Tagline

A Blog About Traveling Around The World From The Lens and Eyes of A Malaysian-Muslim Woman

Select Your Preferred Language


Select Your Preferred Language
BAHASA MELAYU | ENGLISH

Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini

Adsense



Rabu, 26 September 2012

Raya di Beijing Bersama Ribuan Umat Islam


Sebulan sudah Syawal berlalu, namun bahang kegembiraan menyambut Raya di Beijing masih terasa oleh saya dan keluarga saya. Pengalaman dan suasana yang kami rasai amat berbeza dengan yang pernah kami hadapi di tempat lain. Dua minggu sebelum habis Ramadhan ahli keluarga saya sudah berada di Beijing. Kebetulan pula cuti semester universiti ketika itu, maka kami dapatlah berpuasa dan beraya bersama-sama.

Di Beijing kami berhari raya pada hari Ahad, 19 Ogos 2012. Sebenarnya kami ada dua pilihan:
1. Menyambut raya di Kedutaan Malaysia Beijing dengan  makanan disediakan selepas solat,

ATAU
2. Menyambut raya di Masjid Niu Jie (masjid tertua  dan terbesar di Beijing selatan) tanpa makanan disediakan.
Yang mana satukah yang kami pilih?

Setelah berbincang, kami sekeluarga bersetuju untuk menyambut raya di Niu Jie. Kami ingin merasai suasana beraya bersama umat Islam China. Ini adalah keunikan yang kami cari. Peluang ini tidak akan kami lepasi.

Kalau anda bagaimana?

Maklumat waktu solat telah kami perolehi melalui imam-imam dari Masjid Dongsi dan Nandouya ketika kami solat dan membayar zakat fitrah di masjid itu. Kami diberitahu bahawa bayaran zakat fitrah ialah 15-20 yuan (RM7.50-10.00) seorang. Waktu berkumpul untuk solat sunat Aidil Fitri di semua Masjid di Beijing ialah pukul 9.00 pagi, tetapi kutbah akan diberikan terlebih dahulu. Ini bermakna, solat akan bermula setelah setengah jam kutbah disampaikan. Mereka mengatakan bahawa ramai orang akan berkumpul di Masjid Niu Jie.


1 Syawal 1433 Yang Cerah dan Indah


Pada pagi 1 Syawal 1433 yang mulia itu kami keluar seawal 6.00 pagi kerana perjalanan harus melalui beberapa jenis kenderaan dan laluan: naik beng beng (beca bermotor), naik keretapi subway tiga kali tukar, naik bas dan jalan kaki.

Anak-anakku membayar tambang beng beng ke stesen subway


Kami menggunakan laluan Batong, 1 dan 2 dan turun di stesen Changchunjie. Semasa turun di Changcunjie, kami bercadang hendak menaiki bas ke masjid itu. Kamipun berjalan keluar stesen subway untuk mencari bas ke Niu Jie. Tetapi tiba-tiba seorang lelaki berumur dalam lingkungan 50an menggamit-gamit kami. Di tangannya ada kopiah putih. Kami yakin dia orang Islam. Dia lalu mengajak kami ikut dia ke masjid. Kamipun ikut dan berjalan kaki bersama-sama. Cuaca pagi itu cerah dan indah. Kami berjalan kaki kira-kira 15 minit.

Sesampai hampir di kawasan masjid, kami lihat orang ramai. Polis mengawal di setiap sudut jalan di Niu Jie. Untuk pengetahuan anda Niu Jie ialah pekan yang dihuni oleh ramai orang Islam. Sepanjang-panjang Jalan Niu Jie terdapat premis-premis perniagaan orang Islam.

Kami sampai di masjid Niu Jie pada pukul 7.30 pagi. Kami lihat di kawasan luar masjid sudah ada permaidani dibentangkan. Ini bermakna jemaah Islam akan ramai dan ruang dalam masjid tidak cukup untuk menampung jemaah yang ramai. Beberapa orang duduk di tepi masjid menunggu waktu solat bermula. Pegawai-pegawai masjid mengedarkan takwim kepada orang ramai. Kotak-kotak hijau untuk membayar zakat fitrah diletakkan di laluan kawasan masjid. Ramai orang memasukkan duit ke dalam kotak-kotak itu.

