Tagline

A Blog About Traveling Around The World From The Lens and Eyes of A Malaysian-Muslim Woman

Select Your Preferred Language


Select Your Preferred Language
BAHASA MELAYU | ENGLISH

Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini

Adsense



Isnin, 14 Julai 2014

Backpacker Ciput Main Redah di Jepun (9): Menginap di Rumah Tradisional Jepun Yang Cinoni | Small World Guesthouse, Kyoto

M atahari mula berganjak petang apabila saya dan anak saya mengatur janji dengan Mr Raggae tuan punya rumah tradisional Jepun di Kitaoji. Alhamdulillah janji kami lunaskan.

Wang yang berbaki dilangsaikan setelah mengisi borang. 8,800 yen (RM276.50) untuk dua orang, dua malam, murah sedikit dari rumah di Nara kelmarin. Sempoi saja daftar masuk cara Jepun. Bayar siap-siap. Apabila keluar nanti tak perlu risau, boleh angkat kaki begitu sahaja.

Tuan rumah

Satu hal yang membuat saya dan anak bujang saya bahagia adalah kerana kami dapat menginap di rumah tradisional Jepun. Kali ini di Kitaoji, Kyoto. Small World Guesthouse, namanya. Atau dalam bahasa Jepunnya ialah Chisana Sekai Gesutohausu.

Entah ke berapa kali saya tidak pasti, sebanyak mana sudah saya menginap di rumah orang bersama tuan rumahnya setiap kali saya backpack di luar negara. Pertama kali di London, berkali-kali di Amerika, berikutnya di Kanada, seterusnya di Medan, kemudian di New Zealand, di Bangkok, di Mekah, di Nara dan kali ini di Kitaoji.

Kalau di Nara kelmarin rumahnya sudah berusia 100 tahun. Di Kitaoji pun 100 tahun juga.

Entri saya ini ingin mengabarkan keadaan rumah tradisional Jepun ini sebagus-bagusnya, meskipun masih ada ruang yang tak sempat saya teroka.


Memasuki rumah tradisional Jepun sudah pasti kasut mesti ditanggalkan dan disusun rapi di atas getabako (rak kasut kayu) yang terpaku di dalam dinding. Lalu kaki menapak perlahan-lahan di atas lantai papan yang berselisih apabila dipijak lalu berbunyi 'krek..krek..krek...' bagaikan sebuah irama muzik yang indah kalau mahir memijaknya dengan penuh kesenian.


Laluan papan yang bagaikan titian, menjalar menuju ke bilik tidur. Di kirinya ada taman kecil yang ditumbuhi pohon hijau rendang, membangkitkan suasana nyaman. Bidai buluh yang dijalin rapi oleh tukang anyam yang mahir dan penuh sabar mampu menampan cahaya matahari dari menyilaukan mata. Tapi petang itu matahari tidak muncul. "Hari akan hujan", kata peramal cuaca.

Geta atau yang kita kenali sebagai selipar Jepun disusun rapi di atas lantai simen di belakang. Ia dipakai oleh mereka yang terasa geli tapak kakinya memijak lantai sejuk. Pemakaian jadi lengkap sekiranya yukata kapas dipakaikan ke badan sesuai untuk musim panas ini.


Bilik tidur kami di hujung, bahagian belakang, jauh dari bilik-bilik lain. Amat privasi. Untuk memasuki bilik, kami menaiki dua anak tangga.

Cinoninya bilik ini. Pintu gelungsurnya ditampalkan dengan kertas shoji. Ia boleh diselak. Cahaya semulajadi cuba menembusi kertas shoji yang nipis tetapi kuat itu menghasilkan suasana lutsinar bagaikan kelir Pak Dalang. Di bahagian dinding bilik cinoni ini ada almari untuk menyimpan barang. Di atas lantai bilik sudah dilapikkan dengan tatami lembut. Sudah tersedia tilam bergulung. Sudah disusun gebar berlipat. Sudah menunggu bantal untuk disorongkan kepala. Meja kecil, penghawa dingin dan penyangkut baju menanti untuk digunakan.







Di depan bilik ada sinki dan dua batang paip air. Sebuah cerek cinoni tersedia di atas induction heater untuk memanaskan air. Amat selesa. Mudahlah kami merendam mee Maggie atau bubur nasi segera.

Peti sejuk juga ada untuk menyimpan makanan










Ketika ingin memasak nasi saya ke dapur rumah cinoni ini. Dapur gas dan tungkunya amat sempoi, saling tak tumpah macam dapur rumah saya di kampung. Cara begini amat selesa bagi saya untuk memasak masakan Melayu.

Tetapi kalau hendak menggunakan microwave dan ketuhar pun ada disediakan di meja sebelah kiri.

Meja dan kerusi makan pula tersusun di hujung dapur.

Tak jauh dari dapur ada bilik-bilik tidur dengan katil tingkat.








Bersebelahan dapur ada mesin basuh kain dan sinki. 

Tandas ada dua jenis yang diletakkan berasingan: tandas mangkuk dan tandas cangkung. Tandas cangkungnya menghadap taman sesuai untuk Backpacker Ciput Kampung Girl macam saya ini.

Ofuro (bilik mandi) juga sempoi. Terdapat heater dan pancuran air hujan. Sebelum memasuki ofuro kita melalui bilik salin pakaian dahulu dan di situ bakul pakaian disediakan.


Kalau hendak menjemur kain, kami panjat saja tangga kayu yang kurus melidi dan sidailah kami kain di ampaian atas bumbung. Kalau masih muda dan gagah macam Spiderman mahu saja saya panjat atap genting rumah ini untuk melihat pemandangan Kitaoji dari atas. Tetapi teringat kata orang tua-tua kampung saya,  "Curiosity kills the cat." Nahas nanti.



Sesuai dengan nama Small World Guesthouse, segalanya cinoni di dalam rumah ini ~ laluannya cinoni, biliknya cinoni, dapurnya cinoni, ... Orangnya agak-agak cinoni tak? Awas kalau badan sebesar Mike Tyson, rasanya dah lama berkecai kertas shoji rumah ini.




Kalau hendak berehat-rehat di ima (ruang tengah), boleh juga lepak-lepak atas kerusi rotan antik dan pasangkan kipas angin lama yang mempunyai dua kepala. Atau bersila sahaja di atas zabuton (kusyen) di atas lantai, lalu tongkatkan dagu dan letakkan tangan di atas zataku (meja rendah). Putarkan lagu-lagu 60-an pada radiogram antik sambil bergolek-golek macam Sabariah yang mendambakan tiupan saxaphone Kassim Selamat.



Malam ini di Small World Guesthouse hari sudah gelap. Air hujan menitis-nitis dari cucur atap genting rumah tradisional Kyoto yang sudah lanjut usianya. Titisan hujan itu mengalir di alur atap yang kelihatan dari jaring kayu yang ternganga. Kalau di Malaysia, jaring kayu ternganga begini sudah lama dimasuki pencuri. Tapi di Kitaoji, tak siapa minat jadi pencuri. Barangkali, profesyen itu sudah lupus di Kitaoji.

Sambil berbincang saya dan anak saya menyusun rancangan keesokan harinya untuk ke Arashiyama, yang letaknya di kaki gunung.

Kekenyangan dengan mee Maggie semangkuk, penat pun melanda, hingga akhirnya saya dan anak bujang saya mengheret pintu shoji rapat-rapat, lalu tergolek di atas tilam yang terbentang di atas tatami.

"Oyasuminasai Chisana Sekai!" 

Tak sampai lima minit kemudian hanya dengkuran menghiasi malam yang sunyi berselang-seli dengan titisan hujan Kitaoji.

"Oyasuminasai Kitaoji!"


..bersambung                                                                                 
 ...baca entri akan datang di sini
[] Backpacker Ciput Main Redah di Jepun (10): Menyapa Keindahan Arashiyama, Kyoto

Baca kisah sebelumnya melalui pautan di bawah ini:


30 ulasan:

  1. Bahaya juga tangga melidi tu....takut terjatuh terseliuh...bila dah berusia kenalah berhati2 memanjat tangga terutama yang melidi....tangga kat rumah tu ok je...tak melidi.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Saya panjat tangga tu nak tengok macam mana keadaan di atas bumbung tu. Tetapi terasa gayat dan gerun masa nak turun tangga halus dan curam tu, Susah juga nak turun. Pada perasaan saya tangga itu halus macam lidi. Sekali itu jelah saya naik & turn.

      Padam
  2. indahnya tulisan Prof di entry ini. terasa saya pun berada di sana.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Masa menulis entri ini ada terlebih 'feeling' dan 'mood' ..ha ha ha..

      Padam
  3. bestnya GH nie...suka sangat tengok laluan nak ke bilik tu
    terasa sangat tradisional...tetiba rindu kampung, walaupun rumah kg tak macam nie

    BalasPadam
  4. Woww.. bestnya akak dapat merasa dok kat rumah traditional jepun macam ni.. rasa macam dalam movie je..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Anak saya paling suka duduk di rumah ini. Sebab sempoi sangat.

      Padam
  5. Sungguh kecil..tapi depa guna ruang dengan sebaik mungkin. Tengok ruang tanah pun ada pokok walaupin sempit. Pokok apa yang ditanam tu?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Orang Jepun memang pandai membahagi-bahagikan ruang. Taman tetap ada walaupun sekangkang kera. Pokok tu saya tak tahu namanya.

      Padam
  6. Harganya agak berpatutan dengan kemudahan yang di sediakan... omoshirokatta desuka?

    Heya wa chiisai desu ga kirei desu...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Harganya sederhana sebab kemudahannya sederhana, sesuai dengan bajet saya. Tapi jangan lupa 10% saya dah bayar pada Hostelworld masa buat booking.

      Mie-san, saya cuba balas pantun Jepun yang Mie-san jual tu ya...kalau salah bagitahu... bantai je ni.
      Ee, Omoshiroi da. Daisuki yo!
      Watashino heya wa chīisai nagara mo benri desu

      Padam
  7. Alhamdulillah makin seronok saya baca blog travel ni
    Bulan puasa ni saya dah jarang Blogwalking
    Tapi blog ni special..saya sanggup baca dari handphone
    Tulisan puan buat saya rasa ikut sama travel..
    Cepat-cepat sambung yea :)

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih sangat sangat Tihara kerana sanggup baca blog saya tengah-tengah puasa ni. Baca pula dari handphone.

      Insyaallah saya akan sambung cerita Jepun ni tak lama lagi.

      Padam
  8. Pilihan tempat menginap d jepun mmg unik lah prof. Klay berlantai kayu siap bunyi tu rasa seram je takut pecah. Mesti sejuk je x perlu pasang aircond kan pastu rasa spt tdo d umah kg

    BalasPadam
    Balasan
    1. Lantai tu memang berbunyi ketika kita pijak, jadi kena jalan perlahan-lahan dan bersopan santun. Betul tu JM, air-cond jarang digunakan sebab rumah sejuk, cuaca pun just nice. Kalau musim sejuk, mungkin kita tak tahan.

      Padam
  9. Blog ini memang kemas penceritaannya....kadang kala saya terasa macam membaca cerpen bersiri.
    Saya pun baca melalui handphone pada mulanya...tapi lepas tu mesti buka laptop sebab tidak puas nak melihat gambar yang berkualiti melalui handphone saja.
    Selamat berpuasa dan selamat merebut segala 'bonus' yang ditawarkan sepanjang Ramadhan Kareem ini,

    BalasPadam
    Balasan
    1. Entah mengapa tetiba saja mood cerpen datang melanda saya :) Tak boleh tahan, tulis juga dengan gaya cerpen, harap-harap orang suka.

      Lebih elok tengok dengan laptop atau PC yang skrinnya besar sebab ada banyak gambar.

      Semoga kita sama-sama dapat merebut 'bonus' di bulan mulia ini. Tinggal tak lama lagi bulan mulia ini akan pergi.

      Padam
  10. setuju dgn komen di atas.. entry kali ni ditulis indah penuh emosi menjadikan saya pun nak ikut backpacking sempoi...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Mood menulis begini buka selalu datang pada saya. Saya harap pembaca tidak jemu membaca setiap entri saya.

      Saya orang yang sempoi, cara saya backpack pun sempoi.

      Padam
  11. Orang Jepun ini ternyata sangat berseni juga ya Bu Nara. Laluan papan dibina agar dapat berbunyi indah krek-krek-krek boleh menyerupai musik. Saya pikir bunyi laluan papan itu karena papannya sudah tua dan sudah mulai rapuh jadi berbunyi krek-krek-krek seperti bunyi papan mau patah...hehe.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sebenarnya, papan dan rumah itu sudah tua, jadi apabila dipijak ia berbunyi. Bagi kita yang tidak biasa dengan suasana begini pasti sangka ia akan patah...jadi saya sengaja berfikiran kreatif dan melihatnya secara positif supaya papan yang berbunyi itu bisa dijadikan muzik.

      Padam
  12. Assalamualaikum.wr.
    Macam mana dengan penggunaan telefon dan internet di sana...saya ada terbaca semacam sim card kita tidak boleh digunakan di sana.
    Mohon info...terima kasih.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Waalaikumusalam Pn Nasa,
      Sim card kita boleh digunakan di sana. Saya menerima panggilan dari Malaysia, menghantar SMS ke Malaysia dan menggunakan internet dengan telefon saya semasa di sana.

      Padam
  13. menariknya.. curiosity kills the cat.. :p suruh anak akak panjat tempat sidai kain tu tolong ambil gambar..
    CT kalau tengok entry macam ni memang tertarik dengan tempat tidur and tilam tilam gebu diorang ni. kalau di kampung pun suka tidur atas toto so memang tengok alahaaai seronoknya dapat gegolek tu..

    oyasuminasai.. CT tunggu next entry :D

    BalasPadam
    Balasan
    1. Saya yang gatal nak naik he he he.

      Tidur gegolek atas lantai tu memang santai je...taklah protokol sangat macam di hotel.

      CT, next entry baru keluar. Jemputlah baca :)

      Padam
  14. Menarik kan Jepun ni, macam2 benda kita boleh belajar.
    Selamat Hari Raya Kak NA. Maaf zahir dan batin. :)

    BalasPadam
    Balasan
    1. Menarik! Boleh belajar banyak. Tak puas jalan-jalan di sana. Kalau ada rezeki nak ulang lagi untuk cover tempat-tempat yang tak sempat pergi.

      Selamat Hari Raya Ren. Maaf dari saya juga.

      Padam
  15. Emmm..pengalaman yang amaat berharga, seoalah berada di zaman dooolooo kala..walau masa sudah menganjak ke depan! Best gilosss!

    BalasPadam
    Balasan
    1. Best!!! Masa semakin ke depan, masa yang lalu jadi kenangan.

      Padam

Kini giliran anda pula untuk memberi pandangan/ulasan.

Ulasan tanpa nama akan dipadamkan.