Tagline

A Blog About Traveling Around The World From The Lens and Eyes of A Malaysian-Muslim Woman

Select Your Preferred Language


Select Your Preferred Language
BAHASA MELAYU | ENGLISH

Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini

Adsense



Rabu, 9 Disember 2020

Slow Traveler: Perjalanan Lambat Sebagai Satu Cara Mengembara


M ungkin anda seorang pengembara dalam kategori pengembara lambat atau slow traveler

Apakah pengembara lambat atau slow traveler

Sekiranya anda pernah mengalami keletihan semasa perjalanan atau pulang dari perjalanan yang benar-benar meletihkan, anda mungkin tidak melakukan perjalanan yang cukup perlahan.

Pengembara lambat ini ialah mereka yang suka mengembara berlambat-lambat, berlama-lama, mengembara dengan penuh perhatian dan tanpa perlu tergesa-gesa. Ini disengajakan - membolehkan mereka mengetahui lebih mendalam perkara yang paling penting bagi mereka semasa mengembara. 

Perjalanan yang perlahan sangat ideal bagi mereka yang sukakan kesederhanaan dan jadual yang seimbangDengan menjadi slow traveler anda bebas daripada tekanan 'nak tengok semuanya' dan menghilangkan tekanan untuk bergegas-gegas. Anda sebenarnya dapat berehat sedikit dan menikmati perjalanan anda. Terdapat peluang yang lebih baik untuk bertemu dengan penduduk tempatan, melihat pemandangan yang di luar kawasan pelancongan tradisional dan menghargai cara hidup masyarakat tempatan dengan perspektif yang berbeza. 

Saya pernah menginap di log cabin dalam kawasan camp ground di Boston yang memberi peluang kepada saya untuk memahami  traveling culture masyarakat Amerika..

Saya pernah menjadi slow traveler yang mana saya menghabiskan masa selama dua minggu hingga berbulan-bulan hanya di satu tempat. Di tempat ini, saya hanya bertumpu pada satu pekan atau satu kampung dengan tinggal di rumah penduduk tempatan, menginap di youth hostel, backpackers hostel atau di camp ground.

Saya pernah jadi slow traveler di Jakarta dan Medan Indonesia. Di sini saya menginap di rumah penduduk tempatan. Masa banyak dihabiskan bersama penduduk tempatan, menghadiri majlis perkahwinan, menyertai perayaan tempatan, melakukan kerja-kerja sukarela, menerima undangan makan, mengunjungi universiti, menghadiri seminar dan melawat tempat-tempat bedekatan yang tidak termasuk dalam senarai lawatan pelancong.

Semasa di Medan, pengangkutan yang saya gunakan adalah beca dan feri. Walaupun menaiki kapal terbang dari Pulau Pinang ke Medan lebih menjimatkan masa iatu cuma 45 minit, saya memilih menaiki feri yang memakan masa 5 jam.

Berpeluang membuat aktiviti sukarela bersama anak-anak yatim di Acheh, Indonesia


Saya pernah menjadi slow traveler semasa saya berada di China, yang mana saya menyewa rumah di Beijing selama 9 bulan. Banyak yang saya dapat lakukan dan alami seperti menghadiri majlis makan, menghadiri festival, menonton persembahan, menghadiri kuliah di universiti, solat terawih di masjid, menyambut hari raya, membeli-belah di pasar basah, menunggang basikal, menaiki bas mini, beng-beng, keretapi, bergaul dengan penduduk tempatan dan menikmati keempat-empat musim di China. Pengalaman berharga ini pernah saya kongsikan dengan anda di blog ini. Baca kisahnya di SINI.

Beng-beng ialah pengangkutan yang sering saya gunakan di China

Saya juga pernah menjadi slow traveler semasa mengembara di Kanada pada tahun 1990an yang mana saya mengembara dengan memandu sendiri. 

Begitu juga saya pernah menginap di sebuah rumah penduduk tempatan ketika saya ke Pulau Victoria, Kanada. Saya hanya berada di pulau itu selama seminggu. Perjalanan ini pernah saya ceritakan di dalam blog ini. Baca kisahnya di SINI.

