Tagline

A Blog About Traveling Around The World From The Lens and Eyes of A Malaysian-Muslim Woman

Select Your Preferred Language


Select Your Preferred Language
BAHASA MELAYU | ENGLISH

Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini

Adsense



Jumaat, 29 Ogos 2014

Tawaran Naik MAS Untuk Pasangan Kakitangan Kerajaan

Anda kakitangan kerajaan? Anda menjalankan tugas rasmi dan menaiki kapalterbang Malaysia Airlines (MAS)? Anda ingin membawa pasangan atau teman?




Sekiranya kesemua jawapan anda "YA", maka pasangan atau teman anda layak untuk menerima 2 tawaran daripada MAS iaitu:

a. Promosi untuk pasangan (companion fare) untuk penerbangan Domestik dan Antarabangsa bagi kakitangan kerajaan (sila lihat Lampiran 1 di bawah)


b. Penambahbaikan kemudahan untuk kakitangan kerajaan - Kebenaran masuk ke Golden Lounge bagi kakitangan kerajaan yang membuat penempahan kelas ekonomi (Y dan B) (sila lihat Lampiran 2 di bawah).

Pejabat Jualan MAS di Lapanganterbang Pulau Pinang. Slogan "Journeys are made by the people you travel with" amat sesuai dengan tawaran yang saya nyatakan dalam entri ini.


Surat tawaran ini juga telah diedarkan kepada Jabatan-jabatan kerajaan. Saya sendiri telah ke Pejabat Jualan MAS di Lapanganterbang Pulau Pinang dan meminta penjelasan daripada pegawai di situ tentang tawaran ini.



Inilah surat tawaran yang diedarkan oleh pihak MAS ke Jabatan Kerajaan
Ini juga adalah surat tawaran yang diedarkan oleh MAS

Oleh kerana surat yang saya sertakan di atas saiznya kecil dan sukar dibaca melalui skrin, di bawah ini saya tuliskan semula supaya memudahkan anda.


a. Promosi untuk pasangan (companion fare) untuk penerbangan Domestik dan Antarabangsa bagi kakitangan kerajaan; 


Untuk makluman, Malaysia Airlines kini menawarkan harga tambang pasangan (companion fare) diskaun sebanyak 20% daripada harga pasaran kepada kakitangan kerajaan. Berikut adalah tatacara penggunaan harga berkenaan: 
» Tiket pertama (primary tiket) dikeluarkan dengan menggunakan waran. 
» Tarikh penerbangan dan destinasi penerbangan untuk tiket kedua (pasangan) mestilah sama dengan tiket pertama
»Tiket kedua (pasangan) perlu dikeluarkan oleh Agensi Pengembaraan yang sama yang mengeluarkan tiket pertama yang menggunakan waran.  
» Terma dan syarat penggunaan tiket kedua (pasangan) adalah tertakluk kepada kelas penempahan yang ditempah.  
» Harga lATA (FIF/CIF/YIF) dan harga pasaran promosi (kelas penempahan 0 dan Z) adalah terkecuali dari diskaun ini. 
» Takrif pasangan adalah sesiapa sahaja yang mengikuti kakitangan kerajaan untuk tugasan rasmi dan hanyalah layak untuk seorang sahaja.   
» Agensi Pengembaraan akan mengisi borang untuk mendapat pengesahan/kelulusan dari pejabat MAS sebelum pengeluaran tiket untuk pasangan dibuat.  
» Untuk Agensi Pengembaraan yang tidak ada stok tiket (non BSP agent), tiket kedua (pasangan) akan dikeluarkan oleh kaunter tiket MAS dan caj 'service fee' sebanyak RM50 untuk penerbangan Domestik dan RM80 untuk penerbangan Antarabangsa akan dikenakan. Pembayaran untuk tiket kedua (pasangan) adalah secara tunai atau menggunakan kad kredit.  
» Tawaran ini sah untuk penerbangan yang bermula dari Malaysia sahaja.   
» Tarikh berkuatkuasa tawaran ini ialah pada 11hb Ogos 2014 dan akan berakhir pada 31 Disember 2014.


b.  Penambahbaikan kemudahan untuk kakitangan kerajaan - Kebenaran masuk ke Golden Lounge bagi kakitangan kerajaan yang membuat penempahan kelas ekonomi (Y dan B)


Untuk makluman, Malaysia Airlines kini menawarkan kemudahan bagi pegawai kerajaan yang membuat tempahan untuk tugasan rasmi menggunakan WARAN untuk kelas Ekonomi (kelas penempahan Y dan B sahaja) adalah dibenarkan untuk memasuki Golden Lounge Malaysia Airlines.

