Tagline

A Blog About Traveling Around The World From The Lens and Eyes of A Malaysian-Muslim Woman

Select Your Preferred Language


Select Your Preferred Language
BAHASA MELAYU | ENGLISH

Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini

Adsense



Isnin, 21 Julai 2014

Backpacker Ciput Main Redah di Jepun (10): Menyapa Keindahan Arashiyama, Kyoto

A rashiyama sebuah tempat di kaki Gunung Arashiyama, di bahagian Barat Kyoto, seakan-akan menyihir Backpacker Ciput dua beranak ini pagi itu. Khabarnya banyak keindahan alam yang boleh kami lihat. Antaranya ialah Gunung Arashiyama, Hutan Buluh, Taman-taman, Warisan Kyoto Kuno, Jambatan Togetsukyo, Sungai Katsura dan Sungai Hozu. Disamping itu kami boleh mendalami budaya dan kepercayaan masyarakat di situ.


Menggunakan One-day Pass di Bandar Kyoto


Setelah menyusun rancangan ke Arashiyama saya dan anak sayapun ke stesen Kitaoji. Kami ke kaunter pertanyaan untuk mendapatkan maklumat. Pegawai di situ menyarankan kami membeli One-day Pass (Pas Sehari) kerana ia lebih menguntungkan.

Ada dua jenis One-day Pass (Pas Sehari):

1) Untuk bas bandar Kyoto sahaja
  • Boleh digunakan dalam zon bandar yang diperuntukan (Arashiyama, Sagano, Takao, Shugakuin dan sebagainya)
  • Harga: Dewasa ¥500 (RM15.70), Kanak-kanak ¥250 (RM7.85)
  • Digunakan tanpa had pada hari yang sama
  • Sekiranya menaiki bas di luar dari zon yang diperuntukkan, perlu bayar tambahan
2) Untuk bas dan keretapi bawah tanah Kyoto
  • Pas Sepanjang hari, Dewasa ¥1,200 (RM37.66) / Kanak-kanak ¥600 (RM18.83)
  • Boleh digunakan untuk menaiki bas bandar dan keretapi bawah tanah
  • Pengunaan tanpa had untuk sehari 
  • (Nota: Terdapat juga Pas Dua Hari, Dewasa ¥2,000 (RM62.78) / Kanak-kanak ¥1,000 (RM31.39). Pengunaannya tanpa had untuk dua hari)
One-day pass ini menjimatkan dan memudahkan kami ke beberapa tempat menarik di Kyoto. Pass ini boleh digunakan untuk menaiki bas dan keretapi.

Kami pilih One-day Pass (Pas Sehari). Ia boleh digunakan sepanjang hari ke beberapa tempat menarik di Kyoto. Dengan pass ini kamipun naik keretapi bawah tanah dan bas dari Kitaoji => Karasumaoike =>Arashiyama. Pada petangnya pula kami masih menggunakan pass ini dari Arashiyama => Karasumaoike => Kitaoji. Pada malam hari pula kami masih menggunakan pass yang sama iaitu dari Kitaoji => Gion, Gion =>Kitaoji.

Tak ramai penumpang dalam keretapi dari Kitaoji ke Karasumaoike

Dari Kitaoji kami ke Karasumaoike dengan menaiki keretapi bawah tanah.

Hentian bas C di Karasumaoike

Di Karasumaoike, kami menunggu bas No. 93 di hentian C untuk ke Arashiyama. Nombor bas itu ada tertulis pada papan hentian bas. Bas akan sampai 20 minit lagi. Kamipun tunggu. Tetapi ditegur oleh seorang wanita Jepun dengan sopan.

 "Are you alright waiting for the bus here?" katanya memulakan perbualan.

"We are going to Arashiyama," kata saya memahami maksud wanita itu.

"If you want to go to Arashiyama, the bus is on that street. You look over there. That is West. Arashiyama is on the West," jelasnya.
.
Jadi kami sudah silap tunggu bas. Mujurlah ada orang perasan.

