Tagline

A Blog About Traveling Around The World From The Lens and Eyes of A Malaysian-Muslim Woman

Select Your Preferred Language


Select Your Preferred Language
BAHASA MELAYU | ENGLISH

Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini

Adsense



Sabtu, 29 Mac 2014

Sungai Lembing (1): Lombong Bijih Timah Bawah Tanah Terpanjang dan Terdalam Di Dunia

T ahukah anda bahawa lombong bijih timah bawah tanah terpanjang dan terdalam di dunia letaknya di negara kita? Lombong bijih bawah tanah itu letaknya di Sungai Lembing, Kuantan, Pahang.

Pekan Sungai Lembing yang mendapat jolokan "pekan koboi"

Saya ke sana pada 1 Mac 2014 baru-baru ini. Saya pergi bersama keluarga dan kawan saya Hajah Salwa yang memiliki Wilayah Utara Travel Sdn Bhd. Jadi kami pergi beramai-ramai dengan sebuah bas dari Penang.

Masjid Jamek Sungai Lembing

Mula-mula kami ke Masjid Jamek Sungai Lembing kerana kami diundang untuk menghadiri Karnival Falak. Kedatangan kami dinanti-nantikan dan apabila sampai kami disambut oleh pengajur karnival dengan tangan terbuka. Kami dijamu dengan sarapan, makan tengahari dan malam. Sudah tentu masakan tradisional Pahang! :)

Menimba ilmu tentang planet dan arah kiblat yang betul

Dalam karnival itu kami mendengar ceramah tentang cara yang betul melihat arah kiblat dan mempelajari tentang planet.


Muzium Sungai Lembing



Bungalow Pengurus PCCL di atas bukit ini dijadikan Muzium Sungai Lembing


Kemudian kami ke muzim Sungai Lembing untuk mengetahui sejarah perlombongan bijih timah di situ. Dengan memasuki muzium ini  barulah kami mengetahui sejarah Sungai Lembing dan kekayaan hasil buminya.  

Sejarah Sungai Lembing dan perusahaan bijih timahnya
Pekerja di Sungai Lembing kebanyakanya adalah mat salleh

Lombong bijih di Sungai Lembing ini mula beroperasi pada tahun 1888. Ia diusahakan oleh Syarikat PCCL milik orang Inggeris dan ramai komuniti Inggeris di sini. Mereka mengaut keuntungan tahun demi tahun akibat kenaikan harga timah dunia. Perkembangan perlombongan yang menggalakan berlaku di antara tahun 1915 hingga 1926. Sehingga 1915 keluasan lombongnya ialah 40 batu dan dalamnya sehingga 1,200 kaki.

Sungai Lembing kemudiannya menjadi sebuah bandar yang mewah dan sofistikated. Terdapat pejabat, rumah rehat, kedai bebas cukai, club house, hospital, sekolah, panggung wayang dan kilang di sini. 

Kemudian PCCL mengalami kemerosotan pada tahun 1930an akibat kemelesetan ekonomi dunia dan keadaan kembali pulih beberapa tahun tetapi akhirnya ditutup pada 1986.

Alatan janakuasa untuk perlombongan

Alat-alat untuk kegunaan perusahaan melombong
Replika lombong bijih
Replika jalan keretapi bawah tanah
Pahat dan penyangkut untuk kerja-kerja melombong
Timba untuk mengisi batu-batu dan bijih dari kolong lombong

Dulang membijih
Relau


Lombong Bijih Timah Bawah Tanah Terpanjang Di Dunia



Kami kemudiannya ke lombong bijih bawah tanah yang terpanjang di dunia. Cuaca pada masa ini panas kerana kemarau. Saya sangkakan kalau masuk ke dalam lombong bawah tanah ini tentu panas dan peredaran udaranya kurang.

Apabila sampai di kawasan lombong itu kami lihat ada banyak terowong di situ. Apabila digabungkan keseluruhan terowong ini panjangnya ialah 322km. Jauhnya lombong ini adalah melebihi perjalanan dari Kuantan ke Kuala Lumpur. Wah panjangnya!



Van yang kami naiki ke lombong bijih bawah tanah terpanjang dan terdalam di dunia.
Papantanda ini terdapat di bahagian pintu masuk
Pintu masuk terowong Tei Pei Tong

Lombong bijih timah Sungai Lembing ini mendapat jolokan "El Dorado of the East." Kami masuk melalui terowong Tei Pei Tong. Untuk memasukinya kami boleh memilih untuk berjalan kaki atau naik keretapi. Kami pilih naik keretapi. Keretapi itu ada di luar pintu terowong bawah tanah itu. Ia sangat antik.  Teringinnya nak naik. Tetapi ketika itu roda keretapi itu rosak. Kami kecewa.

