Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini



Sabtu, 22 Februari 2014

10 Kejutan di Ontario, Kanada: Mengembara Cara Main Redah dan Memandu di Amerika Utara Sejauh 2,798.2km (Bhg. 2)

S ebagaimana yang saya ceritakan dalam entri yang lepas, saya memulakan kembara saya dari Ohio dengan menaiki van sewa dan kereta sewa bersama-sama dengan Mr Hubby, anak saya yang berusia 11 bulan  dan kawan-kawan saya. Kami menuju ke utara iaitu menghala ke Ontario, Kanada. Destinasi utama kami ialah Air Terjun Niagara yang letaknya di Tasik Besar Ontario yang bersempadan dengan New York, Amerika Syarikat dan Ontario, Kanada.

Untuk menuju ke situ kami melalui kota-kota utama di Ohio dan Pennsylvania. Perjalanan memakan masa kira-kira 4 jam. Ketika ini musim panas. Tetapi apabila ia hampir ke sempadan Kanada, suhunya menurun.

Peta Kembara Main Redah  kami di Amerika Utara

Geng Kembara Main Redah


Saya dan rakan-rakan di Taman Botani Niagara. Yang tangkap gambar Mr Hubby. Mr Hubby tak suka gambarnya diambil, jadi memang susah nak tengok dia dalam gambar.

 

1. Shima, Nik  & Sons (macam nama syarikat he he he)


Shima ambil Master Degree in International Affairs di Ohio University. Suaminya Nik  menemaninya semasa belajar. (Nik kata, "Jadi house husband" ..kik..kik..kik..). Mereka sudah ada tiga orang anak, semuanya lelaki. Jadi apabila isterinya ke kuliah, dia jaga anak-anaknya itu dan mengemas rumah. Nik memang pandai menghias rumah.

2. Marina & Taufik 


Marina ke Amerika menemani suaminya Taufik yang mengambil Master Degree in Political Science di Ohio University. Taufik pandai memasak dan mengemas rumah. Macam-macam masakan dia boleh masak. Tetapi apabila Taufik ke kuliah, Marina tak payah masak atau kemas rumah he he he, yang buat kerja-kerja rumah tu ialah Taufik.

3. Saya, Mr Hubby & Son


Saya mengambil Master Degree in Film di Ohio University. Saya mengenali Mr Hubby ketika belajar di sana dan berkahwin di sana dan kemudiannya mendapat anak. Mr Hubby ambil Bachelor Degree in Engineering. Mr Hubby paling tak suka kalau gambarnya diambil, dia akan tarik muka masam dan merungut. Mr Hubby suka memandu dan memasak.

Jadi setiap perempuan dalam geng ini ada hero masing-masing. Jadi ketiga-tiga hero inilah yang memandu sepanjang kembara main redah kami di Amerika Utara ini. Yang perempuan jaga anak dan jadi co-pilot. Tetapi disebabkan ketiga-tiga hero kami pandai memasak, dia oranglah chefnya manakala yang heroinenya jadi pengkritik makanan he he he...

Saya (berdiri) di hadapan pagar kampus Ohio University, Athens, Ohio pada musim sejuk 1990. Nampak vintage tak gambar saya ini?

10 Kejutan Yang Ditemui 

 

Istimewanya mengembara cara main redah ini ialah kita tidak perlu tergesa-gesa, boleh rileks-rileks, jalan ikut suka, masuk lorong-lorong yang pelancong selalu tak pergi... Dan sudah tentu kejutan demi kejutan kami temui sepanjang pengembaraan cara main redah ini.


Kejutan #1: Air Terjun Niagara di New York, Amerika Syarikat Yang Tinggi dan Menakjubkan


Ketika kami sampai di Tasik Besar Ontario, yang bersempadan dengan negeri New York hari sudah tengahari dan cuaca amat panas ketika itu. Kami menuju ke Air Terjun Niagara di bahagian Amerika Syarikat.


Inilah kejutan kami yang pertama. Air Terjun Niagara adalah air terjun yang tertinggi di Amerika Utara. Ketinggiaanya amat menakjubkan. Allahu Akbar! Hebatnya ciptaan Allah. Kagum.

