Anda orang Islam? Pertama kali ke Beijing? Risau mencari makanan halal di Beijing? Entri kali ini dibuat khas kepada pembaca dan rakan-rakan Nota Kembara yang beragama Islam, lebih-lebih lagi kepada yang pertama kali ke Beijing. Di sini saya senaraikan beberapa panduan berguna untuk anda.
1. Makanan Halal
Makanan halal bukanlah susah nak dicari di Beijing ini. Terdapat banyak kedai-kedai yang menjual produk halal. Cumanya kita kena rajin mencari. Rajin baca bahan-bahan kandungan pada paket/bungkusan makanannya. Namun begitu kebanyakannya dalam tulisan China, bukan? Jadi bagaimanakah hendak mengenalinya? Adakah halal disebut halal di China? Jangan risau kalau anda tidak tahu. Di sini saya ingin kongsi sedikit sebanyak yang saya ketahui.
Di China, kebiasaannya tulisan halal tidak ditulis dalam rumi atau jawi. Makanan halal di China disebut
qīngzhēn cài (清真菜). Kalau diterjemahkan qingzhen bermaksud makanan yang bersih lagi tulen.
Jadi sekiranya anda ke kedai dan membeli makanan, sila perhatikan tulisan ini 清真.
清真 bermaksud halal. Hafallah tulisan ini atau tuliskan di kertas/telefon bimbit anda.
Halal dalam tulisan China |
Kalau anda ke Kota Larangan (Forbidden City) atau Istana Musim Panas (Summer Palace) dan teringin nak makan aiskerim atau dadih atau minum susu janganlah kempunan. Anda boleh dapat aiskerim yang halal yang dijual di situ. Tulisan 清真 terdapat pada bungkusannya. Kebanyakan makanan berjenama Yili adalah halal.
Tulisan清真 juga terdapat pada papantanda di restoren makanan halal. |
2. Restoren Halal
Restoren halal juga mudah didapati di merata Beijing. Untuk mengenalinya, anda lihatlah papantanda di hadapan kedai. Biasanya ditulis dengan khalimah toyyibah dalam tulisan khat/kaligrafi China -
لا إله إلا الله محمّد رسول الل (lailahaillallah Muhammadur rasulullah).
Khalimah toyyibah di atas pintu luar restoren Islam di Qianmen |
Khalimah toyyibah di hadapan kedai bersebelah dengan Starbucks di Qianmen |
Khalimah Toyyibah dan tulisan qingzhen di hadapan pintu kedai makanan muslim di Universiti Komunikasi China |
|
Sijil premis masakan halal |
Kebiasaannya restoren halal terdapat di tempat-tempat tumpuan awam. Misalnya dalam kampus universiti, kawasan perlancongan, di hadapan stesen keretapi dan pekan-pekan.
Kebanyakan restoren halal ini kepunyaan etnik Hui yang kesemuanya orang Islam. Anda akan dapati orang Hui ini memakai ketayap putih di kepala. Mereka berkulit cerah dan berhidung mancung. Lelakinya kacak dan wanitanya lawa. Mereka adalah keturunan orang Arab dan berkahwin dengan orang China tempatan yang telah ada sejak zaman Maharaja Ming lagi. Kemahiran orang Hui ialah berniaga restoren makanan dan makanan mereka yang istimewa ialah lam mien atau mee tarik. Kebiasaannya mereka menguli tepung dan menarik adunan serta merta apabila dipesan untuk sajian lam mien yang enak itu.
Restoren halal milik etnik Hui yang sering saya kunjungi. Pembuat lam mien tersenyum manis apabila saya mengambil gambarnya |
|
Kadang-kadang anda juga akan berjumpa restoren halal yang menyajikan makanan etnik Uyughur yang berasal dari Xinjiang. Xinjiang adalah provinsi yang paling utara sekali di negara China. Orang Uyughur juga adalah Islam sejak azali lagi. Mereka adalah keturunan orang Turki dan mempunyai rupa paras yang cantik. Lelaki Uyughur suka memakai topi tradisional mereka yang berbentuk agak bulat bersegi. Di restoren mereka, mereka gemar menyajikan nasi pilau (nasi beriani), roti nan dan pau.
Lelaki Uyughur yang berniaga melon di luar Kota Larangan |
Namun begitu terdapat juga restoren halal yang turut juga menjual arak. Ini adalah sesuatu yang biasa di Beijing. Jadi jangan terkejut. Ada juga peniaga Islam yang tidak menjual arak tetapi membenarkan pelanggan makan di situ dan membawa minuman keras yang dibeli dari kedai lain. Untuk kepastian anda hendaklah bertanya kepada tuan punya kedai. Sekiranya anda tidak suka, hendaklah mencari kedai yang langsung tidak menjual arak.
|
3. Daging Halal
Sekiranya anda ingin membeli daging halal untuk memasak sendiri, anda boleh membelinya dari penjual daging halal. Ia biasanya terletak di kawasan Islam seperti di Niu Jie, di masjid dan kawasan kedutaan di Chaoyang. Ada masjid yang mempunyai kedai yang menjual daging halal, misalnya Masjid Nandouya di Douban Hutong. Biasanya sekilo daging berharga 50 yuan (RM25).
Ada juga pasar raya yang menjual daging halal dan ditandakan dengan tulisan 清真.
