Sebagaimana di Surabaya saya dan keluarga saya dibelanja lagi oleh pelajar saya. Kali ini ke Bandung pula. Semuanya GRATIS (percuma) lagi! Kami menaiki pesawat Garuda Indonesia ke Bandung dari Surabaya pada 3 November 2012. Perjalanannya cuma 1.15 jam.
 |
Kami naik Garuda Indonesia dari Surabaya ke Bandung
|
Kami disambut oleh Mas Ami iaitu pemandu wisata kami. Bandung mendapat banyak nama jolokan. Ia adalah kota fesyen, kota kreatif, kota seni, kota kembang (bunga), kota universiti, kota Paris di Jawa dan kota
jajahan Belanda. Ia menjadi tarikan pelancong kerana udaranya yang
sejuk, nyaman, mesra alam dan cantik. Suasana ini kelihatan nyata di persekitaran. Kami dapat melihat rumah-rumah peninggalan Belanda, taman-taman, pohon-pohon hijau dan gaya kehidupan masyarakatnya yang mementingkan kelestarian alam sekitar. Hujung minggu di Bandung menjadi tumpuan anak-anak muda untuk berkumpul dan berkarya.
 |
| Rumah bercirikan senibina Belanda yang dikelilingi dengan pohon-pohon hijau dan rendang |
Menyaksikan Persembahan Muzik Angklung Saung Udjo
Pengalaman yang menarik dan manis yang kami alami ialah menyaksikan persembahan tradisional orang Sunda iaitu Angklung. Pesembahan diadakan di sebuah bangsal berbentuk arena (bulat) dan di waktu petang. Iaitu pukul 3.30 petang hingga 7.30 petang. Ia bertempat di Jalan Padasuka.
Persembahan dimulai dengan wayang golek iaitu patung kayu yang didalangi oleh pak dalang yang bersembunyi di bawah batang pisang. Kemudian kami menyaksikan Helaran iaitu sambutan berkhatan yang dimainkan oleh sekumpulan kanak-kanak. Kemudian tarian merak, calung, arumba (alunan rumpun bambu), angklung mini, orkestra dan tarian beramai-ramai mengiringi acara.
Saat yang mengembirakan kami ialah penonton diberi peluang untuk bermain angklung bersama-sama. Kami berpeluang memainkan lagu Burung Kakaktua,
Petter-Pat,
The Song of Do Re Mi dan lagu-lagu popular. Kami ditunjukajar oleh hos persembahan dengan mengikut not yang dipaparkan di atas kertas besar sambil mengikut isyarat jari dan tangannya. Sangat interaktif. Ini adalah pengalaman yang amat menarik bagi kami. Saya cadangkan anda jangan melepasi peluang ini kalau sudah berada di Bandung.
 |
| Wayang Golek memulakan persembahan |
 |
| Tarian Merak |
 |
| Kanak-kanak dididik seawal 3 tahun dalam seni persembahan angklung dan Helaran |
 |
| Angklung adalah permainan muzik orang Sunda |
Membeli-belah di Heritage Jalan Riau
Heritage Jalan Riau adalah sebuah Factory Outlet. Terdapat pelbagai jualan di sini terutamanya pakaian dan aksesori untuk pelbagai peringkat umur dan gender.
Namun kami tidak menemui pakaian yang sesuai untuk kami kerana fesyennya yang 'over', lebih sesuai untuk golongan muda yang
fashionable dan saiznya hanya sesuai untuk orang yang bertubuh kecil. Bagi keluarga kami yang berbadan besar, amat sukar sekali untuk memilih pakaian di sini. Harganya juga tidaklah murah. Tambahan pula jenamanya pula boleh didapati di Malaysia.
Menginap di Hotel Grand Royal Panghegar
Hotel yang diberikan oleh kami secara gratis ini ialah Grand Royal Panghegar. Ia adalah sebuah hotel yang eksklusif, selesa dan menenangkan. Katil tambahan disediakana terus sebaik-baik kami masuk ke dalam bilik tanpa diminta. Dapur untuk memasak, cerek, peti sejuk, peti keselamatan, meja makan, tv, wifi dan kemudahan asas lain disediakan di dalam bilik. Ketika kami sarapan pagi kami dapati terlalu ramai orang tempatan. Ini disebabkan mereka menginap di situ dan menghadiri seminar/kursus.
 |
| Dalam bilik hotel Grand Royal Panghegar yang selesa |
 |
| Permainan muzik gamelan di lobi hotel sewaktu sarapan pagi |
HARI KEDUA
Melihat Kawah Gunung Berapi di Tangkuban Parahu
Gunung Berapi Tangkuban Parahu adalah gunung berapi yang masih aktif. Ia terletak di Lembang, Bandung, Jawa Barat. Kami ke sana dengan ditemani oleh Mas Ami. Kami menaiki van ke gunung berapi itu yang jaraknya lebih kurang 25 km. Belumpun sampai ke kemuncak Tangkuban Parahu ini kami sudah dapat menghidu bau belerang gunung berapi. Bau belerang yang menusuk ke dalam rongga hidung kami inilah membuatkan kami teruja amat dan tidak sabar-sabar rasanya untuk melihat sejauhmana aktifnya gunung berapi ini. Terdapat tiga buah kawah gunung berapi yang terkenal di Tangkuban Parahu. Yang saya ingat ialah Kawah Ratu.
Gunung Berapi Tangkuban Parahu ini mendapat nama dari mitos orang Sunda iaitu Sangkuriang. Dari segi geografinya, Tangkuban Parahu ini berbentuk perahu yang tertelungkup.
