Tagline

A Blog About Traveling Around The World From The Lens and Eyes of A Malaysian-Muslim Woman

Select Your Preferred Language


Select Your Preferred Language
BAHASA MELAYU | ENGLISH

Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini

Adsense



Isnin, 5 Oktober 2015

Panduan Menaiki Keretapi di Beijing (3): Dari Beijing ke Bandar-bandar Utama di China

B agaimanakah kalau anda hendak ke bandar-bandar utama di luar Beijing? Untuk tujuan itu anda mestilah tahu mencari stesen keretapi yang betul kerana terdapat banyak stesen keretapi di Beijing disediakan untuk menghubungkan Beijing dengan bandar-bandar utama di China. Setiap stesen ini terletak di tempat yang berlainan, destinasinya berbeza dan jenis-jenis keretapinya juga berbeza. Berikut adalah 4 stesen keretapi utama yang terdapat di kota Beijing:


 1. Stesen Běijīng Xī Zhàn (北京西站) (Stesen Keretapi Beijing Barat)  

Stesen Běijīng Xī Zhàn menyediakan perkhidmatan keretapi ke bahagian tengah, selatan, barat daya dan barat laut China. Antara bandar-bandar singgahannya ialah Hohhot (Inner Mongolia), Xian, Xinjiang, Guilin, Hong Kong, Guangzhou, Shenzen, Wuhan, Zhengzhou, Chengdu,  Chongqing, Taiyuan, Fuzhou, Xiamen, Kunming, Hangzhou, Urumqi, Shanghai dan lain-lain lagi.

Stesen ini letaknya di East Lianhuachi Road. Běijīng Xī Zhàn adalah salah sebuah stesen yang terbesar di China. Terdapat 200 buah keretapi setiap hari dari sini.

Stesen Běijīng Xī Zhàn ini menyediakan perkhidmatan keretapi berkelajuan tinggi (high-speed train), keretapi peluru (Bullet train), keretapi laju (fast train), keretapi ekspres, keretapi ekspres penginapan malam (express overnight sleeper) dan keretapi biasa.

Inilah stesen Běijīng Xī Zhàn yang besar dan sentiasa penuh dengan penumpang
Penumpang begitu ramai ketika menunggu panggilan untuk memasuki platform keretapi di stesen Běijīng Xī Zhàn
Penulis bersama kawan-kawan baru turun di Hohhot (Inner Mongolia) dari stesen Běijīng Xī Zhàn 
Tiket keretapi yang saya beli dari stesen Běijīng Xī Zhàn ke Xian
Keadaan sesak di dalam keretapi biasa (Kelas 3) dalam perjalanan saya ke Xian dari Běijīng Xī Zhàn

Saya pernah menulis mengenai kembara saya ke Xian menaiki keretapi biasa (Kelas 3). SILA KLIK DI SINI untuk membacanya.

Bilik dan katil yang terdapat di dalam keretapi penginapan malam (overnight sleeper) dalam perjalanan saya dari Xian ke Běijīng Xī Zhàn

Saya pernah menulis tentang perjalanan saya dari Xian ke stesen Běijīng Xī Zhàn menaiki keretapi penginapan malam (overnight sleeper). Sila KLIK DI SINI untuk membacanya.



2. Stesen Běijīngnán Zhàn (北京南站(Stesen Keretapi Beijing Selatan) 


Inilah Stesen Běijīngnán Zhàn

Stesen Běijīngnán Zhàn terletak di sempadan daerah Xicheng, Dongcheng dan Fengtai. Ini adalah stesen keretapi terbesar di Asia, berkeluasan lebih kurang 70 buah padang bola.

Keretapi dari stesen ini membawa penumpang ke Shanghai, Suzhou, Haerbin, Jinan, Tianjin, Nanjing dan banyak lagi destinasi. Terdapat banyak perkhidmatan keretapi Berkelajuan Tinggi dan Bullet Train disediakan di sini.


Ruang menunggu di stesen Běijīngnán Zhàn yang selesa, bersih dan lengkap dengan pelbagai kemudahan

Terdapat banyak kemudahan di stesen ini seperti kedai-kedai, cafe, McDonald, KFC, tandas, air panas dan tempat menunggu.

Keadaan di dalam keretapi berkelajuan tinggi dari Shanghai ke Stesen Keretapi Beijing Selatan

Saya pernah menaiki keretapi di stesen Běijīngnán Zhàn ini sebanyak 4 kali untuk ke Tianjin, Jinan, Haerbin dan Shanghai.

Keadaan di dalam keretapi berkelajuan tinggi dari Stesen Běijīngnán Zhàn ke Jinan yang selesa. 
Stesen Keretapi Jinan Xi
Bullet Train yang saya naiki dari Běijīngnán Zhàn ke Tianjin
Keadaan yang selesa di dalam Bullet Train ke Tianjin

Saya pernah menaiki Bullet train ini ke Tianjin dan Jinan. Untuk membacanya SILA KLIK DI SINI  (Tianjin) dan SINI (Jinan).



