Tagline

A Blog About Traveling Around The World From The Lens and Eyes of A Malaysian-Muslim Woman

Select Your Preferred Language


Select Your Preferred Language
BAHASA MELAYU | ENGLISH

Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini

Adsense



Ahad, 26 Februari 2012

China: Cuti Sabatikal di Universiti China

Kali ini saya nak kongsi kegembiraan saya. Saya dapat tawaran cuti sabatikal dari Universiti Sains Malaysia (USM) lima bulan lalu. Saya bercadang hendak buat cuti sabatikal itu di China. Saya pun telah membuat permohonan untuk melakukan sabatikal itu di Communication University of China (CUC) di Beijing. Saya hantar kepada Profesor Guan. Sudah empat lima bulan saya menanti surat kebenaran itu. Sudah berulang kali saya hantar surat peringatan kepada Profesor Guan untuk menjawab email saya. Tetapi tiada jawaban daripada beliau.

Saya diperkenalkan kepada Prof Guan oleh Jingling seorang pensyarah bahasa asing di Communication University of China (CUC). Saya pula diperkenalkan kepada Jingling oleh Profesor Awang (sekarang Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka) yang pernah bertugas di China dan menjadi guru Jingling. Saya sering berurusan melalui email dengan Jingling. Saya kagum dengan Jingling ni. Kenapa tau? Sebab dia pandai bahasa Melayu! Emel saya dengan dia dalam Bahasa Melayu. Fasih sangat-sangat. Macam dia ni orang Melayu je. Nama Melayu dia pun ada tau! Melati, itulah nama Melayu dia.

Jadi apabila Prof Guan tak respons emel saya, Jinglinglah yang saya minta tolong tanyakan. Jingling ni pulak bagus pekertinya. Dia lakukan apa saja saya minta.

Menurut Jingling di China tidak ada konsep cuti sabatikal. Jadi banyaklah sedikit soalan-soalan mereka. Saya pun dah jelaskan kepada mereka yang cuti sabatikal ini bertujuan untuk meningkatkan kemahiran dan kepakaran seorang ahli akademik. Disamping itu juga untuk menjalin hubungan yang baik dengan universiti atau organisasi lain dengan cara melakukan penyelidikan dan memberi kuliah di sana. Segala perbelanjaan seperti sewa rumah, elaun harian, elaun pakaian, insuran, gaji bulanan dan tiket kapal terbang dibiayai universiti tempat saya kerja ni.

Cuti sabatikal itu biasanya diberi kepada mereka yang telah berkhidmat lama dan biasanya diberi selama 9 bulan. Setelah saya jelaskan tujuan cuti sabatikal itu dan segala polisi, Prof Guan bersetuju menerima saya. Tetapi dia menyatakannya secara lisan kepada Jingling, tanpa hitam putih.

Saya perlu kemukakan surat kebenaran dari CUC ini kepada Jabatan Personel tempat saya kerja dua bulan sebelum saya pergi. Barulah mereka boleh lepaskan saya dan biaya saya. Saya nak pergi Mei ini. Lagi seminggu kalau saya tak dapat surat kebenaran CUC, bermakna tawaran saya melakukan sabatikal itu luput. Rugilah kalau dah dapat tawaran sabatikal itu tapi terpaksa pula ditolak disebabkan tidak dapat surat kebenaran.

"Prof Guan terlalu sibuk dan surat kebenaran perlu melalui beberapa prosedur," kata Jingling dalam emelnya kepada saya.

Setelah sekian lama menanti, semalam saya terima emel dari CUC. Di dalamnya ada surat kebenaran dari Prof Guan. Alhamdulillah! Ini bermakna saya akan berada di Republik China pada Mei 2012 ini sehinggalah Februari 2013. InsyaAllah. Dengan surat kebenaran ini saya akan melakukan langkah-langkah seterusnya seperti membuat paperwork yang sepatutnya, persediaan visa, kewangan dan macam-macam lagi. Saya harap semuanya akan berjalan lancar. Hari ini saya senyum - renyih sampai tang telinga.


Mengapa pilih China? Itulah soalan yang ditujukan kepada saya masa interview untuk sabatikal ini dulu.

Inilah jawaban saya, "Selama ini orang kita ramai yang buat cuti sabatikal di negara-negara Barat. Saya rasa sudah tiba masanya untuk kita pandang ke timur ke China. China adalah sebuah negara yang mempunyai ekonomi yang pesat dan konsisten sejak 10 tahun yang lalu. Di negara China ada banyak khazanah yang belum diterokai oleh penyelidik kita dan banyak ilmu yang boleh kita pelajari daripada mereka. Orang-orang Barat sendiri hari ini mula beralih ke China."

Hujah saya ini disambut baik oleh panel temuduga. Salah seorangnya ialah Profesor Salleh. "China adalah ibarat seekor singa yang telah lama tidur dan baru bangkit," kata Profesor Salleh menyokong hujah saya.

Teringat saya pada hadis Rasulullah s.a.w, "Tuntutlah ilmu sampai ke negeri China." Tapi ada yang kata hadis ini tidak sahih. Ya? Kalau anda pasti beritahulah kepada saya.

Sebelum ini saya dah pernah tengok satu laman web - Radio Antarabangsa China (RAC). Laman web ini dalam bahasa Melayu. Siaran radio pun dalam bahasa Melayu. Kakitangannya orang China. Radio ini di Beijing.

Saya pernah berkata, "Kalaulah aku dapat kenal orang Radio Antarabangsa China ini, kan bagus."

Dalam laman web radio ini ada emel dan ruang sembang, tapi saya lihat ada yang tidak direspons oleh RAC, jadi saya seganlah pulak nak hantar.

Beberapa bulan kemudian dengan izin Allah, tup tup orang RAC menjelma di hadapan saya. Nak tahu macam mana kisahnya?

