Tagline

A Blog About Traveling Around The World From The Lens and Eyes of A Malaysian-Muslim Woman

Select Your Preferred Language


Select Your Preferred Language
BAHASA MELAYU | ENGLISH

Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini

Adsense



Jumaat, 26 September 2014

Backpacker Ciput Main Redah di Jepun (15): Tinggal Bersama Tuan Rumah di Guesthouse Caminoro, Osaka

R umah untuk bermalam. Itulah pencarian kami petang itu di Mikuni, Osaka. Dengan menggalas dan mengheret beg, kami teruskan pencarian. Pekan Mikuni tidak sibuk. Tak ada seorang pun pelancong. Cuma kami dua beranak sahaja 'makhluk asing'. 

Rumah yang kami cari belum jumpa. Kata yanushi (tuan rumah) di dalam emelnya kepada kami, rumahnya terletak di kompleks kedai berbumbung berdekatan pejabat pos. Kami sudah jauh berjalan melepasi deretan kedai di sebelah kanan stesen keretapi Mikuni. Tetapi masih tidak menemui kompleks kedai berbumbung berdekatan pejabat pos. Arahan yang diberikan kurang jelas, jadi kami sesat sekejap. Kamipun berpatah balik.

Hanya penduduk tempatan di pekan kecil Mikuni 

Sempat juga kami bertanya pada seorang budak sekolah menengah. Kami cakap Inggeris sebab tak tahu cakap Jepun. Pelajar itu pula tak tahu cakap Inggeris, tetapi dia boleh faham bahasa Inggeris kami.

Walaupun dia cakap Jepun kami dapat menangkap maksudnya sebab bahasa isyarat dan bahasa tubuhnya universal. Anak saya kaki manga dan permainan Jepun, jadi dia faham beberapa perkataan Jepun.  

Kamipun mengubah hala pencarian sehinggalah kami bertemu rumah-rumah dan kompleks kedai yang berbumbung. Rumah yang kami cari berada di kompleks ini. Kami melalui kedai buah-buahan, sayur-sayuran, pakaian, dobi, kedai makan dan macam-macam lagi.

Kami ternampak buah epal yang besar-besar, merah dan segar di kedai. Teringin memakannya. Tetapi perkara penting ~ masuk ke rumah dan meletakkan barang ~ mesti diselesaikan dahulu. Kami bercadang untuk keluar semula setelah pendaftaran masuk rumah selesai.

Kedai buah-buahan ini terletak di kompleks kedai berbumbung di Mikuni
Buah epal besar, merah dan segar  ini teringin kami makan. Tapi check in dulu. Nanti datang balik.

Hari sudah semakin lewat petang. Kami sudah menghampiri rumah yang kami cari. Perasaan kami lega. Ia bertambah lega apabila tiba-tiba seorang lelaki menghampiri kami. Lelaki ini tahu kami sedang mencari rumah itu dan tanpa bertanya terus membawa kami ke pintu rumah. Guesthouse Caminoro jelas terpampang di luar pintu. Di sebelahnya kedai dobi.

Inilah pintu Guesthouse Caminoro, sebuah rumah di atas kedai

Kamipun memicit loceng rumah. Tak berapa lama kemudian, yanushi pun keluar dan menyambut kami. Yanushi kami sangat peramah. Mereka suami, isteri dan seorang anak ~ Koji, Taeko dan Moka. Mereka fasih berbahasa Inggeris. Yanushi membantu kami mengangkat beg kerana rumah mereka di atas kedai dan perlu menaiki tangga yang tinggi.

Kami mendaftar masuk hampir 6 petang. Kaunter ini terdapat di tingkat tengah
Maklumat tentang kadar sewa bilik, waktu kaunter dibuka dan nama tuan rumah terdapat di dinding rumah  
Koji (suami), Taeko (isteri), Moka (anak) ~ tuan rumah inapan yang peramah. https://www.facebook.com/caminoro/info?ref=page_internal

Kamipun mendaftar masuk dan membayar baki sewa rumah itu JP¥10,208.00 (RM304.56) untuk dua hari (10% kami sudah bayar pada hostelworld.com). Kaunter terletak di ruang tamu di tingkat tengah. Di ruang tamu terdapat kerusi, bangku, meja, komputer dan skrin televisyen pipih. Di sebelah ruang tamu ada ruang dapur. Ini rumah Jepun yang modern dan rekabentuknya tidak sama seperti rumah tradisional Jepun yang kami inapi sebelum ini.

