Tagline

A Blog About Traveling Around The World From The Lens and Eyes of A Malaysian-Muslim Woman

Select Your Preferred Language


Select Your Preferred Language
BAHASA MELAYU | ENGLISH

Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini

Adsense



Khamis, 15 Disember 2011

Ras Al Khaimah: Salji di Padang Pasir

Ras Al Khaimah adalah satu daerah di Emirat. Letaknya agak jauh dari Dubai kira-kira 100km. Letaknya bersebelahan negara Oman. Kalau Allah tidak mempertemukan saya dengan Mariam di Abu Dhabi tempoh hari saya tak akan sampai ke sini.

Mariam ada beberapa buah kereta, pemandu dan pembantu rumah. Saya dibawa ke mana-mana saja oleh Mariam.

Hari ini pada tanggal 24 Januari 2009, adalah hari yang bersejarah. Saya dibawa oleh Mariam ke Ras Al Khaimah. Ada suatu keajaiban berlaku di  sini.

Padang pasir sepanjang jalan dari Dubai ke Ras Al Khaimah


Sepanjang-panjang perjalanan dari Dubai ke Ras Al Khaimah, hanya terdapat padang pasir yang luas.

Hanya ada bukit pasir dan pohon renek di padang pasir

Bukit-bukit pasir ini dihembus angin dan terbang. Tiada pohon tinggi tumbuh di padang pasir.

Kawasan padang pasir menuju ke Ras Al Khaimah, Emiriyiah Arab Bersatu yang gersang

Pemandangan ini memukau saya. Saya belum pernah melihat padang pasir dalam seumur hidup saya. Kadang-kadang kelihatan unta berjalan di padang pasir ini, mengingatkan saya dengan kisah-kisah pengembaraan orang Badwi yang saya baca dalam buku geografi ketika sekolah rendah dahulu.

Sudah sampai di pekan Rasi Al Khaimah

Memang benar-benar di luar jangkaan yang saya dapat ke sini. Tambahan pula satu kejadian pelik tapi benar berlaku di Ras Al Khaimah ketika saya berada di sini. Bumi Emirat yang sentiasa panas dan berpadang pasir itu tiba-tiba dihujani dengan salji. "Kun fayakun", firman Maha Pencipta, maka jadilah mengikut kehendakNya. Subhanallah.

Keluarga Mariam bergurau kepada saya, "Salji sudah 40 tahun tidak turun di sini. Tapi hari ini turun kerana menyambut kedatangan awak.!"

Alhamdulillah...berita salji turun di sini menggemparkan dan mendapat liputan media. Sekiranya anda berminat untuk membaca liputan media itu sila klik di sini:


Saya mengikut keluarga Mariam ke sini untuk menyaksikan salji itu. Kami menuju  ke Jabel Jais kerana dikatakan salji turun di situ.

Jabel Jais di Ras Al Khaimah. Salji turun di sini pada 24 Januari 2009. Saya ambil gambar ini dari kaki bukit.


Kelihatan Jabel Jais dari jauh. Keadaannya mendung dan kelihatan kabus pekat, menggambarkan cuaca sejuk dan ada salji. 

Tapi malangnya sesampainya kami di kaki bukit, jalan di tutup. Kami tidak dibenarkan naik ke atas bukit. Kawasan itu ditutup kerana salji turun dan pihak penguasa tidak membenarkan kami naik kerana bimbangkan akan keselamatan orang ramai. 

Salji di Jabel Jais, Ras Al Khaimah yang menutupi bumi Emiriyah Arab Bersatu yang gersang. Pelik tapi benar!

Beginilah (lihat gambar di atas) keadaan salji turun di Ras Al Khaimah. Saya hanya dapat lihat ini dalam surat khabar keesokan harinya.

Oleh kerana kecewa tidak dapat menaiki Jabel Jais kami berubah arah. Kami ke hospital milik keluarga Mariam yang tidak jauh dari situ. Keluarga Mariam memiliki sebuah hospital swasta yang dikongsikan dengan syarikat Swiss dan kerajaan Ras Al Khaimah, iaitu RAK Hospital. 

Mariam  berpakaian hitam membawa saya ke kaunter di RAK Hospital


Mariam membawa saya keliling RAK Hospital.

Farmasi di RAK Hospital

Farmasi dalam RAK Hospital

Cafe dalam RAK Hospital

Cafe disediakan dalam hospital ini

Dalam bilik operasi di RAK Hospital
 

Peralatan yang terdapat di RAK Hospital.

Wad yang mewah

Ward yang disediakan memang selesa dan mewah. Ada bilik mandi dan ruang tamu yang terpisah.

Hari terakhir saya di Emiriyah Arab Bersatu, saya dihantar ke lapangan terbang oleh Mariam dari Dubai ke Abu Dhabi. Satu perjalanan yang jauh, kira-kira 160km.

Tiba di lapangan  terbang Abu Dhabi, Ally jurutera yang saya kenali di Abu Dhabi sudah menanti saya. Ally mengajak saya makan malam dan menemani  saya check in kapal terbang untuk pulang ke Malaysia.

Inilah kisah saya di Emiriah Arab Bersatu. Banyak kenangan manis saya di sini. Allah telah mempersatukan hati-hati insan yang baru berkenalan dan mengekalkannya hingga ke hari ini. Alangkah mulianya hati insan-insan ini, semoga Allah membalas kebaikan insan-insan ini terhadap saya.

Mariam, Ally, Prof AR, Khaled, "Don't be a stranger when you are in Malaysia. Please keep in touch."


Sharjah: Kota Elegan

Sebelum ke Emiriah Arab Bersatu ini saya berangan-angan untuk ke Sharjah. Khaled, pelajar saya dari Palestin  yang pernah ke sini, telah memberitahu  saya sedikit tentang Sharjah.

Semasa di Abu Dhabi Profesor AR telah mempelawa saya ke Sharjah kerana di situlah dia bekerja. Dia akan menjemput saya kalau saya di Dubai nanti.

Ditakdirkan Allah saya pun sampai di Dubai. Saya berpeluang untuk ke Sharjah. Profesor AR ingin sekali menjemput saya. Mariam juga. Setelah berbincang, akhirnya Mariam yang bawa saya ke Sharjah. Kami ke American University of Sharjah dengan kereta yang dipandu oleh pemandu Mariam.

American University of Sharjah letaknya 170km dari Abu Dhabi. Tapi dari Dubai, kira-kira 20km. Sharjah adalah salah satu daripada 7 negeri dalam Emiriyah Arab Bersatu yang diketuai oleh seorang Sultan. Untuk pengetahuan anda, Sharjah masih mengamalkan sistem monarki. Sharjah terletak di antara Dubai dan Ras Al Khaimah. Sharjah adalah tempat kegemaran bagi expatriat untuk bekerja dan tinggal. Kos hidup di Sharjah lebih murah berbanding dengan Dubai. Menurut Profesor AR dia juga expatriat yang berasal dari Syria.

Apabila sampai ke American University of Sharjah saya terpesona dengan lanskap dan senibina bangunannya. Saya melihat-lihat persekitaran kampus.

Kemudian saya bertemu dengan Profesor AR di pejabatnya. Saya pun memperkenalkan Mariam pada Profesor AR. Profesor AR adalah seorang Profesor yang sibuk, gigih bekerja dan dihormati di universiti ini. Dia telah membangunkan American University of Sarjah sehingga mendapat akreditasi kerajaan Emiriyah. 

Di sinilah Profesor AR bekerja.

Kemudian Profesor AR membawa saya dan Mariam berkenalan dengan rakan-rakannya dan berbual-bual dengan siswa-siswinya. Dari sini saya dapat mengetahui bahawa Profesor AR adalah Profesor yang dihormati dan disayangi siswa-siswinya. Saya kagum.




Bahagian depan American University of Sharjah.

Senibina dan lanskap American University of Sharjah yang mengagunkan

Senibina dan lanskap yang elegan di American University of Sharjah.


Sebahagian siswi American University of Sharjah.


Siswi American University of Sharjah kelihatan elegan. Mereka memakai make-up, berkasut tumit tinggi, bergaya dan berdandan ke kuliah. Tak macam kebanyakan siswi di Malaysia atau USA.


Saya menemani Mariam membayar yuran pengajian anaknya di sini. Menurut Mariam, universiti ini dihadiri oleh anak-anak orang berada.

Perpustakaan American University of Sharjah.

Kemudian saya melawat perpustakaan American University of Sharjah.

Seting yang selesa dan teknologi canggih dalam perpustakaan.
Ruang membaca di perpustakaan American University of Sharjah.


Fakulti-fakulti di American University of Sharjah.

Siswa dan siswi di hadapan Fakulti Seni dan Sains di American University of Sharjah.

Begitulah kisah saya di Sharjah, Kota Elegan ini. Elegan kotanya, elegan jua insan-insannya.  Tersimpul ikatan ukhwah antara insan-insan ini yang datang dari berbeda benua. Terlalu manis bagi yang memahami. Saya, Profesor AR dan Mariam baru mengenali di antara satu sama lain. Hanya melalui pertemuan singkat di Abu Dhabi tempoh hari telah membuatkan ikatan kami mesra dan kuat.

Saya melihat kejujuran Mariam dan Profesor AR. Kejujuran mereka terpasak di hati saya sehingga saya mampu mengarang puisi di bawah ini. 


Ukhuwah ini,
janganlah dinodai,
dengan sedetik mazmumah hati,
dengan nafsu serakah keji,
jangan dek kerana memilih posisi
melampiaskan kepentingan diri
Ya Rab, satukan hati-hati kami,
sirami ia dengan nur Ilahi,
teruskan ia mewangi,
sehingga akhir nanti.

Firman Allah subha Nahu Wa Taala yang mahfumNya: "Bahawa orang-orang yang beriman itu bersaudara." (Al Hujurat:10).

"Pada hari itu sahabat-sahabat karib: Sesetengahnya akan menjadi musuh kepada sesetengahnya yang lain, kecuali orang yang persahabatannya berdasarkan takwa (iman dan amal soleh)." ( Az-Zukhruf:67)

...bersambung

Dubai: Fridge Magnet Pamer Dubai Urban

Inilah fridge magnet (FM) mengenai Dubai yang saya beli sebagai kenangan manis saya di sana.  Agak sukar untuk saya mencari fridge magnet di UAE ini kerana tidak ada banyak pilihan.

 





Pada magnet ini kelihatan bangunan Burj Al Arab (kiri) dan Burj Khalifa (kanan). Mercu tanda Dubai. Magnet ini dibuat daripada besi.



Magnet peti sejuk Burj Al Arab ini dibuat dari polyresin. Burj Al Arab ialah hotel 7 bintang yang letaknya di tepi laut di kawasan pantai Jumeira.

Magnet di atas ini pula dibuat daripada getah. Kelihatan gambar bangunan-bangunan tinggi di kota Dubai.


...bersambung

Rabu, 14 Disember 2011

Dubai: Membeli-belah Gaya Sempoi (Bhg II)

Di sini saya sambung Kembara saya di Dubai sambil membeli-belah.

Mengembara sambil membeli-belah di Dubai dengan "Gaya Sempoi"? Macammana tu? Bagaimana saya boleh sampai ke tempat-tempat mewah ini dengan budget yang rendah? Di sini saya beri beberapa panduan untuk ke sana dengan berjimat dan membeli-belah dengan budget yang rendah.

Menaiki Big Bus di Dubai


Naiklah Big Bus. Hanya dengan membayar 200 dirham (RM190), kita boleh sampai ke semua tempat-tempat menarik dalam masa 24 jam. Memang berbaloi berbanding dengan menyewa teksi atau menyewa kereta. Kerana parking di sini susah nak dapat dan kalau dapatpun tersangatlah mahal. Tambang teksi juga amatlah mahal. Jadi dengan menaiki Big Bus ini memang menjimatkan duit. Bolehlah kita katakan kita telah membuat pilihan yang bijak.

Big Bus ini membawa kita ke 21 tempat dalam masa 24 jam. Kita boleh berhenti di satu tempat. Turun, jalan-jalan ikut kesesuaian masa kita dan naik semula bas. Bas berikutnya yang bergerak secara "hop-on hop-off" akan datang dalam masa 20 minit dan membawa kita ke tempat seterusnya.


Deira City Centre

Perjalanan bermula di Deira City Centre, sebuah Pusat Membeli-belah di daerah Deira. Di sini jugalah tempat membeli tiket bas ini. Daripada kecewa mencari tempat letak kereta dengan kesesakan di kota Dubai, lebih baik kita bayar 200 dirham pada Big Bus ni. Lebih berbaloi dan sempoi. Datanglah ke Deira City Centre pada awal pagi.




Semasa saya menaiki bas ini, saya diberi earphone untuk mendengar rakaman penerangan tentang tempat-tempat sepanjang perjalanan. Ada 8 bahasa yang saya boleh pilih. Saya pilih bahasa Inggeris.
  

Tempat menunggu bas bertutup


Selain daripada Big Bus, kita boleh pilih untuk menaiki bas penumpang biasa. Semasa saya pergi ke Dubai, tempat menunggu bas ini letaknya tidak berjauhan dengan hotel saya. Cuba anda lihat gambar di atas. Lihatlah tempat menunggu basnya, amatlah sempoi kerana ia bertutup dan berkaca. Inilah perhentian bas bertutup pertama yang saya lihat.


Tempat-tempat Menarik Laluan Big Bus


Burj al-Arab

Salah satu tempat yang saya pergi ialah Pantai Jumeirah. Di tepi pantai ini terdapat taman dan Burj al-Arab. Burj al-Arab ialah satu-satunya hotel bertaraf 7 bintang yang terdapat di dunia. Lihatlah Burj Al-Arab ini yang saya tangkap. Gambarnya yang di atas tu.. Cantik bukan?

Berketinggian 321 meter ia juga adalah bangunan kedua tertinggi di dunia. Ia dibina di atas sebuah pulau buatan manusia dan menjadi lambang transformasi urban Dubai. Ia meniru bentuk layar kapal. Dibina pada 1994 dengan kos AS$650 juta ia adalah hasil rundingan dengan syarikat dari United Kingdom.

Dalam perjalanan sekitar Dubai saya dapat lihat masjid tercantik di Dubai: Masjdi Jumeirah. Ia terletak di Jalan Jumeirah.

Jalan Jumeirah
Masjid Jumeirah

Struktur batuan Masjid Jumeirah ini adalah satu lambang senibina Islam yang modern. Kita boleh lihat lampu-lampu indah menghiasi Masjid Jumeirah. Bilik solat wanita di Masjid Jumeirah juga disediakan. Kesenian Islam terserlah pada menara Masjid Jumeirah.



Hotel/Tempat Menginap

Siapa kata hotel-hotel di Dubai mahal-mahal belaka? Dubaipun ada budget hotel juga. Saya sewa hotel yang hanya 150 Dirham (RM140) semalam tetapi selesa. Hotel ini sudah saya tempah secara online sebelum pergi ke Dubai. Hotel ini letakknya di tengah-tengah kota Dubai. Hotel ini pula tak bising. Awas, kebanyakan hotel ada kelab Bollywood...bunyinya yang kuat membuatkan kita tidak boleh tidur.

Di Dubai saya menginap di dua buah hotel. Gambar di bawah ini ialah hotel pertama yang saya duduki di Dubai. Hotel ini cuma 150 dirham (RM140) semalam.

Dalam bilik Hotel K-Porte Inn. Hotel ini letaknya di tengah-tengah kota Dubai
Bilik air Hotel K-Porte Inn, di Dubai


Manakala di bawah ini ialah hotel kedua yang saya duduki: Sadaf Hotel. Kedai-kedai terdapat di sekelilingnya. Memang mudah untuk mendapatkan makanan dan barang-barang keperluan dari kedai-kedai yang berdekatan.