Sebelum pukul 7.30 pagi kaum lelaki dan wanita Islam Beijing masuk ke kawasan Masjid Niu Jie untuk solat Aidil Fitri
Pada pagi Syawal remaja Islam Beijing turut menyertai solat Aidil Fitri
Di pagi Syawal orang Islam Beijing berduyun-duyun ke Masjid Niu Jie
Masih awal pagi untuk solat Aidil Fitri
Orang Islam memasukkan duit (zakat fitrah/derma) ke dalam peti

Dewan Solat Wanita


Keluarga saya yang lelaki ke bahagian lelaki (bangunan depan). Saya ke bahagian wanita (bangunan belakang) lalu mengambil wudhu. Ketika itu orang tidaklah ramai lagi. Saya lihat beberapa orang jurugambar mengambil gambar. Saya nampak seorang wanita Indonesia lalu saya menegurnya. Dia memberitahu yang dia baru sampai bersama keluarganya semalam untuk merayakan Aidil Fitri di Beijing.

Ruang solat wanita masih belum dipenuhi lagi. Saya pun mengambil tempat di dalam dewan wanita. Pelbagai gaya dan rupa wanita China pada hari itu. Semua berpakaian cantik dan memakai tudung. Ada juga yang baru belajar-belajar pakai. Tidak kurang juga yang tidak mahu pakai.

(Untuk pengetahuan anda, wanita China yang bekerja dengan kerajaan tidak dibenarkan memakai hijab.  Itulah sebabnya wanita-wanita Islam di sini kelihatan kekok memakai tudung dan ada yang teruja memakainya hanya pada hari perayaan ini).

Wanita Islam Beijing menunggu solat Adil Fitri

Jemaah wanita Islam memenuhi  dewan solat wanita di Masjdi Niu Jie

Solat Sunat Aidil Fitri


Tidak berapa lama kemudian kutbah disampaikan oleh khatib diikuti dengan bacaan hadis. Semuanya dalam bahasa China. Saya cuma agak-agak saja apa yang dimaksudkan itu. Mungkin tentang halal dan haram sebab itu yang disebut-sebut. Perbezaan solat raya di sini amat dirasai. Tiada takbir raya. Kutbah dimulakan dahulu kemudian diikuti dengan bacaan hadis dan kemudian solat sunat Aidil Fitri. Yang ketara di sini selepas bacaan Al-Fatihah tidak disertakan dengan "Amin." Selepas solat sunat ada doa. Semua orang menadah tangan. Saya pun ikut.


Selepas Solat Sunat Aidil Fitri


Selepas solat saya keluar dan barulah saya dapat melihat ramainya orang Islam Beijing sehingga melimpahi kawasan luar dan belakang masjid. Beribu-ribu orang Islam China datang ke situ pada hari itu. Bak kata penglipur lara dalam Hikayat Melayu klasik:
 
Yang capik datang bertongkat,
Yang buta meraba-raba,
Yang tuli leka bertanya,
Yang kecil terambin lintang,
Yang jarak tolak-tolakan,
Yang pendek tinjau-meninjau,
yang kurap mengekor angin.



Pelancong-pelancong bukan Islam juga turut hadir untuk menyaksikan acara keagamaan ini. Tidak kurang juga jurufoto dan wartawan hadir untuk mendapatkan berita.

Orang Islam tanpa mengira usia di hadapan Masjid Niu Jie
Sejurus selepas solat sunat Aidil Fitri selesai jemaah Islam yang solat di bahagian luar bangunan Masjid Niu Jie melangkah keluar kawasan Masjid
Permaidani dilipat sejurus selepas solat Aidil Fitri selesai dan orang ramai meninggalkan kawasan masjid
Bersalam-salaman dan bertegur-sapa sesama jemaah Islam Beijing selepas solat Aidil Fitri di hadapan dewan solat lelaki Masjid Niu Jie

Suasana amat sesak. Saya bertemu semula dengan ahli keluarga saya di pintu masuk.

Itu dia! Baru itu kami tahu berapa ramai orang Islam di Beijing ini. Kami amat gembira melihatkan ramainya orang China Islam.

Dalam ramai-ramai orang itu kami bertemu dengan orang China Islam yang kami kenali di Pasar Antik Panjiayuan tempoh hari. Gembira sangat kami berjumpa mereka sekeluarga, lalu kamipun bergambar bersama.


Kami bergambar dengan orang Islam China yang kami temui di Pasar Antik Panjiayuan tempoh hari. Pihak radio dan tv Beijing juga menemuramah kami.


