Tagline

A Blog About Traveling Around The World From The Lens and Eyes of A Malaysian-Muslim Woman

Select Your Preferred Language


Select Your Preferred Language
BAHASA MELAYU | ENGLISH

Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini

Adsense



Isnin, 7 Januari 2013

Kembara Jalan Sutera (Bhg 2): Raya Korban di Kashgar, Xinjiang


M  akan. Makan. Makan. Inilah hari yang paling banyak sekali saya makan. Apa tidaknya. Peluang ini tidak selalu datang. Sedap. Halal pula tu. Subuh-subuh sapie lagi saya dan Salwa turun ke coffee house di Hotel Yambu untuk sarapan. Cofee house itupun tak buka lagi. Apa hal?  Memang awal pun walaupun masa tu 8.30 pagi. Masih ada lagi waktu solat subuh kerana di Kashgar, waktu solat subuh masuk pukul 8.00 pagi! Terbit matahari 9 lebih.  Itulah pertama kali kami solat subuh pada waktu yang orang Malaysia dah masuk pejabat. Kau orang pernah?

Setelah menunggu pintu cofee house dibuka, kami pun menerpa ke meja buffet. AMBIK KAU!  Hidangan makan paginya macam makan tengahari. Tak tahu yang mana satu hendak dipilih. Semuanya menyelerakan. Masakan Uyughur. Halal! Yang paling saya suka ialah cendawan goreng, gulai terung, kacang goreng, acar sengkuang, pau, keledek rebus dan senarai ini tak habis dan berterusan. Fuhh marvelous!


Sebahagian daripada sarapan pagi kami di Kashgar yang seperti makan tengahari


Makam Abak Khoja dan Ratu Wangi


Makam Abak Khoja yang letaknya tidak berjauhan dengan hotel kami adalah tempat yang kami tuju pada pagi kedua Hari Raya Korban di Kashgar. Adil bawa kami ke situ menaiki van.

Abak Khoja adalah seorang pemimpin Islam Uyughur yang dihormati di Xinjiang. Kuburnya terletak di dalam sebuah bangunan batu yang bertutup. Bangunan itu berbentuk seperti sebuah masjid. Ada kubah. Ada pancuran seperti yang terdapat pada Hijir Ismail Kaabah. Terdapat kubur-kubur keluarganya berhampiran dengan kuburnya. Tetapi kami tidak dibenarkan mengambil gambar dalam bangunan yang ada kubur itu.

Terdapat juga kubur Ratu Wangi iaitu seorang ahli keluarga Abak Khoja. Ratu Wangi pernah menjadi  isteri yang disayangi oleh Maharaja Qianlong semasa dinasti Qing. Kami diberitahu bahawa Ratu Wangi ini meninggal dunia di Peking dan jenazahnya telah dibawa ke sini untuk dikebumikan melalui Jalan Sutera (jalan darat). Penghantaran jenazah ini memakan masa .....Nak tahu berapa lama?....3 hari? ...Bukan...3 minggu? Pun bukan!..... 3 TAHUN!!! Lamanya, kan?!!!.

Ratu Wangi beragama Islam tetapi telah dikahwinkan dengan Maharaja Qianlong. Saya dapat membayangkan bahawa Ratu Wangi ini mestilah seorang yang cantik sehingga diperisterikan oleh Maharaja Qianlong. Saya merasakan bahawa Ratu Wangi dipaksa berkahwin dengannya walaupun berlainan agama. Perintah maharaja siapalah yang sanggup membantah.

Di luar bangunan makam Abak Khoja dan Ratu Wangi ini terdapat satu kawasan perkuburan yang berpagar. Ini ialah perkuburan anak-anak buah Abak Khoja


Makam Abak Khoja terdapat dalam bangunan ini. Gambar tidak dibenarkan ambil di dalam bangunan ini.

Penulis posing di depan Makam Abak Khoja

Kawasan perkuburan anak-anak buah Abak Khoja


Di kawasan yang sama, tidak berjauhan dengan makam itu terdapat sebuah surau dan masjid yang sering digunakan untuk solat Jumaat. Kami melalui pohon-pohon poplar yang menguning daunnya di situ. Daun-daun berwarna perang gugur bertaburan di atas tanah. Suasananya amat nyaman dan damai. Kami melihat kawasan masjid yang bertembok batu itu ditutup kerana sedang dibaikpulih. Jadi kami hanya menjenguk dari luar sahaja. Terdapat sekumpulan pelancong China yang turut melawat kawasan itu dengan diiringi oleh seorang pemandu pelancong.


Surau di kawasan pintu masuk Makam Abak Khoja

Surau di kawasan pintu masuk Makam Abak Khoja

Kawasan dalam pagar masjid. Masjid sedang direnovasi.


Papan penerangan tentang masjid di kawasan Abak Khoja dalam tiga bahasa


Setelah habis melawat kawasan Abak Khoja ini, kami menaiki van menuju ke sebuah pekan lama. Dalam perjalanan kami dapat melihat rumah-rumah orang Uyughur yang dibuat daripada batu-batu merah. Ingin sekali kami masuk melihat ke dalamnya.

Kami amat menyenangi suasana yang kami lihat di hadapan mata kami. Walaupun ini bukan sebuah tempat yang mewah. Bukan juga tempat yang rapi. Jauh sekali daripada bertaraf ekslusif. Namun inilah yang kami gemari.

Rumah-rumah orang Uyughur

Suasana dan aktiviti penempatan orang Uyughur


 

Pekan Tua di Kashgar

 

Pekan Tua Kashgar letaknya di atas bukit


Adil membawa kami bertiga ke sebuah pekan tua yang terletak di kota Kashgar. Pekan tua ini letaknya di atas bukit. Kami menaiki anak-anak tangga untuk ke pekan itu. Di pekan ini kami dapat menyaksikan bangunan dan rumah-rumah lama yang telah dibina beribu-ribu tahun lalu. Rumah itu dibuat daripada batu-bata merah. Ada yang sudah pecah-pecah dan dindingnya retak-retak. Kelihatan kasar dan tidak kemas. Tapi siapa sangka, ia masih didiami oleh orang Uyughur. Apakah yang ada di dalam rumah-rumah orang Uyughur di pekan tua ini? Nak juga tahu.

"Bestnya kalau dapat masuk rumah orang Uyughur ni," kata Salwa sambil matanya tidak lepas-lepas merenung rumah batu-bata merah itu.

"Dapat pula minum teh secawan. Lagi best," kata saya berangan-angan.

