Tagline

A Blog About Traveling Around The World From The Lens and Eyes of A Malaysian-Muslim Woman

Select Your Preferred Language


Select Your Preferred Language
BAHASA MELAYU | ENGLISH

Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini

Adsense



Rabu, 18 Januari 2012

Medan | 5: Renungan dan Saranan

Enam hari di Medan memberi banyak ilmu kepada saya. Banyak yang saya belajar hasil dari pengalaman dan pengamatan sendiri.

Medan, Berastagi, Parapat, Danau Toba memanglah indah dan patut dilestarikan. Tetapi sejauh manakah kelestarian ini dapat dikekalkan? Dengan pencemaran udara dan bunyi yang bising di kota Medan, bagaimanakah bisa rakyatnya mempunyai kesihatan yang baik? Bagaimanakah generasi akan datang dapat menikmati udara dan air yang bersih? Udara yang diberi oleh Allah ini mengapa tidak disayangi? Mengapa tidak diberhentikan tabiat membunyikan hon terlalu kerap di jalanraya? Mengapa tiada kawalan terhadap pengeluaran kenderaan bermotor? Mengapa tiada kawalan pelepasan karbon monoksida (CO2), sulfur dioksida (SO2), nitrogen oksida (NOx) dan plumbum (Pb) di jalan-jalanraya? Sedarkah kita bahawa asap-asap ini membawa kesan buruk kepada perkembangan fizikal (jantung, buah pinggang) dan mental kanak-kanak?


Pemandu di jalan juga harus berhemah. Ketika kami menaiki bas dari Parapat ke kota Medan, kami melalui jalan dua hala yang sempit dan berliku-liku. Pemandu sentiasa memotong dan memakan lorong jalan kanan, ketika dia memakan jalan kanan, kenderaan yang datang dari arah hadapan terpaksa berhenti dan memberi laluan kepada bas kami. Siapa yang memenuhi ruang jalan itu dialah raja dan yang lain harus mengalah. Keadaan ini kadang-kadang mencemaskan kami.



Bas kami kehabisan minyak di tengah jalan. Keadaan bas ketiadaan minyak jarang berlaku dan orang yang paling tidak senang hati dengan kejadian ini adalah pemandu pelancong kami. Sebagai seorang yang profesional sudah pasti beliau amat kecewa.



Kami menyabarkan Pak Rahmat yang marah pada pemandu bas kami yang cuai itu. Setiap kejadian itu pasti ada hikmahnya. Apakah hikmah disebalik kejadian bas kehabisan minyak?

Inilah hikmahnya. Antaranya kami satu bas dapat berhenti dan makan bakwan (cucur tepung) di warung tepi sawah. "Pemilik warung ni agaknya solat dhuha tadi," kata salah seorang ahli rombongan kami. Saya faham maksudnya, kerana antara fadhilat solat dhuha ialah rezeki dipermudahkan Allah.

Kami juga dapat melihat hasil tanaman penduduk tempatan dikutip dan dipasarkan. Kami juga dapat berehat di ladang kelapa sawit. Barulah rasa lebih rapat dengan penduduk tempatan.

Lagi satu hikmahnya, yang saya sedari seminggu selepas ini, kawan sekampung saya yang datang ke sini juga, tetapi lebih awal sehari dari saya memberitahu bahawa rombongan mereka terperangkap dalam kesesakan jalanraya yang amat teruk selama 7-8 jam dan sampai ke Medan lewat jam 2.00 pagi. Hikmahnya, kami tidak mengalami masalah terperangkap dalam kesesakan jalanraya (orang Medan memanggilnya macet) dan tidak sampai lewat.


Di Permatang Siantar kami  turun dan melihat kedai jual snek Teng Teng, Tang Tang dan Tung Tung. Snek ini macam bepang kacang kita tu. Macam-macam nama, tetapi bahan asasnya ialah kacang tanah. Kita boleh cuba rasa dahulu. Namun kami tidak beli. Kami ragu-ragu dengan kehalalannya.