Golden Lounge hanya terdapat di lokasi berikut:
Domestik ~ KLiA, Kuching, Kota Kinabalu, Pulau Pinang
Antarabangsa ~ Singapura, London (Heathrow), Perth dan Melbourne

Terma & syarat menggunakan kemudahan adalah seperti berikut: 
»  Penumpang hendaklah menunjukkan pas masuk (boarding pass) atau e-ticket kepada
kakitangan yang bertugas.  
» Kakitangan di kaunter akan membuat semakan untuk memastikan kelas penempahan
Y dan B sahaja yang layak untuk memasuki Golden Lounge 
» Penumpang akan diterima masuk ke Golden Lounge jika syarat-syarat penempahan
telah disahkan.  
» Sila ambil perhatian bahawa kemudahan ini tidak digunapakai ke atas Oneworld Lounge dan '3rd party lounge'.  
» Tarikh berkuatkuasa tawaran ini ialah pada 5hb Ogos 2014 hingga 31 Disember 2014

Jadi jangan terlepas. Rebutlah tawaran ini sebelum ia berakhir.

Ahad, 24 Ogos 2014

Backpacker Ciput Main Redah di Jepun (13): Manga & Teh Kayu Manis Kyoto

J epun adalah masyarakat yang suka mencipta hobi yang lama kelamaan hobi ini menghasilkan peminat yang fanatik. Salah satu hobi itu ialah membaca manga yang kita kenali sebagai buku komik.

Manga menjadi kegilaan orang Jepun malahan menular ke negara-negara lain. Peminatnya yang fanatik menyimpan koleksi komik itu, meniru penampilan karektor manga yang digemari, mengikut fesyennya, mengadaptasinya menjadi game, siri televisyen dan filem. Didapati 40% daripada manga telah didapatasikan kepada filem.

Hasil daripada itu juga sebuah muzium manga telah dibina di Kyoto untuk menyimpan khazanah manga untuk dijadikan bacaan, rujukan dan pameran.

Oleh kerana anak saya peminat manga maka tempat ini tidak dilepasi. Kami sudah mendapatkan maklumat tentang muzium manga ini sebelum berangkat dari Malaysia lagi. 

Sayonara Yanushi! Arigato gozaimasu!

Untuk mencari muzium ini mudah sahaja kerana ia letak berdekatan dengan rumah tradisional Jepun cinoni kami di Kitaoji. Pada hari itu kami keluar dari rumah Jepun itu pada pukul 10 pagi dan mengucapkan "Sayonara" kepada  'Yanushi' (Tuan Rumah).

Kami menaiki keretapi dari Kitaoji lalu turun di stesen ketiga iaitu di Marutamachi. (Boleh juga turun di Karasumaoike). Di Marutamachi kami menyewa locker untuk menyimpan beg kami yang besar.

Pekerja membaiki mesin imbasan tiket keretapi di Kitaoji
Kami turun di stesen Marutamachi
Ada pelbagai saiz locker terdapat di stesen keretapi Marutamachi. Kami pilih yang paling tinggi untuk memuatkan kesemua beg kami. Kami masukkan duit 700 yen (RM21) ke dalam lubang untuk membayarnya.

Kemudiannya kami berjalan kaki kira-kira 10 minit ke Muzium Manga. Cuaca sebagaimana semalam, redup, mendung dan macam hendak hujan. Yang bagusnya, ia tidak panas dan memudahkan kami berjalan kaki.

Tak jauh berjalan kami sudah nampak Kyoto International Manga Museum. Ia beralamat di Karasuma-Oike, Nakagyo-ku, Kyoto. Sila lihat laman webnya di SINI.