"Masukpun belum tentu dapatnya. Inikan pula minum teh," kata Azizi sambil ketawa.

Kami terus memasang angan-angan untuk dapat masuk melihat keadaan rumah mereka. Dan mengajukan hasrat kami itu kepada Adil. Adil  tidak berkata apa-apa. Senyum pun tidak. Barangkali permintaan kami itu adalah mustahil untuk ditunaikan.


Rumah-rumah di Pekan Tua Kashgar

Lorong sempit di Pekan lama Kashgar

Tepi sikit orang nak lalu ni
a

Kami kemudiannya berjalan kaki di lorong-lorong di Pekan Tua itu. Kami dapat melihat kanak-kanak Uyughur bermain-main di luar. Tidak ada padang permainan. Mereka bermain di lorong-lorong, di atas timbunan batu-bata yang runtuh dan di luar kawasan pagar rumah. Tidak ada orang dewasa menemani mereka. Mereka bebas bermain. Kami juga dapat melihat kaum wanita berjalan kaki dan kaum lelaki menunggang motorsikal.

Banyak bangunan yang tidak terpelihara. Ada yang runtuh dan ada sedang dalam renovasi. Berselerak. Bersepah. Berdebu. Suasana persekitarannya mencerminkan taraf marhaen masyarakatnya. Inilah kediaman etnik Uyughur! Inilah golongan yang kurang mendapat perhatian (agaknya). Mereka ini sujud pada yang Satu. Mereka ini saudara maraku - orang Islam. Tetapi kami bertiga amat-amat menyenangi suasana unik dan kontras ini. Lain daripada yang lain! Kami rasa amat bertuah ketika itu kerana dapat berada di situ!

Jom rempit dik! Tapi 'angry bird' tu simpan dulu ya..


Sambil berjalan-jalan di lorong-lorong pekan tua itu kami masih bercita-cita untuk masuk ke rumah dan berbual-bual dengan penghuninya. Mungkin hasrat kami itu tidak kesampaian.

Namun, tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu?

Tak berapa lama kemudian kami lalu di sebuah halaman rumah yang bertembok batu. Di pintu tembok dipasangkan tabir. Tabir itu beralun-alun ditiup angin musim luruh yang lembut. Alunan tabir itu seolah-olah menggamit-gamit kami untuk menjenguk ke dalam halamannya. Kamipun selak tabir itu. Kami jenguk kepala kami. Kami lihat ada taman. Ada tangga. Ada rumah dua tingkat. Ada seekor kambing yang baru disembelih terlantar di tanah. Pasti kambing korban!

Rumah Uyughur

"Adil, cakap pada tuan rumah kami nak ambil  gambar halaman rumahnya, " saya dan Salwa menggesa Adil yang turut juga menjenggukkan kepalanya ke dalam pintu tembok itu.

Mendengarkan suara kami bercakap-cakap itu keluarlah seorang wanita yang memakai skaf. Dia lalu menegur kami dalam bahasa Uyughur. Lalu Adil menjawab teguran itu.

Adil memberitahu kami bahawa, wanita itu mempelawa kami masuk. Tetapi untuk itu kami kena bayar 10 yuan. Kami boleh duduk minum teh, makan kuih-muih dan menyaksikan sebuah tarian Uyughur. Dan 10 yuan lagi untuk mengambil gambar bersama penari. Wah seronoknya! Inilah yang yang kami mahu! Cuma RM10 untuk semua ini! Ini sudah bagus! Bagaikan pucuk dicita ulam mendatang kami terus setuju.

Laju saja kami masuk ke dalam rumah wanita Uyughur itu. Dalam rumah itu ada ruang tamu. Ada meja rendah. Ada macam-macam kuih raya di atasnya. Kami duduk bersila di lantai depan meja rendah itu. Ada seorang gadis berpakaian tradisional sedang menari. Mungkin itu anak gadis wanita berskaf tadi. Ada juga seorang lelaki remaja menari bersamanya. Muzik etnik Uyughur dimainkan dari sebuah cd dan speaker. Muzik ala ala padang pasir. Tak lama kemudian wanita berskaf tadi menghidangkan teh panas kepada kami. Kamipun minum. Kami kudap kuih-muih itu sambil menyaksikan tarian yang ditarikan anak gadis dan pemuda itu. Seronoknya! Rasa macam raja pulak! Seting dan suasana yang saya alami ketika itu sama sebijik macam babak dalam filem-filem Hindi. Tapi ini bukan di Hindustan. Ini di China!!!

Penari ini menarikan tarian etnik Uyughur. Di hadapan sekali ialah kuih raya orang Uyughur.

Penulis (bertudung hitam) bergambar dengan penari Uyughur di rumahnya


Impian kami hendak masuk ke dalam rumah Uyughur dan meneguk secawan teh telah terlaksana. Malahan lebih daripada yang kami harapkan. Syukur.

Setelah puas menyaksikan tarian Uyughur, makan kuih raya Uyughur dan minum secawan teh Uyughur, kamipun beredar dari situ dan meneruskan terokaan kami di pekan tua itu.

Apabila melihat kanak-kanak Uyughur bermain-main di kawasan runtuhan bangunan dan berdebu  di pekan tua itu kami hulurkan duit raya kepada mereka. Bukan main sukanya mereka. Renyih sampai tang telinga!

Yey yey dapat duit raya yey yey!


Kami dapati bahawa wanita di sini bertubuh kurus dan langsing walaupun sudah beranak empat. Mereka juga amat bergaya. Lihatlah gambar di bawah ini:

Mak! Tunggulah dulu!



Masjid Id Khah, Antara Masjid Purba Terbesar di China

 


Kawasan pintu depan Masjid Id Khah

Kunci pintu Masjid Id Khah



Masjid Id Khah adalah masjid purba terbesar di Xinjiang. Ia juga antara masjid purba terbesar di China. Sudah lama saya memasang impian untuk melihat sendiri Masjid Id Khah di Kashgar ini. Saya, Salwa dan Azizi ke situ pada hari kedua Raya Korban. Masjid ini letaknya di pusat bandar. Banyak kedai-kedai dibina di persekitarannya. Namun banyak kedainya ditutup kerana peniaganya masih bercuti.

Bangunan masjid ini dikelilingi oleh tembok. Apabila kami masuk kami dapati banyak pokok-pokok maple ditanam. Kawasan halaman masjid ini luas. Terdapat menara azan dan lorong-lorong berjubin. Oleh kerana semalam orang ramai hadir untuk solat Aidil Adha dan juga solat Jumaat maka permaidani masih berada di luar masjid. Ada seorang pengawal menjaga pintu dewan solat.

