Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini



Isnin, 16 Februari 2015

Liburan di Jakarta (2): Jalan-jalan ke Tempat Menarik

Menjadi tetamu di Jakarta, tidak perlu runsing. Semuanya diatur oleh Yan iaitu student saya berserta keluarganya.

Hari ini kami sarapan dengan masakan Sunda, yang dimasak khas oleh pembantu rumahnya. Yan, pula hari ini semakin sihat selepas pembedahan. Khabar yang menggembirakan kami, jari-jemari tangannya yang semalam masih belum bergerak kini sudah mula bergerak-gerak. 

Selesai sarapan pagi, kami dibawa makan angin oleh Pak Sukiyo, iaitu supir Nia Nescaya (adik Yan). Kami dibawa ke kotaraya Jakarta dan kawasan persekitarannya.




Taman Mini (Tamini)


Pak Sukiyo membawa kami sekeluarga ke Taman Mini (Tamini) yang terletak tidak berjauhan dengan rumah Yan di Jakarta Timur. Perjalanan ke Tamini memakan masa kira-kira sejam. Ini disebabkan 'macet' di sepanjang jalan.


Macet di jalan raya Jakarta
Sudah hampir ke Taman Mini 
Kereta kabel di Taman Mini

Hari ini Ahad. Pelancong tempatan amat ramai berkunjung ke Tamini membuatkan jalan di situ 'macet' dan tiada pakir untuk kami berhenti turun. Jadi kami cuma duduk di dalam kereta 6 seater yang dipandu Pak Sukiyo sambil melihat sekeliling. Di situ kami dapat melihat banyak rumah-rumah dari pelbagai daerah Indonesia yang dijadikan pameran.

Kira-kira setengah jam kemudian, kami berhenti di sebuah taman burung yang terdapat di hujung Tamini. Di situ kami mendapat pakir dan membeli tiket untuk masuk ke dalam taman burung itu. Di taman itu terdapat banyak jenis burung seperti helang, bangau, angsa, pelican dan macam-macam lagi.

Kolam dan gua buatan di dalam Taman Mini
Penulis di hadapan gua di Taman Mini
Angsa, itik dan burung di tasik di dalam Taman Mini
Burung enggang
Burung helang
Burung mencari makan di kolam
Bersama yang tersayang di Tamini

Jus Alpokat dan Piscox


Jus alpokat penghilang dahaga di waktu panas terik Jakarta.

Setiap kali di Indonesia, minuman kegemaran keluarga kami ialah jus alpokat yang lemak berkerim. Jadi sambil menunggu anak-anak dan kakak-kakak saya yang masih berada di dalam taman, saya dan Mr Hubby membeli jus alpokat di sebuah kedai di hadapan. Jus alpokat ini sangat istimewa kerana ia bercampur dengan coklat dan air kelapa. 

Setelah puas berjalan-jalan melihat burung-burung dan tanaman di Tamini, kami pun meminta Pak Sukiyo membawa kami ke masjid berdekatan untuk menunaikan tanggungjawab. Dalam perjalanan, kami terlihat gerai tepi jalan menjual 'Piscox' iaitu pisang goreng yang bercampur coklat. Selama ini saya hanya mendengar nama pisang goreng ini sahaja, tetapi belum pernah memakannya. Tertarik untuk mencuba memakannya, saya pun turun membelinya.

'Piscox' itu berbentuk seperti popia dan di dalamnya mengandungi pisang yang dicampur coklat. Terdapat kuali dengan minyak panas di tepi gerai. Penjualnya sedang menggoreng pisang itu. Selain daripada itu terdapat juga pisang goreng bercampur keju, nenas, kacang hijau, pulut dan tapai. Saya pun membeli kesemua jenis pisang goreng ini untuk dicuba. Ia enak dimakan panas-panas. Saya merasa kagum dengan kreativiti orang Jakarta ini kerana mereka mempunyai pelbagai cara untuk menggoreng pisang.

Gerai tepi jalan yang menjual piscox
Piscox sedang digoreng

Masjid Sunan Kalijaga


Sunan Kalijaga adalah salah seorang wali songo yang terkenal di Indonesia.  Masjid yang kami tuju ini bernama Masjid Sunan Kaljaga. Saya tidak pasti adakah masjid ini mempunyai signifikan dengan wali tersohor ini atau tidak? Ini disebabkan Sunan Kalijaga di Jawa Timur. Saya berpendapat masjid ini cuma mengambil nama walinya sahaja.


Di luar Masjid Sunan Kalijaga
Papantanda yang ada di Masjdi Sunan Kalijaga
Di dalam Masjid Sunan Kalijaga
Kenangan sekeluarga di Masjid Sunan Kalijaga

TARASO Masakan Padang


Untuk mengisi perut kami yang kebuluran, kami sekeluarga singgah di sebuah restoren masakan Padang iaitu Taraso Masakan Padang. Lokasinya di Jalan Jati Waringin, Pondok Gede, Bekasi.

