P
erjalanan merentasi jalan darat dari Pulau Pinang ke Pantai Timur iaitu ke Kota Bahru memberi seribu makna kepada saya. Melihat keindahan negara sendiri adalah ibarat sireh pulang ke gagang.
Dalam perjalanan, saya singgah di Rantau Panjang untuk melihat keadaan di sempadan Malaysia-Thailand. Inilah pertama kali saya ke Rantau Panjang.
Dalam perjalanan, saya singgah di Rantau Panjang untuk melihat keadaan di sempadan Malaysia-Thailand. Inilah pertama kali saya ke Rantau Panjang.
Masjid Beijing di Rantau Panjang
Ketika ke Rantau Panjang itu saya belum lagi sampai ke Beijing
tetapi saya sudah melihat masjid Beijing. Macam mana tu?
Lihatlah gambar di atas. Inilah masjid
Beijing yang saya maksudkan. Ia letaknya bukan di Beijing, tetapi di
Rantau Panjang, Kelantan. Masjid
Keputeraan Sultan Ismail Petra di Rantau Panjang ini lebih dikenali oleh penduduk
tempatan sebagai Masjid Beijing. Senibina masjid ini amat unik kerana menggabungkan senibina China dan Islam dan hampir menyerupai masjid di Beijing, China.
Masjid ini terletak di tepi lebuhraya Pasir Mas-Rantau Panjang, kira-kira 2 Km dari Pekan Rantau.Panjang dan kira-kira 30 minit pemanduan dari Kota Bahru. Luasnya 3.7 ekar. Ia dibina pada 12 September 2005 dan dirasmikan pada bulan Ogos 2009. Kos pembinaannya dianggarkan RM8.8 juta.
Elok juga idea membina masjid bercirikan senibina China ini. Ini menunjukkan Islam itu universal. Ia memberi gambaran kepada masyarakat bahawa Islam itu tidak sahaja dianuti oleh orang Melayu tetapi juga bangsa lain. Ia juga menggambarkan bahawa sesebuah masjid itu tidak semestinya ada kubah sebagaimana yang terdapat di kebanyakan masjid di Malaysia. Dengan membina masjid begini, diharapkan mampu menarik lebih ramai orang datang ke masjid.
Zon Bebas Cukai Rantau Panjang
Dalam perjalanan pulang dari Kota Bahru ke Pulau Pinang kami (saya dan rakan sepejabat saya) melalui pekan Rantau Panjang di Jajahan Pasir Mas. Kami berhenti dan melihat kedai-kedai di situ. Rantau Panjang amat popular dengan destinasi membeli-belah bebas cukai. Pelbagai barangan dijual di sini: makanan, peralatan dapur, pakaian wanita, pakaian kanak-kanak, pakaian lelaki, beg, kasut, permainan dan macam-macam lagi.
Tetapi saya tidaklah membeli-belah. Cuma menjamu mata sahaja. Ini disebabkan saya sudah puas membeli-belah di Kota Bahru. Lagipun dalam masa 3 hari lagi saya akan ke Beijing, China. Jadi simpan duit untuk ke sana pula.
Sempadan Malaysia-Thailand: Hanya Sebatang Sungai Kecil yang Memisahkannya
Saya sempat melihat sempadan Malaysia dan Thailand. Sudah banyak cerita tentang sempadan ini yang saya dengar. Sudah banyak filem yang saya tonton. Antara cerita/berita popular ialah pertembungan dua budaya, dua kerakyatan penduduknya, krisis Selatan Thailand (perjuangan pemisah) serta kisah penyeludupan beras, dadah dan manusia.
Sebuah filem tentang aktiviti penyeludupan beras dari Thailand ke Malaysia yang menarik pernah saya saksikan ialah Pee Seua lae Dawkmai (Butterfly and Flower). Filem Thailand ini telah dihasilkan pada tahun 1985 dan diarahkan oleh Euthana Mukdasanit. Saya tonton filem ini di Amerika Syarikat. Filem ini dibawa masuk ke Amerika Syarikat oleh pensyarah saya, Profesor Dr Sman Ngamsnit dari Thailand.
Filem yang pernah menerima anugerah di Hawaii ini mengisahkan kemiskinan seorang budak lelaki di Selatan Thailand. Dia menyara hidup dengan menyeludup beras ke Malaysia menggunakan keretapi di sempadan. Pelbagai cara digunakan untuk menyeludup beras ke Malaysia. Antaranya menyembunyikan beras di bawah lantai keretapi, di bawah lubang khas dalam keretapi (kalau tak silap lubang tandas) dan di atas bumbung keretapi. Akitiviti penyeludupan ini dilakukan secara berkumpulan. Jadi ramai konco-konco dan tekong-tekong yang terlibat. Disamping itu terdapat juga percintaan di antara dua pasangan berlainan agama: Islam dan Buddha sekaligus mencerminkan krisis agama di Selatan Thailand..
Filem dokumentari pula ialah "Antara Dua Dunia." (kalau tak silap saya begitulah tajuknya), tentang pertembungan dua budaya masyarakat Melayu yang tinggal di sempadan kedua-dua buah negara ini.
Filem cereka Melayu pula ialah "Jogho" arahan U-wei Hj Shaari adaptasi dari novel "Juara" karya S. Othman Kelantan. Ia mengisahkan kehidupan seorang lelaki Kelantan yang kalah dalam pilihanraya dan berpindah ke Selatan Thailand bersama keluarganya lalu terlibat dengan perlagaan lembu.
Sudah tentu kisah perjuangan pemisah Islam, tragedi Tak Bai di Narathiwat dan pengeboman/pembunuhan melalui krisis Selatan Thailand saya ketahui melalui media massa yang lain.
Dan pada Mei 2012 saya telah menyaksikan sempadan kedua-dua buah negara Asia Tenggara ini dengan mata saya sendiri. Ia hanya dipisahkan oleh sebatang sungai yang kecil.
Saya pergi ke Pengkalan Tok Awang yang letaknya di pekan Rantau Panjang. Di pengkalan itu saya melihat sebatang sungai yang kecil tetapi agak dalam. Di seberang sana saya dapat melihat rumah-rumah kampung dan masjid. Di situlah Narathiwat, Thailand. Beberapa orang menunggu di pengkalan untuk menaiki bot menyeberanginya. Ada dua orang anggota tentera mengawasi aktiviti di situ.
Apabila saya melihat sungai itu, saya rasa saya boleh berenang ke seberang dalam masa sepuluh minit. Barulah saya faham...patutlah penyeludupan begitu mudah berlaku di sempadan ini.
Pemeriksaan Kastam di Rantau Panjang |
Simpang tiga di Pekan Rantau Panjang |
Pekan Rantau Panjang ini bersempadan dengan Narathiwat. Ia dipsiahkan oleh sebuah sungai dan sungai itu letaknya di belakang deretan kedai ini |
Sungai yang memisahkan Malaysia dan Thailand |
Ingatkah anda bahawa Selatan Thailand ini dahulu adalah milik Tanah Melayu, tetapi telah diserahkan oleh British kepada Thailand dalam Perjanjian Bangkok 1909?
Itulah kisah kehidupan masyarakat dan politik kita yang jarang kita ketahui dan mungkin sudah kita lupai. Tetapi ia benar-benar berlaku.
Ikutilah seterusnya Kembara saya di Tanah Serendah Sekebun Bunga (Kelantan) dalam entri yang akan datang.
Bersambung...
Wah Prof ni tera berenang rupanya. Agak luas juga sungai tu...
BalasPadamMie,
BalasPadamAlhamdulillah saya boleh berenang di sungai. Maklum le saya budak kampung he he he...saya dibesarkan di kampung, rumah saya depan sungai :)