Kedai ini milik orang Cina Buddha kerana jelas di kedai itu digantung tanglung merah dan diletakkan tokong di ruang depan kedai. Apabila kami tanya ada dapat pengiktirafan halal dari Majelis Ulama Indonesia atau tidak?

Nyonya tu jawab, "Di Indonesia ini sukar dapat logo halal itu....cuma tulis saja di kotak dengan tulisan Arab - halal."

Kami tanya, "Bagaimana nak tahu ia halal atau tidak?"

Lalu ditunjukkan kepada kami kotak makanan yang bergambar seekor babi gemuk. Sahlah nyonya ini tidak faham erti halal. Baginya apa saja yang bukan babi, halal. Bagaimana dengan lembu yang tak disembelih? Mungkin melalui pemahaman beliau ini halal? Kami tidak yakin dengan penjelasan beliau itu. Ini bermakna ada bahagian halal dan haram dalam premis masakan beliau.

Minggu lepas dalam rancangan TV9 Tanyalah Ustaz, Ustaz dari JAKIM pun ada memberitahu bahawa kita tidak boleh makan makanan yang dalam satu premis yang sama ada bahagian makanan halal dan sebahagian lagi makanan haram.

Makan makanan halal itu penting bagi umat Islam kerana ia menjadi darah daging kita. Doa kita tidak makbul kalau kita makan makanan yang tidak halal.



Masjid ada di mana-mana dan saya gembira. Orang Islam boleh hidup harmoni bersama-sama orang Kristian. Masjid boleh dibina bersebelahan dengan gereja. Malah dalam satu keluarga yang tinggal serumah boleh ada berbilang agama. Di Indonesia orang Islam boleh bernikah dengan orang bukan Islam, tanpa perlu memeluk Islam. Jadilah keluarga "caca marba".

Ketika saya datang ke Medan 10 tahun dahulu, sudah masuk bulan Ramadhan. Tetapi suasana bulan Ramadhan di Medan berbeza dengan di Malaysia. Di Malaysia, setiap hari saya membaca/mendengar berita orang Islam ditangkap kerana makan siang hari di khalayak ramai pada bulan Ramadhan. Tetapi di Medan saya terkejut kerana walaupun orang Islam sedang berpuasa warung-warung makanan Islam dibuka dan orang Islam boleh duduk makan dengan selambanya tanpa pihak penguasa menangkap mereka yang makan secara terbuka ini. Waktu malam bulan Ramadhan pula tempat-tempat hiburan dibuka seperti hari-hari lain. Jadi tidak dapat rasa istimewanya bulan Ramadhan. Tapi saya tidak pasti adakah pada hari ini keadaannya masih sama?

Kemudian kita tidak tahu siapa Islam, siapa bukan Islam. Dari nama mereka kita tidak boleh mengagak dia ini Islam atau tidak. Kita perlu tanya, "Kamu agama apa?" "Kamu Islam ke?" Kalau kita tanya orang Malaysia soalan macam ni alamat lebamlah pipi kena lempang/tumbuk.



Lagi kisah sepuluh tahun lalu....Abang Beca yang membawa saya setiap hari di Medan sudah lebih sepuluh tahun mengayuh beca. Selama ini dia tidak pernah berpuasa.

Katanya, "Islam membenarkan orang yang bekerja teruk di panas terik matahari untuk tidak berpuasa. Kalau saya tidak bekerja sehari anak isteri kelaparan."

Beginilah kehidupan golongan marhaen, kais pagi makan pagi. Saya harap pada hari ini Abang Beca itu sudah berpuasa kerana beca yang dikayuh dengan kaki sudah tiada lagi, semuanya digantikan dengan beca motor (orang Medan memanggilnya Bentor).

Nampaknya di sini, ada kebaikan dan keburukan: kebaikan kepada Abang Beca ini ialah dia dapat mempertingkatkan amal ibadahnya, mempertingkatkan pendapatannya, tetapi tidak baik bagi penghuni Medan kerana asap Bentornya mengancam kesihatan orang lain.