Kyoto International Manga Museum terletak di tepi jalan
Harga tiket 800 yen (RM24.65) untuk dewasa

Apabila masuk kami kena bayar tiket. Untuk dewasa kena bayar 800 yen (RM24.65). Untuk pelajar 300 yen (RM9.22). Ingatkan kad pelajar universiti boleh digunakan di sini untuk dapat harga pelajar. Anak saya pun tunjukkan kad pelajarnya. Tapi kata pegawai di situ hanya pelajar sekolah di Jepun saja yang dapat harga pelajar itu. :(

Kami juga ditanya soalan survey seperti: "How did you know about this Museum?" dan "How did you know how to get here?"



Tingkat #1 ~ Pameran #kyoto MaGiC dan Koleksi Manga Seluruh Dunia


Muzium Manga ini ada 3 tingkat. Ada Bahagian Manga untuk Kanak-kanak, Manga untuk Perempuan, Manga untuk Lelaki  dan Manga untuk Dewasa.

Di ruangan lobi berdekatan dengan pintu masuk terdapat pameran "Kyoto Manga Girls Collection" (Kyoto MaGiC). Pameran ini berasaskan dua buah manga: 'Mairunovitch' (karya Zakuri Sato) dan 'Kimi ni todoke' (karya Karuho Shiina). Pameran ini memfokuskan kepada fesyen pakaian remaja perempuan yang dilukis di dalam kedua-dua manga berkenaan.

Promosi pakaian remaja perempuan melalui pameran # kyoto MaGiC ini terdapat di ruang lobi dekat pintu masuk muzium
Fesyen pakaian yang dipakai oleh karektor manga dalam pameran # kyoto MaGiC dari jarak dekat

Apabila masuk ke dalam muzium ini sesiapapun pasti ternampak banyak manga di atas rak-rak. Kami ternampak koleksi manga popular seperti Doremon, Detective Conan, Naruto, Dragon Ball dan macam-macam lagi. Manga yang telah diterjemahkan ke pelbagai bahasa juga ada.

Kita boleh memilih manga yang kita gemari dan membaca di situ. Terdapat meja dan kerusi seperti di perpustakaan untuk kita duduk membaca.

Di sini kita boleh membaca 5,000 naskah manga yang diterjemahkan dari bahasa Jepun, termasuklah terjemahan ke bahasa Melayu













BahasaBilangan Manga
InggerisLebih kurang 1,000
JermanLebih kurang 150
PeranchisLebih kurang 140
Sepanyol dan CatalanLebih kurang 140
PortugisLebih kurang 200
ItaliLebih kurang 260
Bahasa Eropah yang lainLebih kurang 50
ThaiLebih kurang 490
VietnamLebih kurang 210
China(Tradisional)Lebih kurang 1,340
China (Dipermudahkan)Lebih kurang 300
MalaysiaLebih kurang 40
IndonesiaLebih kurang 90
KoreaLebih kurang 670

Komputer yang mengandungi perisian melukis karektor manga juga disediakan. Jadi kamipun mencuba melukis manga menggunakan perisian itu. 

Di tingkat bawah juga terdapat perpustakaan untuk kanak-kanak. Di sini kami nampak beberapa orang kanak-kanak berbaring sambil membaca manga. Kami pun turut berbaring dan membaca manga di situ. Kami dapati ramai peminat manga di situ tidak kira golongan tua dan muda sedang asyik membaca manga.

Ruang santai di Muzium Manga Antarabangsa Kyoto. Berbaring atau duduk membaca manga terasa lebih santai.
Warga emas juga peminat manga
Iklan pameran lukisan manga oleh Tsuchida Seiki di pintu lif di dalam muzium manga


Tingkat #2 ~ Pelukis Manga Bercerita 


Di tingkat kedua ada persembahan dari seorang pelukis manga. Dia bercerita dengan gaya yang menarik sambil menggunakan lukisan manga. Dia bercakap dalam bahasa Jepun walaupun 90% penontonnya orang asing dan tidak berbahasa Jepun. Sambil bercerita, dia bertanya soalan. Yang dapat menjawab soalannya diberikan hadiah biskut (berbentuk kartun) dan cincin. 

Anak saya dan beberapa Mat Salleh yang ada di situ dapat jawab beberapa soalan daripadanya. Walaupun tak berapa faham bahasa Jepun, tetapi soalannya mudah untuk dijawab bagi peminat manga. Soalannya seperti: Apakah nama karektor dalam manga ini? Apakah perkataan yang suka disebut oleh karektor manga ini?

