Tagline

A Blog About Traveling Around The World From The Lens and Eyes of A Malaysian-Muslim Woman

Select Your Preferred Language


Select Your Preferred Language
BAHASA MELAYU | ENGLISH

Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini

Adsense



Ahad, 10 Ogos 2014

Backpacker Ciput Main Redah di Jepun (11): Membeli-belah, Fesyen Jalanan dan Dua Sungai di Arashiyama, Kyoto

M encari Jambatan Togetsukyo dan menaiki Sagano Romantic Train adalah agenda kami seterusnya. Untuk itu kami perlu  melepasi deretan kedai di pekan Arashiyama.


Pekan Arashiyama


Pekan kecil Arashiyama mempunyai kelainan. Selain mempunyai taman-taman, hutan buluh, bangunan Kyoto kuno dan deretan kedai, terdapat banyak lanca yang diheret oleh lelaki Jepun yang gagah-gagah serta kacak. Pelanggan juga tidak henti-henti menaikinya.

Berapalah agaknya perlu dibayar? Jangan tanya saya sebab saya tak pernah naik. Mahal barangkali. Pernah terbaca yang ia boleh mencecah ratusan ringgit untuk 30 minit. Backpacker Ciput macam kami ni, tengok dengan putih mata sahajalah.

Sentiasa ada penarik lanca mencari pelanggan di pekan ini
Tentu seronok naik lanca yang ditarik orang. Hah...cepat-cepatlah tangkap gambar
"Kami nak masuk blog awak. Tangkaplah gambar kami."

Pekan kecil Arashiyama dibarisi dengan deretan kedai di kiri kanan jalan. Ada kedai cenderamata. Ada kraftangan buatan Jepun. Ada juga pakaian, makanan dan minuman. Melihat kedai yang bermacam-macam itu, hati kami terpancing untuk masuk ke dalamnya. Gambar di bawah ini ialah 'umpan-umpan pancing' yang kami lihat di dalam kedai.

Yukata yang dijual dengan harga istimewa
Pelbagai pilihan Yukata
Geta dipakai untuk melengkapkan yukata/kimono
Selain yukata, kraftangan yang comel-comel menjadi cenderamata yang digemari di sini
Replika makanan Kyoto yang dipamerkan di luar kedai
Kami tengok saja, 'umpan' ini bukan boleh dimakan sebab ini 'umpan' palsu


Yang Kami Beli di Arashiyama


Macam-macam kraftangan cinoni

Orang Jepun sangat sukakan karaftangan yang cinoni. Pelbagai pilihan kraftangan penduduk tempatan yang berjaya memancing hati kami. Antaranya bekas menyimpan pensil yang dibuat daripada kain, saputangan bersulam, kipas tangan yang boleh dilipat-lipat, kotak mengisi barang kemas, quilt, patchwork, pinggan mangkuk daripada buluh, anak patung, penanda buku, beg duit yang bersaiz kecil, payung dan macam-macam lagi.

Kami merembat beberapa keping fridge magnet yang bergambar pemandangan dan kimono. Kami juga sempat merembat t-shirt kain kapas bertulis Samurai yang berkualiti baik. Kalau tak rembat nanti menyesal pula.  Mungkin ini kali pertama dan terakhir di sini?

Fridge magnet yang kami rembat di sini. Cinoni, kan? Harganya di antara 380-550 yen (RM12-17)
T-shirt Samurai yang kami rembat di sini berharga 1,200 yen (RM38) sehelai.


Pertunjukan Fesyen Jalanan Secara Live


Berjalan-jalan sambil membeli-belah di Arashiyama memberi peluang kepada kami melihat ragam kehidupan masyarkat Jepun. Kami juga dapat melihat pelbagai fesyen pakaian diperagakan. Peragaan pakaian ini bukannya di atas pentas tetapi di atas jalan raya. Kami lihat secara percuma. Live!