Hentian bas B di Karasumaoike. Di sini ada wi-fi percuma selama 3 jam. Bas no. 93 ke Arashiyama

Wanita Jepun itu sudah menghantar kami ke hentian bas (B) yang dimaksudkannya tadi sehingga kami harus kembali mencari jalan sendiri untuk melanjutkan perjalanan. Terima kasih buat wanita Jepun itu yang secara sukarela membantu musafir kelana ini yang mungkin akan sesat-barat kalau tiada siapa yang hirau. Kagumnya kami kerana dia yang dahulu bertanya kami dan bukan kami yang bertanya dia.

Orang sudah ramai menunggu apabila kami di hentian bas itu. Kamipun siap-siap beratur. Yang membuatkan kami kagum lagi ialah wi-fi diberikan percuma selama 3 jam. Jadi bolehlah melayari internet ketika menuggu bas datang. Tapi kami tak berbuat demikian kerana suasana yang hidup sekeliling kami lebih menarik panca indera kami daripada suasana di dalam internet.

Tak lama menunggu, bas ke Arashiyamapun sampai. Peraturan naik bas di sini sedikit berlainan ~ naik ikut pintu belakang, turun ikut pintu depan. 

Di dalam bas dari Karasumoike ke Arashiyama

Sampai Di Arashiyama


Lebih kurang 20 minit di dalam bas, tulisan "Saga Arashiyama" terpampang di atas skrin dekat pemandu. Kamipun turun. Sebelum turun kami ikut orang lain jolokkan pass pada lubang mesin tiket tepi tangga. Pass itu keluar semula menandakan pass ini sah dan tambang bas dah dibayar.

Kami sangka dah sampai ke Arashiyama. Kami lihat di situ ada sekolah. Tak kelihatan tempat itu seperti Arashiyama yang sepatutnya ramai orang. Bingung. Mulalah kami mencari.

Papan peta yang terdapat di tepi-tepi jalan kami baca. Rupa-rupanya di situ ada empat tempat bernama Arashiyama. Ada Saga Arashiyama, Kyoto Arashiyama, Burari Arashiyama dan Arashiyama. Kami sudah turun di Saga Arashiyama, iaitu dua hentian lebih awal. Kamipun berjalan kaki. Tapi tidaklah jauh sangat. Kami cuma kena naik jejantas dan masuk simpang kedua. Lebih kurang 10 minit, kami sudah nampak orang ramai dan pelancong Mat Salleh sedang membaca peta dan mencari-cari macam kami juga. Di situ ada pekan.

Peta tepi jalan menunjukkan terdapat 4 Arashiyama

Kami menunggu keretapi lalu sebelum melintas jalan ke pekan Arashiyama

Ketika itu sudah tengahari, kami cari benteng untuk duduk makan. Setelah jumpa benteng tepi kedai kamipun duduk lalu membuka bekalan nasi yang saya masak di rumah Mr Reggae pagi tadi. Di Jepun, tak siapa kenal saya, profesyen saya telah bertukar menjadi Backpacker Ciput. Perasaan malu duduk makan nasi atas benteng tepi kedai tak ada langsung, sebab yang penting, perut mesti diisi dengan makanan halal.

Makan tengahari kami sangatlah sempoi. Nasi putih yang dah sejuk dengan serunding daging yang saya beli di Bukit Bunga Kelantan baru-baru ini. Terasa sangat nikmat makan nasi sempoi begini ketika di rantau orang.

Kami kemudiannya melalui kedai-kedai yang ada di pekan itu. Antaranya ialah kedai makan bernama Hanana. 

Kedai makan Hanana mengingatkan saya pada lagu "Ya Hanana"

Ketika melihat kedai Hanana ini saya teringat lagu "Ya Hanana" nyanyian sebuah kumpulan qasidah di Malaysia. Kamipun nyanyi, "Ya Hanana Ya Hanana Ya Hanana..." Baru nyanyi lagu itu sebaris, tetiba kami nampak di hadapan kami logo halal. Logo halal itu terletak pada papan iklan di hadapan kedai Black Paint bersebelahan dengan kedai makan Hanana  itu.  Kami ketawa gembira, macam ada kena-mengena lagu Hanana dengan logo halal itu. Sebenarnya logo halal itu untuk sejenis produk rawatan wajah berjenama Black Paint.