Persembahan cerita menggunakan manga
Hanya manga, manga, manga di sini

Tingkat 2 ~ Manga untuk Remaja Perempuan 


Di tingkat 2 juga ada galeri untuk manga bagi remaja perempuan. Di sini terdapat patung-patung manga dan fesyen pakaian dipamerkan di sini.

Mairunovitch iaitu sebuah manga yang terkenal di kalangan remaja perempuan di Jepun juga dipamerkan di sini. Ia adalah hasil karya Zakuri Sato yang diterbitkan di majalah Magaret pada 2011 sehingga sekarang. Manga Mairunovitch bukan sahaja terletak pada ceritanya yang romantik tetapi pembaca juga tertarik dengan fesyen pakaian yang dipakai oleh wataknya.

Hasil karya Karuho Shiina juga dipamerkan di sini. Karuho Shiina telah menghasilkan manga bertajuk "Kimi ni todoke" yang telah diterbitkan dalam majalah Bessatsu Margaret pada 2005. Kemudiannya dijadikan bersiri dan mendapat sambutan hangat. Kemudiannya diadaptasikan ke animasi. Pada 2008 ia memenangi Kodansha Manga Award dalam kategori Girls' Manga.

Kepopularitian watak dalam kedua-dua manga ini telah melahirkan industri rekaan pakaian untuk golongan remaja perempuan termasukalah seragam sekolah yang direka baru oleh syarikat pakaian seragam sekolah iaitu Muratado Ltd.


Fesyen remaja perempuan yang dipakai oleh watak manga dipamerkan di bahagian Manga Perempuan
Seragam sekolah rekaan Muratado yang baru
Muratado adalah syarikat yang mereka seragam sekolah sejak 1889 (Meiji 22)

Tingkat #2 ~ Manga untuk Remaja Lelaki


Kemudian terdapat manga untuk lelaki di galeri bersebelahan. 

Burung yang dilekatkan pada dinding muzium manga
'The Climber' adalah manga mengenai pemanjat gunung ais. Manga ini sesuai untuk pengembara dan pemanjat. 
Siri manga untuk lelaki "Jingi' ini diletakkan di rak
Manga Blood, Zietman, Lemon dan lain-lain lagi di atas rak 
Lukisan manga di dalam sebuah buku manga. Manga ini sesuai untuk lelaki

Tingkat # 2 ~ Manga untuk Dewasa


Di tingkat 2, di galeri yang berlainan terdapat manga untuk orang dewasa. Pameran pelukis manga terkini juga diadakan. Lukisan manga terdapat di mana-mana samada di dinding atau di lantai.

Lepak, merokok
Ragbi
Buli
Hanya di kelilingi manga
Lantai penuh manga
Pameran manga

Tingkat 3 ~ Bilik Penyelidikan Manga


Di tingkat 3 terdapat bilik penyelidikan manga. Terdapat pelbagai koleksi manga yang boleh dijadikan rujukan akademik. Kemudahan seperti tandas dan pantry juga disediakan.


Lukisan manga pada pintu tandas
Boleh buat penyelidikan di sini

Yang Kami Beli di Muzium Manga Antarabangsa Kyoto


Kedai cenderamata di Muzium Manga Kyoto menawarkan pelbagai koleksi untuk peminat manga
Buku Sketch Animatic untuk Animasi Televisyen bertajuk 'Star Driver' yang kami beli di kedai di dalam Muzium Manga Antarabangsa Kyoto. Berharga 2,667 yen (RM82.17)

Terdapat sebuah kedai cenderamata di pintu keluar muzium tingkat bawah. Di sini terdapat pelbagai bentuk cenderamata seperti Cardcaptor, lencana, t-shirt, buku dan sebagainya. Sebelum keluar dari muzium manga ini, anak saya sempat merembat sebuah buku rujukan tentang cara membuat animasi televisyen.


Video "Muzium Manga Antarabangsa Kyoto" Yang Kami Buat


Semasa melawat Muzium Manga Kyoto ini anak saya sempat merakamkan video suasana di dalamnya. Kemudian dia edit dan letakkan voice over narration dan muzik.  Jadi jom tengok video ini:






Minum Teh Kayu Manis di Cafe World Coffee


Waktu itu sudah tengahari dan perut ini minta di isi. Saya sudah masak nasi sebelum keluar rumah tradisional Jepun yang cinoni tadi. Jadi kami hendak mencari tempat yang boleh kami duduk makan nasi itu.

