Tagline

A Blog About Traveling Around The World From The Lens and Eyes of A Malaysian-Muslim Woman

Select Your Preferred Language


Select Your Preferred Language
BAHASA MELAYU | ENGLISH

Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini

Adsense



Sabtu, 25 Ogos 2012

KEMBARA SOLO KE XI'AN [5]: Iftar dan Solat Taraweh di Masjid Besar Xi'an

Sambung semula Nota Kembara Naramas Aman di Xi'an di bulan Ramadhan baru-baru ini yang belum selesai. Sambil-sambil anda berpuasa 6, menghadiri rumah terbuka dan pulang dari kampung teruslah membaca nota kembara ini sampai habis. 


S emalam saya solat maghrib dan berbuka puasa bersama-sama dengan kaum wanita Islam Xi’an dari etnik Hui di Masjid Besar Xi’an. Satu pengalaman yang istimewa yang sukar dicari.

Pada malam ini pula saya bercadang untuk solat taraweh bersama mereka di Masjid Besar Xi’an.


Lorong Muslim yang sentiasa dikunjungi ramai


Pada petang itu saya ke Lorong Muslim lagi membeli makanan untuk berbuka. Saya beli murtabak Xi’an berintikan daging.


Murtabak Xi'an ini saya beli untuk berbuka


Iftar di Masjid Besar Xi'an


Saya ke Masjid Besar dan menunggu waktu berbuka. Sambil itu saya bawa kamera untuk mengambil gambar Masjid yang belum selesai saya ambil. Sayapun menuju ke courtyard depan kawasan berpagar masjid itu. Tetapi saya ditahan oleh seorang lelaki di situ supaya saya berbuka di situ. Mereka ajak bersungguh-sunggh. Maka niat saya untuk mengambil gambar dan meninjau kawasan masjid itu terbantut.

Seorang wanita etnik Hui bernama Fatimah menjemput saya duduk dekat sebuah meja di bawah pokok. Kali ini saya tidaklah malu sangat macam semalam. Mangkuk-mangkuk sudah siap disediakan di atas meja.  Sayapun berbual-bual dengan Fatimah dengan bahasa China saya yang macam budak umur setahun belajar bercakap. Kemudian seorang lelaki Hui datang ke meja kami dan berbual-bual. Beliau boleh berbahasa Inggeris dan Arab jadi perbualan kami amatlah rancak. Dia menterjemahkan perbualan saya dengannya kepada Fatimah.

Beliau memberitahu bahawa mereka bermazhab Hanafi. Beliau juga memberitahu bahawa mereka menyediakan makanan berbuka setiap hari dan mereka ada tukang masak khas untuk masjid. Manakala Fatimah adalah sukarelawan yang membantu menghidangkan makanan. Dia beritahu di masjid itu ada solat taraweh. Ini  yang saya nak dengar!

Sebentar kemudian datang dua wanita Islam dari London dan merekapun diajak makan berbuka sama. Mereka duduk bersama saya. Merekapun rasa gembira kerana langkah kanan dan teruja dapat pengalaman iftar di Masjid Besar Xi'an yang sukar diperolehi ini.


Kaum wanita Hui duduk menanti waktu iftar. Yang paling kiri ialah Fatimah.



5 minit sebelum masuk waktu Maghrib, imam memberi tazkirah dalam bahasa China. Selesai tazkirah,  azanpun dilaungkan. Kamipun berbuka dengan buah tamar yang sudah dihidangkan oleh Fatimah. Saya cuba dengar betul-betul azan itu. Tapi saya masih macam semalam. Barisan pertama sahaja saya faham, yang lainnya tidak. 

Setelah mengudap sedikit tamar dan minum seteguk air, saya dan wanita London itu ke masjid untuk solat maghrib berjemaah. Kaum Adam yang tadinya duduk di satu sudut courtyard untuk berbuka bergegas ke masjid terlebih dahulu daripada kami. Kami mengekori mereka dari belakang menuju ke masjid.


Selepas mengudap kurma kaum lelaki Hui menuju ke Masjid Besar Xi'an untuk solat Maghrib

Kaum lelaki etnik Hui solat sunat selepas maghrib di Masjid Besar Xi'an


Selesai solat maghrib kami datang semula ke meja makan. Fatimah dan wanita-wanita Hui yang lain duduk dan senyum menanti kami. Makanan sudah sedia dihidangkan oleh Fatimah. Sup kueteow Xi'an! Panas. Kamipun makan sup kueteow Xi'an yang disediakan panas-panas itu. Sup itu dimakan bersama acar teratai bercampur lobak merah dan kobis bunga  yang ditumis dengan daging. Alangkah enaknya sup kueteow itu! TERBAIK!! Kami makan dengan amat berselera dan berkali-kali mensyukuri pengalaman yang menarik yang sukar diperolehi itu!

Saya berbuka bersama-sama kaum wanita etnik Hui di Masjid Besar Xi'an


Juadah lazat (sup kueteow Xi'an) yang saya makan ketika iftar di Masjid Besar Xian



Saya sedaya upaya makan menggunakan sepit ikut cara mereka. Melihatkan saya  terikial-kial menggunakan sepit, Fatimahpun bangun dan mencari sudu untuk saya dan wanita-wanita London itu. Dapat sudu, barulah puas makan.  Saya dan wanita-wanita London itu berkali-kali memuji keenakan makanan itu.