 3. Stesen Běijīngběi Zhàn (北京北站) (Stesen Keretapi Beijing Utara) Untuk ke Badaling Great Wall 


Stesen Běijīngběi Zhàn terletak di Xizhimen di daerah Xicheng, Jinzhang Railway Line. Stesen keretapi ini beroperasi untuk membawa penumpang ke Baotau, Hohhot, Tongliao dan Manzhouli. Namun begitu terdapat 13 buah keretapi disediakan dari stesen ini untuk ke Tembok Besar China yang terletak di Badaling. Perjalanan ke Badaling memakan masa lebih kurang 70-80 minit dan tiketnya berhaga 6 yuan.

Keretapi ini membawa penumpang ke Tembok Besar China yang terletak di Badaling
Keadaan di dalam gerabak keretapi menuju ke Tembok Besar China di Badaling
Tembok Besar China yang kelihatan dari tingkap keretapi

Saya pernah menulis tentang trip saya menaiki keretapi ini ke Tembok Besar China. Untuk membacanya sila KLIK DI SINI.


4. Stesen Běijīngzhàn (北京站) (Stesen Keretapi Beijing) 


Stesen Běijīngzhàn terletak di Chongwen Gate dan Dongbian Gate berdekatan dengan pusat bandar iaitu di Daerah Dongcheng. Ini adalah stesen lama. Keretapi dari stesen ini membawa penumpang ke bahagian utara China seperti Haerbin, Shanghai, provinsi timurlaut dan provinsi tenggara.

Ini juga adalah stesen untuk laluan antarabangsa ke Pyongyang, Ulan Bator, dan Moscow. 

Selain perkhidmatan keretapi berkelajuan tinggi, ia juga menyediakan perkhidmatan keretapi biasa.

Platform keretapi di Haerbin dalam perjalanan saya dari Haerbin ke Běijīngzhàn 
Keadaan di dalam keretapi Berkelajuan Tinggi dari  Běijīngzhàn ke Haerbin
Stesen Keretapi Haerbin Barat
Pemeriksaan keselamatan dilakukan ketika memasuki stesen keretapi Haerbin

Saya pernah menceritakan tentang kembara saya ke Haerbin dari Běijīngzhàn dengan menaiki keretapi Berkelajuan Tinggi. Untuk membacanya KLIK DI SINI.




Membeli Tiket


Tiket boleh dibeli di kaunter yang terdapat di dalam setiap stesen keretapi yang saya nyatakan di atas. Bagi rakyat Malaysia, mestilah menunjukkan pasport ketika membeli tiket. Oleh kerana perlu menunjukkan pasport, maka membeli tiket menggunakan mesin tiket tidaklah boleh dilakukan di sini.

Untuk pengetahuan anda, rata-rata penjual tiket tidak tahu berbahasa Inggeris. Jadi untuk memudahkan anda yang tidak tahu berbahasa China, anda hendaklah menulis nama stesen destinasi anda, tarikh serta jam bertolak dalam tulisan China. Mintalah kawan-kawan yang tahu menulis tulisan China membantu anda.

Selain daripada itu, anda boleh membeli tiket keretapi melalui agen yang terdapat di merata-rata tempat utama seperti di kawasan universiti, kedutaan  dan kediaman. Agen ini membuka kaunter berbentuk pondok kecil di tepi-tepi jalan atau pun di dalam bangunan besar. Agen ini mengenakan sedikit cas di atas setiap tiket yang dibeli.

Selain daripada itu, anda boleh membeli tiket melalui agen secara atas talian. Agen ini mengenakan cas di atas khidmat mereka. Tetapi saya tidak pernah membelinya dengan cara ini, jadi tidaklah dapat saya menceritakan pengalaman ini.

Oleh kerana penumpang terlalu ramai menggunakan perkhidmatan keretapi (terutamanya keretapi biasa - Kelas 3), maka selalunya tiket kehabisan dengan cepat. Tiket juga tidak boleh dibeli terlalu awal. Ia biasanya mula dibuka untuk dijual di antara 2 minggu atau 1 minggu sebelum tarikh bertolak. Keadaan ini menjadi masalah sehingga ada penumpang yang tidak mendapat tempat duduk, mereka sanggup berdiri berjam-jam lamanya dalam perjalanan menaiki keretapi walaupun membayar tiket. 

Namun begitu sekiranya anda menggunakan perkhidmatan keretapi Berkelajuan Tinggi dan Bullet Train, ia tidak mempunyai masalah kehabisan tiket. Ini disebabkan keretapi ini banyak beroperasi, jadual perlepasannya terlalu kerap di dalam sehari dan penumpang tidak terlalu ramai kerana harga tiketnya lebih tinggi berbanding dengan keretapi biasa (Kelas 3).

Orang ramai beratur untuk membeli tiket di kaunter dan juga menggunakan mesin
Kaunter untuk mereka yang berbahasa Inggeris di Stesen Běijīng Xī Zhàn
Tandas yang bersih di stesen keretapi 
Pelbagai kemudahan disediakan di dalam stesen keretapi 

Begitulah panduan menaiki keretapi dari Beijing ke bandar-bandar utama di China.

...bersambung

4 ulasan:

  1. Saya mungkin cuma sempat menggunakan stesyen Beijing Utara di Xizhimen untuk ke Badaling... Terima kasih infonya...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Kalau menaiki keretapi ke Badaling, kena keluar pagi-pagi.

      Padam
  2. Terima kasih untuk info ni Prof :)

    BalasPadam

Kini giliran anda pula untuk memberi pandangan/ulasan.

Ulasan tanpa nama akan dipadamkan.