Berbalik pula pada hari ini.  Di Perbaungan kami singgah makan di Rumah Makan Simpang Tiga. Kami solat jamak di musalla yang disediakan. Tapi musallanya berkongsi dengan lelaki perempuan.

Di lapangan terbang Polonia juga musallanya bercampur lelaki perempuan. Mengapa tidak dibuat berasingan? Padahal ini negara Islam. Malahan penduduk Islamnya teramai sekali di dunia. Mengapa negara lain seperti Australia dan China boleh mengadakan musalla dan malahan masjid berasingan? Di China ada masjid yang khas untuk kaum wanita sahaja. Padahal negara mereka bukan negara Islam. Ke mana keprihatinan orang Medan?

Kempen kesedaran perlu diadakan. Ketegasan undang-undang perlu dilaksanakan. Masalah kesesakan jalanraya dan pencemaran udara serta bunyi boleh dikurangkan. Perlu ada "urban mobality". Perlu ada perubahan pada sikap. Kenderaan dijalanraya boleh dikurangkan dengan memperbaiki sistem pengangkutan awam. Galakkan orang menggunakan basikal. Kurangkan kenderaan bermotor. Galakkan orang berjalan kaki. Sediakan jalan-jalan untuk berbasikal dan berjalan kaki. Perlu ada penglibatan orang politik dan NGO. Kereta-kereta juga harus kurang menggunakan minyak subsidi yang bersulfur tinggi. Alat pengukur indeks pencemaran juga mestilah bermutu tinggi dan pengukuran tahap udara mestilah dibuat secara berkala. Gunakan teknologi hijau dan bersih. Gunakan tenaga solar, elektrik dan "natural gas".

Bagi mengekalkan kehijauan Pulau Samosir dan kebiruan air Danau Toba, pokok-pokok jangan ditebang sesuka hati. Pokok-pokok yang subur menghijau bukan sekadar dilihat sebagai ciptaan Allah yang hebat, bahkan Rasulullah SAW mengajar kita agar memeliharanya daripada ditebang dan dimusnahkan tanpa sebab dan melampau. Sabda Rasulullah SAW bermaksud:
“Barang siapa yang memotong pokok (bidara) - tanpa manfaat atau kepentingan - nescaya Allah SWT akan menghumbankan kepalanya ke jurang neraka”. (Rujuk: Abu Daud, Sulaiman bin al-Asy’ath al-Sijistani. T.th. Sunan Abi Daud. Kitab Adab. No. Hadis: 4561. Juzuk 4. Hal. 361).  
Begitu juga untuk mengekalkan kehijauan Pulau Samosir dan kejernihan air Danau Toba pembinaan industri harus dikawal, penternakan ikan dalam sangkar juga harus dipantau, nelayan yang meracun ikan haruslah dihukum, pembuangan sisa dan kumbahan ke dalam Danau haruslah diharamkan. Sabda Rasulullah SAW:
"Elakkan tiga perbuatan yang akan membawa laknat manusia: mencemarkan sumber air, jalan dan tempat teduh. " (Hadis Riwayat Abu Daud & Ibnu Majah)

Sekiranya tidak ada pihak pencinta alam sekitar dan ketiadaan kesedaran terhadap pemuliharaan alam sekitar, maka mungkin generasi akan datang tidak dapat menikmati keindahan Danau Toba dan persekitarannya.

Teringat saya tentang erti Medan. Medan ertinya suatu kawasan yang luas. Selesa. Nama kota Medan ini berasal daripada perkataan arena peperangan kerana ia menjadi rebutan pemerintah Acheh dan Riau beratus-ratus tahun dahulu. Sekiranya penghuni Medan hari ini tidak prihatin terhadap alam sekitarnya, Medan akan jadi padang jarak padang terkukur. Bukan kerana tumpas dalam peperangan tetapi tumpas dalam tangan penghuninya sendiri yang tidak menyayangi bumi yang didudukinya.

Allah berfirman yang bermaksud:
"Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)." (Al-Rum: 41). 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kini giliran anda pula untuk memberi pandangan/ulasan.

Ulasan tanpa nama akan dipadamkan.