Saya, Mr Hubby dan anak berada di Air Terjun Niagara di bahagian New York, Amerika Syarikat

Sebelum ini saya pelajari tentang Tasik-tasik Besar Amerika Utara di dalam kelas Geografi di sekolah. Saya teringat cikgu Geografi saya, Mr Wong. Dia beri saya formula cara untuk ingat nama tasik-tasik besar itu — "See How Micheal Eat Orange." Sampai ke hari ini saya ingat ... he he he... — Tasik Superior, Tasik Huron, Tasik Michigan, Tasik Erie dan Tasik Ontario. Tasik-tasik ini memisahkan sempadan di antara Amerika Syarikat dan Kanada. Ia mempunyai fungsi penting sebagai jalan keluar masuk kapal-kapal, sumber elektrik hidro, pelancongan dan ekonomi kedua-dua buah negara itu. 

Saya tidak menyangka bahawa saya telah dapat melihat tasik besar yang dahulunya saya hafal untuk menduduki peperiksaan SPM. Tasik ini amatlah besar, bagaikan laut yang terbentang luas.


Kejutan #2: Air Terjun Niagara di Ontario, Kanada yang Lebih Hebat dan Lebih Menakjubkan

 

Setelah puas melihat dan mengagumi  Air Terjun Niagara di New York kamipun menyeberangi Tasik Besar Ontario untuk menuju sempadan Kanada pula.
 

Passport saya dicop ketika memasuki Kanada kali ke-2, melalui Air Terjun Niagara pada tahun 1992

Passport saya dicop ketika memasuki Kanada kali pertama, melalui Air Terjun Niagara pada tahun 1990


Kami melalui imigresen dan dibenarkan masuk dengan begitu mudah. Kamipun menuju ke tebing Tasik Besar Ontario di bahagian Kanada pula. Sekali lagi saya terpukau dengan kehebatan Allah SWT. Allahhu Akbar! Subhanallah! Ternyata Air Terjun Niagara yang di sebelah Ontario, Kanada lebih hebat, lebih menakjubkan dan lebih tinggi berbanding dengan yang di New York tadi. Oleh kerana tingginya air terjunnya maka tempias dari air terjun ini membasahi pakaian kami. Oleh itu ramai yang memakai baju hujan dan payung untuk mengelakkan daripada basah.

Saya pasti terpegun dan memuji kebesaran Allah setiap kali saya melihat air terjun Niagara ini. Kali pertama saya melihat Air Terjun Niagara adalah pada musim sejuk 1990 dan kali kedua pada musim panas 1992.  Jadi, gambar di bawah ini ada yang pada musim sejuk dan ada yang musim panas.


Tinggi dan tajamnya air terjun Niagara di Kanada. Di musim sejuk, sekiranya suhu terlalu rendah, ia boleh beku.


Antara air terjun dan jeram yang terdapat di Air Terjun Niagara

Saya gembira dapat berada di Air Terjun Niagara yang tinggi ini.

Lagi saya posing di Air Terjun Niagara di Kanada. Di belakang/seberang saya ialah New York, Amerika

Di seberang sana ialah New York, Amerika Syarikat. Rainbow Bridge menyambungkan Kanada dan Amerika.

Kami berjalan-jalan di tepi tebing sambil melihat air terjun-air terjun, jeram-jeram, batu-batu dan kapal-kapal. Tebing ini sentiasa ramai orang. Untuk melihat air terjun ini di balik curahan terjunannya, kami memasuki lorong bawah tanah yang letakknya di bawah air terjun. Nama tempat itu ialah Table Rock House. Kami diberi baju hujan untuk dipakai supaya kami tidak basah. Memasuki bawah Air Terjun Niagara adalah satu pengalaman yang amat istimewa.

Saya dan kawan-kawan memasuki terowong menuju ke bawah terjunan Air Terjun Niagara yang bernama Table Rock House. Tapi gambar ini diambil ketika saya datang buat pertama kali pada tahun 1990
Di bawah Air Terjun Niagara -Table Rock House Lookout menyediakan tempat paling strategik untuk melihat pemandangan Air Terjun Niagara yang mengagumkan

Terdapat kapal yang beroperasi di Tasik Besar Ontario dan mendekati Air Terjun Niagara. Kapal yang terkenal itu bernama "Maid of the Mist." 

Sekiranya hendak menaiki kapal di Tasik Besar Ontario itu, kita perlu membayar tiketnya dan pada pandangan kami ketika itu, yang mengembara secara ciput, ia agak mahal. Kami hanya melihat sahaja kapal itu belayar. Bagi kami berada di Air Terjun Niagara itu sahaja sudah seribu rahmat.