Pasar raya Muslim di Niu Jie |
Daging halal di kedai daging di Niu Jie |
Kedai daging halal di Niu Jie |
Masjid Nandouya |
Kedai daging halal ini terdapat di Masjid Nandouya |
4. Jangan Tidur di Masjid
Di masjid kita dilarang berbaring dan tidur. Sekiranya tok siak masjid nampak, dia akan halau kita keluar. Ini berlaku kepada anak-anak saya yang menunggu solat asar di Masjid Dongsi. Ketika menunggu mereka tertidur dan mereka dicekup lalu dihalau keluar dengan kasar oleh tok siak. Kami tidak pasti mengapa tidur dilarang keras padahal ikhtikaf di masjid mendapat pahala yang banyak.
5. Jangan Solat Secara Terbuka di kawasan Tumpuan Ramai
Sekiranya anda berada di kawasan tumpuan ramai seperti di Kota Larangan atau Dataran Tianmen dan anda ingin solat, anda perlulah berhati-hati. Ada beberapa pelajar Malaysia yang menuntut di Beijing melawat tempat tumpuan ramai ini. Mereka lalu solat di belakang bangunan di situ. Tetapi mereka ditangkap oleh polis ketika sedang solat di tempat terbuka itu. Hal ini menimbulkan kesusahan kepada pelajar-pelajar ini. Mereka ditahan di balai dan kemudiannya terpaksa memanggil penyelia mereka bagi memberi penjelasan. Keadaan ini membuang masa kerana mereka terpaksa membuktikan yang mereka tidak melakukan demonstrasi dan lain-lain perkara yang disyaki.
Kota Larangan yang menjadi tumpuan ramai |
Jadi sekiranya anda solat di kawasan terbuka, jangan melakukanya secara beramai-ramai. Hendaklah melakukanya tanpa menampakkan yang anda sedang solat atau berkumpul. Ini disebabkan kegiatan agama tidak boleh ditunjuk-tunjukkan di khalayak. Ini dasar pemerintahan mereka.
Sekiranya anda berada di kawasan Kedutaan, anda boleh singgah solat di surau yang disediakan oleh Kedutaan Malaysia di Chaoyang.
6. Waktu Solat
Waktu solat adalah berbeza setiap musim. Ketika musim panas waktu siangnya lebih panjang daripada waktu malam maka waktu solat juga berbeza. Solat subuh kadang-kadang bermula pada pukul 4.00 pagi dan habis pada pukul 5.00 pagi. Manakala waktu maghrib bermula pada pukul 8 malam dan waktu isyak 10 malam. Tetapi pada musim sejuk waktu solat subuh kadang-kadang bermula pada pukul 6 pagi dan berakhir pada pukul 7.30 pagi, waktu zohor bermula lebih awal iaitu pukul 12.00 tengahari, waktu magrib bermula pada pukul 5 petang dan waktu isyak 6.29 petang. Walau bagaimanapun waktu solat Jumaat adalah tetap di kebanyakan masjid di Beijing iaitu pada pukul 1.30 petang tidak kira musim sejuk atau panas.
Sebelum solat Jumaat di Masjid Niu Jie |
Kebanyakan jemaah masjid di Beijing, solat asar lebih lewat. Untuk lebih mudah gunalah panduan jadual solat yang telah disediakan oleh Universiti Ummu Qura, Mekah. Anda boleh rujuk www.islamicFinder.org kerana ia lebih tepat.
Azan tidak dilaungkan di kebanyakan masjid kecuali masjid-masjid tertentu. Masjid selalunya sunyi dan kurang orang pada hari biasa kecuali pada hari Jumaat. Wanita dibenarkan solat di masjid dan solat Jumaat. Ruangan solat wanita diasingkan bangunannya daripada dewan solat lelaki di kebanyakan masjid. Telekung tidak disediakan di masjid kecuali ada sehelai dua telekung disediakan di Masjid Niu Jie.
Azan tidak dilaungkan di kebanyakan masjid kecuali masjid-masjid tertentu. Masjid selalunya sunyi dan kurang orang pada hari biasa kecuali pada hari Jumaat. Wanita dibenarkan solat di masjid dan solat Jumaat. Ruangan solat wanita diasingkan bangunannya daripada dewan solat lelaki di kebanyakan masjid. Telekung tidak disediakan di masjid kecuali ada sehelai dua telekung disediakan di Masjid Niu Jie.
7. Tempat Mengambil Wuduk dan Beristinjak
Tempat mengambil wuduk, bilik mandi dan tandas disediakan di masjid-masjid. Paip air dan gayung/bekas air juga disediakan untuk beristinjak.
|
Tandas awam terdapat dengan banyak di sekitar Beijing. Di mana-mana anda pergi anda pasti dapat melihat tandas awam. Tandas awam menyediakan paip di sinki tetapi tidak menyediakan paip air di dalam bilik tandas. Gayung/bekas air juga tidak disediakan. Anda hendaklah membawa sendiri gayung/botol untuk peralatan beristinjak anda. Ada juga tandas awam yang tidak menyediakan air dan sinki, jadi anda hendaklah sentiasa membawa air dan tisu.
Itulah sedikit panduan untuk umat Islam di Beijing. Segala kesilapan adalah kekurangan daripada saya yang lemah ini.
Baca juga:
TEMPAT MENARIK DI BEIJING #5: Jumaat di Niu Jie