Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini



Jumaat, 10 Januari 2014

Acheh Lagi (2): Hari Renungan Tsunami dan Makan Malam Bersama Anak-anak Yatim

G empa bumi dan tsunami di Acheh pada 26 Disember 2004 adalah kejadian yang menggemparkan seluruh dunia. Ribuan rakyat terkorban, harta benda musnah dan tragedi ini meninggalkan kesan yang memilukan.


Iktibar Dari Kejadian Tsunami

 
Masjid Raya Baiturahman yang terselamat dari disapu ombak ganas tsunami


Peninggalan kesan-kesan tsunami di Acheh dapat dilihat pada masjid-masjid yang terselamat, bot dan kapal yang tersadai di atas rumah dan darat, perkuburan syuhada dan gambar-gambar yang dipaparkan di dinding tempat-tempat lawatan serta muzium.

Masjid Rahmatullah di Lampuuk yang sekelilingnya menjadi padang jarak padang terkukur, namun masjid ini tetap kukuh daripada dibaham tsunami walaupun kedudukannya beberapa langkah sahaja dari laut


Saya ke Acheh lagi dan melihat kembali kesan-kesan tsunami itu. Ia membawa keinsafan dan iktibar kepada saya. Kebesaran Allah ternyata hebat di hadapan mata.

Saya telah ceritakan hal ini dalam entri tahun lepas dan anda bolehlah imbas kembali kisah iktibar dari masjid yang terselamat di sini dan kisah bot/kapal yang tersadai di darat di sini.

Helikopter, kapal keluli dan bot nelayan yang tersadai jauh di darat dan di atas rumah sebagai bukti kehebatan/kekuasaan Allah


Kejadian gempa dan tsunami 2004 membawa kesedihan, tidak kurang juga memberi hikmah. Acheh kini aman, tidak lagi bersengketa akibat daripada gerakan kemerdekaan Acheh. Acheh kini lebih maju. Dunia membantu rakyat Acheh untuk membangunkan Acheh kembali. Peninggalan tsunami dijadikan ingatan kepada semua, diabadikan di dalam muzium dan dijadikan sumber pelancongan.

Allah sentiasa mencuba hambaNya supaya manusia insaf akan dirinya dan ingat akan kekuasaan Allah.

 

 

Hari Renungan Tsunami dan Zikir Akbar


Hari ini pada 26 Disember 2013, genaplah 9 tahun peristiwa tragis itu.  Pada hari ini saya berada di Banda Acheh. Pada tarikh ini hari Renugan Tsunami diadakan di seluruh Acheh bagi mengenang kembali peristiwa sejarah itu. Di Banda Acheh ia disambut secara besar-besaran. Saya, keluarga saya dan kawan-kawan saya hadir di majlis Renungan Tsunami ke-9 yang diadakan di Taman Sulthanah Safiatuddin.

Pagi-pagi kami sudah berada di majlis besar itu. Semua yang hadir diberikan makan kuih, air dan kek yang diletakkan di dalam kotak. Kami duduk di kerusi dan bersama-sama berzikir, bertahmid dan bersalawat. Suasana amatlah sayu dan ramai yang menitiskan air mata.

Bacaan ayat-ayat suci al-Quran tentang dugaan yang diberikan oleh Allah ditaranumkan dengan indah dan tafsirannya menginsafkan hadirin. Nasyid dilagukan dengan merdu. Ucapan dari wakil walikota Acheh dan pemimpin diberikan bagi mengenang tsunami 2004.

Hari Renungan Tsunami yang ke-9 - Zikir Akbar dan Doa beramai-ramai
Zikir yang diketuai oleh 3 orang ulama
Hadirin yang mendengar persembahan nasyid dan ucapan.
Nasyid

Makan Malam Bersama Anak-anak Yatim


Pada malam sebelumnya, saya dan rombongan saya telah ke Dayah Nurul Huda iaitu rumah dan pesantren (pondok agama) untuk anak-anak yatim. Kami sampai selepas solat maghrib. Keadaan lorong ke pesantren itu gelap. Sesampainya kami di sana, kami sangat terharu dengan sambutan anak-anak yatim itu. Dari jauh kami sudah mendengar suara khasidah dilagukan oleh anak-anak yatim yang berbaris di lorong masuk pesantren. Pesantren itu adalah rumah kayu yang amat ringkas dan serba kekurangan. Suasana agak gelap kerana hanya sedikit sahaja lampu dinyalakan.

Kami hadir untuk makan malam dan beramah mesra dengan anak-anak yatim. Wang untuk makan malam sudah kami berikan lebih awal kepada pihak pengurusan Dayah Nurul Huda. Anak-anak yatim itulah yang bergotong-royong memasak untuk majlis makan malam itu.

Kami mendapat tahu yang mereka berjumlah 220 orang. Ibubapa mereka terkoban dalam bencana tsunami dan konflik Acheh. Ada juga anak-anak fakir miskin.

Menurut Mahlizar, pemandu pelancong kami, ketika beliau pertama kali terjumpa rumah anak-anak yatim ini, beliau mendapati mereka kekurangan makanan dan pernah keputusan beras. Oleh kerana itu apabila ada orang Malaysia yang mahu membuat sumbangan untuk anak-anak yatim, beliau suka membawa mereka ke sini.

Kami disambut oleh anak-anak yatim Dayah Nurul Huda dengan khasidah. Dayah Nurul Huda dibangunkan oleh individu dan masih memerlukan bantuan orang ramai untuk membiayai 220 orang anak-anak yatim ini.

