Tagline

A Blog About Traveling Around The World From The Lens and Eyes of A Malaysian-Muslim Woman

Select Your Preferred Language


Select Your Preferred Language
BAHASA MELAYU | ENGLISH

Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini

Adsense



Isnin, 29 Oktober 2012

Backpack ke Mongolia Dalam (5): Berkhemah Cara Nomad Mongolia di Padang Rumput Xilamuren


P ada entri yang lalu saya berjanji akan menyambung kisah kembara saya di padang rumput Xilamuren, Mongolia Dalam (Inner Mongolia). Saya telahpun menceritakan tentang kami menunggang kuda, memasuki khemah orang Mongol dan merasa makanan mereka, menyaksikan perlawanan gusti Mongol dan kecekapan mereka menunggang kuda .

Kali ini saya hendak ceritakan tentang keadaan khemah ger atau yurt - khemah Mongol - yang kami inapi pada malam itu, menyaksikan matahari terbenam di ufuk Barat dan menyaksikan persembahan tradisional orang Mongol.

Kawan-kawan dan pembaca sekelian, sekiranya gambar-gambar tidak keluar pada entri ini harap maklumkan kepada saya. Maklumlah saya berada di China. Blogspot di China ini disekat (blocked). Server juga selalu down. Selama di China ini saya menggunakan proxy berbayar untuk mengakses blogspot, facebook, twitter dan semua laman web yang disekat. Jadi harap maklumkan kepada saya kalau gambar tidak keluar ya!

Kuda saya dan Syafiqa meninggalkan kuda kawan-kawan yang lain


Berbalik pula kepada sambungan kisah kami menunggang kuda di padang rumput Xilamuren.

Selepas kami menunggang kuda, kamipun menanti untuk diberi kunci khemah. Sambil itu kami membeli kekacang segar yang baru lepas dibakar, yang dijual oleh penjaja di situ, seperti walnut, badam dan pistachios. Sangat sedap. Murah! Kami kemudiannya berjalan-jalan ke kedai cenderamata yang ada di situ. Macam-macam kraftangan orang Mongol ada dijual seperti rantai kunci, tabung menyimpan arak atau air, skarf, senjata, lukisan, topi dan tempat simpan pen. Fridge magnet tak ada.


Kedai cenderamata yang terdapat di kawasan perkhemahan kami


Tandas Awam Mongol


Seperti biasa, kami mesti hendak ke tandas. Kami memasuki tandas awam yang ada di situ. Apabila masuk sahaja, saya 'terkejut beruk'. Tandasnya TERUK sangat! Kotor! Tisu tandas tercalit najis bertaburan di atas lantai. Tuala wanita (berdarah, maaf ya terpaksa sebut) dicampakkan merata-rata. Lubang-lubang tandas tercongeh! Tidak ada bilik-bilik kecil yang berdinding. No cubicle! Kita boleh nampak orang lain tengah ehem, dia pun boleh tengok kita ehem. Kita boleh nampak dia calit sana, calit sini.

"Eeee tak bertamadun langsung! Apasal dia orang buat macam ni? Tak malu ke?" rungut hati saya.

Tapi saya sudah tak ada pilihan. Saya butakan mata dan sumbatkan hidung.

Apabila saya keluar, Syafiqa menunggu di luar. Dia pun hendak masuk.
"Macam mana? Ok ke?" tanya Syafiqa dengan muka penuh harapan yang saya akan jawab, "OK". 

Tapi saya jawab, "Nightmare!" 

Terus muka Syafiqa berkerut. Nak nangis. Dia nampak macam tak jadi masuk. Tapi saya beri dia semangat.

"Tak apa. Jangan tengok kiri kanan. Jangan pedulikan semua itu. Nah ambil air ini. Cebuk ni. Kita dah tak ada pilihan!" 

Lalu saya suakan air dalam botol, tisu dan bekas air yang sentiasa saya bawa ke mana-mana saya pergi di China ini. Syafiqapun masuk dengan terpaksa. Saya tunggu Syafiqa di luar. Tak berapa lama kemudian Syafiqa meluru keluar, lalu muntah. 

"Oh! Adakah kami akan terus guna tandas tak bertamadun ini selama kami ada di sini?"

