Tagline

A Blog About Traveling Around The World From The Lens and Eyes of A Malaysian-Muslim Woman

Select Your Preferred Language


Select Your Preferred Language
BAHASA MELAYU | ENGLISH

Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini

Adsense



Khamis, 27 Disember 2012

PANDUAN UNTUK UMAT ISLAM DI BEIJING

Anda orang Islam? Pertama kali ke Beijing? Risau mencari makanan halal di Beijing? Entri kali ini dibuat khas kepada pembaca dan rakan-rakan Nota Kembara yang beragama Islam, lebih-lebih lagi kepada yang pertama kali ke Beijing. Di sini saya senaraikan beberapa panduan berguna untuk anda.

 

1. Makanan Halal


Makanan halal bukanlah susah nak dicari di Beijing ini. Terdapat banyak kedai-kedai yang menjual produk halal. Cumanya kita kena rajin mencari. Rajin baca bahan-bahan kandungan pada paket/bungkusan makanannya. Namun begitu kebanyakannya dalam tulisan China, bukan? Jadi bagaimanakah hendak mengenalinya? Adakah halal disebut halal di China? Jangan risau kalau anda tidak tahu. Di sini saya ingin  kongsi sedikit sebanyak yang saya ketahui.

Di China, kebiasaannya tulisan halal tidak ditulis dalam rumi atau jawi. Makanan halal di China disebut 

qīngzhēn cài (清真菜). Kalau diterjemahkan qingzhen bermaksud makanan yang bersih lagi tulen.

Jadi sekiranya anda ke kedai dan membeli makanan, sila perhatikan tulisan ini 清真.  
清真 bermaksud halal. Hafallah tulisan ini atau tuliskan di kertas/telefon bimbit anda.

Halal dalam tulisan China



Kalau anda ke Kota Larangan (Forbidden City) atau Istana Musim Panas (Summer Palace) dan teringin nak makan aiskerim atau dadih atau minum susu janganlah kempunan. Anda boleh dapat aiskerim yang halal yang dijual di situ. Tulisan 清真 terdapat pada bungkusannya. Kebanyakan makanan berjenama Yili adalah halal.

Tulisan清真 juga terdapat pada papantanda di restoren makanan halal.


2. Restoren Halal


Restoren halal juga mudah didapati di merata Beijing. Untuk mengenalinya, anda lihatlah papantanda di hadapan kedai. Biasanya ditulis dengan khalimah toyyibah dalam tulisan khat/kaligrafi China -
لا إله إلا الله محمّد  رسول الل (lailahaillallah Muhammadur rasulullah).

Khalimah toyyibah di atas pintu luar restoren Islam di Qianmen

Khalimah toyyibah di hadapan kedai bersebelah dengan Starbucks di Qianmen

Khalimah Toyyibah dan tulisan qingzhen di hadapan pintu kedai makanan muslim di Universiti Komunikasi China

Kedai makanan halal di kampus Universiti Bahasa dan Budaya Beijing. Kedai ini menjual roti canai China yang sedap

Sijil premis masakan halal


Kebiasaannya restoren halal terdapat di tempat-tempat tumpuan awam. Misalnya dalam kampus universiti,  kawasan perlancongan, di hadapan stesen keretapi dan pekan-pekan.

Kebanyakan restoren halal ini kepunyaan etnik Hui yang kesemuanya orang Islam. Anda akan dapati orang Hui ini memakai ketayap putih di kepala. Mereka berkulit cerah dan berhidung mancung. Lelakinya kacak dan wanitanya lawa. Mereka adalah keturunan orang Arab dan berkahwin dengan orang China tempatan yang telah ada sejak zaman Maharaja Ming lagi. Kemahiran orang Hui ialah berniaga restoren makanan dan makanan mereka yang istimewa ialah lam mien atau mee tarik. Kebiasaannya mereka menguli tepung dan menarik adunan serta merta apabila dipesan untuk sajian lam mien yang enak itu.

