Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini



Jumaat, 11 Januari 2013

Kembara Jalan Sutera (Bhg 3): Kotaraya Urumqi, Xinjiang yang Sepi Pada Raya Korban

Apakah yang anda jangka berlaku di hari ketiga raya korban di Urumqi? Orang membeli-belah? Makan angin? Keluar makan-makan? Aktiviti harian yang biasa tanpa perubahan?

Saya, Salwa dan Azizi bertolak dari Kashgar menaiki China Southern. Sebagaimana kami datang dahulu. Begitulah juga berlaku pada kami apabila kami check-in untuk menaiki kapalterbang. Masalah yang sama. Dungu bin Bahalul berlaku lagi. Pada boarding pass kami ada tambahan Mrs dan Mr di hadapan nama kami. Contohnya: Mrs Salwa, Mr Azizi. Kami sudah mengagak masalah gelaran ini akan berulang lagi. Jadi kami sudah minta Adil menemani kami sehingga kami selesai check-in. Mereka sekali lagi kata yang nama kami tidak sama dengan pasport. Adillah yang menjelaskannya dengan menggunakan bahasa China kepada pegawai-pegawai di situ. "Mrs untuk wanita. Mr untuk lelaki." Setelah mendapat chop, tandatangan dan kebenaran menggunakan gelaran Mrs dan Mr itu, kamipun dibenarkan berlepas.

Untuk peringatan: Kalau berlaku begini lagi gunakan khidmat orang tempatan. Dengan adanya rakyat China bersama kita segalanya menjadi mudah.

Kamipun dah serik, lain kali kalau naik China Southern tak usah jawab soalan yang bertanyakan Mr/Mrs tu. Biarkan kosong. Menyusahkan sahaja.

Dalam kapalterbang menuju ke Urumqi, sekali lagi kami terpukau dengan keindahan gunung-ganang Tianshan (Heavenly Mountains) atau "Mountains of Allah" sebagaimana yang digelar oleh sahabat Uyugur saya, Arafat. Melalui bacaan saya kemudiannya saya mendapat tahu ia adalah sebahagian daripada Gunung Himalaya. Kami terpesona melihat salji mendakap kemuncak gunung-gunung itu. Awan gemawan berarak perlahan-lahan memayungi gunung-ganang itu. Padang pasir yang menyimpan khazanah minyak di perutnya terhampar luas saujana mata memandang. Langit nan biru bertangkup dengan bumi yang fana itu menyerikan lagi alam maya ini. Indahnya!

Gunung Tianshan/Heavenly Mountains

Terbang di atas Gunung Tianshan/Heavenly Mountains/Gunung-gunung Tuhan



Kini di Urumqi


Kami sampai dari Kashgar pada waktu malam hari kedua Raya Korban 2012 di Urumqi. Sekali lagi masalah yang sama berlaku kepada kami apabila memasuki laluan imigresen di lapangan terbang Urumqi. Kami kena tanggalkan kasut. Masukkan kasut itu ke dalam mesin pengimbas. Kami yang wanita dikehendaki membuka tudung dan anak tudung. Sekali lagi kami dipaksa meletakkan tudung dan anak tudung itu ke dalam mesin pengimbas. Tubuh badan kami diimbas. Diperiksa. Diraba. Geram sungguh kami dibuatnya. Mencuka saja wajah kami sepanjang pemeriksaan dan pencabulan itu. Benci! Marah!

Di luar lapangan terbang Urumqi, kami disambut oleh Mahadar Mohammet, seorang lelaki Uyughur yang fasih berbahasa Inggeris. Mahadar orang Islam dan beliau begitu gembira melayan kami. 

"Inilah pertama kali saya membawa orang Islam dari Malaysia. Selalunya yang saya bawa orang bukan Islam," kata Mahadar yang memuji kebersihan tandas di Malaysia ketika dia ke Melaka beberapa tahun lalu.