Pada mulanya hendak makan di bawah pokok di luar muzium manga itu, tetapi memandangkan di situ ada ulat bulu, maka kami tak jadi duduk kerana ulat bulu itu menggigit sebagaimana amaran yang tertulis pada papan tanda di situ.

Pokok di luar muzium manga ini ada ulat bulu

Kamipun beredar dari situ dan berjalan kaki menuju setesen keretapi. Dalam perjalanan kami mengharapkan ada bangku atau benteng untuk kami duduk makan. Tapi tak ada.

Akhirnya kami mengambil keputusan untuk masuk ke dalam Cafe World Coffee dan duduk di situ. Di dalam cafe itu agak nyaman dan ekslusif. Hiasan dalamannya menarik. Tak ramai orang di situ. Hanya ada 2 buah meja sahaja yang sudah ada orang duduk minum.

Kamipun memesan teh panas kayu manis. Boleh tahan mahalnya harga secawan teh di situ ~ 550 yen (RM17) untuk dua cawan teh. Oleh kerana tiada pilihan, kami terpaksa. Yang pentingnya kami dapat duduk makan nasi yang dimasak di rumah tradisional Jepun Cinoni tadi. Sambil minum sambil makan. 

Rasa segan itu ada juga sebab bawa makanan dari luar tetapi sebelum dapat gastrik lebih baik buat muka tembok. Walaupun nampak ada roti dijual di situ, tapi ragu-ragu juga, mungkin rotinya ada campuran bahan-bahan yang tak halal. Lainlah kalau perut meronta-ronta kebuluran dan tak ada pilihan. Ini dikira darurat. 

Rasa Teh Kayu Manis tu? Rasa teh itu biasa-biasa je, cuma tambah kayu manis je. Jadi adalah sedikit aroma dan rasa kayu manis.

Inilah cafe yang kami masuki
Wanita Jepun yang duduk minum-minum di sebelah meja kami. Minuman yang mereka minum macam ais cendol.
Teh Kayu Manis Kyoto yang kami minum. Tengoklah bilnya ~ 550 yen (RM17) untuk 2 cawan.

Setelah dapat mengisi perut dan minum kamipun mengambil barang-barang yang kami tinggalkan di dalam locker di stesen keretapi. Kami hendak ke Osaka pula. Janji dengan 'Yanushi' (Tuan Rumah) di Osaka, kami akan sampai 10 pagi. Tapi disebabkan syok duduk di Kyoto, perancangan awal tu tak menjadi.

Kami dah lambat ni. 'Yanushi' di Osaka tunggu kami tak? Dapatkah kami duduk di rumah orang di Osaka pula? Nantikan ceritanya dalam entri akan datang.

...bersambung                                                                                  
  ...baca entri akan datang di sini
[] Backpacker Ciput Main Redah di Jepun (14): Dari Kyoto ke Osaka dan Mencari Rumah Untuk Bermalam


Baca kisah sebelumnya melalui pautan di bawah ini:
[] Backpacker Ciput Main Redah di Jepun (7): Naik Keretapi dari Nara ke Kitaoji, Kyoto
[] Backpacker Ciput Main Redah di Jepun (8): Jumpa Makanan Tradisional Kyoto Yang Halal Tetapi...
[] Backpacker Ciput Main Redah di Jepun (9): Menginap di Rumah Tradisional Jepun Yang Cinoni|Small World Guesthouse, Kyoto
[] Backpacker Ciput Main Redah di Jepun (10): Menyapa Keindahan Arashiyama, Kyoto
[] Backpacker Ciput Main Redah di Jepun (11): Membeli-belah, Fesyen Jalanan dan Dua Sungai di Arashiyama, Kyoto
[] Backpacker Ciput Main Redah di Jepun (12): Usyar Geisha di Gion, Kyoto


Sabtu, 16 Ogos 2014

Backpacker Ciput Main Redah di Jepun (12): Usyar Geisha di Gion, Kyoto

Petang itu hujan di Kyoto. Hujan itu terus membawa ke malam. Malam ini adalah malam terakhir kami di Kyoto. Ada banyak lagi tempat yang kami belum teroka. Tiket one-day pass juga masih sah dan boleh digunakan sehingga tengah malam. 