Boleh dikatakan tidak banyak negara yang telah saya lawati tetapi pengalaman saya menyelam bersama masyarakat tempatannya boleh dikatakan sangat lumayan. Ini memberi keseronokan dan membuka minda saya

Tinggal bersama orang asli di Tasik Banding dan bermain catur dengan mereka 


Perjalanan yang perlahan mendorong ke
bebasan dan menghargai pengalaman luar biasa berbanding pelancongan yang banyak dikomersialkan. Apabila kita dapat menyelam di dalam budaya tempatan kita mengumpulkan pengalaman yang bermakna dan kaya seolah-olah itu adalah harta berharga. Ia lebih kepada perjalanan peribadi.

Itulah sebabnya sangat penting untuk tidak hanya melihat sahaja, tetapi untuk menemui, menjelajah, memahami dan tenggelam di dalam budaya dan kehidupan masyarakat yang dilawati.

Jadi, adakah anda pentingkan bilangan berapa banyak negara yang anda sudah pergi tetapi hanya melihat penduduk tempatannya dari jendela bas pelancongan ATAU anda pentingkan pengalaman yang anda habisi menyelam dan berendam dengan budaya penduduk tempatan yang hanya berada di sebuah kampung/pekan sahaja?

Jika anda mahukan pengalaman perjalanan perlahan maka anda harus memikirkan bahawa kualiti adalah lebih penting daripada kuantiti. Jangan berlumba untuk menyelesaikan semuanya dalam masa yang singkat, dan tidaklah mengapa kalau anda menempah perjalanan lain pada masa akan datang jika anda benar-benar menyukainya! 

Jadi pernahkah anda menjadi slow traveler? Jika pernah, di mana, bagaimana dan berapa lama?

 

Jumaat, 14 Ogos 2020

Umrah 2019 (Bhg. 6) | Rehat di Jeddah, Berangkat Pulang


J  eddah terletak lebih kurang 66 km dari Mekah. Apabila selesai ibadat haji atau umrah, jemaah biasanya di bawa ke Jeddah untuk mengambil penerbangan pulang ke tanahair. Sebelum lapangan terbang Madinah dibuka, Jeddah adalah pintu masuk (gerbang) kepada dua tanah Haram (Madinah  & Mekah).

Masjid Terapung Ar-Rahmah


Masjid Terapung Ar-Rahmah di Laut Merah Jeddah.


Di Jeddah terdapat sebuah masjid yang dikenali sebagai Masjid Terapung Ar Rahmah. Masjid ini dibina di atas tepian tebing di dalam Laut Merah yang kelihatan terapung di atas laut.  Sangat menarik untuk dikunjungi kerana ia menghadap Laut Merah yang luas dan kita boleh menyaksikan pemandangan indah, batu-batuan laut dan menghirup bayu sambil melihat suasana matahari terbit atau terbenam. Senibina masjid ini juga indah kerana ia campuran sebina lama dan baru.


Di Laut Merah inilah kisah Nabi Musa A.S membelahnya menggunakan tongkat dan menyeberanginya apabila tentera Firaun mengejarnya. 


Kota Metropolitan Jeddah


Berbeza dengan kota Mekah dan Madinah. Jeddah adalah tempat yang dihuni oleh pelbagai bangsa dan agama.  Ramai warga dari Filipina, Indonesia, Pakistan, Afrika dan Cina berada di kota ini.  Di sini kita dapat melihat pemakaian orang di sini. Kalau di Mekah dan Madinah, kita sentiasa melihat wanita memakai hijab dan abaya, namun di sini kita boleh melihat ramai wanita tidak memakai tudung dan mendedahkan aurat.  Jeddah lebih keduniaan berbanding dengan dua kota Haram di Arab Saudi yang sangat dipelihara kesuciannya. 





Laluan di bandar Jeddah


Pusat membeli-belah juga banyak dan peluang untuk menabur duit di sini amat mudah. Antara barang-barang yang boleh di beli ialah pakaian, barangan elektronik, minyak wangi, kudapan dan minuman.


Kedai-kedai di dalam pusat beli-belah di Jeddah


Di kompleks beli-belah ini terdapat surau


Makan Tengahari di Hotel


Sementara menunggu penerbangan pulang ke Malaysia, kami dibawa TH Travel ke Hotel (lupa namanya) untuk menikmati makan tengahari. Menu yang disajikan ialah masakan Arab seperti nasi Mandy, kambing bakar, salad, pemanis mulut dan buah-buahan. Kami juga berehat di situ lebih kurang dua jam.