"Masjid ini boleh menampung 6 ribu jemaah di dalam. Dan 14 ribu jemaah di luar kawasan masjid. Jadi jumlah keseluruhannya boleh mencecah 20 ribu orang sekali solat," kata Adil.

"Menurut kawanku Arafat, wanita tidak dibenarkan solat di masjid di Xinjiang. Benarkah?" tanya saya pada Adil.

"Ya!" jawab Adil.

"Mengapa?" tanya saya.

"Pemerintah tak benarkan," kata Adil.

Kata-kata Adil  menguatkan kepercayaan saya kepada keluhan Arafat, sahabat Uyughur saya itu selama ini.

"Tetapi pelancong boleh, kan?" saya mohon kepastian dan seakan-akan mendesak supaya kami dibenarkan solat di situ.

Adil kemudian bertanya kepada pengawal di situ adakah kami pelancong perempuan boleh solat di situ? Pengawal itu menggelengkan kepala dan hanya membenarkan kami melawat sahaja. Jadi kamipun tengok sajalah. Lagipun pada masa itu pagi, waktu dhuha. Jadi tidaklah kami bersungguh-sungguh untuk solat di situ. Lainlah solat fardhu.

Perkarangan Masjid Id Khah

Kanak-kanak Uyughur bermain air di hadapan Masjid Id Khah

Permaidani untuk solat Aidil Adha di bahagian luar masjid masih belum dikemaskan

Ruang solat bahagian dalam masjid


Ruang solat di bahagian luar dewan Masjid Id Khah



 Pasar Kashgar di Lorong Lama yang Happening


Setelah melawat masjid Id Khah, kami dibawa Adil ke pasar Kashgar di Lorong Lama yang terletak di belakang kawasan masjid itu. Di pasar ini kami dapat melihat banyak kedai-kedai teh, antik, makanan, klinik pergigian, kedai topi, kedai madu dan macam-macam lagi. Kesemua peniaganya orang etnik Uyughur. Kami amat teruja melihat suasana unik ini. Kami mencuba macam-macam makanan. Kami cuba makan roti. Makan sup. Makan kacang. Kami duduk semeja dengan mereka. Melihat gelagat mereka. Berbual-bual dengan mereka. Mereka juga memerhatikan gelagat kami. Kami tengok mereka. Mereka tengok kami.

Adil bawa kami jalan-jalan di Pasar Kashgar

Di sini kami dapat menikmati makanan tempatan yang enak, duduk semeja dan berbual-bual dengan penduduk tempatan



Boleh dikatakan setiap orang di pasar itu memandang kepada kami dan bertanya pada Adil,

"Dia orang ni siapa?"

"Orang Malaysia," beritahu Adil dalam bahasa Uyughur.

Mereka kelihatan gembira melihat kami. Ingin berbual-bual, tapi malu kerana tak tahu bahasa kami. Tetapi Adil tolong terjemahkan. 

Ada sekumpulan remaja lelaki lepak-lepak dengan kami. Mereka bertanya soalan cepu emas. Bijak juga remaja ini.

"Bendera Malaysia ada gambar apa?" 

"Bulan. Bintang. Jalur-jalur biru, putih." kata Azizi.

Azizi kemudiannya memberi mereka sekeping duit seringgit Malaysia dan menunjukkan gambar yang ada pada duit kertas yang baru dikeluarkan tahun ini. Lepas seorang demi seorang menerpa ke arah Azizi. Berebut-rebut hendakkan duit kertas Malaysia yang baru dan keras itu! Terlalu gembira mereka mendapat hadiah itu. Suasana ini amat menyeronokkan kami.

Remaja Uyughur yang gembira menerima duit kertas Malaysia


Kami berjalan-jalan lagi sampai ke hujung pasar. Kami amat bertuah kerana pada hari itu orang Uyughur masih bercuti raya Korban dan banyak daging kambing dijual dan dibakar.

"Suasana begini tidak ada pada hari-hari biasa," kata Adil.

Jual beli kambing biri-biri. Di Kashgar setiap keluarga mesti menyembelih biri-biri untuk Hari Raya Korban


"Saya orang Malaysia. Saya orang Islam," kata saya. Penjual daging ini terus posing apabila saya kata begitu.

Bazar Besar Kashgar


Sebuah lagi pasar ataupun bazar yang kami pergi ialah bazar Besar Kashgar. Di sini jual-beli kambing amat rancak sekali. Menurut Adil, "Setiap keluarga menyembelih sekurang-kurangnya seekor biri-biri untuk hari Raya Korban." 


Tawar menawar kulit biri-biri

Kulit dan bulu biri-biri dikumpulkan dan dibawa ke Urumqi untuk diproses di kilang


Ketika ini musim anggur. Banyak anggur ditanam di Kashgar. Ia banyak dijual  di bazar Kashgar dan rasanya sedap.


Jual bepang kacang


Setelah berjalan-jalan di Pasar Besar Kashgar, kami dibawa Adil ke tempat orang membuat permaidani. Pelbagai jenis permaidani indah dianyam di situ.

Selepas itu kami melihat batu jade dijadikan barang-barang kemas. Xinjiang mempunyai batu-batu jade yang bermutu baik. Jade ini terdapat dengan banyak di dalam perut bumi Xinjiang. Namun harga barang-barang kemas yang dijadikan daripada jade itu amatlah mahal. Tidaklah kami berminat membelinya. Jamu mata sahaja.


Permaidani Kashgar
Alat menenun
Batu-batu Kashgar

Tasik di kota Kashgar


Pada malam itu kami sekali lagi makan di restoren yang sama. Restoren ini letaknya di dalam sebuah hotel. Hanya restoren ini sahaja yang dibuka pada cuti hari Raya Korban di Kashgar. Menu utama kami ialah mee sejuk. Mee sejuk ini betul-betul sejuk, sejuk macam ais batu! Tetapi di dalamnya diletakkan cili yang terlalu pedas. Saya pun makanlah mee sejuk ini. Sedap jugak! Tetapi lepas itu perut saya rasa lain macam. Rasa tersangat sebu. Pedih ulu hati. Ini disebabkan cili yang pedas itu. Lagipun saya makan terlalu banyak pada hari itu. Saya pun telanlah beberapa biji ubat. Saya duduk berehat sahaja di hotel pada malam itu. Itulah bahananya makan tidak ikut sunnah he he he.