Oleh kerana hari sudah malam kami terus menuju ke hotel. Kami melihat Urumqi lebih moden berbanding Kashgar dan kotanya besar. Namun ciri-ciri Islam dan tulisan-tulisan Arab terdapat pada bangunannya. Saya mengeja tulisan-tulisan Arab itu. Mahadar membetulkan bacaan saya kerana ada sedikit perbezaan disebabkan ia dalam bahasa Uyughur. Menurut Mahadar dia mempelajari tulisan ini semasa di bangku sekolah. Namun menurut Mahadar subjek itu kini tidak lagi ditawarkan dalam silibus sekolah kerana ia digantikan dengan subjek lain. Saya merenung ke hadapan bahawa lama kelamaan generasi muda Uyughur tidak kenal lagi tulisan ini. Lambat laun imej-imej Islam akan lenyap di bumi yang kaya dengan minyak dan batu jed ini.

Sebagaimana Adil dan Arafat, Mahadar juga banyak menceritakan sejarah orang Uyughur dan masalah-masalah yang mereka hadapi kerana di bawah telunjuk *******. Ini bermakna masalah ini adalah masalah yang dihadapi oleh semua umat Islam Xinjiang. Masalah yang telah bertapak sekian lama. Ini membuatkan saya insaf dan bersyukur dengan nikmat yang saya perolehi di Malaysia.


Bermalam di Hotel yang Bercirikan Islam


Hotel Mei Yu adalah hotel yang kami inapi semasa di Urumqi. Yang mengagumkan di bahagian hadapan hotel ini dihiasi dengan khalimah Allah dan nabi Muhammad s.a.w. Di bilik tidur disediakan sejadah. Di tandasnya disediakan gayung/cebuk untuk beristinjak. Hotel ini boleh dikatakan mewah jugaklah. Biliknya luas dan cantik. Tetapi heater (pemanas) dipasang agak kuat sedikit dan terasa panas pada waktu malam. Jadi saya telah terjaga dari tidur dan membuka tingkap untuk membenarkan angin sejuk masuk.

 Hotel Mei Yu yang bercirikan Islam. Kuih yang berlingkar itu diletakkan di atas meja di lobi kerana hari raya. Itulah kuih raya Uyughur yang lazim disajikan

Hotel Mei Yu menyediakan sejadah dan gayung untuk beristinjak




Pilihan Menu Sarapan Uyughur yang Mewah dan Pelbagai 


Menu sarapan pagi kami di Urumqi di Hotel Mei Yu adalah menu Uyughur yang benar-benar asli lagi halal, pelbagai dan enak! Bukan itu saja, setingnya juga ala-ala Arabian Nights bagaikan puteri raja dalam Hikayat Seribu Satu Malam tetapi letaknya di negara China! Luarbiasa, bukan? Di coffee house ini saya amat menggemari roti kukus yang namanya roti-kukus-tak-tahu-nama. Ia amat lembut dan sedap! Sehingga ke hari ini saya mengidamkannya. Tapi bila nak dapat makan roti lembut macam ini lagi?

Seting yang mewah membangkitkan selera

Sajian asli sarapan pagi ala Uyughur yang menyelerakan


Bazar Besar Antarabangsa Urumqi


Saya sudah membuat penyelidikan yang Urumqi mempunyai Bazar Besar Antarabangsa yang gemar dikunjungi ramai. Ini disebabkan ia terletak berdekatan dengan Jalan-jalan Sutera ke Rusia, Kazakstan, Urbekistan, Pakistan, Tajikistan, Kyrgyzstan, Gohead Gostan ...opps ha ha ha. Ia menjadi tempat persinggahan pedagang-pedagang Jalan Sutera. Saya  teruja untuk melihat kedai-kedai yang terdapat di Bazar Besar Urumqi yang tersohor itu. Tentu ramai orang di situ. Hari ketiga Raya Korban, kan?

Pagi itu kami ke Bazar Besar Antarabangsa yang popular di Urumqi itu. Tentu meriah.

Jangkaan saya meleset sama sekali. Kedai-kedai banyak yang tutup kerana mereka bercuti selama 5 hari? LAMANYA! Tidaklah saya menyangka bahawa di negara yang dikawal ketat amalan Islamnya itu, terdapat kelonggaran. Orang Islam di sini diberi cuti umum meraikannya selama 3-5 hari. Wah lamanya. Tentu mereka gembira menyambutnya. Kami turut tumpang gembira. Namun natijahnya kami tak dapat melihat aktiviti harian yang lazim orang tempatan Islam lakukan di sini.

