Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini



Khamis, 22 Januari 2015

“Nak Buat Apa Di Gopeng?”


Kali ini saya tidak menulis tentang kembara saya. Macam mana ok tak? 

Sebenarnya saya menerima tulisan kembara dari pembaca kita dari Gopeng iaitu Shalihin Alias. Shalihin mengajak kita ke Gopeng. Ada apa di Gopeng? Jom kita tanya orang Gopeng sendiri.
                                           -------------------------------------------

“Nak Buat Apa Di Gopeng?”
Oleh: SHALIHIN ALIAS

S
etiap insan sudah pasti ada tempat tinggalnya masing-masing. Kebiasaanya, tempat tinggal seseorang itu ditentukan dengan tempat asal ibu bapa mereka sebelum mereka berkahwin. Apabila sudah tinggal di sesuatu kawasan itu dengan tempoh masa yang lama, sudah pasti seseorang itu biasa dengan keadaan sekeliling. Malahan, boleh menceritakan tempat-tempat yang menarik di sekitarnya. Disebabkan itu, saya ingin membawa anda semua mengembara ke Gopeng, Perak untuk mendedahkan tempat-tempat menarik yang boleh anda lawati.

Perlombongan bijih timah

Sebelum kita pergi lebih jauh, saya ingin memulakan pengembaraan dengan sejarah Gopeng. Gopeng ialah sebuah bandar perlombongan bijih timah di negeri Perak pada abad ke-19. Malah, ia telah dianggap sebagai bandar perlombongan bijih timah yang paling penting dalam Lembah Kinta sehingga kira-kira tahun 1890. Bandar ini bermula sebagai sebuah penempatan kecil oleh pendatang Cina berhampiran Kota Bharu di sekitar kubur Raja Bendahara Alang Iskandar Ibni Raja Ahmad, yang sebelum ini ketua pentadbir Mukim Teja.

Dari tahun ke tahun aktiviti perlombongan bijih timah dijalankan bandar ini telah beralih dari kedudukan asalnya kepada masa kini, kira-kira 20 kilometer ke selatan Ipoh, dalam daerah yang baru diwujudkan iaitu Kampar. Seawal yang dapat dikesan nama Gopeng dicatatkan dalam peta Negeri-negeri Selat iaitu pada tahun 1875 tetapi dieja Gopin. Peta ini disiapkan setahun selepas Perjanjian Pangkor 20 Januari 1874.

Menurut seorang penulis, AB Tucker dalam majalah ‘Imperial Commerce” menyebut bahawa di selatan Tapah ada seorang Cina bertopeng mukanya kerana dihinggap penyakit puru. Si Bopeng ini memiliki lombong bijih timah di daerah Batang Padang. Pada suatu hari Si Bopeng ini berlawan sabung ayam. Dalam perlawanan ini, Si Bopeng mempertaruhkan lombongnya dan dia menang dan menerima kawasan perlombongan yang dikuasai raja tersebut. Akibat kekalahan itu raja tersebut terpaksa berpindah kira-kira 25 batu ke utara Tapah dengan membuka kawasan perlombongan baru dan menamakan Gopeng sempena Si Bopeng.

Muzium Gopeng dan replika penimbang bijih timah

Muzium Gopeng

Pertama, jom saya bawa ke Muzium Gopeng yang terletak di Jalan Eu Kong. Muzium ini ditubuhkan bagi mengingati pengasas dewan perubatan Eu Yan Sang. Jalan Eu Kong ini sebenarnya telah wujud lebih daripada 100 tahun. Pada zaman dahulu, jalan ini sesak dengan orang ramai, kereta lembu, kereta kuda, basikal roda tiga dan kumpulan gajah untuk pengangkutan.

Muzium Gopeng ditubuhkan pada bulan April 2009 dan dimiliki oleh penduduk tempatan. Semenjak penubuhan muzium ini, lebih daripada 9000 ribu orang telah mengunjunginya termasuklah saya. Apabila anda melangkah masuk ke dalam muzium, anda akan melihat dua skrol besar di kedua-dua belah pintu masuk. Peribahasa yang dinyatakan di dalam dua skrol menggambarkan motif muzium.

Muzium ini terbahagi kepada dua bahagian. Bahagian pertama muzium ini menekankan pada ilustrasi dan peristiwa-peristiwa sejarah Gopeng. Ia mencatatkan tentang perkara yang berlaku di Gopeng semasa abad ke-19 dan ke-20. Ia juga mencatatkan tiga kaum yang terdapat di Gopeng hidup dalam harmoni menjangkau 150 tahun. Hal ini membuktikan bahawa Gopeng telah menjadi daerah yang sangat terkenal, terutamanya Lembah Kinta antara yang terbanyak menghasilkan bijih timah di dunia. Pada masa itu, lombong bijih timah yang terkenal telah dimiliki oleh "Osborne & Chappel". Di samping itu, lombong bijih timah cina dimulakan oleh Encik Eu Kong dan anaknya, Encik Eu Tong Sen, yang bertahan sehingga abad ke-20.

Bahagian kedua pula, lebih tertumpu kepada koleksi barangan antik. Muzium ini telah mempamerkan lebih daripada 800 keping barang-barang antik dan dikelaskan kepada 32 kategori. Walaupun barangan antik ini tidak begitu menarik tetapi nilai sentimental yang berharga menyebabkan kita harus menghargainya. Oleh itu, ia harus dipelihara untuk tatapan dan pengetahuan generasi masa hadapan.