Itulah makanan paling enak yang pernah saya makan di China. Sampai sekarang saya masih tidak lupa dan amat mengidaminya. Bilakah lagi saya dapat mengecapinya?

Selesai makan, waktu isyak pun tiba. Sayapun ke masjid dan solat isyak berjemaah. Wanita-wanita Islam London itupun beredar kerana mereka mengikuti kumpulan dan ada pemandu pelancongnya.



Solat Taraweh di Masjid Besar Xi'an

 

Etnik Hui ketika solat di Masjid Besar Xi'an
Ibadat di Masjid Besar Xi'an



Pada pukul 9.00 malam saya solat taraweh bersama-sama kaum Islam daripada etnik Hui Xi'an. Semuanya kaum Adam. Kaum Hawa mana? Mereka tak ke masjid ke? Jadi sayalah satu-satunya jemaah wanita yang solat taraweh di Masjid Xi'an pada malam itu. Saya di sudut belakang sekali (untuk ruang solat wanita) yang disediakan tanpa tirai atau penghadang.

Solat taraweh di situ 20 rakaat semuanya. Bacaan selepas Al-Fatihah adalah surah-surah lazim yang dibaca laju-laju oleh Imam seperti surah Al-'A'la, Al-Qadar, Al-Insyiraah, Al-Ikhlas, dan lain-lain. Lajunya imam itu baca! Saya rasa inilah bacaan yang paling laju yang pernah dibaca oleh imam yang pernah saya ikuti. 

Setiap 2 rakaat selesai, ada marhaban. Marhaban ini adalah rakaman yang diputarkan melalui pembesar suara. Ia dilagukan beramai-ramai oleh orang lelaki. Saya tidak faham satu perkataanpun marhaban itu. 10 kali ulangpun saya masih tak dapat tangkap sebutannya. 

Apabila solat witir, Imam baca perlahan-lahan. Witirnya 3 rakaat dengan sekali salam. Di rakaat terakhir, rukuknya dua kali.


Solat  taraweh itu selesai pada pukul 9.30 malam. Selepas selesai solat, Imam berkata sesuatu, agaknya memberitahu semua kena berdoa atau baca niat puasa sebab semua orang menadah tangan. Sayapun ikut tadah tangan berdoa. Tapi saya tak tahu apa yang didoakan. Saya aminkan saja.




Lorong Muslim Pada Waktu Malam 

 


Kedai menjual kekacang di Lorong Muslim

Kedai di Lorong Muslim pada waktu malam


Gerai menjual putu di Lorong Muslim


Selesai solat taraweh di Masjid Besar Xi'an, sayapun keluar dari masjid dan pastinya melalui Lorong Muslim. Kedai-kedai dan gerai-gerai masih dibuka. Orang masih ramai. Perniagaan masih rancak. Saya cuma membeli air dan buah-buahan.



Pulang ke Hostel


Sayapun pulang ke hostel. Mula-mula saya menaiki bas 611, tetapi rupa-rupanya bas itu tidak lalu di kawasan hostel saya tinggal itu.  Sayapun turun. Sayapun tak tahu saya di mana masa itu. Peta Xi'an yang diberi oleh pihak hostel saya buka, tapi mata saya sudah rabun ayam, di malam yang bermandikan cahaya lampu jalan yang malap menambah sukar untuk saya membacanya. Saya meninjau-ninjau kalau ada teksi lalu. Kemudian saya lintas jalan. 


Tak lama kemudian lalu sebuah teksi. Sayapun menahan teksi itu. Teksi itu berhenti. Leganya bila dia berhenti. Saya suruh pemandu teksi itu hantar ke hostel dengan menunjukkan peta. Diapun cuba untuk melihat peta itu. Oleh kerana malam gelap, lampu pula samar-samar diapun tak boleh baca peta tu. Dia suluh peta itu dengan pemetik api. Masih tak nampak tulisan di peta. Pemandu teksi itupun tidak mahu menghantar saya. Dia suruh saya ambil teksi lain. Tapi saya enggan. Dia suruh juga saya turun dan ambil teksi lain. Saya meminta dia hantarkan saya jugak jugak. Saya kata, "Tak mahu ambil teksi lain. Nak naik teksi ini juga. Tolong hantar saya. Boleh punya. Mesti boleh!"  Dia terus enggan.

Oleh kerana dia tidak mahu hantar saya ke hostel, saya suruh dia hantar saya ke stesen keretapi Xi'an saja. Biar saya berjalan sedikit dari stesen keretapi itu ke hostel. Dia masih tidak mahu hantar saya. 


Sayapun dapat satu idea. Saya keluarkan tiket keretapi saya lalu saya tunjukkan kepadanya. Lama kelamaan diapun bersetuju hantar saya  ke situ. Dia cam saya orang Islam dan dia juga adalah orang Islam. Saya tanya dia, "Ni fung shai ma?" (Maksudnya, "Awak puasa tak siang tadi?"). Dia kata dia puasa. Saya beritahu dia yang saya baru pulang dari masjid. Kemudian, barulah saya nampak dia senyum. Alhamdulillah, Allah telah melembutkan hatinya untuk menghantar saya ke stesen keretapi. 