Mee  ini sejuk seperti ais tetapi pedas



Begitulah kami melihat orang Islam meraikan Hari Raya Korban di Kashgar. Pengalaman ini amat bermakna bagi kami.

Esok kami akan ke Urumqi. Bagaimanakan keadaan di Urumqi? Ikutilah kisah kembara saya di Jalan Sutera dalam entri akan datang.

bersambung...

Baca sambungannya KEMBARA JALAN SUTERA (BHG 3) DI SINI


Baca kisah sebelumnya KEMBARA JALAN SUTERA  (BHG 1) DI SINI

Khamis, 3 Januari 2013

Kembara Jalan Sutera (Bhg 1): Pengalaman Buruk dalam Perjalanan ke Kashgar, Xinjiang


S usah benar nak dapat tiket ke Xinjiang, sebuah wilayah autonomi Uyughur di negara China. Telah beberapa kali saya cuba untuk mendapatkan tiket keretapi untuk ke sana walaupun dibantu oleh teman-teman saya orang Uyughur dari Xinjiang, namun tidak  berhasil. Tiket untuk ke Xinjiang sentiasa kehabisan kerana orang ramai ke sana dan keutamaan diberikan kepada penduduk tempatan.




Xinjiang letaknya di Baratdaya China dan kedudukannya jauh dari laut. Ia bersempadan dengan Mongolia, Kazakstan, Kyrgizstan dan Tajikstan. Xinjiang memiliki sejarah Jalan-jalan Sutera utama yang menghubungkan China dengan Asia Tengah serta Eropah. Lihat peta Xinjiang DI SINI. Xinjiang adalah tempat yang unik di China. Mengapa ia unik? Anda akan tahu jawapannya apabila membaca Nota Kembara saya ke Jalan Sutera ini  yang saya bahagikan kepada 3 Bahagian. 

Hasrat saya untuk menjejakkan kaki ke Xinjiang saya khabarkan kepada sahabat saya Salwa yang berada di Penang. Saya umpan Salwa dengan keunikan Kashgar dan Urumqi. Salwapun terpancing untuk ke sana bersama saya. Melalui usaha Salwa beliau berjaya mendapatkan tiket ke Xinjiang tetapi melalui perkhidmatan udara. Tiket itu ditempah dari Malaysia. Walau bagaimanapun kami cuma dapat ke Xinjiang selama 3 hari sahaja. Ini disebabkan oleh tiket kapalterbang sudah kehabisan pada tarikh yang lain. Jadi di sini saya dapat mengetahui bahawa tiket untuk ke Xinjiang lebih mudah diperolehi kalau di tempah dari Malaysia. Bukan ditempah dari dalam negara China. 




Salwa dan suaminya Azizi terbang dari Penang sehari sebelum hari raya Korban tahun ini. Mereka bertemu dengan saya di Beijing dan menginap di rumah saya di Chaoyang. Ketika ini musim luruh dan cuacanya sejuk di Beijing. 

(Untuk pengetahuan anda, Salwa dan Azizi saya kenali di tanah suci Mekah semasa kami sama-sama mengerjakan haji dua tahun yang lalu. Sejak pertemuan di tempat suci itu melahirkan bibit-bibit persahabatan yang suci sesuci embun pagi).





Dari Beijing ke Kashgar Menggunakan Penerbangan China Southern



Kami bertolak awal pagi dari rumah saya di Chaoyang, Beijing ke lapangan terbang Peking lalu menaiki pesawat China Southern pada pukul 9 pagi. Namun ada sesuatu yang pelik dan dungu berlaku semasa kami check in. Nama kami tertulis Mrs dan Mr di hadapan boarding pass kami. Oleh kerana adanya tambahan itu maka pegawai di situ menyatakan bahawa nama kami tidak sama dengan nama di pasport. Puas kami menjelaskan maksud Mrs dan Mister. 

Adanya gelaran Mrs dan Mr di hadapan nama penumpang ini berlaku ketika agen pelancongan mengisi borang maklumat penumpang. Dalam borang itu ada soalan bertanyakan: Are you Mr or Mrs? Apabila kita memberi jawapannya dan dicetak, maka gelaran itu tercatat di hadapan nama sebenar penumpang.

"Mrs for woman, Mr for man!" jelas kami berkali-kali.

Tetapi mereka tak mahu terima. Kami diminta membuat penukaran nama dan penukaran itu mesti dilakukan melalui pegawai atasan di situ. Alamak. Lecehnya. 

Kamipun bersedia untuk berjumpa pegawai atasan itu. Tapi, pegawai itu tak sampai lagi. Kami perlu menunggu pegawai atasan itu sampai. Gelisah juga kami dibuatnya, takut-takut dia tak luluskan. Masa pun suntuk. Kapal terbang tak lama lagi akan berangkat. 

Setelah menunggu, akhirnya pegawai itu sampai. Barulah pegawai itu menandatangani dan mencop boarding pas kami itu bagi membenarkan kami menggunakan gelaran itu.

Takkah Dungu bin Bahalul namanya? Common sense, kan tu? Kalau begitu lain kali jangan buat soalan macam tu pada borang maklumat penumpang. Dah tu menyusahkan kita. Tak mesra pelanggan langsung China Southern ni!

Berbalik pula kepada perjalanan kami ke Kashgar. Perjalanan ke Kashgar mesti melalui Urumqi (disebut U-ru-mu-chi) dan kami perlu tukar kapalterbang lain ke Kashgar.


Urumqi ialah ibukota Xinjiang. Perjalanan ke Urumqi memakan masa 3.5 jam. Rata-rata penumpang kapalterbang terdiri dari orang Han (orang China bukan Islam) dan orang Xinjiang (orang China Islam). Hanya kami bertiga sahaja orang luar. 

Dalam kapalterbang kami dihidangkan dengan makanan halal. Terdapat tulisan 'qingzhen' (halal) pada kotak makanan. Ternyata semua penumpang memakan makanan halal kerana semua kotak makanan mereka juga adalah sama dengan kotak makanan kami.

Xinjiang adalah wilayah autonomi Uyughur dan kesemua orang Uyughur adalah Islam. Selain dari etnik Uyughur terdapat juga etnik-etnik lain yang beragama Islam di Xinjiang. Mereka terdiri daripada Kazak, Urbeks, Kyrgiz, Tajik, dll. Terdapat 75 peratus orang Islam di Xinjiang dan yang selebihnya adalah orang Han. Mereka bercakap menggunakan bahasa Uyughur. Tetapi mula mempelajari bahasa China ketika menjejakkan kaki di bangku sekolah. Orang Han (China) menyebut Urumqi sebagai Wulumuchi manakala Kashgar sebagai Kashi.