Tetapi mulai tahun 2014, Maid of the Mist tidak lagi beroperasi dari Kanada tetapi hanya beroperasi di bahagian New York, Amerika Syarikat.

Orang sentiasa ramai di Air Terjun Niagara


Kejutan #3: Anak Sulong Saya Memulakan Langkah Pertama dan Berjalan


Taman Niagara


Kami kemudiannya berjalan-jalan di taman Niagara. Anak sulong saya ketika itu berusia 11 bulan. Dia belum boleh berjalan lagi. Tak sabar saya menunggu dia berjalan. Tetapi satu kejutan telah berlaku di Niagara...

Satu sejarah dalam hidup saya yang tidak saya lupakan ialah ketika berada di taman Niagara itu, anak sulong saya tiba-tiba berjalan. Yang mula-mula perasan ialah Taufik. Lalu Taufik menjerit-jerit kegembiraan. Kawan-kawan saya yang lain pun menjerit kegembiraan apabila melihat anak saya berjalan. Sambil itu mereka mengira langkah-langkahnya. Saya meraba-raba kamera analog saya dan menangkap saat bersejarah itu. Tapi gambar itu tidaklah berapa cantik sangat, sebab tetiba je...tak sempat nak fokus dan set aperture...

Itulah langkahnya yang pertama. Itu adalah saat yang mengembirakan saya, suami dan kawan-kawan saya.

Tatih...tatih..tatih...1,2, 3...tatih...

"Say No To Disposable Diaper" (Katakan Tidak pada Lampin Pakai-Buang)


Walaupun mengembara, saya tidak mengenakan lampin pakai-buang untuk anak saya tetapi memakaikan lampin kain. Balik kepada cara tradisional. Saya menyalin lampinnya setiap sejam sekali dan berhenti di hentian rehat. Ini lebih baik daripada memakai lampin pakai-buang seperti Pampers atau Huggies.

Lampin kain sesuai untuk kulit bayi dan tidak mudah terkena ruam dan melecet. Tambahan  pula lampin kain lebih baik untuk pemeliharaan alam sekitar. Manakala lampin pakai-buang tidak lupus kerana ia dibuat daripada plastik.

Ketika itu di Amerika Syarikat, kempen lampin kain rancak diadakan oleh pelbagai persatuan demi menjaga alam sekitar. Antara perkhidmatan yang diadakan untuk menggalakkan ibubapa menggunakan lampin kain untuk bayi mereka ialah dengan menyediakan khidmat membasuh lampin kain secara percuma bagi mereka yang menyertai kempen itu dan pihak sukarelawan mengambil dan menghantar ke rumah-rumah peserta dengan percuma. Best, kan? Ok..cukup dah untuk kempen, "Say No to Disposable Diaper."


Cenderamata


Kami kemudiannya pergi ke kedai cenderamata dan membeli satu dua souvenir yang saya simpan sehingga hari ini. Saya dan Mr Hubby suka beli mug, lukisan dan poskad tempat kami redah itu.

Shima & Nik suka kumpul camca yang bertulis nama tempat yang kami redah itu. Kalau sudah banyak mereka letakkan dalam bingkai kaca.

Marina & Taufik pula suka kumpul...alamak lupa pulak mereka suka kumpul apa....rasanya mereka tidak begitu spesifik...ikut yang berkenan di hati saja.



Mug yang saya beli di Niagara Falls Kanada sebagai kenang-kenangan. Sehingga hari ini ia masih saya guna.


Cuaca di Ontario


Sebenarnya cuaca di Ontario, Kanada amatlah sejuk walaupun pada musim panas. Ini disebabkan ia terletak berdekatan dengan kutub utara. Purata suhu musim sejuk ialah -15°C dan boleh menjunam di bawah -40°C. Ketika musim sejuk  dan suhu rendah, Tasik Ontario boleh menjadi beku dan salji melekat pada dahan-dahan pokok membentuk seperti stalaktit/stalagmit kristal dan menghasilkan pemandangan yang cantik.

Sila klik di sini sekiranya ingin melihat gambar Tasik Ontario dan Air Terjun Niagara beku.

Ontario juga kadang-kadang mengalami frost quake (gempa fros). Apabila cuaca terlampau sejuk, ia mengakibatkan air  di bawah tanah menjadi beku. Apabila ais di bawah tanah mengembang ia membuatkan batu dan tanah merekah dan mengakbiatkan gegaran.