Menurut Phang See Kong, Setiausaha dan Kurator Muzium Gopeng, “Bangunan ini berusia lebih daripada 127 tahun. Ia dipunyai oleh nenek moyang presiden muzium ini, Bernard Yaw yang sangat baik dan bermurah hati untuk membolehkan bangunan ini dijadikan muzium. Saya juga berusaha untuk mengumpul semua gambar-gambar, ilustrasi, sejarah dan barangan antik untuk dipamerkan di sini”.

Penulis bersama Phang See Kong 

“Heritage House”

Kedua, saya bawa anda ke “Heritage House” yang dipunyai oleh Bendahari Muzium Gopeng, Wong Kuan Cheong antara penyumbang utama barangan antik di sini. Dia mencari tempat untuk memaparkan barangan antik yang lain seperti perabot kerana tidak cukup di Muzium Gopeng. 

Jadi, “Heritage House” ditubuhkan bagi menempatkan kayu keras lama dan papan dari rumah perkampungan yang dirobohkan untuk digunakan semula sebagai pemulihan papan lantai, tangga, tingkap dan pintu. Panel kayu yang disertakan dengan ukiran rumit menggambarkan kekayaan dan kemakmuran terdapat di dinding hadapan bangunan itu. Begitu juga dengan pintu gelongsor bar kayu menjadi bukti kepada kekayaan pemilik pada masa dahulu.

Heritage House dan barangan antik yang dipamerkan

Aktiviti luar

Seterusnya, sekiranya anda berminat dengan aktiviti luar Gua Tempurung boleh dijadikan pilihan untuk anda lawati. Usia Gua Tempurung telah menjangkau 400 juta tahun. Di sini, anda boleh melihat pembentukan stalagmit, stalaktit dan anak sungai bawah tanah. Kedalaman gua ini dianggarkan 1.9 kilometer manakala titik tertinggi gua adalah 120 meter dari tanah. Terdapat dua pintu masuk ke kawasan gua sama ada dari Gopeng atau perkampungan Gunung Mesah.

Seterusnya, “Nomad Adventure” juga sebuah syarikat yang menawarkan aktiviti lasak pertama di Gopeng. Aktiviti sukan berakit mengharungi jeram di sepanjang Sungai Kampar menjadi tarikan utama pelawat. Ia terletak berhampiran Gua Tempurung dan menawarkan aktiviti pengembaraan berakit termasuklah “rock climbing”, “abseiling” dan meneroka gua. 

Harga pakej yang ditawarakan untuk sekali masuk adalah berpatutan

Anda juga boleh memilih “My Gopeng Resort” yang menggalakkan eko-pelancongan dan pengembaraan. Pelawat boleh berehat sambil menikmati pemandangan yang hijau dari ketenangan alam semula jadi. Aktiviti-aktiviti seperti meneroka gua, merentas hutan, melihat bunga Rafflesia dan sebagainya menjadikan satu pengalaman yang cukup bermakna.

Inilah suasana yang terdapat di "My Gopeng Resort". Saujana mata memandang

Akhir sekali, saya berharap perkongsian maklumat mengenai tempat-tempat menarik yang pernah saya lawati mendapat reaksi yang positif dari anda. Hal ini kerana anda semua harus datang ke Gopeng untuk melihat dan merasai sendiri pengalaman yang tidak mungkin anda dapat seperti di tempat-tempat lain. Bak kata pepatah, belum cuba, belum tahu.

18 ulasan:

  1. Salam...belum pergi pergi ke tempat2 yang dicatitkan walaupun saya berasal dari Gunung mesah, Gopeng. Atuk saya telah berpindah ke Slim River dan kami terus tinggal disini. Tetapi sekarang rumah yang ada diSlim River pun sudah tidak ada penghuni.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam kembali Zaitun. Nampaknya Zaitun kenalah selalu-selalu balik Gopeng dan Slim River. :)

      Padam
  2. lalu jer setiap kali balik kampung..nyinggah nye idok jugak...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Lepas ni nyinggah-nyinggah le Yong :)

      Padam
  3. salamsss, kak mieja datang baca kisah digopeng:)

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam Amiizaa,
      Terima kasih kerana sudi baca kisah di Gopeng. Yang lain pun bacalah juga ya. :)

      Padam
  4. saya ke gopeng dulu, masuk gua tempurung tu..he..he.. ada jugak plan nak river rafting..tp blm tercapai lg hasrat tu...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Saya dah baca entri Farikica ke Gua Tempurung...menarik :)

      Padam
  5. wah menarik nih...saya cuma pnah sampai Heritage House tu jer kak...next time kalo ke sana lagi, leh try ke Gua Tempurung plak...macam menarik jer....hehehe

    BalasPadam
    Balasan
    1. Saya sendiri belum lagi sampai ke Heritage House dan Gua Tempurung tu....

      Padam
  6. Tak pernsh pergi gopeng kai. Walaupun dulu belajar kat sri iskandar

    BalasPadam
  7. Penulis terlupa menyenaraikan Kellie's Castle... tarikan utama berhampiran Gopeng...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Mungkin penulis tak pernah pergi ke situ :)

      Padam

Kini giliran anda pula untuk memberi pandangan/ulasan.

Ulasan tanpa nama akan dipadamkan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...