Walau bagaimanapun suasana yang lengang ini membolehkan kami melihat dengan mudah senibina bangunanannya yang amat unik. Kami juga dapat mengambil gambar dengan mudah. Namun begitu terdapat juga beberapa peniaga yang tidak bercuti. Jadi  kami masih dapat melihat suasana pagi raya korban dan aktiviti pagi di sini.

Senibina yang terdapat di kawasan lapang Bazar Besar Antarabangsa Urumqi

Barang-barang yang dijual di dalam kedai


Pelbagai barangan dijual di kedai-kedai di Bazar Besar Antarabangsa Urumqi ini: kekacang, cenderamata, seni kerajinan tangan, senjata dan pakaian.

Pernahkah anda melihat carrot berwarna kuning? Saya lihat ada dua orang wanita yang sedang memotong carrot kuning itu di hadapan kedai.  Inilah pertama kali saya melihat carrot kuning. Jadi saya jakunlah juga melihatnya.

"Apa rasanya?"

"Rasanya sama dengan carrot biasa tu," kata Mahadar.

Disamping itu ada peniaga yang menjual nasi pilaf (palo) yang dimasak di hadapan kedai. Seronoknya kami melihat mereka memasak dari jarak dekat. Nasi itu digoreng bersama carrot, carrot kuning, daging, bawang, sengkuang dan lain-lain lagi.

Gambar di bawah ini dapat menceritakan suasana pagi di Bazar Antarabangsa Urumqi. Tengoklah.

Wanita Uyughur ini memotong carrot kuning di hadapan restoren.

Nasi pilaf dimasak awal pagi di hadapan restoren

Daging disiang untuk dimasak bersama nasi pilaf

Mahadar Mohammet  belanja kami makan tembikai. Di hujung sana ada jus delima.

Jus delima segar

Suasana pagi di Bazar Besar Antarabangsa Urumqi ini masih sepi tidak seperti kebiasaannya yang sesak


Di kawasan bazar ini juga terdapat dua buah masjid. Masjid untuk etnik Hui dan etnik Uyughur.

"Mengapa ada perbezaan masjid untuk etnik masing-masing?" tanya saya pada Mahadar ingin tahu.

"Sesetengah orang lebih selesa solat bersama-sama etniknya. Tetapi ini tidak bermakna yang orang Hui tidak boleh solat di Masjid orang Uyughur dan tidak bermakna orang Uyughur tidak boleh solat di Masjid orang Hui," jelas Mahadar yang merancang untuk memiliki dua orang anak sahaja.

"Mengapa tidak mahu anak lebih ramai? Bukankah golongan etnik minoriti di China dibenarkan memiliki anak ramai?" tanya saya pada Mahadar.

"Oh kerana saya tinggal di bandar. Kos kehidupan di kota Urumqi ini tinggi. Dengan gaji saya yang tidak banyak ini tidak mampu untuk saya menampung anak yang ramai. Jadi dua orang sudah cukup untuk saya. Saya bukan dari keluarga yang kaya." jelas Mahadar.

"Benarkah wanita tidak dibenarkan memakai hijab di sini?" tanya saya meminta kepastian lagi.

"Ya, wanita tidak dibenarkan memakai hijab sekiranya bekerja dengan kerajaan. Kalau kerja sendiri boleh. But not so heavy. Pakai ringkas dan pendek boleh. Yang memakai agak 'berat' sedikit itu orang yang sudah tua. Ini dibenarkan," jelas Mahadar lagi.

"Semasa kami masuk ke Urumqi, ketika di imigresen kami diminta buka hijab kami." cerita saya padanya dengan rasa sedih.

Mahadar membisu sahaja dan enggan memberi komen lanjut. Mungkin ini sesuatu yang sensitif untuk dibahaskan oleh beliau.

"Bukankah orang Islam lebih ramai di sini?" kata saya.

"Awak mesti dah tahu banyak tentang bantahan yang berlaku di sini. Tapi tak boleh buat apa-apa," jelas Mahadar yang seolah-olah sudah jemu membicarkan soal ini yang tiada kesudahannya.