Nasi Arab berlaukkan kambing

Corn salad

Lapangan Terbang Jeddah & Terminal Haji


Lapangan Terbang Jeddah adalah lapangan terbang yang paling sibuk di dunia ketika Musim Haji. Ini disebabkan Jeddah adalah pintu masuk penerbangan antarabangsa. Semasa musim haji ia menerima sehingga 17 juta penumpang sehari. Saya pernah menggunakan lapangan terbang Jeddah ini beberapa kali ketika melakukan umrah. Lihat cerita saya di link INI. Oleh kerana jumlah penumpang yang ramai, kami terpaksa beratur lama untuk melepasi kerenah imigresen yang sangat tidak mesra.

Selain itu terdapat Terminal Haji untuk jemaah haji mendarat dan berlepas. Kami dibawakan oleh TH Travel menggunakan terminal haji ini. Sebelum masuk ke dalam kawasan check-in, kami menunggu dahulu di bahagian luar yang berpayung/berkhemah terbuka. Di situ terdapat tempat menunggu, tandas, ruang solat dan kafe. Oleh kerana terminal ini kebanyakannya digunakan pada musim haji, maka keadaannya agak sunyi sedikit dan kurang dijaga dengan rapi. Ada tandas yang kotor dan ruang solat yang dipenuhi tahi burung. Ketika ini kami diberi air zam-zam oleh TH Travel sebanyak 5 kg seorang.

Apabila sudah sampai masanya, kami semua masuk ke terminal. Terminalnya tidak begitu sibuk dan kami dapat check in dan berlepas dengan tidak perlu menunggu lama. Pegawai yang berurusan dengan kami juga mesra berbanding dengan pegawai di lapangan terbang Jeddah. 

Di ruang menunggu sebelum berlepas, terdapat juga kedai-kedai yang menjual cokolat, air minuman, snek dan cenderamata. Kalau nak habiskan duit riyal yang berbaki itu, bolehlah berbelanja di sini.


Tempat menunggu di bahagian luar Terminal Haji Jeddah ini seperti khemah. Terdapat tandas dan ruang solat. 

Menunggu panggilan untuk chek-in

Check-in bagasi di kaunter

Kamipun pulang ke tanahair dengan selamat. Alhamdulillah.

Perbelanjaan Untuk Umrah


Tentu ada yang mahu mengetahui berapakah perbelanjaan untuk mengerjakan umrah ini?

Terdapat pakej yang berharga RM7,000, ada yang RM8,000 dan ada yang RM9,000 yang ditawarkan oleh TH Travel. Kami memilih pakej berharga RM8,000. Pakej ini termasuk penginapan hotel yang berjarak 300 meter dari Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, makan 3 kali sehari, ziarah di tempat-tempat bersejarah di Madinah, ke pasar kurma, ke Masjid quba, ziarah di Mekah dan 2 kali tambahan umrah.

Bagi pakej yang lebih mahal, jarak hotelnya lebih dekat dengan masjid dan bagi pakej yang lebih murah, jarak masjidnya lebih jauh dari hotel.

Manakala perbelanjaan untuk membeli-belah dan perbelanjaan lainnya kami peruntukkan RM1,000-RM2,000 seorang. Jumlah ini boleh dikurangkan mengikut kemampuan dan keperluan membeli-belah atau wang yang lebih itu disedekahkan.



Baca kisah sebelumnya di sini: 
Umrah 2019 (Bhg. 5) | Bersalam dengan Imam Masjidil Haram
Umrah 2019 (Bhg. 4) | Ziarah Mekah, Membeli-belah dan Makan-makan
Umrah 2019 (Bhg. 3) | Mekah Musim Sejuk, Hotel &  Masjidil Haram
Umrah 2019 (Bhg. 2) | Ziarah Madinah Musim Sejuk
Umrah 2019 (Bhg. 1) | Pengalaman Menaiki Kapalterbang Khas ke Madinah


Selasa, 28 Julai 2020

Umrah 2019 (Bhg. 5) | Bersalam dengan Imam Masjidil Haram



S  udah berkali-kali solat berjemaah di Masjil Haram, tapi belum lagi dapat bertemu dengan imamnya. Memang susah untuk berjumpa dengan Imam yang bertauliah dan disegani ini. Imam ini masuk ke dalam masjidpun mengikut waktu yang ditetapkan, berjalan keluar masukpun dengan pantas dan sentiasa dikawal rapi oleh pengawal-pengawal.

