Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini



Khamis, 29 Januari 2015

Penerokaan Di dalam Gua Tempurung

Pada entri yang lepas saya menyiarkan rencana tentang tempat menarik di Gopeng yang ditulis oleh pembaca blog ini iaitu Salihin. Salah sebuah tempat menarik yang diceritakan oleh Salihin ialah Gua Tempurung. Namun beliau hanya menceritakanya secara ringkas. Bagaimana kalau kita mengetahui tentang Gua Tempurung ini dengan lebih terperinci? Banyak aktiviti menarik yang boleh kita lakukan di Gua Tempurung dan ia ditulis oleh pembaca kita yang lain iaitu Sandy Ong. Jom kita ikut Sandy meneroka Gua Tempurung.

--------------------------------------------------------------------
Penerokaan Di dalam Gua Tempurung
Oleh Sandy Ong 

P ada 22 November 2014 yang lalu, saya mengikut Kelab Akuatik Universiti Sains Malaysia (USM) ke satu tempat pelancongan yang amat menarik di Malaysia iaitu Gua Tempurung. Namanya diambil sempena bentuknya seperti tempurung kelapa. Gua Tempurung terletak di daerah Gopeng, 25 kilometer di selatan Ipoh, Perak.

Perjalanan kami melalui Lebuhraya Utara-Selatan dan susur keluarnya mengikut persimpangan Gopeng, kira-kira 25 km ke selatan bandaraya Ipoh. Dari persimpangan Gopeng, kami masuk ke Lebuhraya Persekutuan 1 dan menuju ke selatan kira-kira 2 kilometer sehingga Kampung Gunung Mesah. Selepas itu belok ke kiri, dan lalu jalan kampung sepanjang 5 km.

Semua jenis kenderaan boleh menggunakan jalan kampung ini termasuk van dan bas. Selepas melalui kampung ini, anda akan melalui tanah bekas lombong. Banyak papan tanda di sepanjang jalan menuju ke Gua Tempurung untuk menyenangkan pengunjung mencari lokasinya.

Kelab Akuatik USM ke Gua Tempurung

Gua Tempurung ialah gua batu kapur semulajadi terbesar di Semenanjung Malaysia, gua ini berlengkar di dalam perut Gunung Tempurung sebagai satu terowong dari timur menembusi ke barat sepanjang 1.9 kilometer.

Tinggalan akitiviti perlombongan  bijih timah

Gua Tempurung mempunyai marmar dan batu kapur yang paling indah di Malaysia. Selain daripada marmar dan batu kapur, gua ini mengandungi timah dan mineral lain. Terdapat beberapa perlombongan bijih timah berskala kecil di dalam gua sepanjang abad yang lalu.


Kemudahan tangga di dalam Gua Tempurung

Gua Tempurung merupakan gua utama di banjaran ini. Kemudahan seperti jejantas dan tangga telah disediakan di dalam sebahagian daripada gua-gua tersebut. Dengan kemudahan ini pelancong dapat melawat ke dalam gua dengan lebih mudah, selesa dan selamat.

Gua Tempurung ini menjadi satu tumpuan pelancong. Kerajaan negeri Perak telah memelihara dan memulihara kawasan gua ini supaya lebih menarik dan mesra pelancong. Bagi pelancong yang suka aktiviti lasak, acara meredah sungai dalam gua turut diadakan.

Sebahagian daripada gua ini dilengkapi dengan lampu terang biasa untuk menyinari keadaan asli dan semulajadi gua ini. Dalam pada ini, pengunjung dapat menghayati keindahan alam semulajadi dengan lebih dekat lagi.

Batu kapur di dalam Gua Tempurung

Pakej Gua Tempurung terdiri daripada empat jenis untuk pelancong pilih, iaitu Pakej A (mudah), Pakej B (sederhana), Pakej C (mencabar) dan Pakej D (paling mencabar). Setiap jenis disesuaikan untuk kepentingan dan kecergasan tahap pelawat.

Aktiviti Pakej A dipanggil ‘Golden Flowstone’. Pakej ini membawa pelancong hingga ke platform ke-3 sahaja. Aktiviti ini mengambil masa selama 40 minit. Setiap pelancong dikenakan bayaran sebanyak RM6 bagi dewasa dan RM3 bagi kanak-kanak.

Aktiviti Pakej B dipanggil ‘Top Of The World’. Aktiviti ini mengambil masa selama 1 jam 45 minit. Sekurang-kurangnya diikuti seramai 5 orang dewasa setiap lawatan. Setiap pelancong dikenakan bayaran sebanyak RM9 bagi dewasa dan RM4.50 bagi kanak-kanak. Pakej ini bermula pada 9 pagi hingga 3 petang setiap hari.