Orang Jepun suka bergaya mengikut fesyen kegemaran masing-masing. Mereka suka mendandan rambut dengan amat bergaya dan mencelupkannya dengan pelbagai warna pelik, tidak kira lelaki atau perempuan. Ada yang suka memakai kasut bertumit tebal dan tinggi. Ada yang suka berpakaian gaya Cosplay/Ganguro, iaitu meniru penampilan karakter anime atau manga atau game kegemaran mereka. Pakaiannya berwarna terang, rambutnya dilunturkan warnanya dan kasutnya bertapak leper. Ada yang meniru gaya Gothic dengan pakaian dan solekan bewarna hitam. Ada yang berpakaian tradisional seperti kimono. Ada yang menjadi seperti anak patung maiko/geisha.

Dua remaja (di tengah-tengah) berpakaian Cosplay/Ganguro 
Remaja Jepun membeli-belah dan bersiar-siar di pekan Arashiyama
Peniaga memakai kimono dan berdiri di pintu depan kedai untuk 'mengumpan' pelanggan
Bukan sahaja peniaga berpakaian kimono tetapi pembeli juga berpakaian kimono. Kedai ini menjual bermacam-macam cenderamata seperti payung, beg duit dan quilt.
Kimono dan mini-skirt jadi pilihan pada musim panas
Remaja Jepun membeli-belah di Arashiyama dengan berpakaian tradisional
Dua pasangan Jepun ini memperagakan pakaian tradisional dan posing khas untuk pembaca blog ini. Yang di sebelah kiri bersolek dan berdandan cara geisha.
Kimono dari belakang
Seronoknya naik lanca di pekan Arashiyama

Jambatan Togetsukyo


Akhirnya kami sampai di hujung pekan Arashiyama. Kegembiraan terpancar di wajah kami. Kami menemui Jambatan Togetsukyo yang kami cari-cari. Ia merentasi Sungai Katsura di sebelah kiri dan Sungai Hozu di sebelah kanan. Sungai ini amat jernih airnya. 

Pemandangan di sini sangat cantik kerana ia berlatarbelakangkan Gunung Arashiyama.

Kami pun duduk dan melunjurkan kaki di atas bangku batu yang ada di tebing Sungai Katsura. Kami duduk memandang jambatan, sungai dan gunung yang berada di sebelah kanan. Inilah tempat terbaik bagi kami ketika itu. Apabila pulang barulah kami tahu bahawa inilah tempat yang sering jurufoto pilih dan pemandangan yang dibidik dari situ sering diabadikan dalam kalendar, tiket keretapi, fridge magnet dan bahan publisiti pelancongan Kyoto. Tak sangka cara main redah kami telah menyebelahi kami!

Angin meniup tenang. Sambil merehatkan kaki dan melepaskan lelah kami dapat memerhati orang Jepun berehat di tepian sungai. Terasa amat nyaman!

Setelah puas meregang kaki di bangku itu kami terus melaksanakan hasrat kami untuk menaiki keretapi Romantik. Mungkin stesen keretapinya di seberang jambatan sana.

Jambatan Togetsukyo dan Sungai Katsura 
Jambatan Togetsukyo dan Sungai Hozu
Lanca di atas Jambatan Togetsukyo

Mencari Romantic Train


Kamipun cari Romantic Train yang menjadi idaman kalbu. Kamipun menyeberangi Jambatan Togetsukyo. Semasa berjalan merentasi Jambatan Togetsukyo itu kami ternampak banyak bot dan sampan menyusuri Sungai Hozu. Kegembiraan kami bertambah. Hati melonjak-lonjak ingin menaiki bot itu. Stesen Romantic Train juga tidak berjauhan dari situ. Itupun kami ingin naiki. Jadi sekarang kami ada dua pilihan ~ naik bot atau naik keretapi Romantik? 

Setelah berfikir, kamipun membuat keputusan untuk naik kedua-duanya.

Kamipun bertanya kepada penarik lanca yang sedang berehat di tepi jalan tentang tempat untuk menaiki kedua-duanya. Menurutnya oleh kerana hari itu Rabu, keretapi Romantik itu tak beroperasi.

"Aiseimen...tak dapatlah naik keretapi itu. Keretapi itu cuti setiap hari Rabu rupanya." :(

Ingat ya, hari Rabu tak ada keretapi Romantik!

