Tagline

A Blog About Traveling Around The World From The Lens and Eyes of A Malaysian-Muslim Woman

Select Your Preferred Language


Select Your Preferred Language
BAHASA MELAYU | ENGLISH

Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini

Adsense



Isnin, 25 Jun 2012

Dari Pulau Pinang ke Pantai Timur Bhg 1/3: Kota Bahru


S udah sebulan setengah saya berada di Beijing. Terasa sunyi melanda diri. Rindu pula pada anak-anak dan keluarga di Malaysia. Tambahan pula saya sakit dan berbaring di katil selama lima hari keseorangan. Ayah mertua saya pula meninggal dunia. Mujurlah saya telah bertemu beliau buat kali terakhir 3 hari sebelum berangkat ke Beijing. Pertemuan itu berlaku di Kota Bahru, Kelantan.

Dalam entri kali ini saya ingin berehat sekejap dari kisah Kembara Solo saya di Beijing. Nanti saya akan sambung semula, sebab saya rasa Kembara saya ke Kelantan ini tidak kurang menariknya.


Saya ke Kelantan untuk bertugas dan sambil itu saya sempat bertemu dengan bapa mertua saya dan mengembara melihat negeri Cik Siti Wan Kembang. Saya bertolak pada pagi 1 Mei 2012 dan kembali semula ke Pulau Pinang pada 4 Mei 2012.

Selalunya saya menaiki pesawat ke Kota Bahru. Tapi kali ini saya sengaja memilih untuk melalui jalan darat bersama dengan dua orang lagi rakan sepejabat. Sengaja saya lakukan untuk menikmati keindahan tanahair tercinta. Lagipun sudah lama benar saya tidak merentas ikut jalan darat ke Kota Bahru.

Kembaraku ke Kota Bahru merentasi 4 negeri: Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Kelantan. Jarak perjalananya adalah beranggaran 450km dan memakan masa kira-kira 5 jam. Untuk cepat sampai ke Kota Bahru kami melalui Rantau Panjang dan sempatlah kami singgah-singgah di tempat-tempat menarik sepanjang perjalanan pergi dan balik.

Tempat Penginapan di Kota Bahru


Hotel saya menginap di Kota Bahru adalah Crown Garden, di Jalan Kebun Sultan. Ia terletak berdekatan dengan pasaraya Mydin dan Pasar Siti Khadijah. Oleh kerana semua urusan tempahan dan pemilihan hotel ini diuruskan oleh pihak majikanku, saya tidak tahu berapakah harga hotel ini semalam.


Sepetang di Kota Bahru


Saya sampai di Kota Bahru pada sebelah petang. Selepas check-in hotel dan berehat saya pun bersiar-siar di kawasan persekitaran hotel itu. Tapi saya lihat semua kedai-kedai Cina sahaja di situ. "Aku ni di China  ke di Kelantan?"

Tetapi apabila saya pergi ke arah kanan, barulah saya lihat banyak kedai-kedai Melayu. Ramai juga pembeli. Pelancong Mat Salleh pun ada. Rupa-rupanya kawasan Crown Garden itu tadi kawasan Cina.

Kota Bahru kini semakin membangun berbanding dengan dua tahun lepas. Slogan "Pantai Timur Membangun Bersama Islam" dan "Kota Bahru Bandaraya Islam" sentiasa terpampang di dinding-dinding bangunan. Islam dipraktikan dengan baik di sini.

Saya mendapat khabar bahawa undang-undang untuk wanita Islam memakai hijab di Kelantan diperketatkan. Wanita Islam yang tidak berhijab di sini akan didenda. Jadi kepada kaum hawa yang tidak berhijab itu, beringat-ingtlah, kalau masuk sahaja ke sempadan Kelantan, tolonglah memakai hijab. Sebaik-baiknya pakai terus, jangan buka-buka.




Sambil bersiar-siar melihat bandar Kota Bahru saya ternampak sebuah restoren Nasi Ayam Hainan. Sayapun cuba. Sayapun tak tahu nak pilih menu yang mana satu. Saya minta pelayan restoren itu cadangkan kepada saya. Dia cadangkan saya pilih satu set Nasi Ayam Panggang. Boleh tahan sedap nasi itu.



Selepas makan Nasi Ayam Hainan saya berjalan-jalan ke Pasar Siti Khadijah. Ketika itu hari sudah terlalu petang kira-kira 6.30 petang. Pasar itu sudah hendak tutup. Jadi tidaklah ramai orang yang berkunjung. Walau bagaimanapun masih ada lagi orang berniaga. Saya membeli sedikit kuih-muih. Setiap kali ke pasar ini saya suka mencuba kuih-muih tradisional Kelantan ini. Antaranya ialah buah tanjung, jala mas, taik itik dan serabe.

Saya bercadang untuk membeli-belah di sini lagi sebelum pulang ke Pulau Pinang. Peniaga-peniaga di sini peramah, suka memujuk saya membeli dan sudi gambar mereka diambil. Lihatlah kakak di bawah ini, comel kan! Saya suka gambar kakak ni.


