Apakah yang
anda lakukan sekiranya anda ke Jinan? Jinan terletak di Barat daya Shandong iaitu di Timur China. Jinan ialah ibu kota provinsi
Shandong. Ia terletak tidak jauh dari tempat kelahiran Confucius.
Klik di sini untuk melihat peta Jinan
Klik di sini untuk melihat peta Jinan
Menaiki Bullet Train dari Beijing ke Jinan
Saya ke Jinan baru-baru ini kerana menemani kawan saya Liza untuk urusan perniagaannya di situ.
Liza sampai di Beijing dari Penang pada pukul 3 pagi dan dia terus ke stesen keretapi Beijing Selatan. Dia mengambil bullet train ke Jinan pada pukul 7.30 pagi kerana dia ada temujanji dengan seseorang di Jinan dan dia tidak mahu terlambat. Saya menyusul kemudian kerana perkhidmatan keretapi subway dari rumah saya di Chaoyang bermula pada pukul 6.00 pagi.
Menaiki bullet train dari Beijing ke Jinan amat mudah walaupun saya tidak fasih
berbahasa China. Tiket saya ambil setengah jam sebelum keretapi bertolak. Liza
yang sudah bertolak pada pukul 7.30 pagi sudah berpesan kepada saya supaya membeli
tiket ke Jinan bukan Jinan Barat. Tetapi malangnya tiket untuk ke stesen Jinan pada
sebelah pagi kehabisan. Yang ada cuma selepas pukul 2 petang. Penjual tiket (yang hanya tahu bahasa China)
itu menyuruh saya membeli tiket untuk ke Jinan Barat sekiranya hendak bertolak
pada pukul 8.00 pagi. Saya lalu membeli tiket pada 8 pagi ke Jinan Barat dan
bercadang akan mengambil teksi ke Jinan.
Setelah
membeli tiket saya ke tingkat atas stesen keretapi Beijing Selatan dan mencari platform keretapi (bullet train)
berlepas. Keretapi yang berkepala peluru dengan mudah ditemui. Tidak berapa
lama selepas saya duduk di kerusi, keretapi peluru (bullet train) ini pun bergerak. Keadaan dalam bullet
train ini amat selesa.
Bullet train ke Jinan ini mempunyai pramugari seperti menaiki kapal terbang |
Minuman, makanan ringan dan cenderamata dijual di dalam bullet train ke Jinan |
Bullet train ini sentiasa dijaga bersih |
Kalau kita naik keretapi biasa dari Beijing ke Jinan ia memakan masa 5 jam. Tapi dengan menaiki bullet train ia hanya memakan masa 1.5 jam. Bullet train ini bergerak laju sehingga 340 km/jam. Bullet train ini juga pergi ke Shanghai dan mengambil masa 3.5 jam dari Jinan.
Stesen Jinan Barat yang luas dan moden ini terletak di suburb Jinan barat di daerah Huaiyin iaitu di luar pusat metropolitan Jinan |
Bullet train yang saya naiki itu berhenti di Stesen Jinan Barat (Jinan West Station). Apabila
sampai, sahabat saya Liza yang bertolak setengah jam lebih awal daripada saya pun
baru sampai di Stesen Jinan, yang jaraknya kira-kira 30 km dari stesen Jinan
Barat. Jadi bullet train yang saya naiki tadi bergerak lebih pantas daripada bullet train yang Liza naiki. Liza juga terkejut melihatkan saya sampai pada waktu
yang sama dengannya!
Sewa Hotel Pun Boleh Ditawar
Sesampainya di Jinan Liza mencari hotel berdekatan dengan stesen Jinan lalu memberikan saya alamatnya dalam tulisan China. “Hotel Shandong,” katanya. Saya pun menaiki teksi ke hotel itu.