"Kenapalah ia rosak masa kami datang jauh-jauh ni?" keluh kami.

Kami lalu meminta pekerja di situ memperbaikinya. 

"Berapa lama nak repair?" tanya kami. 

"Tak lama, habis repair roda ni dah boleh naiklah," kata pekerja di situ. 

Oleh kerana tertarik untuk merasai pengalaman menaiki keretapi antik yang digunakan oleh pekerja lombong itu kami sanggup menunggu untuk diperbaiki. 

Menanti roda keretapi antik lombong bijih diperbaiki

Setelah menunggu untuk diperbaiki lebih kurang 15 minit, iapun siap untuk dinaiki.

Seronoknya kami dapat naik keretapi antik itu masuk ke dalam terowong. Yay! Tapi sekejap je dah sampai. Tak puas!

Alah kenapa dah sampai?


Setelah itu kamipun berjalan kaki di dalam lombong bawah tanah itu. Gelapnya samar-samar! Ada lampu di sepanjang dinding terowong. Suhunya sejuk. Macam air-cond! Peredaran udaranya sempurna kerana ada liang-liang udara dibina di dinding sejak dahulu. Seronoknya kami berada di dalamnya dengan suhu macam ini. Rasa tak mahu keluar. Sangkaan kami yang lombong bawah tanah ini panas dan peredaran udaranya kurang ternyata salah.


Lorong dalam lombong bijih bawah tanah El Derado of the East



Lorong lombong bjih bawah tanah ini panjang dan sejuk

Informasi di dinding terowong tentang Sungai Lembing yang hebat

Banyak informasi yang kami perolehi ketika memasuki lorong di bawah tanah El Derado of the East ini.

Lubang dan laluan untuk mendapatkan bijih

Barulah kami mengetahui bahawa bijih bukan sahaja dikorek menggunakan kapal korek di lombong  seperti di Lembah Kinta atau di Taiping Perak, tetapi bijih juga diperolehi melalui pengorekan tanah di bawah tanah.  Bijih timah itu diperolehi dengan memecahkan batu-batu yang terdapat di lombong ini.

Bumbung, tangga dan kabel dalam terowong bawah tanah


Terdapat juga staletit dan stalemit di bumbung terowong. Ada kalanya kami menaiki tangga menuju ke bahagian atas dan melihat cara pelombong menggunakan kabel, syaf dan lif untuk turun-naik. Dapatlah kami membayangkan kerja-kerja pelombongan bijih bawah tanah.

Patung menggambarkan aktiviti pelombong haram yang mencuri bijih timah di sini pada tahun 1987

Di satu sudut bahagian lombong itu yang dinamakan "Lubang Sejuta Ringgit", ada tayangan video tentang aktiviti pelombongan haram. Pelombong itu telah mencuri bijih di sini dalam jangka masa yang lama bermula pada tahun 1987 (selepas lombong ini ditutup dengan rasmi). Dianggarkan jumlah curian itu bernilai jutaan ringgit. Sehingga kini pelombong itu tidak diketahui dan mungkin sudah menjadi kaya-raya di luar sana.

Lubang yang dikorek untuk mendapatkan bijih secara haram menjadikan ia tidak rata dan tidak stabil. Lubang ini diterangi dengan lampu merah dan dipagari.
Lubang yang digunakan untuk mengorek bijih bawah tanah ini amat jauh dan dalam. Ia juga ditebuk dari arah atas

Ketika memasuki lombong bijih bawah tanah ini, saya dan anak-anak teringatkan pengalaman kami memasuki lombong emas di Ballarat, Victoria, Australia.  Klik di sini untuk imbas kembali. Suasananya hampir sama tetapi perjalanan memasuki lombong bijih bawah tanah Sungai Lembing ini lebih lama dan panjang berbanding dengan yang di Australia. Pengalaman yang amat berbaloi dan penuh ilmu! Anda tak teringin ke sinikah? Bantulah Malaysia maju dalam pelancongan!

...bersambung


Isnin, 24 Mac 2014

"Tang Mana Makan Sedap Kat Penang?" (2)

"Tang mana makan sedap kat Penang?" Soalan ini ditanya lagi pada saya. Pada entri lalu saya telah beritahu anda jawapannya. Sila lihat siri lepas di sini. Tapi takkan itu sahaja, kan. Katakan Penang ini "syurga makanan", mestilah ada banyak lagi tempat makan sedap, kan?

Kali ini saya tambah lagi tempat makan sedap kat Penang. Sebabnya ada berlambak!

1. Penang Char Koay Teow


Penang terkenal dengan Koay Teow. Tak sah kalau saya tidak senaraikan Char Koay Teow dalam blog ini.  Ramai juga pembaca blog ini yang tanya saya, "Koay Teow, tang mana yang sedap?"

Ini jawapanya: Ada banyak, tak tau nak habaq, tetapi saya cadangkan TIGA (3) tempat ini, sebab rasanya...Pergh!!! Ho Liao!

a) Bob Char Keow Teow  dan Koew Teow Kerang, di Jalan Akuarium, Gelugor

 


Koew Teow Kerang yang dimasak Bob, harga  RM3.00

Koew Teow Kerang masakan Bob ialah koew teow yang digoreng kering dan diletakkan tauge, kucai, telur, kerang dan kicap serta ramuan lain yang Bob sahaja yang tahu. Memang ho liao! Makan pula panas-panas. Memang meleleh ayak lioq!


Gerai ini dibuka selepas 5.00 petang. Amat mudah mencari gerai ini kerana letaknya tepi jalan di Jalan Akuarium, Gelugor, betul-betul di hadapan Quaters Tentera Laut.

Senyum saja bila kami tangkap gambar Bob tengah goreng Koew Teow


b) An Penang Char Koay Teow, di Gelugor


An Penang Char Koay Teow ini pun sedap...malahan yang paling paling saya suka ..... Tabik spring kat An!!!

An Penang Char Koay Teow mengandungi koay teow, tauge, kucai, udang dan anda boleh pilih untuk digoreng basah atau kering. Hampa mintaklah yang special.

"Bro, kasi Char Koew Teow Special punya, teluq mata kerebau taghoh ataih!"

Char Koay Teow Special - RM6.00

Koay Teow Udang RM3.50

Bila hampa pekena panas-panas PERGHH! KAW KAW punya! Mak mertua lalupun hampa tak nampak!

An tengah masak char koay teow untuk saya

Gerai ini dibuka selepas 10.00 malam. Letaknya di Gelugor juga. Tidak berjauhan dengan Jalan Akuarium tadi. Ia terletak di antara Tokong Hindu dan Masjid Jamek Sungai Gelugor. Amat mudah dilihat dari jalanraya (Jalan Sultan Azlan Shah).


c) Mady Penang Char Koay Teow, di  Batu Feringghi




Kalau anda ke Batu Feringghi pada waktu malam carilah gerai Mady Penang Char Koay Teow. Keow Teow Mady pun sedap juga. Letaknya gerai Mady ini ialah sebelum memasuki kawasan pasar malam Batu Feringghi yang berdekatan dengan The Ship - Steak House. Sebelum anda sampai ke kawasan Pasar Malam dan The Ship ini, sekiranya anda datang dari Tanjung (atau Georgetown), anda pasti nampak setesen Petronas di sebelah kiri, tetapi sebelum anda melepasi Petronas, masuklah ke lorong kiri untuk ke gerai Mady.

Bila disebut Char Koay Teow, ini bermakna ia digoreng basah dan berkuah. Ini istilah orang Melayu di sini. Tapi walaubagaimanapun boleh juga minta digoreng kering tanpa kuah. Harganya di antara RM3.50-4.00.


Boleh order koay teow goreng kering
Boleh juga char koay  teow (yang basah)


2. Makanan Thai


a) Somtam, Khenom Chiin, Ruam Mit dan Khao Nyiaow Ma Muang di Tesco Sungai Dua (sebelah USM)

 

Somtam disediakan dan-dan itu juga setelah dipesan

Bagi anda yang suka makan makanan Thai yang authentic datanglah ke gerai yang menjual makanan Thai ini di food court Tesco Sungai Dua (bersebelahan dengan USM). Dimasak oleh orang Siam. Halal.

Orderlah Somtam.  Somtam iaitu sejenis salad atau Kerabu Thai. Dan-dan tu jugak depa buat. Depa orang Siam. Mai dari Yala. Cakappun Siam. Tapi cakap Melayupun depa boleh.

