka: Aku Dibawa Lari oleh Pemandu Teksi

Kali ini saya nak cerita kisah saya yang suspen semasa saya di Cyprus. Saya "check out" hotel pada tengahari itu. Teksi yang setiap hari mengambil saya, awal-awal dah datang. Bila saya turun ke lobi dia dah terconggok depan hotel menunggu saya.

Dia sepatutnya membawa saya terus ke lapangan terbang Larnaka, ikut lebuh raya sebagaimana saya datang dahulu. Tetapi tidak. Dia membawa saya ikut jalan kampung, pesisir pantai dan ladang-ladang. Katanya dia mahu saya melihat Cyprus sebab ini hari terakhir saya di Cyprus. Inilah saja peluang saya nak melihat-lihat "the other side of the country."

Kalau ikut "highway, boring," katanya.

Saya hairan juga bila ada orang tiba-tiba baik sangat pada saya.

"Ada udang di sebalik mee ke ni?"

Singgah beli air di sini

Dalam perjalanan itu dia singgah untuk membeli air di kedai. Saya tunggu saja di dalam teksi. Dia belikan saya air. Dia bawa saya ke banyak tempat. Saya pun boleh suruh dia berhenti ambil gambar yang mana saya suka.  Di bawah ini ialah antara tempat-tempat yang saya maksudkan.

Ladang di pinggir jalan

Ketika melalui kampung-kampung itu, saya suspen juga, kalau-kalau pemandu teksi itu bawa saya lari. Dia kata dia hendak bawa saya ke satu tempat yang dia rahsiakan. 

"I want to surprise you", katanya.

Sebahagian hati saya diburu ketakutan dan kebimbangan yang Tuhan sahaja tahu. Macam-macam perkara buruk terlintas di kepala saya. Saya berdoa banyak-banyak semoga Allah sentiasa melindungi saya daripada perkara-perkara buruk. Nauzubillahi min zalik. Ke mana Mamat Cyprus ni nak bawa saya ni?  
Pekan, kampung dan ladang yang saya lalui


Pertanyaan saya itu akhirnya terjawab. Rupa-rupanya saya dibawa ke...

Masjid!

... sebuah masjid! Alangkah gembiranya saya. Alhamdulillah. Inilah masjid yang ingin saya kunjungi kalau berada di Cyprus. 

"I know you like this", katanya. 

Saya ucapkan terima kasih padanya. Pemandu teksi itu memberi saya peluang habiskan masa di masjid itu. Dia menunggu saya di dalam teksi.

Sayapun melawat masjid itu. Hala Sultan Tekke, itulah nama masjid ini. Agak pelik namanya. Hala ertinya ibu saudara (makcik), Sultan itu seseorang yang dihormati, Tekke itu tempat beribadat.

Ketika itu masjid itu dalam pemuliharaan untuk dijadikan salah satu tempat pelancongan. Ketika saya ke situ, tiada siapa yang datang. Sunyi. Di pintu gerbang, di dinding, tertulis ayat-ayat Quran.

Dikatakan masjid itu adalah masjid yang ketiga penting di kalangan orang Islam selepas Masjidil Haram dan Masjidil Nabawi. Tapi saya hairan kenapa saya tak pernah tahu pun tentang ini. Bila saya semak dalam Wikipedia, Wikipedia pun kata masjid ini ketiga/keempat penting dalam Islam. Betul ke? Saya berpendapat maklumat dalam Wikipedia tu tak betul. 

Yang saya tahu masjid yang ketiga penting dalam Islam ialah Masjidil Aqsa (Palestin) dan yang keempat ialah Masjid Quba' (Madinah). Fadhilat solat di keempat-empat masjid ini ada dalam hadis-hadis. 

Tidak pernah pula saya tahu ada hadis tentang Hala Sultan Tekke ni. Tapi kalau saya silap, tolong betulkan saya. Jadi kepada mereka yang taksub sangat dengan Wikipedia, semak-semaklah sikit isi kandungannya. Ada fakta yang salah.

Menara Masjid Hal Sultan Tekke

Masjid Hala Sultan Tekke ini kelihatan tua. Ia dikatakan telah dibina pada 1789. Ibu saudara atau  dalam sumber yang lain mengatakan pengasuh Nabi Muhammad s.a.w. bernama Ummu Haram dikatakan pernah ke situ menaiki keldai. Tiba-tiba terjatuh lalu meninggal di situ. Beliau dikebumikan di situ.

Dikatakan bahawa orang Islam Cyprus sering datang ke situ untuk memberi penghormatan kepadanya. Dia adalah antara wanita yang mati syahid kerana mengikuti rombongan berjihad ke Cyprus. Kalau anda berminat untuk mengetahui kisah bagaimana beliau mati syahid boleh baca: http://www.arabnews.com/variety/islam/article447210.ece


Di dalam Masjid Hala Sultan Tekke

Apabila saya masuk ke dalam masjid itu saya lihat ada permaidani dihamparkan di lantai berhadapan dengan mimbar. Quran diletakkan di atas almari dan rak. 

Makam Ummu Haram di belakang ruang mimbar

Di belakang mimbar terdapat sebuah lagi bilik. Makam Ummu Haram ada di situ.  Ia agak gelap. Makam itu berdinding. Terdapat beberapa helai kain hitam dan hijau dibentangkan di atas makam itu.

Kawasan belakang Masjid Hala SultanTekke

Saya keluar dan melihat di belakang masjid. Terdapat tiga buah kubur di situ. Dikatakan ini adalah kubur-kubur orang ternama di situ.

Kubur di belakang masjid. Tasik garam di bahagian belakang kubur.

Di luar pagar masjid itu saya lihat sebuah tasik garam yang kering. Ia kering  dalam musim panas. Dikatakan bahawa pada musim sejuk, tasik garam ini amat cantik. Burung-burung flamingo datang berehat di situ. Penduduk tempatan pun suka datang berkelah di sini.

Pokok ini diikat dengan sapu tangan

Di satu bahagian belakang masjid saya melihat sebatang pokok yang penuh dengan ikatan sapu tangan di dahan-dahannya. Keadaan seumpama ini telah saya saksikan di tempat-tempat lain di Cyprus. 

Pokok yang diikat dengan sapu tangan terdapat di belakang Masjid Hala Sultan Tekke

Dikatakan pokok ini suci. Penduduk di sini percaya bahawa dengan mengikat saputangan pada pokok suci ini penyakit yang dideritai akan sembuh. Tetapi ini khurafat. Kalau orang Islam yang melakukannya begini bermakna dia telah syirik. Dalam Islam segala amalan dan kepercayaan yang tidak berdasarkan kepada al-Quran, hadith, ijmak dan qias adalah ditolak. 