Apabila pilihan pertama menaiki keretapi Romatik itu tak dapat dilaksanakan, kami menaruh harapan pada pilihan kedua iaitu menaiki bot. Tetapi apabila kami tanya pada penarik lanca itu, beliau memberitahu kami dengan sedihnya bahawa pada hari itu bot tak dibenarkan beroperasi kerana hari itu dijangka akan hujan dan air sungai akan naik, jadi membahayakan buat orang ramai.

Jadi kami tak dapatlah naik keretapi dan bot pada hari itu. Aiseimen! Inilah akibatnya main redah je kan? Tetapi Backpacker Ciput sejati mana boleh 'frust menonggeng'. Kami tidaklah ralat, kerana kami masih boleh melihat keindahan Arashiyama hanya dengan berjalan kaki.


Pemandangan dari seberang jambatan
Kedai beratapkan seni Jepun kuno
Bot menyusuri Sungai Hozu
Keindahan Sungai Hozu yang berlatarbelakangkan Gunung Arashiyama. Bot ini hanya membawa tetamu hotel ke hotel di seberang.
Mendayung sampan di Sungai Hozu
Lelaki Jepun gigih mendayung
Saya dan kenangan di atas bot di Sungai Hozu. Bot tak jalan hari ini. Dapat duduk di dalamnya dan posing sekejap pun jadilah.

Petang itu hujan rintik-rintik. Setitik demi setitik ia turun membasahi bumi. Kami mengembangkan payung lutsinar yang kami pinjam daripada tuan rumah kami. Sebenarnya payung itu telah kami jinjing sejak keluar rumah pagi tadi. Pada mulanya kami tertunggu-tunggu ~ "Bila nak hujannya?" ~ kerana kami sudah mula bosan dan malas menjinjing payung itu seharian. Tapi apabila hujan menitis lewat petang itu barulah rasa berbaloi menjinjing payung itu.

Oleh kerana hujan renyai, langit mendung dan hari mula gelap kami pun menaiki bas meninggalkan Arashiyama. Kami pulang ke rumah Jepun cinoni kami untuk berehat dan solat.

Pada malam hari nanti kami hendak mengushar geisha di Gion. Dapatkah kami ushar? Nantikan ceritanya dalam entri akan datang.

...bersambung                                                             
                 
 ...baca entri akan datang di sini
[] Backpacker Ciput Main Redah di Jepun (12): Usyar Geisha di Gion, Kyoto

Baca kisah sebelumnya melalui pautan di bawah ini:



26 ulasan:

  1. Salam Kak

    Dah agak , kenapa foto kali ni agak rendah exposurenya , tak mcm selalu, rupanya cuaca agak mendung ketika itu .

    seronok lihat, pemudi mereka masih tak kekok dan bangga memakai pakaian tradisional mereka.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam Rezeki,
      Seharian cuaca mendung seakan-akan hendak hujan pada hari itu. Itu sebabnya gambar macam pucat je. Sengaja saya biarkan ia pucat tanpa disunting warnanya untuk mengekalkan keaslian dan mencerminkan suasana sebenar ketika itu. Kelebihannya, kami tidak kepanasan berjalan kaki dengan cuaca begitu di musim panas.

      Saya seronok melihat pemudi mereka masih bangga memakai kimono. Peluang keemasan bagi orang macam saya yang tak pernah tengok secara live :)

      Padam
  2. sekilas lanca tu mirip dengan di china, yang memakai baju kimono tu sangat cantik cantik :)

    BalasPadam
    Balasan
    1. Ya, lanca itu mirip di China. Saya pernah ceritakan tentangnya dalam blog ini:

      TEMPAT MENARIK DI BEIJING #12: Lorong Qianmen, Lorong Dashilar, Masjid Qianmen dan Hutong Kekalkan Ciri-ciri Purba

      http://nota-kembara.blogspot.com/2012/12/tempat-menarik-di-beijing-12-lorong.html

      Ya, betul tu Mas Dede, yang memakai komono itu cantik-cantik dan anggun.

