Kalau sebelum ini saya asyik menceritakan tentang membeli-belah gaya
mewah, kali ini saya hendak menceritakan membeli-belah gaya sempoi
pula.... gaya inilah yang paling saya suka...kerana inilah gaya yang paling
"happening".
Tempat yang menjadi tumpuan ialah Muara Sungai
Dubai. Muara Sungai Dubai adalah jantung dan nadi Dubai. Ia memisahkan
dua daerah iaitu Deira dan Bur Dubai. Muara Dubai ini adalah kawasan air laut
yang sempit yang memasuki tanah daratan. Ia adalah pelabuhan
perdagangan lama di Dubai. Pelabuhan lama ini masih digunakan untuk
aktiviti pengangkutan barang-barang dagangan. Tidak sah ke Dubai kalau
tidak ke Muara Sungai Dubai ini. Tempat ini telah menjadi tumpuan ramai
dan terdapat souk (pasar) untuk mereka yang gemar membeli-belah dengan
gaya sempoi.
Ketika saya ke sini sudah masuk musim dingin (winter) iaitu
bulan Januari 2009. Musim dinginnya memang nyaman.
Di musim dingin air Muara Dubai
mengalir segar. Anginnya bertiup sepoi-sepoi bahasa. Aduhai nyaman
sekali...Burung-burung camar melebarkan sayap dan terbang
berkawan-kawan menikmati angin musim dingin di Muara Dubai. Sesekali
mereka menjunam membasahi diri ke dalam air laut yang dingin ini.
Saat-saat yang tak sanggup saya lepasi. Aduhai..aduhai..aduhai...
Menghirup udara petang musim dingin di Muara Dubai ini boleh menghilangkan lelah setelah penat bekerja.
Muara Sungai Dubai
memisahkan dua daerah iaitu Deira di seberang sini dan Bur Dubai di
seberang sana. Asyiknya saya menikmati pemandangan Muara Dubai ini.
Tubuh saya dibelai angin musim sejuk yang nyaman. Ohh..tidak ingin saya
lepasi.
Hari ini hari Jumaat,
hari cuti di Dubai. Petangnya amat besesuaian untuk menyusuri Muara
Dubai dengan abra (teksi air). Bukan mahal pun tambangnya. Cuma dua
dirham (RM1.80) saja!
Kalau lapar, kita boleh pilih untuk makan di restoren dalam bot atau di restoren tepi sungai. Tapi kenalah bayar lebih.
Makan sehidang kofta dan
shish di tepi Muara Dubai sebenarnya kita bayar untuk pemandangannya
bukan makanannya.
“We pay for the view”, kata kawan baru saya yang sudah 13 tahun menjadi profesor
di Sharjah berhampiran Dubai. Yang sempoinya, Profesor AR
yang belanja saya makan...Ingat tak dalam pos yang lepas saya beritahu saya kenal Profesor ini semasa persidangan Alam Sekitar di Abu Dhabi? Apabila saya ke Dubai dia membawa saya makan di sini.
Souk atau pasar
tradisional terdapat di merata-rata Dubai. Tetapi yang sering menjadi
tumpuan ramai ialah di pinggir Muara Dubai.
Oleh kerana petang ini
Jumaat, maka ramailah orang berpusu-pusu membeli-belah. Sungguh ramai
sekali! Tapi saya tak rasa takut dicopet kerana Dubai adalah antara
kotaraya yang terselamat di dunia.
Di souk tradisional ini
kita boleh membeli-belah dengan harga yang murah. Boleh tawar-menawar
pulak tu. Peniaga-peniaganya terdiri daripada orang keturunan Pakistan.
Terdapat kain ela, stokin, kasut, beg, pakaian, makanan dan macam-macam
lagi.
Peniaga ni melambakkan
kain-kain jualan di pintu hadapan kedai mereka sambil memanggil-manggil
orang yang lalu-lalang. Betul-betul sempoi.
Antara peniaga-peniaga di
situ ada yang cam saya orang Malaysia, lalu bercakap Melayu dengan saya.
“Murah, murah, lima dirham, lima dirham..ini samosa, ini pisang goreng!”
katanya. Sayapun beli samosa ini untuk makan malam. Dengan 5 dirham (RM4.80)
sahaja saya dapat sebungkus samosa, kira-kira 10 biji. Hmm cukup
mengenyangkan.
Peniaga stokin ini juga
boleh berbahasa Melayu. Katanya dia pernah bekerja di Malaysia. Kita
boleh tawar menawar dengan beliau dengan harga yang murah, dalam bahasa
Melayu pulak tu. Hmmm..memang sempoi.
Selain ke souk
tradisional saya juga ke souk rempah. Kita boleh membeli rempah-ratus dan
kekacang dengan harga yang murah. Sebagaimana di souk tradisional,
peniaga-peniaganya terdiri daripada orang keturunan Pakistan.
Di souk rempah ini
peniaganya menjual kekacang, shisha, wangi-wangian, herba dan manisan.
Bolehlah beli sebuah botol shisha untuk kenang-kenangan.
Sempoinye...Kekacang dan
rempah ratus ini diletakkan dalam guni dan dibiarkan terbuka. Hidung saya
pastinya menghidu aroma rempah ratus ini ketika melalui souk (pasar)
rempah ini.
Emas 24 karat boleh di
beli di souk (pasar) emas tidak jauh dari Muara Dubai di daerah Deira
ini. Inilah pasar emas terbesar di dunia.
Emas-emas ini dipamerkan
di ruangan kedai yang berkaca. Dikatakan harga emasnya paling rendah di
dunia. Kalau tak membeli semayam emaspun, paling kurang menjamu mata
seperti saya sudah memadai.
Di souk emas ini bukan kaum hawa saja yang berminat tetapi kaum adam pun turut sama.
Berduyun-duyun manusia membanjiri
souk (pasar) emas ini. Yang paling sempoinya tidak ada pegawai
keselamatan dengan senapang patahnya berdiri mengawal kedai. Anda tahu
kenapa?
Berbelanja di tempat-tempat ini tidaklah mahal. Yang penting tahu
memilih tempat yang sesuai dengan selera masing-masing. Di siri yang
akan datang akan saya ceritakan bagaimana untuk sampai ke tempat-tempat
ini, di mana nak letakkan kepala bila sudah mengantuk dan berapa
fulusnya.
Nantikan siri "Membeli-belah Gaya Sempoi (Bhg II)" pada siri yang akan
datang.
...bersambung
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kini giliran anda pula untuk memberi pandangan/ulasan.
Ulasan tanpa nama akan dipadamkan.