Aktiviti Pakej C dipanggil ‘Top Of The World and River Adventure’. Aktiviti ini mengambil masa selama 2 jam 30 minit. Aktiviti ini memerlukan lapan orang dewasa sekurang-kurangnya. Setiap pelancong dikenakan bayaran sebanyak RM11 bagi dewasa dan RM6 bagi kanak-kanak. Pakej ini dibuka pada 9 pagi hingga 12 tengahari setiap hari.

Pakej D dipanggil ‘Grand Tour’, aktiviti ini mengambil masa selama 3 jam 30 minit. Peraturan ialah memerlukan lapan orang dewasa setiap lawatan. Pakej ini hanya dibuka pada 9 pagi hingga 12 tengahari setiap hari. Pelancong dikenakan bayaran sebanyak RM22 bagi setiap dewasa jika kanak-kanak hanya bayar RM11.

Bagi pelancong yang baru boleh memilih pelancongan Pakej A dan Pakej B kerana kedua pakej ini merupakan laluan yang lebih pendek. Sebaliknya Pakej C dan Pakej D adalah sukar dan memerlukan tahap munasabah kecergasan. Bagi sesiapa yang mengambil pakej ini mestilah bersedia untuk mengelungsur ke bawah cerun licin dan basah.

Bagi pelancong terlibat dalam lawatan basah iaitu Pakej C dan Pakej D akan memerlukan pakaian tambahan dan tuala selepas melengkapkan lawatan. Memakai pad lutut dan sarung tangan adalah disyorkan dan memakai kasut getah lebih baik berbanding dengan kasut lain. Kamera kalis air amat berguna jika membawanya ke dalam gua.

Mengelunsur di atas batu licin

Kami seramai 40 orang dari kelab akuatik mengambil cabaran Pakej D. Kami memulakan perjalanan pada pukul 9 pagi. Perjalanan kami amat mengambil masa kerana terlalu ramai orang. Oleh itu, kami habiskan perjalanan pada pukul 12:30 tengahari.

Saya membawa kamera ke dalam Gua Tempurung walaupun saya mengharungi sungai bawah tanah yang sampai tahap dada di sesetengah jalan, berjalan itik dan merangkak melalui lubang, memanjat dinding hampir tegak dan mengelunsuri batu licin.

Kita dapat melihat banyak pembentukan batu menarik seperti stalaktit, stalagmit dan kolam multi. Selain itu batu gunung berapi seperti kilauan dinding kristal dilindungi dapat dilihat.

Pakej D juga dimasukkan ke dalam lawatan ini yang membawa kita ke bahagian timur gua ke arah Lebuhraya Utara-Selatan. Perjalanan pulang sepenuhnya melalui sungai bawah tanah.

Batu-batu pelbagai bentuk

Orang yang memberi panduan kepada kami semasa perjalanan memberitahu bahawa pembentukan batu ada yang menyerupai pelbagai bentuk seperti ikan lumba-lumba, wajah wanita, gajah dan kepala lembu. Dia tidak menjelaskan bentuk-bentuk batu dalam gua secara saintifik. Dia memastikan kami tidak buang sampah atau merosakkan batu-batu dan juga memastikan keselamatan kami.

Tersembunyi di dalam batu kapur ini adalah satu rangkaian sistem gua dalam berbagai dimensi dan berangkaian seolah-seolah sarang lebah. Gua-gua ini sesungguhnya adalah sebuah galeri yang menyimpan beribu bentuk stalakmit dan stalaktit dan lain-lain bentuk ukiran batu yang merupakan warisan alam yang amat menakjubkan.

Penulis di dalam Gua Tempurung

Kesimpulanya, jika anda merancang satu pelancongan di Malaysia dan ingin mengambil cabaran bermain di dalam air dan mengelungsur, anda mestilah memilih Gua Tempurung. Anda bolehlah membawa ahli keluarga atau sekumpulan rakan-rakan bersama.

8 ulasan:

  1. pernah plan nk pegi.. tapi sampai kesudah xpegi

    BalasPadam
    Balasan
    1. Saya pun macam tu...sampai ke sudah tak pergi ha... ha... ha.. :D

      Padam
  2. Balasan
    1. Ya, betul. Kelihatannya terdapat banyak batu-batu kasar dan perlu berhati-hati supaya tak tercedera.

      Padam

Kini giliran anda pula untuk memberi pandangan/ulasan.

Ulasan tanpa nama akan dipadamkan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...