Tagline

A Blog About Traveling Around The World From The Lens and Eyes of A Malaysian-Muslim Woman

Select Your Preferred Language


Select Your Preferred Language
BAHASA MELAYU | ENGLISH

Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini

Adsense



Isnin, 10 Disember 2012

TEMPAT MENARIK DI BEIJING # 11: Pasar Antik Panjiayuan |Pasar Antik Terbesar di Asia

Pernahkan anda ke pasar antik yang besar dan banyak barangan antik? Di mana tu? Di Lorong Kulit Pulau Pinang? Di Bandar Melaka? Di Sukothai, Thailand? Saya pernah. Tetapi saya tidak pernah lagi ke pasar antik seluas yang saya pernah kunjungi di Beijing - Pasar Antik Panjiayuan. Inilah pasar antik paling besar, paling ramai pengunjung dan paling banyak barangan antik di China! Mungkin paling besar di Asia? 

Di pasar antik ini terdapat pelbagai pilihan. Luas kawasan ini lebih kurang 4 ekar. Dibahagi-bahagikan kepada barisan A dan B. Ada beratus-ratus gerai dan kedai. Ia dibuka setiap hari pada pukul 8.30 pagi hingga 4.30 petang. Di hari Sabtu dan Ahad ia dibuka seawal 4.30 pagi dan tutup pada 4.30 petang. Elok pergi hari Sabtu dan Ahad sebab lebih ramai peniaga melambakkan barangan antik di atas tanah.

Buku-buku dan majalah dalam bahasa Inggeris dan China dilambakkan


Ada lorong untuk buku-buku. Ada lorong untuk lukisan. Ada lorong untuk perabut, batu-batu, patung-patung, tembikar, wayang kulit China, sempua, lampu, kamera, radio, jam, peralatan dapur, permaidani, setem, duit, peralatan tentera Komunis, pedang dan macam-macam lagi. 

Anda gila antik? Kalau anda gila antik macam saya, pasti teruja untuk ke sini, kan?

Seperti biasa saya datang solo. Tetapi itu pertama kali. Kali kedua dan ketiga dengan keluarga saya. 

Anak-anak saya tertarik dengan peralatan media antik


Pasar Antik Panjiayuan ini amat popular di China. Dan ia dekat dengan tempat saya tinggal di Beijing, satu daerah dengan kawasan rumah saya - Daerah Chaoyang. Di sini saya amat teruja, terpukau dan tak tahu nak kata apa lagi. Senang cerita, tengok sajalah gambar ni:


Tembikar daripada pelbagai saiz, bentuk, corak, warna dan jenis terdapat beribu-ribu di sini.

Tanglung dan lampu yang cantik membuatkan saya gila


Patung wayang kulit China ni memang unik.


Membelek dan meneliti ketulenan barangan antik itu memakan masa. Duduk saja di bangku, tak payah bertinggung lama-lama.




Sempua macam ni, lama dah tak tengok? Kat Malaysia ada jual lagi tak?


Jam zaman baraoque pun ada. Rasa macam nak beli je.

Tawar menawar dilakukan dengan menggunakan kalkulator


Bagaimana? Teruja?


Cara Pergi:

Ada dua cara:

 

Cara 1: 

Ambil subway Laluan 10 dan turun di stesen Jinsong, keluar ikut pintu D, bergerak ke arah kanan, jalan kaki kira-kira 10-15 minit, selepas Jambatan Panjiayuan anda akan nampak Jalan Panjiayuan dan Pasar antik itu. Tertulis di gerbang pasar itu 18 Huaweili, Panjiayuan Flea Market.




Cara 2: 

Ambil subway Laluan 1 dan turun di Guamao, keluar ikut pintu C, ambil bas nombor 28/34/368/674/802, turun di Huaweili (selepas Jambatan Panjiayuan).

Selasa, 27 November 2012

Jinan: Naik Bullet Train dan Berniaga di China


Apakah yang anda lakukan sekiranya anda ke Jinan? Jinan terletak di Barat daya Shandong iaitu di Timur China. Jinan ialah ibu kota provinsi Shandong. Ia terletak tidak jauh dari tempat kelahiran Confucius. 

Klik di sini untuk melihat peta Jinan


 

Menaiki Bullet Train dari Beijing ke Jinan


Saya ke Jinan baru-baru ini kerana menemani kawan saya Liza untuk urusan perniagaannya di situ. 