Kemudian kami diwawancara oleh wartawan CRI (China Radio International) dan dirakamkan dengan video. Soalannya senang saja hendak dijawab: "Apakah pendapat anda menyambut perayaan ini di Beijing?" Glamor jugak sekejap. Lebih-lebih lagi ada wartawan dan jurugambar yang meminta kami melakonkan semula cara kami berjalan beraya di Niu Jie...ha ha ha ....ini  buat Lady Gaga nangis ni..sebab kami lebih glamor.

Beribu-ribu umat Islam Beijing membanjiri Masjid Niu Jie sehinggakan polis perlu bertugas di situ

Mencari Makan



Di hadapan kawasan masjid terdapat banyak restoren halal. Perut kami sudah menyanyikan lagu "Keroncong Buat Ana"...apa lagi restoren itulah yang kami hendak serbu. Kami pergi ke satu restoren ke satu restoren mencari makanan tetapi hampa. Orang terlalu ramai sehingga semua meja penuh dan nasi yang kami mintapun sudah habis.

Oleh kerana beribu-ribu umat Islam di Beijing berkumpul di Niu Jie, banyak gerai Islam dibuka di sepanjang jalan. Kami beli itik panggang, kacang dan kuih bulan (moon cake). Hah ingat Chap Goh Mei aje ada moon cake? Di Beijing, hari raya pun orang makan moon cake.


Gerai-gerai orang Islam dibuka dengan banyaknya di luar kawasan Masjid Niu Jie

Ketika mencari-cari makan itu kami terlihat 3 orang remaja Malaysia. "Macam orang Malaysia je?" tegurku. Lalu kamipun berkenalan. Mereka ialah Syafiqa, Asrol dan Faris. Mereka juga menyambut raya di Niu Jie dan sama seperti kami tidak mahu beraya di Kedutaan. Mereka bertiga adalah siswa Universiti Malaya yang datang ke Beijing untuk belajar bahasa China. Sudah tiga bulan mereka belajar. Setelah itu kamipun pergi mencari makan bersama-sama.

Gerai-gerai yang mempromosikan makanan dan seni ukir tembikai

Kami sambung tujuan kami mencari makanan bersama-sama dengan remaja bertiga itu. Kami pergi lagi ke satu restoren ke satu restoren mencari makanan tetapi hampa. Orang terlalu ramai, semua restoren penuh. Kami kemudiannya pergi ke food court - Muslim Food Palace. Di situpun semua meja penuh. Kami tunggu sehingga ada orang bangun.


Restoren dan food court  di Niu Jie yang penuh sesak dengan pengunjung. Moon cake  halal ini saya beli dengan harga 15 yuan (RM7.50) sebiji. Inilah kuih raya kami.


Setelah mengisi perut dengan nasi di Muslim Food Palace kami datang semula ke Masjid Niu Jie kerana ketika itu sudah masuk waktu Zohor.

Selepas solat kami berbual-bual dengan beberapa orang yang datang. Kami berkenalan dan bergambar. Masjid Niu Jie adalah tempat tumpuan ramai dan dengan mudah kita berjumpa orang baru. Lepas satu satu orang ingin berkenalan dan meminta kami bergambar bersama mereka. Glamornya. Boleh bukak fan club he he he..

Berkenalan dan bergambar dengan pengunjung Masjid Niu Jie di hari raya


Dipenjarakan Kerana Memperjuangan Islam di China


Petang itu saya duduk di bangku di hadapan Masjid Niu Jie. Ada seorang pakcik berusia dalam lingkungan 70-80an duduk di sebelah saya. Dia lalu memuji orang yang memakai hijab. Dia kemudiannya bercerita sesuatu kepada saya dengan semangat dan menitiskan airmata. Saya tidak faham apa yang diceritakannya. Dia ada menyebut fisabilillah dan innalillahi wainna ilahirojiun. Pakcik itu memberi saya hadiah sebuah buku dalam tulisan China. 

Saya ingin sekali mengetahui apa yang diceritakan pakcik itu yang pada perasaan saya ia menarik. Kalau tidak mengapa dia menitiskan airmata? Saya lalu memanggil Asrol yang boleh bercakap dan memahami bahasa China untuk menterjemahkan penceritaannya itu. Memang benar-benar menarik cerita pakcik itu.

Pakcik itu menceritakan tentang perjuangannya dahulu. Pakcik ini pernah dipenjarakan selama 40 tahun kerana memperjuangkan Islam di China suatu ketika dahulu. Beliau menceritakannya sambil menitiskan airmata. 