Ruang tamu
Di sebelah ruang tamu ialah ruang dapur
Boleh duduk berehat di sini dan menggunakan komputer

Yanushi kemudiannya membawa kami ke dalam bilik di tingkat atas. Lantai rumah ini ada yang diperbuat daripada papan dan ada juga tatami tiruan. Bilik dan rumah ini bersih. Kami rasa amat selesa. Bilik ini dihiasi kesenian Jepun modern, dilengkapi dengan alat pendingin hawa, kipas dan penyangkut baju. Katilnya rendah meniru ciri-ciri tradisional Jepun dan dilengkapi dengan gebar gebu, bantal dan tilam yang empuk.

Katil rendah Jepun kami yang selesa
Bilik tidur kami
Hiasan dinding di dalam bilik
Laluan untuk ke bilik tidur

Apabila kami lapar, kami turun ke dapur dan memasak. Semua alat-alat di dapur boleh digunakan termasuklah garam, gula, teh dan kopi. Namun kami membawa sendiri peralatan memasak kami supaya terjaga kehalalan makanan kami.

Ruang dapur
Dapur gas ini kami gunakan untuk memasak
Peti sejuk ada dua. Satu untuk tetamu dan satu lagi untuk tuan rumah
Tong sampah kitar semula dilabelkan dan diasingkan

Bilik air di rumah ini ada dua iaitu di tingkat atas dan di tingkat bawah. Bilik air lelaki di tingkat atas. Untuk menjaga privasi bagi tetamu wanita, bilik airnya diletakkan di tingkat bawah dan dikunci. Untuk membukanya tetamu wanita perlu menekan kata laluan pada pintu.

Yang menyenangkan kami ialah tandas rumah ini sesuai untuk beristinjak kerana disediakan pancutan air di mangkuk tandas.

Bilik air ini untuk lelaki dan diletakkan di tingkat atas
Bilik air ini untuk wanita dan terletak di tingkat bawah. Untuk membukanya, perlu menekan kata laluan pada pintu
Tangga ke bilik air wanita di tingkat bawah
Tandas ini amat sesuai untuk orang Islam kerana disediakan pancutan air untuk beristinjak. Punat-punat di sebelah kanan tandas ini perlu ditekan untuk membenarkan air dipancut dari bawah mangkuk tandas.

Apabila kami selesai mandi dan makan pada kira-kira pukul 8.30 malam, kami keluar berjalan-jalan di sekitar rumah kedai itu. Kami teringin makan epal besar, merah dan segar yang kami lihat petang tadi. Tetapi kedai buah-buahan itu sudah tutup. 

Tidak banyak yang dapat kami lihat kerana kedai-kedai di situ tutup awal dan orang ramai pun mula pulang ke rumah. Cuma ada sebuah kedai buku dan kedai 100 yen sahaja yang masih di buka dan letaknya di stesen keretapi. Menariknya semua barang-barang di kedai 100 yen berharga 100 yen. Murah! Jadi dapatlah kami membeli-belah sedikit.

(Nota: Video tentang kedai 100 yen akan saya kongsikan dalam entri akan datang)

8.30 malam pada musim panas di Mikuni, orang ramai meninggalkan kompleks kedai berbumbung ini
Inilah suasana di luar rumah inapan kami di Mikuni pada waktu malam. Kedai-kedai sudah ditutup.

Kami masuk semula ke dalam rumah dan merancang untuk berjalan-jalan di Osaka pada keesokan harinya. Ke manakah kami akan pergi? Untuk mengetahuinya, ikutilah entri saya yang akan muncul tak lama lagi.

...bersambung                                                                                    ...baca entri akan datang di sini



Baca kisah sebelumnya di bawah ini:

Ahad, 21 September 2014

Backpacker Ciput Main Redah di Jepun (14): Dari Kyoto ke Osaka dan Mencari Rumah Untuk Bermalam

Kyoto, kota yang penuh sumber inspirasi terpaksa saya tinggalkan demi meneruskan perjalanan ke kotaraya Osaka yang belum pernah saya jejaki. Berat rasanya kaki melangkah meninggalkan kota inspirasi ini kerana saya dan anak saya tahu banyak lagi sudut-sudut kota ini belum sempat kami jelajahi.

Kami merasakan yang Kyoto sesuai dengan minat kami. Mungkin ini akan menjadi alasan utama untuk kami kembali lagi.

Setelah melawat Muzium Manga Kyoto, minum teh kayu manis dan mengambil beg di locker stesen Marutamachi kamipun menaiki keretapi menuju ke stesen Kyoto.

Menaiki keretapi JR dari Kyoto ke Osaka

Hampir pukul tiga petang kami berada di stesen keretapi Kyoto yang luas. Kali ini kami perlu menaiki keretapi Japan Railway (JR) ke Osaka. Setelah membeli tiket berharga 560 yen (RM 16.95) seorang kamipun menaiki keretapi JR.

Belum puas memanaskan punggung di kerusi keretapi JR yang pertama kali kami naiki itu, keretapi itupun sampai hanya dalam masa 29 minit sahaja. Dari sini dapatlah kami ketahui bahawa Osaka tidaklah jauh dari Kyoto ~ macam naik keretapi ekspres dari KLIA ke KL Central sahaja.

Laluan Kyoto-Osaka di stesen Osaka menggunakan keretapi JR (Japan Railway)

Kami turun di stesen Osaka dan ternyata stesen ini lebih besar dari Kyoto. Maklumlah Osaka ialah kotaraya yang kedua terbesar di Jepun. Kami ke tingkat atas dengan menggunakan eskalator.

Kami harus berjalan kaki ke stesen Osaka Umeda dan menaiki keretapi Hankyu pula. Ini disebabkan kami akan bermalam di rumah orang di Mikuni dan perlu menggunakan laluan itu. Untuk itu kami mencari arah stesen Osaka Umeda. Ia letaknya di sebelah stesen Osaka. Orang ramai. Namun kami tidak mengalami kesukaran untuk mencarinya kerana papan tandanya mudah dibaca.

Penggunaan eskalator dan papan tanda dalam bahasa Inggeris memudahkan kami mencari stesen Hankyu
Papan tanda yang mudah dibaca

Dari Osaka Umeda ke Mikuni Menaiki Keretapi Hankyu dan Memahami Sistem Keretapi Jepun


Setelah berada di tingkat atas, kamipun menuju ke Hankyu Umeda Station. Mengapa Hankyu pula? Untuk pengetahuan anda, di Kansai ini terdapat pelbagai sistem pengangkutan keretapi yang diusahakan oleh beberapa syarikat pengangkutan. Selain JR yang kami naiki dari Kyoto tadi, terdapat keretapi Hankyu. Ia diusahakan oleh pihak swasta yang beroperasi di laluan lain dan stesennya juga berlainan. Tidak seperti di China perkhidmatan keretapinya dikendalikan oleh kerajaan. 

Ketika mencari laluan Hankyu Umeda jam sudah menunjukkan 4 petang. Langit cerah. Jam ayam jantan ini mudah dilihat dari stesen Osaka
Bunga yang ditanam di antara stesen Osaka dan stesen Umeda
Inilah Stesen Hankyu Umeida yang bersebelahan dengan Hotel New Hankyu. Stesen Hankyu terletak bersebelahan dengan Stesen Osaka. Ia disambungkan dengan jambatan
Apabila kami lihat di bawah, ramai orang melintas jalan
Apabila kami mendongak ke atas, kami lihat bangunan tinggi Yodobashi Umeda
Jambatan ini dilalui untuk menuju ke Stesen Hankyu Umeda dari Stesen Osaka 
Buku ini mengandungi iklan jawatan kosong dan diletakkan di stesen Umeda
Tiket keretapi Hankyu perlu dibeli menggunakan mesin di Stesen Umeda
Laluan berwarna jingga ini adalah landasan 4,5,6 Laluan Takarazuka. Ini ialah laluan ke Mikuni
Hanya 3 stesen sahaja untuk ke Mikuni (HK41) dari Umeda. Perhatikan nombornya semakin besar


Sistem laluan keretapi di sini amat mudah difahami. Ia menggunakan sistem nombor dan nama stesen. Misalnya untuk ke Mikuni dari Umeda kami perlu menaiki landasan nombor 4, 5, 6 dan turun di stesen Mikuni yang bernombor HK41. 

Semakin besar nombor stesen itu semakin jauh perjalanan kami. Jadi sistem nombor ini memudahkan kami untuk mengecam bilangan stesen, tidak seperti di China yang mana sistem nombor tidak digunakan. Di Jepun, sekiranya kami terlajak, kami boleh berpatah balik dengan mudah, hanya dengan berpandukan nombor. 

Inilah keretapi Hankyu. Ia berwarna merah manggis
Penumpang ada yang berdiri dan duduk di dalam keretapi Hankyu
Penumpang Hankyu asyik melayan gadget masing-masing

Sampai di Mikuni


Stesen Mikuni
Mikuni di stesen nombor HK41

Di stesen ketiga sahaja kami sudah sampai di Mikuni. Kamipun mencari rumah untuk kami bermalam selama 2 hari di Osaka. Kami hanya berpandukan emel yang yanushi (tuan rumah) berikan kepada kami untuk menuju ke rumah itu.

Mikuni adalah pekan kecil dan tidak sibuk. Tidak ada pelancong atau kawasan tarikan pelancong di situ. Ia sesuai untuk kami yang sesekali ingin berada lebih dekat dengan orang tempatan. 

Yamato Transport atau Kuroneka (kucing hitam) ini ialah perkhidmatan pindah dan menghantar barang yang selalu kami lihat di Kansai.
Bangunan di Mikuni ~ Kita Osaka, 'Kita Serupa' :)

Kami terus mencari rumah itu yang dikatakan tidak berjauhan dari stesen keretapi. Kami cari dan cari. Tapi tak jumpa-jumpa. 

Dapatkah kami menemui rumah itu? Ikutilah kisahnya dalam entri akan datang.

...bersambung                                                                                  

 ...baca entri akan datang di sini
[] Backpacker Ciput Main Redah di Jepun (15): Tinggal Bersama Tuan Rumah di Guesthouse Caminoro, Osaka 

Baca kisah sebelumnya melalui pautan di bawah ini:
[] Backpacker Ciput Main Redah di Jepun (7): Naik Keretapi dari Nara ke Kitaoji, Kyoto
[] Backpacker Ciput Main Redah di Jepun (8): Jumpa Makanan Tradisional Kyoto Yang Halal Tetapi...
[] Backpacker Ciput Main Redah di Jepun (9): Menginap di Rumah Tradisional Jepun Yang Cinoni|Small World Guesthouse, Kyoto
[] Backpacker Ciput Main Redah di Jepun (10): Menyapa Keindahan Arashiyama, Kyoto
[] Backpacker Ciput Main Redah di Jepun (11): Membeli-belah, Fesyen Jalanan dan Dua Sungai di Arashiyama, Kyoto
[] Backpacker Ciput Main Redah di Jepun (12): Usyar Geisha di Gion, Kyoto
[] Backpacker Ciput Main Redah di Jepun (13): Manga & Teh Kayu Manis Kyoto

Sabtu, 13 September 2014

Mengidam Lamien (Mee Tarik)

S aya mengidam lamien ~ makanan orang China-Muslim di China. Lamien bermaksud mee tarik. Saya pernah tinggal di Beijing China selama 9 bulan dan selama itu hampir setiap hari saya makan lamien

(Bagi anda yang ketinggalan mengikuti kehidupan dan kembara saya selama 9 bulan di China bolehlah imbas kembali entri berkaitan dengannya yang saya tulis dalam blog ini. Kesemua entri itu saya poskan langsung dari China. Sila klik DI SINI).

Istimewanya lamien ini disebabkan ia dibuat serta-merta di restoren selepas kita 'order' dan mesti dihidangkan panas-panas dan segar-segar. Ini yang membuatkan ia sedap. Tambahan pula, lamien mahir dibuat dan dimasak oleh orang etnik Hui iaitu orang China-Muslim

Apabila mengidam makanan yang biasa kita makan di luar negara, apa yang perlu kita buat? Nak buat sendiri tak tahu. Nak ke Beijing semata-mata makan lamien, rasanya tak berbaloi. Di Malaysia boleh tak dapat lamien ini?

Saya dah dengar yang lamien boleh didapati di Sungai Besi. Tapi bilalah nak ke sananya? Saya tinggal di Penang.