Sebagaimana manis kuih-muih di pasar ini sebegitulah manisnya peniaga wanitanya
Masjid dan pasaraya di sebelah Pasar Siti Khadijah

Bertugas di Hospital USM, Kubang Kerian

Di Hospital USM  saya bertugas sebagai penemuduga. Saya menemuduga pelajar-pelajar lepasan STPM dan Diploma untuk memasuki Program Ijazah Sarjana Muda Komunikasi, Universiti Sains Malaysia. Temuduga itu diadakan selama dua hari untuk menemuduga calon-calon dari daerah Pantai Timur: Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Oleh kerana USM adalah sebuah universiti yang cemerlang dan mendapat pengiktirafan sebagai universiti APEX maka ia mengadakan cara kemasukan yang ketat. Sesiapa yang ingin menjadi siswa USM harus melalui 3 peringkat ujian:
1. Gred CGPA sekurang-kurangnya 2.69, (tetapi untuk jurusan lain ia berbeza, untuk bidang perubatan 3.8)
2. Lulus ujian MUNSHIl; dan
3. Lulus temuduga


Calon-calon mendaftar dan menanti giliran untuk ditemuduga
Calon-calon temuduga
Keistimewaan tugas saya sebagai Profesor Madya ialah saya layak menemuduga calon-calon yang memohon untuk memasuki USM. Temuduga itu diadakan di banyak tempat termasuklah di Sabah dan Sarawak. Selesai bertugas saya boleh berjalan-jalan melihat negeri orang. Masa bertugas saya adalah anjal (fleksibel). Masa saya tidak terikat dari pukul 9-5. Saya tidak perlu punch card. Yang penting saya melaksanakan tugas hakikiku.

Keistimewaan yang lain, saya dapat bertemu dengan bekas pelajar-pelajar saya yang sekarang sudah memegang jawatan penting. Mereka amat gembira bertemu dengan saya dan menawarkan diri untuk membawa saya ke mana sahaja saya mahu. Jadi antaranya ialah menemui bapa mertua saya, melawat kawan sakit dan bertemu kawan-kawan lama.

Melawat rakan sepejabat yang berada di ward Hospital USM

Malam di Kota Bahru

Malam di Kota Bahru berlainan dengan malam-malam di tempat lain. Di sini perniagaan tidak dibenarkan semasa waktu solat maghrib. Maka sebab itulah pasar malam di sini dipenuhi orang ramai semakin lewat malam. Di Pantai Barat, pasar malam biasanya akan kehabisan barangan jualan/makanan kalau membeli selepas pukul 9 malam. Tetapi tidak di sini. Ketika itulah orang ramai datang berpusu-pusu. Ini disebabkan mereka datang selepas solat Isya.

Restoren Ayam Goreng ala KFC di Kota Bharu

Pasar malam yang kami pergi ialah di Wakaf Che Yeh. Ia terletak kira-kira 4km dari bandar Kota Bahru. Kami memandu dalam anggaran 20 minit dari hotel kami. Terdapat banyak homestay berhadapan dengan pasar Wakaf Che Yeh ini. Menurut kawanku ramai orang menginap di homestay di sini. Amat strategik kan!

Pasar malam ini amatlah besar, seluas suku ekar. Beratus-ratus gerai menjual pelbagai barangan dan makanan terdapat di sini. Segala-galanya ada. Saya rasa inilah pasar malam terbesar yang pernah saya pergi. Di bawah ini adalah gambar suasana di Pasar Malam Wakaf Che Yeh.

Peniaga lelaki gemar menjual durian dan c.d di Pasar Malam Wakaf Che Yeh

Peniaga wanita gemar menjual barangan kemas dan busanan muslimah di Pasar Malam Wakaf Che Yeh

Setelah membeli-belah, menjamu mata dan makan malam di Wakaf Che Yeh kami pulang. Ketika itu kira-kira pukul 10.00 malam. Tetapi ketika kami berjalan menuju ke tempat letak kereta, kami bertembung dengan ramai orang yang baru sampai untuk membeli-belah. Pasar malam ini tak tidur ke?. 

Dalam perjalanan pulang ke hotel, tiba-tiba suasana jalan sesak dan kereta bergerak terlalu perlahan. Terdapat ramai orang membanjiri suatu kawasan terbuka. Mengapakah itu berlaku? Adakah mereka hendak mendengar ceramah parti politik? Ceramah PAS atau BN?  Sekarang bukankah musim pilihanraya? Sedang tertanya-tanya itu akhirnya saya dapat jawapannya. Saya lihat wajah penceramah terpampang di atas skrin di satu kawasan terbuka. Saya kenal wajah itu. Rupa-rupanya orang ramai membanjiri ceramah agama Ustaz Azhar Idrus. Alamak...kalau aku tahu ada ceramah Ustaz aZHAR Idrus, saya ke sini tadi.

Orang ramai membanjiri ceramah agama Ustaz Azhar Idrus

Pasar Siti Khadijah


Hari terakhir saya di Kota Bahru saya membeli-belah di Pasar Siti Khadijah. Pasar Siti Khadijah ini adalah pasar yang wajib saya pergi setiap kali ke Kota Bahru. Yang menarik di pasar ini kebanyakan peniaganya adalah kaum wanita. Itulah sebabnya nama pasar ini diberi nama Pasar Siti Khadijah bagi menghargai sumbangan kaum wanita yang minat berniaga di sini.

Terdapat pelbagai jenis makanan dan beratus-ratus jenis kuih-muih tradisonal Kelantan dijual di sini seperti nasi tumpang, nasi berlauk, nasi dagang, nasi kerabu, laksam, somtam, tapai, kuih taik itik, jala mas, akok, buah tanjung, serabe, belede, tepung pelita, serunding, keropok, budu, telur penyu, ayam percik dan macam-macam lagi. Yang wajib saya beli ialah keropok, keropok lekor dan serunding daging.

Selain daripada itu pasar ini juga menjual buah-buahan, sayur-sayuran, ayam, rempah ratus dan pakaian batik. Pasar ini mempunyai empat tingkat.


Pasar yang majoriti peniaganya wanita
Sayur-sayuran, jeruk dan telur penyu di bahagian bawah Pasar Siti Khadijah
Keropok lekor di tingkat bawah dan keropok kering di tingkat satu

Setelah puas membeli-belah di Pasar Siti Khadijah kamipun bertolak pulang ke Pulau Pinang. Kami mengggunakan jalan yang sama sebagaimana kami datang iaitu melalui Rantau Panjang. Kami harus meninggalkan Kota Bahru sebelum tengahari kerana diberitakan bahawa Perdana Menteri kita akan datang ke Kota Bahru pada tengahari itu. Jadi untuk mengelakkan kesesakan kami pergi sebelum acara itu bermula. Sewaktu kami meninggalkan Kota Bahru, kami lihat orang ramai sibuk membuat persediaan menyambut Dato Seri.

Kamipun menuju ke Rantau Panjang melalui Pasir Mas. Apakah yang ada di Rantau Panjang? Teruskan berasama saya dalam entri yang akan datang. Bersambung...


10 ulasan:

  1. Sebenarnya kembara dalam negara pun seronok juga. Selalunya kita ambil pendekatan, tempat dekat bila-bila boleh pergi, tapi tak sampai-sampai pun.

    BalasPadam
  2. Condolence utk FIL. Alfatihah.

    Baru bulan lepas rasa nya sy ke Kltn. Mmg seronok cuci mata disana.Brg2 pon cantik2 dan geram2 nengok nye. Cuma dpt pgalaman buruk bila makan di MFC tuh. Sbr je la,nasib tak mengena. Hotel tu pulak nampak cantik n sgt moden. Thx share, nnti boleh cuba. InsyaAllah akan kesana lgi dalam masa terdekat. Xsbr tunggu cerita Beijing pula rasanya..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih Beb kerana mendoakan untuk arwah ayah mertua saya.
      Oh kesiannya dpt pengalaman buruk di MFC. Saya sendiri tak pernah masuk MFC tu, ambil gambar je. Hotel Crown Garden tu cantik dan bersih, cuma saiz bilik agak kecil. Tetapi amat convenience sebab di tengah-tengah bandaraya Kota Bahru. 5 minit berjalan ke Pasar Siti Khadijah dan 3 minit ke Mydin. Terima kasih juga kerana mengikuti cerita saya di Beijing. InsyaAllah akan saya sambung selepasa habis (2 Bahagian lagi) kisah Kembara ke Kelantan.

      Padam
  3. Salam, So sorry to hear about yr FIL. KB memang best.. saya kalau ke sana, paling saya suka makan2..extremely cheap compared to KL and very very authentic cuisine...sedapnyerrr...nasi kerabu, laksam...apa lagik ya...? yg hati ayam cocok2 tuh...sedap betolll....

    BalasPadam
    Balasan
    1. Waalaikumusalam Farikica. Terima kasih kerana mendoakan FIL saya. Saya pun macam Farikica suka makan2 bila ke KB, rasa macam nak makan semua kan. Favorite Farikica tu pun favorite saya jugak..Memang authentic!

      Padam
  4. Salam kenal..

    cantik betul hotel kat kelantan tu.. tetiba rindu nak ke sana. food is the best for me there.

    BalasPadam
  5. Waalaikumusalam Azian Elias,
    Terima kasih kerana sudi menjadi rakan kembara saya dan membaca blog ini.

    Hotel itu sangat sesuai untuk menginap kerana letaknya betul-betul di tengah-tengah bandar KB. Tetapi utk orang yang berbadan besar, rasanya tidak berapa sesuai kerana saiznya agak kecil. Saya pun macam Azian, suka makanan di sini.

    BalasPadam
  6. assalamualaikum...

    menariknye cerita2 kembara kakak..
    sumber inspirasi yg sgt hebat
    (=

    BalasPadam
  7. Natasha, terima kasih.
    Maaf tak dapat balas segera, sebab masalah utk akses blogspot di China. Tapi janganlah serik utk dating lagi ke blog ini.

    BalasPadam

Kini giliran anda pula untuk memberi pandangan/ulasan.

Ulasan tanpa nama akan dipadamkan.