Ketika menaiki kapalterbang menuju ke Urumqi, kami dapat melihat pemandangan alam yang amat menakjubkan. Kami dapat melihat gunung-ganang yang tinggi mencecah awan. Ia berada betul-betul di bawah kami. Kemuncaknya mencacak dan keras. Ia dilitupi salji putih yang gebu. Salji itu mendakap kemuncak itu bagaikan bayi yang tidak mahu lepas dari pelukan ibunya. Subhanallah! Indahnya. Luasnya! Tingginya gunung itu. Semuanya dapat kami lihat dari tingkap kapalterbang. Barangkali inilah gunung-ganang yang memisahkan China dengan Mongolia. Terkesima amat amat kami melihat keindahan yang tidak pernah kami lihat ini! Tidak puas-puas mata kami melirik ke arah jendela kapalterbang takut-takut ia akan lenyap dari pandangan mata.


Gambar gunung yang penulis ambil dari tingkap kapal terbang ketika menuju ke Urumqi. Kelihatan salji meliputi kemuncak gunung


Lagi gambar gunung yang penulis ambil dari tingkap kapal terbang ke Urumqi. Terkesima kami melihat keajaiban ciptaan Allah ini.

 

"Gunung apakah ini?" Saya tanyakan soalan ini melalui SMS pada sahabat Uyughur saya yang bernama Arafat.

"Nama gunung itu ialah gunung Tianshan," jawab Arafat.

Ingatkah anda pada Arafat? Arafat adalah wanita Islam pertama yang saya kenali di China. Dia beretnik Uyughur dan berasal dari sebuah tempat di Xinjiang bernama Qumul (atau disebut Hami oleh orang Han). Anda boleh mengimbas kembali Arafat dan melihat gambarnya di dalam entri yang lepas dengan mengklik DI SINI. 



Ingatkah anda bahawa Arafat adalah siswi peringkat Master di Communication University of China di Beijing tempat saya bertugas itu? Sekarang Arafat mengambil cuti (menangguhkan pengajian) selama satu semester dan berada di Qumul. Semasa mengambil cuti universiti beliau bekerja di Universiti Xinjiang, tetapi kemudiannya terpaksa berhenti kerana beliau memakai hijab. Undang-undang di Xinjiang melarang wanita bekerja memakai hijab.

Sekarang Arafat sedang mencari kerja lain yang membenarkan dia memakai hijab, tetapi ternyata amat susah mendapatkannya. Undang-undang di Xinjiang adalah berbeza dengan wilayah autonomi lain di China. Tidak seperti undang-undang di Mongolia Dalam (Inner Mongolia). Saya pernah ceritakan tentang Nadiya, gadis di Hohhot, Mongolia Dalam tempoh hari yang bertudung dan mengajar di sebuah sekolah Islam. Sila klik DI SINI untuk mengetahui tentang Nadiya di entri yang lepas. Namun peraturan di Xinjiang amat jauh berbeza.

"Sekolah Islam tidak pernah wujud di Xinjiang. Ia adalah haram di Xinjiang!" Kata Arafat dengan kesal ketika kami makan bersama-sama di kantin halal di kampus Communication University of China, Beijing suatu ketika dulu.

Berbual-bual dengan Arafat membuatkan saya mengetahui keluhan dan kepayahan orang Islam di Xinjiang.

Sebelum ini saya pernah ingin mengikut Arafat pulang ke kampung halamannya di Qumul, Xinjiang dengan menaiki keretapi. Tetapi disebabkan sukar mendapatkan tiket keretapi saya tak dapat ikut.



Semasa saya, Salwa dan Azizi berada di Urumqi dan Kashgar, Arafat mengundang kami ke rumahnya di Qumul. Namun Qumul terlalu jauh dari Urumqi dan Kashgar. Maka itu kami tidak sempat ke rumahnya dan menemuinya.



Transit di Urumqi sebelum ke Kashgar


"Alamak Habislah Aku"


Sesampainya kami di Urumqi, kami terpaksa melalui keselamatan dan imigresen. Di sini pasport kami disemak oleh seorang pegawai lelaki. Salwa beratur dahulu. Saya lihat Salwa disuruh oleh pegawai itu untuk menyelak tudungnya di bahagian dahi supaya wajahnya dapat dilihat jelas. Salwa menarik tudungnya kuat-kuat ke belakang kepala supaya pegawai itu dapat melihat dahinya. Pegawai itu berkali-kali menyuruh Salwa menarik tudungnya ke belakang. Lagi dan lagi dan lagi. Setelah tiba giliran saya, saya pun diperlakukan begitu. Cis!



Kemudian kami masuk ke bahagian mesin pengimbas barang-barang dan pemeriksaan badan. Setelah meletakkan beg ke dalam mesin pengimbas, saya lihat pegawai di situ menyuruh Salwa melucutkan tudung dan serkupnya. Salwapun dengan terpaksa melucutkan tudung kepalanya sehingga rambutnya terdedah. Lalu tudung dan serkupnya disuruh masukkan ke dalam mesin pengimbas! Cis! Sampai begitu sekali! 



Setelah itu Salwa melalui pintu keselamatan dan kemudian dia disuruh berdiri di atas sebuah platform kecil, mendepangkan kedua-dua belah tanganya dan keseluruhan badannya diimbas dan diraba oleh seorang pegawai wanita. Saya kasihan melihat Salwa diperlakukan begitu. Salwa sudah mengerjakan haji dan setiap tahun mengerjakan umrah. Tentu sekali Hajah ini merasa malu dan terhina.



Tiba giliran saya, saya pun diperlakukan begitu. Dasyat sungguh! Saya rasa dicabuli! Rasa ditelanjangi! "Alamak habislah aku!" Ini tempat terbuka. Orang lelaki dan penumpang lain pun ada dan tentu mereka nampak aurat saya. Teruknya kami diperlekehkan! Hak asasi kaum wanita Islam dicabuli! Dinodai! Saya rasa amat amat terhina! Sungguh BIA***! SUNGGUH KURANG ****! Peraturan dan birokrasi yang paling buruk yang pernah saya alami! Tetapi saya tidak tahu di mana harus saya mengadu. Selama ini sayau hanya mendengar keluhan dari sahabt saya Arafat. Tetapi kini saya alaminya sendiri. Barulah saya mengerti kini.


