Tagline

A Blog About Traveling Around The World From The Lens and Eyes of A Malaysian-Muslim Woman

Select Your Preferred Language


Select Your Preferred Language
BAHASA MELAYU | ENGLISH

Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini

Adsense



Jumaat, 22 Jun 2012

Tempat Menarik di Beijing #5: Jumaat di Niu Jie

Hari itu hari Jumaat di Beijing. Saya diajak sahabat saya Arafat, orang Islam berketurunan Uyghur dari Wilayah Xinjiang, untuk menunaikan solat Jumaat di Masjid Niu Jie, masjid yang terawal dibina di selatan Beijing. Masjid Niu Jie ini adalah antara tempat yang amat sangat ingin saya kunjungi. Sudah tentulah ajakan Arafat ini bagaikan pucuk dicita ulam mendatang.

Selain saya, ada dua orang lagi sahabat Islam berketurunan Uyghur yang turut serta. Tempat pertemuan kami ialah di restoren halal Universiti Komunikasi China. Oleh kerana salah seorang sahabat kami itu baru selesai kuliah, kami terpaksa menunggu beliau. Jadi agak terlewat sedikit bertolaknya.

Kami ambil keretapi bawah tanah (subway) dari Universiti Komunikasi China menggunakan laluan Batong dan tukar ke Laluan 1 di Sihui dan kemudian turun di Tian' Anmen Barat. Kami keluar ikut pintu B (kalau tak silap) dan ambil bas Nombor 10. Kami turun di Niu Jie LiBaiSi dan berjalan sedikit menuju ke Masjid Niu Jie. Amat mudah menaiki bas ke sini kerana ada pengumuman dalam bahasa China, Inggeris dan Arab. Menurut Arafat, Niu bererti lembu dan Jie ialah lorong atau jalan. 

Ketika sampai kami melihat orang sudah ramai. Kawasan luar masjid itu dilimpahi dengan jemaah lelaki yang membentangkan sejadah di halaman (courtyard). Kawasan solat wanita pula di bangunan lain yang letaknya di kawasan belakang. Jemaah wanita juga ramai dan hampir memenuhi masjid. Ketika itu khutbah Jumaat hampir selesai.

Itulah pengalaman solat Jumaat pertama di negara Tembok Besar ini. Pengalaman saya amat menarik dan sudah pastinya ada sedikit perbezaan bacaan imam berbanding dengan bacaan imam di Malaysia atau di Mekah/Madinah. Contohnya: Kalau imam kita sebut Allahu Akbar, imam di sini sebut Allahu Akbara.

Berikut adalah gambar-gambar yang saya rakam semasa di Masjid Niu Jie.


Senibina masjid Niu Jie adalah bercirikan senibina pada masa Dinasti Liao, Ming dan Qing


Masjid Niu Jie sering dikunjungi pelancong tidak kira Islam atau tidak. Oleh kerana kunjungan yang ramai maka pihak Masjid Niu Jie mengadakan peraturan khas untuk bukan Islam

Bangunan di bahagian belakang ini adalah khas untuk kaum Hawa


Suasana selepas solat Jumaat di Masjid Niu Jie.  Bangunan solat ini khas untuk kaum Adam.


Wanita beribadat setelah solat Jumaat di Masjid Niu Jie

Penulis bergambar bersama kawan-kawan Uyghur di Masjid Niu Jie selepas solat Jumaat

Selepas solat kami melihat persekitaran Masjid Niu Jie yang berkeluasan kira-kira 6,000 meter persegi. Terdapat makam Imam, kedai, bilik kuliah, muzium, quarters perumahan dan taman.

Selepas itu kami pergi makan di food court halal yang letaknya tidak berjauhan dari Masjid Niu Jie. Niu Jie adalah kawasan orang Islam berniaga dan tinggal. Kami merasa amat gembira apabila melihat food court halal di situ. Seperti syurga makanan. Nama food court itu Muslim Food Palace. Kami seolah-olah tidak percaya yang kami boleh makan semua makanan ini. Maklumlah di kawasan universiti kami, hanya ada 3 sahaja restoren halal dan pilihan makanannya pula kurang. Terasa belas kasihan pula pada diri kami sendiri seolah-olah kami kebuluran berminggu-minggu. Apalagi kamipun pesan macam-macam makanan. Kamipun makan dengan gembira dan berborak-borak sehingga terlupa yang dua orang rakan kami ada kuliah sebelah petang. Terus salah seorang ponteng kuliah petang itu. Boleh?

Muslim Food Palace di Niu Jie

Di Niu Jie terdapat banyak permis perniagaan untuk orang Islam

Setelah itu kami pergi ke pasaraya khas untuk orang Islam dan membeli-belah makanan dan produk halal.

Terdapat pelbagai permis perniagaan Islam di bangunan ini termasuklah food court, kedai kek, kedai biskut dan pasaraya

Di pasaraya mini ini terdapat pelbagai produk untuk orang Islam seperti buku, busana muslimah, peralatan solat, cenderamata, kosmetik, produk jagaan kesihatan dan batu permata


Apabila tiba waktu Asar kami pergi semula ke Masjid Niu Jie dan solat. Kami pulang selepas itu dengan membawa pulang makanan halal.

Kawasan masjid untuk wanita di Masjid Niu Jie pada waktu Asar

Tempat wudhu wanita Masjid Niu Jie ini letaknya di bangunan berasingan

Sejak itu saya sering ke Niu Jie secara sendirian atau berteman.

Jumpa lagi di Beijing dalam entri yang akan datang. Assalamualaikum.


14 ulasan:

  1. Prof...

    Saya ada tgk channel TLC..program travel. Kt China ni ada 1 masjid yang mana solat di bahagian luar. Jemaah begitu ramai sekali. Saya dah lupa area mana. Kalo tak salah saya cecah beribu2 orang. Prof tahu x ?? dan prof maybe tak gi sana??

    BalasPadam
    Balasan
    1. Zila,
      Saya tak pasti di mana...Mungkin di Wilayah Xinjiang kerana di situlah komuniti Islam teramai di China. Bilangan penduduk Islamnya barangkali sama jumlah dengan penduduk Malaysia. Mereka dari etnik Uyghur dan Kirgiz. Masjid pula banyak. Saya bercadang hendak ke sana mengikut kawan saya orang Xinjiang, tetapi malangnya tak ada tiket keretapi pada musim cuti ini. Kehabisan. Kawan saya itupun tak dapat-dapat tiket lagi.

      Padam
  2. Masjid yg Zila cakap tu pun di Beijing tapi kurang popular kpd pelancong. Saya pernah terdengar ttg masjid tu. Mungkin NA boleh riki...

    Bahasa Mandarin NA pun mungkin sudah bertambah bagus...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih Mie. Mie tahu tak apa nama masjid tu? Nanti saya boleh recce. Memang ada banyak masjid di Beijing ni. Tapi saya tidak tahu yang mana satu Zila maksudkan itu.

      Bahasa Mandrin saya tahap tadika je :)

      Padam
  3. Prof...

    Saya dah search dari goggle..jumpa!!!! hehe
    The mosque is the oldest and largest in Kashgar.
    Dalam show tu dorang ada tunjukkan kedai makan islam..memang menarik. Rupa org kat sana mcm org Tibet pun ada. Namanya adalah Id Kah Mosque.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Zila,
      Terima kasih Zila, kerana maklumat itu. Masjid Eidgah, di Kashgar itu letaknya di Wilayah Xinjiang, kawasan penduduk Islam teramai di China. Menurut kawan Xinjiang saya (yg dlm gambar di atas), 90% penduduk Xinjiang adalah Islam. Masjid Eidgah ini adalah yang terbesar di Wilayah Xinjang malah yang terbesar di China. Masjid ini boleh muat 3000 jemmah. Wilayah inilah yang saya nak pergi ni..sekarang cuti semester di China, tetapi tiket keretapi amat susah nak dapat, terutama sekali orang luar. Itu yang saya sedih ni, nak pergi tapi tak ada tiket. :(

      Padam
  4. Salam Prof

    Nak ikuuuuuuuuuuuuuuttt........

    BalasPadam
    Balasan
    1. Waalaikumusalam ASP Yong,
      Moh le...

      Padam
    2. Wilayah Xinjiang tu memang dalam kepala keme Yong, masih tak berkesempatan lagi nak buat plan untuk ke sana. bila Yong kata nak kesana tu macam nak jer ngekor...tapi masa ni tak leh ambik cuti.....huhu....

      Dah dapat tiket ker ?

      Padam
    3. Jom le ASP Yong, temanpun sesorang je ni. Kalau ada kawan tu seronok le sikit..

      Tiket tak dapat lagi.. hu hu hu... Nampak gayanya teman kena tangguhle perjalanan teman ke sana sampei habis musim cuti. Prosidur nak beli tiket tu pulak banyak cengkadaknya..Bila le gamaknya boleh pergi?

      Kawan Xinjiang teman tupun tak dapat dapat tiketnya lagi. Belumle lagi dia berpeluang nak jumpa keluarga di kampung halaman.

      Padam
  5. Nie jie memang wajib diziarahi jika kita atau siapa sahaja yang terlepas ke Beijingkan, Mesti lah kebulur siapa yang tak kebulur bila makanan halal terhad kat sana kan, tak pa bila agak-agak nak lepas geramkan geram pada makan Naramas, ppi aje ke Muslim Food Palace tu... oppsss sebulan lagi kita akan berpuasa tentu seronok merasa berpuasa dan berbuka dan tarawih di Beijing nanti kan.

    BalasPadam
    Balasan
    1. AndaQue tentu dah sampai Niu Jie ni kan...Ya bulan depan Ramadhan. Nak merasa puasa dan raya di sini. Anak-anak dah tempah tiket nak puasa dan raya di sini.

      Padam
  6. Salam prof..nak tanya, masuk waktu solat jumaat kat beijing pukul brapa ye? Sama ke dgn winter season? Sbb sy pegi beijing bln 12 ni..solo trip..hehe x sabor, nak try smyg jumaat kat sana.. :)

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam kembali Kemang. Terima kasih kerana tanya soalan bagus tu. Menurut kawan Uyughur saya tu (yang bawa saya ke Masjid Niu Jie ni),waktu solat Jumaat ialah 1.00 atau 1.30 petang, tak kira musim sejuk atau musim panas, sama saja. Saya rasa waktu itu ditetapkan begitu kerana waktu itulah orang rehat makan tengahari. Di negara yang pemerintahnya bukan Islam, begitulah caranya walaupun masuk waktu Zohor 12.30.

      Kalau Kemang tak mahu ketinggalan, saya cadangkan Kemang datang lebih awal, sebelum 12.00 tgh. Kalau lambat, ruang solat dalam masjid penuh, nanti kena bentangkan sejadah di luar masjid pulak.

      Padam

Kini giliran anda pula untuk memberi pandangan/ulasan.

Ulasan tanpa nama akan dipadamkan.