Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini



Selasa, 1 Januari 2013

TEMPAT MENARIK DI BEIJING # 16: Dataran Tiananmen & Taman Nenek Moyang

Ketika saya menaip ini saya memakai sarung tangan? Mengapa? Sebabnya cuaca di Beijing sekarang ini -15 darjah celsius. Bawah daripada takat air beku. Jadi kalau saya tersilap eja, harap maaf ya.

Rasa rasanya sudah banyak tempat menarik di Beijing yang telah saya blogkan di sini,  cuma ada satu lagi tempat yang belum.

Kalau di Malaysia kita ada Dataran Merdeka dan Tugu Kebangsaan, di China ada Dataran Tiananmen (Tianmen Square) dan Tugu Peringatan Wira-wira Rakyat (Monument of the People's Heroes).

Dataran Tiaanmen yang dihiasi dengan lanskap yang indah

Dataran Tiananmen ini adalah tempat tumpuan ramai. Kalau anda datang ke sini anda pasti berjumpa dengan ramai orang. Ada orang tempatan. Ada orang luar. Yang datang dengan rombongan Kak Kiah pun ada.

Dataran ini adalah tempat sejarah. Ia adalah tempat pengisytiharan negara China sebagai sebuah Republik oleh Pengerusi Mao Tze Dong pada 1 Oktober 1949.  Peristiwa bersejarah ini disambut setiap tahun.

Di sini jugalah terdapatnya Monumen Wira-wira Rakyat yang berjasa. Ia dibuat daripada granit dan marmar dan merupakan monumen paling besar dalam sejarah China. Berdekatan dengan monumen ini terdapat Muzium Kebangsaan China.

Di Dataran Tianmen ini demonstrasi sering dilakukan. Antara demonstrasi yang terbesar dan terkenal ialah demonstrasi pelajar pada tahun 1989. Ia mendapat liputan yang luas di media massa di serata dunia. Jadi tidak hairanlah kita sentiasa melihat polis dan pegawai keselamatan sentiasa mengawal  kawasan ini.

Ketika demonstrasi 1989 itu saya sedang menunggu keputusan permohonan pengajian di Amerika Syarikat. Di tahun berikutnya saya berjaya diterima masuk sebagai pelajar di universiti di Amerika dalam bidang filem. Kesan demonstrasi 1989 itu membawa ke Amerika. Ketika itu ramai pelajar China datang ke Amerika dan ada antaranya adalah kawan-kawan sekuliah saya. Ketika belajar mereka mencari-cari peluang untuk menetap di Amerika. Ada yang tidak dibenarkan pulang ke China dan ada rakyat Amerika yang menaja mereka sebagai pasangan hidup. Ada juga pengarah-pengarah filem China yang datang ke universiti saya untuk mendapatkan pekerjaan. Salah satu syarat untuk diterima sebagai pengajar di universiti ialah mereka perlu memberi kuliah percubaan dan kami sebagai pelajar harus memberi jawapan samada menerima mereka sebagai tenaga pengajar atau tidak. Namun begitu, pengarah-pengarah filem China itu tidak dipilih kerana mereka tidak tahu bahasa Inggeris. Walaupun mereka menggunakan penterjemah/jurubahasa kebanyakan pelajar mendapati ia adalah melecehkan. Begitulah kuatnya student union di universiti di Amerika sehinggakan tenaga pengajar ditentukan oleh pelajar.

Orang ramai meraikan hari kebangsaan China  di Tiananmen

Setiap tahun pada 1 Oktober, negara China meraikan hari kebangsaan mereka dan di sinilah rakyat berkumpul.  Sepanjang minggu pertama Oktober adalah cuti umum. Manusia dari pelbagai pelosok negara China datang ke sini dan tempat ini menjadi sesak. Sekiranya anda tidak suka kesesakan, janganlah datang ke sini sehari sebelum atau selepas sambutan hari kebangsaan. Ini disebabkan banyak jalan ditutup. Stesen keretapi bawah tanah yang terdekat iaitu Tiananmen Barat juga ditutup untuk persediaan sambutan hari kebangsaan itu. Anda terpaksa turun di stesen yang berikutnya iaitu di Qianmen dan berjalan kaki.

Polis juga akan sentiasa mengawasi tempat ini kerana dikhuatiri orang awam melakukan demonstrasi. Namun sekiranya anda datang pada hari kebangsaan anda berpeluang melihat rakyat memakai pakaian etnik dan mengibarkan bendera. Cuaca di bulan Oktober juga bagus kerana sudah masuk musim luruh. Musim luruh di sini tidak begitu panas dan tidak terlalu sejuk.

Monumen Wira-wira Rakyat yang dibuat daripada granit. Monumen terbesar dalam sejarah China



Tugu Peringatan di hujung Dataran Tianmen



Berpakaian etnik/kebangsaan pada hari kebangsaan


Berbasikal beramai-ramai pada hari kebangsaan


Lanskap Dataran Tianmen yang indah pada hari kebangsaan 2012

Berkawat di kawasan Dataran Tiananmen
Memorial Presiden Mao dan Kota Larangan di seberang



Muzium Kebangsaan China

Muzium Kebangsaan China


Di seberang jalan Dataran Tiananmen ini terdapat Memorial Pengerusi Mao Tze Dong. Bersebelahannya terdapat taman-taman. Di belakang memorial ini pula ada Kota Larangan yang mendapat pengiktirafan UNESCO.

 

 

Dataran Scammen @ Sembelihmen @ Tipumen 

 

Sambut hari kebangsaan. Bendera dikibarkan pada hari kebangsaan



Namun begitu Dataran Tiananmen ini juga adalah Dataran Scammen @ Sembelihmen @ Tipumen kerana anda akan dikejari oleh orang yang menawarkan perkhidmatan melancong ke Tembok Besar dan tempat-tempat lain di Beijing. Janganlah anda layan mereka kerana mereka ini kaki sembelih. Kaki sembelih ini sentiasa mencari mangsa-mangsanya di sini. Anda mungkin terserempak dengan mereka yang mengekori  ke mana sahaja anda pergi dan berbahasa Inggeris. Harga yang mereka letakkan terlalu tinggi dan mereka berpura-pura menyatakan bahawa tawaran itu istimewa.

"Have you been to Great Wall? I have a great offer for you. It's only 500 yuan! Very cheap!"

Ooi mak mahal nak mampus! 500 yuan dikatakan murah? Padahal harganya jauh lebih murah. Kalau kita pergi sendiri kita mungkin berbelanja tidak sampai 150 yuan. Jadi janganlah anda layan mereka. Jangan berkata sepatah pun.

Ada juga yang menyamar jadi pelajar seni, jual lukisan kaligrafi China yang palsu. Lepas itu sembelih kita hidup-hidup. Ada juga yang datang menghampiri kita, cakap baik-baik, mulut manis, puji-puji kita. Biasanya perempuan. 

"You are so beautiful! Your eyes are so pretty! Where are you from? Malaysia? Wow very nice country!"

Kemudiannya menyatakan yang mereka pengumpul duit dan meminta kita memberi mereka duit seringgit sebagai kenang-kenangan. Muka nampak baik. Padahal itulah songlapmen! Dengan cara begini mereka dapat wang daripada pelancong asing dengan tidak menampakkan yang mereka melakukan jenayah. Janganlah lembut hati kalau anda bertemu dengan orang yang demikian.

Lagi satu janganlah anda naik beng beng (beca bermotor) kerana itu adalah perangkap. Janganlah anda masuk ke dalam perangkap ini. Lebih baik anda naik teksi kerana teksi mempunyai meter. Ataupun jalan kaki sahaja. Kisah penipuan  ini sudah saya ceritakan dalam entri yang lalu. Sila klik di sini untuk imbas kembali.


 

Taman Nenek Moyang (Ancestor Park)


Sekiranya anda ingin solat, janganlah anda solat di tempat terbuka ini, kerana perbuatan anda ini akan menimbulkan syak wasangka di kalangan polis yang mengawal di situ dan mungkin akan ditahan. Anda bolehlah solat di dalam taman yang berdekatan dengan memorial Mao ini iaitu Taman Nenek Moyang (Ancestor Park). Taman ini kurang dikunjungi ramai berbanding dengan Dataran Tiananmen dan Kota Larangan. Cuma bayar 2 yuan sahaja untuk masuk. Di situ ada tandas awam yang bersih. Carilah batu-batu di dalam taman itu dan anda boleh solat dengan aman di sebalik batu itu. Di taman ini juga terdapat dewan, istana dan bangunan purba sebagaimana yang terdapat di Kota Larangan.

Taman Nenek Moyang ini letaknya di sebelah Memorial Mao dan Kota Larangan

Kesenian China terpamer melalui binaan jambatan dan susunan taman-taman di dalam Taman Nenek Moyang

Keindahan senibina dan tanaman  di Taman Nenek Moyang menjadi lokasi sesuai untuk fotografi

Taman Nenek Moyang mempunyai senibina China purba dan menjadi lokasi penggambaran pengantin



Cara Pergi ke Dataran Tiananmen:
Ambil keretapi bawah tanah laluan 1 dan turun di stesen Tiananmen Barat. Bacalah arahan di stesen itu untuk memilih pintu keluar yang mana satu. Ada pintu untuk ke Dataran Tianamen dan ada pintu untuk ke Kota Larangan. Apabila anda keluar dari stesen keretapi bawah tanah itu, anda perlu berjalan kira-kira 5 minit untuk ke Dataran Tiananmen.


Selamat Melangkah ke Gerbang 2013 dengan langkah yang bijak! Semoga 2013 membawa rahmat, kebahagiaan dan rezeki yang melimpah ruah kepada anda semua.

19 ulasan:

  1. Bagi saya Dataran Tiananmen ni akan sentiasa dikaitkan dgn demonstrasi pelajar 1989 sebab mmg ada byk liputan meluas dalam berita dan suratkhabar (maklumlah waktu tu tak ada internet dan Astro lagi, hehe).

    Tugu Peringatan tu pula sekali imbas mengingatkan saya kepada Discoveries Monument di Lisbon. Hampir serupa tapi tak serupa dan tak sama.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Selamat tahun baru R.a.W,
      Dataran Tiananmen memang sinonim dengan demonstrasi. Ini disebabkan ia telah banyak berlaku. Sehingga ke hari ini pun perkataan ini amat sensitif dan tidak boleh disebut-sebut. Itu sebabnya kalau ada orang berkumpul, mereka selalu dianggap berdemonstrasi.

      Yalah R.a.W. tugu peringatan di sini iras-iras Monument to Discoveries Lisbon, terutamanya orang yang diukir itu, namun berbeza dari segi lain iaitu orang Lisbon berdiri di atas kapal, kan?

      Padam
  2. Salm kak NA , wahh kagum saya akak belajar buat pelem! Syahbasss!
    Cantik sungguh taman nenek moyang tu.. bunga bunga tu ditukar setiap hari gamknya ye?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam kembali Janggel/Rain & Selamat Tahun Baru.
      Belajar pelem tu rezeki namanya. Semuanya datang dariNya. Alhamdulillah.

      Biasalah taman sekarang ni, bunga-bunga segera, pokok-pokok segera boleh ditukarganti bila-bila masa.

      Padam
  3. Salam Yong dan selamat tahun baru

    Wah..Yong pun rajin jugak bersesak2 ke dataran tu yer ?

    Tergelak baca dataran scammen, sembelihmen dan tipumen itew.....perkataan baru..

    eeeerrr....sedang sejuk beku yer....

    Yong...buang ler "word verification" tu....

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam Yong ASP dan Selamat Tahun Baru!
      Nak juga tengok suasana mereka sambut hari kebangsaan. Kebetulan pula kakak saya dan kawannya datang melawat saya, jadi bawalah dema jalan-jalan di sini. Kalau sorang je tak kuasa gamaknya teman. Mungkin ini kali pertama dan terakhir tengok hari kebangsaan China ni...he he he

      Kome suka yek perkataan baru tu? he he he

      Memang sejuk beku kaki tangan ni. Merap di rumah je le.

      Sebab kome mintak, maka teman pun dah buang le word verification tu. Ate bukannya apa, banyak bebenor spam yang masuk, iklan entah hape-hape, ideologi entah hape-hape masuk. Teman tengok dulu, kalau ada benda-benda gini masuk, terpaksa le teman ubah balik setting ini.

      Padam
  4. Assalam dan Selamat Tahun Baru NA...

    Mungkin pengalaman NA yang agak lama di sana boleh dibukukan dan dijual secara online melalui blog ini...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Waalaikumusalam dan Selamat Tahun Baru Mie,
      Minat juga nak bukukan kisah/pengalaman saya tinggal di negara-negara asing ni. Tetapi tak ada publisher yang hendak terbitkan. Mie tahu tak publisher mana-mana?

      Padam
  5. Tak penah pegi Lisbon, tak pernah pegi Beijing lagi, oleh itu saya kena pergi dan tengok sendiri hehehe.. Sejuk gile Beijing!

    BalasPadam
    Balasan
    1. Chawanna Na,
      Selamat Tahun Baru!

      Tak pernah pergi Beijing, tak pe...baca je blog saya he he he.

      Mudah-mudahan suatu hari nanti Chawanna dapat datang ke Beijing dan Lisbon.

      Memang sejuk gilerrr Beijing ni. Kering pulak tu. Bibir saya pecah pecah ni. Suasana di luar tiba-tiba mati. Bosan dan sunyi ya amat amat. Tak sabar rasanya nak balik Malaysia.

      Padam
  6. Assalamualaikum...sy baru Balik dr Beijing 1 jan 2013,suhu sangat2 Sejuk, & Alhamdulillah...kami sempat merasa Salji Turun 28/29hb Hari tu...Nak Tanya,Hard Rock Cafe Beijing memang under renovation ea?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Walaikumusalam Dayah,
      Baru balik dari Beijing dua hari lepas ya. Memang sejuk sangat-sangat kan. Bertuah Dayah datang dapat tengok salji turun. Masa salji turun pada 28 hari itu angin bertiup sangat kencang. Saya beku. Frozen. Hari ini lagi sejuk, tambahan pula rumah saya heater tak berfungsi.

      Fasal Hard Rock Cafe dengar khabar run out of business. Rugi. Ada juga kata under renovation. Saya tak pernah pergi jadi saya tak tahu.

      Padam
  7. Assalamualaikum...sy baru Balik dr Beijing 1 jan 2013,suhu sangat2 Sejuk, & Alhamdulillah...kami sempat merasa Salji Turun 28/29hb Hari tu...Nak Tanya,Hard Rock Cafe Beijing memang under renovation ea?

    BalasPadam
  8. Tiannamen Square! Was there somewhere in 2007. Dah lama. Tapi teringat time tue, i almost got lost there bila terpisah with my mum. Hahaha.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Zara AB,
      Wow 2007 dah pergi ke Tiananmen Square! Ada beza tak 5 tahun dulu dengan sekarang?

      Terpisah dengan mak dan hampir hilang? Bahaya tu. Orang ramai, macam-macam ragam. Tapi alhamdulillah selamat dan bertemu kembali.

      Kalau Zara pergi lagi tahun ini mungkin tak sesat dan terpisah lagi kan?

      Padam
  9. As-salam prof,
    sy tergelak dgn gelaran2 yg diberi tu..sbb sy teringt yg sy penah jadi salah sorg mangsa beca bermotor tu...hehehe...mmg menakutkan pglmn tu smpai skrg sy masih ingat. waktu sy nak turun dia tahan pintu dan nak pau sy...mmg bertekak jgklah sy waktu tu..sudahnya terbang RMB100...sy masih geram sampai skrg Y__Y

    BalasPadam
    Balasan
    1. Waalaikumusalam Fatt,
      Ha ha ha gelaran Scammen, Tipumen tu ya...memang ramai yang nak scam kita, melampau-lampau. Mereka tengok kita perempuan mereka ingat kita ni mudah ditipu. Gertak je dia orang ni, ugutlah nak telefon polis, mesti dia orang cabut lari punya :D

      Padam
  10. Assalamualaikum NA....
    InsyaAllah Jan next year saya akan bercuti ke Beijing. Musim sejuk time tu. Mohon NA beri tips sepanjang saya disana. Tips untuk melawat tempat-tempat menarik, membeli -belah Dan lain-lain sekiranya perlu. Terima kasih NA

    BalasPadam
    Balasan
    1. Waalaikumusalam Sri,
      Januari tu Musim Sejuk di Beijing. Tentu Sri seronok ke sana nanti dan dapat pengalaman menarik.

      Tips/panduan untuk ke Beijing pada musim sejuk telah saya blogkan. Sri boleh rujuk pada tajuk di bawah label Beijing antaranya ialah Derita Musim Sejuk, Panduan Umat Islam di Beijing, Huo Guo Makanan Sesuai Musim Sejuk, Lorong Sutera dan Pasar Mutiara dan lain-lain lagi. Tempat-tempat menarik untuk dilawati di sana juga telah saya blogkan. Agak banyak juga. Tetapi sekiranya masih perlukan penjelasan lanjut atau ada yang saya belum blogkan sila jangan segan bertanya.

      Padam

Kini giliran anda pula untuk memberi pandangan/ulasan.

Ulasan tanpa nama akan dipadamkan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...