Quaters perumahan di kawasan masjid

Di sebelah masjid ini ada quaters perumahan. Saya dengar macam ada orang di dalam rumah tu. Mungkin orang itu menjaga masjid ini. Tetapi orang tu tak keluar-keluarpun dari rumahnya. Kalau tidak bolehlah saya tanya-tanyakan pasal masjid ini. 

Apabila saya nak balik, baru ada dua orang pelancong datang melawat masjid tu. Mereka pakai seluar pendek je masuk masjid.

Setelah melawat masjid bersejarah ini saya pun ke lapangan terbang Larnaka untuk terbang balik ke Malaysia.

Masjid Hala Tekke ini rupa-rupanya dekat sangat dengan lapangan terbang Larnaka. Sebelah je.

Lapangan terbang antarabangsa Larnaka

Ingat tak mula-mulanya saya ingin sangat bertemu dengan Profesor Norman dan Profesor AR? Saya amat-amat mengharapkan untuk bertemu dengan mereka.

Namun harapan saya hanya tinggal harapan. Apabila berada di Cyprus, saya tidak dapat bertemu Profesor Norman disebabkan masa yang terlalu cemburu dengan saya. Oleh kerana saya memegang jawatan penting ketika itu saya harus berada di kampus ketika kemasukan siswa baharu ke universiti.  Ada tugas menanti saya.

Lapangan terbang antarabangsa Larnaka yang sempit dan sesak dengan penumpang

Ketika pulang saya juga mempunyai harapan yang tinggi untuk bertemu dengan Profesor AR di Dubai. Tetapi kapalterbang dari Larnaka ke Dubai lewat 4 jam. Jadi penerbangan itupun ditunda.


Transit di Dubai


Apabila saya sampai di Dubai, hanya tinggal 45 minit untuk saya berhenti solat dan mengejar penerbangan seterusnya. Saya terkocoh-kocoh dan berlari-lari dari satu terminal ke satu terminal yang banyak di lapangan terbang Dubai itu. Dahlah pulak tu, terpaksa melalui pemeriksaan kastam.

Ini saya nak ceritakan sesuatu yang cemas tetapi kelakar. Di sinilah ketika Pegawai Kastam di Dubai scan badan saya, badan saya berbunyi. Dua tiga kali saya kena ulang keluar masuk scanner tu. Akhirnya mereka dapati bahawa bunyi itu datang dari kasut saya. Saya disuruh tanggalkan kasut. Kasut saya pun discan.  Saya pun kena ulang sekali lagi jalan melalui scanner. Tetapi berbunyi lagi.

Rupa-rupanya tempat yang berbunyi datangnya dari kaki saya. Peliknya. Ada besi ke dalam kaki saya? Setahu saya kaki saya tak ada besipun. Kemudian mereka berbincang-bincang mengenai kaki saya yang berbunyi. Dua tiga kali mereka scan kaki saya. Tapi kaki saya tetap berbunyi. Bunyi itu datang dari bahagian tulang kaki saya.

Akhirnya mereka "give-up". Mereka berhenti scan kaki saya. Lepas itu barulah mereka lepaskan sayau. Ha..ha..ha.. Kelakarpun ada.

Oleh kerana saya harus mengejar kapalterbang ke Malaysia dalam beberapa minit saya pun terus berlari. Saya kecewa lagi, pertemuan sayau dengan Profesor AR di Dubai tidak diizinkan Allah.


Sampai di KLIA


Sampai di lapangan terbang KLIA, saya discan oleh beberapa pegawai kesihatan, untuk menyemak samada saya dijangkiti virus H1N1 atau tidak. Sekiranya ada, saya kena quarantin. Saya didapati tidak membawa sebarang virus pulang. Alhamdulillah, ia tidak berlaku.

Tetapi selepas sehari kembali ke Malaysia, saya demam. Tetapi ini adalah demam yang biasa saya hadapi setiap kali saya pulang dari luar negara.

Itulah kisah suka duka kembara saya di Cyprus. Kembara yang banyak mendewasakan saya.

Teruslah bersama kembara saya. Entri akan datang adalah entri terakhir untuk kembara saya di Cyprus. Nantikan. 




...bersambung

Sabtu, 18 Februari 2012

Pafos: Kota Purba Peninggalan Alexander the Great

Gereja tua di Yeroskipou

Selepas berada di pantai Petra tou Romiou, saya dibawa oleh pakej pelancongan saya itu ke perkampungan Yeskipou. Di kampung ini saya dibawa melawat Basilica iaitu gereja tua yang masih digunakan.

Kedai menjual makanan tradisional Cyprus di Yeroskipou
Pekan Yeroskipou

Di sekitar Basicila itu terdapat pasaraya, bank dan kedai-kedai yang menjual barang-barang kraftangan  dan kuih tradisi Cyprus yang popular iaitu Turkish Delight dan Loukoumia. Kami dibawa masuk ke dalam kedai menjual kuih ini.

Cafe di tepi jalan Yeroskipou
Di pinggir jalan Yeroskipou

Setelah melawat Yeroskipou saya dibawa ke Pafos. Pafos letaknya di bahagian barat daya pulau Cyprus, kira-kira 57.27 km dari Limassol.

Pafos dahulunya adalah kawasn nelayan yang sepi tetapi telah berubah wajah kepada kawasan pelancongan kerana penemuan tapak-tapak arkeologi yang amat bernilai kepada negara Cyprus.

Pafos mempunyai sejarahnya sendiri. Ia pernah menjadi ibu negeri Cyprus selama tujuh abad di bawah pemerintahan Alexander the Great. Tetapi ibu kota Cyprus kemudiannya berpindah ke Nicosia.

Tapak gereja yang sudah musnah

Saya dibawa ke tapak gereja yang sudah musnah. Dikatakan bahawa Saint Paul pernah datang ke sini untuk menyampaikan ajaran Gospel. Tetapi kemudian dia diikat pada tiang gereja itu dan disebat sebanyak 38 kali. Dia dihukum kerana ketika itu pemerintahnya menolak ajaran Gospel. St Paul mati di situ.

Pantai Pafos

Kemudian saya dibawa ke tepi pantai di Pafos. Saya terpesona dengan keindahan lautnya yang membiru dan kubu pertahanan yang masih utuh berdiri di pesisir pantai. Ia dipanggil Pafos Castle. Saya berpeluang masuk ke dalam castle/kubu ini. Ia harus diseberangi dengan sebuah titi kecil. Amat menyeronokkan. Seolah-olah saya sedang berada di dalam filem-filem Amerika atau Britain yang disetkan di zaman raja-raja  purba yang tinggal di castle yang di kelilingi air dan mesti diseberangi dengan sebuah titi.