Maka, malam terakhir di Kyoto itu saya dan anak saya merancang untuk mengusyar geisha yang terkenal di Kyoto. Geisha sering saya lihat di dalam filem-filem klasik Jepun seperti A Geisha dan Ugetsu Monogatari arahan Kenji Mizoguchi yang dibuat pada tahun 1953.

Peranan geisha dalam filem klasik berbeza dengan geisha hari ini. Disebabkan oleh peperangan dan negara Jepun mengalami kemelesetan ekonomi ketika itu, ramai wanita dan kanak-kanak perempuan dijual oleh ibu-bapa untuk menjadi geisha bagi menampung kehidupan. Mereka menjadi penghibur di okiya (rumah-rumah geisha) yang dikunjungi kaum lelaki. Tidak kurang juga yang terjebak dalam kancah pelacuran. 

Namun peranan geisha pada hari ini berbeza. Geisha hari ini adalah penghibur dan biasanya berperanan sebagai hos di ochaya (kedai-kedai minum teh). Mereka menari dan bermain muzik di hadapan pengunjung samada di ochaya atau di atas pentas. Mereka juga menghidang teh dan menemani pengunjung minum. Perkhidmatan seks tidak dibenarkan di dalam kegiatan geisha

Geisha dalam sebuah poster yang saya tangkap di stesen keretapi Marutamachi. Poster ini juga terdapat di luar ochaya (kedai-kedai teh) di Gion.

Dikatakan bahawa geisha mudah dijejaki di Gion iaitu kawasan terkenal persembahan geisha. Jadi kamipun ke Gion dengan menaiki bas dari Kitaoji. Selepas 30 minit menaiki bas kamipun sampai di Gion. Ketika itu sudah pukul 9.00 malam. Hujan masih renyai-renyai. Kami mengembangkan payung untuk mengelakkan basah.

Kami lalu di sebuah lorong yang sunyi dan gelap. Ada tanglung-tanglung merah di situ. Mungkinkah ini tempat geisha? Tapi kami tidak memasuki lorong itu kerana ia kelihatan sunyi sepi.

Deretan kedai di Gion. Ketika ini 9.00 malam dan hujan renyai-renyai,

Kami lihat ada deretan kedai yang panjang di kiri kanan jalan. Ada juga kedai-kedai yang masih dibuka. Lampu-lampu bergantungan di hadapan kedai menerangi suasana. 

Kami kemudiannya ternampak sebuah kedai karikatur dan tertarik untuk melihat di dalamnya. Ada dua orang pelukis di dalam kedai itu sedang melukis karikatur. Ada seorang lelaki sedang duduk di hadapan salah seorang pelukis. Pelukis itu melukis gambarnya. Mereka dengan ramah menjemput kami masuk. Payung yang basah kami letakkan dekat pintu. 

Mereka mempelawa kami untuk duduk dan mahu melukis karikatur kami. Katanya boleh siap dalam masa 10 minit. Tetapi kami hanya mahu meninjau-ninjau di dalamnya. Banyak lukisan karikatur dipamerkan di dinding dan di atas meja kedai.

Karikatur yang dihiasi di bahagian depan kedai
Hasil lukisan karikatur yang dipamerkan
Pelukis ini melukis karikatur sepasang pengantin

Kami lalu bertanya kepada pelukis wanita di situ tempat melihat geisha. Dia lalu memberitahu kami tempatnya dengan melakarkan di atas kertas. Katanya ketika itu sudah 9.30 malam dan persembahan geisha sudah selesai. 

Walaupun persembahan geisha sudah selesai, kami masih mahu ke tempat itu. Untung-untung kami dapat lihat geisha keluar dari tempat persembahan dan berjalan pulang. 

Kamipun ke lorong yang dikatakan tempat persembahan geisha itu ~ Hanamikoji nama lorong itu. Itulah lorong yang kami lalu tadi. 

Lorong itu gelap. Tak ramai orang lalu di situ. Cuma ada dua tiga buah teksi masuk. Ketika itu hujan renyai-renyai. Kami sudah sedia mengembangkan payung dan memikul beg serta menggantung kamera di tengkok.