Pakcik ini pernah dipenjarakan 40 tahun kerana mempertahankan Islam suatu ketika dahulu


Asyik mendengar perbualan pakcik ini tidak sedar muazin melaungkan azan Asar di pintu masuk masjid Niu Jie. Kamipun menunaikan kewajipan kami.

Muazin melaungkan azan Asar di hadapan pintu masuk masjid. Imam dan pengiringnya berdiri di belakang muazin dan menghadap ke arah masjid ketika beliau melaungkan Azan.


Setelah solat asar kamipun pulang ke rumah dengan perasaan gembira menyambut raya bersama ribuan orang Islam Beijing.

Semoga pakcik yang dipenjarakan kerana mempertahankan Islam di China itu mendapat tempat yang mulia di sisi Allah.

Sabda Rasulullah s.a.w:
“Katakanlah kebenaran walaupun ia pahit” (Riwayat Ahmad, Ibn Hibban, al-Hakim, dinilai sahih oleh al-Albani).
 Firman Allah: (maksudnya)
“Antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikit pun” (Surah al-Ahzab ayat 23).

Wassalam.

Baca juga:
PANDUAN UNTUK UMAT ISLAM DI BEIJING
TEMPAT MENARIK DI BEIJING #5:  Jumaat di Niu Jie 
Pos Khas Naramas Aman dan Ucapan Raya dari Beijing

Jumaat, 21 September 2012

KEMBARA SOLO KE XI'AN (10): Menaiki Keretapi Selesa dari Xi'an ke Beijing

Pulang ke Beijing dari Xi'an dengan menaiki keretapi selesa amat menyeronokkan. Ia amat berbeza dengan keretapi-penumpang-sesak yang saya naiki semasa ke Xi'an dari Beijing tempoh hari. 

Kali ini semasa pulang keretapinya amatlah selesa.



Bilik tidur dalam gerabak keretapi T44


Keretapi untuk ke Beijing yang saya naiki ini dilengkapi dengan katil di dalam bilik (kabin). Ada 4 buah katil dua tingkat. Ia dilengkapi dengan bantal, selimut, meja, tong sampah, penyangkut baju, skrin tv dan termos air panas. 

Sebelum keretapi sampai penumpang menunggu di ruangan menunggu seperti di lapangan terbang. Ada pengumumannya pada papantanda digital di bilik menunggu itu tentang nombor platform, nombor keretapi dan waktu bertolak. Tetapi semua dalam tulisan China. Jadi saya rujuk tulisan-tulisan itu pada tiket keretapi saya. Untuk kepastian saya tanyakan pegawai keretapi yang beruniform biru dan bertopi.


Tiket keretapi T44 dari Xi'an ke Beijing yang berharga 442 yuan, bertarikh 30.7.2012



Keselesaan menaiki keretapi begini dapat dinikmati setelah membayar 442.00 yuan (RM221) untuk perjalanan dari Xi'an ke Beijing.


Keretapi bertolak tepat pada waktunya. Penumpang tempatan yang berkongsi kabin dengan saya baik-baik orangnya. Mereka menawarkan buah peach kepada saya. Dengan malu-malu alah saya terima permberian mereka. Sepanjang perjalan kami tidak banyak berbual kerana mereka tidak tahu berbahasa Inggeris. Saya pula tidak tahu bahasa China. Saya lihat mereka merendam mee segera untuk makan malam dengan menggunakan air panas yang disediakan pada satu bahagian gerabak itu. Saya pula makan nasi goreng yang saya beli dari sebuah restoren halal tidak berjauhan dengan hostel tempat saya menginap.

Paip air panas ini boleh digunakan penumpang untuk merendam mee segera dan membacuh kopi

Lorong di hadapan bilik/kabin dalam keretapi T44. Penumpang sedang mencari bilik dan katil masing-masing.


Tetapi kalau kita suka, kita juga boleh memesan makanan  di dalam keretapi dan berjalan-jalan dari satu gerabak ke satu gerabak yang lain.

Bilik sinki yang luas, bersih dan privasi


Bilik sinki yang boleh berkunci dan bercermin membolehkan saya membasuh tangan, mengambil wudhu, memberus gigi dan menukar pakaian dengan selesa tanpa gangguan. Tandas juga bersih dengan air serta tisu tandas disediakan. Selipar pakai buang juga disediakan.

Bunk bed yang bersih dan selesa

Saya lena dalam gerabak ini. Kita boleh memadamkan suis lampu kalau kita mahu. Plug untuk mengecas bateri telefon bimbit atau laptop juga disediakan.

Katil di tingkat atas lebih murah sedikit bayarannya

Keadaan dalam keretapi yang sunyi sepi apabila semua penumpang tidur. Hanya deruan gerakan keretapi sahaja yang kedengaran.

Apabila semua orang tidur suasana menjadi sunyi sepi. Hanya kedengaran deruan keretapi yang lembut bergerak di atas landasan dengan laju. Suasana sunyi sepi ini  memberi kesempatan pada saya untuk solat bersendirian di dalam keretapi. Pengalaman yang tidak boleh saya lupakan. Apabila waktu sahur tiba, saya bangun bersahur dengan tiada siapa yang menganggu. (Semasa ini bulan Ramadhan).

Konduktor wanita yang menjaga kabinku memastikan setiap penumpang sudah turun setelah sampai di Beijing


Perjalanan 16 jam dari Xi’an ke Beijing menaiki keretapi selesa ini mengurangkan penat di badan. Pegawai koduktor wanita yang menjaga gerabak saya juga boleh berbahasa Inggeris. Layannya juga mesra. Dia meminta tiket dari saya dan menyimpannya. Kemudian dia mempelawa saya untuk memesan makanan sekiranya saya mahu. Sejam sebelum sampai ke Beijing dia memaklumkan kepada saya yang stesen Beijing sudah hampir, lalu memulangkan tiket saya dan menyuruh saya bersiap sedia. Jadi saya tidak perlu risau akan tersalah stesen. Apabila sampai dia mengucapkan bye bye dan memohon maaf kepada saya dengan berkata, "I'm sorry my English is not good."

Keretapi T44 sudah sampai di Beijing

Penumpang gembira setelah selamat sampai di Beijing


Itulah pengalaman seronok saya menaiki keretapi ketika mengembara solo di China.

Dengan ini entri untuk Kembara Solo saya ke Xi'an ingin melabuhkan tirainya. Ikuti Naramas Aman mengembara di China dalam entri akan datang. Ada cerita menarik untuk anda. Wassalam.

Baca kisah kembara selepas ini: Backpack Ke Mongolia Dalam (1): Permulaan Kembara Yang Mengujakan

Baca kisah kembara sebelumnya di bawah ini:


Selasa, 18 September 2012

KEMBARA SOLO KE XI'AN [9]: Keajaiban Tentera dan Kuda Terrakota


Tentera dan Kuda Terrakota (Terracotta Warriors and Horses) adalah satu lagi tarikan Xi'an yang tidak saya lepasi. Tentera dan Kuda Terrakota ini tersenarai dalam UNESCO sebagai Warisan Dunia dan ia adalah salah satu daripada keajiban dunia. Jadi destinasi ini saya tunggu-tunggu!

Tentera dan Kuda Terrakota ini adalah patung-patung tanah liat yang telah dibuat oleh Maharaja Qin pada masa hayat beliau. Tetapi dilakukan dengan sembunyi tanpa sesiapa mengetahuinya. Para sejawaran juga tidak mengetahuinya sehinggalah ia dijumpai oleh sekumpulan petani pada tahun 1974 ketika mereka mengorek tanah untuk membuat perigi. Pertemuan ini menggemparkan kerana terdapat beribu-ribu patung tanah liat dan ia masih lagi dalam pencarian kerana ada lagi patung-patung yang dijangka masih tertanam di perut bumi Xi'an ini.

Ukiran besi berbentuk pahwalan dan kuda pada tingkap muzium Tentera dan Kuda Terrakota 

Kompleks muzium Tentera dan Kuda Terrakota







Ketika saya ke sana secara solo pada Julai 2012 baru-baru ini, saya dapat melihat muzium yang dibina di sebuah kompleks yang luas. Ia mempunyai kemudahan dan pelbagai tarikan untuk memudahkan orang mengunjunginya. Muzium ini pernah menerima sijil Sistem Pengurusan Berkualiti dengan Piawaian ISO9001 dan sijil Sistem Pengurusan Alam Sekitar dengan piawaian ISO14001 pada tahun 2004. 

Mereka berjanji untuk memberi kepuasan kepada pengunjung muzium ini, menjaga alam sekitar, memberi perkhidmatan yang baik, membina muzium berkelas dunia dan berterusan untuk menambahbaik muzium. Ramai orang datang samada pelancong tempatan atau luar negara. Saya dah pergi ke sini, jadi saya dah tahu memang muzium ini terbaik!


Pelancong dalam dan luar negara mengunjungi Muzium Tentera dan Kuda Terrakota





Muzium ini telah dibuka pada tahun 1979. Ia adalah muzium yang dibina di tempat penemuan patung-patung terrakota itu. Muzium ini melambangkan harta Maharaja Qin dan pertahanan kota sebelum Maharaja Qin meninggal.


Ahli arkeologi sedang mengkaji artifak Tentera dan Kuda Terrakota




Terdapat tiga buah lubang dalam tanah yang telah dibenarkan untuk orang ramai melihat. Lubang-lubang dalam tanah itu berada di bawah bumbung yang berdinding. Terdapat 8,000 tentera dan kuda tanah liat dan 10,000 senjata tembaga yang ditemui di lubang-lubang ini. Mana saya tahu? Ini semua ada tulis di situ. Baca je. 

Masa saya ke situ dapatlah saya lihat 5-6 orang ahli arkeologi sedang mengkaji artifak patung-patung ini di tapak arkeologi yang juga adalah muzium Tentera dan Kuda Terrakota.




Lubang Pertama

 
Tentera terrakota di barisan hadapan dengan pangkat masing-masing.




Mula-mula saya mestilah pergi ke Lubang Pertama. Lubang Pertama itu adalah lubang dalam tanah yang terbesar. Kira-kira 230 meter panjang, 62 meter lebar. Bukan saya yang ukur tapi dah ada tulis kat situ. Ia  mempunyai kira-kira enam ribu patung tentera dan kuda tanah liat ini. TU DIA! AMBIK KAU! Punyalah banyak patung-patung ini. Ia diletakkan berdiri menghadap ke hadapan dan ada juga yang menghadap ke arah kiri dan kanan, melambangkan setiap arah ia dikawal. 

Patung-patung tentera ini dibuat daripada tanah liat, nama pun Tentera dan Kuda Terrakota, takkan buat dengan tepung kan? Setiap patung diukir secara berlainan mengikut pangkat ketenteraan dalam pemerintahan Dinasti Qin. Semuanya bersaiz sebesar manusia, menggambarkan ketinggian seni dan teknologi China purba. Patung-patung tanah liat yang basah ini kemudian dibakar menggunakan tanur (kiln). (Kalau jumpa patung ni waktu malam harus saya lari, macam zombie Kampung Pisang je)



Sebahagian tentera terrakota yang terdapat dalam kawasan lubang pertama



Tidak ada satupun patung yang sama. Setiap patung mempunyai perbezaan sebagaimana manusia yang dilahirkan di dunia ini adalah berbeza. Dikatakan bahawa patung-patung ini dahulunya dicat dengan pelbagai warna tetapi sekarang warna itu sudah luntur. Patung-patung ini memegang senjata tembaga yang berbentuk pisau bengkok, panah, busar, pedang dan tombak. Tetapi senjata itu sudah tidak ada di tangan patung-patung itu lagi. Mungkin dah patah.

6,000 patung tentera dan kuda terrakota kelihatan dari bahagian depan lubang pertama

Saya hairan, "Kenapa banyak sangat patung-patung ini? Nak buat hapa?" Ma Zhuo, kawan China saya pernah kata,. "Maharaja Qin membuat patung-patung ini untuk menemaninya di alam kubur." Oh gitu...Barulah saya faham kepercayaan orang dulu-dulu ini. 

(Terdiam sejenak: Apakah persediaan saya di alam barzah nanti? Teringat saya pada surah As-Sajdah dan Al-Mulk. Ada diriwayatkan dalam hadis bahawa bagi yang sering membaca dan beramal dengannya, surah-surah ini akan menyelamatkan dia dari siksaan kubur).
Jabir bin Abdullah r.a menceritakan,"Rasulullah tidak akan tidur hingga beliau membaca Surah As-Sajdah dan Surah Al-Mulk." (Hadis Riwayat Ahmad, Tirmidzi, Nasai dan Hakim dalam Sahih al-Jami’ dan Silsilah Ahadis As-Sahihah)
Daripada Anas Ibnu Malik berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda: "Satu surah di dalam Al Quran menghadiahkan kepada pembacanya sehingga memasukkannya ke dalam syurga iaitu Tabarak-al-llazhi [Surah Al-Mulk]."  (Hadis Riwayat At Tabrani)
"Sesungguhnya di dalam Al Quran terdapat tiga puluh ayat yang kandungannya akan memberi syafaat kepada orang yang membacanya sehingga ia akan mendapat keampunan dosa iaitu Surah Al Mulk." (Hadis riwayat Abu Daud, At Tarmizi, An Nasa’i dan Ibnu Majah dari Abu Hurairah)
Selain daripada itu amalan beristinjak dengan sempurna juga boleh mengelakkan kita daripada siksaan kubur.

Tentera-tentera terrakota diukir dengan halus dan teliti. Mereka didirikan di atas lapikan batu-bata.

Berbalik kepada Tentera dan Kuda Terrakota; patung-patung ini diletakkan di dalam lubang-lubang yang agak dalam dan panjang macam parit. Terdapat dinding dan parit-parit yang dibuat daripada tanah, batu-bata dan kayu untuk menempatkan patung-patung ini. Lantai di dalam lubang-lubang ini juga diletakkan batu-bata. (Rajinnya).


Tentera dan kuda-kuda di pertahanan belakang

Beribu-ribu tentera terrakota bersedia di barisan belakang. Hairan saya melihat kegigihan dan ketelitian pembuatnya.


Pada masa dahulu, sebelum lubang-lubang ini ditemui, penduduk setempat menjadikan bahagian atas lubang-lubang ini sebagai kubur. Ada ditunjukkan di situ gambar kubur-kubur itu.




Lubang Kedua



Lubang Kedua terletak di dalam bangunan berbumbung yang lain. Di sini saya dapat melihat lubang-lubang yang sudah dikosongkan. Dikosongkan oleh siapa? Sayapun tak tahu. Ada sisa-sisa yang tertinggal dan serpihan patung-patung tanah liat. Terdapat juga alat-alat ketenteraan seperti perisai, pedang, pisau dan busar di lubang itu.


Lubang-lubang ini dahulu dipenuhi dengan patung-patung terrakota

Lubang-lubang ini telah dikosongkan

Sebahagian daripada sisa-sia peninggalan patung terrakota di lubang kedua







Tempat ini gelap dan sejuk. Jadi gambarpun susah nak ambil. Ada jin kot?  Ya kot, ustaz dalam rancangan TV9 "Tanyalah Ustaz" tu ada kata jin/syaitan suka tempat yang gelap, sejuk dan ada patung.

Terdapat juga pameran tentera ini di ruang legar kompleks ini.




Lubang Ketiga


Lubang Ketiga pula mempunyai parit-parit, tentera serta kuda yang disusun mengikut susunan asal. Kawasan ini agak gelap dan sejuk. Ia diterangi oleh cahaya matahari yang terpancar melalui bumbung cermin.


Tentera-tentera dan kuda-kuda terrakota mengawal di setiap arah: depan, kanan dan kiri


Terdapat 68 buah patung tanah liat, 40 buah shu (senjata, apa entah) dan 4 buah panah tembaga ditemui dan dikeluarkan dari lubang-lubang ini. Lubang ketiga ini musnah teruk apabila ditemui. Ia berukuran 28.8 meter panjang,  24.57 meter lebar dan kedalamannya  5.2-5.4 meter.


Orang ramai boleh melihat tentera dan kuda terrakota dengan mudah dari setiap arah

Tentera dan kuda terrakota dibiarkan tanpa dibaikpulih atau diperbaiki demi menjaga keasliannya sebagaimana ia ditemui

Tiang-tiang dibina dalam dinding yang  memisahkan setiap parit. Batu-bata disusun di atas lantai.  Shu iaitu sejenis senjata tembaga digunakan oleh tentera yang berpangkat di sini pada Musim Bunga dan Musim Luruh. (Aku sendiri tak tahu bagaimana rupa shu itu).

Terdapat pelbagai cara digunakan untuk mengukir patung ini; antaranya ialah ukiran secara bulatan, bergaris dan pengecatan warna. Ada sedikit lapisan warna yang tertinggal pada patung-patung ini menjadikan ia amat berguna sebagai kajian.


Setiap sudut dan lorong dalam lubang ini dikawal rapi oleh tentera-tentera terrakota


Kita dibenarkan mengambil gambar di muzium ini. Penjelasan ini terdapat pada pintu masuk muzium. Itulah yang istimewa di China ini, kita bebas ambil gambar dalam muzium, tidak seperti kebanyakan negara Barat.