Setelah sampai di stesen keretapi itu, sayapun jalan kaki ke hostel kira-kira 10 minit. Sayapun pulang ke hostel dengan seribu pengalaman yang amat bermakna. Alhamdulillah. 

Tapi...ada tapinya...

 

Keracunan Makanan

 

Murtabak Xi'an yang saya beli untuk makan sahur

Alkisah
, murtabak Xi'an yang saya beli petang tadi di Lorong Muslim, mula-mulanya untuk berbuka puasa, tapi tidaklah jadi saya memakannya disebabkan saya dijemput berbuka bersama-sama orang Islam Hui di Masjid Besar Xi'an itu. Oleh kerana dapat makan juadan berbuka yang lazat itu, saya terlupakan murtabak yang saya beli itu. Sayapun simpanlah murtabak itu untuk bersahur. 


Ketika bersahur saya makan murtabak itu. Sedap jugak. Habis saya perlahapkan.

Alih-alih siang esoknya perut saya bergelora macam tsunami. Berbunyi-bunyi! Saya rasa tak sedap perut. Perut saya memulas-mulas. Saya rasa pasal murtabak tu kot. Aduh! Saya keracunan makanan!

Saya pun telan ubat untuk keracunan makanan yang sentiasa tersedia dalam beg saya. Selepas makan ubat, HABIS muntah semua balik murtabak itu. Lepas muntah barulah perut saya berhenti bergelora.  Habislah burn puasa saya hari itu. Ruginya...hu hu hu... Hari itu saya baring saja di bilik tak keluar-keluar. Mahmud Chen kata, "Makanan cepat rosak dalam musim panas. Kena hati-hati." Saya ini pulak yang lupa. Satu peringatan buat saya.

Ikutilah Kembara Solo saya ke Xi'an dalam entri akan datang. Pasti ada sesuatu yang menarik menanti anda.

...bersambung

Baca kisah kembara selepas ini: 

Baca kisah sebelumnya di bawah ini:

Selasa, 21 Ogos 2012

Pos Khas Naramas Aman dan Ucapan Raya dari Beijing


Ini gambar Naramas Aman dan sebahagian daripada keluarga posing khas untuk rakan-rakan Nota-Kembara sempena Hari Raya yang mulia.






Naramas Aman dan keluarga dari Beijing, Republik Rakyat China mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan "Kajaijie kuailek" yang maksudnya lebih kurang begini:


"Selamat Hari Raya Aidil Fitri Maaf Zahir & Batin, semoga Aidil Fitri ini membawa nur kebahagiaan, taufik dan hidayah buat kalian."
 
Jangan lupa mengikuti Kembara Naramas Aman. InsyaAllah ada entri khas cara kami sekeluarga menyambut Hari Raya bersama jutaan umat Islam di Beijing. Menarik! Sangat menarik! Tunggu tau!


Mesti baca:
Raya di Beijing Bersama Ribuan Umat Islam

Baca juga:
PANDUAN UNTUK UMAT ISLAM DI BEIJING
TEMPAT MENARIK DI BEIJING #5:  Jumaat di Niu Jie 
Pos Khas Naramas Aman dan Ucapan Raya dari Beijing

Khamis, 16 Ogos 2012

KEMBARA SOLO KE XI'AN [4]: Jejak Masjid Besar Xi'an dan Iftar Cara Xi'an


M asih dalam bulan Ramadhan 1433 (Julai 2012) ketika saya berada di Xi'an. Cuaca pula terlalu panas. Cuaca panas di sini boleh membuat orang pitam. Jadi saya kurang berjalan-jalan. Ketika matahari terpacak di atas kepala di tengahari saya duduk saja di hostel. Apabila matahari hampir terbenam barulah saya keluar. 

 

Menjejak Masjid Besar Xi'an


Misi saya petang Jumaat (Ramadhan 1433) itu ialah menjejak mihrab dan mimbar Masjid Besar (Great Mosque) yang saya cari tak jumpa-jumpa sejak petang semalam.

Mahmud Chen, sahabat China Islam saya, menelefon saya hari itu mengajak saya ke kampungnya di Ankang, Xi'an. Tetapi memikirkan perjalanan pergi dan balik memakan masa 6 jam, dalam bulan puasa yang panas membara pulak ini, saya fikir dua kali.

Saya memberitahu pengalaman gembira saya dapat minuman percuma untuk iftar semalam. "Marvelous," katanya. 

Dia tanya saya, "Dah jumpa Masjid Besar tu?"

Saya beritahu dia saya tak jumpa lagi.

Katanya, "Agak sukar mencari masjid itu disebabkan kedudukannya yang tersorok. Ia letaknya di belakang gerai-gerai dan pasar di Lorong Muslim. Kalau kita berjalan menghadap Menara Gendang yang ada di Lorong Muslim itu, kita harus menghala ke arah lorong kanan."

Saya teringat Pusat Informasi Pelancong juga memberitahu saya perkara yang sama. Jadi kali ini saya yakin saya akan menemui Masjid Besar itu.