Kami bersedih. Dan bersedih. Tidak sanggup untuk menghadapi hari-hari yang mendatang di sini dengan tandas teruk begitu.



Masuk Khemah Ger/Yurt


Tidak lama kemudian kami dapat kunci dan masuk khemah. Dalam bahasa Mongolia khemah ialah ger manakala yurt adalah nama lain bagi khemah yang disebut oleh etnik lain. Saya, Syafiqa dan Najibah masuk khemah ger itu dengan perasaan jakun. Ada 1 katil double-bed dan 1 single-bed. Najibah dan Syafiqa ambil double-bed itu. Ada sebuah tv lama, termos dan meja kecil. Dinding ger itu dibuat daripada kain kanvas jenis tebal dan tahan lasak. Tapi ada yang sudah koyak di bahagian depan. Tiang-tiangnya dibuat daripada besi. Bahagian depannya bercermin. Ada lubang udara di bahagian atas ger.

Najibah membuka pintu ger/yurt setelah mendapat kunci


Keadaan dalam ger/yurt kami

Lubang udara ger/yurt

Kami bertiga terus melihat-lihat keadaan dalam  ger itu. Tiba-tiba,

"Hei ada tandas! kata Najibah.

Kami tidak tahu yang khemah kami itu ada tandas. Terus Najibah tengok tandas!


Najibah melihat tandas dan bilik air khemah ger/yurt kami


"Toilet ni ok." kata Najibah sambil senyum.

Mendengar berita gembira itu kamipun meluru ke bilik air dan tandas. Gembiranya kami dapat tadas yang ok. Walaupun tidaklah sebaik mana. Tapi jauh lebih baik daripada tandas awam tak bertamadun tadi. Lega!


Kamipun berehat-rehat di dalam khemah kami. Asrul dan Adi Putra di khemah lain. Selang sebuah khemah daripada kami.


Majlis Perkahwinan Orang Mongol

 

Majlis perkahwinan orang Mongol yang dihadiri Asrul dan Adi Putra secara kebetulan

Semasa kami berehat-rehat itu, rupa-rupanya Asrul dan Adi Putra pergi melihat majlis kawin orang Mongul. Mereka tak ajak kamipun. Mungkin mereka tak jangka nak ke sana. Kebetulan lalu di situ. Tengoklah gambar majlis kahwin orang Mongol itu (di atas). Kalau kita ada ayam golek (ayam panggang), mereka ada kambing golek (kambing panggang).


Makan Malam Mongol

 

Makan malam Mongol, khemah yurt dan bunga-bunga di sekitar kawasan padang rumput Xilamuren


Kami makan malam dengan hidangan Mongul. Untuk makan kami ke khemah lain yang dibuat khas seperti kantin. Tetapi makan malam kami terlalu awal iaitu sebelum matahari terbenam. Seperti hidangan tengahari kami tadi (dalam entri lepas) ianya terdiri daripada sayur-sayuran, nasi, pau tak berinti dan kacang. Sama seperti tengahari tadi, serunding dan ikan bilis goreng, yang kami bawa dari rumah juga yang kami makan. Makanan orang Mongol ini tidaklah berapa sedap. Maklumlah tekak kami ni tekak Malaya.




Padang rumput Xilamuren waktu petang


Sedang kami makan itu matahari pun dengan perlahan-lahan ingin masuk ke peraduan. Mula-mula Adi Putra dan Asrul keluar. Lepas tu Syafiqa. Lepas tu Najibah. Seorang lepas seorang belari keluar khemah hendak melihat keindahan matahari terbenam itu. Tinggal saya keseorangan di meja makan. Mereka tinggalkan beg mereka di situ. Saya kemas-kemaskan barang-barang mereka kalau-kalau ada yang berharga. Lalu saya keluar mencari mereka. Jadi saya sudah terlambat sedikit melihat matahari terbenam itu. Inilah hasil yang sempat saya rakamkan.


Senja di Padang Rumput Xilamuren

  












Bagaimana? Suka tak dengar gambar-gambar itu tadi?