Restoren halal milik etnik Hui yang sering saya kunjungi. Pembuat lam mien tersenyum manis apabila saya mengambil gambarnya

Pelbagai jenis mee di restoren Muslim yang dimiliki oleh etnik Hui. Kesemuanya diadun serta merta apabila dipesan

Kadang-kadang anda juga akan berjumpa restoren halal yang menyajikan makanan etnik Uyughur yang berasal dari Xinjiang.  Xinjiang adalah provinsi yang paling utara sekali di negara China. Orang Uyughur juga adalah Islam sejak azali lagi. Mereka adalah keturunan orang Turki dan mempunyai rupa paras yang cantik. Lelaki Uyughur suka memakai topi tradisional mereka yang berbentuk agak bulat bersegi. Di restoren mereka, mereka gemar menyajikan nasi pilau (nasi beriani), roti nan dan pau.

Lelaki Uyughur yang berniaga melon di luar Kota Larangan

Namun begitu terdapat juga restoren halal yang turut juga menjual arak. Ini adalah sesuatu yang biasa di Beijing. Jadi jangan terkejut. Ada juga peniaga Islam yang tidak menjual arak tetapi membenarkan pelanggan makan di situ dan membawa minuman keras yang dibeli dari kedai lain. Untuk kepastian anda hendaklah bertanya kepada tuan punya kedai. Sekiranya anda tidak suka, hendaklah mencari kedai yang langsung tidak menjual arak.

Restoren halal di Wangfujing yang juga menjual arak




3. Daging Halal


Sekiranya anda ingin membeli daging halal untuk memasak sendiri, anda boleh membelinya dari penjual daging halal. Ia biasanya terletak di kawasan Islam seperti di Niu Jie, di masjid dan kawasan kedutaan di Chaoyang. Ada masjid yang mempunyai kedai yang menjual daging halal, misalnya Masjid Nandouya di Douban Hutong. Biasanya sekilo daging berharga 50 yuan (RM25).

Ada juga pasar raya yang menjual daging halal dan ditandakan dengan tulisan 清真.



Pasar raya Muslim di Niu Jie

Daging halal di kedai daging di Niu Jie

Kedai daging halal di Niu Jie

Masjid Nandouya

Kedai daging halal ini terdapat di Masjid Nandouya

Daging halal di sebuah pasar raya di Beijing

4. Jangan Tidur di Masjid


Di masjid kita dilarang berbaring dan tidur. Sekiranya tok siak masjid nampak, dia akan halau kita keluar. Ini berlaku kepada anak-anak saya yang menunggu solat asar di Masjid Dongsi. Ketika menunggu mereka tertidur dan mereka dicekup lalu dihalau keluar dengan kasar oleh tok siak. Kami tidak pasti mengapa tidur dilarang keras padahal ikhtikaf di masjid mendapat pahala yang banyak.

Tangga ke menara azan di Masjid Dongsi

5. Jangan Solat Secara Terbuka di kawasan Tumpuan Ramai


Sekiranya anda berada di kawasan tumpuan ramai seperti di Kota Larangan atau Dataran Tianmen dan anda ingin solat, anda perlulah berhati-hati. Ada beberapa pelajar Malaysia yang menuntut di Beijing melawat tempat tumpuan ramai ini. Mereka lalu solat di belakang bangunan di situ. Tetapi mereka ditangkap oleh polis ketika sedang solat di tempat terbuka itu. Hal ini menimbulkan kesusahan kepada pelajar-pelajar ini. Mereka ditahan di balai dan kemudiannya terpaksa memanggil penyelia mereka bagi memberi penjelasan. Keadaan ini membuang masa kerana mereka terpaksa membuktikan yang mereka tidak melakukan demonstrasi dan lain-lain perkara yang disyaki.

Kota Larangan yang  menjadi tumpuan ramai

Jadi sekiranya anda solat di kawasan terbuka, jangan melakukanya secara beramai-ramai. Hendaklah melakukanya tanpa menampakkan yang anda sedang solat atau berkumpul. Ini disebabkan kegiatan agama tidak boleh ditunjuk-tunjukkan di khalayak. Ini dasar pemerintahan mereka.

Sekiranya anda berada di kawasan Kedutaan, anda boleh singgah solat di surau yang disediakan oleh Kedutaan Malaysia di Chaoyang.