Sadaf Hotel juga letaknya di tengah-tengah kota Dubai
 
Bilik air Sadaf Hotel
Bilik Sadaf Hotel

 

Makan

Makan tidak menjadi masalah kerana restoren halal memang banyak di sini. Saya makan di tempat-tempat yang biasanya dibuka oleh orang Pakistan. Ia banyak terdapat berdekatan dengan hotel-hotel. Hotel pula menyediakan sarapan pagi percuma dan menyediakan shuttle bus percuma ke Pusat Bandar.


Gaya Apa Paling Sempoi?

Gaya yang paling sempoi sekali ialah berkenalan dengan orang Dubai. Di sana saya berkenalan dengan beberapa orang kawan baru. Kawan-kawan yang saya kenali pula baik-baik orangnya. Hubungan kami berkekalan sehinggalah ke hari ini. Di antaranya ialah Mariam dan Profesor AR. Saya kenali mereka ketika membentangkan kertas kerja di Abu Dhabi.

Mereka mengundang saya makan di rumah mereka, membawa saya melawat Dubai dan ke tempat-tempat yang lebih jauh seperti Ras Al-Khaimah, Sharjah, padang pasir dan lain-lain tempat yang pelancong tak pergi. Mariam tinggal di kawasan mewah di Dubai iaitu Jumeirah. Dia mempunyai perniagaan di merata dunia dan pemandunyalah yang mengambil dan menghantar saya.




Di atas ini gambar Canadian University of Dubai. Mariam bawa saya ke sini. Canadian University of Dubai menawarkan kursus undergraduate dalam bidang seni dan sastera. 





Dubai juga adalah kota media. Kelihatan dalam gambar di atas ialah menara kembar di Dubai. Untuk melihat menara kembar ini saya harus ke Jumeirah.




 Burj Khalifa Dubai.

Lihatlah gambar di atas. Inilah Burj Khalifa Dubai. Saya tangkap gambar ini (yang atas) dari dalam teksi dalam perjalanan dari Abu Dhabi ke Dubai. Pemandu teksi tu yang beritahu saya inilah bangunan yang bakal menjadi bangunan tertinggi di dunia. Ia terletak di tengah-tengah kota Dubai. Ketika saya ke sana ia masih lagi dalam pembinaan. 


Pada tahun 2010 barulah ia siap dibina dan menjadi bangunan tertinggi di dunia. (Tengok gambar yang yang di bawah ini, saya ambil dalam google image.com, yang ni dah siap).  Ia ada 163 tingkat. Lifnya dikatakan terpantas di dunia. Bayangkan..terpantas di dunia...mungkin saya pening kalau naik lif laju macam ni.

Burj Khalifa Dubai yang siap pada tahun 2010. Gambar ini dari google. image.com

Muzium Dubai


Walaupun Profesor AR adalah seorang yang sibuk tetapi beliau sanggup menggadaikan masa beliau untuk membawa saya ke Muzium Dubai.

Muzium Dubai adalah bangunan yang tertua di Dubai. Ia dibina pada tahun 1787 dengan Kubu Al Fahidi bertujuan untuk menjaga kota itu daripada serangan musuh.

Halaman depan Kubu Al Fahidi yang terdapat di situ adalah tinggalan orang Arab. Muzium ini merumuskan budaya dan sejarah orang-orang Arab melalui gambar-gambar, patung-patung, kraf tangan dan barang-barang yang dipamerkan. 

Berikut adalah antara barang-barang tradisional orang Arab Emiriyah dan aktiviti tradisional mereka yang dapat dilihat  di dalam Muzium Dubai.  



Rumah-rumah di Jumeirah


Jumeirah adalah kawasan yang dihuni oleh golongan berada. Ia terletak di pinggir pantai. Di sinilah saya terpesona dengan senibina rumah-rumahnya.

Rumah-rumah dengan gaya villa dibina dengan megah di kawasan mewah Jumeirah ini.



Kemudian Mariam membawa saya ke rumahnya di kawasan mewah Jumeirah. Saya makan tengahari dan malam di rumahnya. Walaupun mereka orang berada tetapi gaya hidup mereka sangatlah sempoi...

Mariam di rumahnya bersama keluarga

..bersambung