 

Malam di Padang Rumput Xilamuren


Pada malam itu kamu berlima pergi menyaksikan persembahan tradisional orang Mongol. Ada nyanyian yang dinyanyikan oleh penyanyi wanita dan lelaki yang diiringi dengan keyboard. Seorang wanita kemudiannya menari menggunakan mangkuk-mangkuk yang dijunjung di atas kepala. Ada juga persembahan menggesek morin khuur iaitu sejenis biola berkepala kuda dan mempunyai dua tali.

Persembahan mereka diakhiri dengan tarian bebas (ala-ala joget lambak), iaitu penonton menari beramai-ramai. Backpackers berlima tengok sahaja orang ramai terkinja-kinja di situ.

Pertunjukan bunga api dan memasang unggun api juga diadakan.


Persembahan orang Mongol



Ger kami pada waktu malam


Perkara luar biasa yang berlaku di padang rumput Ximauren ini ialah pada siang hari cuacanya panas. Tetapi pada waktu malam suhu turun dengan mendadak.sehingga 14 darjah celsius. Kami berpakaian tebal walaupun ketika itu musim panas.

Kami kemudian lepak-lepak di luar ger, berbual-bual sambil mengopek kulit kacang walnut dan badam. Sambil mengunyah kacang kami  merenungnya bulan di langit. Sangat indah.


Khemah ger pada waktu malam


Setelah kesejukan, kamipun masuk ke dalam ger masing-masing. Besok kami ada eskursi yang amat adventurous. Kami akan ke padang pasir!


Asrul dan Adi Putra melompat kegembiraan kerana sudah sampai di Padang Rumput Xilamuren



Padang pasir! Jadi kalau nak tahu di mana dan bagaimana rupa padang pasir itu, ikutlah Naramas Aman dalam entri akan datang. Jumpa lagi.

...bersambung

Baca kembara seterusnya Backpack ke Mongolia Dalam  (6): Menunggang Unta dan Berlemoskan Pasir di Gurun Kubuqi. 

Baca kembara sebelumnya di bawah ini:
Backpack Ke Mongolia Dalam (1): Permulaan Kembara Yang Mengujakan

25 ulasan:

  1. Keadaan tandas awam yg teruk mungkin membantutkan keinginan pelancung ke sana.

    Cantik waktu senja di sini...

    Kambing dihidangkan dengan kepala sekali... agak skeri...

    BalasPadam
    Balasan
    1. @Mie,
      Ya, tandas yang teruk memang scary. Kemudahan ini tidak diambilpeduli langsung di sini.

      Langit di waktu senja dan malam di sini memang indah. Kalau ada bintang-bintang lagi indah. Tetapi pada masa kami ke sini, cuma ada bulan. Tapi bulannya penuh dan cantik.

      Memang skeri kambing dihidang dengan kepala sekali. Tengok pun tak lalu apa tah lagi nak makan.

      Padam
  2. erk...kenapa dorg letak kambing camtu? awatla tak dipotong atau dibaringkan...iskk tak sampai ati tengok.

    tapi gmbr2 yg akak amik cantikla..time sunset mmg lawa...best tak duduk dlm yurt? sy teringin nak rasa...tapi nak pi mongolia ni cam cuak skit sbb kan ada kes ehemmmm tebabom itu...takut org2 sana berdendam :(

    BalasPadam
    Balasan
    1. @Fatt,
      Macam tulah cara mereka menghidang kambing pada majlis besar-besaran. Perkara yang sama juga saya lihat semasa saya ke Xinjiang. Mereka suka tengok kambing tu duduk macam tu agaknya...Adoii memang tak sampai hati kan?

      @Fatt,
      Pemandangan waktu matahari terbenam memang cantik di sini. Inilah antara keistimewaan padang rumput Xilamuren ni.

      Best sangat duduk di yurt tu. Kami tidur lena malam tu. Kami dapat selimut tebal. Tapi bau2 hapak tu adalah jugak.

      Kalau teringin pergilah Fatt. Tak ada masalah dengan penduduk di sini. Dia orang ok. Cuma kena ada orang yang pandai cakap China dalam group kita itu. Kalau tak ada yang tahu cakap China, SUSAH.

      Padam
  3. Salam kak. menarik giler pengalaman ni tapi sayangnya saya masih tak dapat tgok gegambar akak semua.. sedih la. huhuhu

    BalasPadam
    Balasan
    1. @Janggel/Rain
      Salam. Menarik. Satu pengalaman yang unik. Memang best giler.

      Alamak Janggel/Rain masih tak dapat tengok gambar. :( Ini yang sedih ni...Kenapa ya? Setengah orang dapat tengok gambar, setengah orang tidak. Macam mana saya nak buat ni? Boleh tolong bagi suggestion tak? Saya guna photobucket utk upload gambar. Saya juga guna proxy yang saya bayar setiap bulan untuk akses blogspot. Saya buat ini di Beijing. Server juga selalu down di sini. Asyik-asyik down. Baru tulis dalam 10 minit, down. Lepas tu buka balik proxy, lepas 10 minit lagi down. Adakah kerana ini? Atau ada sebab-sebab lain. Ce kabor ce kabor. Please help me!

      Padam
  4. Prof..

    Adakah kambing itu bersama kepala dan telinganya yg comei itu?? Errkk..dun tell me itu adalah betul!!!

    Bestnya view sunset...terbaekkk!!!

    BalasPadam
    Balasan
    1. @zila,
      I'm telling you, it is TRUE Zila. Mereka masak dan hidang kambing tu dengan kepala telinga sekali!


      The sunset in Xilamuren Grassland is really beautiful. Picturesque. Start dreaming your next getaway!

      Padam
  5. Arghhhh tidak..katakan tidak!! saya tak rela dinodai oleh tandas2 super duper kotor itu!!! tapi sunset lawa!! huhuhuu

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam BlueEwoke,
      Say NO to dirty toilet!

      Sunset tulah yang membuatkan kami lupa akan tandas kotor tu. Kebaikan dan layanan mesra orang Islamnya membuatkan kami nak datang lagi.

      Padam
  6. Bestnya tapi frust gambar tak nampak.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Assalamualaikum Kak Mahh,
      Memang menarik pengalaman kami ke Inner Mongolia itu. Tapi sayang, Kak Mahh tak dapat tengok gambarnya...:(. Adakah kesemua gambar tak keluar atau adakah sesetengah sahaja? Adakah Kak Mahh tengok blog saya ini di pejabat atau di rumah?

      Saya pun tak faham mengapa sesetengah orang tak boleh nampak gambar dalam entri ini dan sesetengah orang boleh nampak? Saya pun sedih, tapi saya tak tahu macam mana nak selesaikan masalah ini? Adakah kerana saya berada di China yang menyekat blogspot maka ini berlaku?

      Walau bagaimanapun, terima kasih kerana memaklumkan perkara ini kepada saya.

      Padam
  7. Salam Aidiladha, salam kenal...

    Pengalaman sangat menarik ni...
    Cantiknya matahari terbenam di padang rumput tu...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam kembali ummiross. Selamat berkenalan dan terima kasih kerana mengunjungi blog saya yang tak seberapa ini. Semoga ummiross dapat menjalankan ibadat kurban dengan sebaiknya.

      Ya, memang pemandangannya indah ketika matahari terbenam di padang rumput ini. Ini disebabkan padang rumputnya luas dan matahari terbenam ini dapat dilihat dengan jelas. Lebih indah lagi kalau ummiross dapat melihatnya sendiri di sini. Udara di padang rumput ini pula segar kerana ia jauh dari kesibukan kota. Lembu-lembu, kuda-kuda, bangsal dan ger turut menghiasi lanskap ini. Itulah keindahan ciptaan Allah yang tidak sesiapa mahu ketinggalan melihatnya apabila berada di sini.


      Padam
  8. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

    BalasPadam
  9. salam.. new subscriber here!
    wah.. ini yurt 5 star, siap ada katil dan toilet! :)
    kami tinggal di kyrgyz yurt di Xinjiang (west china), sangat2 basic, toilet pun kat luar (yg hanya lubang kambus je, bayangkan!). (link here). kat dalam beddings tilam dan comforter saja. then again hanya 3 orang traveler yg ada kat kawasan tu (karakul) pada masa tu.. tapi sbb deserted tu that makes it interesting.

    ada kawan parents yg penah sampai inner mongolia ni, diorg ckp best jgk, ramai muslim population mcm Xinjiang. rasa nak pegi sana jugak nanti :)

    travelogue.ilyani.net

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam ilyani,
      Selamat datang ke blog saya dan terima kasih kerana subscribe.