Ontario ketika musim sejuk. Ini poskad yang saya beli di Ontario.

Ontario semasa musim panas

Kejutan # 4: Menginap di Motel dengan Diskaun 70%



Setelah hari malam dan sejuk kamipun mencari motel untuk merehatkan diri. Untuk jimat kami cari motel yang murah-murah je, cari pula tengah-tengah malam. Kami tawar serendah-rendahnya. Kalau tuan punya motel tak mahu harga yang kami tawarkan, kami pura-pura merajuk dan nak belah.  Jadi tuan punya motelpun rasa rugi kalau kami tak tidur di situ, dia pun setuju, dapatlah kami harga diskaun sehingga 70 peratus...Tuan punya motelpun jenis yang tak kisah sangat, berapa orangpun  boleh sumbat dalam satu bilik, best, kan?


Kejutan #5: Casaloma, Castle Lama Yang Diselubungi Misteri



Kejutan yang seterusnya ialah kami menemui sebuah castle lama yang amat besar dan cantik di Toronto. Ia bersenibina Gothic Revival. Nama castle itu ialah Casaloma. Casaloma adalah castle yang dimiliki oleh seorang ahli kewangan/perniagaan. Tetapi kemudiannya bangkrup dan hartanya dilelong. Ia kini menjadi hakmilik kota Toronto dan dijadikan tempat lawatan. Di sekeliling castle ini dihiasi dengan taman dan di belakangnya terdapat kandang kuda. Kami tidak masuk ke dalam castle itu, cuma melihat bahagian luar sahaja.


Halaman depan Casaloma

Castle lama yang besar gedang ni biasanya berhantu, kan?

Kejutan #6: Menemui Kebun Buah Peach dan Pear di Toronto


Oleh kerana kami mengembara cara main redah je, banyaklah kejutan kami jumpa di tempat itu. Antaranya kami jumpa kebun buah peach dan kebun buah pear. Oleh kerana kami ni tak pernah tengok pokok buah-buahan orang putih ini, kamipun tersangatlah perak bin jakun. Pegang sana pegang sini, posing sana posing sini....

Kamipun petik buah-buahan itu dan makan kenyang-kenyang sehingga kembung dan sengkak perut.


Petik buah peach dan pear di pokok

Kejutan #7: Melihat Bangunan Tertinggi Di Dunia/Kanada - CN Tower, Toronto


Poskad Toronto yang saya beli di Toronto, Kanada

Kami kemudian meredah masuk ke kotaraya Toronto yang sibuk. Bangunannya tinggi-tinggi. Yang paling tinggi ialah CN Tower yang jelas kelihatan dari jauh ketika kami memandu. 

CN Tower adalah bangunan paling tinggi di dunia pada ketika itu. Ia mempunyai ketinggian 553 m dan telah siap dibina pada tahun 1976. Ia terletak di kotaraya Toronto yang sibuk.

Sekiranya menaiki menara itu kita boleh melihat pemandangan kotaraya Toronto dan juga Air Terjun Niagara. Tapi macam biasa, kami tak naik ke menara ini sebab bayarannya mestilah mahal, kan. Jadi, cuma lihat dari bawah sahaja.


Kejutan # 8: Menemui Thousand Islands, Seribu Pulau Indah di Tasik Besar Ontario


Kami berehat di pinggir Tasik Besar Ontario di Thousand Islands

Hari berikutnya kami menemui satu lagi kejutan iaitu Thousand Islands. Thousand Islands adalah pulau-pulau yang terdapat di Tasik Besar Ontario. Di Tasik Besar ini kita boleh menaiki kapal menyusuri Tasik Ontario dan melihat vila-vila dan mahligai di pinggir tasik. Tapi kami ni pengembara ciput, jadi kami taklah naik kapal itu, dapat sampai ke situpun dah seribu rahmat.

Poskad Thousand Islands yang saya beli di Thousand Islands. Gambar dalam poskad ini adalah bangunan yang terdapat di salah sebuah pulau di Thousand Islands.

Kejutan # 9:  Merayau-rayau di Pasar Tani dan Pekan di Kingston


Kemudian kami ke Kingston.

Kejutan lain ialah kami terjumpa pasar tani dan berlegar-legar melihat orang membeli dan menjual di pasar itu.  Nik yang kaki hiasan dalaman pasti cari barang-barang lama dan lukisan terpakai yang cantik. Kalau ada dia rembat. Tapi nampaknya kami tak jumpa, cuma yang ada bunga-bunga segar, sayur-sayuran dan buah-buahan.