Somtam elok dimakan kalau sedang diet. Harganya RM5.00

Somtam mengandungi hirisan betik muda, kacang panjang, lobak merah, tomato, mangga, kacang tanah, udang kering, perahan limau nipis, sos ikan, bawang putih dan cili padi. Rasanya: Masam-manis-pedas, betiknya rangup...Mmm...exotic!

Kemudian pesan juga Khenom Chiin iaitu bihun berkuah lemak bercampur ikan kisar serta daun selasih. Macam laksa. Bila bihun dan kuahnya masuk tekak: Pergh!! Lazat! Boleh juga makan Somtam tadi dengan Khenom Chiin ....pergh...pure heaven!

Ruam Mit (RM3.00),  Somtam (RM5.00) dan Khenom Chiin (RM4.00)

Lengkapi hidangan anda dengan pembasuh mulut yang dipanggil Ruam Mit iaitu campuran sengkuang cina, buah nipah, cendol, lengkung, santan dan ketulan ais. Rasanya: Perghh!!! Sempoi!

Khao Nyiaow Ma Muang, RM5.00

Kalau suka pulut dan mangga, orderlah Khao Nyiaow Ma Muang. Ia dibuat daripada pulut yang dikukus, dicampur gula, hirisan mangga masak yang segar dan dituang dengan santan pekat bergaram. Rasanya lemak berkrim mmmmm!!!! Sempoi habis!

 

 

b) Pak Hussin Tomyam, di Sungai Ara


Makanlah Tomyam Udang atau Tomyam Campur bersama dengan nasi putih di Pak Hussin Tomyam. Rasa dia mmmm....ADA KICK!

Tomyam Campur

Selain itu anda boleh menikmati masakan Thai yang lain seperti Siakap Tiga Rasa, Ayam Pakapauu, Nasi Goreng Ayam Masak Pedas, Kerabu Mangga, Nasi Padprik, Nasi Pattaya dan macam-macam lagi.  Anda boleh order berasingan atau set.

Pak Hussin Tomyam di sudut Jalan Bayan dan Lorong Sungai Ara

Tempat makan ini letaknya di sudut Jalan Bayan dan Lorong Sungai Ara, Kampong Tersusun Sungai Ara.



3. Nasi Lemuni


 a) Nasi Lemuni, di Astaka Bukit Jambul


Dapatkan Nasi Lemuni sedap untuk sarapan pagi di Astaka Bukit Jambul yang letaknya di belakang Hotel Vistana dan bersebelahan dengan Restoren Kayu Nasi Kandar. Jangan datang pada hari Isnin kerana ia ditutup.

Nasi Lemuni yang dicampur dengan daun lemuni dan rempah ratus
Nasi Lemak Kukus pun ada


b) Nasi Lemuni, di Astaka Taman Tun Sardon


Untuk Nasi Lemuni  yang dibungkus dengan daun pisang datanglah ke Astaka Taman Tun Sardon bersebelahan pasar, pada waktu pagi/sarapan.

Di Astaka ini ada macam-macam makanan dan kuih-muih untuk sarapan. Ada nasi goreng, nasi lemak, roti canai, capati, mee goreng, koew teow goreng, apom, moi, mee sup dan macam-macam lagilah. Sambil makan anda boleh mendengar nyanyian "live" dari penyanyi golongan istimewa yang mempunyai suara yang merdu dan nyaring.  Belilah hasil anyaman mereka atau hulurkan sumbangan.

Nasi Lemuni ini hanya RM1.50 sahaja
Golongan Istimewa yang menghiburkan pengunjung Astaka Taman Tun Sardon

4. Laksa

 

Laksa pun terkenal di Penang. Tak sah kalau saya tak senaraikan laksa dalam blog saya ni.

a) Laksa Janggus, di Kampung Perlis, Balik Pulau


Gerai Laksa Janggus letaknya di halaman rumah kampung

Untuk menikmati laksa yang sedap di Penang ini, pergilah ke Kampung Perlis, Balik Pulau. Di sini ada gerai yang menjual laksa yang dikenali dengan Laksa Janggus.
 

Ramai orang beratur untuk membeli dan membayar Laksa Janggus

Ketika saya pergi baru-baru ini iaitu pada pukul 5.30 petang, hari Khamis, orang ramai di situ sedang makan. Kemudian saya pergi hari Ahad, 5.00 petang...mak oii...lagi ramai orang. Di sini juga ada jual pisang goreng...nak beli pisang goreng ni pun kena beratur panjang.

Gerai laksa ini di halaman rumah dan asalnya ia dijual di bawah pokok janggus.


