Tagline

A Blog About Traveling Around The World From The Lens and Eyes of A Malaysian-Muslim Woman

Select Your Preferred Language


Select Your Preferred Language
BAHASA MELAYU | ENGLISH

Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini

Adsense



Rabu, 9 Julai 2014

Backpacker Ciput Main Redah di Jepun (8): Jumpa Makanan Tradisional Kyoto yang Halal Tetapi...

Teringinnya nak makan makanan tradisional Jepun yang asli lagi halal. Adakah di Kyoto ini? 

Ingat tak, pada entri lepas, saya dan anak saya tinggalkan beg kami di rumah tradisional Jepun di Kitaoji pada Mr Reggae sebab belum boleh daftar masuk lagi? Jadi kami ada masa untuk merayau. Ke manakah kami pergi? 

Kami  merancang untuk cari restoren makanan tradisional Kyoto yang halal. Sebelum ke Jepun, kami telah perolehi maklumat tentang makanan tradisiona halal Kyoto melalui persatuan Kyoto Muslim Friendly. Tempat makan halal ini letaknya di sebuah restoren di Hotel Century Kyoto.

Bunga musim panas di Kitaoji

Dah Mula Pandai Beli Tiket Sendiri?


Kamipun pergi ke stesen keretapi Kitaoji dan dapatkan peta di kaunter pertanyaan. Kami berikan alamat restaurant makanan halal itu kepada pegawai lelaki yang ada di situ. Pegawai di situ amat mesra dan amat membantu. Dia melakarkan kedudukan restoren yang kami cari itu di atas peta. Ia tidak jauh dari stesen Kyoto. Jalan kaki lebih kurang 10 minit.

Papan iklan di stesen keretapi bawah tanah di Kitaoji
Mesin tiket bertulis Jepun di Kitaoji 

Mesin tiket di sini semua tulis Jepun. Pandaikah kami guna?

Kami cuba. Kami masukkan duit dan tekan butang. Tak lama kemudian sekeping tiket mengelungsur keluar dari mesin. Yaay! Kami dapat tiket!

Membeli tiket kali ini tidak lagi menjadi masalah. Kami sudah mula faham cara membaca peta keretapi, mengetahui harga tambangnya dan cara membayarnya menggunakan mesin walaupun segala maklumat ditulis dalam karakter Jepun.

Eskalator menuju ke terminal bawah tanah di Kitaoji
Terminal keretapi bawah tanah di Kitaoji untuk ke Kyoto


Stesen Keretapi Kyoto Yang Amat Besar


Apabila sampai di stesen Kyoto, kami dapati stesen keretapinya sangatlah besar. Macam KL Sentral, tetapi stesen Kyoto berkali-kali ganda besarnya. Ia adalah hub pengangkutan bandaraya Kyoto yang mempunyai terminal penukaran keretapi, terminal bas dan teksi. Ia juga mempunyai pusat membeli-belah, kafe-kafe, kiosk-kiosk, hotel-hotel, teater dan perkhidmatan pelancongan. Orang pula terlalu ramai.

Pusat membeli-belah di dalam stesen Keretapi Kyoto
Orang ramai membeli-belah di The Cube
Terdapat beratus-ratus kedai di dalam stesen Kyoto yang panjang dan luas ini. Ia juga mempunyai akses ke laluan keretapi bawah tanah
Replika makanan Jepun dipamerkan di luar kedai
Iklan Kyoto Tower Hotel
Tangga menuju ke Kyoto Tower Hotel



Mencari Restoren Makanan Tradisional Kyoto Halal di Bandaraya Kyoto


Kyoto Tower Hotel dari Stesen Keretapi Kyoto. Cuaca tidak panas walaupun musim panas.
a
Apabila keluar dari stesen Kyoto yang besar itu kami terus menemui Kyoto Tower dan hentian teksi. Kami berjalan ke arah kanan, mengikut peta yang diberikan kepada kami.

Cuaca bagus. Walaupun musim panas, ia tidak panas. Matahari tak muncul. Berangin sahaja dan selesa. Mungkin hendak hujan? Asap kenderaan juga tidak ada. (Mungkin kenderaan di sini menggunakan gas atau eletrik). Jadi berjalan kaki amat seronok.

Kamipun berjalan mencari dengan melalui hadapan deretan kedai, menyeberangi jalan dan simpang. Yang menjadi masalahnya banyak nama lorong ditulis dalam karakter Jepun. Baik tanya orang.

Anak saya sedang bertanya orang kedudukan restoren itu. Cuba lihat di sebelah kiri gambar, tiang ini ditampalkan dengan peringatan "Public Non-Smoking Area". Kawasan di luar ini tidak dibenarkan merokok. Patutlah tiada asap di sini! Jadi ingat di jalan raya dan di kawasan ini tidak boleh hisap rokok. Lebih baik jangan hisap terus. 

Kamipun nampak seorang lelaki sedang bekerja di hadapan sebuah hotel. Rupanya macam Mat Salleh. Kamipun tanya dia. Kami tunjukkan peta itu yang telah dilakarkan kawasannya oleh  pegawai di stesen keretapi Kitaoji tadi. Lelaki macam Mat Salleh tadi pun tengok peta. Mula-mula tu dia nampak tak berapa faham membaca peta itu. Lama juga dia melihat peta itu. Lama-lama barulah dia faham. Lalu dia tunjukkan. Tak jauh dah dari situ rupanya.


Makanan Tradisional Kyoto Halal di Kyoto Century Hotel Restaurant


Dalam masa 5 minit kamipun jumpa Hotel Century Kyoto. Hotel itu nampak ekslusif. Kami naik ke tingkat atas hotel itu dan pergi ke kaunter check in. Gadis di kaunter melayan kami dengan ramah. Kami terus bertanya tentang makanan halal di situ. 

"Have you made any booking?" tanyanya.

"No," kata kami.

"You need to book at least 3 days before we can prepare it for you," katanya.

"We just came," kata kami.

"How long are you in Japan?" tanyanya lagi.

"Six days. In Kyoto only two days."

Dia lalu menelefon chef. Setelah berbincang dengan chef itu, chef itu akan sediakan kami masakan halal itu dalam masa dua hari. Tapi apakah menunya? Gadis itu kemudiannya membawa kami masuk ke restoren untuk melihat menunya.

Sesampai di pintu restoren, kami disambut oleh dua orang wanita berpakaian kimono. Terus kami nampak sijil halal di atas meja kecil di pintu masuk. Ia disahkan oleh Kyoto Council of Sharia and Halal Affairs. Kami terlalu gembira melihat sijil dan logo halal itu. Menu makanan halalpun diberikan kepada kami.

Sijil halal yang dipamerkan di pintu masuk restoren Kyoto Century Hotel 

Memikirkan kami hanya dua hari di Kyoto, kami mungkin tak dapat makan makanan halal itu. Gadis itu meminta kami berfikir dulu dan memaklumkan kepadanya. Dia kemudiannya beredar.

Kami duduk di sofa melihat menu makanan halal itu. Dicatatkan pada menu itu bahwa makanan di situ menggunakan daging dan ayam halal. Makanan halal ini dimasak berasingan daripada masakan bukan halal. Ia tidak menggunakan alkohol dan babi dalam masakannya. 
Inilah menu halal makanan tradisional Kyoto

Ada empat jenis hidangan: sarapan, tengahari dan malam (ada dua pilihan menu untuk malam). Amat menarik. Ia dihidangkan satu set untuk seorang. Ada pembuka selera, makanan rebusan, masakan periuk kecil, makanan goreng, vinegared dish (makanan bercuka seperti sushi), makanan utama dan minuman. Namun harganya... Ya Allah...terlampau mahal. 

1) Sarapan

Set sarapan Halal yang disediakan

Satu set sarapan yang dinamakan Muslim Friendly Breakfast berharga 2,600 yen= RM81.17 seorang.


2) Makan Tengahari

Set makan Tengahari untuk seorang

Satu set makan tengahari yang dinamakan Muslim Friendly Tempura  Emperor's Meal berharga 3,100 yen = RM97.00 seorang.


3) Makan Malam


Set makan malam untuk seorang

Satu set makan malam yang dinamakan Muslim Friendly Kaiseki (tea ceremony dishes) berharga 5,100 yen = RM159.00 seorang.

Satu lagi set Makan Malam untuk seorang

Satu set makan malam yang kedua dinamakan Muslim Friendly SyabuSyabu berharga 5,300 yen = RM165.40 seorang. 

Semua harga makanan ini telah termasuk cukai kerajaan dan perkhidmatan. Namun  caj tambahan akan dikenakan ke atas minuman.


Harga Makan Untuk Berdua


Memandangkan kami berdua, satu set makan tengah hari yang kelihatan dalam gambar tidak mengenyangkan akan berharga

RM194.00 + 100 (minuman) = RM294.00! 

Set makan malam yang nampak mengenyangkan pula terlampau mahal. Kami mungkin akan membelanjakan
RM330.80 + 100 (minuman) =RM430.80! Wow mahal giler!!!!


Nak Buat Pesanan Atau Tidak?


Sudah jumpa makanan halal. Gembira. Tetapi harganya terlampau mahal. Termenung. Nak atau tak nak? Nak atau tak nak? Fikir. Fikir. Fikir.

Keinginan untuk mencuba itu ada sebab peluang begini bukannya senang nak dapat. Tapi fikir balik: saya tak pernah makan makanan mahal begini seumur hidup saya. Saya selalu makan tengahari/malam RM3.00-6.50 je. Fikir lagi.

Sedang memikir tu, gadis tadi datang kembali.

"The chef said, he can make the food for you tomorrow, but you need to confirm before 9.00 p.m today," jelasnya.

"But we have other plans tomorrow," kata saya. (Cewah...nak coverlah sikit konon, padahal kemut duit he he he...) 

"We are sorry, because this is very special food, we have to take order first," kata gadis itu lagi.

"Yes, I understand that," kata saya mengakhiri perbualan.

Ketika ini kami masih lagi memikirkan untuk cuba makanan Jepun yang halal ini atau tidak? Kalau mereka menghidangkan makanan ini untuk esok pun, mungkin kami tak dapat datang kerana kami merancang untuk ke Arasyiama yang memerlukan masa seharian di sana. Esokpun kami fikir lagi. Lusa pun kami fikir lagi. Kalau anda bagaimana? Nak buat pesanan makanan itu atau tidak?


Makanan Jepun Halal di Hotel Granvia Kyoto Pula


Saya kemudiannya mengajak anak saya ke sebuah restoren lagi. Khabarnya di situpun ada disediakan makanan halal. Juga di bawah persatuan Kyoto Muslim Friendly. Restoren itu juga letaknya di dalam hotel ~ Hotel Granvia Kyoto namanya. Bila saya sebut sahaja "hotel", anak saya pun tarik muka seposen sebab dia tahu pasti harganya juga mahal. Tetapi kami pergi juga meninjau.

Hotel Granvia itu letaknya tidak jauh dari situ. Ia terletak sekali dengan bangunan stesen keretapi Kyoto yang besar itu. Setelah menaiki tingkat atas dengan eskalator, kamipun jumpa Hotel itu dan restorennya yang bernama Le Temps. Apabila kami lihat ianya terlalu ekslusif, kami jadi gerun. Boleh ke Backpacker Ciput macam kami ni duduk makan di tempat ekslusif ini? Mulalah menggeletar lutut. Kamipun tak berminatlah untuk bertanya tentang makanan halal itu. Kami cuma masuk tengok-tengok dan ambil gambar saja. Lepas tu angkat kaki.

Papan tanda restoren dalam Hotel Granvia Kyoto

Kami tidaklah kempunan tak dapat makan makanan tradisional Kyoto ini. Mungkin kalau ada rezeki ke Kyoto lagi, bolehlah kami tempah awal-awal, buat perancangan rapi dan sediakan duitnya.

Jadi entri ini sengaja ditulis untuk panduan anda yang berminat makan makanan tradisional Kyoto yang halal. Bolehlah anda buat perancangan dan tempahan. Beritahu kami kalau anda dah makan di sini. Nak juga tahu apa rasanya. Sedap ke tidak? Berbaloi atau tidak dengan harganya?


Sudah Tak Terkial-kial Membeli Tiket Keretapi 


Hari sudah hampir 3.00 petang. Kami ingin rehat dan check in rumah tradisional Jepun di Kitaoji itu. Kamipun beli tiket di stesen Kyoto yang besar itu. Kali ini kami sudah faham untuk membeli tiket walaupun bertulis Jepun pada mesin tiket dan tanpa pertolongan pegawai.

Stesen keretapi di sini mempunyai nombor dan memudahkan kami. Terdapat dua jenis harga tiket untuk setiap perhentian. Harga yang letaknya di atas dan berdakwat hitam ialah harga untuk dewasa. Harga yang di bawah, berdakwat merah adalah untuk kanak-kanak.
Walaupun bertulis dalam karakter Jepun, kami sudah faham cara untuk membeli tiket menggunakan mesin ini tanpa bantuan sesiapa
Inilah dua keping tiket yang kami beli melalui mesin dari Kyoto ke Kitaoji. Harganya 260 yen.
Pintu masuk ke terminal keretapi bawah tanah laluan Karasuma di stesen Kyoto

Kembali ke Rumah Tradisional Jepun di Kitaoji


Kami kemudiannya kembali ke rumah tradisional Jepun di Kitaoji untuk check in dan berehat. Mr Reggae pasti menanti kami sebab kami berjanji dengannya pagi tadi (semasa meletakkan beg) akan check in pada pukul 3.00 petang.

Penumpang baru turun dari keretapi bawah tanah di Kitaoj
Kawasan perumahan di Kitaoji. Ketika ini 3.00 petang. Kelihatan suasana agak gelap kerana diramalkan hujan pada petang itu. Ramalan cuaca itu tepat kerana petang itu hujan turun.

Kami belum lihat lagi keadaan di dalam rumah tradisional Jepun itu. Teruja sangat nak tengok di dalamnya. Bagaimanakah keadaan di dalam rumah itu? Andapun teruja juga? Kalau teruja, nantikan kemunculan ceritanya tak lama lagi.

...bersambung                                                                                  
...baca entri akan datang di sini

Baca kisah sebelumnya melalui pautan di bawah ini:


27 ulasan:

  1. Klau tanya Jm nk mkn ke tak, Jm org pertama jawab x nak pastu perlu booking dulu leceh lah sikit kan. Habis tu prof dan anak mkn d mana? Ke tak mkn?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Leceh sikit, kena booking, lepas tu lari jadual kita. Habis tu, kami balik rumah, makan Maggie je. Sayang, buang duit macam tu saja kalau makan di Hotel tu.

      Padam
    2. memang banyak sungguh jasa maggie :D kalau ke jepun memang kena prepare maggie banyak2..
      makanan instant macam brahims tu akak x bawak ke ??

      Padam
    3. Terima kasih Maggie he he he...makanan instant yang lain pun saya bawa juga. Sekarang ini banyak dah ada di pasaran, senang aje.

      Padam
  2. suspens sungguh . makan ke tak makan ? tapi mmg mahal bajet makan sebulan .

    BalasPadam
    Balasan
    1. Masa tu masih memikir nak makan ke tak nak makan, sampai esok lusa pun fikir lagi...sampai ke sudahnya kami tak makan-makan pun di situ.

      Padam
  3. makanan kat jepun mmg mahal kan...saya pun bila kira2 aritu, duit plg byk abes kat makan la...huhuhu tabah je la sebab tak bawak bekal sgt dr mesia...tp entry ni bagus, bg alternatif pada org yg nak ke sana nanti.... =D

    BalasPadam
    Balasan
    1. Memang mahal...belum tentu sesuai dengan selera kita dan mungkin tak mengenyangkan.

      Entri ini sengaja diposkan untuk begi alternatif pada orang lain untuk cuba. Harap-harap bila orang tu dah cuba, khabarkan pada kita sedap atau tidak.

      Padam
  4. Taihen takai desu ne... Kalau kat tempat kita boleh makan tengah hari untuk sebulan tu...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Hai, Mie-san. Taihen takai desu. Hijou ni takai desu!

      Betul tu, sekali makan tengahari di sini boleh belanja makan sebulan di Malaysia.

      Padam
  5. mmg kat sana rega makan terlalu tinggi , tapi rega kereta , alat letrik rasanya murah sangat kot

    tu kak dia ambil masa 3 hari pasal nak kena cari orang tukang sembelih ayam lagi
    kalau org sembelih ayam tu takda balik kampung, mau kena booking 3 bulan hehehe

    BalasPadam
    Balasan
    1. Makanan memang sangat sangat mahal di sana. Tapi tak pasti dengan harga kereta dan letrik. Jepun pengeluar kereta, tentu kereta dia murah, kan.

      Betul juga tu Rezeki, kalau tukang sembelih balik kampung, mau 3 bulan dah kena booking.

      Padam
  6. Aduhaii prof..mahalnya. Menggigil nak byr tu..hehehe. Dari gaya prof cter rasanya restoran tu special untuk diplomat kut. Minuman sampai RM100 betul2 takleh terima dek akal..haish.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Memang mahal makanan di Jepun, kat luar pun, apa lagi di dalam hotel. Mungkin hotel itu hanya untuk VIP, tetamu khas dari luar negara yang diraikan oleh manufacturer dan company Jepun yang mega-mega. Minuman RM100 tu saya buat anggaran maksimum untuk 2 orang sahaja, mungkin boleh boleh buat anggaran separuh daripada ni. Tapi masih mahal.

      Padam
    2. Saya pernah tgk 1 drama korea psl masak2 kt restoran yg grand gitu..dorg pun buat masakan special untuk VIP arab..dlm cter tu tunjuk mcm mana dorang kendalikan bahan2 masakan dan cara masakan. Salah sorg chef silap masuk wine dlm dessert yg mana akhirnya dia kena buang kje sbb VIP arab tu dlm trace ada wine.

      Padam
    3. Itulah bila orang dah biasa masak guna wine, dia lupa yang wine tak boleh dimasukkan dalam makanan untuk orang Muslim. Jadi kita kena percaya atau tidak dengan orang ni? Lebih baik masak sendiri, kan?

      Padam
  7. Mahalnya makanan halal di Jepang.
    Oh ya, kenapa ya Bu Nara, mau makanan halal saja harus order sehari sebelumnya ? apakah terlampau banyak customers ? sehingga chef itu takut tidak sempat buat. Atau kurang customers sehingga takut mubazir kalau makanan dibuat duluan ?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Ya, benar-benar mahal Mas. Perlu order 3 hari sebelumnya kerana saya rasa kurang customer, tak ramai orang Islam di sana. Lagipun ia perlu dibuat berasingan, bahan-bahan masakannya perlu dicari khas di kedai Muslim dan ayamnya perlu disembelih.

      Padam
  8. mahalnya
    mujur la kami tak jumpa kedai nih
    kalau jumpa pun
    tak mampu masuk..tengok dari luar je la
    hehe

    BalasPadam
    Balasan
    1. Kena tunggu company Honda sponsor makan di situ baru dapat merasa :)

      Padam
  9. It seems that Halal Food are too exclusive there. Mahal betul harganya. Sama seperti yang prof katakan, tak pernah terpikir dek akal and tak pernah sepanjang hayat saya makan makanan semahal tue. :D

    BalasPadam
    Balasan
    1. Zaraab,
      Makanan halal hanya terdapat di tempat ekslusif di Kyoto. Asalnya bertujuan untuk menarik pelancong Muslim. Tapi tak tahulah berapa ramai orang Islam yang makan di situ. Kalau ada yang makan mungkin orang kaya-kaya atau yang ditaja syarikat mega Jepun.

      Padam
  10. Seronoknya dapat pergi Jepun. Hehehe. Rindu pulak rasanya dengan Osaka. Saya pergi bulan 4 lepas. Dapat la merasa tengok bunga sakura yang sangat banyak di Arashiyama, Nara dan Osaka Castle. Tak sabar nak tunggu entry Prof seterusnya. Hehehe. Mengimbau kenangan manis di Osaka dan Kyoto. ;)

    BalasPadam
    Balasan
    1. Harny Elynna,
      Bertuahnya Harny dapat ke Kansai pada musim bunga sakura sedang mekar. Saya dah tengok dalam blog Harny gambar-gambarnya. Cantik-cantik bunganya.

      Sayapun naik MH052. Perasaan sayapun berdebar-debar juga. Tapu syukurlah semua selamat.

      InsyaAllah entri akan datang akan menyusul tak lama lagi :)

      Padam
  11. uhuk uhuk semahal itu ?? o.O kalo CT menabung tuh dah lepas tiket ke korea hihiks.. tapi bagi orang yang mampu apalah sangat nilai tu kan.. huurm x apa mudah mudahan ada rezeki lagi untuk ke sana. dah tahu da apa yang patut dibuat :D

    BalasPadam
    Balasan
    1. Betul tu CT Humairah, kalau fikirkan harga semahal itu hanya untuk sekali makan, rasanya lebih baik digunakan untuk mengembara ke tempat lain. Tapi kalau nak sangat-sangat merasa, apa salahnya, pejam mata je...

      Padam
  12. Salam, kami adalah pelajar Malaysia yang menetap di Jepun. Kami menawarkan perkhidmatan Tour Guide, Penginapan Guest House dan juga Pakej Budget dengan harga yg murah. Misi kami adalah untuk membantu rakyat Malaysia melancong ke Jepun sambil dapat mempelajari budaya masyarakat Jepun.

    Sila hubungi melalui :
    Website : http://www.melancongkejepun.com/
    Facebook : Melancong Ke Jepun
    Phone : +818088695448 (Adib, Tokyo)
    Email : melancongkejepun@gmail.com

    BalasPadam

Kini giliran anda pula untuk memberi pandangan/ulasan.

Ulasan tanpa nama akan dipadamkan.