Lorong Muslim
Lorong dan gerai yang perlu dilalui untuk menuju ke Masjid Besar Xi'an
Lorong menuju ke Masjid Besar Xi'an pada waktu malam

Jadi petang itu saya berjalan kaki lagi ke Lorong Muslim. Lalu saya mencari Masjid Besar yang letaknya di lorong sebelah kanan menghadap Menara Gendang. Di lorong itu ada banyak gerai-gerai menjual cenderamata, pakaian dan beg. Apabila sampai di hujung sayapun membelok ke sebelah kiri. Akhirnya nampaklah gerbang Masjid Besar itu.

Masjid Besar Xi'an terletak di lorong ini

Lalu saya menjenguk-jenguk ke dalam pintu gerbang itu. Saya nampak seorang wanita bertudung. Sebaik-baik sahaja wanita itu nampak saya dia terus menggamit saya suruh masuk. Lalu saya beritahu dia yang saya hendak solat dan mengambil wudhu. Dia lalu memberitahu saya tempat wudhu itu. Oleh kerana nampak macam berbelit-belit sikit arahannya maka seorang lelaki membawa saya ke tempat wudhu itu.

Oh memang jauh rupanya tempat mengambil wudhu itu. Kena ikut jalan lurus kemudian masuk lorong kanan kemudian kiri.

Sayapun pergi ke tempat mengambil wudhu itu. Terdapat beberapa orang wanita sedang mengambil wudhu.


Selesai berwudhu, sayapun pergi semula ke Masjid Besar. Di sebuah courtyard (halaman dalam kawasan masjid) saya ternampak beberapa orang lelaki etnik Hui sedang bersiap-siap untuk iftar (berbuka puasa).

Dewan solat Masjid Besar Xi'an menjelang waktu maghrib

Sayapun pergi mencari dewan solat. Ada seorang lelaki di situ menyuruh saya masuk dan menunjukkan tempat solat untuk wanita. Sebenarnya tidak ada bahagian solat wanita. Hanya mereka benarkan wanita solat di satu sudut sebelah kanan masjid itu. Saya rasa kerana kita ini tetamu maka sebab itu mereka beri solat di situ. Sayapun solat tahyatul masjid dahulu.

Dalam ruang solat utama Masjid Besar Xi'an


Mimbar antik Masjid Besar Xi'an

Mihrab dalam Masjid Besar Xi'an


Saya lihat masjid itu amat tua. Ukiran, warna dan bentuk di dalamnya memang betul-betul klasik. Terdapat mimbar antik, mihrab, daun pintu berukiran purba, dinding yang berpahat dengan kaligrafi Arab, lampu chandelier antik, dan segala-galanya antik! Unik sekali! Kagum!  

Menurut maklumat yang saya terima, semasa masjid ini mula-mula dibina dahulu kira-kira pada tahun 742 ketika Dinasti Tang (618-907), tidak ada kemudahan disediakan untuk wanita. Jadi mereka mengekalkan keadaan masjid itu sehinggalah sekarang. Tidak ada sedikitpun ubahsuai dilakukan. Semuanya dikekalkan seperti asal. Kalau mereka hendak buat ruang solat untuk wanita sebenarnya boleh dilakukan. Kalau mereka hendak. Hanya dengan meletakkan skrin atau langsir, tetapi mereka tidak lakukan begitu demi menjaga keaslian masjid itu.

Gerbang di salah sebuah courtyard di kawasan masjid

Pavilion di kawasan Masjid Besar Xi'an

Setelah solat saya berjalan-jalan di luar dewan solat masjid itu. Ada pintu gerbang, taman dan beberapa courtyard. Beberapa orang lelaki etnik Hui di situ menyuruh saya berbuka puasa di situ. Saya menolak kerana saya katakan bahawa saya perempuan, yang ada di situ semua lelaki. Malulah! Mereka kelihatan tidak gembira melihat saya menolak ajakan mereka.

Sebentar kemudian pada pukul 7.55 senja, kedengaran laungan "Alluhu Akbar. Allahu Akbar!"  Eh azan ke itu? Saya tidak pasti. Itu sahaja yang saya faham. Barisan yang seterusnya tidaklah saya fahami. Saya lihat ada beberapa orang lelaki duduk-duduk di atas tembok di luar dewan masjid dah mula berbuka. Sayapun berbuka dengan meneguk air yang saya bawa. Setelah azan selesai. Mereka menadah tangan membaca doa selepas azan.

Dewan solat utama di Masjid Besar Xi'an pada waktu senja



Solat Maghrib di Masjid Besar Xi'an


Sejurus kemudian saya lihat orang lelaki mara ke dewan solat di masjid itu untuk menunaikan solat maghrib. Sayapun turut serta. Sebentar kemudian imam yang berjubah putih, berjanggut dan berserban putih datang bersama dua orang pengiringnya. Saya ikut solat Maghrib berjemaah. 