Yang seronoknya pergi ke tempat begini kita tidak rasa seperti pelancong — "not touristy"

Kingston, Ontario


Kejutan # 10 : Terusan Rideau dan Kota Ikonik Ottawa



Masih di Ontario.

Di hari yang entah ke berapa, kami sampai di kotaraya Ottawa pula. Ottawa ialah ibu negeri Kanada. 

Bangunan Parliment di Parliment Hill

Yang menariknya di sini kami dapat melihat bangunan Parlimen dan pentadbiran. Amat unik dan memukau padangan kami.

Cuaca pada ketika itu sejuk walaupun musim panas. Suasana sentiasa kelihatan redup, awannya kelabu dan sentiasa muram. Jadi gambar-gambar yang kami ambil di Otttawa ini kelihatan gelap, redup dan dingin.

Pemandangan Terusan Rideau dan Bangunan Parlimen di Ottawa

Kami juga dapat meredah terusan Rideau Canal. Panjangnya terusan ini ialah 202 km. Ia melalui Sungai Ottawa dan mempunyai 45 kunci. Terusan ini dibuka dan ditutup pada waktu-waktu tertentu untuk membenarkan kapal-kapal masuk. Ia dibina bertingkat-tingkat dan paras airnya juga dikawal. Air terusan ini mengalir ke Sungai St Lawrence di Kingston dan Tasik Ontario. Saya tahu faktanya tentang terusan ini ketika belajar Georgafi semasa di sekolah menengah dahulu.

Saya dan anak di Rideau Canal, Ottawa
Gembiranya saya apabila saya dapat berada di terusan itu yang dahulunya hanya saya bayangkan di minda sahaja demi menduduki peperiksaan SPM. 

Pada mulanya terusan ini digunakan untuk pertahanan daripada serangan Amerika. Terusan bersejarah ini telah digunakan sejak 1832. Pada ketika kami main redah itu ia belum lagi diiktirafkan oleh UNESCO sebagai Warisan Dunia. Tetapi ia mula diiktirafkan pada 2007.

Parliament  Hill dari Sungai Ottawa

Pada musim sejuk terusan ini menjadi beku dan digunakan sebagai tempat meluncur ais.


Saya rasa cukup buat seketika cerita Mengembara Cara Main Redah di Amerika Utara. Kalau ada kelapangan dan permintaan daripada pembaca, saya akan sambung lagi. InsyaAllah.

38 ulasan:

  1. Sgt menarik road trip ke kanada ni....

    BalasPadam
    Balasan
    1. Memang sangat menarik. Walaupun ia telah lama berlalu tapi kenangannya masih tetap diingati. Kanada memang cantik.

      Padam
  2. Akak pegi masa tahun 1990? ohmaiii saya baru darjah tiga time tu huhuhuhu..canada pun saya tak tau kat mana lagi agaknye hahaha..

    Cantik la bangunan parliment kat canada tu, mcm castle pun ada. Canada ni pun dlm wishlist saya jgk..tp walahualam bila tahun nk pergi...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Aa ah tahun 1990 & 1992 dik :) he he he...tua bebenor dah akak ni :P

      Memang cantik bangunan di Ottawa. Masa kami sampai tu kami semua gembira sangat-sangat, rasa macam tak cukup je masa yang ada masa tu, cuaca pulak sejuk dan gloomy...best sesangat.

      Wish wishlah dulu Chawanna Na, mana tahu, ada rezeki Na sampailah :)

      Padam
  3. Mengapa gambar diblurkan ? Kan lawa tu...hihihi...kenangan lalu yang mengusik jiwa. hihihi

    BalasPadam
    Balasan
    1. Muhammad Khairuddin Lim,
      Gambar sengaja diblurkan sebagai indentiti blogger Naramas Aman. Lagipun saya ni pemalu. Dalam dunia siber ni kita kena hati-hati. Saya berpendapat pengkongsian cerita kembara saya itu lebih mustahak daripada berkongsi rupa saya he he he...tapi kalau nak jumpa saya di alam nyata apa salahnya...mailah Penang atau jumpa je di Kuala Kangsar.

      Kenangan lama entri ini boleh juga dijadikan panduan sebab tempat-tempat yang saya redah itu masih dijaga dan dilawati orang sehingga ke saat ini, malahan bertambah hebat.

      Padam
  4. Prof, wpon dh lma gmbr2 tu tp warnanya ada yg nmpk mcm baru ya? I thought niagara fall di US aja, rupanya di kanada pon ada ya? I salute u blh jln2 roadtrip bwa baby... for me, it's not an easy task, apatah lg ank2 saya mmg jenis sngt lasak x reti diam waktu kecik. Alhamdulillah bila dh besar2 ni, dh x susah sngt nk bawa cuma masalah mika suka berkelahi ler pulok...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Farikica,
      Gambar lama-lama tu nampak baru sebab cuaca pada masa itu memang panas dan ada matahari, kemudian saya buat color correction. Tapi ada yang dah buat color correction tapi masih nampak lama sebab kualiti asal gambar tu memang tak terang kerana cuaca ketika itu gelap (tak ada matahari). Lagipun 3 buah kamera yang digunakan, ada kamera manual SLR, ada automatic, ada yang cap ayam he he he...
      Niagara Falls ada di Kanada dan USA, kedua-dua negara ini kongsi Niagara Falls sebab di sempadan, sebahagian Tasik Ontario milik USA sebahagian lagi milik Kanada.
      Bawa baby masa tu tak susah sebab dia duduk dalam car seat, rest stops pun ada banyak kemudahan untuk baby dan travel di sana memang convenient.

      Padam
  5. best...seronok baca catatan perjalanan yang ada info tempat dilawati...tempat pilihan saya keindahan alam semula jadi dan ada unsur sejarah...

    BalasPadam
    Balasan
    1. The Scabbler,
      Terima kasih kerana sudi membaca catatan perjalanan saya.

      Saya juga menyukai alam semulajadi dan setiap tempat itu pasti ada sejarah yang berharga. Saya juga telah menjenguk blog The Scrabbler tentang USA, insyaAllah saya singgah lagi. :)

      Padam
  6. Dulu hampir2 je saya sampai ke US sebab nak menghadiri konvokesyen anak saudara di Vanderbilt University, Nashville. Tiket AAX ke London sudahpun dibeli, tapi sebelum sempat cari connection flight to NY, AAX pulak menghentikan penerbangan ke London. Oleh kerana bajet akan melambung2 jadi terpaksa kensel. Cuma cik wife je yang ke sana.

    Diaorang sampai ke Niagara Fall ni... jelesnya...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Alamak sedihnya saya dengar Mie tak dapat ikut sama ke US. Kalau AAX ada buat penerbangan ke London atau ke New York mesti best, tentu ramai orang boleh pergi. Saya pun nak. Sejak meninggalkan USA pada tahun 1996 saya belum lagi berpeluang ke USA lagi. Faktor utama ialah visa dan duit. Jom kita berdoa semoga ada flight yang murah ke USA dari Malaysia.

      Padam
  7. Hye, saya suka baca blog awak, baru-baru ni saya ada buat blog harap awk boleh singgah dan follow blog saya. awksweetgitu.blogspot.com :)

    BalasPadam
    Balasan
    1. Muhammad Taufiq,
      Terima kasih kerana suka blog saya.
      Saya juga dah baca blog awak, awak ada sense of humor :)

      Padam
  8. As salam pn... Saya juga suka baca blog pn.. Sy mmg suka travel. Ada beberapa tmpat sy pi tanpa ambil agent spt Melbourne sydney jakarta bandung n jambi (pernah tinggal dijambi selama 3 tahun)
    Sy juga berangan2 utk ke ottawa sblum adik sy selesai study. Insyaallah 4 tahun lagi ;) apapun sy dah start study dr sekarang sbb .
    Harapnya pn terus menulis tanpa henti. Byk ilmu yg bleh diperolehi dr entri pn.. T.kasih

    BalasPadam
    Balasan
    1. Umi Zh,
      Waalaikumusalam. Terima kasih kerana suka baca blog ini.

      Umi belajar di Jambi ke? Apa yang menarik di Jambi? Ce cerita...

      Ottawa sangat menarik untuk dilawati. Kalau adik Umi belajar di sana, tentu lebih banyak tempat yang dia tahu. Bolehlah dia bawa jalan-jalan sehingga ke serata ceruk :)

      Padam
  9. assalamualikum puan..
    saya ingin bertanya..apakah syarat2 untuk rakyat Malaysia travel ke kanada? menurut kawan saya prosesnya amat rumit dan betul ke kita perllu certain amount of money dlm akaun kite? amaun yg agak besar untuk backpackers.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Waalaikumusalam Fiefa,
      Syarat untuk rakyat kita travel ke Kanada ialah perlu ada visa pelawat. Proses untuk masuk ke Kanada tidak rumit kalau kita ke sana untuk jalan-jalan. Kebiasaannya yang memerlukan duit dalam akaun adalah apabila seseorang itu memasuki sesebuah negara dengan tujuan bekerja atau berniaga.

      Saya pernah memasuki Kanada sebanyak 3 kali pada tahun yang berlainan. 2 kali untuk travel (saya masuk melalui Amerika) dan 1 kali (masuk dari Malaysia) untuk membentangkan kertas kerja di persidangan. Imigresen cuma menyemak passport saya sahaja.

      Saya berpendapat, disebabkan Kanada adalah negara Commonwealth, jadi layanan terhadap rakyat Malaysia (yang juga negara Commonwealth) adalah baik.

      Namun begitu sila semak dengan Kedutaan Kanada untuk kepastian kerana peraturan mungkin berubah dari masa ke semasa.

      Padam
  10. Salam Puan. Sangat menarik dan terperinci catatan Puan suka saya membacanya. Saya sedang plan hendak study atau kerja di Kanada. Adakah senang untuk rakyat Malaysia di sini untuk kerja atau study di sana? Jika sya hendak melawat perlukan visa atau tidak? Saya dah cari info di internet ttg visa tapi serabut dan tiad jawapan jelas. Harap puan dpat jawab dan share tips sikit terima kasih :)

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih kerana masih setia membaca entri saya tentang Kanada. Saya tak pasti tentang mudah atau tidaknya kerja di sana, tetapi ada pembaca blog saya ini yang bekerja di sana dan dia orang Malaysia. Untuk belajar di sana pula adalah mudah kalau mendapat gred yang tinggi dalam peperiksaan dan mempunyai pembiayaan yang cukup. Ya, kita perlu dapatkan visa untuk ke Kanada.

      Padam
  11. Mmg menarik..sy & hubby srt kwn2 pergi 1 kereta dr Texas semasa kami belajar thn 1989. Rasanya 3/4 USA.jg dh pergi. Mmg berbaloi belajar sambil melancong.

    BalasPadam
    Balasan
    1. He he he...kenapa awak tak ada nama?
      Saya juga pernah ke Oklahoma memandu sendiri dari Ohio. Macam awak juga dah 3/4 USA saya cover...

      Padam
  12. akan simpan entry ni sebagai panduan...pasang angan2 nak melawat niagara fall satu hari nanti...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Niaga Falls adalah sebuah tempat yang patut Saidila pergi. Tempias air terjun itu memercik sehingga ke jalanraya menandakan betapa tingginya air terjun ini. Pemandangan juga amat cantik. Semoga cita-cita Saidila tercapai untuk ke sana nanti.

      Padam
  13. Salam puan, saya ingin ke canada tak lama lagi tetapi confuse...ottawa @ toronto mana lagi best ek? Ape perbezaan antara dua tu? Lagipun ni first time saya nak bercuti disana..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Diana,
      Semasa saya ke sana dulu, saya dapati Toronto adalah bandar yang besar dan banyak bangunan tinggi yang modern. Ottawa pula banyak bangunan lama, senibinanya unik dan terusannya cantik. Saya terkesima. Saya lebih suka Ottawa kerana itu. Saya berpendapat Ottawa patut dilawati.

      Padam
  14. Macam mana akak dapatkan visa Canada? Kecewa sangat bila visa saya ditolak tahun lepas. Visitor Visa je pun tapi susah sangat nak dapat. Tahun ni dan dalam bulan ni nak apply sekali lagi, harap2 dapat. Kalau ada tips mohon maklumkan kepada saya.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Zaman berubah, undang-undang pun berubah. Ketika saya ke sana dahulu saya memiliki sudent visa kerana saya belajar di USA. Sebelum ke Kanada saya ke International Office di univesiti saya di USA itu, mereka memberi pengesahan yang saya adalah pelajar universiti itu. Ini adalah cara untuk melepasi sempadan ketika itu. Jadi melalui pengesahan universiti itu dan visa pelajar saya dengan mudah memasuki Kanada. Kali ketiga saya memasuki Kanada ialah ketika saya sudah kembali ke Malaysia dan visa pelajar saya sudah tamat. Tetapi saya memperolehi visa dengan mudah melalui permohonan ke Kedutaan Kanada. Tujuan saya ke Kanada kali ketiga itu untuk membentangkan kertas kerja di persidangan antarabangsa. Mungkin ini salah satu sebabnya yang membuatkan saya mudah memperolehi visa.