Semasa saya pergi seminar "Bahasa Melayu di China" oleh Prof Awang pada Oktober lepas di USM, saya berjumpa dua orang perempuan China. Selepas seminar, mereka mengambil gambar dan berbual dengan Prof Awang. Saya terdengar perbualan mereka. Saya pun berkenalan dengan mereka. Rupa-rupanya mereka dari RAC. Kedua-duanya fasih berbahasa Melayu. Mereka memperkenalkan diri mereka sebagai Fidah dan Kesuma. Mereka datang ke USM belajar bahasa Melayu. Wah! Kagumya saya dengar mereka cakap Melayu dan guna nama Melayu pulak tu, padahal nama sebenar mereka China.

Sejak itu saya sering menulis emel kepada Fidah. Fidah ni ialah wartawan di Radio Antarabangsa China. Radio ini dimiliki oleh kerajaan Republik Rakyaat China. Minggu lepas Fidah kata RAC akan sambut saya sebagai tetamu mereka sekiranya saya ada di Beijing. Alhamdulillah. 

Selain daripada itu, Sayang kawan saya tu, dia ada kawan yang kerja di Kedutaan di China. Dia dah bagi contact number kawannya itu. Tapi saya belum hubungi mereka lagi. 

Kemudian student saya dari China yang sekarang buat PhD di USM pun pernah belajar di CUC ini. Nanti saya akan minta dia tolong saya bagi panduan dan tips di sana.

Jadi saya sekarang dah ada 3-4 orang yang saya kenal dari Beijing. Padahal saya tak pernah sampai Beijing pun. Saya berdoa semoga Allah permudahkan segala urusan saya ke China.

Sabtu, 25 Februari 2012

Cyprus: Seni Fridge Magnet yang Tersendiri

Dalam entri saya yang terakhir dalam siri kembara saya di Cyprus ini saya ingin ceritakan satu daripada barang kenang-kenangan yang saya beli di Cyprus. Sebenarnya ada barang-barang lain yang saya beli seperti beg, mug, kipas, penyangkut kunci dan tempat letak nota/bil tetapi saya lebih berminat untuk menulis tentang fridge magnet kerana ramai blogger yang gemar mengumpul fridge magnet.  

Di Cypruslah saya mula menanam minat mengumpul fridge magnet. Fridge Magnet dari Cyprus mempunyai keunikan dan seni yang tersendiri. Pada permulaannya saya membeli fridge magnet Cyprus ini kerana kawan-kawan saya meminta saya membelikan untuk mereka. 

Di Cyprus, saya ke kedai cendermata yang berdekatan dengan hotel penginapan saya. Saya dapati banyak yang cantik dan unik. Saya beli banyak untuk kawan-kawan saya. Kerana keunikannya saya juga turut membelikan untuk diri saya. Sejak itu saya mula menanam minat menjadi pengumpul fridge magnet

Lihatlah antara fridge magnet Cyprus yang menjadi kegemaran saya.

Fridge magnet berbentuk pasu iaitu kraftangan orang Cyprus

Oleh kerana Cyprus adalah sebuah pulau yang terletak di Laut Mediterranean maka fridge magnetnya dibuat bagi menggambarkan suasana pulau, lautan dan karakter Cyprus. Fridge magnet yang di atas ini dibentukkan menjadi pasu. Perusahaan pasu (tembikar) adalah perusahaan kraftangan yang penting di Cyprus. Villa-villa indah tepi pantai, burung-burung laut dan kapal-kapal berlayar terserlah pada fridge magnet berbentuk tembikar ini. 

Peta Cyprus sering dibadikan sebagaimana yang terlihat pada fridge magnet yang kedua dan ketiga. Fridge magnet ini dibuat daripada polyresin dan batu. 

Fridge magnet yang paling kanan mengabadikan Kota/Kubu Pafos yang telah diiktirafkan oleh UNESCO sebagai Warisan Dunia. Ia dibuat berbentuk pasu terracotta yang digunakan untuk menyimpan wain. Cyprus terkenal sebagai tempat penanaman anggur dan pengeluaran wain sejak berabad-abad lamanya. Fridge magnet ini dibuat daripada campuran terracotta dan batu.  

Frdige magnet yang menggambarkan peta Cyprus dan runtuhan bangunan purba

Fridge magnet yang kiri ini pula dibuat dalam bentuk pinggan seramik yang kecil dan mengabadikan peta pulau Cyprus. Ia dibuat daripada seramik yang licin dan berkilat.

Manakala fridge magnet yang paling kanan pula mengabadikan bangunan-bangunan purba yang menjadi tarikan pelancong ke Cyprus. Apabila disentuh terasa lorekan batu-bata bangunan ini, kerana ia dibuatkan timbul (3 Dimensi). Taman-taman bunga juga kelihatan pada fridge magnet ini. Fridge magnet ini dibuat daripada batu.

Harga setiap fridge magnet ini adalah di antara RM8.00 hingga RM10.00.

Matawang Euro digunakan di sini.


Rabu, 22 Februari 2012

Larnaka: Aku Dibawa Lari oleh Pemandu Teksi

Kali ini saya nak cerita kisah saya yang suspen semasa saya di Cyprus. Saya "check out" hotel pada tengahari itu. Teksi yang setiap hari mengambil saya, awal-awal dah datang. Bila saya turun ke lobi dia dah terconggok depan hotel menunggu saya.

Dia sepatutnya membawa saya terus ke lapangan terbang Larnaka, ikut lebuh raya sebagaimana saya datang dahulu. Tetapi tidak. Dia membawa saya ikut jalan kampung, pesisir pantai dan ladang-ladang. Katanya dia mahu saya melihat Cyprus sebab ini hari terakhir saya di Cyprus. Inilah saja peluang saya nak melihat-lihat "the other side of the country."

Kalau ikut "highway, boring," katanya.

Saya hairan juga bila ada orang tiba-tiba baik sangat pada saya.

"Ada udang di sebalik mee ke ni?"

Singgah beli air di sini

Dalam perjalanan itu dia singgah untuk membeli air di kedai. Saya tunggu saja di dalam teksi. Dia belikan saya air. Dia bawa saya ke banyak tempat. Saya pun boleh suruh dia berhenti ambil gambar yang mana saya suka.  Di bawah ini ialah antara tempat-tempat yang saya maksudkan.

Ladang di pinggir jalan

Ketika melalui kampung-kampung itu, saya suspen juga, kalau-kalau pemandu teksi itu bawa saya lari. Dia kata dia hendak bawa saya ke satu tempat yang dia rahsiakan. 

"I want to surprise you", katanya.

Sebahagian hati saya diburu ketakutan dan kebimbangan yang Tuhan sahaja tahu. Macam-macam perkara buruk terlintas di kepala saya. Saya berdoa banyak-banyak semoga Allah sentiasa melindungi saya daripada perkara-perkara buruk. Nauzubillahi min zalik. Ke mana Mamat Cyprus ni nak bawa saya ni?  
Pekan, kampung dan ladang yang saya lalui


Pertanyaan saya itu akhirnya terjawab. Rupa-rupanya saya dibawa ke...

Masjid!

... sebuah masjid! Alangkah gembiranya saya. Alhamdulillah. Inilah masjid yang ingin saya kunjungi kalau berada di Cyprus. 

"I know you like this", katanya. 

Saya ucapkan terima kasih padanya. Pemandu teksi itu memberi saya peluang habiskan masa di masjid itu. Dia menunggu saya di dalam teksi.

Sayapun melawat masjid itu. Hala Sultan Tekke, itulah nama masjid ini. Agak pelik namanya. Hala ertinya ibu saudara (makcik), Sultan itu seseorang yang dihormati, Tekke itu tempat beribadat.

Ketika itu masjid itu dalam pemuliharaan untuk dijadikan salah satu tempat pelancongan. Ketika saya ke situ, tiada siapa yang datang. Sunyi. Di pintu gerbang, di dinding, tertulis ayat-ayat Quran.

Dikatakan masjid itu adalah masjid yang ketiga penting di kalangan orang Islam selepas Masjidil Haram dan Masjidil Nabawi. Tapi saya hairan kenapa saya tak pernah tahu pun tentang ini. Bila saya semak dalam Wikipedia, Wikipedia pun kata masjid ini ketiga/keempat penting dalam Islam. Betul ke? Saya berpendapat maklumat dalam Wikipedia tu tak betul. 

Yang saya tahu masjid yang ketiga penting dalam Islam ialah Masjidil Aqsa (Palestin) dan yang keempat ialah Masjid Quba' (Madinah). Fadhilat solat di keempat-empat masjid ini ada dalam hadis-hadis. 

Tidak pernah pula saya tahu ada hadis tentang Hala Sultan Tekke ni. Tapi kalau saya silap, tolong betulkan saya. Jadi kepada mereka yang taksub sangat dengan Wikipedia, semak-semaklah sikit isi kandungannya. Ada fakta yang salah.

Menara Masjid Hal Sultan Tekke

Masjid Hala Sultan Tekke ini kelihatan tua. Ia dikatakan telah dibina pada 1789. Ibu saudara atau  dalam sumber yang lain mengatakan pengasuh Nabi Muhammad s.a.w. bernama Ummu Haram dikatakan pernah ke situ menaiki keldai. Tiba-tiba terjatuh lalu meninggal di situ. Beliau dikebumikan di situ.

Dikatakan bahawa orang Islam Cyprus sering datang ke situ untuk memberi penghormatan kepadanya. Dia adalah antara wanita yang mati syahid kerana mengikuti rombongan berjihad ke Cyprus. Kalau anda berminat untuk mengetahui kisah bagaimana beliau mati syahid boleh baca: http://www.arabnews.com/variety/islam/article447210.ece


Di dalam Masjid Hala Sultan Tekke

Apabila saya masuk ke dalam masjid itu saya lihat ada permaidani dihamparkan di lantai berhadapan dengan mimbar. Quran diletakkan di atas almari dan rak. 

Makam Ummu Haram di belakang ruang mimbar

Di belakang mimbar terdapat sebuah lagi bilik. Makam Ummu Haram ada di situ.  Ia agak gelap. Makam itu berdinding. Terdapat beberapa helai kain hitam dan hijau dibentangkan di atas makam itu.

Kawasan belakang Masjid Hala SultanTekke

Saya keluar dan melihat di belakang masjid. Terdapat tiga buah kubur di situ. Dikatakan ini adalah kubur-kubur orang ternama di situ.

Kubur di belakang masjid. Tasik garam di bahagian belakang kubur.

Di luar pagar masjid itu saya lihat sebuah tasik garam yang kering. Ia kering  dalam musim panas. Dikatakan bahawa pada musim sejuk, tasik garam ini amat cantik. Burung-burung flamingo datang berehat di situ. Penduduk tempatan pun suka datang berkelah di sini.

Pokok ini diikat dengan sapu tangan

Di satu bahagian belakang masjid saya melihat sebatang pokok yang penuh dengan ikatan sapu tangan di dahan-dahannya. Keadaan seumpama ini telah saya saksikan di tempat-tempat lain di Cyprus. 

Pokok yang diikat dengan sapu tangan terdapat di belakang Masjid Hala Sultan Tekke

Dikatakan pokok ini suci. Penduduk di sini percaya bahawa dengan mengikat saputangan pada pokok suci ini penyakit yang dideritai akan sembuh. Tetapi ini khurafat. Kalau orang Islam yang melakukannya begini bermakna dia telah syirik. Dalam Islam segala amalan dan kepercayaan yang tidak berdasarkan kepada al-Quran, hadith, ijmak dan qias adalah ditolak. 

Quaters perumahan di kawasan masjid

Di sebelah masjid ini ada quaters perumahan. Saya dengar macam ada orang di dalam rumah tu. Mungkin orang itu menjaga masjid ini. Tetapi orang tu tak keluar-keluarpun dari rumahnya. Kalau tidak bolehlah saya tanya-tanyakan pasal masjid ini. 

Apabila saya nak balik, baru ada dua orang pelancong datang melawat masjid tu. Mereka pakai seluar pendek je masuk masjid.

Setelah melawat masjid bersejarah ini saya pun ke lapangan terbang Larnaka untuk terbang balik ke Malaysia.

Masjid Hala Tekke ini rupa-rupanya dekat sangat dengan lapangan terbang Larnaka. Sebelah je.

Lapangan terbang antarabangsa Larnaka

Ingat tak mula-mulanya saya ingin sangat bertemu dengan Profesor Norman dan Profesor AR? Saya amat-amat mengharapkan untuk bertemu dengan mereka.

Namun harapan saya hanya tinggal harapan. Apabila berada di Cyprus, saya tidak dapat bertemu Profesor Norman disebabkan masa yang terlalu cemburu dengan saya. Oleh kerana saya memegang jawatan penting ketika itu saya harus berada di kampus ketika kemasukan siswa baharu ke universiti.  Ada tugas menanti saya.

Lapangan terbang antarabangsa Larnaka yang sempit dan sesak dengan penumpang

Ketika pulang saya juga mempunyai harapan yang tinggi untuk bertemu dengan Profesor AR di Dubai. Tetapi kapalterbang dari Larnaka ke Dubai lewat 4 jam. Jadi penerbangan itupun ditunda.


Transit di Dubai


Apabila saya sampai di Dubai, hanya tinggal 45 minit untuk saya berhenti solat dan mengejar penerbangan seterusnya. Saya terkocoh-kocoh dan berlari-lari dari satu terminal ke satu terminal yang banyak di lapangan terbang Dubai itu. Dahlah pulak tu, terpaksa melalui pemeriksaan kastam.

Ini saya nak ceritakan sesuatu yang cemas tetapi kelakar. Di sinilah ketika Pegawai Kastam di Dubai scan badan saya, badan saya berbunyi. Dua tiga kali saya kena ulang keluar masuk scanner tu. Akhirnya mereka dapati bahawa bunyi itu datang dari kasut saya. Saya disuruh tanggalkan kasut. Kasut saya pun discan.  Saya pun kena ulang sekali lagi jalan melalui scanner. Tetapi berbunyi lagi.

Rupa-rupanya tempat yang berbunyi datangnya dari kaki saya. Peliknya. Ada besi ke dalam kaki saya? Setahu saya kaki saya tak ada besipun. Kemudian mereka berbincang-bincang mengenai kaki saya yang berbunyi. Dua tiga kali mereka scan kaki saya. Tapi kaki saya tetap berbunyi. Bunyi itu datang dari bahagian tulang kaki saya.

Akhirnya mereka "give-up". Mereka berhenti scan kaki saya. Lepas itu barulah mereka lepaskan sayau. Ha..ha..ha.. Kelakarpun ada.

Oleh kerana saya harus mengejar kapalterbang ke Malaysia dalam beberapa minit saya pun terus berlari. Saya kecewa lagi, pertemuan sayau dengan Profesor AR di Dubai tidak diizinkan Allah.


Sampai di KLIA


Sampai di lapangan terbang KLIA, saya discan oleh beberapa pegawai kesihatan, untuk menyemak samada saya dijangkiti virus H1N1 atau tidak. Sekiranya ada, saya kena quarantin. Saya didapati tidak membawa sebarang virus pulang. Alhamdulillah, ia tidak berlaku.

Tetapi selepas sehari kembali ke Malaysia, saya demam. Tetapi ini adalah demam yang biasa saya hadapi setiap kali saya pulang dari luar negara.

Itulah kisah suka duka kembara saya di Cyprus. Kembara yang banyak mendewasakan saya.

Teruslah bersama kembara saya. Entri akan datang adalah entri terakhir untuk kembara saya di Cyprus. Nantikan. 




...bersambung

Sabtu, 18 Februari 2012

Pafos: Kota Purba Peninggalan Alexander the Great

Gereja tua di Yeroskipou

Selepas berada di pantai Petra tou Romiou, saya dibawa oleh pakej pelancongan saya itu ke perkampungan Yeskipou. Di kampung ini saya dibawa melawat Basilica iaitu gereja tua yang masih digunakan.

Kedai menjual makanan tradisional Cyprus di Yeroskipou
Pekan Yeroskipou

Di sekitar Basicila itu terdapat pasaraya, bank dan kedai-kedai yang menjual barang-barang kraftangan  dan kuih tradisi Cyprus yang popular iaitu Turkish Delight dan Loukoumia. Kami dibawa masuk ke dalam kedai menjual kuih ini.

Cafe di tepi jalan Yeroskipou
Di pinggir jalan Yeroskipou

Setelah melawat Yeroskipou saya dibawa ke Pafos. Pafos letaknya di bahagian barat daya pulau Cyprus, kira-kira 57.27 km dari Limassol.

Pafos dahulunya adalah kawasn nelayan yang sepi tetapi telah berubah wajah kepada kawasan pelancongan kerana penemuan tapak-tapak arkeologi yang amat bernilai kepada negara Cyprus.

Pafos mempunyai sejarahnya sendiri. Ia pernah menjadi ibu negeri Cyprus selama tujuh abad di bawah pemerintahan Alexander the Great. Tetapi ibu kota Cyprus kemudiannya berpindah ke Nicosia.

Tapak gereja yang sudah musnah

Saya dibawa ke tapak gereja yang sudah musnah. Dikatakan bahawa Saint Paul pernah datang ke sini untuk menyampaikan ajaran Gospel. Tetapi kemudian dia diikat pada tiang gereja itu dan disebat sebanyak 38 kali. Dia dihukum kerana ketika itu pemerintahnya menolak ajaran Gospel. St Paul mati di situ.

Pantai Pafos

Kemudian saya dibawa ke tepi pantai di Pafos. Saya terpesona dengan keindahan lautnya yang membiru dan kubu pertahanan yang masih utuh berdiri di pesisir pantai. Ia dipanggil Pafos Castle. Saya berpeluang masuk ke dalam castle/kubu ini. Ia harus diseberangi dengan sebuah titi kecil. Amat menyeronokkan. Seolah-olah saya sedang berada di dalam filem-filem Amerika atau Britain yang disetkan di zaman raja-raja  purba yang tinggal di castle yang di kelilingi air dan mesti diseberangi dengan sebuah titi.

Pafos Castle di pesisir pantai Pafos


Kawasan Castle/kubu ini adalah pelabuhan Byzantine yang digunakan untuk mengawal Pafos dari serangan. Ia pernah musnah beberapa kali dan dipulihkan kembali beberapa kali. Ia pernah menjadi pelabuhan pada zaman Rom, kota pada zaman feudal, menara pada zaman Turki (Usman) dan gudang garam pada zaman British. Tetapi sekarang ia tinggal kosong untuk kita lawati. 

Saya masuk ke dalam kota/kubu ini dengan hanya membayar lebih kurang 50 sen sahaja. Saya naik kota itu sehingga ke bahagian atas. Saya menaiki tangga-tangga yang sempit dan kecil untuk ke bahagian atas. Kota ini dibina dengan batu-batu lada. Di atasnya saya dapat melihat laut Mediterranean yang terbentang luas saujana mata memandang. Lensa kamera saya sudah pasti tidak jemu menyorot dan merakam keindahannya.

Di dalam Pafos Castle

Di atas kota ini pernah diletakkan meriam untuk mempertahankan kota ini. Pada zaman pemerintaham Usman bahagian atas ini dijadikan masjid.

Pemandangan di pesisir pantai Pafos dari atas Pafos Castle

 Terdapat ramai pelancong-pelancong kulit putih di situ. Mereka bercuti dan bersantai-santai. Mereka  juga peramah dengan saya.

Kedai cenderamata dan cafe di tepi pantai Pafos

Di tepi pantai tidak jauh dari kubu ini terdapat banyak kedai-kedai cenderamata dan juga kedai-kedai makan. Terasa ingin makan, tetapi tidak yakin dengan kehalalannya. Niat saya itu saya lupakan sahaja.

Saya memasuki kedai-kedai cenderamata, melihat-lihat barang yang dijual. Saya tidak membeli sebarang cenderamata di sini kerana harganya agak mahal berbanding dengan yang terdapat berhampiran dengan hotel di Limassol. Saya bercadang untuk membeli cenderamata di Limassol sahaja.

Tapak arkeologi Pafos ini diiktirafkan oleh UNESCO sebagai warisan dunia

Tidak jauh daripada kedai-kedai ini terdapat satu kawasan yang menarik untuk dilawati. Iaitu tapak arkeologi yang diiktirafkan oleh UNESCO sebagai warisan dunia. Ia mempunyai bangunan-bangunan purba yang telah runtuh akibat gempa bumi.

Dalam bangunan-bangunan ini terdapat mozaik yang disusun rapi oleh pembuatnya. Dikatakan bangunan ini adalah milik orang kaya. Dia telah menempah pembuat mozaik untuk membentukkan lantai rumahnya dengan motif-motif dewa Greek dan cerita-cerita lagenda Greek. Saya dapati ia adalah satu kerja seni yang amat tinggi. Pembuatnya pasti seorang yang tekun.

Mozaik-mozaik ini masih elok. Motif-motifnya masih boleh dilihat dengan jelas. Ia lambang kemewahan orang-orang Pafos suatu ketika dahulu iaitu pada abda ke-3 AD. Rumah-rumah mewah ini dinamakan sempena dengan nama Dewa orang Greek iaitu Dionysus dan Aion.

Di bawah ini saya pamerkan mozaik-mozaik yang saya maksudkan itu untuk dikongsi bersama.

Mozaik bermotifkan dewa-dewa dan lagenda Greek purba pada lantai bangunan 
 Runtuhan binaan di tapak arkeologi Pafos

Itulah kesenian purba yang masih dipelihara di Pafos. Lawatan ini bergitu berharga. Runtuhan seumpama ini pernah saya saksikan di Acropolis ketika melawat Greece pada tahun 1986. Ia mempunyai ciri-ciri  yang hampir sama. Ini dibuktikan melalui senibina, kepercayaan, mitos, seni motifnya, tulisan dan bahasa yang digunakan.

Runtuhan kota berlaku di sini dan sisa-sisa peninggalannya boleh kita jadikan iktibar. Di sini izinkan saya memetik firman Allah:
“Tidak ada suatu negeri pun (yang derhaka penduduknya), melainkan Kami membinasakannya sebelum hari kiamat atau Kami azab (penduduknya) dengan azab yang sangat keras. Yang demikian itu telah tertulis di dalam kitab (Lauh Mahfuz).” (Al-Israak:58)
Ikutilah kembara saya di Cyprus dalam entri yang akan datang. Ada kisah suspen semasa di Cyprus. Akan saya ceritakan nanti.

...bersambung

Selasa, 14 Februari 2012

Petra tou Romiou: Mandi Bogel Malam Jumaat Untuk Awet Muda

Masih lagi di selatan Cyprus. Bas mini yang saya naiki membawa saya ke kampung lain pula.

Waktu sudah tengahari. Bas itu singgah di sebuah kafe tepi pantai yang indah. Kafe itu juga ada jual cenderamata. Saya cuma jamu mata sahaja.

Cafe tepi pantai Petra tou Romiou 

Matahari sangat terik. Tekak saya terasa sangat kering. Saya duduk minum di kafe tepi pantai itu. Saya duduk di tepi tingkap. Saya nampak sebuah patung bogel berdiri dengan gaya seksi di luar tingkap kafe, menghadap laut. Patung Dewi Cinta, agaknya?

Dari tingkap kafe itu saya dapat lihat pantai yang indah. Bak lukisan indahnya. Nama pantai itu ialah Petra tou Romiou. Ia juga tidak jauh dari Pafos iaitu sebuah lagi kota tepi pantai yang bakal saya lawati. Petra tou Romiou ini 25 km dari timur Pafos.

Bunga-bunga musim panas yang terdapat di taman belakang cafe


Setelah minum secawan teh, saya pergi ke belakang kafe dan memasuki taman-taman yang ada di situ. Cantik!

Petra tou Romiou ~ tempat kelahiran Aphrodite dari jarak atas bukit
 

Saya berjalan lagi ke belakang taman. Saya berada di atas tanah tinggi. Dari tanah tinggi ini saya lihat laut Mediterranean yang terbentang luas. Tiga buah bongkah batu kapur kelihatan hampir dengan pantai. Ia terbentuk hasil daripada hakisan air laut. Amat indah. Bagaikan berada di alam fantasi, itulah perasaan saya.

Lazimnya, apabila sesuatu tempat itu terlalu indah, maka timbulah berbagai-bagai kepercayaan.

Inilah tempat kelahiran Aphrodite ~ Dewi Cinta dan Kecantikan ~ dalam jarak dekat


Menurut kepercayaan penduduk di sini, itulah tempat kelahiran Dewi Cinta dan Kecantikan yang bernama Aphrodite. Dewi Cinta dan Kecantikan ini muncul dari buih air laut Mediterranean ini dalam keadaan berbogel.

Aphrodite hanyalah mitos, bukannya sejarah yang benar-benar berlaku, namun kepercayaan kepadanya amat kuat. Sehingga kini tempat ini dianggap keramat. Ada yang mempercayai bahawa untuk seseorang itu kelihatan sepuluh tahun muda dan cantik dia mestilah mandi di sini. Caranya dia mestilah mandi bogel, di tengah-tengah malam, hari Jumaat, 13 haribulan. (Hee ... Seramnya, macam dalam filem Friday the 13th lah pulak). Orang Indonesia kata malam Jumaat kliwon?

Sebuah gambar lukisan tentang seorang wanita mandi di laut Petra tou Romiou. Sumber: camphalfblood.wikia.com 
Gambar wanita mandi bogel di laut Petra tou Romiou


Patung Aphrodite di laman cafe. Patung dewi ini diabadikan pada kotak makanan.

Oleh kerana kepercayaan dan mitos yang kuat terhadap Aphrodite kebanyakan tempat-tempat perniagaan diberi nama sempena nama Dewi Cinta dan Kecantikan ini. Sehinggakan patung Dewi Cinta ini diabadikan di hadapan kafe ini. Kotak bungkusan makananpun gambar Dewi ini.

Organisasi Pelancongan Cyprus juga menggunakan mitos ini di setiap kawasan pelancongan termasuklah di muzium, tapak arkelogi dan taman.

Aphrodite juga adalah lambang kesuburan wanita kerana dia ada anak hasil perkahwinannya dengan Dewa Dionysus. Aphrodite juga adalah penjaga laut dan penjaga kesuburan pertanian. Jadi nelayan dan petani berharap sangat pada Dewi ini.

Berbalik pula kepada mandi bogel malam Jumaat di Petra tou Romiou. Dalam Islam, kalau kita percaya bahawa dengan mandi bogel di malam Jumaat kliwon boleh awet muda, ini dipanggil khurafat.

Barulah saya tahu bahawa ramai orang Cyprus percaya kepada khurafat. Kepercayaan khurafat ini terlihat juga pada pohon-pohon yang terdapat di sekitar Cyprus. Cuba anda renung pokok dalam gambar di bawah ini. Apakah yang boleh anda simpulkan?

Di pinggir-pinggir jalan saya lihat banyak saputangan diikat pada ranting-ranting pokok. Kelihatan sebuah masjid di tepi jalan (gambar bawah - kiri)

Gambar di atas ini aku ambil dalam perjalanan saya ke Pafos. Saya lihat banyak pokok-pokok di sini diikat dengan saputangan pada ranting-rantingnya, dan saputangan itu sudah carik-carik. Pokok-pokok ini pula tidak berjauhan dengan masjid. Cuba tengok gambar kiri, bawah. Ada masjid kan?

Apakah maksud ikatan saputangan pada ranting-ranting pokok ini? Mengapa mereka berbuat demikian?

Orang di sini mengikat saputangan pada ranting pokok. Mungkin percaya bahawa dengan berbuat demikian permintaan mereka tercapai?

Orang Cyprus mempercayai bahawa pokok itu keramat. (Mereka itu mungkin termasuk orang Islam kerana pokok ini berdekatan dengan masjid). Mereka percaya sekiranya mereka mengikat saputangan di ranting pokok itu maka penyakit yang dideritai akan sembuh.

Dalam Islam khurafat adalah satu bentuk penyelewengan aqidah. Ia mengalihkan pergantungan manusia daripada Yang Maha Pencipta kepada makhlukNya yang dicipta. Allah menyeru hamba-hambanya bergantung kepada Allah. Firman Allah:
"Demi jika engkau tanyakan kepada mereka, siapakah yang menciptakan langit dan bumi, nescaya mereka menjawab: (Ialah) Allah. Katakanlah: Adakah kamu lihat, jika Allah menghendaki kemelaratan bagiku, dapatkah tuhan-tuhan (berhala-berhala) yang kamu sembah, selain daripada Allah menghilangkan kemelaratan itu?  Atau Allah menghendaki rahmat untukku, dapatkah mereka menahan rahmat itu? Katakanlah: Yang mencukupiku hanya Allah, kepadaNya bertawakkal semua orang yang bertawakkal." (Surah Al-Zumar: 38)
Dalam entri yang akan datang saya akan ceritakan lawatan saya ke kota peninggalan Alexander the Great. Ikutlah pengembaraan saya di Cyprus.


...bersambung

Sabtu, 11 Februari 2012

Episkopi: Kembali ke Zaman Greek-Rom Purba

Apa guna kalau ke luar negara tetapi tidak meninjau-ninjau keindahan negeri dan peninggalan sejarahnya. Walaupun jadual saya ketat, saya masih menyempatkan diri untuk melihat-lihat negerinya.

Oleh kerana masa saya di Cyprus cuma 4 hari, maka saya ambil pakej lawatan. Saya bayar dalam RM250.00.

Bas mini yang membawa saya bersama-sama dengan kira-kira 20 orang pelancong sampai di hadapan hotel saya di Limassol pada pukul 7.00 pagi. Kebanyakannya orang putih. Tempat-tempat yang saya pergi ialah: Episkopi, Petra tou Roumio, Yeskapou dan Pafos. Saya ada sehari untuk melawat keempat-empat tempat ini.

Sumber: cyprusq.com

Jom ikut saya kembali ke zaman Greek-Rom purba.

Kota Greek-Rom purba ini bernama Kourion (atau Currium). Letaknya di bahagian barat Limassol iaitu di kampung Episkopi. Untuk sampai ke Episkopi saya melalui ladang-ladang. anggur, limau dan zaitun. Luasnya!

Dahulunya Kurion adalah kota mewah dan penting. Ia terletak di atas tebing berhadapan dengan Laut Mediterranean yang biru dan luas. Kota purba ini dibina pada abad ke-2 (iaitu sebelum kelahiran Nabi Isa a.s.). Tapi kota purba ini dan bangunannya telah runtuh. Runtuh akibat gempa bumi. Gempa bumi ini telah berlaku sebanyak lima kali dalam jangka masa 80 tahun. Oleh kerana gempa bumi berlaku berkali-kali akhirnya kota ini musnah. Namun begitu sisa-sisanya masih dapat kita lihat.

Rumah Eustolios di Episkopi

Salah satu rumah yang saya lawati ialah Rumah Eustolios. Binaan Rumah Eustolios amat menakjubkan. Mozaiknya disusun menjadi karakter dalam mitos orang Greek dan cerita-cerita masyhur mereka. Ada mozaik berbentuk ikan, ayam dan burung. Sungguh teliti buatannya.

Di kawasan itu juga terdapat tempat mandian awam, tempat pertemuan, bilik-bilik dan tempat beribadat. Terdapat juga rumah-rumah penting seperti Rumah Archilles (Dewa Greek) dan Rumah Gladiator (banduan yang berlawan dengan singa). Dikatakan bahawa banduan harus berlawan dengan singa. Sekiranya dia menang barulah dia dibebaskan! Kejam kan! Peluang untuk menang tu tentulah tipis.

Dari atas tebing saya dapat melihat ladang-ladang dan rumah-rumah peladang. Sungguh indah. Untuk habis melawat kota purba ini memerlukan 2-3 jam berjalan kaki. Namun saya tidak berbuat demikian, sebab saya ikut jadual kumpulan pakej. Saya ikut saja ke mana mereka bawa.

Kurion sebuah kota yang dulunya mewah tetapi telah runtuh akibat gempa bumi
Arena teater Kurion yang dibina pada abad ke-2


Satu lagi tempat yang menarik untuk dilawati ialah teater Kurion (Curium Theatre). Ia letaknya bersebelahan dengan kota Kurion tadi. Gambar di atas ini ialah teater Curium. Ia berbentuk arena (bulat) meniru bentuk teater Greek dan Rom. Ia dibina pada abad ke-2.

Teater ini terbuka dan dibina betingkat-tingkat menghadap Laut Mediterranean. Drama yang biasa dipersembahkan di sini ialah Drama Greek Purba. Ia boleh memuatkan sehingga 3,5000 orang penonton. Sekarang ia dipelihara dan dijaga sebagai satu aset dalam industri pelancongan Cyprus. Teater Shakespeare dipentaskan setiap tahun di sini. Seronoklah kalau dapat tengok teater di sini kan? Saya pernah menonton teater Greek di tempat macam ini ketika saya mengembara ke Athens, Greece pada tahun 1986. Kembara saya di Kurion ini sedikit sebanyak menghilangkan rindu saya pada Greece.

Pada zaman kegemilangan Kurion, inilah gelanggang gladiator, iaitu tempat banduan atau hamba berlawan dengan singa dan disaksikan oleh ribuan penonton. Raja-rajanya jadikan ini sebagai hiburan. Kejam kan? Patutlah kota ini musnah, kerana Allah murka.

Pada hari ini Kurion ini juga menjadi tumpuan orang untuk mandi-manda, hang gliding dan paragliding. Tetapi semasa saya di sini, saya tak nampakpun. Mungkin bukan masanya.


Kuaters British yang kelihatan dari dalam van

Gambar di atas ini adalah kuaters tentera British. Ia letaknya tidak berjauhan dengan kota Kurion dan teater ini.

Pengajaran yang saya dapat dari melawat kota Kurion yang runtuh akibat gempa bumi ini ialah kekayaan dan harta yang menjadi kebanggaan manusia suatu ketika dahulu tidak kekal lama. Ia akan musnah sekiranya dikehendaki Allah. Begitu juga kekejaman sesama manusia sebagaimana yang dilakukan dalam sukan gladiator: perlawanan manusia dengan singa, dimurkai Allah. Firman Allah:
"Apabila Kami kehendaki akan membinasakan satu negeri, (lebih dahulu) Kami suruh orang-orang yang mewah (supaya taat), lalu mereka fasik (durhaka), sebab itu berhaklah mereka ditimpa siksaan, lalu Kami binasakan negeri mereka sebinasa-binasanya" (Al-Israak, 17:16).
Lawatan saya di Cyprus tidak berakhir di sini. Selepas melawat runtuhan kota di Kurion saya pergi melihat tempat kelahiran Dewi Cinta. Siapakah Dewi Cinta? Teruskan bersama saya di Cyprus dalam pos yang akan datang.

...bersambung

Khamis, 9 Februari 2012

Limassol | 3: Ada Sungai Tapi Tiada Air

Berdebar dan gemuruh adalah perasaan saya hari itu. Apa tidaknya, kertas kerja saya akan dibentangkan pagi itu sebaik sahaja majlis perasmian selesai. Saya tidak dapat bayangkan apakah reaksi mereka yang hadir nanti. Apakah soalan yang akan mereka tanya? 

Persidangan antarabangsa di Cyprus ini mempertemukan saya dengan cendiakawan dan penyelidik dari seluruh dunia. Mereka hadir untuk membentangkan hasil penyelidikan mereka. Kebanyakannya dari Eropah. Persidangan ini bertemakan pemuliharaan sumber air. Iaitu mengenengahkan isu-isu air dan penyelesaian kepada masalah sumber air. Ia dianjurkan oleh European Water Resources Association yang berpusat di Itali dengan kerjasama Faculty of Civil  & Environmental Engineering, University of Cyprus.  Persidangan ini diadakan selama tiga hari (25-27 Jun 2009), di Elias Beach Hotel, Limassol, Cyprus.

Teksi yang menghantar saya ke persidangan pada hari itu datang tepat pada waktunya, lalu menghantar saya ke Hotel Elias. Pemandu teksi itu pula meminta saya jangan ambil teksi lain selepas persidangan. Dia akan mengambil saya.

Elias Beach Hotel di Limassol, Cyprus

Inilah keadaan hotel tempat Persidangan Konservasi Sumber Air itu diadakan. Bunga-bunga dan pohon palma menghiasi taman. Oleh kerana Cyprus beriklim subtropika maka saya boleh lihat pokok pisang dan petai belalang di sini.

Belakang Hotel Elias Beach  menghadap laut 


Hotel Elias ini terletak di tepi pantai. Ini ialah gambar di belakang hotel Elias yang saya ambil pada waktu pagi. Suasananya agak sunyi. Orang ramai datang ke tepi pantai untuk berjemur pada waktu petang.

Paderi membaca doa majlis

Orang Cyprus kebanyakannya beragama Kristian Ortodoks. Lihatlah di dalam majlis perasmian persidangan ini, orang lelaki (paderi) yang berjubah dan bertopi hitam ini membacakan doa majlis mengikut cara agama mereka.

Kertas kerja saya dibentangkan di dewan luas ini, di tempat majlis perasmian diadakan. Walaupun saya telah banyak membentangkan kertas kerja, namun saya masih gementar. Setelah membaca doa menghilangkan gemuruh sayapun membentangkan hasil penyelidikan saya.

Alamak! Mikrofon dan podium di hadapan saya terlalu tinggi buat saya. Saya tenggelam daripada pandangan orang ramai. Laptop yang diletakkan di atas podium itu sudah tentulah tak tercapai oleh tangan saya. Saya mohon pertolongan.

Tapi tidak ada seorang teknisyen pun yang bantu. Staf yang adapun buta teknikal. Tak tahu nak buat apa. Saya sendiri bersusah payah mengubah kedudukan saya dan merendahkan mikrofon. Lalu mencari alat kawalan jauh untuk saya klik slaid powepoint saya di atas skrin projeksi.

Kesian saya :( Sungguh mereka tidak prihatin bahawa orang Asia ini tidak tinggi macam orang Eropah.  Mengapa tidak mereka sediakan podium yang lebih rendah? Atau letakkan meja biasa. Sudah.

Topik yang saya bentangkan lebih menumpu kepada peranan NGO air dalam menangani masalah air di Malaysia. Selesai membentangkan kertas kerja saya, maka tugas saya dianggap selesai. Sesi soal jawab pun tidak memerlukan saya memeras otak. Hilang sudah debaran saya. Kerta kerja saya itu telahpun diterbitkan dalam prosiding persidangan tersebut. Alhamdulillah.

Daripada pembentangan kertas kerja penyelidik lain di persidangan ini, barulah saya tahu bahawa Cyprus mengalami masalah air yang serius. Cyprus ada sungai tetapi tiada air. Sungai-sungai di Cyprus semuanya kering pada musim panas. Air sungai hanya ada pada musim sejuk (winter). Itupun ketika salji cair. Tetapi cara begini tentulah sukar kerana air yang dihasilkan tentu sedikit.

Barulah saya rasa amat bertuah tinggal di Malaysia yang kaya dengan sumber air dan banyak sungai. Sungai-sungai kita pula tidak pernah kering. Syukur alhamdulillah kita tidak mengalami masalah air sebagaimana yang berlaku di Cyprus. Mengenangkan ini marilah kita sama-sama menghargai air. Jangan bazirkan air.

Persidangan pemeliharaan dan pemuliharaan sumber air  di Cyprus yang saya hadiri

Setelah minum petang di hotel itu saya menelefon Profesor Norman yang berada di Cyprus Utara. Limassol dengan Nicosia berjarak 63 km. Saya cuma dapat meninggalkan pesanan suara sahaja di telefon Profesor Norman. Barangkali dia sibuk.

Ketika menelefon saya terlihat iklan bahawa hotel itu menyediakan pakej lawatan ke tempat-tempat utama di Cyprus. Saya pun mengambil peluang ini kerana persidangan ini tidak menyediakan lawatan di dalam programnya. "Kalau lawatan kita singkat, pilihlah pakej begini." Itulah yang selalu dinasihatkan orang.

Setelah menghadiri beberapa pembentangan kertas kerja di persidangan itu saya pun pulang ke Navarria Hotel. Teksi yang mengambil saya pagi tadi sudah sedia menunggu saya, lalu menghantar saya pulang. Dia juga menawarkan dirinya untuk membawa saya ke mana-mana saja yang saya kehendaki.

"Tinggal di pekan kecil ini kurang penumpang," katanya.

Jadi dia amat-amat mengharapkan saya menaiki teksinya. Dia juga menawarkan dirinya untuk menghantar saya ke lapangan terbang di hari terakhir saya di sini. Senangkan!

Ada kisah menarik dan unik ingin saya ceritakan kepada anda. Saya ingin mengajak anda kembali ke zaman purba. Ikutilah kisah menarik ini dalam entri yang akan datang.

...bersambung