Lorong Hanamikoji ini terkenal dengan tempat persembahan geisha
Lorong ini ada ochaya (kedai-kedai teh) bersenibina lama. Hujan turun renyai-renyai. Ketika ini  9.35 malam. Suasana sunyi.
Ochaya  ini ada bertulis maiko di pintunya

Kami berjalan perlahan-lahan dan nampak ochaya (kedai-kedai minum teh) yang bertulis maiko (geisha muda). Barangkali geisha dan maiko duduk di dalamnya sedang menemani tetamu minum teh? Tetapi sunyi sahaja di situ. Nampak gayanya tiada sesiapa di situ. Kamipun berpatah balik.

Ketika kami beredar dari situ, tiba-tiba kami nampak seorang geisha dan seorang okaa-san. Okaa-san ini berperanan sebagai ibu kepada geisha dan menjaga/memiliki ochaya atau okiya (rumah geisha). Geisha itu sedang keluar dari ochaya sambil itu mendengar kata-kata okaa-san di pintu. Ochaya itu di depan kami sahaja. Geisha dan okaa-san itu nampak kami. Muka geisha itu putih melepak kerana disolek tebal manakala okaa-san tidak memakai solekan. Kedua-duanya memakai kimono dan bersanggul.

Anak saya memberi isyarat kepada saya supaya mengangkap gambar mereka. Ketika itu saya ragu-ragu untuk tangkap gambar mereka sebab takut mereka marahkan saya. Tetapi anak saya terus menggesa saya. 

Oleh kerana memegang payung, hari hujan dan gelap, saya pun kelam-kabut menangkap gambar mereka. Tanpa men'set' kamera, saya main tangkap saja. Geisha itu dengan segera pergi dari situ dengan berjalan laju macam lipas kudung. Tak sempat saya tangkap dengan elok. Tambahan pula saya terkejut. Tak sangka geisha dan okaa-san muncul depan mata...mana nak pegang payung, mana nak pegang kamera, dengan hujan dan cahaya yang gelap lagi. Jadi gambar yang saya tangkap itu kabur. 

Geisha sedang berbincang dengan okaa-san di pintu ochaya. Gambar kabur kerana tak bersedia, malam gelap dan hujan serta tangan saya memegang payung serta kamera.

Kamipun melihat geisha itu lalu di hadapan kami. Dia lalu menyeberangi jalan di Gion dengan lajunya walaupun memakai kimono dan geta (selipar/terompah) bertumit tinggi. Hairan kami melihat dia jalan laju begitu.

Kami masih berdiri di hadapan ochaya itu ketika geisha itu pergi dengan pantas. Okaa-san yang menemaninya tadi segera menutup pintu ochaya itu lalu menghilangkan diri di dalam. Kami pun terus angkat kaki.

Tiba-tiba ada sebuah teksi lalu dan berhenti di belakang lorong. Tak semena-mena dua orang geisha datang dari arah teksi itu berhenti dan mendatangi ochaya tadi lalu masuk ke dalamnya. Sebenarnya geisha itu tidaklah jauh dari kami, tapi disebabkan mereka tetiba saja muncul, berjalan laju dan menutup muka mereka dengan payung apabila nampak kami, tak dapatlah kami tangkap gambar mereka dengan elok. 

Kedua-dua geisha itu segera masuk ke dalam ochaya itu lalu menutup pintu. 

Dua orang geisha sedang masuk ke dalam ochaya. Geisha itu menutup mukanya dengan payung apabila nampak kami. Gambar kabur kerana saya tidak bersedia, tangan saya pula memegang payung dan kamera, malam pula gelap dan hujan.

Itulah pengalaman kami mengusyar geisha di Gion pada jam hampir 10 malam, ketika hujan dan gelap. Walaupun gambar kurang menjadi, namun dapatlah kami tengok muka geisha itu yang disolek putih melepak dan berkimono dari jarak dekat he he he....


...bersambung                                                                                    
 ...baca entri akan datang di sini
[] Backpacker Ciput Main Redah di Jepun (13): Manga & Teh Kayu Manis Kyoto

Baca kisah sebelumnya melalui pautan di bawah ini: