Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini



Isnin, 3 Mac 2014

Déjà vu di Kota Québec, Kanada: Mengembara Cara Main Redah dan Memandu di Amerika Utara Sejauh 2, 798.2km (Bhg 3)


Setelah berada kira-kira 6 hari di Ontario kami kemudiannya memandu hingga ke kota Québec (disebut Kebek) iaitu ibu negeri Québec. Saya menjadi co-pilot kerana saya bertanggungjawab membaca peta dan memberi arahan kepada Mr Hubby yang memandu.

Keluasan Québec adalah tiga kali ganda Peranchis dan ia adalah negeri terbesar di Kanada.


Sebelum sampai ke kota Québec, kami melalui kota terbesar di Québec iaitu Montréal.

Di Université  De Montréal dan Stadium Olimpik Montréal

Kami singgah sebentar di Montréal melihat Universite de Montréal dan Stadium Olimpik Montréal sebelum ke kota Québec.

Cuaca di Québec amatlah sejuk walaupun ketika itu musim panas. Sweater dan stokin tidak lucut dari badan kami untuk memanaskan badan.
 
Gembiranya kami apabila sampai di kota Québec.

Saya dan anak merayau-rayau di kota Quebec

Kawasan perumahan di kota  Québec

Kami berpeluang merayau-rayau di kota Québec. Kami sangat terkesima dengan keindahan dan keunikan bangunannya. Ini disebabkan ia bersenibina Peranchis. Ada juga bangunan British dan modern. Antara bangunan indah yang kami lihat ialah rumah Parlimen, hotel dan kawasan perumahan kota.

Café, bar dan restoren Peranchis di kota Québec

Banyak café, bar dan restoren Peranchis terdapat di pinggir jalan. Papan tanda dan nama jalan juga dalam bahasa Peranchis. Penduduk di sini juga bertutur di dalam bahasa Peranchis. Inilah satu-satunya kota di Kanada yang menawarkan suasana berbahasa Peranchis. Suasana di sini terasa amat berlainan sekali kerana ia adalah negara Kanada tetapi gaya kehidupannya ialah gaya kehidupan Peranchis. Saya rasa déjà vu berada di sini. Satu perasaan yang seakan-akan pernah mengalami suasana begini di tempat lain di waktu yang lain. Amat sukar untuk menceritakan suasana yang amat berlainan ini. 


 
Sebelum ini saya pernah ke Peranchis dan berada di kota-kotanya seperti Bordeaux, Paris dan Calais. Jadi suasana ala-ala Peranchis dengan bahasa yang digunakan di kota Québec mengingatkan saya tentang Peranchis. Bila berada di Québec terasa déjà vu iaitu seolah-olah saya kembali berada di Peranchis tetapi sebenarnya saya berada di Kanada.


Papan tanda dan arahan di jalan raya ditulis dalam bahasa Peranchis. Orang di Québec amat memuliakan bahasa Peranchis. Ini disebabkan pada papan tanda, bahasa Peranchis ditulis di bahagian atas manakala bahasa Inggeris di bahagian bawah.


Saya mendengar khabar bahawa, sekiranya bahasa Inggeris diletakkan dahulu daripada bahasa Peranchis samada pada papan tanda kedai atau pada kenderaan, maka pemiliknya dikenakan denda. Ketika ini saya teringatkan bahawa kalaulah di Malaysia kita menegaskan perkara sebegini, maka bahasa Melayu tidaklah diperlecehkan.


Di suatu bahagian kota ini terdapat dinding yang berfungsi sebagai pertahanan kota ini daripada ancaman pelbagai pihak. Québec pernah di bawah jajahan Peranchis dan kemudiannya ia jatuh di tangan British pada tahun 1759.

 
Tap..tap...tap....bunyai ladam pada kaki kuda. Kami menoleh pandangan ke arah bunyi itu. Pedati kuda diheret oleh kuda sekeliling kota itu. Amat menarik sekali. 






Gaya kehidupan Peranchis di kota Québec pada poskad yang saya beli di sana
Kami membeli lukisan yang dijual di galeri seni terbuka

Kami juga masuk ke lorong-lorong di kota itu yang terdapat ramai seniman yang menjaja lukisan di galeri seni yang terbuka dan di kaki lima. Saya sempat membeli beberapa buah lukisan sketch hasil pelukis kota itu.

Lukisan  sketch ini saya beli di kaki lima kota Québec dan ia masih menjadi hiasan di rumah saya
Poskad Chateau de Frontenac ini saya beli di kota Québec

Sebuah bangunan yang paling unik di sini ialah Chateau de Frontenac. Ia mempunyai kecantikan Eropah dan Peranchis di Amerika. Senibinanya sudah berusia berabad-abad lamanya. Bangunan ini adalah hotel yang paling banyak difotografkan. Ia terletak di pinggir sungai St Lawrence. Kami lepak-lepak di situ dan dapat melihat kapal-kapal kecil dan bot di perairan. Ramai orang lalu-lalang dan bersantai di situ. Burung-burung camar melayang-layang di ruang angkasa kegembiraan.

Saya membiarkan anak saya  berrmain di hadapan Chateau de Frontenac
Lukisan sketch Sungai St Lawrence dengan berlatarbelakangkan Chateau de Frontenac ini saya beli di kota Québec


Begitulah kami merayau-rayau dan lepak-lepak di kota Québec, kota yang mendapat pengiktirafan sebagai Kota Warisan Dunia dan  mendapat jolokan "The Cradle of Canada".

Tidak berjauhan dengan  kota Québec ialah sempadan Amerika Syarikat yang bersebelahan dengan Maine. Kamipun meninggalkan Kanada yang indah, melalui imigresen sebelum kami memasuki Amerika semula. Pihak imigresen melihat passport kami dan memeriksa bonet kenderaan kami.

...bersambung


10 ulasan:

  1. mereka jumpa apa? suspen nyerr :)

    BalasPadam
    Balasan
    1. Tentu mereka jumpa sesuatu di dalam boot kereta kami...saya pun suspens ketika itu...tapi apa yang mereka jumpa akan saya beritahu dalam entri akan datang, insyaAllah.

      Padam
  2. wahhhh bangunan Chateau de Frontenac tu amatlah cantikkkkkkk! begitu gah terletak disebelah sungai tu.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Memang cantik. "The most photographed hotel in the world." Tempatnya pun strategik, mudah dikunjungi dan dekat dengan bandar. Nanti bolehlah John ke sini pula.

      Padam
  3. Tak penah tau Quebec secantik ni, ingatkan bertaraf bandar2 lain mcm kt US je..homaiiiii..teruja plak nk pgi canada nih huhuhu

    BalasPadam
    Balasan
    1. Chawanna Na,
      Memang cantik Kanada ni, ia berbeza dengan USA dari segi senibina, budaya dan sejarah. Itu pasal akak suka Kanada. Itupun gambar lama (analog) yang akak scan. Kalau digital lagi cantik. Lepas ni Na boleh ajak, Cawan, Aqila, Icam, John dan geng semua pergi. :) Tentu Na boleh capture gambar yang cantik-cantik.

      Padam
    2. insyaALLAH akak... kalo dimurahkan rezeki dan diberikan kesihatan tubuh badan. boleh sampai nih. amin amin amin..

      Padam
    3. Akak doakan John, Na, Rain & gang boleh sampai ke Kanada. Aamiin. Tentu ceritanya lebih menarik dan banyak gambar yang cantik-cantik boleh ditangkap.

      Padam
  4. my kampung, dah 10 tahun saya menetap kat sini sebab suami orang sini..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Chibi Maruko,
      Chibi sudah berkampung di situ 10 tahun, tentu sudah mahir dengan seluk belok Quebec. Apa yang saya paparkan dari pengamatan saya yang sekejap sahaja di sana (2 hari je), tentulah terlalu cetek dan sudah lapuk.

      Padam

Kini giliran anda pula untuk memberi pandangan/ulasan.

Ulasan tanpa nama akan dipadamkan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...