Laksa Janggus, resepi istimewa - RM3.50 semangkuk

Rasa laksa ini memang sedap, kaw kaw punya! Tak tau nak habaq macam mana sedapnya...hampa kena pi sendiri...try sendiri...baru tau!


5. Nasi Kandar


Nasi Kandar berasal dari Penang. Cukup terkenal. Asalnya ia dijual secara berkandar. Itu sebab ia dipanggil Nasi Kandar atau Nasi Kandaq mengikut loghat Penang.


a) Nasi Kandar Subaidah, di USM



Beratur panjang untuk mendapatkan Nasi Kandar Subdaidah USM. Tengok beratur sampai dua barisan.

Di dalam kampus USM ada sebuah restoren Nasi Kandaq iaitu Nai Kandar Subaidah. Kalau anda datang tengahari, memang ramai sangat orang beratur panjang untuk mendapatkan Nasi Kandaq.


Nasi Kandaq, lauk ikan keli dan gulai timun, kuah campur - RM3.50


Macam-macam pilihan lauk Nasi Kandaq ada di sini seperti daging, ayam goreng, ikan, kambing, kobis, bayam, terung, timun dan macam-macam lagi. 

Restoren ini mempunyai bentuk yang menarik dan bersih. Ia ada dua tingkat. Di bahagian atas, bentuknya seperti sebuah cafe atau Bistro, dipanggil Subaidah Bistro.


Roti Tisu, Roti Canai, Roti Puri, vadei pun ada

 

b) Nasi Kandar Kampong Melayu, di Flat Kampong Melayu Air Itam


Nasi Kandaq Kampong Melayu ini amat popular di kalangan penduduk tempatan. Kalau hampa mau pekena sepinggan dua, hampa kena pi pagi-pagi.  Kalau hampa pi lambat, hampa melepas.


Orang...tu dia...punyalah ramai beratuq..

Nasi Kandaq di sini memang ori! Dimasak oleh tukang masak Penang. Sempoi saja nasi kandaq kat sini! Hampa mintalah yang sempoi-sempoi sudahlah. Macam ni, "Mamu, taruk teluq, daging, bendi, kuah campuq!"

Orang yang bungkus bawa balikpun suka order yang macam ini.

Bila makan, rasanya: Pergh! SEMPOI! Sehingga menjilat jari pinggan :)


Nasi Kandaq lauk teluq, daging, bendi dan kuah campuq, RM3.80, Teh Tarik RM1.00

Penuh - Orang ramai tak kira bangsa sarapan dengan Nasi Kandaq Kampong Melayu. Ketika ini 9.30 pagi, hari Sabtu.
Roti canaipun ada

Nasi Kandaq Kampong Melayu ini letaknya di Flat Kampong Melayu, Air Hitam, tingkat bawah sekali, di kawasan pasar pagi.

Tapi kalau hampa terlepas makan pagi di sini, hampa pilah ke Desa Mawar, Air Hitam. Saya tak pernah pi Desa Mawar. Cuma ada pembaca blog ini yang habaq.



6) Nasi Campur


a) Nasi Campur Man Apom, di Gelugor


Gerai NasiCampur Man Apom biasa-biasa saja, tapi....Perghh!


Untuk makan tengahari, datanglah makan Nasi Campur Man Apom. Nasi Campur Man Apom ini sudah bertahun-tahun di Gelugor. Gerainya tepi jalan, bawah pokok, depan deretan kedai, berdekatan dengan Pejabat Pos Gelugor. Nampak macam biasa-biasa saja gerai ini. Tapi lauk-pauknya PERGH terbaik, sampai menjilat jari siku. :)

Antara menu yang ada untuk makan tengahari di Man Apom


Lauk-pauknya pelbagai jenis. Antaranya gulai nangka, dalca, gulai daging, daging kurma, ayam goreng, hati ayam goreng, ikan kering goreng, ulam-ulaman, sambal belacan, kelempung goreng, sambal tumis sotong, sambal tumis petai, telur dadar, rendang, sup daging,  acar timun, tauge goreng,  kobis goreng, pajeri terung, pajeri nenas dan macam-macam lagi.  Saya selalu makan di sini.

Man Apom kata, "Tak sedap beritahu kami, sedap beritahulah kawan."


Itulah saja jawapan kepada soalan, "Tang mana makan sedap kat Penang?" untuk siri ke-2. Kalau saya jumpa lagi yang sedap-sedap, nanti saya habaq kat hampa.