Tagline

A Blog About Traveling Around The World From The Lens and Eyes of A Malaysian-Muslim Woman

Select Your Preferred Language


Select Your Preferred Language
BAHASA MELAYU | ENGLISH

Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini

Adsense



Selasa, 31 Julai 2012

TEMPAT MENARIK DI BEIJING #8: Beihai Park

P ada entri yang lepas saya telah mengajak anda ke Istana Musim Panas yang tak habis dijelajah dalam sehari. Kali ini pula saya ingin mengajak anda ke sebuah taman lain yang tidak kurang luas dan cantik: Beihai Park namanya.

Saya pergi berdua bersama anak saudara saya. Kami ke sana dengan menaiki subway laluan 1 dan turun di Dataran Tiananmen. Selepas melawat Dataran Tiananmen kami berjalan kaki menuju ke Beihai Park.

Dalam perjalanan menuju ke Beihai Park itu kami dapat lihat kawasan perumahan tradisional di Beijing yang dikenali dengan hutong. Hutong ini memang unik dan tersendiri, malahan ia adalah warisan Beijing yang sudah semakin pupus, tetapi ada yang masih menghargainya. 




Kami sempat mengambil gambar kawasan hutong itu.  Kami dapat melihat pintu-pintu gerbang hutong yang bercirikan senibina China purba. 



Kami juga dapat melihat lorong-lorong, rumah-rumah, sekolah dan bangunan kerajaan.




Kedai-kedai bersenibina China purba kelihatan menarik di pinggir jalan.





Kami dapat lihat kebiasaan orang di sini iaitu bermain terup dan berjudi di tepi jalan.




Pertama kali saya melihat posnita (penghantar surat wanita) ialah di kampus Universiti Komunikasi China. Apabila saya ke kawasan hutong ini saya terlihat seorang lagi posnita sedang menghantar surat dengan menaiki basikal dari hutong ke hutong. Jadi di China ini, wanita boleh lakukan apa sahaja.





Ada sebuah kedai orang Islam di situ dan mereka mengajak kami singgah makan tengahari. Tetapi melihatkan keadaan dalam kedai yang berselerak dan kurang bersih, kami tidak ada keinginan untuk makan. Kami cuma membeli air botol sahaja. 



Sambil berjalan itu kami sempat juga bertanya kepada beberapa orang, "Di mana Beihai Park?", tetapi ramai yang tak tahu, kerana mereka tidak tahu berbahasa Inggeris. Akhirnya ada seorang pengawal lalulintas memberitahu kami kedudukan yang tepat, itupun menggunakan bahasa China dan bahasa isyarat.

Kami sampai di Beihai Park agak petang. Orang tidaklah ramai berbanding dengan di Istana Musim Panas. Kebanyakannya yang datang ke taman itu adalah orang tempatan. 

Di kawasan luar pintu masuk taman ada pusat penerangan pelancong. Jadi kami masuk untuk mendapatkan  brosur yang hampir kehabisan.

Bayaran masuk ke Behai Park cuma 10 yuan (RM5). Oleh kerana kami sudah banyak berjalan kaki dan kaki pula sudah lenguh, kami menaiki jeep untuk masuk ke dalam taman itu. Bayarannya 10 yuan. 





Kami dapat melihat tasik, bot-bot dan kedai-kedai di taman itu. 

Beihai Park mempunyai sejarah lebih seribu tahun. Ia mula dibina pada zaman dinasti Liao kemudian ditambah pembinaannya dan dibaikpulih pada zaman Dinasti Jin, Yuan, Ming dan Qing. 

Taman ini berkeluasan 69 hektar, tasiknya pula mengambil 39 hektar daripada keseluruhan keluasannya. Pembinaan taman ini adalah berdasarkan kepercayaan kuno Maharaja China yang meniru “taman kayangan” untuk kehidupan selepas mati mereka.





Jeep itu menghantar kami ke bahagian tengah taman. Di situ kami dapat melihat pemandangan yang cantik. Terdapat pulau di tengah-tengah tasik itu. Pulau inilah yang telah dibina oleh Maharaja Liao dahulu yang menimbunkan tanah-tanah menjadi bukit-bukit. Di atas bukit itu pula ada sebuah bangunan tinggi yang dipanggil Dagoba. Dagoba ini dibuat bercirikan tempat ibadat orang Buddha. Ia pernah musnah akibat gempa bumi. Tetapi dibaikpulih semula. 

Dagoba adalah mercu tanda Beihai Park. Untuk ke sana kita perlu menaiki bot. Tapi kami hanya melihat sahaja dari jauh.



Kemudian kami berjalan-jalan melihat taman-taman kecil di situ. Ada bukit-bukit kecil untuk berehat. Ada sebuah tembok berukiran naga sembilan ekor terdapat di situ. Tembok ini hampir sama dengan tembok yang saya lihat di Kota Larangan. Cuma di Kota Larangan naganya tiga ekor. 

Di sini tembok naganya adalah yang terbesar di China. Naga-naga itu terdapat di kedua-dua belah tembok. Disamping sembilan ekor naga besar terdapat juga naga-naga kecil di tepi-tepi dan bucu-bucu tembok yang berjumlah sehingga 635 ekor. Ia telah dibina 200 tahun dahulu tetapi warnanya masih terang dan senibinanya masih sempurna, menggambarkan ketinggian mutu seni China purba.




Kami melihat ramai orang tempatan yang berjogging, berjalan kaki dan beristirehat di situ.



Apabila puas kamipun berjalan kaki keluar meninggalkan Behai Park yang indah. Untuk pulang kami menaiki bas nombor 5 yang perhentiannya berhadapan dengan pintu keluar Behai Park. Tambangnya cuma 2yuan (RM1). Bas nombor 5 ini kemudiannya lalu di Dataran Tiananmen dan kami turun di situ. 

Kami mencari arah stesen subway Tianmen Barat, iaitu dari arah kami datang tadi, tetapi jalan itu ditutup disebabkan ada pegawai penting (VVIP) berada di Dataran Tianamen. Jadi kami kehilangan arah. Lalu bertanyakan pengawal-pengawal di situ, "Where is the subway station?". Semuanya tak tahu apa itu "subway". Beberapa kali kami sebut perkataan "subway station". Semuanya tak tahu. Setelah menunjukkan kamus bahasa China di dalam telefon bimbit saya barulah mereka faham. Seterusnya  kami pulang ke rumah menaiki subway laluan 1 dari Tianamen Barat. Kami pulang dengan seribu ilmu dan kenangan.

Ikutilah Kembara Naramas Aman dalam entri akan datang.


6 ulasan:

  1. salam akak,

    lama x jengah masuk sini. akak upload gmbr kat mana ek? sbb saya tak nmpk gmbr pun. kalo upload kat blogger mmg nampak. huhuhu.

    BalasPadam
    Balasan
    1. OK je gambarnya Danny... :D

      Padam
    2. Gambar Ok? Terima kasih Mie sebab beritahu. Risau juga kalau tak nampak gambar.

      Padam
  2. Salam Danny/John,
    Saya tak faham maksud Danny..Tak nampak gambar? Adakah gambar-gambar dalam entri kali ini tak kelihatan di skrin Danny?

    BalasPadam
  3. Yela Danny..ada je gambarnya..cantik2 belaka..hehe.
    Penuh dengan info sejarah..1 China Prof jelajah ek..hehe.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih Zila sebab beritahu ada gambar :). InsyaAllah nak takluki China kalau berpeluang he he he...

      Padam

Kini giliran anda pula untuk memberi pandangan/ulasan.

Ulasan tanpa nama akan dipadamkan.