Kami agak hairan juga, logo halal pada bahan rawatan wajah terdapat di Arashiyama, padahal orang Islam bukannya ramai di sini. Menurut statistik yang saya perolehi dari sumber yang dipercayai, hanya 1% sahaja orang Islam di seluruh Jepun. Adakah produk ini  untuk pelancong Islam atau untuk dieksport ke negara-negara yang ramai penduduk Islam? Bagi kami Backpacker Ciput ini, kalau diberi pilihan, kedai makanan halallah lebih penting daripada kosmetik halal ketika itu. Tak pernah terlintas hendak buat rawatan wajah di Jepun ini yang harganya pasti membuatkan tangan saya menggigil membayarnya. Lainlah kalau di Medan atau Vietnam. 

Syukur alhamdulillah, ada juga orang Jepun yang prihatin tentang kehalalan bahan kosmetik walaupun peratusan umat Islam tidak ramai di sini. Saya tak pasti jenama ini sudah ada di Malaysia atau tidak? Kalau tak ada lagi...hah cepat-cepatlah kita buat bisnes.

Inilah bahan pencucui wajah halal yang saya maksudkan. Ia berjenama Black Paint. Di sebelah kedai Black Paint ialah kedai makan Hanana.
Logo halal untuk rawatan wajah jenama Black Paint dari syot tangkap dekat

Hutan Buluh


Selang beberapa langkah dari kedai Black Paint halal itu tadi, kami terus nampak hutan buluh yang sering disebut-sebut orang. Letaknya di seberang jalan dari kedai tadi. Orang tidaklah ramai sangat. Kami jalan lenggang kangkung sahaja. Boleh pilih spot mana yang kami suka untuk posing gaya bebas. Cuaca pula pada masa itu bagus. Tidak panas. Matahari tak muncul. Redup sahaja. Khabarnya nak hujan hari ini.  

Buluh yang banyak ditanam. Warna buluhnya agak berlainan dengan warna buluh kita ~ hijau kelabu
Eh, ada orang naik lanca..dia tak marah ambil gambar dia
Budak-budak sekolah melalui lorong buluh ketika pulang ke rumah dari sekolah. Ada kawasan perumahan di hujung sana.
Tinggi-tinggi pokok buluh di Arashiyama ini
Lanca melalui lorong di dalam hutan buluh

Seperti biasa saya selalu takjub melihat keindahan tanaman hijau. Hutan buluhnya luas. Pasti ada orang yang mengusahakannya. Tambahan pula ia dipagari rapi dan hutan buluhnya kelihatan seperti didandan.

Kami terus berjalan sehingga ke belakang hutan buluh. Dalam perjalanan itu kami nampak ada pondok-pondok kecil di tepi jalan. Oleh kerana ia tepi jalan dan terbuka, ia mudah dilihat oleh sesiapa sahaja yang lalu di situ.

Di situ kami nampak ada beberapa orang sedang membasuh tangan, menulis di atas kayu, menarik loceng dan menghadap sebuah pondok kecil, tunduk hormat sambil memohon. Saya tidak pasti mereka memohon kepada siapa sebab tidak ada penerangan mengenainya. Mungkin kepada roh nenek moyang mereka atau kepada dewa? Mungkin mereka ini penganut Shinto. Gerai jual cenderamatapun ada di situ. Tapi kami tak minat. Takut terbeli peralatan sembahyang mereka pula.

Tempat orang Jepun membasuh tangan. Mungkin ini kolah air sembahyang mereka.
Kertas diikat pada tali rentang. Tak tahu apa tujuannya. 
Orang Jepun menulis di atas kayu. Mungkin permintaan.
Kayu-kayu yang penuh dengan tulisan permintaan
Gerbang menuju sebuah taman kecil. Hutan buluh di sekelilingnya
Tanglung dan tulisan bergantungan

Kami melanjutkan perjalanan sehingga ke belakang hutan buluh itu. Sambil itu cari tandas. Di situ kami lihat ada kedai menjual hasil kraftangan buluh. Kilang memproses buluh pula tak jauh dari situ. Rumah-rumah penduduk tempatan pula bersebelahannya. 

Tapi rasanya kami ingin melepaskan penat sejenak sambil melabuhkan punggung di atas benteng batu dan meluruskan kaki. Sambil itu indera penglihatan kami tidak lepas memerhatikan penduduk di situ mengekori anjing kesayangan bersiar-siar. Beberapa pelawat memilih untuk menaiki lanca dan memperagakan kimono sehingga membuat kami bertambah asyik.

Hasil kraftangan dari buluh dijual di kedai di Lorong Buluh, Arashiyama
Beribu-ribu batang buluh tumbuh di sini
Kilang memproses buluh
Buluh di sini agak berbeza dengan buluh di Malaysia kerana saya tak nampak miang buluh pada batangnya. Saya masuk ke dalam celah-celah rumpun buluh ini dan memegang batangnya, tak rasa miang pun.
Penarik lanca ini bercerita sambil menarik orang sehingga ke belakang Hutan Buluh
Penduduk tempatan berjalan-jalan membawa anjing
Dua gadis ini sedang bersiap-siap dan berdandan
Oh rupa-rupanya mereka nak ber'selfie' 

Oleh kerana sibuk mencari tandas, tumpuan untuk menikmati keindahan hutan buluh itu terlupakan. Kerana itu saya tak tangkap banyak gambar di sini. 

Sehingga ke hujung lorong buluh itu kami masih tak jumpa tandas. Hanya setelah bertanya pada penarik lanca yang sedang berhenti rehat barulah kami bertemu tandas yang letaknya di kawasan deretan kedai di luar hutan buluh itu. 


Keindahan Taman Jepun dan Monumen Sejarah Kyoto Kuno


Dua Backpacker Ciput sejati ini terus berjalan kaki. Kali ini kami mencari stesen keretapi yang dipanggil Sagano Romatic Train. Dengan menaiki keretapi ini, kami berpeluang melihat keindahan sungai-sungai, gunung-ganang dan kampung-kampung. Untuk ke situ kami perlu menemukan Jambatan Togetsukyo dulu. Dalam perjalanan menuju ke kedua-dua destinasi itu, kami melalui Monumen Sejarah Kyoto Kuno. Kami sempat memasuki taman-taman di monumen sejarah itu, melihat-lihat bangunan kuno dan tangkap gambar.

Langit biru. Kepulan awan yang kecil-kecil berarak memenuhi angkasa raya. Mungkin hari akan hujan. Nun di kaki langit, terbentang Gunumg Arashiyama menyerikan lagi suasana yang sudah sedia indah. Bangunan-bangunan kuno zaman Edo dan Meiji terlihat kukuh. Dulu ia pernah dibina untuk dijadikan istana. Tetapi kemudiannya berubah peranan dan tujuan. Ia kemudian dijadikan kuil. Ada yang pernah terbakar. Dibaikpulih semula. Sekarang ia menjadi tinggalan sejarah yang dijulang warga Jepun dan mendapat pengiktirafan UNESCO.

Sebuah tempat pemujaan Kyoto Kuno yang di kelilingi taman





Ukiran tapak kaki pada batu



Bunga okid


Bangunan Kyoto Kuno
Keindahan bangunan Kyoto kuno dengan berlatarbelakangkan Gunung Arashiyama
Pintu gerbang sebuah taman
Taman di sebalik pintu gerbang
Teratai di dalam kolam Hojo-chi 
Bangunan kuno dalam kawasan Warisan UNESCO
Bangunan Warisan UNESCO. 

Setelah melihat taman-taman dan bangunan warisan Kyoto Kuno kamipun terus mencari Jambatan Togetsukyo dan Romantic Train.

Dapatkah kami berjumpa Jambatan Togetsukyo dan menaiki Romantic Train?  Dalam tulisan selanjutnya saya akan bercerita tentang itu. Nantikan kemunculan cerita itu dalam entri akan datang.


...bersambung  
                                                                                  
...baca entri akan datang di sini

[] Backpacker Ciput Main Redah di Jepun (11): Membeli-belah, Fesyen Jalanan dan Dua Sungai di Arashiyama, Kyoto

Baca kisah sebelumnya melalui pautan di bawah ini:


26 ulasan:

  1. wah backpacker menarik ni...great piece of sharing...

    BalasPadam
  2. Alhamdulillah puan, dah lama saya tunggu nak baca sambungan kisah travelogue ni..
    menarik betui kedai nama hanana tu :)

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih kerana menunggu, Tihara. Bulan puasa ni agak sibuk sikit, jadi entri blog kali ini agak lambat munculnya.
      Saya tak tahu apa maksud Hanana tu.

      Padam
  3. gambar2 akak, blh buat poskad..cantik2 belaka..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Hmm..ye ke? :) Terima kasih Zilla sebab sukakan gambar-gambar di sini.

      Padam
  4. Tak try naik lanca kat situ? Nampak gagah betul si penarik lanca tu bawak dua orang sekaligus hehe.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Saya tak try naik lanca tu. Harganya tentu mahal. Kalau 30 minit, mereka cas 7,000 yen (RM219) seorang. Memang gagah si penariknya. Sambil tarik ke hulu ke hilir, mereka bercerita.

      Padam
  5. Taman2 depa cantik le....saya suka. bunga orkid liar ke tu ?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Orang Jepun sangat berseni dan sukakan hijau. Bunga orkid itu tumbuh di dalam taman di kawasan kuil Kyoto Kuno tu.

      Padam
  6. Mungkin kalau ke sini pada autumn suasana akan lebih cantik lagi..

    Nihon de takusan kirei na tokoro ga arimasu ne...

    BalasPadam
    Balasan
    1. MIe-san,
      Hai, anata wa tadashīdesu. Kono basho wa, aki ni motto utsukushīdesu. Sore ga suki na hito wa ooi. Ōku no hito ga aki ni koko ni kita

      Betul ke saya tulis ni?

      Padam
    2. Honto ni anata no nihongo wa taihen ii desu. Lebih bagus daripada saya...

      Doko de benkyo shimashitaka?

      Padam
    3. Watashi wa anata kara nihongo o manabu.

      Padam
  7. tq kak share entry ni. sangat informative. tahun depan ingat nak repeat japan, tapi tanak pi tokyo.. nak gi tempat lain pulak..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Nak ke mana pulak Zila? Ke Kansai ke? Kansai banyak tempat yang menarik, banyak lagi tempat yang kami tak sempat teroka. Mungkin saya kena ulang atau mungkin saya ke Tokyo pulak.

      Padam
  8. bgusnya keperihatinan mereka thadapt produk halai ya sis..
    eh cantiknya pemmandangan kat taman tu..damai je tgok..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Ya, ramai jiran mereka orang Islam. Mungkin produk rawatan muka halal itu untuk dieksport. Cuma makanan halal susah untuk didapati di sini.
      Pemandangan di sini bertambah cantik pada musim bunga dan luruh. Pada musim itu, tempat ini sesak dengan pengunjung.

      Padam
  9. Indah banget pemandangan dan taman-taman di Jepang. Oh ya Bu Nara, dua orang perempuan itu, orang tempatan atau pelancong yang sewa baju tradisional Jepang ? kelihatannya yang satu orang bule.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Pemandangan di sini memang cantik.
      Yang seorang itu orang Jepang, yang seorang lagi bule. Mungkin mereka menyewa kimono itu.

      Padam
  10. Prof : Rupanya prof jalan-jalan sehingga ke kawasan pemprosesan buluh tu ek...rupanya dorang tebang jugak pokok buluh tu untuk komersial ingatkan sbg hiasan je

    Gaya penyampaian memang amat sesuai dengan gelaran P.R.O.F :-)

    BalasPadam
    Balasan
    1. Ya, kami jalan sampai ke belakang, jumpa kilang buluh, rumah tauke buluh itu dan juga gerai jualan hasil buluh. Jadi ia bukan sekadar hiasan tetapi lebih daripada itu. Saya cuba posing di bawah pokok buluh itu tiru gaya Jari Manis ala filem Hollywood tapi tak menjadi, jadi Bollywood pulak he he he...

      Terima kasih :)

      Padam
  11. Salam
    selamat hari raya...maaf zahir batin
    blog gambar cantik & penulisan yang menarik

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam kembali sukaxplo.

      Selamat Hari Raya Maaf Zahir Batin dari saya dan keluarga. Berhati-hati di jalan raya :)

      Terima kasih sukaxplo. Mudah-mudahan beroleh faedah dari blog ini

      Padam
  12. subhanallah..terima kasih berkongsi pengalaman...saya berangan nak buat macam ni jugak satu hari nanti..semoga dapat kesempatan jugak..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Kejayaan tercapai dari angan-angan. Insyaallah diberi kesempatan.

      Padam

Kini giliran anda pula untuk memberi pandangan/ulasan.

Ulasan tanpa nama akan dipadamkan.