      Padam
  3. salam akak NA :D cinoni itu apa yeee ? kecik ke ? hihi cinonet CT tahu hahaha. maafla mungkin akak NA dah explain before tapi CT terlepas pandang hihi. mahalnya harga FM di sana. teringat sepupu CT dulu ada business trip ke jepun. dia tukar rm1K semata mata untuk souvenirs saja. rupanya memang mahal ya. dia belikan purse kain itu harganya saja dah dekat rm60 lebih. isk isk.. gamaknya kalau CT ke sana apalah yang CT beli.

    baguslah diorang ni. tradisi memang dikekalkan. kalau kat malaysia ni mana nak jumpa anak-anak muda keluar rumah pakai baju kurung. melainkan hari raya or yang bekerja memang pakai baju kurung. budaya diorang memang bagus. sanjung diorang punya adat resam dari muda. tabik spring untuk akak NA jugak jalan jalan pakai baju kurung. CT tak mampu begitu lagi.

    CT kalau pegi jalan jalan suka jugak tempat yang ada sungai ada stream ke pantai. Sungai Hozu tu cantik. boleh pulak naik boat macam tu memang lagi menarik nampaknya. kalau CT ke sana pun mmg tak akan lepaskan peluang nak naik. yeee patut gambar gelap. selalunyaa gambar akak NA cecantik saja semua..

    okaaay CT tunggu next entry. jangan lupa share dengan CT nanti tak perasan :D

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam kembali CT Humairah.
      Cinoni tu kecik-kecik molek, comel-comel, kiut-miut he he he samalah kot dengan cinonet....istilah cinoni ini tak ada dalam kamus Dewan...ikut sedap je saya guna istilah ni ha...ha..ha...
      Harga FM tu mahal mungkin disebabkan ia dijual di tempat tumpuan pelancong. Di Kansai Airport pun harganya sama. Kalau rajin mencari di tempat lain, mungkin dapat yang lebih murah.

      Saya pun kagum tengok remaja Jepun pakai kimono sambil membeli-belah.

      Saya ni dah tua, tak selesa dah pakai baju macam orang muda masa jalan-jalan. Masa muda-muda dulu lainlah, pakai nak ikut trend. Bila dah berumur, selera begitu dah tak ada lagi.

      CT pun mempunyai minat sama macam saya ~ suka sungai :) Gambar gelap pasal hari hujan. Perasan tak ramai orang bawa payung?

      InsyaAllah akan saya maklumkan kalau entri baru keluar :)

      Padam
  4. Kalau begitulah cajnya,,, pendapatan penarik lanca mungkin mencapai seribu ringgit sehari... pergh.

    Dalam kemodenan... pakaian tradisi tetap tidak diabaikan...

    Sedap mata memandang... kebersihan ada di mana-mana...

    Nak juga berposing dalam sampan tu... hehe

    BalasPadam
    Balasan
    1. Saya terbaca (http://www.veltra.com/en/asia/japan/kyoto/a/100335), kalau 30 minit cajnya 7,000 yen (RM220) untuk seorang, kalau dua orang 9,000 yen, kalau bertiga 13,500 yen. Kalau masa bertambah duit pun bertambah. Memang boleh buat duit.

      Bagus, kan mereka mengekalkan ciri-ciri tradisi dalam arus kemodenan?

      Memang bersih negara Jepun ni walau di mana kita berada.

      Naklah juga posing, dah tak dapat merasa naik sampan tu he he

      Padam
  5. Tak ada ke ter'klik' foto keretapi romantik??
    Sungainya kelihatan sgt bersih...d negara kita d mn agaknya blh lihat sungai sebegitu??
    Foto agak gelap sbb jurufotonya kecewa tak dpt naik keretapi & bot kot....


    BalasPadam
    Balasan
    1. Puan Nasa,
      Tak ada pun ambil gambar keretapi Romantik tu sebab malas dah nak jalan kaki ke stesen keretapi tu yang di seberang sana. Lagipun hari nak hujan...di sini kalau hujan, hujannya lebat...nampak orang pun dah ramai beredar dari situ, tinggal kami je...bimbang pula tak ada bas nak balik.

      Ha ha ha fotopun turut sedih dan kecewa sebagaimana kami :D

      Padam
  6. Indah dan damai betul bandar Arashiyama itu. Replika makanan itu benar2 nyata dan persis banget seperti aslinya. sangat menarik. Replika makanan itu dijual kah Bu Nara ?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Memang indah dan damai Arashiyama. Tetapi tempat ini akan penuh sesak dengan manusia ketika musim Bunga dan Luruh kerana pemandangan di sini bertambah cantik ketika itu.