Liza sampai di Beijing dari Penang pada pukul 3 pagi dan dia terus ke stesen keretapi Beijing Selatan. Dia mengambil bullet train ke Jinan pada pukul 7.30 pagi kerana dia ada temujanji dengan seseorang di Jinan dan dia tidak mahu terlambat. Saya menyusul kemudian kerana perkhidmatan keretapi subway dari rumah saya di Chaoyang bermula pada pukul 6.00 pagi.

Menaiki bullet train dari Beijing ke Jinan amat mudah walaupun saya tidak fasih berbahasa China. Tiket saya ambil setengah jam sebelum keretapi bertolak. Liza yang sudah bertolak pada pukul 7.30 pagi sudah berpesan kepada saya supaya membeli tiket ke Jinan bukan Jinan Barat. Tetapi malangnya tiket untuk ke stesen Jinan pada sebelah pagi kehabisan. Yang ada cuma selepas pukul 2 petang.  Penjual tiket (yang hanya tahu bahasa China) itu menyuruh saya membeli tiket untuk ke Jinan Barat sekiranya hendak bertolak pada pukul 8.00 pagi. Saya lalu membeli tiket pada 8 pagi ke Jinan Barat dan bercadang akan mengambil teksi ke Jinan.  

Setelah membeli tiket saya ke tingkat atas stesen keretapi Beijing Selatan dan mencari platform keretapi (bullet train) berlepas. Keretapi yang berkepala peluru dengan mudah ditemui. Tidak berapa lama selepas saya duduk di kerusi, keretapi peluru (bullet train) ini pun bergerak. Keadaan dalam bullet train ini amat selesa.

Bullet train ke Jinan ini mempunyai pramugari seperti menaiki kapal terbang

Minuman, makanan ringan dan cenderamata dijual di dalam bullet train ke Jinan

Bullet train ini sentiasa dijaga bersih

Kalau kita naik keretapi biasa dari Beijing ke Jinan ia memakan masa 5 jam. Tapi dengan menaiki bullet train ia hanya memakan masa 1.5 jam. Bullet train ini bergerak laju sehingga 340 km/jam. Bullet train ini juga pergi ke Shanghai dan mengambil masa 3.5 jam dari Jinan.

Stesen Jinan Barat yang luas dan moden ini terletak di suburb Jinan barat di daerah Huaiyin iaitu di luar pusat metropolitan Jinan

Bullet train yang saya naiki itu berhenti di Stesen Jinan Barat (Jinan West Station). Apabila sampai, sahabat saya Liza yang bertolak setengah jam lebih awal daripada saya pun baru sampai di Stesen Jinan, yang jaraknya kira-kira 30 km dari stesen Jinan Barat. Jadi bullet train yang saya naiki tadi bergerak lebih pantas daripada bullet train yang Liza naiki. Liza juga terkejut melihatkan saya sampai pada waktu yang sama dengannya!



Sewa Hotel Pun Boleh Ditawar


Sesampainya di Jinan Liza mencari hotel berdekatan dengan stesen Jinan lalu memberikan saya alamatnya dalam tulisan China. “Hotel Shandong,” katanya. Saya pun menaiki teksi ke hotel itu.  

Hotel yang saya inapi itu 180 yuan semalam. Pada pandangan saya ia mahal kerana hotel begini biasanya berharga 130 yuan semalam. Menurut Liza hotel itu pada mulanya berharga 250 yuan semalam, tetapi setelah Liza menolak dan mahu meninggalkan hotel itu, mereka memanggilnya semula dan mengurangkan harga sewa hotel itu kepada 180 yuan. Barulah saya tahu bahawa harga hotel pun boleh ditawar di China ni! Kelakar, kan?

 
Hotel Shandong letaknya di hadapan stesen keretapi Jinan yang terletak di Sentral Jinan



Hotel Shandong menyediakan komputer dan wifi

Bilik air di Hotel Shandong yang berdinding cermin. Lambang kemodenan China


Restoren Halal di Sekitar Hotel Shandong


Hotel Shandong terletak berdekatan dengan beberapa buah restoren halal. Saya jumpa 3 buah restoren halal yang letaknya di tepi, di belakang dan di kanan hotel Shandong. Jadi tidak ada masalah makan langsung di sini.

Restoren halal ini letaknya di sebelah hotel Shandong

Lam mien (mee tarik) yang popular di restoren halal di Jinan dan serata China


Jinan adalah pusat sajian makanan Shandong.

Pemilik restoren halal ini (berdiri) bergambar dengan kawan saya Liza (duduk). Telah mejadi kelaziman pemilik restoren halal di China bergambar dengan kami kerana bagi mereka  kunjungan kami  amat bermakna

Sebuah restoren halal berdekatan Hotel Shandong

Satay kambing halal adalah makanan yang mesti dicuba di Jinan. Ia dijual di  kawasan perniagaan Muslim di Yongchang Lu


Kerabu sengkuang Jinan ini amat enak. Ia terdapat di kawasan perniagaan Muslim Yongchang Lu

 

Sentral Jinan

 

Sentral Jinan


Hotel Shandong terletak di  Sentral Jinan.

Jinan adalah kota yang pernah dijajah oleh German dan Jepun. Kini Jinan mempunyai ekonomi yang kukuh dalam industri keluli, peralatan pengangkutan, IT dan tekstil. Jinan juga mempunyai Zon Pembangunan Industri Teknologi Tinggi (hi-tech) dan National Heavy Duty Truck Group. Ramai pelabur asing melabur di Jinan dan ini membuatkan Jinan antara 50 kotaraya utama di China.


Penduduk di Jinan becakap dalam dialek yang berbeza dengan Mandarin Beijing. Mereka menggunakan Mandarin Jinan. Kebanyakan pekerja di sini adalah pekerja imigran yang datang dari luar Jinan tetapi mereka telah belajar menggunakan dialek Jinan. Kebanyakan penduduk di sini adalah dari etnik Han dan diikuti oleh orang Hui (Islam) dan Manchu.


Urusniaga di Jinan 


Menemani kawan berurusniaga di Jinan adalah pengalaman yang menarik bagi saya. Selain daripada dapat melihat jenis-jenis perniagaan yang boleh dilakukan, saya juga dapat mengetahui cara orang China bekerja.

Penulis menemani Liza mengadakan perbincangan perniagaan di bangunan ini

Penulis (bertudung ungu) menemani Liza (bertudung biru) menjalankan urusniaga di Jinan. Turut sama ialah rakan perniagaan Liza  iaitu dua orang wanita China

Kota Jinan waktu petang

 

Membeli-belah di Jinan



Membeli-belah pakaian di sebuah pusat membeli-belah di Jinan


Selain melakukan urusan perniagaan, saya menemani Liza membeli-belah. Turut menemani kami ialah dua orang gadis Jinan yang berurusniaga dengan Liza.

Kebanyakan kedai menjual pakaian, beg dan aksesori wanita. Kami dapati bahawa harga barangan di sini lebih kurang sama dengan harga di Beijing.

Penulis bersama Liza dan rakan-rakan niaganya di luar pusat membeli-belah di Jinan (Quancheng Square)



Taman Mata Air Baotu


Selain daripada itu kami melawat taman dan kolam mata air yang amat popular di Jinan, Shandong iaitu Mata Air Baotu. Jinan dikenali sebagai Kota Mata Air (Quan Cheng) kerana lebih 700 buah mata air semulajadi melalui bawah tanah kota Jinan. Antara semua mata air itu Mata Air Baotulah yang paling terkenal. Mata air ini mengalir dari bawah gua. Luas taman Mata Air Baotu ini ialah 10.5 hektar.

Air mata air ini boleh diminum. Maharaja Qing Long dari Dinasti Qing telah mencubanya, beliau mendapati teh yang dibuat dari mata air ini wangi lalu menamakan tempat ini sebagai “Mata Air Pertama di bawah Syurga" (The First Spring Under Heaven). Terdapat juga pelbagai taman di dalam Taman Baotu ini seperti taman buah delima, taman buluh, taman bunga kekwa dan bangunan-bangunan purba China. Dikatakan tidak lengkap ke Jinan sekiranya tidak melawat Taman Mata Air Baotu.


Taman Mata Air Baotu ini perlu dibayar 40 yuan (RM20) sekali masuk


Banyak syair yang ditulis mengenai keindahan Mata Air Baotu ini.