Pafos Castle di pesisir pantai Pafos


Kawasan Castle/kubu ini adalah pelabuhan Byzantine yang digunakan untuk mengawal Pafos dari serangan. Ia pernah musnah beberapa kali dan dipulihkan kembali beberapa kali. Ia pernah menjadi pelabuhan pada zaman Rom, kota pada zaman feudal, menara pada zaman Turki (Usman) dan gudang garam pada zaman British. Tetapi sekarang ia tinggal kosong untuk kita lawati. 

Saya masuk ke dalam kota/kubu ini dengan hanya membayar lebih kurang 50 sen sahaja. Saya naik kota itu sehingga ke bahagian atas. Saya menaiki tangga-tangga yang sempit dan kecil untuk ke bahagian atas. Kota ini dibina dengan batu-batu lada. Di atasnya saya dapat melihat laut Mediterranean yang terbentang luas saujana mata memandang. Lensa kamera saya sudah pasti tidak jemu menyorot dan merakam keindahannya.

Di dalam Pafos Castle

Di atas kota ini pernah diletakkan meriam untuk mempertahankan kota ini. Pada zaman pemerintaham Usman bahagian atas ini dijadikan masjid.

Pemandangan di pesisir pantai Pafos dari atas Pafos Castle

 Terdapat ramai pelancong-pelancong kulit putih di situ. Mereka bercuti dan bersantai-santai. Mereka  juga peramah dengan saya.

Kedai cenderamata dan cafe di tepi pantai Pafos

Di tepi pantai tidak jauh dari kubu ini terdapat banyak kedai-kedai cenderamata dan juga kedai-kedai makan. Terasa ingin makan, tetapi tidak yakin dengan kehalalannya. Niat saya itu saya lupakan sahaja.

Saya memasuki kedai-kedai cenderamata, melihat-lihat barang yang dijual. Saya tidak membeli sebarang cenderamata di sini kerana harganya agak mahal berbanding dengan yang terdapat berhampiran dengan hotel di Limassol. Saya bercadang untuk membeli cenderamata di Limassol sahaja.

Tapak arkeologi Pafos ini diiktirafkan oleh UNESCO sebagai warisan dunia

Tidak jauh daripada kedai-kedai ini terdapat satu kawasan yang menarik untuk dilawati. Iaitu tapak arkeologi yang diiktirafkan oleh UNESCO sebagai warisan dunia. Ia mempunyai bangunan-bangunan purba yang telah runtuh akibat gempa bumi.

Dalam bangunan-bangunan ini terdapat mozaik yang disusun rapi oleh pembuatnya. Dikatakan bangunan ini adalah milik orang kaya. Dia telah menempah pembuat mozaik untuk membentukkan lantai rumahnya dengan motif-motif dewa Greek dan cerita-cerita lagenda Greek. Saya dapati ia adalah satu kerja seni yang amat tinggi. Pembuatnya pasti seorang yang tekun.

Mozaik-mozaik ini masih elok. Motif-motifnya masih boleh dilihat dengan jelas. Ia lambang kemewahan orang-orang Pafos suatu ketika dahulu iaitu pada abda ke-3 AD. Rumah-rumah mewah ini dinamakan sempena dengan nama Dewa orang Greek iaitu Dionysus dan Aion.

Di bawah ini saya pamerkan mozaik-mozaik yang saya maksudkan itu untuk dikongsi bersama.

Mozaik bermotifkan dewa-dewa dan lagenda Greek purba pada lantai bangunan 
 Runtuhan binaan di tapak arkeologi Pafos

Itulah kesenian purba yang masih dipelihara di Pafos. Lawatan ini bergitu berharga. Runtuhan seumpama ini pernah saya saksikan di Acropolis ketika melawat Greece pada tahun 1986. Ia mempunyai ciri-ciri  yang hampir sama. Ini dibuktikan melalui senibina, kepercayaan, mitos, seni motifnya, tulisan dan bahasa yang digunakan.

Runtuhan kota berlaku di sini dan sisa-sisa peninggalannya boleh kita jadikan iktibar. Di sini izinkan saya memetik firman Allah:
“Tidak ada suatu negeri pun (yang derhaka penduduknya), melainkan Kami membinasakannya sebelum hari kiamat atau Kami azab (penduduknya) dengan azab yang sangat keras. Yang demikian itu telah tertulis di dalam kitab (Lauh Mahfuz).” (Al-Israak:58)
Ikutilah kembara saya di Cyprus dalam entri yang akan datang. Ada kisah suspen semasa di Cyprus. Akan saya ceritakan nanti.

...bersambung

Selasa, 14 Februari 2012

Petra tou Romiou: Mandi Bogel Malam Jumaat Untuk Awet Muda

Masih lagi di selatan Cyprus. Bas mini yang saya naiki membawa saya ke kampung lain pula.

Waktu sudah tengahari. Bas itu singgah di sebuah kafe tepi pantai yang indah. Kafe itu juga ada jual cenderamata. Saya cuma jamu mata sahaja.

Cafe tepi pantai Petra tou Romiou 

Matahari sangat terik. Tekak saya terasa sangat kering. Saya duduk minum di kafe tepi pantai itu. Saya duduk di tepi tingkap. Saya nampak sebuah patung bogel berdiri dengan gaya seksi di luar tingkap kafe, menghadap laut. Patung Dewi Cinta, agaknya?

Dari tingkap kafe itu saya dapat lihat pantai yang indah. Bak lukisan indahnya. Nama pantai itu ialah Petra tou Romiou. Ia juga tidak jauh dari Pafos iaitu sebuah lagi kota tepi pantai yang bakal saya lawati. Petra tou Romiou ini 25 km dari timur Pafos.

Bunga-bunga musim panas yang terdapat di taman belakang cafe


Setelah minum secawan teh, saya pergi ke belakang kafe dan memasuki taman-taman yang ada di situ. Cantik!

Petra tou Romiou ~ tempat kelahiran Aphrodite dari jarak atas bukit
 

Saya berjalan lagi ke belakang taman. Saya berada di atas tanah tinggi. Dari tanah tinggi ini saya lihat laut Mediterranean yang terbentang luas. Tiga buah bongkah batu kapur kelihatan hampir dengan pantai. Ia terbentuk hasil daripada hakisan air laut. Amat indah. Bagaikan berada di alam fantasi, itulah perasaan saya.

Lazimnya, apabila sesuatu tempat itu terlalu indah, maka timbulah berbagai-bagai kepercayaan.

Inilah tempat kelahiran Aphrodite ~ Dewi Cinta dan Kecantikan ~ dalam jarak dekat


Menurut kepercayaan penduduk di sini, itulah tempat kelahiran Dewi Cinta dan Kecantikan yang bernama Aphrodite. Dewi Cinta dan Kecantikan ini muncul dari buih air laut Mediterranean ini dalam keadaan berbogel.