"Itulah yang diperlakukan oleh mereka selama ini. Lebih menyedihkan ramai pula pegawai itu yang Islam, bermuka-muka dan menjadi tali barut!" keluh Arafat melalui telefon apabila saya membebel tentang birokrasi yang tidak ber****dun ini.


Hasrat yang Tidak Kesampaian


Hari kami sampai itu adalah hari Raya Korban (Aidil Adha) dan ia jatuh pada hari Jumaat. Di Kashgar ada sebuah masjid purba terbesar di Xinjiang, malahan terbesar di China. Masjid Id Khah namanya. Kami sudah tahu yang kami akan terlepas solat sunat Aidil Adha di Masjid Id Khah. Namun kami amat berharap dapat solat Jumaat di Masjid Id Khah.

Arafat pernah memberitahu saya yang wanita tidak dibenarkan solat di mana-mana masjid di Xinjiang. Saya macam tidak percaya kata-kata Arafat itu. Kalaulah benar, kami cuma boleh menemani Azizi sahaja solat di situ. Anda pula macam mana? Percaya tak yang wanita tak dibenarkan solat di masjid di Xinjiang?

Perjalanan kami diteruskan dari Urumqi ke Kashgar dengan menaiki pesawat China Southern.

Hati kami masih 'bengkak' dengan peristiwa birokrasi di imigresen Urumqi tadi. Tetapi kami meneruskan perjalanan dengan harapan peristiwa hitam itu tidak berulang lagi di Kashgar.

Kami sudah pun berada di dalam perut kapalterbang. Perjalanan sepatutnya memakan masa satu jam. Namun pesawat itu tidak bergerak-gerak meninggalkan lapangan terbang Urumqi. Setelah lebih dua jam berada di dalam perut kapal terbang, barulah pesawat itu berlepas. Sebabnya tidaklah kami ketahui.

Dalam penerbangan kami dihidangkan dengan makanan halal.

Dalam perjalanan ke Kahsgar sekali lagi kami dapat melihat pemandangan yang begitu indah. Sekali lagi kami dapat melihat gunung-ganang yang diliputi salji putih. Kami dapat lihat ada tasik-tasik yang berwarna kehijau-hijauan. Kadang-kadang kami melalui padang pasir yang tandus. Sesekali ada oasis di padang pasir itu. Indah. Kami juga dapat lihat jalan-jalan Sutera yang berliku-liku.

Namun  gunung-ganang diselaputi salji putih kelihatan lebih ketara dan memukau.

Apakah gunung yang kami lihat ini? Tidakkah pernah saya  belajar tentang gunung ini dalam kelas Geografi?

"Itulah Gunung-gunung Tuhan." kata Arafat melalui SMS apabila saya tanya dia.

"Gunung-gunung Tuhan?" tanya saya lagi kerana tak pernah dengar nama itu.

"The Mountains of Allah", kata Arafat lagi.

"MasyaAllah!"

Barangkali Gunung-gunung Tuhan inilah gunung-gunung yang memisahkan China dengan Kazakstan, Kyrgizstan dan Tajikstan. Kemudiannya saya mendapat tahu bahawa gunung-ganang ini juga dikenali dengan Heavenly Mountains yang juga dipanggil "Gunung-gunung Tuhan" oleh penduduk tempatan.


Gunung-gunug Tuhan atau Heavenly Mountains. Gunung-gunung Tuhan yang diliputi salji. Gambar ini diambil penulis dari tingkap kapal terbang

Oasis dan gurun di kawasan pergunungan Heavenly Mountains


Kami masih mengharapakan yang kami dapat solat Jumaat di Masjid Id Khah apabila sampai di Kashgar nanti. Namun hasrat kami itu tidak kesampaian. Kami sampai di Kashgar sudah agak petang kira-kira pukul  5.30 petang.


Pesawat China Southern mendarat di Kashgar. Kelihatan Gunung-gunung Tuhan di latarbelakang



Waktu di Xinjiang tidak sama dengan waktu di Beijing. Di sini jamnya lewat sejam dan waktu malamnya lebih panjang. Waktu maghribnya pada pukul 8 malam. Manakala waktu solat subuh agak lambat iaitu pada pukul 7.49 pagi. Cuaca di sini tidaklah sesejuk cuaca di Beijing.


Malam Pertama di Kashgar dan Kisah Siswa Islam Tidak Dibenarkan Solat


Di Kashgar kami disambut oleh Adil seorang pemuda beretnik Uyughur. Dia berusia 25 tahun dan memiliki rupa paras yang kacak dan bermata biru-perang. Dia seorang siswa di Maktab Perguruan di Kashgar dalam jurusan bahasa Inggeris dan akan menjadi guru Inggeris apabila tamat pengajian. Adil mengambil upah membawa kami sekitar Kashgar bagi menampung pengajiannya di maktab perguruan kerana beliau anak yatim. Bapanya meninggal dunia sejak kecil dan ibunya bekerja sebagai petani untuk menampung dia dan adik-adiknya. 

Adil beragama Islam. Hari itu adalah hari raya Korban dan sepatutnya dia merayakannya bersama keluarganya, tetapi terpaksa membawa kami jalan-jalan. Apabila ditanya waktu-waktu solat di Kashgar, Adil secara terus terang menyatakan bahawa dia tidak tahu. Dia cuma tahu waktu solat subuh sahaja. Ini disebabkan dia tinggal di asrama dan dilarang untuk solat. Sekiranya orang mengetahui dia solat, maka keistimewaan dan haknya sebagai siswa akan lucut dan menimbulkan pelbagai masalah lain. Adil cuma dapat solat subuh secara sembunyi-sembunyi. Di sini sekali lagi saya dapat saksikan pengakuan sebenar bagaimana orang Islam dicabuli haknya.


Menginap di Persekitaran yang Luarbiasa dan Kontras


Kami dibawa ke hotel Yambu oleh Adil. Hotel ini terletak di pusat bandar. Tulisan-tulisan di papantanda dan di kedai-kedai adalah tulisan Arab (dalam bahasa Uyughur). Berada di Kashgar seolah-olah berada di sebuah negara Timur Tengah dan bukannya di China. Orang-orang Uyughur juga berwajah orang Turki! Ini disebabkan orang Turki berasal dari sini. Dahulunya Xinjiang ialah Turki Timur tetapi telah jatuh ke tangan China.

Ketika kami ke Kashgar, telah masuk musim luruh dan daun-daun kelihatan menguning. Kami berada di China tetapi keihatan seperti di Timur Tengah. Suasana ini amat unik, kontras dan luarbiasa!

Adil membantu kami check-in di Hotel Yambu


 

Makan Malam di Kashgar


Setelah check-in hotel kamipun dibawa Adil makan malam di sebuah restoren. Oleh kerana hari ini hari raya korban, maka kedai-kedai banyak yang tutup. Kami diberitahu Adil bahawa Raya Korban adalah raya yang istimewa dan umat Islam di Kashgar menyambutnya dengan meriah berbanding dengan hari raya Aidil Fitri. Kebanyakan orang Islam di sini mengambil kesempatan ini untuk bercuti bersama keluarga dan tidak berniaga selama 3-4 hari.

Makan malam yang disaji adalah makanan tradisi China yang terdiri dari ayam masak kicap, ayam masak campur lobak merah, tomato segar ditumis dengan telur, sup telur, kacang panjang masak dengan lobak merah,  daging masak dengan daun bawang dan tumis kacang tanah. Semuanya halal dan dimakan dengan nasi putih. Amat menyelerakan.


Makanan yang dihidang amatlah menyelerakan dan kami tidak mahu melepaskan nikmat itu.




Makan Angin di Kota Kashgar Pada Waktu Malam di Musim Luruh

 

Salwa asyik memerhati wanita Uyughur yang amat bergaya ketika menyapu sampah di jalan

Selepas makan malam kami pulang ke hotel dan Adil pulang ke asramanya. Pada malam itu kami bersiar-siar menikmati udara dingin dan segar pada musim luruh di Kashgar. Kami lihat kedai-kedai Islam dengan tulisan Arab. Sungguh luar biasa. Kami rasa amat gembira melihat orang Islam Kashgar yang masih teguh memegang agama Islam walaupun mereka tidak bebas beragama. Sesungguhnya mereka inilah yang mendapat ganjaran besar di sisi Allah nanti!

Pasar malam di kota Kashgar


Semasa bersiar-siar itu kami sempat ke pasar malam yang ada di situ. Sempat juga kami merembat sebuah beg tangan yang harganya MURAH sangat.  Kami juga sempat membeli buah anggur yang sedang bermusim di Kashgar. Kashgar terkenal dengan anggurnya. Buah anggurnya hijau jernih. Segar! Apabila dikunyah amat rangup dan manis! Sedap sangat sangat!

Orang Islam Uyughur berniaga buah-buahan di Kashgar. Ketika ini musim buah anggur di Kashgar. Anggurnya segar dan sedap


Malam itu kami tidur pada malam yang begitu panjang tetapi terbangun beberapa kali kerana menyangkakan subuh sudah berlalu. Tetapi tidak. Waktu subuhnya lewat sekali. Itulah pertama kali saya solat subuh pada pukul 8.00 pagi.

Ada lagi kisah menarik kami di Kashgar. Akan diceritakan dalam entri akan datang. Jangan lupa ikuti kisah menarik kami ini ya!

bersambung...                             

Baca sambungannya KEMBARA JALAN SUTERA (BHG 2) DI SINI

Baca kembara sebelumnya Jinan: Naik Bullet Train dan Berniaga di China DI SINI


Selasa, 1 Januari 2013

TEMPAT MENARIK DI BEIJING # 16: Dataran Tiananmen & Taman Nenek Moyang

Ketika saya menaip ini saya memakai sarung tangan? Mengapa? Sebabnya cuaca di Beijing sekarang ini -15 darjah celsius. Bawah daripada takat air beku. Jadi kalau saya tersilap eja, harap maaf ya.

Rasa rasanya sudah banyak tempat menarik di Beijing yang telah saya blogkan di sini,  cuma ada satu lagi tempat yang belum.

Kalau di Malaysia kita ada Dataran Merdeka dan Tugu Kebangsaan, di China ada Dataran Tiananmen (Tianmen Square) dan Tugu Peringatan Wira-wira Rakyat (Monument of the People's Heroes).

Dataran Tiaanmen yang dihiasi dengan lanskap yang indah

Dataran Tiananmen ini adalah tempat tumpuan ramai. Kalau anda datang ke sini anda pasti berjumpa dengan ramai orang. Ada orang tempatan. Ada orang luar. Yang datang dengan rombongan Kak Kiah pun ada.

Dataran ini adalah tempat sejarah. Ia adalah tempat pengisytiharan negara China sebagai sebuah Republik oleh Pengerusi Mao Tze Dong pada 1 Oktober 1949.  Peristiwa bersejarah ini disambut setiap tahun.

Di sini jugalah terdapatnya Monumen Wira-wira Rakyat yang berjasa. Ia dibuat daripada granit dan marmar dan merupakan monumen paling besar dalam sejarah China. Berdekatan dengan monumen ini terdapat Muzium Kebangsaan China.

Di Dataran Tianmen ini demonstrasi sering dilakukan. Antara demonstrasi yang terbesar dan terkenal ialah demonstrasi pelajar pada tahun 1989. Ia mendapat liputan yang luas di media massa di serata dunia. Jadi tidak hairanlah kita sentiasa melihat polis dan pegawai keselamatan sentiasa mengawal  kawasan ini.

Ketika demonstrasi 1989 itu saya sedang menunggu keputusan permohonan pengajian di Amerika Syarikat. Di tahun berikutnya saya berjaya diterima masuk sebagai pelajar di universiti di Amerika dalam bidang filem. Kesan demonstrasi 1989 itu membawa ke Amerika. Ketika itu ramai pelajar China datang ke Amerika dan ada antaranya adalah kawan-kawan sekuliah saya. Ketika belajar mereka mencari-cari peluang untuk menetap di Amerika. Ada yang tidak dibenarkan pulang ke China dan ada rakyat Amerika yang menaja mereka sebagai pasangan hidup. Ada juga pengarah-pengarah filem China yang datang ke universiti saya untuk mendapatkan pekerjaan. Salah satu syarat untuk diterima sebagai pengajar di universiti ialah mereka perlu memberi kuliah percubaan dan kami sebagai pelajar harus memberi jawapan samada menerima mereka sebagai tenaga pengajar atau tidak. Namun begitu, pengarah-pengarah filem China itu tidak dipilih kerana mereka tidak tahu bahasa Inggeris. Walaupun mereka menggunakan penterjemah/jurubahasa kebanyakan pelajar mendapati ia adalah melecehkan. Begitulah kuatnya student union di universiti di Amerika sehinggakan tenaga pengajar ditentukan oleh pelajar.

Orang ramai meraikan hari kebangsaan China  di Tiananmen

Setiap tahun pada 1 Oktober, negara China meraikan hari kebangsaan mereka dan di sinilah rakyat berkumpul.  Sepanjang minggu pertama Oktober adalah cuti umum. Manusia dari pelbagai pelosok negara China datang ke sini dan tempat ini menjadi sesak. Sekiranya anda tidak suka kesesakan, janganlah datang ke sini sehari sebelum atau selepas sambutan hari kebangsaan. Ini disebabkan banyak jalan ditutup. Stesen keretapi bawah tanah yang terdekat iaitu Tiananmen Barat juga ditutup untuk persediaan sambutan hari kebangsaan itu. Anda terpaksa turun di stesen yang berikutnya iaitu di Qianmen dan berjalan kaki.

Polis juga akan sentiasa mengawasi tempat ini kerana dikhuatiri orang awam melakukan demonstrasi. Namun sekiranya anda datang pada hari kebangsaan anda berpeluang melihat rakyat memakai pakaian etnik dan mengibarkan bendera. Cuaca di bulan Oktober juga bagus kerana sudah masuk musim luruh. Musim luruh di sini tidak begitu panas dan tidak terlalu sejuk.

Monumen Wira-wira Rakyat yang dibuat daripada granit. Monumen terbesar dalam sejarah China



Tugu Peringatan di hujung Dataran Tianmen



Berpakaian etnik/kebangsaan pada hari kebangsaan


Berbasikal beramai-ramai pada hari kebangsaan


Lanskap Dataran Tianmen yang indah pada hari kebangsaan 2012

Berkawat di kawasan Dataran Tiananmen
Memorial Presiden Mao dan Kota Larangan di seberang



Muzium Kebangsaan China

Muzium Kebangsaan China


Di seberang jalan Dataran Tiananmen ini terdapat Memorial Pengerusi Mao Tze Dong. Bersebelahannya terdapat taman-taman. Di belakang memorial ini pula ada Kota Larangan yang mendapat pengiktirafan UNESCO.

 

 

Dataran Scammen @ Sembelihmen @ Tipumen 

 

Sambut hari kebangsaan. Bendera dikibarkan pada hari kebangsaan



Namun begitu Dataran Tiananmen ini juga adalah Dataran Scammen @ Sembelihmen @ Tipumen kerana anda akan dikejari oleh orang yang menawarkan perkhidmatan melancong ke Tembok Besar dan tempat-tempat lain di Beijing. Janganlah anda layan mereka kerana mereka ini kaki sembelih. Kaki sembelih ini sentiasa mencari mangsa-mangsanya di sini. Anda mungkin terserempak dengan mereka yang mengekori  ke mana sahaja anda pergi dan berbahasa Inggeris. Harga yang mereka letakkan terlalu tinggi dan mereka berpura-pura menyatakan bahawa tawaran itu istimewa.

"Have you been to Great Wall? I have a great offer for you. It's only 500 yuan! Very cheap!"

Ooi mak mahal nak mampus! 500 yuan dikatakan murah? Padahal harganya jauh lebih murah. Kalau kita pergi sendiri kita mungkin berbelanja tidak sampai 150 yuan. Jadi janganlah anda layan mereka. Jangan berkata sepatah pun.

Ada juga yang menyamar jadi pelajar seni, jual lukisan kaligrafi China yang palsu. Lepas itu sembelih kita hidup-hidup. Ada juga yang datang menghampiri kita, cakap baik-baik, mulut manis, puji-puji kita. Biasanya perempuan. 

"You are so beautiful! Your eyes are so pretty! Where are you from? Malaysia? Wow very nice country!"

Kemudiannya menyatakan yang mereka pengumpul duit dan meminta kita memberi mereka duit seringgit sebagai kenang-kenangan. Muka nampak baik. Padahal itulah songlapmen! Dengan cara begini mereka dapat wang daripada pelancong asing dengan tidak menampakkan yang mereka melakukan jenayah. Janganlah lembut hati kalau anda bertemu dengan orang yang demikian.

Lagi satu janganlah anda naik beng beng (beca bermotor) kerana itu adalah perangkap. Janganlah anda masuk ke dalam perangkap ini. Lebih baik anda naik teksi kerana teksi mempunyai meter. Ataupun jalan kaki sahaja. Kisah penipuan  ini sudah saya ceritakan dalam entri yang lalu. Sila klik di sini untuk imbas kembali.


 

Taman Nenek Moyang (Ancestor Park)


Sekiranya anda ingin solat, janganlah anda solat di tempat terbuka ini, kerana perbuatan anda ini akan menimbulkan syak wasangka di kalangan polis yang mengawal di situ dan mungkin akan ditahan. Anda bolehlah solat di dalam taman yang berdekatan dengan memorial Mao ini iaitu Taman Nenek Moyang (Ancestor Park). Taman ini kurang dikunjungi ramai berbanding dengan Dataran Tiananmen dan Kota Larangan. Cuma bayar 2 yuan sahaja untuk masuk. Di situ ada tandas awam yang bersih. Carilah batu-batu di dalam taman itu dan anda boleh solat dengan aman di sebalik batu itu. Di taman ini juga terdapat dewan, istana dan bangunan purba sebagaimana yang terdapat di Kota Larangan.

Taman Nenek Moyang ini letaknya di sebelah Memorial Mao dan Kota Larangan

Kesenian China terpamer melalui binaan jambatan dan susunan taman-taman di dalam Taman Nenek Moyang

Keindahan senibina dan tanaman  di Taman Nenek Moyang menjadi lokasi sesuai untuk fotografi

Taman Nenek Moyang mempunyai senibina China purba dan menjadi lokasi penggambaran pengantin



Cara Pergi ke Dataran Tiananmen:
Ambil keretapi bawah tanah laluan 1 dan turun di stesen Tiananmen Barat. Bacalah arahan di stesen itu untuk memilih pintu keluar yang mana satu. Ada pintu untuk ke Dataran Tianamen dan ada pintu untuk ke Kota Larangan. Apabila anda keluar dari stesen keretapi bawah tanah itu, anda perlu berjalan kira-kira 5 minit untuk ke Dataran Tiananmen.


Selamat Melangkah ke Gerbang 2013 dengan langkah yang bijak! Semoga 2013 membawa rahmat, kebahagiaan dan rezeki yang melimpah ruah kepada anda semua.