6. Waktu Solat


Waktu solat adalah berbeza setiap musim. Ketika musim panas waktu siangnya lebih panjang daripada waktu malam maka waktu solat juga berbeza. Solat subuh kadang-kadang bermula pada pukul 4.00 pagi dan habis pada pukul 5.00 pagi. Manakala waktu maghrib bermula pada pukul 8 malam dan waktu isyak 10 malam. Tetapi pada musim sejuk waktu solat subuh kadang-kadang bermula pada pukul 6 pagi dan berakhir pada pukul 7.30 pagi, waktu zohor bermula lebih awal iaitu pukul  12.00 tengahari, waktu magrib bermula pada pukul 5 petang dan waktu isyak 6.29 petang. Walau bagaimanapun waktu solat Jumaat adalah tetap di kebanyakan masjid di Beijing iaitu pada pukul 1.30 petang tidak kira musim sejuk atau panas.

Sebelum solat Jumaat di Masjid Niu Jie

Kebanyakan jemaah masjid di Beijing, solat asar lebih lewat. Untuk lebih mudah gunalah panduan jadual solat yang telah disediakan oleh Universiti Ummu Qura, Mekah. Anda boleh rujuk www.islamicFinder.org kerana ia lebih tepat. 

Azan tidak dilaungkan di kebanyakan masjid kecuali masjid-masjid tertentu. Masjid selalunya sunyi dan kurang orang pada hari biasa kecuali pada hari Jumaat. Wanita dibenarkan solat di masjid dan solat Jumaat. Ruangan solat wanita diasingkan bangunannya daripada dewan solat lelaki di kebanyakan masjid. Telekung tidak disediakan di masjid kecuali ada sehelai dua telekung disediakan di Masjid Niu Jie.


7. Tempat Mengambil Wuduk dan Beristinjak


Tempat mengambil wuduk, bilik mandi dan tandas disediakan di masjid-masjid. Paip air dan gayung/bekas air juga disediakan untuk beristinjak.

Tempat wudhuk wanita di Masjid Nandouya. Di belakang itu adalah bilik mandi.


Tandas awam terdapat dengan banyak di sekitar Beijing. Di mana-mana anda pergi anda pasti dapat melihat tandas awam. Tandas awam menyediakan paip di sinki tetapi tidak menyediakan paip air di dalam bilik tandas. Gayung/bekas air juga tidak disediakan. Anda hendaklah membawa sendiri gayung/botol untuk peralatan beristinjak anda. Ada juga tandas awam yang tidak menyediakan air dan sinki, jadi anda hendaklah sentiasa membawa air dan tisu.


Itulah sedikit panduan untuk umat Islam di Beijing. Segala kesilapan adalah kekurangan daripada saya yang lemah ini.

Baca juga:
Raya di Beijing Bersama Ribuan Umat Islam
TEMPAT MENARIK DI BEIJING #5:  Jumaat di Niu Jie 

45 ulasan:

  1. menarik kak info yg disampaikan, berguna bagi mereka yg nak ke sana. Lama lagi ker kak dok kat sana tu....

    BalasPadam
    Balasan
    1. Saya harap info ini dapat dimanafaatkan kepada orang Islam yang ke Beijing.
      Saya akan berada di Beijing sehingga bulan Februari 2013 ni, insyaAllah.

      Padam
  2. Info yang sangat berguna tapi susah juga nak ingat sign 清真 dalam kepala.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih Mie. Tulisan qingzhen itu mudah je untuk dihafal. Mula-mula dulu saya pun susah juga hendak mengingatkannya. Saya sentiasa bawa dalam telefon bimbit saya. Jadi bila hari-hari tengok dah kenal.

      Padam
  3. Salam Yong

    Wow....sesangatla berinformasi dan amat2 diperlukan oleh pengembara2 muslim yang pergi ke beijing secara sendiri tanpa tour guide.

    Terima kasih Yong sudi kongsikan maklumat ni. Ramai yang memerlukan ni...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam kembali Yong Aku Seorang Pengembara,
      Saya amat berharap info ini membantu pengembara-pengembara muslim bukan sahaja di Beijing malahan di seluruh China. Selalunya orang kata susah nak cari makanan halal di China ni, tetapi sebenarnya tidak. Kalau dah tahu mudah sahaja mencarinya.

      Padam
  4. info yang bagus nih, kena bookmark...manatau ada rezeki pergi beijing nanti :)

    BalasPadam
    Balasan
    1. Orga,
      Terima kasih kerana sudi bookmark. Kalau ke Beijing nanti taklah susah, kan?

      Padam
  5. Prof,

    Bagusnya info..prof pernah try mkn crepe kt sana?? sy tgk dlm youtube mcm best jer crepe drg wat..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam Zila,
      Apa khabar Zila? Crepe? Tak pernah cuba di sini. Kat area saya ni tak jual. Nampaknya ada lagi yang saya tak cuba hu hu hu...

      Padam
  6. Assalamualaikum,
    Terima kasih dgn maklumat ni. Amat berguna jika rasa teringin nak makan mee atau sup China yg halal. Tapi kalau akak boleh ingat perkataan halal tu, issyyy kira terer bebenor!

    BalasPadam
  7. Walaikumusalam Halimaton,
    Selamat datang ke blog ini. Dah kenal tulisan qingzhen ni Halimaton bolehlah makan mee/sup China puas-puas, kan?

    Tak ada le terror mana saya ni, satu perkataan je. Orang lain lagi terror, satu buku dihafalnya.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Maaf..mee tarik nya di kawasan mna yah.. nampak sedap lah..

      Padam
    2. aRa Q, mee tarik ada di mana-mana di Beijing: berdekatan stesen keretapi, kampus universiti, kawasan pelancongan atau tumpuan ramai seperti di Wangfujing, Qianmen dan Niu Jie. Yang dalam gambar di atas itu di dalam kampus Universiti Komunikasi China.

      Padam
  8. Teringat masa ke Guangzhaou nak ke tandas berbekalkan botol air mineral kosong untuk istinjak...tahniah coretan tuan blog amat bermanafaat.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam Kak Mahh,
      Sikap Kak Mahh yang sentiasa membawa botol air untuk beristinjak memang patut dipuji. Ramai daripada kita ni yang malas. Sedangkan tidak beristinjak dengan betul akan mendapat siksaan kubur, kan?

      Terima kasih Kak Mahh, semoga panduan ini bermanafaat kepada yang memerlukan.

      Padam
  9. alhamdulilah..memang bagus info prof ni terutama pada backpackers cam Nekcik ni...tapi slalunya sblum pergi kami surf cari resto halal dulu..mcm Shenzen ada TAJ Restaurant..and kat Ghuangzhou pun ada Indian Muslim Resto..alhmadulilah!!

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam Nekcik,
      Terima kasih Nekcik, moga-moga entri ini bermanafaat. Nekcik ni backpacker rupanya. Cayalah :) Tindakan Nekcik mencari restoren halal sebelum backpack memang satu langkah yang bijak. Makanan halal itu penting dan wajib. Saya tak pernah lagi ke Shenzen dan Guangzhou, mungkin kalau saya ke sana bolehlah saya tanya Nekcik ya.

      Padam
  10. As-salam prof,
    sy paling sukaaaaa makanan cina..sangat suka. sy rasa bila sy travel di china sy tak penah ikat perut sbb kedai halal ada di mana2..dan sy jgk suka mencuba kuih2 yg ada dijual di sekitar masjid niu jie..sampai skrg sy teringt2 rasa kuih yg sy makan tu...memang sedap...prof ada cuba sate kambing kat sana tak? berbeza kan rempah yg diguna berbanding sate di malaysia? haritu sy tgk dlm tv ada rancangan jln2 cari mkn..dia tunjuk 1 kedai mknan cina yg semua tukang masak & pemiliknya yg dtg dr china..sy rasa nak melepaskan gian sate kambing di sana sbb rindu makanan di china..hehe :)

    BalasPadam
    Balasan
    1. Waalaikumusalam Fatt,
      Saya pun sukaaaaaa! :D Di Niu Jie memang ada dua tiga buah kedai yang orang sentiasa beratur tak putus putus setiap kali saya ke situ. Orang sana kata, memang makanan itu istimewa dan sedap. Saya dah makan sate kambing biri-biri, selalu sangat he he he. Rempahnya simple je kan? Oh rancangan jalan jalan cari makan tu, tunjuk restoren China Muslim di Malaysia ke? Di Penang pun ada, tukang masaknya diimport dari China. Saya dah cuba. Fuhh marvelous!

      Saya ada baca entry Fatt cari makan di Muslim Street Xian. Gambar brother yang jual kuih dalam entry Fatt tu pun posing terbaik untuk kamera saya. Orang yang sama. Fatt tengoklah dalam entri saya pasal Xian. Saya ada letak gambar dia. :D

      Padam
  11. salam...sy nk tahu...macam mane nk tentukan cuaca d sana sblum pergi ye...dlm prcangan sy nak ke sana dalam bulan 8..jadi wktu tu cuacanya mcm mane ye..mksd sy..musim...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam Tanpa Nama,
      Ogos musim panas di Beijing. Untuk mengetahui cuaca di Beijing sila lihat 2 laman web ini:
      http://www.weather.com/weather/5-day/Beijing+CHXX0008:1:CH

      http://www.travelchinaguide.com/climate/beijing.htm

      Padam
  12. Alhamdulillah..akak diberi peluang melawat Beijing thn lepas..seronok wlupun susah nk berkomunikasi..hehe anak saudara pun ada kat sana study kat BLCU..=)

    BalasPadam
    Balasan
    1. Kalamhati,
      Bertuah akak Kalamhati dapat ke Beijing :). Mungkin saya kenal anak saudara akak Kalamhati di BLCU tu. Akak Kalamhati ada cuba makan roti canai di BLCU yang sedap tu tak? Gambar roti canai itu ada dalam gambar di atas.

      Padam
  13. Assalam..boleh tny sal solat x?? Sy plan nk g bln 12 nt..musim sejuk..boleh bgtahu x cara nk tunaikan solat s backpackers kt sana...kn xboleh smbhyg kt public...huhu..sy ak g dr beijing blk ikut nanning

    BalasPadam
    Balasan
    1. Waalaikumusalam,
      Untuk waktu solat yang betul di Beijing dan Nanning sila lihat laman web ini www.islamicFinder.org.

      Untuk solat di sana boleh lakukan di masjid-masjid yang saya nyatakan dalam blog saya. Terdapat banyak masjid di Beijing atau boleh solat di surau Kedutaan Malaysia.

      Oleh kerana solat tidak boleh dilakukan secara terbuka maka lakukan dengan cara tersembunyi. Misalnya cari taman yang banyak terdapat dan solatlah di bawah/belakang rimbunan pokok/belukar. Kalau anda berada di kawasan Tiananmen Square, masuklah ke Taman Ancestor yang kurang orang. Cuma bayar 2 yuan untuk masuk taman itu dan boleh juga gunakan tandasnya yang bersih. Di situ ada taman kecil dan boleh solat di belakang batu atau rimbunan pokok. Bentangkan tikar plastik di atas tanah. Solat jamak boleh dilakukan oleh musafir. Jangan buat beramai-ramai kerana kalau beramai-ramai menimbulkan syak dan meragukan pihak-pihak tertentu.

      Padam
  14. Salam. Terima kasih banyak kepada penulis blog ini, sangat informatif. semuga menjadi amal jariah penulisnya sebab digunakan sebagai panduan untuk pelancung yang ke Beijing.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam kembali. Sama-sama. Aamiin ya Rabbulalamin.

      Padam
  15. Bagus la semua entry akak pasal beijing china..ciku amsih lagi membaca.info sangat berguna untu kdijadikan panduan kana datang.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih Ciku. Ini disebabkan saya lama di Beijing. Saya rasakan pengalaman lama saya di Beijing boleh saya kongsikan. Semoga bermanfaat kepada pembaca.

      Padam
  16. Assalamualaikum Prof, boleh saya tau nama kedai makan lam mien yang prof selalu pergi seperti dalam gambar di atas? Nampak pelbagai pilihan dan sedap. Saya di Beijing sekarang tetapi belum lagi makan lam mien yang betul2 sedap. Terima kasih.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Waalaikumusalam Mimi,
      Kedai lamien yang selalu saya pergi (hampir setiap hari) semasa tinggal di Beijing, seperti dalam gambar 8 & 9 dari atas entri ini, letaknya di antara kampus Communication University of China (CUC) dan Beijing International Studies University (BISU) iaitu di daerah Chaoyang. Untuk mudah mencarinya, Mimi kena masuk kampus CUC dan pergi ke pagar Timur. Kedai itu terletak di luar pagar Timur CUC dan bertembung dengan pagar Barat BISU. Terdapat 3-4 restoren halal berdekatan dengan CUC (luar kampus), manakala di dalam kampus CUC ada sebuah. Untuk yang lebih sedap, pilihlah restoren yang di luar kampus CUC.

      Padam
    2. Terima kasih, Prof. InsyaAllah ada rezeki saya akan cuba cari kedai ni. Terima kasih juga atas penulisan blog Prof yang sungguh menarik dan bermanfaat.

      Padam
    3. Semoga Mimi dapat berjumpa dengan restoren halal itu. Kalau nak ke CUC naik subway, Mimi kena guna laluan Batong.

      Namun di kampus universiti yang lain seperti Peking University dan Beijing Language and Culture University pun ada kedai halal yang jual lamien sedap.

      Padam
  17. Salam prof,
    Nak tnya berkaitan lotion yg prof syorkan , dabao SOD tulisan wrna biru utk musim panas dan wrna merah untuk musim sejuk ; lotion ni boleh guna utk musim luruh atau bunga tak ?

    *sorry tnya kat sini , kat entri psl lotion ni sy xleh komen adehh
    Tq :)

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam Nura. Losyen warna biru untuk musim panas, ia boleh juga digunakan untuk musim bunga dan luruh. Losyen untuk musim sejuk yang labelnya warna merah itu untuk musim sejuk. Tapi kalau nak guna pada musim lain juga tidak ada masalah.

      Padam
    2. Terima kasih prof :)
      Semoga dipermudahkan urusan
      Prof masih berada di beijing kah ?

      Saya dah guna dabao sod ^^

      Padam
    3. Sama-sama.
      Aaamiin.
      Saya dah balik Malaysia.
      Nura beli di mana dabao sod tu? Beli yang merah atau biru? Sesuai tak dengan kulit Nura?

      Padam
    4. merah biru keduanya saya beli :) , beli dari taobao . alhamdulillah sesuai dan sy pulak yang rekomenkan losyen ni dkt kwn lain.

      Padam
    5. Beli secara online atau pergi ke kedai di Beijing?

      Padam
  18. Assalamualaikum prof. Ada group dlm 20 org nak melancong ke Beijing pada 21-25 /1/2016. Boleh x prof rekomen beberapa org pelajar Malaysia di situ yg boleh jd tour guide...? Terima kasih.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Waalaikumusalam Z1. Maaf, tiada pelajar Malaysia di Beijing yang jadi tour guide. Barangkali mereka sibuk belajar.

      Padam
  19. Nk tnye..di peking university ade tk masjid dan makanan halal di sekitar universiti tuu..terima kasih..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Suraya, restoren atau kantin makanan halal terdapat di kampus-kampus universiti di Beijing termasuklah di Peking University. Saya pernah makan di kedai makan halal di Peking University dan saya telah ceritakan dalam blog ini. Suraya boleh baca dan lihat gambar serta nama kedai makan itu dalam entri yang bertajuk "Backpack Ke Mongolia Dalam (1): Permulaan Kembara Yang Amat Mengujakan"
      atau pergilah ke link berikut:
      http://nota-kembara.blogspot.my/2012/10/backpack-ke-mongolia-dalam-permulaan.html
      Tetapi masjid tidak ada di dalam kampus universiti.

      Padam
  20. Assalamualaikum pengarang.. Boleh suggestkan hotel yg senang utk mendapatkan makanan halal yg terletak di area bandar? Terima kasih sahabat

    BalasPadam

Kini giliran anda pula untuk memberi pandangan/ulasan.

Ulasan tanpa nama akan dipadamkan.