Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini



Selasa, 13 Mac 2012

Melbourne:Tempat Tinggal, Sekolah, Kedai dan Jiran


Kali ini saya nak ceritakan mengenai Melbourne, Australia. Kisah di Melbourne ini saya akan ceritakan dari perspektif penduduk di sini kerana saya pernah merantau di sini. Tujuannya ialah untuk memberi panduan kepada mereka yang belum lagi pernah sampai di bumi kangaroo ini. Kalau anda ingin ke Melbourne untuk mengembara atau untuk melanjutkan pelajaran, ikutilah entri saya ini.

Kawasan kejiranan saya di musim bunga

Melbourne bolehlah dikatakan kampung saya yang ke-empat kerana saya pernah tinggal di bumi kangaroo ini selama tiga setengah tahun. Di sini saya belajar, bekerja dan menjadi sebahagian daripada komunitinya. Saya melanjutkan pelajaran di Monash University. Sambil itu saya mengajar di universiti ini. Di hujung minggu saya bekerja di stesen Radio 3ZZZ.

Penulis (bertudung biru) sedang bertugas sebagai juruhebah dan penulis skrip di studio Radio 3ZZZ, Melbourne


Rumah Sewa Saya


Mula-mula saya nak cerita tentang rumah saya di Melbourne. Rumah saya letaknya di Springvale. Springvale  ialah satu suburb (daerah) yang terletak kira-kira 20 km di tenggara kota raya Melbourne. Inilah rumah saya yang ke-tiga. Saya pindah rumah banyak kali. Tetapi untuk entri ini saya pilih Springvale kerana inilah rumah yang paling lama sekali saya duduk.

Rumah sewa saya (kiri) berkembar dengan rumah tuan rumah saya (kanan)

Sewa rumah ini ialah AUS$680 (RM 1,9000) sebulan. Sewa ini tidak termasuk bayaran elektrik, air, bil telefon dan internet. Mahal? Taklah. Kalau ikutkan rumah orang lain lagi mahal. Rumah saya ni boleh dikatakan dikalangan kadar yang rendah. Kiranya saya ni beruntunglah dapat sewa rendah begini.

Untuk pengetahuan anda sewa rumah di sini dibayar seminggu sekali. Tapi saya minta kebenaran agensi Real Estate untuk bayar sebulan sekali. Nama agen rumah saya ini ialah MacDonald. Tapi bukan McDonald makanan segera tu. Ini MacDonald Real Estate.

Bahagian hadapan (luar) rumah saya
Rumah-rumah jiran terdekat saya

Perkhidmatan Real Estate di sini memang bagus. Sewa rumah dibayar secara online. Setiap 3 bulan sekali ejen datang memeriksa keadaan rumah. Sekiranya ada kerosakan, mereka perbaiki. "Lease" (kontrak sewaan) untuk rumah ini ialah selama setahun. Ini bermakna dalam setahun itu kita tidak boleh 'break contract'. Kalau 'break', deposit (wang muka sewaan sebulan) hangus. Kalau "lease" sudah tamat dan hendak keluar/pindah rumah, perlu beri notis sebulan. Sebelum keluar, rumah mestilah dibersihkan dan berkeadaan sempurna sebagaimana kita mula-mula masuk dahulu. Permaidani mestilah distimkan. Kalau ini tidak dilakukan deposit hangus.

Sebenarnya elektrik di Melbourne terlampau mahal. Bil elektrik boleh melambung naik dua kali ganda pada musim sejuk. Bil dalam musim sejuk boleh mencecah AUS$300-400 (RM900-1,2000) sebulan. Oleh kerana rumah saya banyak menggunakan gas, maka saya dapat berjimat sedikit kerana harga gas lebih murah.

Dapur (stove) disediakan oleh tuan rumah. Dapur ini menggunakan gas. Jadi dapur dan heater adalah asas kemudahan yang disediakan oleh tuan rumah. Tetapi peti sejuk dan mesin basuh perlu beli sendiri. Tidak seperti saya di Amerika dahulu, peti sejuk, dapur dan heater disediakan oleh tuan rumah.  Kepada anda yang hendak menyewa rumah di Melbourne lihatlah asas ini dan kalau anda 'in shoestring budget' carilah rumah yang menggunakan gas untuk dapur dan heater. Gas di sini bukan guna tong macam di Malaysia. Gas di sini disalurkan melalui paip oleh syarikat gas. Kalau kita tak bayar bil, senang saja dia potong.

Tempat penyidai kain disediakan oleh tuan rumah di halaman belakang. Gambar ini diambil dari tingkap bilik tidur anak-anak saya.

Halaman belakang rumah saya


Di belakang rumah ada halaman belakang yang amat luas. Rumputnya sentiasa dipotong pendek oleh tuan rumah. Tuan rumah saya datang potong rumput ini setiap bulan. Upah potong rumput sudah termasuk dalam sewa rumah.  Senangkan!

alaman depan rumah saya. Gambar ini diambil pada musim panas. Kelihatan rumputnya yang kering kerana kepanasan. Cuaca musim panas di Melbourne boleh mencecah hingga 48 darjah Celsius. Kepanasan ini menyebabkan belukar-belukar dan hutan-hutan terbakar. Kepanasan yang melampau ini amat menyakitkan kulit kita dan menimbulkan ketidakselesaan


Rumput-rumput yang dipotong dimasukkan ke dalam tong sampah khas untuk rumput. Warnanya merah. Plastik tidak dibenarkan dibuang dalam tong ini. Warna biru untuk sampah kitar semula seperti kertas, kaca dan karton. Tong sampah ini hendaklah diletakkan dengan betul di tepi jalan, di hadapan rumah. Lori sampah datang dua minggu sekali untuk mengutip rumput dan sampah kitar semula. Tong warna hijau untuk sampah biasa (household rubbish). Ia dikutip setiap minggu. Lori sampah yang datang mengangkat sampah ini menggunakan robot/mesin. Mesin/robot itu ada tangan besi yang panjang keluar dari tengah badan lori. Kalau tangan ini gagal menangkup tong sampah ini, tong sampah itu ditinggalkan begitu sahaja. Busuklah sampah itu kalau tidak dikutip. Jadi kedudukan tong sampah dan penutupnya itu mestilah betul letaknya.

Untuk pengetahuan anda air amat-amatlah mahal di Melbourne. Bil air rumah saya kira-kira AUS$50-100.00 (RM150-300.00) sebulan. Itupun saya dah berjimat cermat sangat-sangat. Air basuhan kain dan air tadahan wudhu disimpan dan digunakan semula untuk mencuci lantai, tandas dan menyiram bunga. Air mahal di sini disebabkan Melbourne mengalami masalah air yang amat teruk. Ini disebabkan kurangnya hujan. Catuan air dilakukan terlalu kerap di Melbourne.

Larangan tertentu diadakan oleh pemerintah di sini untuk mencatu air. Antaranya ialah membasuh kereta menggunakan hos pancutan (trigger hose) adalah dilarang, mencuci lantai halaman rumah dengan menggunakan hos adalah dilarang dan menyiram bunga pula dilakukan pada hari-hari tertentu sahaja, iaitu hanya 3 kali seminggu dan harinya telah ditetapkan. Sekiranya sesiapa melanggar peraturan ini, mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang, misalnya didenda dengan sejumlah wang yang banyak.

Siram bunga pula mestilah dilakukan selepas pukul 8 malam. Saya selalu buat begini dalam gelap-gelap lepas 8 malam. Takut juga langgar undang-undang ini. Kalau-kalaulah jiran nampak, jiran buat aduan, aniaya saya. Di sinilah saya belajar jimatkan air. Jadi saya dah biasa jimatkan air hingga terbawa-bawa ke Malaysia hingga ke hari ini. Di Malaysia bil air saya RM5.00 sebulan je, jarang bil air saya melebihi RM10.00.

Apa Yang Ada Di Sekeliling Rumah Saya?


Di sekeliling rumah saya ada rumah jiran-jiran. Springvale memang kawasan perumahan walaupun ada juga kilang-kilang. Rumahnya besar-besar, sebuah-sebuah. Ada yang berpagar dan ada yang tidak. Rumah saya kecil. Ada dua bilik. 1 bilik air. Berpagar rendah. Anak kambingpun boleh lompat pagar itu. Pagarnya dibuat daripada kayu. Semua rumah di sini ada halaman depan dan halaman belakang. Kebiasaannya halaman belakang dipagarkan, macam rumah saya juga.

Persekitaran rumah saya

Jiran-jiran saya terdiri daripada pelbagai keturunan - Itali, Greek, China, Vietnam, Filipina, Timur Tengah dan lain-lain bangsa. Depan rumah saya ada pusat jagaan kanak-kanak. Tidak berapa jauh daripada rumah saya, dalam jarak berjalan kaki 5-10 minit, ada Coles (supermarket), restoren makanan segera, kedai kain, kedai roti, farmasi, setesen minyak, kedai lampu, kedai basikal, kedai hardware, kedai jual barangan untuk parti, kedai elektrik, kedai basikal, kedai seks dan kedai kereta terpakai.

 




Saya ingin cerita mengenai dua kedai. Pertama, kedai seks depan rumah saya. Kedai seks ini namanya Sexyland. Kedai ini amat besar tetapi dalamnya gelap. Ia betul-betul terletak di sudut (penjuru) Centre Road dan Westall. Dalam cermin depan kedai ada patung perempuan pakai coli dengan seluar dalam. Apalah agaknya ada di dalam kedai tu? Mungkin jual alat-alat untuk lakukan hubungan seks seperti kondom, vibrator, dll? Agaknya. Hampir tiap-tiap hari saya lalu depan kedai ini. Kalau saya nak ke Universiti saya mesti lalu kedai ini. Depan rumah saya je. Tapi saya tak pernah masukpun. Tak teringin nak masuk. Malu!

Kedua, saya ingin cerita mengenai kedai lampu depan rumah saya. Kedai lampu ini sentiasa tertulis "Closing Down Sale," "End Sunday!" Besar-besar tulisannya pada dinding cermin. Mula-mula dulu saya ingat betul-betul kedai ni nak tutup.

"Mesti lampunya murah! Kena pergi! Kena beli cepat, nanti habis!" kata saya.

Tetapi minggu depan saya lalu pun iklan tu masih ada di situ. Bulan depan saya lalu pun masih ada. Tahun depan pun masih ada iklan tu. Sampailah saya balik Malaysia, iklan tu masih ada di situ. "Tertipu!" Dah lama duduk di Melbourne barulah saya tahu itu salah satu strategi untuk melariskan perniagaan mereka. Banyak kedai buat jualan tutup kedai, tapi tak tutup tutup pun.

Perpustakaan awam di Springvale yang sering aku dan keluarga kunjungi

Selain daripada itu, Springvale ini terkenal dengan tempat tinggal pelarian Vietnam. Mereka migrasi ke sini semasa perang Vietnam dulu. Mereka mendapat taraf "refugee" di Australia dan diberi banyak keistimewaan.

Jadi tak berapa jauh dari rumah saya ini ada pekan Vietnam. Kalau melihatkan pekan ini, sebijik macam di Vietnam. Papan tanda kedai-kedai di sini ditulis dengan tulisan Vietnam. Peniaga-peniaganya semua orang Vietnam. Cakap mereka pun pelat Vietnam.

Pasarnya jual barang-barang macam yang kita ada di Malaysia. Pendek kata, kalau nak masak masakan Malaysia, memang tak ada masalah. Nak petai, durian, belacan, cencaluk, ais kacang, kuih apam, kuih seri muka, roti canai, ikan cencaru, kelapa, kukur kelapa, kuali, lesung batu, tikar mengkuang, daun kesum, semua adalah. Kalau hari Sabtu dan Ahad pasar ni memang sesak.


Pembeli keturunan  Vietnam dan Asia membeli-belah di pasar Springvale

Simpang di antara jalanraya dan jalan keretapi di pekan Springvale

Papan tanda Springvale di stesen  keretapi Springvale


Saya tidak banyak tangkap gambar pekan Springvale ini. Kebanyakannya saya tangkap gambar video. Tapi saya malas nak edit dan muat naik di sini. Kalau minat nak tengok macam mana rupa pekan ini, bolehlah lihat dalam laman web ini http://www.alexallied.com/reviews/springvale-the-new-vietnam.

Orang kata jangan duduk di Springvale, kadar jenayah tinggi! Kata orang.. tapi saya duduk kat sini 3 tahun tak ada apa-apa pun. Selamat, sunyi, aman tenteram. Ok aje. Saya pernah tertinggal dompet duit di luar rumah depan pintu, selama satu hari satu malam. Dengan keadaan rumah saya yang terbuka tanpa pagar itu sepatutnya dah lama lesap. Bila saya sedar saya tertinggal dompet itu di luar pada esok harinya, saya terus cari. Alhamdulillah tidak ada siapa usikpun! Selamat!

Persekitaran rumahku di Springvale

Kenapa tinggal di Springvale? 


Sebab dekat dengan sekolah anak-anak. Saya hantar anak-anak saya ke sekolah Islam, nama sekolah ini Minaret College. Mereka jalan kaki saja ke sekolah. Kadang-kadang naik basikal. Minaret College ini ialah sekolah swasta. Pengetuanya Mr Hassan (keturunan Timur Tengah). Pelajar-pelajarnya terdiri daripada orang-orang Islam. Ada juga yang bukan Islam.

Pelajar perempuan diwajibkan memakai hijab termasuklah yang bukan Islam. Mereka ada uniform khas. Jumper anak lelaki saya berwarna hijau, kemeja putih, seluar kelabu, mesti pakai tie sekolah, setokin hitam dan kasut hitam. Pakaian seragam sekolah ini mahal harganya terutama jumper dan tie.

Apabila anak sulung saya masuk high school dia kena pakai blazer warna kelabu. Blazer ini lagi mahal.

Waktu sekolah bermula pada pukul 9.00 pagi dan tamat pada pukul 3.30 petang. Di dalam kawasan sekolah ini ada masjid. Apabila waktu solat zohor semua pelajar solat berjemaah. Mereka bermazhab Hanafi. Solat Jumaatpun di sini.

Pada bulan Ramadhan mereka buat solat tarawikh dan iftar. Kami sekeluarga selalu ikuti solat tarawikh di sini. Solat tarawikhnya 8 rakaat tetapi surahnya panjang-panjang. Satu malam perlu habis satu Juzuk. Imamnya seorang hafiz.

Guru-guru perempuan sekolah ini wajib pakai hijab tidak kira Islam atau tidak. Pernah saya jumpa guru kelas anak saya. Guru itu pakai tudung. Saya bagi salam pada dia, dia jawab salam saya. Setiap kali jumpa saya bagi salam dan dia jawab. Lepas itu baru saya tahu itulah Miss Carol, dia bukan Islam...tapi saya dah bagi salam padanya. Sangka saya dia Islam sebab dia pakai hijab, rupa-rupanya tidak. Kalau anda berminat tentang sekolah ini klik: http://www.minaret.vic.edu.au/.


Saya tak banyak simpan gambar di sekolah ini. Tapi saya ada banyak gambar video. Saya pernah diminta oleh pengetua sekolah ini untuk shoot dokumentari sekolah ini. (Untuk makluman, saya pernah jadi videographer dan jurukamera filem sebelum ini). Tapi video Minaret College yang telah dirakam itu tidak boleh ditunjukkan di mana-mana tempat. Ada hak asasi dan privasi, sulit dan rahsia.

Rumah saya ni pun tidak jauh dari Monash University tempat saya belajar. Saya boleh naik basikal atau naik bas atau naik keretapi. Tetapi selalunya saya naik basikal. Di Monash University saya ambil PhD. Saya juga pernah mengajar di Monash University. Saya ajar subjek Video Production.

Di Bangunan Menzies inilah saya mengajar. Di sinilah letaknya Fakulti Seni yang juga mempunyai School of Film and Television.

Campus Centre ini pula letaknya di hadapan Menzies. Di Campus Centre ini letaknya cafe, bank, kedai dan tempat berkumpulnya para siswa.

Kampus induk Monash University, Clayton

Di sini saya nak kongsi pengalaman mengajar di Australia. Dalam salah satu kelas ini saya suruh siswa shoot video apa sahaja di dalam kampus. Selepas 30 minit mereka kena habiskan penggambaran. Setelah 30 minit berlalu semua kena tayangkan video yang mereka ambil dan ceritakan konsep video tersebut. Ada sekumpulan pelajar lelaki, video yang mereka hasilkan tidak memuaskan, gambarnya bergoyang-goyang, kabur dan tidak berkualiti. Akhirnya saya dapat tahu mereka mabuk. Semasa penggambaran itu mereka pergi minum arak lalu mabuk. Itulah sebabnya hasil video mereka teruk!

Lagi satu pelajar perempuan di sini suka hisap rokok, kalau waktu rehat mereka mesti hisap rokok dan apabila kembali ke dalam kelas bau badan mereka busuk! Lagi satu kalau ada siswa yang berpasang-pasangan, mereka bebas untuk berpelukan, bercium dan berbaring bersama-sama di atas rumput padang dalam kampus. Undang-undang di Monash University ini tidak sama dengan undang-undang universiti di Malaysia. Di sana minuman keras, rokok, berasmara dalam kampus tidak dilarang. Tapi di Universiti Sains Malaysia, tempat aku bekerja sekarang, kesemua ini dilarang keras.

Springvale juga berdekatan dengan pekan-pekan yang lain seperti Westall, Clayton, Huntingdale, Noble Park, Dandenong dan Oakleigh. Kedai-kedai daging halal, restoren makanan halal dan masjid ada di pekan-pekan ini.

Clayton adalah pekan kecil yang berdekatan rumah saya. Kampus induk Monash University letaknya di sini.










Saya dan keluarga saya sedang membeli buah kiwi di Clayton

Oakleigh adalah pekan yang selalu saya kunjungi kerana anak-anak saya ke kelas Kung Fu dan Video Directing setiap minggu di sini. Komuniti Greek ramai di sini.



Bunga-bunga Australia


Di sini saya ingin ceritakan tentang pokok-pokok bunga yang ada di sekeliling rumah saya. Inilah bunga yang ada di taman di rumah saya.

Bunga ini lebat berbunga di musim bunga di taman rumah saya.  Saya tak tahu nama bunga ini.


Bunga ros ini  berbunga di musim panas dalam taman di rumah saya

Mawar jingga


Iris


Daisy




Ros

Pansy


Di bawah ini ialah bunga cherry blossoms yang terdapat di persekitaran kawasan perumahan saya. Cherry blossoms amat lebat berbunga ketika musim bunga sahaja iaitu pada bulan September.

Cherry blossoms di kawasan perumahan saya

Selain daripada itu bunga-bunga asli Australia (Australian native flower) terdapat di halaman jiran-jiran saya. Kangaroo Paw, Bottlebrush, Wattle, Protea (Hakea), Sturt Desert Rose, Waratah, Fuchsia adalah bunga asli Australia.  Di bawah ini ialah bunga asli Australia! Saya  tangkap gambar ini sebab bunga-bunganya unik dan cantik.

Protea atau Hakea ini terdapat di halaman rumah jiran saya

Bunga Irish (kiri) dan Kangroo Paw (kanan)

Brushbottle

Di entri akan datang saya akan beritahu anda tempat-tempat menarik untuk dilawati di kota raya Melbourne.





54 ulasan:

  1. Wahh...menarik

    Bunga2 tu cantek sangat.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Bunga2 tu memang cantik & unik.Sy tangkap masa musim bunga. Terima kasih Zila

      Padam
  2. Macamana puan survive kat sana???? dengan study lagi..then anak2..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Memang amat susah survive di sana, terutama pada 3-6 bulan pertama. Alhamdulillah USM bagi biasiswa dengan gaji jalan sebulan penuh. Apabila dah lama tinggal ada ramai kawan. Mereka terdiri dari pelajar-pelajar Malaysia yg belajar di universiti serata Melbourne dan residen tetap di sini. Mereka turut membantu. Perabut2 beli second hand. Pinggan mangkuk residen sini bagi.Yuran sekolah anak amat mahal, sama mahal dengan yuran universiti, tapi pengetua sekolah bagi diskaun.

      Padam
  3. Seronok membaca pengalaman orang yang tinggal di sana. Sedang baca untuk panduan melawat ke sana nanti.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Cikara,
      Terima kasih kerana sudi membaca catatan saya ini. Semoga blog ini dapat membantu Cikara semasa di Melbourne.

      Padam
  4. hi, i found your blog semasa tengah cari2 info mengenai melbourne. suami bercadang nak sambung study kat sana, so this information sangat berguna. tq for sharing. nak baca post2 yang lain pulak.

    BalasPadam
    Balasan
    1. @Honeybee,
      Keep on reading my blog and leave your comments :)

      Padam
  5. kalau sya nak kerja kat Australia...amacam? ok ke tak? kerja ladang...petk, packing buah..atau hotel? tlg komen...mdharun1247@gmail.com

    BalasPadam
  6. Salam Md Harun Mihat,
    Untuk kerja di Melbourne perlu dapatkan permit kerja. Kalau sdra student atau pasangan sdra student, sdra boleh bekerja menggunakan visa pelajar.


    Saya ada tulis tentang bekerja di Melbourne, sila klik di sini: http://nota-kembara.blogspot.com/2012/04/perkara-lain-yang-patut-anda-tahu.html

    BalasPadam
  7. Assalamualaikum..maaf puan sy nk bertanya kalau nk melancong ke Melbourne selama seminggu, ada tak orang sewakan rumah macam puan duduk tu..ada syarat2 tertentu ke?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Waalaikumusalam Felia,
      Ada juga yang menyediakan service apartment atau shot stay atau homestay. Cuba
      www.homestayfinder.com atau
      http://www.shortstayapartments.com.au

      Padam
  8. Salam.. Saya nak melancung ke Melbourne selama 2 minggu pada bulan Mei ni, ada tak homestay org Malaysia/Singapore yg dekat2 dgn CDB? Thanks

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam Noraya,
      Homestay orang Malaysia/Singapore yang dekat-dekat CBD saya tak tahu ada ke tak ada. Tetapi yang ada ialah Malaysia Hall. Boleh menginap di sana. Untuk mengetahui tentangnya sila baca entri saya ini:
      http://nota-kembara.blogspot.com/2012/04/melbourne-tips-memilih-hotel.html

      Padam
  9. assalamualaikum,
    Saya akan pergi Melbourne Julai nanti. Berminat dengan Islamic school tu, tapi yuran amat mahal. Bagaimana ye nak dapat diskaun. Saya akan buat Master di Deakin University campus Burwood. Jauh tak dari Springvale? Terima kasih

    BalasPadam
    Balasan
    1. Waalaikumusalam,
      Fiza boleh jumpa pengetua sekolah Minaret untuk mendapatkan diskaun yuran sekolah. Ada bas sekolah disediakan oleh Minaret College untuk mengambil dan menghantar pelajar yang tinggal di Burwood.

      Padam
    2. terima kasih. tapi saya rasa mcm tak mampu hantar anak ke private school. Klu government school, bayaran mahal tak? Surburb Burwood tu agak mahal rumah sewanya, ada tak suggestion surburb yang affordable selain springvale? terima kasih

      Padam
    3. Kalau nego dengan Mr Hassan pengetua Minaret College, dia boleh kurangkan bayaran yuran mengikut kemampuan kita. Kalau anak bersekolah di situ perlulah tinggal di Springvale. Selain Springvale, suburb yang rumah sewanya rendah sikit ialah Noble Park dan Dandenong. Sekarang ini di sekolah government, yuran sekolah anak yang ibubapanya ialah post grad sudah diberi pengecualian.

      Padam
  10. assalamualaikum,

    Saya akan memulakan Phd di Swinburne University kampus hawthorn November ini. Saya berminat dengan islamic school tu. my daughter will be 6 yeras in July 2014. jauh tak Springvale dgn hawthorn? Perlu drive atau naik train?

    harap dapat beri pandangan...:)

    terima kasih

    BalasPadam
    Balasan
    1. Waalaikumusalam Shahida,
      Hawthorn dengan Springvale jauh. Kalau naik train lebih kurang 45 minit, lepas tu kena naik bas dan jalan kaki ke sekolah tu. Kalau naik keretapun lebih kurang sama malahan mungkin lebih lama perjalanannya. Lebih baik tinggal di kawasan Springvale dan berdekatan dengan sekolah kalau nak hantar anak sekolah di situ. Shahida tidak perlu ke Uni setiap hari. Rumah di kawasan Springvale lebih murah berbanding dengan di Hawthorn.

      Padam
    2. terima kasih. selain dari springvale, ada cadangan tak kawasan lain yang lebih dekat dgn hawthorn..mungkin dalam less than 30 mins naik train.

      and one more, ada suggesstion tak untuk temporary accomodation? mungkin saya boleh sewa bilik ke?

      Padam
    3. Tempat yang berdekatan dengan Hawthorn sudah tentu banyak seperti di Armadale, Carnegie, Caufield, Glen Iris, Chadstone, dll. Bus sekolah juga disediakan oleh Minaret College. Namun perlu diingatkan bahawa Islamic School di sana adalah private dan yurannya lebih tinggi berbanding dengan yuran sekolah government.

      Untuk temporary accommodation boleh sewa bilik di Malaysia Hall atau backpackers hostel.

      Padam
  11. wah salam sis nk tnya sis amik course ape ye kt monash tu.. sy mybe akan pergi tmpt yg sama dgn sis.hope dpt sedikit tunjuk ajar.. #blurry

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam Khalid,
      Saya ambil Ph.D di Faculty of Arts.

      Padam
    2. owh pengkhususan apa yer, technical communication ke?

      Padam
    3. Ph.D dalam Film dari School of English, Communications and Performance Studies, Department of Visual Culture.

      Padam
  12. Any tips untuk backpackers yg nak buat trips ke melbourne bln 10 2014... Mostly hotel budget full booked... Ada cadangan x... Afend.kadir@gmail.com

    BalasPadam
    Balasan
    1. Afend,
      Bulan 10 sangat sesuai ke Melbourne kerana cuacanya bagus.Ada banyak festival berlangsung ketika musim ini. Untuk mengetahui tips tentang sewa hotel sila klik entri saya yang lain tentang Melbourne terutamanya "Tips Memilih Hotel" dan "Perkara Lain yang Patut Anda Tahu Tentang Melbourne." Sekiranya hotel budget sudah fully booked, Afend bolehlah cari hostel dan walk-in sahaja, kerana ada banyak backpacker's hostel di Melbourne.

      Padam
  13. Alhamdulillah dalam mencari-cari info berkaitan kembara ke seluruh dunia, saya berjumpa blog Prof Naramas Aman. Terima kasih Prof sbb sudi berkongsi cerita yang tak ternilai harganya. Saya sangat teruja membacanya. Terima kasih Prof.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Hafsah,
      Teruslah membaca kembara saya. Semoga ia berguna.

      Padam
  14. Salam saya nak tanya kalau pergi Australia sebagai student praktikal selama 4 bulan pastu sy beli insurance untuk quarterly boleh ke??

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam kembali Siti Aqilah,
      Perkara ini perlu ditanya pada pihak kedutaan Australia di Kuala Lumpur dan juga majikan tempat praktikal tersebut.

      Padam
  15. Salam,
    InsyaAllah saya akan ke Melbourne selama 3 bulan utk attachment di Monash U, Clayton. Mungkin akan pergi ber3. Saya, anak (1y 5m), mak, abah. Boleh saya tahu mana-mana tempat yang buat homestay utk 3 bulan, 3 adults.. Harap sangat2 pihak tuan dapat membantu..

    Terima kasih

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam Aimy's Family,
      Ada short term accommodation (penginapan sementara sehingga 3 bulan) yang disediakan oleh Monash University, letaknya di Clayton. Sila hubungi pihak International Affairs Monash University dan booking rumah tersebut, Saya pernah buat perkara ini semasa mula-mula saya ke Melbourne.
      Sila baca entri saya tentang ini di bawah tajuk: Tips Memilih Rumah Sewa.

      Padam
  16. Juharah Musa

    Assalammualaikum kak Naramas...

    Pertama sekali, sy ucapkan jutaan terima kasih dgn perkongsian akak mengenai Australia ni.

    Saya dan dua lagi rakan akan berkunjung ke Melbourne pada 03 Mac 2014 depan. Ini adalah pertama kali kami menjejaki ke sana. Ada rakan yg telah pun mempunyai perniagaan di sana dan scara kebetulan beliau tidak pasti sama ada berada di sana atau tidak pada waktu tsbt.

    Saya telah membaca pengalaman akak dlm blog ni dan sgt teruja utk meminta akak cadangkan tmpt yg baik kami lawati dgn bajet yg sederhana. Kami mmg tak ada idea lagi tempat yg nak di lawati memandangkan pengangkutan awam yg kurang sy fahami di sana.

    Terima kasih Puan

    BalasPadam
    Balasan
    1. Waalaikumusalam Ju,
      Terdapat banyak tempat menarik untuk dikunjungi di Melbourne. Saya cadangkan Ju melawat ke tempat-tempat yang saya cadangkan dalam entri ini :
      http://nota-kembara.blogspot.com/2012/03/melbourne-cbd-17-tempat-menarik-untuk.html
      Ini disebabkan kesemua tempat ini di tengah-tengah bandar Melbourne dan mudah dikunjungi. Ju boleh naik tram city circle dan ia percuma.
      Sekiranya Ju ada masa dan bajet mengizinkan, barulah Ju pergi ke tempat yang terdapat di luar CBD. Ju boleh baca dalam entri saya yang lain seperti:
      http://nota-kembara.blogspot.com/2012/03/chesterfield-farm-jadi-koboi-aussie-di.html
      http://nota-kembara.blogspot.com/2012/04/great-ocean-road-keajaiban-alam-yang.html
      http://nota-kembara.blogspot.com/2012/04/melbourne-9-aktiviti-lasak-seronok-yang.html
      Sila baca juga entri yang lain.

      Padam
  17. Assalam Puan...Terima kasih byk atas info Puan.

    BalasPadam
  18. As salam. Sangat teruja membaca catatan puan .

    BalasPadam
    Balasan
    1. Waalaikumusalam. Semoga puan memperoleh manafaat daripada catatan ini.

      Padam
  19. In sya allah saya bakal melanjutkan pengajian ke peringkat master di university of melbourne feb 2015 , di bwh tajaan program pasca siswazah Mara. Saya bercadang ke sana bersama suami dan 2 anak kami (2 dan 6 tahun). Suami bercadang berhenti kerja di malaysia utk mengikut sy ke sana.Saya masih kurang yakin sama ada kami bole survive atau x di sana nnti. Memandangkan penaja hanya menaja student sahaja.tetapi suami pula yakin kami boleh survive kerana dia bercadang untk bekerja sambilan di sana.suami berpengalaman 10 tahun sebagai industrial engineer di malaysia. Sy mohon nasihat dan tips dr puan bagaimana untuk survive di sana memandangkan puan lebih berpengalaman dan ini merupakan hijrah pertama kami sekeluarga. Saya masih dlm delima sama ada ingin teruskan atau tdk . Harap tips dan nasihat puan dpt membantu. Alamat email sy dzulia42@yahoo.com

    BalasPadam
    Balasan
    1. Kalau ada kemahuan di situ ada jalan. Kalau suami Puan Nur Atika yakin dan ada kemahuan untuk mencari peluang pekerjaan di sana, insyaAllah perkara itu akan menjadi mudah. Beberapa orang pelajar wanita Malaysia yang mempunyai anak belajar di Melbourne, ramai juga suami yang ikut serta, mereka ambil cuti tanpa gaji untuk bersama isteri dan anak-anak di Melbourne. Macam-macam kerja yang mereka lakukan daripada menjadi pencuci bangunan, pemandu, pekerja kilang, jurutera industri sehinggalah menjadi doktor. Bidang profesional yang amat diperlukan di Melbourne antaranya ialah jurutera dan doktor. Berdoalah dan lakukan solat istikharah sebelum membuat keputusan. Allahlah yang maha mengetahui masa depan kita.

      Padam
  20. Assalamualaikum..
    Saya + suami + 2 org anak. Berumur 5 & 1 tahun.. akan bpindah di adelaide aus... suami pakai working holiday visa dan saya n anak2 tourist visa.. plan nak bg anak belajar kindergarden di sana. soalan saya bole ke dia dapat student visa dan bagaimana plk dgn saya bole ke sya dpt (parent guidance visa)? Dan berapa kos yuran persekolahan anak sya di sana,untk public school..
    Harapbpuan bole membantu saya.. tq 4 the info...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Waalaikumusalam Nur Izzah.
      Hubungi pihak IDP (Australian Education) yang terdapat di Malaysia untuk mengajukan semua soalan ini. Untuk visa pula sila ke Australian Embassy.

      Di Australia setiap negerinya mempunyai sistem pendidikan yang berbeza. Saya tidak pernah ke Adelaide. Jadi saya tidak tahu tentang ini. Sila ajukan kemusykilan puan kepada Adelaide Education Department. Mungkin laman web ini berguna: http://www.internationalstudents.sa.edu.au/children-of-international-tertiary-students

      Padam
  21. Assalamualaikum Dr Naramas Aman.. Semoga dr dan famili sihat disana. Baca entri dr sangat sronok. Sbnarnya bln mei 2014 hari tu saya ada ke sana dan kalau xsilap saya ada lalu di kawasan tmpt tinggal dr. Sayangnya saya baru terbaca entri ni... Kalau tidak pasti boleh ziarah dr n famili. ;)
    Insyaallah untuk tahun depan juga sy dan rakan2 kerja berhajat utk ke Melbourne dalam rangka kerja sekiranya diizinkanNya... Amin
    Kalau dr x keberatan, boleh bg email add utk saya bertanyakan beberapa soalan berkaitan sekolah2 disana. T.kasih..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Waalaikumusalam Umi.
      Ini cerita lama. Saya dah tak tinggal di Melbourne lagi.

      Padam
  22. Assalamualaikum,

    Blh berikan saya maklumat dan prosedur untuk menyewa rumah di springvale? suami dan adik saya ada di sana dan sdg mcri rmh. Harap Dr. dpt bantu. Terima kasih.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Waalaikumusalam,
      Sila baca entri saya tentang tips memilih rumah sewa.
      http://nota-kembara.blogspot.com/2012/04/melbourne-tips-memilih-rumah-sewa.html
      Saya harap entri ini dapat membantu adik Renny.

      Padam
  23. Saya dpt scholarship kerajaan utk buat mastrr di latrobe. Plan nak bawa anak sekolah sana. Kalau sekolah kerjaan yuran dia macam mana? Kalau sekolah private macam mana pula? Saya buat master coursework ada setengah org kata anak saya tak layak yuran free di sekolah kerajaan.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Saya telah menulis tentang ini di dalam blog ini. Sila baca entri bertajuk " Perkara Lain Yang Patut Anda Tahu Tentang Melbourne"
      http://nota-kembara.blogspot.my/2012/04/perkara-lain-yang-patut-anda-tahu.html?showComment=1448413926868#c5171506908763661293

      Padam
  24. Tq ..blog yang berguna..Saya bakal ke Melbourne 2015 kerana meraihkan anak saya yang tamat pengajian medical di Monash University.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Tahniah buat anak Encik Khairuddin. Memang di Monash University ramai pelajar Malaysia belajar Medic. Saya selalu jumpa mereka di Prayer Room masa saya study di sana dulu :)

      Padam
  25. Assalamualaikum...doktor..waahh beshnyee sy by entri doktor..nak2 part soping..island n flower2 toh...mcm2 bnga n cntik2 nyee... doktor musim bnga slalu nye smpai bln brape yea..inshaallah bln 11 nie sy smpai sner...agk2 pd ms itu masih berbunge2 lagi x doktor...bergetar2 jntung nie xsbr nk smpai sner..hehehe

    BalasPadam
    Balasan
    1. Waalaikumusalam Farahiyah,
      Terima kasih kerana membaca blog saya. Teruskan membaca entri-entri yang lain yang juga menarik dan penuh maklumat.

      Musim bunganya dari Ogos-November. Kalau bulan November baru sampai, bunga yang kembang masa musim bunga tu seperti cherry blossom dah layu. Ini disebabkan musim panas dah hampir tiba. Tetapi jangan risau bunga musim panas seperti bunga ros banyak yang kembang pada masa tu. Macam-macam warna ada.

      Bunga-bunga musim panas yang lain ialah Dahlia, Cala Lily, Gerbera, Heliconia, Hydrangea, Lily, Singapore Orchid....

      Padam

Kini giliran anda pula untuk memberi pandangan/ulasan.

Ulasan tanpa nama akan dipadamkan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...