Hikayat Sangkuriang ini panjang kisahnya sebagaimana yang diceritakan oleh Mas Ami dalam perjalanan menaiki Gunung Berapi ini.
Dipendekkan cerita, ia adalah kisah seorang anak lelaki yang terpisah dengan ibunya sejak kecil tetapi bertemu semula dengan ibunya setelah dia dewasa. Si ibu pula sebelum ini telah meminta daripada Dewata supaya dia tidak tua-tua.
Oleh kerana masing-masing tidak mengenali di antara satu sama lain, maka mereka saling jatuh cinta dan ingin berkahwin. Setelah masing-masing menceritakan kisah silam mereka, akhirnya mereka mengetahui asal usul mereka. Namun Sangkuriang masih mahu mengahwini ibunya itu. Ibunya mengenakan syarat yang sukar dipenuhi kepada Sangkuriang supaya hasratnya itu tidak kesampaian iaitu dia harus membuat perahu dalam masa satu malam. Sangkuriang menyanggupinya dan meminta pertolongan makhluk halus.
Usaha Sangkuriang membuat perahu itu gagal kerana helah ibunya yang melebarkan sejenis kain yang bercahaya. Cahaya ini disangkakan hari sudah siang dan makhlus halus itu melarikan diri. Oleh kerana marah dengan kegagalan itu Sangkuriang menyepak perahu itu lalu ia terbalik/terlungkup. Maka gunung berapi Tangkuban Parahu ini diambil sempena dengan mitos perahu yang disepak oleh Sangkuriang sehingga terlungkup dan tertangkup ke tanah.
Kisah Sangkuriang ini juga pernah difilemkan.
 |
| Kuda-kuda menanti untuk dinaiki |
 |
| Kawah yang masih mengeluarkan asap |
 |
| Penulis merakamkan gambar di hadapan Gunung Berapi Tangkuban Parahu |
 |
| Pengunjung dan peniaga di Tangkuban Parahu. Tidak kurang juga pelancong dari Malaysia. |
 |
| Kami membeli angklung di salah sebuah kedai di Tangkuban Parahu. Angklung ini dibungkus rapi oleh pekedainya supaya mudah dibawa menaiki pesawat. |
 |
| Kedai-kedai menjual ole-ole Bandung di Tangkuban Parahu |
Pertanian Komersial di Tanah tinggi Subang-Lembang
Bandung mempunyai cuaca yang sejuk, nyaman, tanah yang subur dan tinggi. Tanah di sini amat sesuai untuk kegiatan pertanian seperti sayur-sayuran, ubi-ubian, bunga-bungaan, teh dan pokok pine. Semasa kembali dari Tangkuban Parahu kami dapat melihat kegiatan pertanian komersial yang luas seperti bawang, cili dan sayur-sayuran.
Kami kemudiannya melalui Cihiduen yang terkenal dengan penjualan benih-benih bunga secara komersial. Ia kelihatan banyak diusahakan di kawasan perumahan. Oleh kerana hari hujan kami hanya lalu sahaja di kawasan menanam benih-benih bunga ini.
Kami juga sempat berhenti dan melawat ladang teh yang merupakan antara pendapatan utama Bandung. Selain itu kami berhenti membeli buah-buahan seperti avocado, strawberi, pisang, durian belanda, limau dan betik yang banyak dijual di pasar buah tepi jalan.
 |
| Ladang teh yang luas |
Kolam Air Panas di Ciater, Subang
Kemudiannya kami ke Kolam Air panas gunung di Ciater Resort. Di sini terdapat spa, kolam renang air panas dan rumah rehat. Tetapi kami cuma merendamkan kaki kami sahaja dan makan tengahari di situ. Kami singgah solat di masjid yang berdekatan.
 |
| Kolam air panas di Ciater yang panasnya kira-kira 42 darjah Celsius |
 |
| Masjid yang indah di Desa Ciater |
 |
| Makan tengahari ala Barat |
Membeli-belah di Rumah Mode dan Cihampelas
Rumah Mode dan Cihampelas adalah pusat membeli-belah bagi orang yang suka 'shopping'. Terdapat pelbagai pilihan. Orang juga ramai, termasuklah orang Malaysia. Kami hanya membeli sepasang dua pakaian, kerongsang dan beg pakaian.
 |
| Rumah Mode ialah pusat membeli-belah yang popular |
HARI KETIGA
Berjalan Kaki di Sekitar Kota Bandung
Hotel Grand Royal Pahegar yang kami inapi itu rupa-rupanya terletak di jalan-jalan utama dan bersejarah di Bandung. Jadi pagi itu kami berjalan kaki di jalan-jalan utama itu dengan ditemani oleh Mas Ami. Sambil berjalan kaki Mas Ami tidak berhenti-henti menceritakan sejarah dan latarbelakang bangunan-bangunan itu. Antara bangunan bersejarah iaitu ialah bangunan persidangan Asia-Afrika, Balai Kota (City Hall), Masjid Agong, Bank Indonesia, Gedung Merdeka, Taman R.A Kartini dan Masjid Raya Bandung.
 |
| Masjid Al-Ukhuwah |
 |
| Masjid Raya Bandung yang ramai pengunjung |
 |
| City Hall |
 |
| Jalan Asia-Afrika |
 |
| Pengayuh Beca di Bandung |
Begitulah kami sekeluarga menghabiskan 3 hari secara gratis di Bandung. Sebenarnya banyak pengalaman menarik yang kami perolehi semasa wisata gratis di Bandung ini tetapi tidak mampu saya tuliskan di ruangan yang terhad ini. Kami amat bersyukur dengan wisata gratis yang cukup bermakna ini. Semoga Allah membalas kebaikan mereka yang melayani kami di sini.