Muzium Pameran, Kedai Cenderamata



Selain daripada lubang-lubang, terdapat juga muzium yang memamerkan sejarah Maharaja Qin, tentera dan kuda terrakota ini. Jadi sayapun masuklah, dah bayar mula-mula masuk tadi, jadi kira sekali harunglah.


Muzium pameran sejarah Maharaja Qin dan Tentera dan Kuda Terrakota






Kedai-kedai cenderamata juga sudah pasti tidak ketinggalan. Banyak magnet peti sejuk berbentuk Tentera dan Kuda Terrakota dijual. Tapi saya tidak beli sebab ia patung. 

Ada juga yang suka meminta pengukir mengukir wajahnya seperti tentera tanah liat itu.

Magnet peti sejuk Tentera dan Kuda Terrakota






Cara Pergi


Untuk ke Muzium Tentera Terrakota ini amat mudah. Saya ke sini sendirian. Naik bas sahaja.  Saya pergi ke stesen bas Shaanxi yang berdekatan dengan stesen keretapi Xi'an dan naik bas 306. Bas itu, bas pelancong (tourist bus).


Naiklah bas 306 ini untuk ke Bing Ma Yong



Pada sangkaan saya, pemandu bas pelancong itu mestilah tahu bahasa Inggeris. Sayapun tanyalah pemandu bas dan konduktor bas yang kedua-duanya perempuan, "Is this the bus to “Terracotta Warrior?" Tetapi sangkaan saya meleset kerana mereka tidak faham langsung. "Terracotta Warrior? Terracotta Warrior?" Saya ulang banyak kali. Tapi mereka angkat tangan surrender - tak faham. Mulalah saya nak mengomel, "Apasallah kau tak belajar perkataan "Terracotta Warrior"? Kau kan bawak bas pelancong?" 

Lalu saya mengeluarkan kertas yang saya cetak dari internet. Ada tulisan China. Barulah mereka tahu tujuan saya. Mereka suruh saya naik bas itu. Dalam pengumuman oleh konduktor bas tu dia selalu sebut bing ma yong. Rupa-rupanya untuk menyebut nama muzium itu dalam bahasa China ialah bing ma yong.  Saya belajar perkataan baru hari itu. Bing ma yong! Hah, ingat tu, sebut bing ma yong. Sebut terracotta warrior memang sampai kiamat tak sampai.

Tambang basnya murah sangat. 6 yuan (RM3) je satu hala. Perjalanannya lebih kurang 1 jam. Ia perhentian yang terakhir. Dalam perjalanan dapatlah saya melihat pemandangan dan pinggir kota Xi'an. Antaranya ialah Universiti Politeknik. Masa lalu kat Politeknik ini teringat saya pada Leah kawan baik saya semasa belajar di Monash University Australia dulu, dia bekerja di sini tetapi dia telah hilang, missing in action, tak tahu entah ke mana. Sedih jugak. Saya selalu berdoa semoga saya terserempak dengan dia di Xi'an. Tapi hampa.

Kaunter tiket untuk naik jeep berkuasa elektrik ke muzium bing ma yong.


Tiket masuk ialah 150 yuan (RM75). Oleh kerana cuaca terlalu panas dan berpuasa pula ketika itu saya menaiki jeep untuk masuk ke dalam dan saya perlu beli tiket berharga 5 yuan (RM2.50) untuk itu.


Kaunter tiket di bing ma yong. Walaupun kelihatan orang bersesak-sesak, namun perkhidmatan menjual tiket dilakukan dengan efisyen. Tidak perlu menunggu





Tetapi semasa balik perkhidmatan jeep ini tidak ada. Jadi perlu jalan kaki untuk ke luar pagar. Untuk pulang, saya naik bas 306 sekali lagi yang sedia menunggu di kawasan parkir di luar muzium. Di situ juga ramai penjual buah peach yang sedang bermusim ketika itu.

Jadi kalau anda ingin ke muzium bing ma yong ini jaganlah ragu-ragu. Ikutlah cara saya.


Pengunjung berjalan masuk kemudian menaiki jeep ke bing ma yong

...bersambung
Baca kisah kembara selepas ini: 
KEMBARA SOLO KE XI'AN (10): Menaiki Keretapi Selesa dari Xi'an Ke Beijing

Baca kisah kembara sebelumnya di bawah ini: