Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini



Khamis, 4 Jun 2015

10 Panduan Pemakaian Musim Sejuk di Beijing

P ada entri lepas saya telah menceritakan tentang cuaca di musim sejuk di Beijing. Saya berjanji akan menjawab persoalan tentang pemakaian ketika musim sejuk di Beijing. Ini disebabkan ramai pembaca yang bertanyakan saya tentang ini. Jadi dalam entri kali ini saya akan memberi panduan pemakaian ketika musim sejuk di Beijing.

Salji selalu turun di Beijing tetapi turunnya tidak menentu. Bulan Januari adalah bulan yang paling sejuk dan kering. Gambar menunjukkan kampus Communication University of China (tempat saya bertugas sebagai Visiting Scholar) selepas salji turun. Walaupun pemandangan kelihatan indah, namun suasana menjadi sepi dan kurang aktiviti disebabkan sejuk yang melampau.
Suhu musim sejuk di Beijing biasanya di bawah 0°C. Kadang-kadang melampau sehingga -17°C atau -20°C. Musim sejuknya panjang. Ini menyebabkan tasik di sini beku. Gambar di atas menunjukkan tasik di Peking University yang beku.

10 Panduan Pemakaian Ketika Musim Sejuk di Beijing


Berikut adalah panduan pemakaian untuk anda yang ingin ke Beijing pada musim sejuk:

1) Gunalah Losyen Pelembab yang Sesuai


Menyapu losyen di seluruh badan dan muka amatlah disarankan kerana kalau tidak berbuat demikian kulit kita akan merekah, mengelupas dan luka. Losyen ini hendaklah disapu dengan kerap.

Losyen yang digunakan hendaklah dibeli di Beijing kerana ialah lebih sesuai dengan cuaca di Beijing berbanding dengan losyen yang dibeli di Malaysia. Saya dan pelajar-pelajar Malaysia yang berada di Beijing pernah menggunakan losyen yang dibeli di Malaysia untuk digunakan pada musim sejuk di Beijing tetapi ia tidak berkesan langsung untuk melembapkan kulit.

Jenama losyen yang terkenal dan sudah lama digunakan di China ialah Dabao SOD. Jenama ini disarankan oleh kawan-kawan China saya. Menurut mereka setiap orang China menggunakannya. Losyen ini bukan sahaja boleh disapu pada seluruh badan tetapi boleh juga disapu ke muka dan bibir. Losyen ini sangat lembut dan tidak berminyak. Apabila saya menggunakannya segala masalah kekeringan kulit saya telah kembali normal.

Harganya murah tak sampai 10 yuan pun! Belilah yang tulisan pada labelnya berwarna merah untuk musim sejuk. (Tulisan bewarna biru untuk musim panas).


Losyen Dabao SOD ini telah lama digunakan oleh orang China ketika musim sejuk. Ia boleh dibeli di kedai-kedai runcit dan farmasi di Beijing. 


2) Pakaian Dalam - Thermal Underwear atau Long Johns


Thermal underwear atau long johns adalah sepasang pakaian dalam yang berupa baju berlengan panjang dan seluar panjang yang dipakai pada musim sejuk. Biasanya ia dibuat daripada kain kapas, kapas bercampur polyester, bulu biri-biri dan flannel.

Thermal underwear atau long johns yang sesuai dipakai adalah berbulu di bahagian dalam kerana ia boleh memerangkap haba badan (body heat) dan mengelakkan angin sejuk masuk. Hendaklah memakainya selapis atau dua lapis mengikut keadaan suhu ketika itu.

Sepasang thermal underwear yang sesuai untuk musim sejuk Beijing

3) Jaket Dalam (Inner Jacket


Setelah memakai thermal underwear pakailah jaket dalam (inner jacket) seperti cardigan atau sweater bulu biri-biri.  Kalau suhu sejuk sehingga mencengkam tulang hitam, tambahlah lapisan jaket dalam ini lagi.

Sweater bulu biri-biri untuk wanita 


4) Jaket Luar (Outer Jacket/Winter Jacket


Setelah memakai cardigan barulah memakai jaket luar (outer jacket). Outer jacket yang berkualiti baik adalah tebal dibuat daripada polyester dan ia sintetik. Di bahagian lapisan dalam jaket ini telah diisikan dengan bulu itik/angsa. 

Ia mempunyai hoodie yang berbutang dan berzip yang mana kita boleh menanggalkannya ketika habis musim sejuk. Hoodie ini berguna untuk menutup kepala dan telinga kita daripada angin sejuk.

Pakailah jaket begini kalau ke Tembok Besar pada musim sejuk sebagaimana yang dipakai oleh saudara China-Islam saya Mazhuo. (Jangan lupa memakai hoodie (penutup kepala) kerana anginnya sejuk. Hoodie ini boleh ditarik daripada bahagian tengkok jaket).

Harga sehelai winter jacket yang berkualiti baik dianggarkan di antara RM300-1,000.

Winter jacket boleh didapati di supermarket dan mall. Ataupun di kedai-kedai jaket di Wangfujing dan Qianmen. Elakkan dari terbeli jaket tiruan. (Lebih murah harganya, lebih rendah kualitinya)

Jaket luar begini cukup menahan haba kerana di lapisan dalamnya mengandungi bulu itik.

5) Stokin dan Sarung Tangan (mittens)


Oleh kerana suhu yang terlampau sejuk hendaklah sentiasa memakai stokin dan sarung tangan yang dibuat daripada bulu biri-biri. Sekiranya tidak memakai stokin dan sarung tangan (mittens), kita boleh terkena 'frost bite' yang membuatkan darah kita beku, jari-jemari bengkak dan membahayakan kesihatan kita.

Jadi jangan underestimate pemakaian sarung tangan. Pada musim sejuk yang sejuknya mencengkam ke tulang hitam, anda pasti melihat setiap orang di Beijing memakai sarung tangan.

Stokin bulu biri-biri ini digunakan 2-3 lapis untuk menahan angin sejuk

6) Kasut But


Disamping itu hendaklah memakai but yang di dalamnya mempunyai bulu biri-biri atau bulu itik dan tapaknya menggerutu untuk mengelakkan tergelincir di atas ais. Oleh kerana terlampau sejuk dan musimnya panjang, jalan-jalan membentuk permukaan ais nipis dan licin.

Pelbagai pilihan but untuk musim sejuk boleh didapati di kedai-kedai ketika musim sejuk

Eloklah membeli but yang dijual di Beijing kerana but yang dibeli di negara kita kebanyakannya untuk berfesyen dan tidak berfungsi untuk menahan kaki kita daripada kekejangan akibat angin sejuk. Harga kasut but yang berkualiti baik ialah di antara RM300-1000. Elakkan daripada terbeli but tiruan. Harga yang rendah melambangkan kasut but yang kurang berkualiti.

Jangan sesekali memakai kasut sukan seperti yang kita dapati di Malaysia kerana ia tidak berfungsi langsung di musim sejuk Beijing.

But yang saya pakai di musim sejuk di China
Selipar ini saya pakai di dalam rumah

7) Muffela Bulu (Wollen Muffler)


Adalah disarankan untuk memakai muffela kerana ia berguna untuk menahan tiupan angin sejuk yang "menggigit" bibir, tengkok dan telinga. Muffela yang berbentuk skaf ini dililit di tengkok dan bolehlah menutup mulut serta hidung kita daripada tiupan angin sejuk.

8) Beanie


Beanie adalah topi yang dipakai bagi menutup kepala daripada tiupan angin sejuk. Biasanya ia dibuat daripada benang bulu yang dikaitkan.

9) Earmuffs 


Earmuffs adalah penutup  telinga yang dibuat daripada bulu biri-biri. Ia berbentuk earphone dan dipekupkan di telinga kerana ia menghalang telinga yang nipis daripada menjadi kebas dan kaku kesejukan. 

Earmuffs bukanlah satu kemestian. Saya tidak memakai earmuffs kerana memakai tudung dan anak tudung (dua lapis) sudah cukup untuk wanita seperti saya.

Beanie dan muffela bulu yang dikait dari benang bulu biri-biri amat selesa dipakai pada musim sejuk

10) Warm Pad


Untuk menahan tapak kaki dari sejuk ketika berjalan di dalam salji bolehlah menampal warm pad yang dijual di kedai-kedai atau di tepi-tepi jalan. Warm pad ini adalah sejenis herba berbiji yang dimasukkan ke dalam sebuah bungkusan dan ia mempunyai gam yang boleh ditampalkan pada kulit kita yang sejuk seperti tapak kaki, betis, peha, tapak tangan dan perut.

Apabila ditampalkan pada kaki yang dibaluti setokin, haba dari herba itu mengeluarkan rasa panas. Ia amat membantu daripada kekejangan kaki akibat terlalu sejuk. Sekiranya kaki kita terlalu sejuk, ia boleh membengkak, kebas, kaku dan tidak boleh bergerak.

Warm pad ini amat membantu saya ketika berjalan di dalam salji dan ketika saya mengembara ke kota ais Haerbin di utara China yang suhunya melampau iaitu -30°C. Saya pernah menulis tentang kembara saya ke kota ais Haerbin di blog ini dan untuk membacanya sila KLIK DI SINI.

Warm pad ini tahan sehingga 4-6 jam bergantung kepada tahap suhu dan haba badan

Lain-lain Tips Berguna Semasa Musim Sejuk di Beijing


1) Makanan, Minuman dan Ubat-ubatan


Makanan yang sesuai dimakan pada musim sejuk ialah huo guo dan makanan bersup. Huo guo adalah campuran daging dan sayur-sayuran yang dicelur ke dalam air panas dan dimakan dengan kuah kacang. Makanan ini memanaskan badan dan amat sesuai dimakan pada musim sejuk.

Huo guo halal yang sedap boleh didapati di restoren makan halal di Beijing seperti berdekatan dengan Peking University dan Chaoyang. Saya pernah menulis tentang huo guo dalam blog ini dan untuk membacanya sila KLIK DI SINI.

Huo guo adalah makanan sesuai untuk musim sejuk di Beijing. (Saya dibelanja makan huo guo halal oleh kawan China saya seorang pensyarah di Peking University)
La mien (mee tarik) yang berkuah sup begini dimakan panas-panas pada musim sejuk di Beijing

Selsema dan batuk mudah dihidapi ketika musim sejuk. Minuman yang sesuai untuk memanaskan badan dan mengelak daripada diserang selsema ialah air halia yang direbus dengan gula merah! Manakala untuk menghilangkan batuk, minumlah jus lemon segar bercampur madu asli!

Selain itu bawalah ubat-ubat yang biasa anda ambil ke mana-mana anda pergi.

2) Selimut Elektrik


Selimut elektrik ini saya guna semasa musim sejuk di Beijing. Saya beli ia di sebuah supermarket yang terletak di kawasan perumahan saya di Chaoyang. Harganya RM39.50.

Ketika musim sejuk, haba panas disalurkan ke rumah-rumah di Beijing oleh pemerintah China dan ia bermula biasanya pada pertengahan November. Tetapi sekiranya bekalan haba panas belum disalurkan ke rumah dan suhu di dalam rumah terlalu sejuk, gunalah selimut elektrik.

Cara menggunakan selimut elektrik ini adalah mudah. Cucukkan soket/plug ke lubang soket dan tekan butang 'on'. Kita boleh mengawal kepanasan dengan memilih tahap high, medium atau low. Letakkan selimut ini di atas cadar dan ikutlah arahan pada buku panduan yang disediakan dalam pakej selimut elektrik itu.

3) Mandi


Kulit kita kering disebabkan oleh dua perkara: 1) Angin sejuk, 2) Air mandian. Jadi untuk mengelakkan kekeringan kulit, kurangkan mandi. Ia lebih baik untuk kulit ketika musim sejuk.

Janganlah kerap mandi air panas pada musim sejuk kerana air panas ini boleh menyebabkan kegatalan dan merosakkan kulit terutama bagi mereka yang mempunyai masalah eczema. Mandilah 2-3 hari sekali dengan menggunakan sabun non-toxic.

Orang yang terkecuali dari peraturan ini ialah mereka yang:

  • bersesak-sesak dengan orang ramai di dalam keretapi bawah tanah atau tempat-tempat lain, 
  • pergi ke gym setiap hari, 
  • berhubungan dengan orang sakit (seperti batuk, selesema dan bersin).

Perbelanjaan untuk Pakaian Musim Sejuk



Bil.
 Perkara
Harga (RM)
1.
 Losyen                       
    5.00
2.
 Thermal underwear
100.00
3.
 Sweater (inner jacket)
100.00
4.
 Jaket luar
350.00
5.
 Seluar panjang (jeans)
150.00
6.
 Stokin
10.00
7.
 Sarung tangan
10.00
8.
 Mufella
20.00
9.
 Beanie
20.00
10.
 Kasut but
500.00

 JUMLAH
 1, 265.00


Pakailah jaket dalam dan luar berserta beanie, sarung tangan dan but yang lengkap ketika keluar rumah di musim sejuk yang mencengkam tulang. Kita memerlukan sekurang-kurangnya RM1,265.00 untuk memakai pakaian lengkap ini.



Di mana Pakaian Musim Sejuk Ini Dijual?


Pakaian musim sejuk ini boleh didapati dengan mudah di mana-mana sahaja di Beijing samada di kaki-kaki lima, pinggir-pinggir jalan, pasar-pasar terbuka, kedai-kedai, pasaraya-pasaraya atau gedung-gedung membeli-belah. Jualan pakaian ini mula dijual pada hujung musim luruh sehinggalah hujung musim sejuk. Harganya mahal pada awal musim sejuk tetapi semakin murah pada penghujung musim sejuk.

Pakaian untuk setiap musim boleh diperolehi di kawasan membeli-belah yang popular di Beijing seperti di Wangfujing, Qianmen, Yonganli, Chaoyang dan Liangmaqiao. 

Untuk melihat panduan lain ketika musim sejuk di Beijing sila baca entri saya yang berkaitan dengannya DI SINI.

31 ulasan:

  1. Tip dan info yang sangat bagus. Relevan juga digunakan kat negara lain...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Ya, relevan juga untuk digunakan di negara-negara lain yang mengalami musim sejuk seperti di Beijing.

      Padam
  2. Pemakaian waktu musim sejuk memang sangat penting. Selalunya inilah barang yang paling saya utamakan bila berjalan waktu musim sejuk. Kalau tangan kaki dah rasa kebas memang akan ganggu mood percutian dan kita hanya duduk dalam bilik aje lepas tu. Saya biasanya akan bawa losyen minyak zaitun jenama Minsyam sebab ia sangat berkesan setelah beberapa kali menggunakannya.Nak juga try losyen dari China tu kalau ada stoknya di Malaysia ni kan?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Kalau duduk sahaja di dalam bilik tentu bosan, kan? Saya belum pernah cuba minyak zaitun Minsyam itu, bolehlah saya mencubanya. Losyen dari China itu, saya tak pernah lihat jual di Malaysia. Cuma ada dijual secara online. Tetapi kalau Minsyam itu sudah serasi dengan Rahimah, tak perlulah cuba losyen dari China tu.

      Padam
  3. Info yang sangat berguna, manalah tau tetibe saya sesat ke China pulak pada musim sejuk kan hehehe.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Kalau Ren ke China nanti bolehlah update kisah di sana sebab saya pun tak habis jalan lagi :)

      Padam
  4. bleh dijadikan panduan kalo CT ke travel during winter nanti.. Acik Prof.. CT nk tnya ni.. mcm ne nak tahu bulu tu dri binatang apa ? kat label bukan ada tulis.. ada beli jacket tp skrang da was2.. tkot dr bulu oink2.. mcm mana yaaa..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Biasanya saya tanya penjualnya, jaket tu dibuat daripada apa.

      Kalau jaket kulit yang dibuat dari kulit oink2 tu ia kelihatan berbintik-bintik bulat yang jelas.

      Padam
  5. wah dah bersiap sedia untuk berwinter sonata gamaknya prof...nekcik mmg teringin nak melihat keputihan salji...sambil guling guling...hu..haa..tapi tak tau bila ada rezekinya..
    By the way..nekcik kerap skodeng blog prof untuk tips ke jepun tempuh hari..ya ampuun tak sempat bagi salam prof
    thanks for the info dan salam ramadhan al mubarak dari nekcik!!

    BalasPadam
    Balasan
    1. Tips di atas untuk panduan sesiapa saja yang hendak ke Beijing winter ini. Kalau Nekcik nak guling-guling atas salji jangan lupakan saya ya..:)

      Terima kasih kerana selalu skodeng blog saya :)

      Semoga Ramadhan kali ini lebih baik dari yang sebelumnya.

      Padam
  6. Waahhh.. ni yang buat nak pegi ni

    BalasPadam
    Balasan
    1. Boleh..kalau suka main salji elok datang pada hujung Disember atau Januari sebab ketika itu salji selalu turun.

      Padam
  7. Salam puan.. Terima kasih atas penulisan dan perkongsian yang sangat informatif.. Sy nak minta beberapa tips atau panduan untuk membawa bayi ke beijing pada musim sejuk ini inshaAllah.. Terima kasih ��

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam Najlaa. Ikutlah panduan yang saya tulis dalam entri ini dan entri-entri lepas tentang musim sejuk di Beijing. Baca juga pertanyaan/komen pembaca dan jawapan yang saya berikan kepada mereka. Barangkali berguna untuk puan.

      Padam
    2. Adakah sama juga untuk bayi puan?

      Padam
    3. Rasanya tidak jauh berbeza, cuma kulit bayi lebih nipis dan halus.

      Padam
  8. Insyaallah saya akan ke beijing pd pertghan january 2016.. Masih tidak dapat membayangkan bagaimana sejuk nya nanti. Untuk sarung tangan, adakah terdapat jenis2 mengikut suhu?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Didie,
      Sarung tangan tebal daripada bulu biri-biri atau kulit seperti gambar di atas adalah sesuai untuk musim sejuk. Adakah sukar untuk menentukan suhu pada musim sejuk kerana ia berubah-ubah, kalau terasa sangat sangat sejuk, tambahkan sahaja lapisan sarung tangan.

      Padam
  9. Salam prof... Tq for info, sgt berguna terutama org pertama kali nk merasa musim sejuk negara org mcm saya.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam kembali. Semoga CT Lalola bergembira di musim sejuk di sana :)

      Padam
  10. 6D5n Beijing Muslim Package 2016
    * Muslim Tour * 4 Star Hotel * Malaysia Airlines
    ( FARE TERMASUK : VISA + PENERBANGAN @ MH + Makanan Halal Sepanjang Program
    + Hotel bertaraf 4 Bintang + Insurans Berkelompok + Tiket masuk tempat lawatan )

    Guaranteed Departure

    RM 2200.00 Normal Price ( 01 May - 01 Jul 2016 )

    RM 2250.00 Late Price ( 02 Jul - 05 October 2016 )

    SPECIAL DATE

    05 - 10 DECEMBER 2016 { 11 Seats Remaining }

    Special Commision Total : RM 50 / p.pax
    _____________________________________________
    Special DISCOVER OF BEIJING


    ANY ENQUIRY :
    SHAHIR +6016 9557443 ( WHATSAPP 24 HOURS HOTLINE )
    ADHAM +6013 2953641 ( WHATSAPP 24 HOURS HOTLINE )
    KHAIRUL +6012 23344430 ( WHATSAPP 24 HOURS HOTLINE )

    BalasPadam
  11. Saya akan ke ke Beijing pd 6.01.2017 . saya rasa takut bila baca tentang cuaca dan sikap buruk orang china di sana. Betul ke tak boleh selalu mandi dan makanan halal mudah ke nak dapat.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Selamat berangkat ke Beijing, Zai. Sebenarnya orang China amat peramah dan suka menolong orang, jadi janganlah takut. Kalau kulit Zai sensitif dengan air panas, janganlah mandi terlalu kerap semasa musim sejuk, kerana air panas itu boleh menyebabkan kulit gatal dan rosak. Kalau Zai suka mandi kerap, mandilah dengan menggunakan air sejuk...tetapi mandi dengan air sejuk ketika musim sejuk tentulah tak tahan, kan...makanan halal amat mudah didapati di Beijing. Saya menjemput Zai untuk membaca entri-entri yang saya tulis tentang makanan halal dan panduan untuk umat Islam di Beijing dalam blog saya ini. Baca juga entri tentang Derita Musim Sejuk di Beijing.

      Padam
  12. baru beberapa hari balik dari Beijing di Bulan ramadhan bepuasa selama 16 Jam...Ingin sekali lepa ini berkunjung semula pada musim sejuk

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sangat mencabar sekali kalau berpuasa pada musim panas di Beijing.
      Musim sejuk di Beijing sangat indah kalau salji turun lebat. Kalau berpuasa pada musim sejuk tentu tak panjang macam musim panas.

      Padam
  13. Salam ... Saya insya Allah akan ke Beijing pada akhir Nov 2017 nanti ... Mcmana dengan cuaca dan pakaian yng sesuai ... Kami akan berada di sana 6 hari sahaja. (23 Nov hingga 29 Nov) .. TQ

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam kembali Zulfiqar. November ialah permulaan musim sejuk di Beijing. Cuacanya sangat sejuk sebagaimana yang saya ceritakan dalam entri-entri yang lalu. Zulfikar boleh baca balik entri itu terutamanya "4 Musim di Beijing". Pakaian yang sesuai ialah seperti yang saya ceritakan dalam entri di atas. Baca juga pertanyaan/komen pembaca dan jawapan yang saya berikan kepada mereka. Barangkali berguna untuk Zulfiqar.

      Padam

Kini giliran anda pula untuk memberi pandangan/ulasan.

Ulasan tanpa nama akan dipadamkan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...