Kolam Mata Air Baotu yang mata airnya terbit dari bawah tanah. Ia terletak bedekatan dengan Tasik Daming


Berjalan-jalan sambil berbincang tentang bisnes di Taman Mata Air Baotu

Taman buah delima di Taman Mata Air Baotu

Lukisan dalam Botol Kaca, Seni Kraftangan Jinan Yang Unik

Lukisan bunga-bungaan Jinan dan pemandangan Jinan dalam botol kaca yang saya terima sebagai hadiah


Lukisan indah dalam botol kaca seperti di dalam gambar di atas adalah seni kepandaian orang Jinan. Seni ini hanya boleh didapati di Jinan. Botol kaca indah ini dihadiahkan kepada saya oleh Mawar. Ingat tak Mawar? Kalau lupa siapa Mawar, sila imbas balik di sini. Mawar ialah orang China yang belajar bahasa Melayu di Universiti Komunikasi China di Beijing. Mawar berasal dari Jinan. Mawar selalu membantu saya menterjemah dan mengalih bahasa semasa saya di  China. Lukisan dalam botol dari Jinan yang dihadiahkan oleh Mawar ini amat bernilai kepada saya. 

Mengembara sambil menemani kawan berurusniaga selama 4 hari di Jinan telah membuka fikiran saya dan dapat melihat perbezaan kemajuan dan pembangunan di China. Saya dapati bahawa kemajuan di China tidak sekata. Tidak semua negeri di China menerima arus pembangunan yang sama rata. Wilayah Autonomi seperti Mongolia Dalam, Xinjiang dan Ningxia tidak menerima pembangunan yang sepatutnya. Umpamanya perkhidmatan keretapi dan tandas awam mereka amat buruk berbanding dengan Jinan, Tianjing dan Beijing. Mengapakah feneomena anak tiri dan anak emas berlaku di sini?


Setakat ini sahaja yang dapat saya ceritakan tentang Jinan. Jumpa lagi di lain entri!

Baca juga nota kembara berikut:
Tianjin: Menaiki Bullet Train dan Sehari di Kota Moden

 [ ] KEMBARA SOLO KE XI'AN  (1):  Dugaan Naik Keretapi di China

Backpack ke Kota Ais Haerbin (1): Persediaan Sebelum Berangkat dan Menaiki Keretapi Berkelajuan Tinggi

[] Panduan Menaiki Keretapi di Beijing (1): Dalam Bandar
[] Panduan Menaiki Keretapi di Beijing (2): Dari Lapangan Terbang Beijing ke Pusat Bandar
[] Panduan Menaiki Keretapi di Beijing (3): Dari Beijing ke Bandar-bandar Utama di China
[] Panduan Menaiki Kenderaan Awam di Beijing

Rabu, 21 November 2012

Tianjin: Menaiki Bullet Train dan Sehari di Kota Moden

Anda pernah naik bullet train? Bullet train ini amat laju. Ia boleh bergerak selaju 300-320 km sejam. Pantas, kan? Apakah rasanya menaiki keretapi laju ini? Bullet train ini boleh dinaiki dari Beijing ke Tianjin. Jarak sejauh 117 km ini boleh didatangi dalam masa 30 minit sahaja. Rasa macam tak percaya, kan? Tapi inilah teknologi yang berani dilakukan oleh China. Keretapi ini telah mula dioperasi sejak tahun 2008 dan ia keretapi paling laju di dunia. Ia mengurangkan masa dalam perjalanan.


Bullet Train dari Beijing ke Tianjin - cuma 30 minit perjalanan


Untuk itu saya merancang ke Tianjin bersama dua orang kawan, Asrul dan Syafiqa. Kami mengambil keretapi itu di stesen keretapi Beijing Selatan (Beijing Nan) pada pukul 9.30 pagi. Tiket berharga 55 yuan (RM27.50) dibeli ketika itu juga iaitu 10 minit sebelum keretapi bertolak. Ketika kami menuju ke platform yang disediakan di bahagian bawah kami dapati keretapi itu sudah sedia menunggu. Kepala keretapi itu berbentuk peluru dan ia bergerak pantas sepantas peluru sebab itulah ia dipanggil bullet train.

Keadaan di dalam bullet train ini amat amat berbeza dengan keretapi kelas bawahan yang saya pernah naiki ke Mongolia Dalam dan Xi’an dahulu. Kalau keretapi kelas bawahan itu sesak, tidak selesa dan tandasnya tidak bersih, namun bullet train amat moden dan bersih. Kami merasa amat selesa duduk di kerusi di dalam gerabaknya. Kami dapat duduk di gerabak depan iaitu di belakang pemandu. 

Keretapi itu bergerak dengan pantas. Di skrin terpampang kelajuan keretapi itu bergerak, bermula dari 90, 120, 180, 280 hinggalah ke 340 km/jam. Terdapat juga suhu di dalam dan di luar keretapi. 

Di dalam keretapi, saya membeli cenderamata rantai kunci berbentuk bullet train berharga 10 yuan (RM5) sebagai kenang-kenangan.


Keadaan dalam bullet train dari Beijing ke Tianjin yang selesa

Kami sampai pada 10 pagi di Tianjin. Cepatnya! Kepantasanya amat mengagumkan kami.


Sarapan Halal di Tianjin

 

Sesampainya kami di Tianjin kamu terus menuju ke sebuah kompleks yang letaknya betul-betul di hadapan stesen keretapi Tianjin. Di dalamnya kami jumpa sebuah restoren halal yang menjual makanan kegemaran kami iaitu lam mien (mee tarik). Kami juga diajak oleh tuanpunya restoren itu yang beretnik Hui makan di situ. Kami amat gembira dengan sambutan itu, lalu memesan makanan kegemaran kami itu. 


Mee tarik ini kebiasaannya dibuat oleh pengusaha restoren beretnik Hui yang semestinya beragama Islam. Kebanyakan mereka berasal dari Lanzhou dan Gansu. 

Untuk membuat lam mien ini, mereka menguli tepong, memusing-musingkan, menarik-nariknya dan mengoncang-goncangkannya. Seperti silap mata, tepong yang tadinya beku kini pecah menjadi tali-tali panjang yang dinamakan lam mien atau mee tarik! Mee ini kemudiannya diletakkan sup yang bercampur daging lembu dan sayur-sayuran. Ia dinamakan niuro lam mien atau mee tarik daging lembu. Sedap! 


Tepung diuli dan digentel panjang-panjang

Doh yang lembut dipilin dan diputar-putarkan

Doh itu lalu digoncang-goncangkan dan ditarik panjang-panjang hingga terbelah

Doh tadi menjadi tali-tali yang panjang yang dinamakan lam mien

Ia lalu dicelur ke dalam air yang mendidih

Sayur-sayur dan daging lembu dimasukkan ke dalam mee ini

Lamien yang dipesan sudah hampir siap

Niuro lamien yang siap untuk dimakan...Hmm sedapnya!!!

Jadi kalau anda ke China, jangan lupa menikmati niuro lamien ini! Ia terdapat di restoren halal di serata China. Selain daging lembu ada juga mee tarik daging kambing yang dikenali dengan yangro lamien!


Asrul bergambar dengan peniaga/pembuat  lamien di hadapan stesen keretapi bawah tanah di Tianjin



Kota Tianjin

 

Bangunan di Tianjin

Kami dapati bandar Tianjin amat berlainan daripada Beijing. Tianjin kelihatan lebih tersusun dan kemas. Sampah dan debu-debu juga amat kurang berbanding dengan Beijing yang penuh sampah yang dibuang merata-rata dan udaranya yang tercemar. Langit juga biru dan cerah berbanding dengan langit di Beijing. Kami terasa seolah-olah berada di sebuah negara lain!

 

Membeli-belah di Gu Lou Dong

 

Gu Lou Dong


Selepas makan, kami menaiki bas 824 ke Gu Lou Dong. Di sini kami lihat banyak kedai-kedai yang menjual pelbagai barangan, pakaian dan kasut. Harganya murah. Oleh kerana Tianjin terletak berdekatan pelabuhan maka banyak barangan yang didatangkan dari luar negara terdapat di sini. Di sini kami membeli pashmina (selendang) yang berharga antara RM5.00 hingga RM15.00 dan cadar katil bujang berharga RM25.00.

 

Lorong Budaya Purba (Ancient Cultural Street) 

 

Budak penjual roti dan buah-buahan ini membawa kami ke Lorong Budaya Purba


Setelah membeli-belah di situ kami berjalan kaki menuju ke satu tempat membeli-belah yang popular di Tianjin iaitu Lorong Budaya Purba (Ancient Cultural Street). Oleh kerana kami tidak mengetahui tempat itu dengan tepat, kami minta seorang budak penjual buah-buahan dan roti membawa kami ke sana. Budak ini beretnik Uyughur dan beragama Islam. 


Lorong Budaya Purba


  
Di Lorong Budaya Purba (Ancient Cultural Street), kami dapat melihat Tianjin purba, kedai-kedai tua dan lorong-lorong.


Putu beras yang dijual di Lorong Budaya Purba (Ancient Cultural Street).


Ingatkah anda pada Sichee, gadis 16 tahun yang kami kenali semasa menaiki unta di Gurun Kubuqi? Sichee telah menjadi kawan baik kami dan dia telah menemui kami di Lorong Budaya Purba (Ancient Cultural Street) dan membawa kami membeli-belah di sebuah pasar dan makan-makan.


Sichee membawa kami membeli-belah di sebuah pasar



Masjid Besar (Qingzhendasi) 


Setelah hampir petang, Sichee pulang. Kami kemudiannya ke Masjid Besar (Qingzhendasi) dengan menaiki beng beng (beca bermotor). Masjid ini letaknya di Jalan Dafeng di daerah Hongqiao dan tidak jauh dari Lorong Budaya Purba. Masjid ini besar tapi sayang amat kurang orang yang datang mengerjakan solat di situ.  



Masjid Besar Tianjin
Kami solat jamak dan menunggu solat maghrib. 


Muezzin dan Imam di pintu masuk masjid sedang bersiap sedia untuk melaungkan azan maghrib

Tidak lama kemudian, imam dan muezzin datang lalu melaungkan azan di muka pintu masjid. Saya pun masuk ke ruang solat wanita dan menanti solat maghrib secara berjemaah.

Tetapi tunggu punya tunggu punya tunggu, tiada kedengaraan suara imam atau iqamat. Saya pun solat sendirian. 

Apabila selesai solat saya dan Syafiqa memanggil Asrul yang sedang berbual-bual dengan 3 orang jemaah lelaki di ruang solat lelaki. Rupa-rupanya dia juga menunggu solat berjemaah tetapi kemudiannya dia mendapat tahu bahawa solat maghrib sudah selesai. Tiada solat jemaah. Imam dan muezzin solat sendirian. Begitulah cara orang di sini solat. Bagi kita dua orang sudah boleh untuk solat jemaah tapi tidak bagi mereka. 


Gerbang Masjid Besar Tianjin

 Wudadao (The Fifth Avenues)


Setelah menunaikan solat, kami bertiga ke sebuah kawasan bandar yang mempunyai ciri-ciri Itali dan Eropah. Ini disebabkan Tianjin dahulu pernah dijajah barat pada sekitar tahun 1800. Tempat ini dikenali sebagai Wudadao atau Fifth Avenues. Ia terletak di Bandar Tianjin di bahagian selatan. Ia berkeluasan kira-kira 1,000,000 meter persegi. Di sini kita boleh lihat bangunan British, Peranchis, Itali, Jerman dan Sepanyol yang dibina pada 1920an dan 1930an. Stail senibina yang berwarna-warni dari gaya Renaissance, Greek, Gothic dan Carson menarik minat kami untuk melihat dengan lebih dekat. Terdapat juga vila-vila yang bercitarasa kolonial. Berjalan-jalan di sini seolah-olah melihat kilasan benua Eropah. 


Sebuah bangunan yang terdapat di Wudadao



Malam di Tianjin


Pemandangan cantik ini  terdapat tidak berjauhan dari stesen keretapi bawah tanah Tianjin


Pada waktu malam kami dapat melihat persekitaran bandar Tianjin yang modern dan pemandangan malam yang cantik.


Lampu dipasang pada bangunan di pinggir sungai di Tianjin

Pada malam itu juga saya pulang menaiki bullet train ke Beijing. Tiket saya beli dengan mudah dan diperolehi sepuluh minit sebelum bertolak. 

Sehari di Tianjin sudah cukup untuk saya mengetahui keadaan dan suasana kota Tianjin yang moden.

Baca juga nota kembara berikut:
Jinan: Naik Bullet Train dan Berniaga di China
 [ ] KEMBARA SOLO KE XI'AN  (1):  Dugaan Naik Keretapi di China
Backpack ke Kota Ais Haerbin (1): Persediaan Sebelum Berangkat dan Menaiki Keretapi Berkelajuan Tinggi
[] Panduan Menaiki Keretapi di Beijing (1): Dalam Bandar
[] Panduan Menaiki Keretapi di Beijing (2): Dari Lapangan Terbang Beijing ke Pusat Bandar
[] Panduan Menaiki Keretapi di Beijing (3): Dari Beijing ke Bandar-bandar Utama di China
[] Panduan Menaiki Kenderaan Awam di Beijing