Boleh pakir dengan mudah di hadapan Restoren Taraso Masakan Padang
Suasana jalan di hadapan restoren Taraso Masakan Padang
Suasana yang kemas dan bersih di restoren Taraso Masakan Padang. Musolla juga disediakan di sini.
Kami sekeluarga menjamu selera di Taraso Masakan Padang, Jakarta.
Macam-macam lauk dihidangkan di atas meja. 

Seperti restoren masakan Minang, Taraso  Masakan Padang juga menghidangkan kesemua lauk-pauk ke atas meja: rendang, gulai lemak, masak gurame berlado, asam pedas, sambal goreng hati, dendeng balado, ulam-ulaman, kari ayam, kari ikan dan sebagainya.  Namun kami hanya memilih beberapa lauk sahaja yang kami gemar untuk dimakan. Memang 'terasa' masakan Padangnya apabila  makan di sini.


Monumen Nasional (Monas)


Setelah mengisi perut, kamipun ke Monument Nasional (Monas) yang terkenal di Jakarta. Di sini kami dapat melihat monumen yang tinggi yang diabadikan sebagai tugu peringatan terhadap wira-wira Indonesia yang berjuang dari didominasi oleh penjajah.

Selain ini kami dapat melihat ramai orang berjual beli di hadapan monumen itu. Ia seperti sebuah pasar malam yang besar. Pelbagai barang, cenderamata, buah-buahan, minuman dan makanan dijual di situ. Orang pula ramai. Kami berjalan kaki di situ sambil melihat-lihat jualan yang dilambakkan di situ.  Kami hanya membeli beberapa keping fridge magnet dan buah mempelam yang dijual di situ.


Penulis di hadapan Monas
Penjaja menjaja makanan
Beg tangan dan pakaian yang dijual
Rantai kunci, fridge magnet dan cenderamata sesuai dibawa pulang.
Persembahan jalanan
Penonton terhibur dengan jenaka dari pemain persembahan

Masjid Istiqlal Masjid Terbesar di Asia Tenggara


Apabila kami meninggalkan Monas hari sudah hampir senja. Tidak berjauhan dengan Monas terdapat sebuah masjid yang terkenal di Indonesia iaitu Masjid Istiqlal. Masjid Istiqlal adalah masjid terbesar di Asia Tenggara. Ia terletak di Jalan Wijaya Kusuma, di Daerah Khusus Ibukota Jakarta. Istiqlal bermaksud kemerdekaan dan ia dinamakan begitu sempena dengan kemerdekaan Indonesia.

Kamipun singgah di masjid itu. Ketika sampai di halaman masjid, azan isyak kedengaran dengan jelas dari suara muazzin yang amat lunak. Hati terasa sangat sejuk dan nyaman mendengarkan suara muazzin itu. 

Masjid ini amat luas dan bertingkat-tingkat. Kami membuka kasut dan memasukkannya ke dalam beg plastik. Seperti masjid-masjid lain di Jakarta, kita boleh juga menyimpan kasut kita di kaunter titipan kasut sekiranya kita mahu. 

Kami ke tempat wudhu wanita dan mendapati bahawa di situ terdapat banyak paip air dan ramai wanita sedang mengambil wudhu. Tetapi saya dan kakak-kakak saya merasa tidak senang untuk membuka tudung di situ kerana kami ternampak seorang lelaki menanti di bahagian pintu masuk tempat wudhu itu mengutip duit. Nampaknya tiada siapa yang melarang lelaki itu berdiri di kawasan tempat wudhu wanita dan mengutip duit (secara tidak sah) itu.

Kami kemudiannya ke tingkat atas dan solat jamak di ruangan wanita.

Bemo di luar Masjid Istiqlal
Azan berkumandang dari menara Masjid Istiqlal ketika kami sampai
Di dalam Masjid Istiqlal

Dengan keadaan 'macet' di Jakarta hanya tiga tempat sahaja yang sempat kami lawati.


Makan Malam di Apartment di Tengah-tengah Kotaraya Jakarta


Setelah solat di Masjid Istiqlal, kami diundang makan oleh Ira Puspawati (adik Yan) dan keluarga di aparmentnya di tengah-tengah kotaraya Jakarta. Apartment Ira adalah apartment mewah yang rekabentuknya seperti sebuah hotel. Ketika menaiki lif, kami terserempak beberapa orang Timur Tengah. Ini memberi gambaran bahawa apartment ini diduduki oleh golongan expatriate dan berpendapatan tinggi. Ira adalah seorang CEO sebuah syarikat besar di Jakarta. Walaupun begitu, Ira adalah seorang wanita yang merendah diri.

Kami diperkenalkan dengan suami Ira dan anak-anaknya yang sebaya anak-anak saya. Ira menyediakan nasi dengan gulai kari ayam yang sedap. Ketika itu Yan dan anak saudaranya juga sampai dan makan bersama-sama kami.

Makan malam di aparment Ira di tengah-tengah kotaraya Jakarta
Gulai kari ayam dihidangkan oleh Ira untuk kami sekeluarga
Kami sekeluarga bergambar bersama Ira (no 3 dari kiri)  dan keluarganya di apartment mewahnya di tengah-tengah kotaraya Jakarta
Pemandangan kotaraya Jakarta dari dinding kaca apartment Ira

Setelah dijamu dengan makan malam yang enak oleh Ira dan keluarganya di kotaraya Jakarta kamipun pulang semula ke rumah Yan di Jakarta Timur. Malam itu kami tidur nyenyak setelah penat makan angin dan kekenyangan.

...bersambung



22 ulasan:

  1. Dah lama sangat saya tak ke jakarta.. nanti bole la ke jakarta nanti2 melawat bandar tu

    BalasPadam
    Balasan
    1. Kalau sudah terlalu lama, mungkin dah banyak berubah.

      Padam
  2. pengalaman menginap di apartmen di jakarta di tingkat 28 ...tingginya.Di malaysia pun saya tak pernah naik setinggi ini . Seronoknya dpt melihat segenap alam dari atas .

    BalasPadam
    Balasan
    1. Nieda pernah ke apartment setinggi 28 tingkat di Jakarta?...Wah...hebat...tak gayat ke? :) Kalau saya dah "vertigo".

      Padam
  3. Dua kali ke Jakarta tapi masih banyak tempat yang masih belum sampai lagi... Perlukah kali ketiga pula...

    Wah... penginapan pun gratis...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Kalau sudah jatuh cinta dan banyak yang boleh dipelajari di sesuatu tempat itu, tidak rugi untuk mengulanginya. :)

      Penginapan, makan, mobil, supir, pembantu rumah....semuanya gratis! :) Senang banget!

      Padam
  4. Prof ... Apa makna SUNAN? Sebab saya adalah peminat Ramlee Awang Murshid ... beliau selalu menggunakan SUNAN di dalam novel novel beliau ...

    Cuma saya tak berapa pasti apa makna SUNAN itu tersebenarnya ....

    BalasPadam
    Balasan
    1. Ghazali, terima kasih kerana bertanya. Sunan adalah panggilan orang Jawa atau Sunda bagi seseorang yang diagungkan dan dihormati. Ketika awal kemasukan Islam di Jawa gelaran ini diberikan kepada ulama dan pendakwah. Sunan Kalijaga adalah salah seorang ahli Walisongo (sembilan wali) Tanah Jawa yang berusaha mengembangkan agama Islam di Jawa pada abad ke-15. Nama sebenar Sunan Kalijaga ialah Raden Said. Kalau tak silap saya, beliau digelar Sunan Kalijaga kerana beliau pernah bertapa di tepi kali (sungai).

      Padam
  5. Balasan
    1. Terima kasih kerana rajin membacanya :)

      Padam
  6. aduhaii macetnya tu yang tak tahan prof..kami pernah dulu sewa kereta hotel untuk sehari..tapi baru setengah hari..sini macet sana macet...kesudahannya kami balik hotel jer

    BalasPadam
    Balasan
    1. Macet membuatkan perjalanan terbatas.

      Padam
  7. Assalamualaikum.wr.
    Bila ke Indon memang seronok terutama ragam makanannya yang banyak.
    Foto depan masjid Sunan Kalijaga membongkar identiti Prof. sebab pelindungnya tak cukup tebal.
    Maaf ya Bu Prof....tapi rasanya enggak ada apa-apa tu.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Waalaikumusalam Puan Nasa.
      Di Indonesia banyak cara memasak sesuatu makanan itu. Memang rajin dan kreatif orang di sana.
      Identiti saya terbongkar kalau dizoom besar-besar :)

      Padam
  8. Orang yang menebar kebaikan salalu menuai kebaikan juga. Dengan keadaan yang macet di Jakarta. banyak juga spot menarik yang sempat dikunjungi Bu Prof Nara.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Banyak spot menarik dapat dikunjungi kerana supir yang membawa kami amat pandai merancang.

      Padam
  9. waktu saya pergi tu kena hari sabtu..aduhaii macet sana macet sini..sudahnya suruh jer supirnya balik jer walaupun bayar untuk sehari,,,

    BalasPadam
    Balasan
    1. Hari cuti jalan raya di Jakarta bertambah macet.

      Padam
  10. sekali je ke jakarta itu pun transit sebab nak ke bandung. macet itu yang jadi malas nak lepak2 sana

    BalasPadam
  11. woaaaha ni memang trip yang sangat happening..
    bila ada driver / tour guide kadang2 lebih best sbb diorang lagi tahu selok belok
    tempatan.. bagus juga Acik Prof jalan2 macam ni..
    boleh traveller lain tahu tempat2 yg menarik di jakarta selain yg selalu orang pergi..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Disebabkan kali ini lebih kepada bertamu, maka layanannya berbeza dan lebih istimewa berbanding dengan menjadi pelancong atau mengembara sendiri. Pemandu yang diberikan pula adalah pemandu kepada adik-beradik student saya...jadi mereka tentu ambil berat dan mahir selok-belok di Jakarta.

      Padam

Kini giliran anda pula untuk memberi pandangan/ulasan.

Ulasan tanpa nama akan dipadamkan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...