      Replika makanan itu hanya hiasan dan dipamerkan di luar kedai makan sebagai contoh. Bukan untuk dijual.

      Padam
  7. Salam perkenalan....

    errrr seronok baca...ayat2 tersusun rapi....tenang jer jiwa....

    tetiba saya tukar plan lps baca akak nyer blog...sblm ni pikir nak naik bus tour jer kat kyoto....tp lps tgk arashiyama ni...waaaaaa lawa nyerrr....saya mmg suka jambatan....kami ubah plan utk teroka sendiri shj. doakan kami yer...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam perkenalan Liza. Terima kasih kerana sudi singgah di sini dan meninggalkan komen.

      Teroka sendiri pun seronok juga Liza. Semasa kami pergi cuaca mendung, pasal tu gambar agak gelap sebab tak ada matahari. Tetapi selesa untuk jalan-jalan sebab tak panas.

      Bila Liza nak ke Kyoto? Saya doakan Liza bergembira dan selamat di sana.

      Padam
  8. Balasan
    1. Gambar kelihatan sedih sebab cuaca mendung, matahari tak keluar hari itu dan hujan. Tetapi seronok jalan-jalan masa tu sebab tak panas. Ngam-ngam je. Kalau panas, mungkin kami tak larat jalan jauh-jauh.

      Padam
  9. pengalaman yang menarik dan indah terutama untuk orang yang tak pernah ke luar negara seperti saya..teruskan menulis kerana saya suka baca..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Kata-kata Rozita menambah minat saya untuk menulis blog ini :)

      Padam
  10. cantiknyaaa bandar kyoto ni...saya tak dapat feel jalan2 dlm bandar dia aritu...terus jer pergi ke tmpt nak dituju....wahhh menarik betul lah gambar2 akak...hehehe

    BalasPadam
    Balasan
    1. Ya, cantik Kyoto ni. Banyak yang tak sempat explore. Tetapi DJ bertuah dapat naik keretapi di Arashiyama dan dapat tengok pemandangan sekitarnya dan di kampung-kampung.

      Gambar ni menarik ke? Tapi ramai yang kata gambar kali ini gelap-gelap.

      Padam
    2. Gambar gelap tu.boleh edit kak....tp nilai artistik gmbar tu yg xleh dpt kt mna2...hehe

      Padam
    3. Gambar tu saya sengaja biarkan gelap sebab itulah keadaan cuaca ketika itu. Ketika itu hujan rintik-rintik, matahari tak keluar hari itu. Saya mahu mengekalkan keaslian suasana ketika itu.

      Di manakah nilai 'artistik' yang DJ maksudkan itu?

      Padam
  11. Prof seperti biasa gavbar semua cantik pandai mencari sudut dan angle spt photographer profesional. Nampaknya Jm perlu berguru dgn prof. Alaaa ruginya x dpt naik romantic train tu rupanya hari rabu dorang off ehh. Gambar prof atas perahu tu Jm like sgt

    BalasPadam
    Balasan
    1. JM kata gambar ni cantik? Tapi ramai yang kata gambar kali ini gelap dan sedih.

      Saya bukan profesional photographer, cuma hobi tangkap gambar je. Oh kalau nak berguru datanglah ke USM he he he. Tetapi sebenarnya saya pun masih belajar lagi.

      Aah tak dapat naik Romantic Train tu sebab hari Rabu dia tutup/cuti. Banyak tempat lawatan di Kyoto cuti hari Rabu. Muzium Manga pun tutup hari Rabu. Gambar saya dalam perahu tu JM suka sebab tak nampak muka, cuba kalau saya bagi tengok muka saya, mungkin orang menyampah tengok saya he he he

      Padam
  12. bestnya..teringin lah nak gi jepun gak...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Faizal buatlah perancangan. Masuk Jepun sekarang dah senang, tak perlu visa.

      Padam

Kini giliran anda pula untuk memberi pandangan/ulasan.

Ulasan tanpa nama akan dipadamkan.