Masjid untuk etnik Uyughur di kawasan bazaar antarabangsa Urumuqi

Masjid untuk etnik Hui ini terletak di seberang jalan Bazar Besar Antarabangsa Urumqi

Kedai-kedai di kawasan Bazar Besar Antarabangsa Urumqi


Saya, Salwa, Azizi dan Mahadar terus berjalan di deretan kedai yang terdapat di kawasan itu. Kami bercerita dan bergurau. Kami lihat ada Carrefour, Parkson dan KFC di kawasan ini. Suasana masih lagi sepi dan kurang aktiviti. Seawal waktu ini biasanya kedai-kedai di mana-mana di negara China pasti memainkan muzik rancak dan terbaru. Lagu Gangnam Style yang saya cuma faham dua perkataan sahaja - sexy lady - selalu saya dengari berkumandang melalui pembesar suara semasa saya berjalan-jalan di pekan-pekan Kashgar, Inner Mongolia, Tianjin dan Beijing. Tapi, pagi itu tidak pula saya mendengar lagu Kpop yang cukup phenomenon itu berkumandang di Urumqi.

Pagi di Bazar Besar Antarabangsa Urumqi yang lengang




Melawat Muzium Xinjiang


Setelah berjalan-jalan di Bazar Antarabangsa Urumqi kami pergi pula ke Muzium Xinjiang. Muzium ini memamerkan etnik-etnik yang terdapat di Xinjiang. Setiap etnik mempunyai pakaian, topi, alat muzik dan bentuk rumah yang tersendiri. Etnik-etnik utamanya ialah Uyughur, Khazak, Tajik, Kyrgiz, Rusia dan macam-macam lagi. Kami dapat melihat adat perkahwinan mereka, tarian mereka, pekerjaan mereka dan seni lukis mereka. Jadi melawat muzium ini membuatkan kami lebih memahami budaya etnik-etnik di Xinjiang. Hanya dengan melihat topi yang dipakai, kita boleh mengenali kumpulan etniknya.

Pameran budaya dan kehidupan etnik-etnik di Xinjiang

         

 

Makan Tengahari Ala Turki


Masa begitu mencemburui kami. Rasa begitu pantas sekali. Namun kami harus meninggalkan bumi Xinjiang bumi paling unik di barat daya China. Sebelum kami meninggalkannya kami makan tengahari yang enak di Surayya, sebuah restoren milik etnik Uyughur. Pelayan-pelayan wanita di restoren Surayya memakai tudung dan nampak sangat ayu.

Mahadar mencadangkan kami makan ayam panggang (macam ayam tandoori), kambing biri-biri panggang, kentang goreng, salad, tomato panggang, capsicum, bawang, nasi dan pizza. "Ini makanan ala Turki," kata Mahadar. Kami ikut saja. Setelah makanan dihidang kamipun makan dengan berselera. Enaknya, sampai saya pun terlupa nak ambil gambar pizza yang sedap itu.

Mahadar Mohammet dan pemandu kami  memesan makanan tengahari kami yang mirip masakan Turki.

Masakan Uyughur yang enak ini terdapat di Surayya.

 


Selamat Tinggal Urumqi


Pada petang itu kami terpaksa pulang ke Beijing walaupun ada banyak lagi tempat menarik yang patut kami lawati.

Dalam perjalanan ke lapangan terbang Urumqi kami melalui jalan-jalan yang ditanami dengan pokok-pokok poplar dan maple di pinggirnya. Daunnya lebat dan berwarna merah serta kuning. Sangat indah. Inilah musim luruh di Urumqi.

Bangunan yang disulami pokok-pokok di musim luruh Urumqi

Keindahan musim luruh di Urumqi


Keindahan musim luruh di Urumqi kami tinggalkan dengan seribu kenangan. Di kaunter tiket kapalterbang China Southern, sekali lagi kami menghadapi masalah nama Mr dan Mrs pada boarding pass kami, tetapi telah diselesaikan oleh Mahadar yang setia menunggu kami di lapangan terbang sehinggalah kami lenyap dari pandangan matanya.

Setelah memasuki kawasan imigresen dan keselamatan sekali lagi kami terpaksa melalui birokrasi yang menggerunkan kami. Kasut kami diminta dibukakan. Tudung dan anak tudung kami sekali lagi dilucutkan! Dimasukkan ke dalam mesin pengimbas. Dilihat melalui x-ray! Diimbas seluruh anggota badan kami dengan batang pengimbas. Diraba tubuh kami oleh pegawai imigresen wanita. Celah-celah kangkang kamipun diimbas. Tapak-tapak kakipun diimbas. Kami lihat wanita Uyughur yang bertudung juga diperlakukan begitu. Walaupun benci dengan birokrasi itu kami tidak dapat bertindak apa-apa kerana kami juga telah menjadi dungu dan paria di bawah telunjuknya.

Kami berdoa semoga suatu hari nanti umat Islam mendapat kemenangan di sini dan ada pemimpin yang memahami isihati kami lalu mengubah dasar ini. Sekiranya anda berada di dalam situasi kami, apakah yang mampu anda lakukan? Banyak lagi keindahan Xinjiang yang belum sempat kami terokai. Patutkah saya datang lagi dengan birokrasi seleceh ini? Apakah pendapat anda?

Itulah sahaja Kembara Jalan Sutera ke Kashgar dan Urumqi di Wilayah Autonomi Xinjiang yang sempat kami terokai. Ikuti Naramas Aman dalam kembara di tempat lain pula dalam entri akan datang. Tapi di mana ya? Nantikan...


13 ulasan:

  1. Assalamualaikum Prof,

    saya nak bertanya pada quote ni "Sebagaimana Adil dan Arafat, Mahadar juga banyak menceritakan sejarah orang Uyughur dan masalah-masalah yang mereka hadapi kerana dibawah telunjuk *******"

    maafkan sy sbb blur..boleh saya tau apa yg dimaksudkan pada **** sbb sy tak dapat meneka mksdnya. adakah K***R? atau C***?

    sy sebenarnya pernah merancang ke Urumqi dan Kashgar beberapa tahun yg lepas tapi masih belum sampai jejaknya. sy jgk musykil apakah perkara yg sama akan diperlakukan (bukak tudung & anak tudung) akan dilaksanakan pd mereka yg tiba dengan kenderaan darat contohnya keretapi. kalau prof tau atau ada maklumatnya mgkin boleh kongsikan. sy bercadang ke sini dgn keretapi dari Beijing dan menggunakan jalan darat sepenuhnya tapi sy juga teringn nak naik kapal terbang dari Urumqi ke Kashgar dan melihat Gunung Allah atau Gng Himalaya tu

    prof, boleh sy tau..sewaktu peristiwa pencabulan itu, adakah ia dibuat secara terang2an tanpa dinding yg melindungi aurat kita? sy rasa tertampar jgk membaca pengalaman prof sbb sy belum pasti berapa tinggi tahap kesabaran sy jika berhadapan dgn situasi ini.

    apapun terima kasih kerana berkongsi pengalaman prof, jika sy berhajat ke kedua2 tempat ini sy akan email prof utk info. sama2 :)

    BalasPadam
    Balasan
    1. Waalaikumusalam Fatt,
      Saya tak boleh nak over sangat kat sini, sebab saya masih di China. Isu yang saya ketengahkan di sini agak sensitif. Jadi biarlah dulu buat sementara waktu begitu. Kalau Fatt betul-betul nak tahu nanti saya boleh emelkan pada Fatt, insyaAllah.

      Saya tak tahu samada naik keretapi akan terlepas dari kena buka tudung atau tidak. Saya tak tahu. Saya dah SMS Arafat, tapi dia belum jawab lagi.

      Semasa pencabulan itu, ia dibuat terang-terangan, di hadapan orang ramai, lelaki perempuan , semua yang ada di lapangan terbang itu nampak. Tak ada dinding.

      Ya, silakan emel kalau Fatt mahu tahu lebih lanjut. InsyaAllah saya cuba menjawabnya.

      Padam
    2. Assalamualaikum Fatt,
      Arafat dah beritahu saya bahawa kalau naik keretapi ke Urumqi, tidak dikenakan pemeriksaan macam naik kapalterbang. Mereka tak suruh buka tudung kalau melalui keretapi. Berita baik, kan?

      Padam
  2. Salam Prof..

    Entry kali ni menarik sgt..1st time tahu ada carrot color kuning. Sebelum prof plan nak ke sana..memang prof xtahu ke pasal imigresen yg teruk tu?? Saya bacapun geram.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam Zila,
      Terima kasih Zila kerana setia mengikuti kembara saya sampai ke Xinjiang.

      Haah carrot kuning tu, terbeliak bijik mata saya tengok, sebab jakun tak pernah tengok sebelum ni.

      Saya tak pernah tahu ada peraturan buka tudung di imegresen tu. Tak siapa beritahupun. Bila dah ke sana baru tahu.

      Padam
  3. Satu pengalaman yang menarik.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Kak Mahh,
      Pengalaman ini amat bermakna bagi saya. Saya dapat mengenali masyarakat Islam dan budaya mereka dengan lebih dekat. Banyak yang saya belajar di sini. Segalanya membuatkan saya insaf.

      Padam
  4. Assalammua'laikum Yong

    Keme pun naik China Southern Airlines jugak ke Guangzhou in 2008 tapi tak de la pulak berlaku perkara dungu bin bahalul tu Yong...pelik jugak dengor ni...sepatutnye bila dah semakin maju dan dengan dasar pintu yang semakin terbuka tu deme patutnye lebih ceghodik memahami. Nampaknye otak deme masih tertutup dan sempit. hampagas sungguh.....

    Yong...cantik la banjaran tu....Subhanallah...

    Atas informasi Yong yang amat berguna ni, makanya keme tak akan naik flight ke Xinjiang Province tu...lebih baik naik train from Chengdu dimana keme rasa lebih selamat dalam menyelamatkan maruah keme ni daripada dicabuli... tak sanggup u...cukup la Yong dan kengkawan Yong jer yang kena...

    Air perahan delima itew...ooohhh delima...amatlah menepati citarasa tekak keme ni,keme sanggup jer ngabihkan duit ke ayor ni kalau terjumpa....sebab tak peghonah keme jumpa kat KL ni

    BalasPadam
    Balasan
    1. Waalaikumusalam Yong ASP,
      Tulah sistem dema (China Southern) ni lain pulak. Gamaknya saja je dema nak menyusahkan teman.

      'hampagas' - suka teman dengan istilah mike tu he he he

      Memang cantik banjaran tu. Kalau ada peluang nak juga melihat banjaran tu dari kaki bukit dengan tasik sekali. Cantik! Tapi tak ada rezeki nampaknya.

      Kalau nak ke Urumqi, lebih baik naik keretapi, sebab kata kawan teman, dema tak suruh bukak tudung kalau naik keretapi.

      Jus delima tu nampak menarik kan? Tapi teman tak minum jus tu masa tu sebab perut dah kenyang sangat. Ambik gambor je.

      Padam
  5. Haaa tu lah jus buah delima segar dalam pic diatas tu, yang pernah saya try dulu...Naramas ada try ker?

    Ada nampak Parkson tak? Sebab saya dulu pernah kerja di Parkson bila tengok dan jumpa Parkson Departmental Store kat wilayah2 China hati selalu seronok.......Kat Urumqi pun ada kan...

    Insyaallah saya nak kesini lagi suatu hari nanti jika diizinkanNya

    BalasPadam
    Balasan
    1. AndaQue,
      Itulah jus delima segar yang AndaQue maksudkan tempoh hari, kan? Saya tak try, sebab masa tu Mahadar belanja saya makan tembikai, perut dah kenyang, makan dan minum pun banyak di hotel sebelum keluar. Jadi ambil gambar saja. Tentu sedap, kan?

      Ya, saya nampak Parkson di situ. Ada dalam bangunan dalam bazar besar di Urumqi ni. Mahadar orang Uyughur yang bawa kami jalan-jalan tu pun kata Parkson ialah syarikat dari Malaysia. Nanti kalau AndaQue ke Urumqi lagi bolehlah jenguk-jenguk ke Parkson ni. Boleh memnggamit memori :).

      Padam
  6. Assalamualaikum. Nak bertanya. 1) Di urumqi ni kalau nak dari satu tempat ke satu tempat tu possible tak kalau pegi dengan public transport kecuali taxi. 2) ada no contact Mahadar tu tak? Mana tau nak dapatkan khidmat nya.
    T.kasih

    BalasPadam
    Balasan
    1. Waalaikumusalam. 1) Boleh saja naik public transport bila sudah masuk ke Xinjiang, InsyaAllah ramai yang boleh membantu. 2) Maaf, saya dah tak ingat di mana saya letak name card yang dia bagi kat saya.

      Padam

Kini giliran anda pula untuk memberi pandangan/ulasan.

Ulasan tanpa nama akan dipadamkan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...