Aphrodite hanyalah mitos, bukannya sejarah yang benar-benar berlaku, namun kepercayaan kepadanya amat kuat. Sehingga kini tempat ini dianggap keramat. Ada yang mempercayai bahawa untuk seseorang itu kelihatan sepuluh tahun muda dan cantik dia mestilah mandi di sini. Caranya dia mestilah mandi bogel, di tengah-tengah malam, hari Jumaat, 13 haribulan. (Hee ... Seramnya, macam dalam filem Friday the 13th lah pulak). Orang Indonesia kata malam Jumaat kliwon?

Sebuah gambar lukisan tentang seorang wanita mandi di laut Petra tou Romiou. Sumber: camphalfblood.wikia.com 
Gambar wanita mandi bogel di laut Petra tou Romiou


Patung Aphrodite di laman cafe. Patung dewi ini diabadikan pada kotak makanan.

Oleh kerana kepercayaan dan mitos yang kuat terhadap Aphrodite kebanyakan tempat-tempat perniagaan diberi nama sempena nama Dewi Cinta dan Kecantikan ini. Sehinggakan patung Dewi Cinta ini diabadikan di hadapan kafe ini. Kotak bungkusan makananpun gambar Dewi ini.

Organisasi Pelancongan Cyprus juga menggunakan mitos ini di setiap kawasan pelancongan termasuklah di muzium, tapak arkelogi dan taman.

Aphrodite juga adalah lambang kesuburan wanita kerana dia ada anak hasil perkahwinannya dengan Dewa Dionysus. Aphrodite juga adalah penjaga laut dan penjaga kesuburan pertanian. Jadi nelayan dan petani berharap sangat pada Dewi ini.

Berbalik pula kepada mandi bogel malam Jumaat di Petra tou Romiou. Dalam Islam, kalau kita percaya bahawa dengan mandi bogel di malam Jumaat kliwon boleh awet muda, ini dipanggil khurafat.

Barulah saya tahu bahawa ramai orang Cyprus percaya kepada khurafat. Kepercayaan khurafat ini terlihat juga pada pohon-pohon yang terdapat di sekitar Cyprus. Cuba anda renung pokok dalam gambar di bawah ini. Apakah yang boleh anda simpulkan?

Di pinggir-pinggir jalan saya lihat banyak saputangan diikat pada ranting-ranting pokok. Kelihatan sebuah masjid di tepi jalan (gambar bawah - kiri)

Gambar di atas ini aku ambil dalam perjalanan saya ke Pafos. Saya lihat banyak pokok-pokok di sini diikat dengan saputangan pada ranting-rantingnya, dan saputangan itu sudah carik-carik. Pokok-pokok ini pula tidak berjauhan dengan masjid. Cuba tengok gambar kiri, bawah. Ada masjid kan?

Apakah maksud ikatan saputangan pada ranting-ranting pokok ini? Mengapa mereka berbuat demikian?

Orang di sini mengikat saputangan pada ranting pokok. Mungkin percaya bahawa dengan berbuat demikian permintaan mereka tercapai?

Orang Cyprus mempercayai bahawa pokok itu keramat. (Mereka itu mungkin termasuk orang Islam kerana pokok ini berdekatan dengan masjid). Mereka percaya sekiranya mereka mengikat saputangan di ranting pokok itu maka penyakit yang dideritai akan sembuh.

Dalam Islam khurafat adalah satu bentuk penyelewengan aqidah. Ia mengalihkan pergantungan manusia daripada Yang Maha Pencipta kepada makhlukNya yang dicipta. Allah menyeru hamba-hambanya bergantung kepada Allah. Firman Allah:
"Demi jika engkau tanyakan kepada mereka, siapakah yang menciptakan langit dan bumi, nescaya mereka menjawab: (Ialah) Allah. Katakanlah: Adakah kamu lihat, jika Allah menghendaki kemelaratan bagiku, dapatkah tuhan-tuhan (berhala-berhala) yang kamu sembah, selain daripada Allah menghilangkan kemelaratan itu?  Atau Allah menghendaki rahmat untukku, dapatkah mereka menahan rahmat itu? Katakanlah: Yang mencukupiku hanya Allah, kepadaNya bertawakkal semua orang yang bertawakkal." (Surah Al-Zumar: 38)
Dalam entri yang akan datang saya akan ceritakan lawatan saya ke kota peninggalan Alexander the Great. Ikutlah pengembaraan saya di Cyprus.


...bersambung

Sabtu, 11 Februari 2012

Episkopi: Kembali ke Zaman Greek-Rom Purba

Apa guna kalau ke luar negara tetapi tidak meninjau-ninjau keindahan negeri dan peninggalan sejarahnya. Walaupun jadual saya ketat, saya masih menyempatkan diri untuk melihat-lihat negerinya.

Oleh kerana masa saya di Cyprus cuma 4 hari, maka saya ambil pakej lawatan. Saya bayar dalam RM250.00.

Bas mini yang membawa saya bersama-sama dengan kira-kira 20 orang pelancong sampai di hadapan hotel saya di Limassol pada pukul 7.00 pagi. Kebanyakannya orang putih. Tempat-tempat yang saya pergi ialah: Episkopi, Petra tou Roumio, Yeskapou dan Pafos. Saya ada sehari untuk melawat keempat-empat tempat ini.

Sumber: cyprusq.com

Jom ikut saya kembali ke zaman Greek-Rom purba.

Kota Greek-Rom purba ini bernama Kourion (atau Currium). Letaknya di bahagian barat Limassol iaitu di kampung Episkopi. Untuk sampai ke Episkopi saya melalui ladang-ladang. anggur, limau dan zaitun. Luasnya!

Dahulunya Kurion adalah kota mewah dan penting. Ia terletak di atas tebing berhadapan dengan Laut Mediterranean yang biru dan luas. Kota purba ini dibina pada abad ke-2 (iaitu sebelum kelahiran Nabi Isa a.s.). Tapi kota purba ini dan bangunannya telah runtuh. Runtuh akibat gempa bumi. Gempa bumi ini telah berlaku sebanyak lima kali dalam jangka masa 80 tahun. Oleh kerana gempa bumi berlaku berkali-kali akhirnya kota ini musnah. Namun begitu sisa-sisanya masih dapat kita lihat.

Rumah Eustolios di Episkopi

Salah satu rumah yang saya lawati ialah Rumah Eustolios. Binaan Rumah Eustolios amat menakjubkan. Mozaiknya disusun menjadi karakter dalam mitos orang Greek dan cerita-cerita masyhur mereka. Ada mozaik berbentuk ikan, ayam dan burung. Sungguh teliti buatannya.

Di kawasan itu juga terdapat tempat mandian awam, tempat pertemuan, bilik-bilik dan tempat beribadat. Terdapat juga rumah-rumah penting seperti Rumah Archilles (Dewa Greek) dan Rumah Gladiator (banduan yang berlawan dengan singa). Dikatakan bahawa banduan harus berlawan dengan singa. Sekiranya dia menang barulah dia dibebaskan! Kejam kan! Peluang untuk menang tu tentulah tipis.

Dari atas tebing saya dapat melihat ladang-ladang dan rumah-rumah peladang. Sungguh indah. Untuk habis melawat kota purba ini memerlukan 2-3 jam berjalan kaki. Namun saya tidak berbuat demikian, sebab saya ikut jadual kumpulan pakej. Saya ikut saja ke mana mereka bawa.

Kurion sebuah kota yang dulunya mewah tetapi telah runtuh akibat gempa bumi
Arena teater Kurion yang dibina pada abad ke-2


Satu lagi tempat yang menarik untuk dilawati ialah teater Kurion (Curium Theatre). Ia letaknya bersebelahan dengan kota Kurion tadi. Gambar di atas ini ialah teater Curium. Ia berbentuk arena (bulat) meniru bentuk teater Greek dan Rom. Ia dibina pada abad ke-2.

Teater ini terbuka dan dibina betingkat-tingkat menghadap Laut Mediterranean. Drama yang biasa dipersembahkan di sini ialah Drama Greek Purba. Ia boleh memuatkan sehingga 3,5000 orang penonton. Sekarang ia dipelihara dan dijaga sebagai satu aset dalam industri pelancongan Cyprus. Teater Shakespeare dipentaskan setiap tahun di sini. Seronoklah kalau dapat tengok teater di sini kan? Saya pernah menonton teater Greek di tempat macam ini ketika saya mengembara ke Athens, Greece pada tahun 1986. Kembara saya di Kurion ini sedikit sebanyak menghilangkan rindu saya pada Greece.

Pada zaman kegemilangan Kurion, inilah gelanggang gladiator, iaitu tempat banduan atau hamba berlawan dengan singa dan disaksikan oleh ribuan penonton. Raja-rajanya jadikan ini sebagai hiburan. Kejam kan? Patutlah kota ini musnah, kerana Allah murka.

Pada hari ini Kurion ini juga menjadi tumpuan orang untuk mandi-manda, hang gliding dan paragliding. Tetapi semasa saya di sini, saya tak nampakpun. Mungkin bukan masanya.


Kuaters British yang kelihatan dari dalam van

Gambar di atas ini adalah kuaters tentera British. Ia letaknya tidak berjauhan dengan kota Kurion dan teater ini.

Pengajaran yang saya dapat dari melawat kota Kurion yang runtuh akibat gempa bumi ini ialah kekayaan dan harta yang menjadi kebanggaan manusia suatu ketika dahulu tidak kekal lama. Ia akan musnah sekiranya dikehendaki Allah. Begitu juga kekejaman sesama manusia sebagaimana yang dilakukan dalam sukan gladiator: perlawanan manusia dengan singa, dimurkai Allah. Firman Allah:
"Apabila Kami kehendaki akan membinasakan satu negeri, (lebih dahulu) Kami suruh orang-orang yang mewah (supaya taat), lalu mereka fasik (durhaka), sebab itu berhaklah mereka ditimpa siksaan, lalu Kami binasakan negeri mereka sebinasa-binasanya" (Al-Israak, 17:16).
Lawatan saya di Cyprus tidak berakhir di sini. Selepas melawat runtuhan kota di Kurion saya pergi melihat tempat kelahiran Dewi Cinta. Siapakah Dewi Cinta? Teruskan bersama saya di Cyprus dalam pos yang akan datang.

...bersambung

Khamis, 9 Februari 2012

Limassol | 3: Ada Sungai Tapi Tiada Air

Berdebar dan gemuruh adalah perasaan saya hari itu. Apa tidaknya, kertas kerja saya akan dibentangkan pagi itu sebaik sahaja majlis perasmian selesai. Saya tidak dapat bayangkan apakah reaksi mereka yang hadir nanti. Apakah soalan yang akan mereka tanya? 

Persidangan antarabangsa di Cyprus ini mempertemukan saya dengan cendiakawan dan penyelidik dari seluruh dunia. Mereka hadir untuk membentangkan hasil penyelidikan mereka. Kebanyakannya dari Eropah. Persidangan ini bertemakan pemuliharaan sumber air. Iaitu mengenengahkan isu-isu air dan penyelesaian kepada masalah sumber air. Ia dianjurkan oleh European Water Resources Association yang berpusat di Itali dengan kerjasama Faculty of Civil  & Environmental Engineering, University of Cyprus.  Persidangan ini diadakan selama tiga hari (25-27 Jun 2009), di Elias Beach Hotel, Limassol, Cyprus.

Teksi yang menghantar saya ke persidangan pada hari itu datang tepat pada waktunya, lalu menghantar saya ke Hotel Elias. Pemandu teksi itu pula meminta saya jangan ambil teksi lain selepas persidangan. Dia akan mengambil saya.

Elias Beach Hotel di Limassol, Cyprus

Inilah keadaan hotel tempat Persidangan Konservasi Sumber Air itu diadakan. Bunga-bunga dan pohon palma menghiasi taman. Oleh kerana Cyprus beriklim subtropika maka saya boleh lihat pokok pisang dan petai belalang di sini.

Belakang Hotel Elias Beach  menghadap laut 


Hotel Elias ini terletak di tepi pantai. Ini ialah gambar di belakang hotel Elias yang saya ambil pada waktu pagi. Suasananya agak sunyi. Orang ramai datang ke tepi pantai untuk berjemur pada waktu petang.

Paderi membaca doa majlis

Orang Cyprus kebanyakannya beragama Kristian Ortodoks. Lihatlah di dalam majlis perasmian persidangan ini, orang lelaki (paderi) yang berjubah dan bertopi hitam ini membacakan doa majlis mengikut cara agama mereka.

Kertas kerja saya dibentangkan di dewan luas ini, di tempat majlis perasmian diadakan. Walaupun saya telah banyak membentangkan kertas kerja, namun saya masih gementar. Setelah membaca doa menghilangkan gemuruh sayapun membentangkan hasil penyelidikan saya.

Alamak! Mikrofon dan podium di hadapan saya terlalu tinggi buat saya. Saya tenggelam daripada pandangan orang ramai. Laptop yang diletakkan di atas podium itu sudah tentulah tak tercapai oleh tangan saya. Saya mohon pertolongan.

Tapi tidak ada seorang teknisyen pun yang bantu. Staf yang adapun buta teknikal. Tak tahu nak buat apa. Saya sendiri bersusah payah mengubah kedudukan saya dan merendahkan mikrofon. Lalu mencari alat kawalan jauh untuk saya klik slaid powepoint saya di atas skrin projeksi.

Kesian saya :( Sungguh mereka tidak prihatin bahawa orang Asia ini tidak tinggi macam orang Eropah.  Mengapa tidak mereka sediakan podium yang lebih rendah? Atau letakkan meja biasa. Sudah.

Topik yang saya bentangkan lebih menumpu kepada peranan NGO air dalam menangani masalah air di Malaysia. Selesai membentangkan kertas kerja saya, maka tugas saya dianggap selesai. Sesi soal jawab pun tidak memerlukan saya memeras otak. Hilang sudah debaran saya. Kerta kerja saya itu telahpun diterbitkan dalam prosiding persidangan tersebut. Alhamdulillah.

Daripada pembentangan kertas kerja penyelidik lain di persidangan ini, barulah saya tahu bahawa Cyprus mengalami masalah air yang serius. Cyprus ada sungai tetapi tiada air. Sungai-sungai di Cyprus semuanya kering pada musim panas. Air sungai hanya ada pada musim sejuk (winter). Itupun ketika salji cair. Tetapi cara begini tentulah sukar kerana air yang dihasilkan tentu sedikit.

Barulah saya rasa amat bertuah tinggal di Malaysia yang kaya dengan sumber air dan banyak sungai. Sungai-sungai kita pula tidak pernah kering. Syukur alhamdulillah kita tidak mengalami masalah air sebagaimana yang berlaku di Cyprus. Mengenangkan ini marilah kita sama-sama menghargai air. Jangan bazirkan air.

Persidangan pemeliharaan dan pemuliharaan sumber air  di Cyprus yang saya hadiri

Setelah minum petang di hotel itu saya menelefon Profesor Norman yang berada di Cyprus Utara. Limassol dengan Nicosia berjarak 63 km. Saya cuma dapat meninggalkan pesanan suara sahaja di telefon Profesor Norman. Barangkali dia sibuk.

Ketika menelefon saya terlihat iklan bahawa hotel itu menyediakan pakej lawatan ke tempat-tempat utama di Cyprus. Saya pun mengambil peluang ini kerana persidangan ini tidak menyediakan lawatan di dalam programnya. "Kalau lawatan kita singkat, pilihlah pakej begini." Itulah yang selalu dinasihatkan orang.

Setelah menghadiri beberapa pembentangan kertas kerja di persidangan itu saya pun pulang ke Navarria Hotel. Teksi yang mengambil saya pagi tadi sudah sedia menunggu saya, lalu menghantar saya pulang. Dia juga menawarkan dirinya untuk membawa saya ke mana-mana saja yang saya kehendaki.

"Tinggal di pekan kecil ini kurang penumpang," katanya.

Jadi dia amat-amat mengharapkan saya menaiki teksinya. Dia juga menawarkan dirinya untuk menghantar saya ke lapangan terbang di hari terakhir saya di sini. Senangkan!

Ada kisah menarik dan unik ingin saya ceritakan kepada anda. Saya ingin mengajak anda kembali ke zaman purba. Ikutilah kisah menarik ini dalam entri yang akan datang.

...bersambung

Sabtu, 4 Februari 2012

Limasso | 2l: Pesta Bogel dan Pesta Arak

Musim panas di Cyprus jadi tumpuan pelancong. Salah satu tempatnya ialah Limassol atau Lemesos.

Petang itu saya bersiar-siar melihat pantai Limassol. Ia hanya di seberang jalan saja dari hotel saya. Pantainya landai. Kelihatan ramai orang kulit putih berjalan-jalan dan berjemur. Mereka semua separuh bogel. Tetapi bagi saya mereka ini berbogel. Kadang-kadang saya terpaksa mengalihkan mata saya kerana terlihat payu dara-payu dara yang sengaja didedahkan oleh yang empunyanya dan ponggong-ponggong yang terkeluar. 

Saya mundar-mandir melihat laut biru. Sungguh biru. Memang cantik. Tetapi melihatkan pesta bogel di sepanjang pantai bukanlah menenangkan jiwa malahan menyesakkan. Hairan dengan kejahilan manusia. Tak malunya! Cawat mereka hanya menutupi bahagian depan kemaluan. Yang lainnya terdedah. Mereka berjemuran berama-ramai untuk menggelapkan kulit  yang kekurangan ultra violet. 

Saya lihat kulit saya. Warnanya hampir sawo matang. Saya rasa amat bertuah dilahirkan sebagai orang Melayu yang berkulit hampir sawo matang ini. Saya tak perlu berjemur seperti mereka.

Di sini saya hanya memilih gambar-gambar yang bersesuaian sahaja. Bogel yang saya maksudkan tidak saya pamerkan.

Saya rasa saya tidak sesuai berada di tempat ini. Ini bukan tempat saya. Mereka mengadakan pesta bogel sedang saya berkelubung. Teringat saya pada hadis tentang larangan mendedahkan aurat daripada Muawiyah bin Haidah RA. yang menceritakan; 
Aku [Muawiyah] telah bertanya Rasulullah s.a.w.; "Ya Rasulullah! Bilakah masanya wajib kami tutup dan bila masanya harus kami buka?" Jawab baginda, "Jagalah aurat kamu kecuali kepada isteri kamu atau kepada hamba yang kamu miliki." Aku [Muawiyah] bertanya lagi, "Bagaimanakah jika sekiranya seseorang daripada kami sedang bersendirian?" Nabi s.a.w menjawab, "Allah lebih layak untuk kamu malu daripada manusia." (Riwayat Imam Abu Daud, at-Tirmizi, an-Nasai dan Ibnu Majah. Kata Imam at-Tarmizi; hadis ini hasan)
Sedang saya mundar-mandir, ada seseorang memerhati saya. Dia menegur saya. Sangkanya saya orang Arab. Mungkin kerana penampilanku yang berhijab. Apabila saya beritahu bahawa saya orang Malaysia, dia terkejut. Dia memberitahu saya bahawa dia seorang penjual daging dan beragama Kristian Ortodoks. Tapi namanya Islam - Adil.  Saya tanya mengapa namanya Islam. Katanya bapanya menyukai nama itu. 

Sesungguhnya Cyprus terletak di antara dua dunia: Asia Barat dan Barat. Satu dunia Islam dan satu dunia Kristian. Ini dapat dilihat dari sudut sejarahnya. Cyprus pernah ditakluki dan diperangi oleh tentera-tentera Islam. Islam pernah bertapak di sini. Ketika zaman Umayyah, Abbasiah dan Usman. 

Di Cyprus kepercayaan kepada mitos amat kuat. Orang Cyprus mempercayai dewa-dewa sebagaimana  orang-orang Greek. Pada setiap bulan Ogos-September pesta Arak diadakan di Limassol. (Maklumat ini saya ketahui daripada pemandu pelancong saya). Pesta Arak ini diadakan selama sepuluh hari demi mengagungkan Dewa Wain (Arak) yang bernama Dionysus dan Dewi Cinta dan Kecantikan yang bernama Aphrodite. Pesta wain ini sudah diadakan sejak 1961 dan dihadiri oleh ratusan orang dari seluruh Cyprus. "Drink wine, for better life!" Itulah motto pesta ini.

Limassol terkenal dengan pembuatan wain dan penanaman anggur. Pada Pesta Arak ini pelbagai acara hiburan diadakan: tari-menari, makan-makan, persembahan teater dan minum arak secara percuma - ditaja oleh syarikat-syarikat wain terbesar di sini. 

Pesta ini dimulai dengan upacara memijak anggur dengan kaki untuk dijadikan wain. Saya tidak boleh bayangkan bagaimana mereka meminum air hasil dari kotoran-kotoran kaki, cekam-cekam kuku, lelehan air peluh dan bulu-bulu mereka yang gugur bercampaur baur dalam anggur-anggur yang dipijak itu menjadi arak yang digilai. Memang benarlah ia air syaitan. Cara penghasilannya sahaja dimulakan dengan pijakan kaki yang mungkin bercekam, bercagu dan mungkin baru sahaja keluar dari tandas. Uweak!! Ini lebih jijik daripada nasi tangas atau nasi kangkang. Tapi inilah cara wain dibuat sebelum ia diperam. Inilah yang menjadi kebanggaan Cyprus.

Anggur dipijak untuk dijadikan wain. Sumber: http://www.marcopolo-exp.es, flickr.com/photos/wallyg, mnn.com, sipofspokane.com 
Hukum arak sudah jelas di dalam al-Quran. Firman Allah Ta’ala : 
“Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah adalah (semuanya) kotor (keji) daripada perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.” (Surah al-Ma’idah : 90)

Ada lagi kisah menarik saya di Cyprus. Ingin tahu kisah persidangan yang saya hadiri? Teruskan mengembara bersama saya dalam pos yang akan datang.

...bersambung

Rabu, 1 Februari 2012

Limassol | 1: Hotel, Makan dan Pengangkutan

Kali ini saya ingin ceritakan pengalaman saya di Cyprus. Lawatan saya ke Cyprus ini adalah yang julung-julung kali. Lawatan ini kerana membentangkan kertas kerja hasil penyelidikan saya dalam bidang alam sekitar. Disamping itu saya dapat melihat-lihat Cyprus. Kunjungan ini amat bermakna.

Di manakah Cyprus?


Cyprus adalah sebuah pulau yang letaknya di Lautan Mediteranean. Di utaranya ialah Turki, di selatannya ialah Mesir, di baratnya ialah Greece dan di timurnya ialah Syria.

Pernah dahulu saya menyeberangi Laut Mediteranean pada tahun 1986 dari Greece ke Italy melalui kapal selama 2 hari. Pengalaman menaiki kapal merentasi Laut Mediterranean yang biru itu amat bermakna bagi diri saya. Pengalaman yang tidak dapat saya lupakan. Lebih-lebih lagi cuaca Mediteranean amat bersahabat dengan saya.

Cyprus adalah sebuah pulau yang terletak di Lautan Mediterranean. Sumber: geographicguide.net

Sebelum ke Cyprus saya telah membuat sedikit penyelidikan mengenai hotel, pengangkutan dan perkara-perkara lain. Saya tidak kenal sesiapa di Cyprus. Cuma ada seorang yang saya kenali tetapi beliau tinggal di Cyprus Utara. Beliau ialah Profesor Norman yang saya kenali semasa saya menuntut di Amerika Syarikat.


Siapakah Profesor Norman?


Profesor Norman adalah seorang Afrika Amerika. Dia sangat baik dengan saya. Saya pernah mengembara bersamanya di Amerika Syarikat.

Kami pernah ke makmal cetakan filem di Baltimore dan Virginia di Amerika Syarikat. Saya juga pernah menjadi orang kanan beliau dalam beberapa produksi filem di Amerika Syarikat.

Profesor Norman adalah Profesor filem. Disamping itu dia adalah pembikin filem "indie" dan juga jurukamera filem yang berpengalaman. Beliau pernah mengambil saya bekerja dengannya sebagai Penolong Jurukamera Kanan (First Camera Assistant) beliau dalam beberapa produksi filem di Amerika. Beliau juga banyak mencurahkan ilmunya kepada saya. Saya banyak belajar daripadanya.

Sekarang Profesor Norman berpindah ke Cyprus Utara dan menjadi Profesor di Eastern Mediterranean University.

Saya hantar emel kepada beliau dan menyatakan bahawa saya akan berada di Cyprus. Beliau amat gembira menerima emel saya dan ingin sekali bertemu dengan saya di Cyprus. Sudah lebih tujuh belas tahun kami tidak bertemu. Ketika itu saya sangkakan Cyprus Utara dengan Cyprus adalah sebuah negara yang sama. Setelah diberitahu oleh Profesor Norman, barulah saya mendapat tahu bahawa ia adalah dua buah negara yang terpisah dan berkerajaan sendiri. Ketika ini barulah saya sedar yang saya ini "buta" geografi, "buta" politik dunia.

Profesor Norman memaklumkan kepada saya bahawa dia tidak boleh masuk ke Cyprus atas masalah politik negara itu dan masalah kewarganegaraan. Dia menyuruh saya ke Nicosia dan bertemu dengannya di sempadan Cyprus Utara. Inilah antara isi kandungan emel beliau kepada saya: 
"As you, no doubt, know, Cyprus is a divided country: the Turkish north and the Greek south. As an employee of the Eastern Mediterranean University in the north, with a work permit and residency status for the Turkish Republic of Northern Cyprus, I'm ... and consequently cannot enter the Republic of Cyprus. ...If you have time to make a tour of the north, contact me and we can arrange to meet in Lefkosa/Nicosia for tea or a nice meal. It would be nice to chat about yesterday and today."
Inilah emel beliau yang begitu mesra. Masalah Profesor Norman ialah permit kerjanya dan taraf kependudukannya tidak membenarkan dia melepasi sempadan Cyprus Utara. Jadi saya yang harus melepasi sempadan dan bertemu dengannya di sana. Saya cuba untuk berbuat demikian sekiranya saya berada di sana. Itulah harapan saya. Dapatkah saya bertemu dengan Profesor Norman di sempadan Cyprus? Ikutilah kisah saya seterusnya.


Siapakah Profesor AR?


Saya juga telah menghubungi Profesor AR di Emirat Arab Bersatu. Ingat tak dalam pos yang lepas, saya mengenali Profesor AR ketika menghadiri persidangan di Abu Dhabi? Dia juga menyambut kedatangan saya di Dubai? Dia selalu suruh saya menghubungi dia sekiranya saya ke Dubai. Oleh kerana perjalanan saya ke Cyprus akan melalui Dubai, maka saya maklumkan perkara ini kepadanya.

Saya akan transit di Dubai selama 4 jam dalam perjalanan pulang. Beliau amat gembira dengan kedatangan saya dan bersedia menemui saya di Dubai. Dapatkan saya bertemu dengan Profesor AR di Dubai? Ikutilah kisah perjalananku seterusnya.


Ke Cyprus


Saya ke Cyprus pada 24 Jun 2009. Ketika itu musim panas. Ketika ini juga wabak H1N1 sedang melanda seluruh dunia. Tetapi oleh kerana perancangan ini telah dibuat awal dan kertas kerja saya sudah diterima maka saya teruskan niat saya untuk ke Cyprus.

Sepanjang perjalanan dari Malaysia ke Cyprus saya memakai topeng muka tanpa membukanya. Alangkah rimasnya. Tapi apa boleh buat.


Transit di Dubai


Ketika transit di Dubai seorang lelaki Melayu menegur saya. Kami berbual, dia memberitahu saya yang dia bekerja dalam sektor pembinaan di kepulauan Malta tidak jauh dari pulau Cyprus. Kami menaiki kapalterbang yang sama, tapi kapalterbang itu singgah di Larnaka sebentar dan kemudian ke Malta. Di dalam kapalterbang cuma kami berdua orang Asia, yang lain adalah orang kulit putih.

Kedua-dua pulau ini bukanlah destinasi yang popular dalam kalangan orang Malaysia. Ramai orang Malaysia tidak tahu di mana Cyprus dan Malta. Pegawai kastam yang menyemak pasport saya di lapangan terbang Pulau Pinang pun tidak mengetahui di mana tempat ini. Mereka sendiri bertanyakan di mana tempat ini kepada saya.

Sampai di Larnaka


Sesampainya saya di Larnaka saya terus mengambil shuttle bus sebagaimana yang dimaklumkan dalam sumber-sumber rujukan saya. Tiada sesiapa yang menyambut kedatangan saya. Tidak seperti persidangan yang pernah saya hadiri di Thailand atau New Zealand. Di Thailand dan New Zealand saya disambut baik oleh delegasi persidangan di lapangan terbang. Tetapi di Cyprus semuanya "sendirian berhad". Jadi tak berapa 'syok' bab ni.

Saya membayar harga tambang shuttle bus di kaunter lapangan terbang. Kemudian saya mencari shuttle bus itu untuk membawaku ke hotel Navarria yang telah saya tempah secara on-line. Sangka saya bas besar tetapi hanyalah sebuah van.

Pemandangan musim panas dari Larnaka ke Limassol dari dalam van

Dalam perjalanan menuju ke Limassol saya hanya melihat kawasan tanah gersang berbukit-bukau yang tidak berpohon. Pohon yang ada hanyalah pohon-pohon renek dan batu-batu. Cuacanya panas dan terang benderang. Perjalanan melalui lebuh raya ini memakan masa kira-kira 1 jam, jaraknya kira-kira 58.43 km. 

Menyaksikan hutan batu dan pohon renek sahaja di sepanjang jalan amat membosankan. Di saat ini saya terasa amat sangat yang Malaysia jauh lebih indah. Di Malaysia pohon-pohon hijau ada di mana-mana saja.

Hutan batu dan pokok-pokok renek sahaja yang saya lihat di sepanjang jalan

Sampai di Limassol


Saya pun sampai di Navarria Hotel, Limassol dengan selamat. Tetapi apabila saya "check in" saya dapati nama saya tiada dalam senarai tempahan. Alamak! Saya hairan kerana surat menyurat sudah dilakukan. Balasan emel dari hotel itupun sudah saya terima. Lalu saya serahkan salinan surat-surat emel kepadanya. Rupa-rupanya emel terakhir yang saya hantar kepadanya tidak diterima. Namun tiada masalah selepas itu, saya terus diberi bilik.

Hotel Navarria ini bukanlah hotel mewah, biasa-biasa aje. 3 bintang. Harganya pun tidak mahal. Dalam RM160.00 satu malam. Hotel ini dengan Hotel Elias, iaitu tempat persidangan diadakan itu, tidaklah jauh sangat. Pegawai di kaunter hotel itu kemudiannya terus menempah teksi untuk saya untuk esok pagi. Kertas kerja saya akan dibentangkan esok iaitu pada hari pertama, selepas perasmian persidangan itu.

Hotel Navarria yang saya inapi

Inilah gambar hotel Navarria di Limasol, Cyprus. Ada balkoni. Kolam renang di bawah/depan balkoni. Di hadapan balkoni ini saya dapat lihat  apartment dan laut Mediterranean yang terbentang luas.

Persekitaran Navarria Hotel yang terletak berdekatan kawasan perumahan

Di waktu petang saya bersiar-siar di kawasan sekeliling Hotel. Hotel Navarria ini letaknya di kawasan perumahan.


Villa-villa di sekitar Navarria Hotel

Villa-villa tepi pantai tersergam indah. Senibinanya begitu unik. Mewah. Bunga-bunga dan anggur ditanam sebagai penghias halaman. Kucing-kucing agak banyak di sini. Kelihatan berkeliaran di tepi pantai, di ruang makan restoren dan di tepi jalan.

Dikatakan kucing dibawa masuk ke Cyprus pada abad ke-4 untuk menghapuskan ular. Kucing juga telah lama menjadi binatang peliharaan manusia. Ini dibuktikan melalui penemuan rangka kucing bersebelahan dengan manusia Neolitic di Cyprus. Menurut kajian ahli arkeologi kucing ini dari Mesir dan dianggarkan hidup 4,000 tahun dahulu.

Kedai-kedai dan rumah-rumah di Limassol

Di sekeliling hotel Navarria terdapat banyak kedai-kedai cendermata, kedai runcit dan restoren. Bagi mendapatkan makanan halal, saya perlu mengambil teksi ke pekan Limassol. Tetapi saya tidak berbuat demikian, saya cuma makan di dalam bilik hotel. Makanan itu saya bawa dari Malaysia. Makanan segera seperti mee, bubur nasi dan roti.

Hotel ini menyediakan sarapan pagi percuma tetapi saya hanya boleh makan telur rebus, pasta (tanpa sos) dan buah-buahan. Roti dan jem ada, tapi saya tidak makan kerana ia mengandungi gelatin dan E471. Kedua-dua bahan ini mungkin dari sumber haiwan. Kebiasaannya saya tidak makan makanan yang mengandungi bahan-bahan ini sekiranya tiada logo halal atau tiada sumber tumbuh-tumbuhan tertulis pada bungkusannya.

...bersambung