Anak-anak yatim lelaki beratur mengambil makanan
Anak-anak yatim perempuan membantu menghidangkan makanan
Ibubapa mereka terkorban semasa tsunami, ada yang terkorban semasa konflik kemerdekaan Acheh (GAM) dan ada yang fakir miskin.

Anak-anak yatim perempuan lebih ramai daripada anak-anak yatim lelaki di Dayah Nurul Huda

Rasulullah SAW amat menyayangi anak-anak yatim. Baginda menganggap mereka yang berbuat baik dengan anak yatim amat akrab hubungannya dengan baginda SAW di syurga nanti.

Allah juga menyuruh kita berbuat baik dengan anak-anak yatim dan melarang kita memakan harta mereka:

Maksud firman Allah:
Sebab itu, terhadap anak yatim janganlah kamu berlaku sewenang-wenang. Dan terhadap orang yang minta-minta, janganlah kamu mengherdiknya (ad-Dhuha: 9-10).

Tahukah kamu (orang) yang mendustakan agama? Itulah orang yang mengherdik anak yatim (al-Maun: 1-2).

Dan janganlah kamu menghampiri harta anak yatim melainkan dengan cara yang baik (halal) (al-Israk: 34).

Sumbangan Ikhlas Diperlukan


Bagi anda yang berminat untuk menjalankan amal dan menderma kepada anak-anak yatim ini bolehlah menghubungi:

Ustaz Syed Hamzah Salim di nombor 0139841851 atau 0139832018,
atau email kepada:  syhamzahs@gmail.com & layari unic-homestay.blogspot.com
No Akaun: 06019010082342 (BIMB)

...bersambung


8 ulasan:

  1. salam, terima kasih banyak2 dengan post kali ni...sebabnya kami akan ke aceh hjg bln ni...duk cari laa umah anak yatim nak buat sumbangan...jumpa juga...legaa...Alhamdulillah...

    cuma nak tanya, kalo nak ke sana boleh main terjah je ke, atau kena hubung sesiapa ye?ke ustaz syed hamzah tu boleh uruskan?tapi saya mmg dah book la supir di sana...ke better saya hubungi terus ustaz tu?

    tq! =D

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam DJ,
      Kalau dah nak ke Acheh, saya rasa eloklah terus pergi ke Dayah Nurul Huda itu sendiri. Jumpa penyelia mereka. Alamatnya seperti yang ada pada papantanda dalam entri ini.

      Ustaz Syed Hamzah tinggal di Pahang, jadi dia bantu kutip wang itu untuk dibawa ke Acheh. Boleh juga telefon beliau sekiranya ingin bertanya.

      Padam
    2. Ooo ok...maknanya boleh main pergi je la ye...sebabnya saya ke sana masa singkat...3h2m je....takde plan nak ke rumah anak yatim pun masa 1st beli tiket tu...plan nak tgk kesan tsunami je...tp baru2 ni ada org suggest dan br mula search info...terus kami semua tuka plan nak jugak ke rumah anak yatim tu....

      ok takpe, sy rasa sy contact ustaz tu nanti utk tnya lanjut...terima kasih banyak kak....happy pula dah jumpa rumah anak yatim ni...hari tu sy just deal ngan pak supir je mtk dia cari kan....now dah ada sendiri, senang sikit saya bgtau dia je.... =D

      Padam
    3. DJ,
      Saya rasa tak ada masalah main pergi je..tapi lebih baik maklumkan dahulu kedatangan DJ ke Dayah Nurul Huda supaya mereka bersedia, penyelianya ada di situ dan tidak terlibat dengan acara lain. DJ boleh tanyakan Ustaz Syed Hamzah Salim nombor telefon penyelia Dayah itu, mungkin dia ada, sebab pada majlis makan malam di sana tempoh hari, Ustaz Syed Hamzah memberi ucapan dan duduk bersebelahan dengan penyelia/penjaga Dayah itu. Dayah ialah bahasa Acheh bagi pesantren (sekolah/pondok agama).

      Seronok pulak saya mendengarkan yang DJ pun happy dapat maklumat ini :)

      Padam
    4. oo ok, terima kasih atas info yg diberikan....saya aku hubungi Ustaz Syed Hamzah tu nanti... Dayah tu means pesantren?saya ingatkan dari nama Hidayah....sangat menarik sebab sama dgn nama saya!hehehe semoga urusan kami dipermudahkan nanti kat sana..insyaAllah.... =D

      Padam
    5. Ya, Dayah bermaksud pesantren atau dalam bahasa Melayu - madrasah/sekolah agama/sekolah pondok.

      Menariknya....kebetulan sama dengan nama DJ he he he..makna yang baik :)

      Padam
  2. Wah bertuahnya akak dapat menyertai hari memperingati tsunami ni. :)

    BalasPadam
    Balasan
    1. Ren,
      Menyertai hari memperingati tsunami tu suatu kenangan dan sejarah dalam hidup saya. Ia diadakan di serata Acheh secara besar-besaran untuk kita semua insaf, menyonsong masa depan, menjalin ukwah dan memohon pengampunan Allah. Pada hari itu juga ramai orang menziarahi makam para syuhada.

      Padam

Kini giliran anda pula untuk memberi pandangan/ulasan.

Ulasan tanpa nama akan dipadamkan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...