Namun tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu? Inilah cerita menarik untuk dikongsikan dalam blog saya kali ini. Anak-anak saya, suami dan abang ipar saya sangat gembira kerana dapat melihat dengan dekat wajah imam Masjidil Haram, malahan dapat bersalaman dengannya.

Ceritanya begini..... Ketika sedang tawaf berdekatan dengan Rukun Yamani,  tiba-tiba azan berkumandangan menandakan masuk waktu solat asar. Keluarga kami yang lelaki terus menuju ke arah penjuru Hajarul Aswad untuk mengambil tempat solat. Imam yang diiringi dengan pengawal keselamatan lalu hampir dengan mereka. Bilal yang mengiringi Imam juga ada di situ. Bilal itu nampak suami saya yang berpakaian ihram. Dia pula siap membetulkan kain ihram suami saya supaya menutup bahunya sebelum memulakan solat.

"Bercahaya-cahaya mukanya. Handsome!" kata anak-anak saya.

"Imam itu namanya Syeikh Bandar Al Baleela," beritahu anak saya lagi.

Anak saya lalu menunjukkan video imam itu yang lalu di hadapannya yang sempat dirakamkannya.


Imam Masjidil Haram petang itu Sheikh Bandar Al  Baleela lalu hampir dengan suami dan anak-anak saya dan bersalaman dengan mereka.  Gambar ini sempat dirakam oleh anak saya sejurus selepas Imam bersalaman dengan mereka.



Solat Jumaat

Yang seronoknya pada umrah kali ini, kami dapat 2 Jumaat, iaitu semasa di Madinah dan di Mekah. Jadi dapatlah kami solat Jumaat di kedua-dua tanah haram ini.

Pada hari Jumaat bilangan jemaah meningkat di Masjidil Haram. Untuk mendapat tempat solat di dalam Masjidil Haram, jemaah perlu datang awal. Jadi anak-anak dan suami saya sudah keluar awal dan dapat spot di hadapan Kaabah.

Saya dan kakak saya memilih untuk solat Jumaat di kaki lima hotel kami sahaja. Ini disebabkan tempat solat wanita sangat terhad.

Disebabkan jemaah terlalu ramai, saya pernah solat Jumaat di atas jalan, di sebelah kedai dan di tepi longkang semasa Musim Haji 2010. Lihat gambar dan ceritanya dalam entri lepas yang saya tulis  DI SINI.

Kaum wanita menunggu solat Jumaat di kaki lima 

Bersedekah

Perkara tak diduga.

Saya mengambil tempat solat bahagian wanita. Tempatnya dikepung oleh rak-rak Quran. Bahagian solat lelaki di hadapan saya. Nampak jemaah lelaki melalui celah-celah rak tersebut. Sambil menunggu azan dilaungkan, saya solat, membaca Quran dan berzikir. Dari jauh saya nampak seorang lelaki sedang memberi sejadah kepada jemaah di Masjidil Haram. Ramai orang ucap terima kasih kepadanya.

Apabila saya bertemu semula dengan suami saya, saya menceritakan perkara ini kepada suami saya. Rupa-rupanya orang itu ialah suami saya sendiri. Katanya dia keluar masjid apabila melihat  ramai jemaah solat di atas simen yang berabuk kerana tidak ada karpet disebabkan masjid masih lagi direnovasi. Oleh kerana Islam mementingkan kebersihan suami saya sedekahkan sejadah itu kepada mereka. Pahala itu disedekah kepada isteri, anak-anak, keluarga, muslimin dan muslimat.



Solat di kaki lima adalah perkara biasa di Mekah



Meninggalkan Mekah

Hari terakhir di Mekah, kami melakukan tawaf wada'. Sangat sedih untuk meninggalkan kota suci ini. Kabaah kami kunjungi buat penghabisan kali. Kami menitiskan air mata kesedihan. Kami berdoa semoga ini bukan kunjungan kami yang terakhir. Semoga Allah menjemput kami lagi.

Kami pulang ke hotel, mengangkat beg dan terus menaiki bas.

Kami pun ke Jeddah. Kami akan berehat di Jeddah sebelum berangkat pulang ke Malaysia. Apakah yang kami lihat di Jeddah? Ikutilah catatan nota kembara saya di Jeddah pula.


Jemaah di bahagian pintu masuk Masjidil Haram


...bersambung

Baca sambungannya di sini:
Umrah 2019 (Bhg 6) | Berehat di Jeddah

Baca kisah sebelumnya di sini: 
Umrah 2019 (Bhg. 4) | Ziarah Mekah, Membeli-belah dan Makan-makan
Umrah 2019 (Bhg. 3) | Mekah Musim Sejuk, Hotel &  Masjidil Haram
Umrah 2019 (Bhg. 2) | Ziarah Madinah Musim Sejuk
Umrah 2019 (Bhg. 1) | Pengalaman Menaiki Kapalterbang Khas ke Madinah

Baca juga:

Pengalaman Naik Haji Di SINI

Isnin, 1 Jun 2020

10 tips untuk tidur lena ketika mengembara


B 
agaimana dapatkan tidur yang lena di hotel ketika mengembara?

Ada yang berpendapat bahawa mereka tidak boleh tidur malam kerana berubah tempat tidur. Kebanyakan orang lebih selesa di katil sendiri daripada katil hotel 5 bintang. Keadaan cuaca yang terlalu panas atau terlalu sejuk juga menganggu tidur. Suasana bising juga membuatkan ramai orang tidak boleh tidur. Malahan suasana sunyi sepi juga membuatkan orang tidak dapat tidur.



10 cara mendapatkan tidur yang lena di hotel ketika mengembara:



1. Tempahlah hotel yang dapat memenuhi keperluan tidur anda. Sekiranya anda tidak sukakan bunyi bising ketika tidur, pastikan anda membuat tempahan bilik hotel jauh dari jalan raya yang sibuk dan jauh dari tempat-tempat yang menyebabkan kebisingan. Ada hotel yang menyediakan kelab di tingkat bawah dan muzik kuat yang dimainkan mungkin menganggu tidur anda. Pilihlah bilik suite atau concierge level yang kebiasaannya di tingkat paling atas dan lebih senyap.


Kebisingan dan kesibukan persekitaran boleh menganggu tidur


2. Lakukan persediaan awal seminggu sebelum keluar mengembara iaitu mencuba mengesuaikan diri dengan zon masa di negara yang bakal anda tuju. Misalnya kalau negara itu lewat 5 jam dari waktu Malaysia, lewatkan jam anda 30 minit setiap hari. Ini memudahkan anda beralih kepada zon masa yang baru dan mengurangkan jetlag. Lakukan kebiasaan makan mengikut masa di zon baru itu.

3. Setelah check in di hotel tempahan anda, pastikan hotel itu memenuhi keperluan anda. Sekiranya tidak, maklumkan kepada perkhidmatan bilik hotel dan minta mereka memenuhi permintaan anda. Anda boleh minta tukar bilik sekiranya perlu.

4. Mandilah selepas balik dari berjalan-jalan, seelok-eloknya sebelum masuk waktu maghrib. 

5. Elakkan makan berlebihan dan makan lewat malam kerana ia menyebabkan ketidakhadaman dan sukar untuk tidur. 





6. Minum susu panas atau madu sebelum tidur. Jangan minum air terlalu banyak kerana ia membuatkan anda terbangun malam untuk membuang air terutama ketika musim sejuk.

7. Sekiranya kebiasaan anda menggunakan telefon pintar,  iPad, komputer atau menonton tv sebelum tidur elakkan menggunakan barang-barang elektronik ini sejam sebelum tidur kerana barangan ini menghasilkan pencahayaan daylight-spectrum yang membuatkan susah untuk tidur lena. 

8. Sediakan tempat tidur yang seakan-akan sama dengan bilik tidur di rumah. Mungkin perlu bawa selimut sendiri atau bantal busuk atau barang-barang peribadi bersaiz kecil atau bau-bauan yang mengingatkan anda pada bilik tidur di rumah. Setkan suhu bilik hotel dan cahaya lampu sama dengan bilik tidur anda di rumah.

9. Sekiranya anda mempunyai bedtime ritual seperti mendengar muzik, membaca novel, minum teh herba, menggentel bantal busuk, jangan tinggalkan kebiasaan ini kerana ini merupakan body cue untuk waktu tidur anda.

10. Sekiranya suasana terlalu sepi dan anda merasa takut, pasangkan bacaan ayat-ayat Al-Quran atau berzikir sebanyak-banyaknya sehingga terlena.


Sabtu, 1 Februari 2020

Godaan Rantau Panjang


S empadan Malaysia dan Thailand sangat luas. Satu lagi sempadannya yang utama ialah Rantau Panjang-Sungai Golok. 


Rantau Panjang telah menambat hati ramai orang. Apakah yang menarik di Rantau Panjang?

Rantau Panjang-Sungai Golok (Gambar ihsan Nur Hasliza Mohd Salleh)

Makanan malam

Cubalah makan ‘lokcing.' ‘Lokcing’ merupakan sejenis makanan beku yang dicucuk kepada lidi dan dibakar. Setelah itu dimasukkan ke dalam sos yang menggiurkan sebelum dihidangkan. Sos lokcing inilah yang membuatkan ianya sedap dimakan. 

Kalau anda hendak makan  lokcing, datanglah ke Rantau Panjang di malam hari untuk mendapatkannya. 

Temui Abe Mat di hadapan kedai Bebas Cukai Rantau Panjang
 8.00 mlm-2.00 (Gambar ihsan Nur Hasliza Mohd Salleh)


Mee Celup Kube Cenok

Mee Celup (Gambar ihsan Nur Hasliza Mohd Salleh)
Satu lagi makanan istimewa Rantau Panjang ialah Mee Celup. Bahan-bahan asli yang dibeli di sempadan Siam menjadikan keaslian rasa masakan tersebut tiada bezanya dengan negara asal masakan tersebut, Thailand. Jika anda berada di Rantau Panjang, cubalah ke kedai makan berhadapan Masjid Jamek Kube Cenok untuk menikmatinya.



Aiskrim Baba


Basahkan tekak anda dengan Ais Krim Baba
(Gambar ihsan Nur Hasliza Mohd Salleh)
Aiskrim Baba terkenal di Rantau Panjang kerana keunikan bahan yang ada di dalam hidangan aiskrim tersebut. Dengan RM 2.00 pelanggan boleh menikmati kemewahan rasa dalam aiskrim tersebut. 








Jualan Bebas Cukai


Rantau Panjang dikenali dengan zon Bebas Cukai yang menjadi tarikan kepada kaki membeli-belah. Terdapat pelbagai jenis barangan dan produk yang dijual di sini.

Bermula dengan makanan, pakaian, aksesori bahkan perhiasan rumah turut didagangkan di Rantau Panjang. Dengan RM150.00 pengunjung boleh membeli pakaian wanita dan aksesori sebelum meninggalkan Rantau Panjang.

Di bazar Bebas Cukai Rantau Panjang
(Gambar ihsan Nur Hasliza Mohd Salleh)



Kedai-kedai di Zon Bebas Cukai Rantau Panjang
(Gambar ihsan Nur Hasliza Mohd Salleh)

Pastikan anda banyak minum air kerana anda akan berjalan dalam jarak yang jauh untuk memilih barangan impian anda di situ. Pastikan juga, poket anda cukup tebal untuk ke sana kerana barang-barang yang dijual susah untuk didapati di tempat-tempat lain terutamanya perhiasan rumah dan set pinggan mangkuk ekslusif.





Kemudahan

Terdapat hotel-hotel, rumah tumpangan serta motel bajet yang ada di sekitar pekan Rantau Panjang dan semuanya berhampiran dengan bazaar-bazar jualan di pekan tersebut. 

Terdapat banyak surau di sekitar bangunan rumah-rumah kedai. Di Rantau Panjang terdapat sebuah  masjid yang diaspirasikan daripada seni bina Islam di China dan menjadi tumpuan pelancong tempatan dan luar negara.


Masjid Beijing Rantau Panjang 
(Gambar ihsan Nur Hasliza Mohd Salleh)


Namun, pembaca disarankan untuk tidak melawat Rantau Panjang sekitar bulan Disember kerana dikhuatiri berlaku banjir dan akan menyukarkan pergerakan pengunjung. Seeloknya, pilihlah waktu yang sesuai. 

Nota: Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Nur Hasliza Mohd Salleh yang mengirimkan gambar-gambar di ruangan ini dan tips menarik untuk mengunjungi Rantau Panjang.