Ada kelainan cara sebutan imam di sini. Ia amat berbeza dengan bacaan imam di Malaysia atau imam di Masjidil Haram atau Masjidil Nabawi. Allah Maha Kaya. Di sini saya dapat merasai variasi bacaan dan sebutan. Sebutannya tidaklah mengikut lajjah Arab dan tidak menepati tajwid Resam Uthmani. Ada juga yang saya tidak berapa faham. Perbezaan yang ketara ialah selepas bacaan Al-Fatihah selesai, makmum tidak menyebut ‘Amin' beramai-ramai. Barangkali mereka membaca dalam hati. Tapi saya yakin Allah Maha Menerima dan Maha Mengetahui. Yang saya tahu orang yang membaca ayat-ayat Al-Quran dengan bersusah payah mendapat dua kali ganda pahala. 

Daripada Aisyah r.a. telah berkata: Bersabda Rasulullah S.A.W. : 
“Orang yang membaca Al Quran dan susah untuk menyebut ayatnya ia mendapat dua pahala”.
( Hadith Riwayat Bukhari & Muslim )

Solat sunat selepas maghrib di Masjid Besar Xi'an

Selesai solat maghrib sayapun berjalan-jalan di kawasan luar masjid. Saya lihat ada beberapa orang lelaki etnik Hui sedang duduk berbuka di salah satu courtyard.. 


Kaum lelaki dari etnik Hui sedang berbuka puasa di Masjid Besar Xi'an

Kemudian saya berjalan melihat satu bahagian kawasan courtyard masjid yang saya belum pergi lagi. Di situ, yang menariknya, ada beberapa wanita etnik Hui sedang berbuka puasa di hadapan meja. "Oh rupa-rupanya ada perempuan. Patutlah tadi orang lelaki itu suruh saya berbuka di sini. Patutlah mereka nampak tak gembira bila saya tolak ajakan mereka untuk berbuka di situ. Itulah pasal, siapa suruh tak belajar cakap China? Kan rugi tu?"


Wanita Islam dari etnik Hui sedang berbuka puasa di Masjid Besar Xi'an

 

Langkah Kanan, Iftar di Masjid Besar Xi'an


Sayapun mengambil gambar wanita-wanita yang sedang makan itu. Sebaik-baik sahaja flash kamera saya menyala, semua wanita itu menoleh ke arah saya, lalu menggamit-gamit saya dan menjemput saya makan berbuka bersama. Saya segan juga masa itu. Mereka menarik tangan saya dan mempersilakan saya duduk. Saya yang "malu tapi mau" pun duduklah sambil senyum-senyum. Gembira sangat saya dengan ajakan mereka itu. Sayapun makan dengan berselera. Satu pengalaman yang sukar dicari!



Menu iftar cara etnik Hui yang saya nikmati


Menu berbuka ialah semangkuk bubur kacang hitam yang tawar dan kuahnya melimbang-limbang. Roti keras disiat-siatkan dan dimasukkan ke dalam bubur kacang hitam itu. Terdapat dua pinggan sayur yang bercampur daging yang masin. Sepinggan lagi tauhu-masak-apa-entah? Sayapun makan dengan menggunakan sepit yang dihulurkan kepada saya. Terkial-kial saya menyepit makanan. Sampai terjatuh-jatuh daging yang saya sepit. Dia orang nak gelak pun gelaklah. Janji saya dapat makan berbuka cara Xi'an. Mana nak cari?


Orang ramai mengunjungi Lorong Muslim pada waktu malam


Kedai baju dan skaf sutera China

Selepas iftar di Masjid Besar Xi'an buat pertama kali itu, semua wanita itu beredar. Saya rasa amat bertuah. Bersyukur sangat-sangat.

Sayapun pulang jalan kaki. Sempat juga saya singgah di Lorong Muslim membeli kuih-kuih dan makanan untuk bersahur.


Kuih putu kacang hijau Xi'an. Sedap jugak.


Dalam entri akan datang ada kisah menarik hendak saya ceritakan kepada rakan-rakan Nota Kembara sekelian. Saya solat taraweh di Masjid Besar Xi'an. Bagaimanakah golongan minoriti dari etnik Hui solat taraweh? Nak tahu? Ikutilah Kembara Solo saya ke Xi'an yang unik ini dalam entri akan datang.

...bersambung..

Baca sambungannya di bawah ini: 

Baca kisah sebelumnya di bawah ini:

Ahad, 12 Ogos 2012

KEMBARA SOLO KE XI'AN [3]: Bazaar Ramadhan dan Dugaan Berpuasa di Xi'an


H ari pertama saya di Xi'an saya penuhi dengan menjejak destinasi utama saya iaitu Lorong Muslim (Muslim Street). Jadi dalam entri kali ini saya hendak ceritakan tentang kisah saya mencari Lorong Muslim dalam bulan Ramadhan dua minggu lalu. Adakah saya berjaya menjejakinya dalam keadaan cuaca panas membara dan sedang berpuasa pula tu? Apakah dugaan-dugaan yang saya hadapi? Jadi teruslah membaca ruangan ini sehingga habis.

Petang itu saya ke kaunter hostel saya dan meminta untuk menyewa basikal ke Lorong Muslim. Tetapi tidak dibenarkan kerana menurut mereka ketika itu waktu kemuncak dan sesak, mereka takut berlaku kesusahan pada saya. Jadi tidaklah dapat saya berbasikal. Mereka suruh saya jalan kaki sahaja. Kata mereka cuma 30 minit berjalan kaki. 