Jadi baru-baru ini saya ke Kuala Lumpur kerana bertugas. Selepas bertugas, saya keluar makan malam dan mencari restoren yang menyediakan lamien ini. Saya minta student saya Nafishah bawakan. Nak tahu di mana? Jom ikut saya.

Nafishah dan keluarganya membawa saya ke Restoren Mee Tarik Warisan Asli di Sungai Besi. Orang masih belum ramai lagi semasa kami sampai pada pukul 8.30 malam.

Kami sampai di restoren ini kira-kira pukul 8.30 malam. Nama restoren itu ialah Mee Tarik Warisan Asli. Letaknya tidak jauh dari stesen LRT Sungai Besi. Ia terletak di deretan kedai-kedai tidak jauh dari Pizza Hut dan Bank Muamalat. 

Ketika kami sampai, orang belum ramai lagi. Tetapi lama kelamaan selepas solat isyak, orang semakin ramai memenuhi restoren itu.

Orang mulai ramai selepas 9.00 malam

Restoren ini luas dan menggunakan dua buah kedai. Apabila saya duduk di kerusi yang disediakan, saya terus nampak menu yang dipaparkan di dinding restoren sebagaimana biasa saya lihat di China. 

Gambar ini diletakkan pada dinding Restoren Mee Tarik Warisan Asli
Gambar cara mee tarik dibuat diletakkan di dinding restoren

Seorang pelayan perempuan beretnik Hui datang ke meja kami dan mengambil 'order'. Gaya pelayan ini berpakaian dan bertudung sama macam orang Hui yang biasa saya lihat di China. Yang mengagumkan saya, dia sudah boleh berbahasa Melayu sedikit-sedikit.

Ketika ini saya teringatkan kenangan saya di China, orang di sana tak tahu bahasa lain selain dari bahasa China. Saya sahaja yang bertungkus-lumus cakap China supaya orang faham saya. Oleh sebab itu saya masih ingat beberapa perkataan China yang sering saya gunakan semasa di China. Di restoren Mee Tarik Warisan Asli ini saya memesan makanan dengan menggunakan bahasa China yang biasa saya guna itu. 

Pelbagai masakan mee tarik boleh didapati di sini dengan harga di antara RM6.00-9.00
Minuman yang ada di restoren ini

Sambil menunggu makanan siap, kami terlihat pembuat lamien dan ramai tukang masak di dapur. Mereka semua beretnik Hui. Saya pasti mereka ini orang Hui sebab rupa paras dan pakaian mereka sama seperti orang Hui yang saya biasa lihat di serata China. Dapur itu bercermin. Kamipun ke situ dan melihat mereka membuat lamienCara mereka buatpun sama macam di China

Dapur restoren Mee Tarik Warisan Asli di sebalik cermin. Tukang masaknya semua dari China
Pembuat lamien sedang menarik tepung untuk dijadikan mee tarik
Lamien yang telah dihasilkan dalam masa 5 minit
[Untuk melihat cara membuat lamien di China sila lihat entri saya tentangnya DI SINI (Beijing), SINI (Tianjin) dan  SINI (Shanghai)].


Tak lama, kira-kira 10 minit kemudian, makanan yang kami 'order' tadipun sampai. Apalagi sayapun menyantapnya dengan penuh berselera. Rasanya? Hmmm sama macam di China. Sedapnya!!!!!! Gembiranya saya. Alhamdulillah. 

Niuro lamien (RM6) yang saya makan dengan teh ba bao (RM4)
Lamien cendawan (RM8) ini pilihan Nafishah
Lamien ayam (RM8)
Sekejap je dah habis lamien ni

Jadi bagi anda yang ingin merasa makan lamien ini bolehlah ke restoren Mee Tarik Warisan Asli di 51A Jalan Tasik Utama 3, Medan Niaga Tasik Damai, Sungai Besi. 

Permohonan sijil halalnya dalam proses

Mungkin ada yang tertanya-tanya tentang cerita backpack saya ke Jepun. Sebenarnya cerita backpack ke Jepun belum habis lagi. Ini disebabkan saya terlalu sibuk bertugas di universiti. Maklumlah sidang akademik baru dibuka. Nantikan sambungannya ya... :)