Hotel yang saya inapi itu 180 yuan semalam. Pada pandangan saya ia mahal kerana hotel begini
biasanya berharga 130 yuan semalam. Menurut Liza hotel itu pada mulanya
berharga 250 yuan semalam, tetapi setelah Liza menolak dan mahu meninggalkan
hotel itu, mereka memanggilnya semula dan mengurangkan harga sewa hotel itu
kepada 180 yuan. Barulah saya tahu bahawa harga hotel pun boleh ditawar di China
ni! Kelakar, kan?
Hotel Shandong letaknya di hadapan stesen keretapi Jinan yang terletak di Sentral Jinan |
Hotel Shandong menyediakan komputer dan wifi |
|
Restoren Halal di Sekitar Hotel Shandong
Hotel Shandong
terletak berdekatan dengan beberapa buah restoren halal. Saya jumpa 3 buah
restoren halal yang letaknya di tepi, di belakang dan di kanan hotel Shandong. Jadi
tidak ada masalah makan langsung di sini.
Restoren halal ini letaknya di sebelah hotel Shandong |
Lam mien (mee tarik) yang popular di restoren halal di Jinan dan serata China |
Jinan adalah pusat sajian makanan Shandong.
Sebuah restoren halal berdekatan Hotel Shandong |
Satay kambing halal adalah makanan yang mesti dicuba di Jinan. Ia dijual di kawasan perniagaan Muslim di Yongchang Lu |
Kerabu sengkuang Jinan ini amat enak. Ia terdapat di kawasan perniagaan Muslim Yongchang Lu |
Sentral Jinan
Sentral Jinan |
Hotel Shandong terletak di Sentral Jinan.
Jinan adalah kota yang pernah dijajah oleh German dan Jepun. Kini Jinan mempunyai ekonomi yang kukuh dalam industri keluli, peralatan pengangkutan, IT dan tekstil. Jinan juga mempunyai Zon Pembangunan Industri Teknologi Tinggi (hi-tech) dan National Heavy Duty Truck Group. Ramai pelabur asing melabur di Jinan dan ini membuatkan Jinan antara 50 kotaraya utama di China.
Penduduk di Jinan becakap dalam dialek yang berbeza dengan Mandarin
Beijing. Mereka menggunakan Mandarin Jinan. Kebanyakan pekerja di sini
adalah pekerja imigran yang datang dari luar Jinan tetapi mereka telah
belajar menggunakan dialek Jinan. Kebanyakan penduduk di sini adalah
dari etnik Han dan diikuti oleh orang Hui (Islam) dan Manchu.
Urusniaga di Jinan
Menemani kawan berurusniaga di Jinan adalah pengalaman yang menarik bagi saya. Selain daripada dapat melihat jenis-jenis perniagaan yang boleh dilakukan, saya juga dapat mengetahui cara orang China bekerja.
Penulis menemani Liza mengadakan perbincangan perniagaan di bangunan ini |
Penulis (bertudung ungu) menemani Liza (bertudung biru) menjalankan urusniaga di Jinan. Turut sama ialah rakan perniagaan Liza iaitu dua orang wanita China |
Kota Jinan waktu petang |
Membeli-belah di Jinan
Membeli-belah pakaian di sebuah pusat membeli-belah di Jinan |
Selain
melakukan urusan perniagaan, saya menemani Liza membeli-belah. Turut menemani
kami ialah dua orang gadis Jinan yang berurusniaga dengan Liza.
Kebanyakan
kedai menjual pakaian, beg dan aksesori wanita. Kami dapati bahawa harga
barangan di sini lebih kurang sama dengan harga di Beijing.
Penulis bersama Liza dan rakan-rakan niaganya di luar pusat membeli-belah di Jinan (Quancheng Square) |
Taman Mata Air Baotu
Selain
daripada itu kami melawat taman dan kolam mata air yang amat popular di
Jinan, Shandong iaitu Mata Air Baotu. Jinan dikenali sebagai Kota Mata Air (Quan
Cheng) kerana lebih 700 buah mata air semulajadi melalui bawah tanah kota Jinan. Antara
semua mata air itu Mata Air Baotulah yang paling terkenal. Mata air ini
mengalir dari bawah gua. Luas taman Mata Air Baotu ini ialah 10.5 hektar.
Air mata air
ini boleh diminum. Maharaja Qing Long dari Dinasti Qing telah mencubanya,
beliau mendapati teh yang dibuat dari mata air ini wangi lalu menamakan tempat
ini sebagai “Mata Air Pertama di bawah Syurga" (The First Spring Under Heaven). Terdapat juga pelbagai taman di
dalam Taman Baotu ini seperti taman buah delima, taman buluh, taman bunga kekwa
dan bangunan-bangunan purba China. Dikatakan tidak lengkap ke Jinan sekiranya
tidak melawat Taman Mata Air Baotu.
|
|
Berjalan-jalan sambil berbincang tentang bisnes di Taman Mata Air Baotu |
Taman buah delima di Taman Mata Air Baotu |
Lukisan dalam Botol Kaca, Seni Kraftangan Jinan Yang Unik
Lukisan bunga-bungaan Jinan dan pemandangan Jinan dalam botol kaca yang saya terima sebagai hadiah |
Lukisan
indah dalam botol kaca seperti di dalam gambar di atas adalah seni kepandaian orang Jinan. Seni ini hanya boleh didapati di Jinan. Botol kaca indah ini dihadiahkan kepada saya oleh Mawar. Ingat tak Mawar? Kalau lupa siapa Mawar,
sila imbas balik di sini. Mawar ialah
orang China yang belajar bahasa Melayu di Universiti Komunikasi China di
Beijing. Mawar berasal dari Jinan. Mawar selalu membantu saya menterjemah dan mengalih bahasa semasa saya di China. Lukisan dalam
botol dari Jinan yang dihadiahkan oleh Mawar ini amat bernilai kepada saya.
Mengembara
sambil menemani kawan berurusniaga selama 4 hari di Jinan telah membuka fikiran saya dan dapat melihat perbezaan kemajuan dan pembangunan di China. Saya dapati bahawa kemajuan di China tidak sekata. Tidak semua negeri di China
menerima arus pembangunan yang sama rata. Wilayah Autonomi seperti Mongolia Dalam, Xinjiang dan Ningxia tidak menerima pembangunan yang
sepatutnya. Umpamanya perkhidmatan keretapi dan tandas awam mereka amat buruk
berbanding dengan Jinan, Tianjing dan Beijing. Mengapakah feneomena
anak tiri dan anak emas berlaku di sini?
Setakat ini sahaja yang dapat saya ceritakan tentang Jinan. Jumpa lagi di lain entri!
Baca juga nota kembara berikut:
Tianjin: Menaiki Bullet Train dan Sehari di Kota Moden
[ ] KEMBARA SOLO KE XI'AN (1): Dugaan Naik Keretapi di China
Backpack ke Kota Ais Haerbin (1): Persediaan Sebelum Berangkat dan Menaiki Keretapi Berkelajuan Tinggi
[] Panduan Menaiki Keretapi di Beijing (1): Dalam Bandar
[] Panduan Menaiki Keretapi di Beijing (2): Dari Lapangan Terbang Beijing ke Pusat Bandar
[] Panduan Menaiki Keretapi di Beijing (3): Dari Beijing ke Bandar-bandar Utama di China
[] Panduan Menaiki Kenderaan Awam di Beijing
Bahagian utara China hampir katam NA lawati...
BalasPadamKat sini ke asalnya kacang Shandong tu...
Salam Mie,
PadamAlhamdulillah bahagian utara China saya hampir khatam. Hanya bahagian utara sahaja yang mampu saya lawati buat masa ini. Bahagian selatan dan yang lainnya Allahualam.
Ya, Shadong menghasilkan antara kacang yang terbaik/terbanyak di China. Ini disebabkan oleh cuacanya yang sederhana, tanahnya yang berpasir dan mengandungi phosphate.