      Wah menariknya kembara ilyani ke Kashgar, Karakul, Urumqi :) Saya dah tengok blog ilyani!

      Saya pun dah sampai Kashgar & Urumqi :) InsyaAllah akan share di blog ini nanti.

      Di Inner Mongolia memang ramai orang Islam. Memang best.

      Kami tak pasti khemah yurt kami di Inner Mongolia tu berapa star. Mungkin 2? Kami main ambil je... Tapi kami nampak ada yurt yang lebih eksklusif daripada yurt kami tetapi di kawasan padang rumput yang lain.

      Padam
  10. Salam,akak..
    Makin exited sye bace travelog akak ke Inner Mongolia ni.walaupun isu tandas yang hazab tu,tp tak mematahkan keinginan saye ke sini.mmg pengalaman yg menarik dapat experience tengok lifestyle orang Mongolia.ni yang masukan dalam wishlist travel saye ni.hihi

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam feeza fauzi,
      Terima kasih kerana terus membaca travelog saya ke Inner Mongolia ini. Memang tandas di Inner Mongolia ni 'hazab', ketinggalan zaman betul. Inilah masalah utama kami di sini. Tetapi alhamdulillah tandas dalam khemah ok. Pengalaman menarik tinggal di khemah, melihat budaya orang Mongol, menyaksikan pemandangan padang rumput serta binatang-binatang ternakannya memang meninggalkan seribu kenangan indah. Keindahan ini telah melupakan kami pada tandas 'hazab' itu.

      Semoga feeza fauzi dapat sampai ke sini suatu hari nanti.

      Padam
  11. Assalamulaikum, bagus travel. Tapi anda ada juga kawan yg boleh bercakap china. Bayang kan saya sepatah tak boleh berbahasa China.Mengembara hampir separoh negara China - Yunnan,Chengdu,Lanchou,Dunhung,Turpan,Urumqi,Khasgar,Ningxia,Yinchuan,Baotou,Hohhot Beijing,Taiyun dan Xian.Oh China...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Waalaikumusalam gmpeladang,
      Kawan-kawan yang boleh bercakap China memang banyak membantu saya semasa di sana. Tetapi ada juga tempat di China yang saya pergi seorang-seorang. Dengan tak tahu bahasa China sepatah haram, alhamdulillah saya sampai jugak. Tetapi kalau tahu cakap China, lebih baik, dapat berbual dan berkawan dengan orang tempatan. Jadi perspektif lebih luas. Saya dapat bayangkan bagaimana gmpeladang boleh mengembara separuh dari negara China tanpa boleh berbahasa China. Saya kagum. Gmpeladang memang berani dan adventurous. Saya belum lagi sampai ke kebanyakan tempat yang gmpeladang pergi tu. Saya rasa nak jadi macam gmpeladanglah.:)

      Padam
  12. Bagus juga lah semoga kita boleh kongsi pengalaman. Sehingga sekarang saya dah jelajah beberapa negara dengan seorang diri. Antara negara dah sampai Thailand,Laos,Myanmar,India,Pakistan,Kazakhstan,,Kyrgyzstan,Uzbeskistan,Iran,Turkey,Mesir,England,Belanda,German,Saudi Arabia,UAE,Jordan,Syria,Lebanon,Indonesia dan Austalia.
    Insaalah sedang rancang ke Africa dari Mesir ke Selatan dan juga utara Afrika terus ke Spain

    BalasPadam
    Balasan
    1. Gmpeladang,
      WOW!Gmpeladang dah banyak mengembara dan melihat dunia. Saya kagum!

      Rasa macam nak ikut serta :D

      Saya teringin hendak ke Kazakhstan, Urbekistan, Afrika Selatan, Mesir, etc. Tapi belum ada kesempatan lagi.

      Padam
  13. Ya Allah...cantiknya pemandangan matahari terbenam tu...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Memang cantik terutama khemah-khemahnya berdiri di atas padang rumput yang luas...suhu malam pula sejuk mendadak dan suasana semakin sepi.

      Padam

Kini giliran anda pula untuk memberi pandangan/ulasan.

Ulasan tanpa nama akan dipadamkan.