      Padam
  15. Perkongsian yang sangat2 menarik dan bermanfaat...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih kerana menghayatinya dan meninggalkan komen di sini.

      Padam
  16. Masyaallah sukanya saya baca,insyallah kalau tiada aral melintang,tahun depan saya akan ke sana menziarahi keluarga yang belajar disana,doakan saya puan moga dipermudah

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih Ross kerana menghayati cerita kembara saya di Kanada.
      Ross akan ke sana pada tahun depan? Wah! Tentu seronok dan pastinya banyak perkara-perkara baru yang mengujakan dapat Ross perolehi di sana. Semoga perjalanan dan urusan Ross dipermudahkan Allah. Aaamiin.

      Padam
  17. Salam Puan.

    I can't stop smiling reading this post. InsyaALLAH akan ke Ontario juga tahun ini, bulan May. Cuma saya terfikirkan sesuatu, tentang sejuknya Canada. Kata orang tidak sama rasa sejuk di Jepun berbanding di Kanada (contohnya) kerana kedudukan altitud yabe berbeza. Is this true?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam kembali Tuan/Puan. Bulan Mei sudah masuk musim bunga tapi ada sedikit matahari, berawan dan kadang-kadang hujan sebab kedudukan Ontario lebih ke utara. Saya pernah ke Canada dalam musim sejuk, musim panas dan musim bunga. Saya dapati walaupun musim bunga, suhunya masih sejuk. Tetapi di USA (Mid-west) ia tidak sejuk, sedang-sedang saja. Jadi saya rasa kesejukan setiap negara itu adalah berbeza. Saya tak pernah ke Jepun dalam musim sejuk, cuma dalam musim panas sahaja, jadi saya tak dapat hendak membezakan kesejukan Jepun. Cuma kalau dilihat kesejukan di negara lain yang pernah saya tinggal seperti USA, Australia dan China kesejukan setiap negara ini berbeza disebabkan faktor angin, ribut pasir, tanah tinggi/rata, jarak tempat itu dengan laut, purata hujan, kelembapan dan lapisan ozone. Ya, kedudukan altitudnya yang berbeza membuatkan cuacanya berbeza: "Lain padang lain belalang." :)

      Padam
  18. Salam prof,

    Seronok bila membaca pengalaman prof... saya ni baru je mampu nak melawat tempat2 luar ni.. kalau ikutkan macam tak percaya Allah murahkan rezeki kami... syukur sgt...

    Saya dan family insyallah akan ke US dalam bulan Dis tahun ni.. husband teringin nak bawak tgk gelagat sale di premium outlet katanya...kakaka...

    bila memikirkan alang2 dah ke new york... saya bercadang nak lajak ke Kanada...tapi rata -rata blog nampaknya mcm payah sikit untuk memohon visa kanada ni...bila prof maklumkan di sana suhunya jjauh lebih sejuk pula..saya dah terbayang sakit sendi ni yang pantang kene sejuk...aduhai....

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam kembali Teratak Shaly,
      Cuaca bulan Disember di Kanada sangat sejuk. Salji selalu turun pada bulan ini. Pakailah pakaian tebal yang bersesuaian dengan musim sejuk dan sentiasalah memakai losyen dan lip gloss untuk elakkan kekeringan. Factory outlet banyak terdapat di USA dan harga barang-barangnya amat murah. Terutama pinggan mangkuk Corelle, Mikasa, dll. Tetapi di Kanada saya belum pernah ke factory outlet, jadi tak dapat nak cerita.

      Padam
  19. Terima kasih prof..insyaallah.. doakan semoga perjalanan yg dirancangkan ini dipermudahkan...tq prof.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sama-sama SK Foo. Mudah-mudahan SK Foo selamat di dalam perjalanan dan dipermudahkan segala urusan. Nanti kalau sudah sampai ke sana, kongsilah ceritanya di sini. Saya nak juga tahu, bagaimanakah Kanada yang pernah saya lawati ini berubah ~ dulu dan sekarang.

      Padam

Kini giliran anda pula untuk memberi pandangan/ulasan.

Ulasan tanpa nama akan dipadamkan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...