Tembok yang mengelilingi kota Xi'an

Pagar Tembok Kota Xi'an


Menjejak Lorong Muslim


Berpandukan arahan mereka dan peta yang tidak lengkap yang diberi, sayapun berjalan kaki menjejak Lorong Muslim. Tetapi setelah berjalan saya dapati saya sudah silap faham. Saya tak jumpa yang dicari. Yang saya jumpa tembok yang membentengi bandar ini. "Oh inilah dia Tembok Kota (City Wall) yang sebelum ini saya baca!" Seronok juga dapat tengok tembok ini dengan tak sengaja.

Tembok ini mengelilingi Bandar Xi'an yang berbentuk empat segi. Ia telah dibina sejak zaman Maharaja Tang (618 - 907) lagi. Tujuannya sama seperti pembinaan Tembok Besar China iaitu untuk pertahanan kota ini.

Tidak lama kemudian saya dapati saya berada di Stesen Bas Shaanxi. Lalu saya bertanyakan pekedai di situ kedudukan Lorong Muslim. Pekedai itu memberitahu saya supaya menaiki bas nombor 611. Sayapun ambil bas itu dengan tambang cuma 1 yuan saja (RM0.50). Murahnya!!!

Stesen bas Shaanxi


Naiklah bas. Bas pergi agak jauh. Saya masih tak jumpa-jumpa Lorong Muslim itu. Saya mula phobia sebab semalam saya dah terlajak jauh semasa menaiki bas ke Beijing West Station. Saya pun turun. 

Berpandukan peta di tangan, saya pun menapak. Sambil menapak itu saya bertanya-tanyakan orang di tepi jalan, "Di mana Lorong Muslim?" Payung saya kembangkan untuk mengurangkan panas. Memakai payung adalah kebiasan di China, tidak kira lelaki atau perempuan. Ini disebabkan cuaca terlalu panas. Peluh meleleh-leleh di seluruh badan. Puasa pulak tu! Hebatnya dugaan saya.

Taman di tengah-tengah kota Xi'an


Bila penat berjalan, lepak sekejap di taman ini.


Sambil berjalan kaki itu dapatlah saya melihat bandar Xi'an. Besar juga bandar ini. Sambil-sambil itu saya window shopping. Sempat juga saya merembat dua biji keronsang yang bermutu baik. Harganya murah. Sebiji harganya 10 yuan (RM5)  Menyesal pulak tak beli banyak.

Saya dapati di Xi'an kos kehidupannya lebih rendah berbanding Beijing. Harga barang dan makanan pun lebih murah.

Restoren Pizza Hut yang bersenibina China


Langkah demi langkah saya berjalan sendirian. Hanya ditemani dengan Sang Suria yang panas membakar. Akhirnya saya sampai juga ke Lorong Muslim setelah badan saya bermandikan peluh dan tekak saya kering. Nampak jelas pintu gerbang Lorong Muslim dan ada batu bertulis tentang sejarah tempat itu. Alhamdulillah.

 

 

Bazaar Ramadhan di Lorong Muslim


Bestnya dah sampai sini! Di Lorong Muslim ada banyak kedai dan gerai. Yang menariknya semua peniaganya orang Islam. Wanitanya ada yang memakai hijab ada yang tidak. Lelakinya pula ada yang memakai kopiah putih dan berjanggut. Papantanda kedai dan gerai tertulis dengan kalimah Allah dan halal. Senangnya hati melihat suasana begini.

Ramai pelancong tempatan dan luar berada di situ. Masing-masing membawa kamera dan menangkap gambar di hadapan kedai dan lorong-lorong. Pelancong tempatan pun tangkap-tangkap gambar jugak.


Orang ramai mengunjungi Lorong Muslim


Gerai-gerai menjual makanan banyak di tepi jalan. Macam Bazaar Ramadhan di Malaysia pulak. Tetapi suasana di sini tentulah berbeza.


Ini murtabak Xi'an (istilah saya). Di dalamnya berintikan daging dan sayur-sayuran seperti kucai dan tauge. Saya beli sekeping yang berintikan sayur untuk makan berbuka. Sedap juga.

Kuih-muih orang Islam Xi'an

Brother ini menjual putu bambu/putu piring Xi'an. Toppingnya kacang hitam, kacang tanah dan gula. Sayapun beli. Rasanya manis.Ada juga topping warna merah macam strawberi.


Peniaga-peniaga di situ suka melihat saya dan memberi salam kepada saya. (Agaknya saya ni nampak jelas orang Islam pada pandangan mereka, yelah pakai tudung, kan?). Semuanya boleh mengagak yang saya orang Malaysia. Ini menunjukkan bahawa sudah ramai orang Malaysia datang ke sini. Lalu mereka mengajak saya membeli makanan dan minuman mereka. Oleh kerana ketika itu masih awal untuk berbuka saya memberitahu mereka, "Wo fung chai. Da bao." (Maksudnya, "Saya puasa. Bungkuskan.").

Mendengarkan saya berpuasa salah seorang peniaga di situ memberi saya air jus. Saya tanya, "Tuo shao shien?" (Maksudnya berapa harganya?). Dia kata, "Mian fei" (percuma). "Ini khas untuk orang berpuasa." Lalu dia tunjuk tulisan di dinding di belakangnya yang menyatakan minuman itu khas untuk orang berpuasa. Saya pun tengok tulisan itu. Macamlah saya faham sangat. Saya bukankah buta huruf?

Gembiranya saya dapat minuman percuma. Minuman itu saya tak tahu namanya. Warnanya hitam pekat. Bila berbuka saya minum, rasanya masam-masam manis. Air jus buah-buahan kering kot.

Sayapun bertanyakan bila waktu berbuka. Diapun memberitahu pukul 7.55 petang dan memberi saya jadual iftar dan imsak yang diterbitkan oleh persatuan Islam di situ.

Sambil itu saya bertanyakan kepada mereka, "Di mana Masjid Besar?" Mereka menunding jari ke arah kanan. Tetapi apabila saya cari saya tak jumpa. Bila saya tanya orang lain mereka tunjuk ke kiri. Itu yang tak jumpa-jumpa tu. Ada tunjuk kanan. Ada tunjuk kiri. Saya pun keliru. Lagipun tak faham bahasa.

Pada sekitar pukul 6.30 petang, kedengaran ayat-ayat suci Al-Quran dibaca oleh Qari dari CD yang dipasang kuat melalui speaker. Rasa tenang jiwa mendengar ayat-ayat suci ini diputarkan kuat-kuat begitu di lorong-lorong di negara yang bukan di bawah pemerintahan Islam. Suatu keistimewaan yang jarang berlaku. Agaknya dalam bulan puasa saja kot?


Kuih manis ini saya beli sebiji. Saya tanya, "Kuih ni nama apa?". Akak berbaju biru tu sebutlah nama kuih itu yang panjang berjela. Akak tu ajarlah saya macam mana nak sebut. Saya  ikutlah sebutan itu. Tapi tak dapat-dapat. Sayapun dah lupa nama kuih ini. Banyak makan semut kot.

Cewah..baik punya posing! Kuihnya saya tak beli. Ambil gambar saja. Brother ni tak kisahpun.

Buah-buahan kering, kurma kering dan kacang walnut dijual dengan banyak di sini. Kakak yang bertudung merah itu suruh saya simpan beg duit baik-baik dan suruh saya simpan kamera, takut nanti kena curi. Mahmud Chen pun dah pesan begini pada saya.




Dugaan berpuasa di Xi'an 


Berpuasa di Xi'an banyak dugaannya. Ini disebabkan Ramadhan di sini kelihatan sama seperti bulan-bulan lain. Dugaan berpuasa di Xi'an adalah:
1. Ada juga peniaga Islam di situ tidak berpuasa. Mereka menjual sambil merokok secara terbuka tanpa segan silu.

2. Saya menyaksikan maksiat berlaku walaupun pada bulan Ramadhan. Ada orang Xi'an bermain terup dan berjudi di tepi-tepi jalan. Tetapi bukan di Lorong Muslim. Saya rasa  mereka kafir. 

3. Saya melihat pergaduhan (perang mulut) di antara lelaki dan wanita di tepi-tepi jalan (juga bukan di Lorong Muslim). 

4. Cuaca panas membahang, peluh meleleh-leleh membasahi seluruh badan, tekak terasa TERAMAT kering.

5. Siang lebih panjang daripada malam. Jangkamasa berpuasa lebih lama. Waktu imsak pukul 4.15 pagi. Waktu terbit matahari (syuruk) pukul 5.15 pagi. Waktu iftar 7.55 malam.

Kedai busana muslim di Lorong Muslim


Selain daripada makanan, busana muslim dan tudung juga dijual. Sempat juga saya merembat tiga helai tudung bawal bersulam. Sehelai 30 yuan (RM15). Baju berseluar 90 yuan (RM45) sepasangpun saya rentap. Tudung jenis Arini di sini pendek-pendek. Jadi belilah tudung bawal, labuh sikit dan senang nak diubahsuai.

Pintu Gerbang Lorong Muslim


 

Iftar di Lorong Muslim


Apabila penat berjalan di sekitar lorong Muslim itu sayapun berehat di bangku di dataran di situ. Sayapun menunggu waktu berbuka yang hampir tiba. Semasa saya di bangku itu ada seorang wanita Islam warga emas duduk di situ dan mengajak saya berbual-bual tetapi disebabkan saya tidak berapa faham jadi perbualan itu tidaklah serancak mana. Beliau memakai tudung. Saya cakap sepatah sepatah macam budak belajar bercakap. Saya tidak tahu bahasa China tetapi dengan bahasa tubuh dan memahami satu dua perkataan sudah memadai untuk memahaminya. Saya rasa ini anugerah yang Allah telah berikan kepada insanNya.

Pukul 7.55 malam masuklah waktu iftar. Setelah berbuka dengan buah kurma, air jus yang diberi percuma kepada saya tadi dan kuih-muih yang saya beli di Lorong Muslim tadi saya pun mencari Masjid Besar, tetapi masih tak jumpa-jumpa. Saya niat solat jamak takhir.

Yang saya jumpa ialah Menara Gendang (Drum Tower). Sayapun ke Pusat Informasi Pelancong yang ada berdekatan dengan kawasan itu. Ia masih dibuka. Lalu pegawai di situ memberitahu saya. Oleh kerana hari sudah malam dan gelap saya bercadang untuk mencarinya pada keesokan hari.

Kedai di Lorong Muslim pada waktu malam


Dapatkah saya berjumpa Masjid Besar Xi'an? Nak tahu? Teruskan membaca Nota Kembara Solo saya di Xi'an dalam entri akan datang. Selamat Berpuasa.

...bersambung...
Baca kisah kembara selepas ini: 

Baca kisah sebelumnya di bawah ini:

Khamis, 9 Ogos 2012

KEMBARA SOLO KE XI'AN [2]: Youth Hostel Paling Menarik Yang Pernah Saya Inapi

K ali ini saya pilih Youth Hostel (walaupun aku Otai he.. he.. he..). Saya suka tinggal di Youth Hostel sebab ia lebih santai. Biasanya ia ada banyak kemudahan untuk pengembara berbajet dan lebih mesra. Bayarannya juga tidaklah mahal. Youth Hostel yang saya duduki di Xi'an amat COOL! Menarik! Hostel beginilah yang saya cari-cari. Bersetingkan rumah tradisional China, ia mempunyai courtyard, di kelilingi tembok dan berpintu gerbang meniru senibina purba!

Nama Youth Hostel ini ialah Xian Qixian (7 Sages) Youth Hostel. Saya buat tempahan hostel ini melalui hostelbookers.com. Saya memilih hostel ini kerana tertarik dengan setting hostel ini dan telah membaca review dalam Trip Advisor yang rata-rata menyukai hostel ini.

Sebagaimana yang dijanjikan dalam entri lalu di sini saya kongsikan gambar-gambar Youth Hostel yang saya inapi di Xi'an baru-baru ini.





Hostel ini tidaklah jauh sangat daripada stesen keretapi Xi'an dan stesen bas Shaanxi,  kira-kira 10 minit berjalan kaki. Tambang menaiki bas cuma 1 yuan (RM0.50). Murah kan! Tempat ini juga tidak jauh dari pusat bandar. Tidak juga jauh dari Lorong Muslim (Muslim Street), kira-kira 30 minit berjalan kaki.

Kedai runcit, pasar dan restoren makanan halal juga banyak terdapat di kawasan berdekatan dengan hostel ini.





Saya pilih bilik untuk 2 orang walaupun saya solo. Mereka tidak ada bilik untuk satu orang. Yang ada bilik untuk 2, 3 dan 6 orang. Saya tidak mahu berkongsi bilik dengan orang lain sebabnya pada masa itu bulan Ramadhan. Kalau berkongsi bilik dengan orang lain tentu susah nak bangun bersahur dan solat. Tentu mengganggu orang lain. 

Bilik saya selesa dan bersih. Sangat privasi. Sangat sempoi. Satu malam saya cuma bayar lebih kurang 179 yuan (RM89). Saya kena bayar untuk 2 orang, walaupun menginap seorang.

Bilik disediakan dengan penghawa dingin, heater, lampu tidur, flat screen tv, selipar, tuala, penyangkut baju, ubat nyamuk (pun ada he.. he..), cerek elektrik (senang masak mee segera he..he..), gelas dan pengering rambut. Peti sejuk, almari, sabun dan syampu tidak disediakan.



 





Ia di dalam kawasan courtyard atau halaman tradisional China yang mempunyai taman, pokok-pokok bunga dan teratai di dalam pasu bertakung air dan tanglung merah bergantungan di luar bilik. Rasa unik dan authentic. Tidak rasa seperti menginap di hotel.






Bilik membasuh pakaian dengan mesin-mesin basuh disediakan. Kita cuma masukkan duit siling ke dalam lubang mesin 10 yuan (RM5) untuk sekali basuhan. Penyidai kain juga disediakan dan kita boleh jemur kain kita di luar.

Tempat berehat, bermain snooker, meja ping pong dan basikal (sewa) disediakan.

Cafetaria, wi-fi dan flat screen tv yang besar juga disediakan.









Kita boleh check-in bila-bila masa. Stor menyimpan beg/barang disediakan dengan percuma. Perkhidmatan di kaunter juga mesra, mereka berbahasa Inggeris, sedia membuat tempahan tiket keretapi dan tempat penginapan kita seterusnya di tempat lain.

Semasa pertama kali datang, mereka menunggu, mengambil saya di stesen keretapi Xi'an dan membawa saya ke hostel ini. Perkhidmatan ini percuma.

Mereka juga menyediakan perkhidmatan melawat tempat-tempat menarik di Xi'an. Bagi saya tak perlu guna perkhidmatan itu kerana kita boleh buat sendiri.

Amaran kepada yang tidak suka anjing: Di sini ada seekor anjing yang diperlihara tetapi jangan risau kerana anjing ini jinak, tidak menyalak dan tidak menganggu.

Saya seronok menginap di sini. Kalau datang ke Xi'an lagi saya akan pastikan yang saya dapat menginap di tempat ini.

Bagaimana dengan anda? Pernahkah anda menginap di tempat macam ni? Kalau pernah kongsilah di ruangan ulasan di bawah ini.

...bersambung...

Baca kisah kembara selepas ini: 

Baca kisah sebelumnya di bawah ini: