Tagline

A Blog About Traveling Around The World From The Lens and Eyes of A Malaysian-Muslim Woman

Select Your Preferred Language


Select Your Preferred Language
BAHASA MELAYU | ENGLISH

Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini

Adsense



Isnin, 7 Januari 2013

Kembara Jalan Sutera (Bhg 2): Raya Korban di Kashgar, Xinjiang


M  akan. Makan. Makan. Inilah hari yang paling banyak sekali saya makan. Apa tidaknya. Peluang ini tidak selalu datang. Sedap. Halal pula tu. Subuh-subuh sapie lagi saya dan Salwa turun ke coffee house di Hotel Yambu untuk sarapan. Cofee house itupun tak buka lagi. Apa hal?  Memang awal pun walaupun masa tu 8.30 pagi. Masih ada lagi waktu solat subuh kerana di Kashgar, waktu solat subuh masuk pukul 8.00 pagi! Terbit matahari 9 lebih.  Itulah pertama kali kami solat subuh pada waktu yang orang Malaysia dah masuk pejabat. Kau orang pernah?

Setelah menunggu pintu cofee house dibuka, kami pun menerpa ke meja buffet. AMBIK KAU!  Hidangan makan paginya macam makan tengahari. Tak tahu yang mana satu hendak dipilih. Semuanya menyelerakan. Masakan Uyughur. Halal! Yang paling saya suka ialah cendawan goreng, gulai terung, kacang goreng, acar sengkuang, pau, keledek rebus dan senarai ini tak habis dan berterusan. Fuhh marvelous!


Sebahagian daripada sarapan pagi kami di Kashgar yang seperti makan tengahari


Makam Abak Khoja dan Ratu Wangi


Makam Abak Khoja yang letaknya tidak berjauhan dengan hotel kami adalah tempat yang kami tuju pada pagi kedua Hari Raya Korban di Kashgar. Adil bawa kami ke situ menaiki van.

Abak Khoja adalah seorang pemimpin Islam Uyughur yang dihormati di Xinjiang. Kuburnya terletak di dalam sebuah bangunan batu yang bertutup. Bangunan itu berbentuk seperti sebuah masjid. Ada kubah. Ada pancuran seperti yang terdapat pada Hijir Ismail Kaabah. Terdapat kubur-kubur keluarganya berhampiran dengan kuburnya. Tetapi kami tidak dibenarkan mengambil gambar dalam bangunan yang ada kubur itu.

Terdapat juga kubur Ratu Wangi iaitu seorang ahli keluarga Abak Khoja. Ratu Wangi pernah menjadi  isteri yang disayangi oleh Maharaja Qianlong semasa dinasti Qing. Kami diberitahu bahawa Ratu Wangi ini meninggal dunia di Peking dan jenazahnya telah dibawa ke sini untuk dikebumikan melalui Jalan Sutera (jalan darat). Penghantaran jenazah ini memakan masa .....Nak tahu berapa lama?....3 hari? ...Bukan...3 minggu? Pun bukan!..... 3 TAHUN!!! Lamanya, kan?!!!.

Ratu Wangi beragama Islam tetapi telah dikahwinkan dengan Maharaja Qianlong. Saya dapat membayangkan bahawa Ratu Wangi ini mestilah seorang yang cantik sehingga diperisterikan oleh Maharaja Qianlong. Saya merasakan bahawa Ratu Wangi dipaksa berkahwin dengannya walaupun berlainan agama. Perintah maharaja siapalah yang sanggup membantah.

Di luar bangunan makam Abak Khoja dan Ratu Wangi ini terdapat satu kawasan perkuburan yang berpagar. Ini ialah perkuburan anak-anak buah Abak Khoja


Makam Abak Khoja terdapat dalam bangunan ini. Gambar tidak dibenarkan ambil di dalam bangunan ini.

Penulis posing di depan Makam Abak Khoja

Kawasan perkuburan anak-anak buah Abak Khoja


Di kawasan yang sama, tidak berjauhan dengan makam itu terdapat sebuah surau dan masjid yang sering digunakan untuk solat Jumaat. Kami melalui pohon-pohon poplar yang menguning daunnya di situ. Daun-daun berwarna perang gugur bertaburan di atas tanah. Suasananya amat nyaman dan damai. Kami melihat kawasan masjid yang bertembok batu itu ditutup kerana sedang dibaikpulih. Jadi kami hanya menjenguk dari luar sahaja. Terdapat sekumpulan pelancong China yang turut melawat kawasan itu dengan diiringi oleh seorang pemandu pelancong.


Surau di kawasan pintu masuk Makam Abak Khoja

Surau di kawasan pintu masuk Makam Abak Khoja

Kawasan dalam pagar masjid. Masjid sedang direnovasi.


Papan penerangan tentang masjid di kawasan Abak Khoja dalam tiga bahasa


Setelah habis melawat kawasan Abak Khoja ini, kami menaiki van menuju ke sebuah pekan lama. Dalam perjalanan kami dapat melihat rumah-rumah orang Uyughur yang dibuat daripada batu-batu merah. Ingin sekali kami masuk melihat ke dalamnya.

Kami amat menyenangi suasana yang kami lihat di hadapan mata kami. Walaupun ini bukan sebuah tempat yang mewah. Bukan juga tempat yang rapi. Jauh sekali daripada bertaraf ekslusif. Namun inilah yang kami gemari.

Rumah-rumah orang Uyughur

Suasana dan aktiviti penempatan orang Uyughur


 

Pekan Tua di Kashgar

 

Pekan Tua Kashgar letaknya di atas bukit


Adil membawa kami bertiga ke sebuah pekan tua yang terletak di kota Kashgar. Pekan tua ini letaknya di atas bukit. Kami menaiki anak-anak tangga untuk ke pekan itu. Di pekan ini kami dapat menyaksikan bangunan dan rumah-rumah lama yang telah dibina beribu-ribu tahun lalu. Rumah itu dibuat daripada batu-bata merah. Ada yang sudah pecah-pecah dan dindingnya retak-retak. Kelihatan kasar dan tidak kemas. Tapi siapa sangka, ia masih didiami oleh orang Uyughur. Apakah yang ada di dalam rumah-rumah orang Uyughur di pekan tua ini? Nak juga tahu.

"Bestnya kalau dapat masuk rumah orang Uyughur ni," kata Salwa sambil matanya tidak lepas-lepas merenung rumah batu-bata merah itu.

"Dapat pula minum teh secawan. Lagi best," kata saya berangan-angan.

"Masukpun belum tentu dapatnya. Inikan pula minum teh," kata Azizi sambil ketawa.

Kami terus memasang angan-angan untuk dapat masuk melihat keadaan rumah mereka. Dan mengajukan hasrat kami itu kepada Adil. Adil  tidak berkata apa-apa. Senyum pun tidak. Barangkali permintaan kami itu adalah mustahil untuk ditunaikan.


Rumah-rumah di Pekan Tua Kashgar

Lorong sempit di Pekan lama Kashgar

Tepi sikit orang nak lalu ni
a

Kami kemudiannya berjalan kaki di lorong-lorong di Pekan Tua itu. Kami dapat melihat kanak-kanak Uyughur bermain-main di luar. Tidak ada padang permainan. Mereka bermain di lorong-lorong, di atas timbunan batu-bata yang runtuh dan di luar kawasan pagar rumah. Tidak ada orang dewasa menemani mereka. Mereka bebas bermain. Kami juga dapat melihat kaum wanita berjalan kaki dan kaum lelaki menunggang motorsikal.

Banyak bangunan yang tidak terpelihara. Ada yang runtuh dan ada sedang dalam renovasi. Berselerak. Bersepah. Berdebu. Suasana persekitarannya mencerminkan taraf marhaen masyarakatnya. Inilah kediaman etnik Uyughur! Inilah golongan yang kurang mendapat perhatian (agaknya). Mereka ini sujud pada yang Satu. Mereka ini saudara maraku - orang Islam. Tetapi kami bertiga amat-amat menyenangi suasana unik dan kontras ini. Lain daripada yang lain! Kami rasa amat bertuah ketika itu kerana dapat berada di situ!

Jom rempit dik! Tapi 'angry bird' tu simpan dulu ya..


Sambil berjalan-jalan di lorong-lorong pekan tua itu kami masih bercita-cita untuk masuk ke rumah dan berbual-bual dengan penghuninya. Mungkin hasrat kami itu tidak kesampaian.

Namun, tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu?

Tak berapa lama kemudian kami lalu di sebuah halaman rumah yang bertembok batu. Di pintu tembok dipasangkan tabir. Tabir itu beralun-alun ditiup angin musim luruh yang lembut. Alunan tabir itu seolah-olah menggamit-gamit kami untuk menjenguk ke dalam halamannya. Kamipun selak tabir itu. Kami jenguk kepala kami. Kami lihat ada taman. Ada tangga. Ada rumah dua tingkat. Ada seekor kambing yang baru disembelih terlantar di tanah. Pasti kambing korban!

Rumah Uyughur

"Adil, cakap pada tuan rumah kami nak ambil  gambar halaman rumahnya, " saya dan Salwa menggesa Adil yang turut juga menjenggukkan kepalanya ke dalam pintu tembok itu.

Mendengarkan suara kami bercakap-cakap itu keluarlah seorang wanita yang memakai skaf. Dia lalu menegur kami dalam bahasa Uyughur. Lalu Adil menjawab teguran itu.

Adil memberitahu kami bahawa, wanita itu mempelawa kami masuk. Tetapi untuk itu kami kena bayar 10 yuan. Kami boleh duduk minum teh, makan kuih-muih dan menyaksikan sebuah tarian Uyughur. Dan 10 yuan lagi untuk mengambil gambar bersama penari. Wah seronoknya! Inilah yang yang kami mahu! Cuma RM10 untuk semua ini! Ini sudah bagus! Bagaikan pucuk dicita ulam mendatang kami terus setuju.

Laju saja kami masuk ke dalam rumah wanita Uyughur itu. Dalam rumah itu ada ruang tamu. Ada meja rendah. Ada macam-macam kuih raya di atasnya. Kami duduk bersila di lantai depan meja rendah itu. Ada seorang gadis berpakaian tradisional sedang menari. Mungkin itu anak gadis wanita berskaf tadi. Ada juga seorang lelaki remaja menari bersamanya. Muzik etnik Uyughur dimainkan dari sebuah cd dan speaker. Muzik ala ala padang pasir. Tak lama kemudian wanita berskaf tadi menghidangkan teh panas kepada kami. Kamipun minum. Kami kudap kuih-muih itu sambil menyaksikan tarian yang ditarikan anak gadis dan pemuda itu. Seronoknya! Rasa macam raja pulak! Seting dan suasana yang saya alami ketika itu sama sebijik macam babak dalam filem-filem Hindi. Tapi ini bukan di Hindustan. Ini di China!!!

Penari ini menarikan tarian etnik Uyughur. Di hadapan sekali ialah kuih raya orang Uyughur.

Penulis (bertudung hitam) bergambar dengan penari Uyughur di rumahnya


Impian kami hendak masuk ke dalam rumah Uyughur dan meneguk secawan teh telah terlaksana. Malahan lebih daripada yang kami harapkan. Syukur.

Setelah puas menyaksikan tarian Uyughur, makan kuih raya Uyughur dan minum secawan teh Uyughur, kamipun beredar dari situ dan meneruskan terokaan kami di pekan tua itu.

Apabila melihat kanak-kanak Uyughur bermain-main di kawasan runtuhan bangunan dan berdebu  di pekan tua itu kami hulurkan duit raya kepada mereka. Bukan main sukanya mereka. Renyih sampai tang telinga!

Yey yey dapat duit raya yey yey!


Kami dapati bahawa wanita di sini bertubuh kurus dan langsing walaupun sudah beranak empat. Mereka juga amat bergaya. Lihatlah gambar di bawah ini:

Mak! Tunggulah dulu!



Masjid Id Khah, Antara Masjid Purba Terbesar di China

 


Kawasan pintu depan Masjid Id Khah

Kunci pintu Masjid Id Khah



Masjid Id Khah adalah masjid purba terbesar di Xinjiang. Ia juga antara masjid purba terbesar di China. Sudah lama saya memasang impian untuk melihat sendiri Masjid Id Khah di Kashgar ini. Saya, Salwa dan Azizi ke situ pada hari kedua Raya Korban. Masjid ini letaknya di pusat bandar. Banyak kedai-kedai dibina di persekitarannya. Namun banyak kedainya ditutup kerana peniaganya masih bercuti.

Bangunan masjid ini dikelilingi oleh tembok. Apabila kami masuk kami dapati banyak pokok-pokok maple ditanam. Kawasan halaman masjid ini luas. Terdapat menara azan dan lorong-lorong berjubin. Oleh kerana semalam orang ramai hadir untuk solat Aidil Adha dan juga solat Jumaat maka permaidani masih berada di luar masjid. Ada seorang pengawal menjaga pintu dewan solat.

"Masjid ini boleh menampung 6 ribu jemaah di dalam. Dan 14 ribu jemaah di luar kawasan masjid. Jadi jumlah keseluruhannya boleh mencecah 20 ribu orang sekali solat," kata Adil.

"Menurut kawanku Arafat, wanita tidak dibenarkan solat di masjid di Xinjiang. Benarkah?" tanya saya pada Adil.

"Ya!" jawab Adil.

"Mengapa?" tanya saya.

"Pemerintah tak benarkan," kata Adil.

Kata-kata Adil  menguatkan kepercayaan saya kepada keluhan Arafat, sahabat Uyughur saya itu selama ini.

"Tetapi pelancong boleh, kan?" saya mohon kepastian dan seakan-akan mendesak supaya kami dibenarkan solat di situ.

Adil kemudian bertanya kepada pengawal di situ adakah kami pelancong perempuan boleh solat di situ? Pengawal itu menggelengkan kepala dan hanya membenarkan kami melawat sahaja. Jadi kamipun tengok sajalah. Lagipun pada masa itu pagi, waktu dhuha. Jadi tidaklah kami bersungguh-sungguh untuk solat di situ. Lainlah solat fardhu.

Perkarangan Masjid Id Khah

Kanak-kanak Uyughur bermain air di hadapan Masjid Id Khah

Permaidani untuk solat Aidil Adha di bahagian luar masjid masih belum dikemaskan

Ruang solat bahagian dalam masjid


Ruang solat di bahagian luar dewan Masjid Id Khah



 Pasar Kashgar di Lorong Lama yang Happening


Setelah melawat masjid Id Khah, kami dibawa Adil ke pasar Kashgar di Lorong Lama yang terletak di belakang kawasan masjid itu. Di pasar ini kami dapat melihat banyak kedai-kedai teh, antik, makanan, klinik pergigian, kedai topi, kedai madu dan macam-macam lagi. Kesemua peniaganya orang etnik Uyughur. Kami amat teruja melihat suasana unik ini. Kami mencuba macam-macam makanan. Kami cuba makan roti. Makan sup. Makan kacang. Kami duduk semeja dengan mereka. Melihat gelagat mereka. Berbual-bual dengan mereka. Mereka juga memerhatikan gelagat kami. Kami tengok mereka. Mereka tengok kami.

Adil bawa kami jalan-jalan di Pasar Kashgar

Di sini kami dapat menikmati makanan tempatan yang enak, duduk semeja dan berbual-bual dengan penduduk tempatan



Boleh dikatakan setiap orang di pasar itu memandang kepada kami dan bertanya pada Adil,

"Dia orang ni siapa?"

"Orang Malaysia," beritahu Adil dalam bahasa Uyughur.

Mereka kelihatan gembira melihat kami. Ingin berbual-bual, tapi malu kerana tak tahu bahasa kami. Tetapi Adil tolong terjemahkan. 

Ada sekumpulan remaja lelaki lepak-lepak dengan kami. Mereka bertanya soalan cepu emas. Bijak juga remaja ini.

"Bendera Malaysia ada gambar apa?" 

"Bulan. Bintang. Jalur-jalur biru, putih." kata Azizi.

Azizi kemudiannya memberi mereka sekeping duit seringgit Malaysia dan menunjukkan gambar yang ada pada duit kertas yang baru dikeluarkan tahun ini. Lepas seorang demi seorang menerpa ke arah Azizi. Berebut-rebut hendakkan duit kertas Malaysia yang baru dan keras itu! Terlalu gembira mereka mendapat hadiah itu. Suasana ini amat menyeronokkan kami.

Remaja Uyughur yang gembira menerima duit kertas Malaysia


Kami berjalan-jalan lagi sampai ke hujung pasar. Kami amat bertuah kerana pada hari itu orang Uyughur masih bercuti raya Korban dan banyak daging kambing dijual dan dibakar.

"Suasana begini tidak ada pada hari-hari biasa," kata Adil.

Jual beli kambing biri-biri. Di Kashgar setiap keluarga mesti menyembelih biri-biri untuk Hari Raya Korban


"Saya orang Malaysia. Saya orang Islam," kata saya. Penjual daging ini terus posing apabila saya kata begitu.

Bazar Besar Kashgar


Sebuah lagi pasar ataupun bazar yang kami pergi ialah bazar Besar Kashgar. Di sini jual-beli kambing amat rancak sekali. Menurut Adil, "Setiap keluarga menyembelih sekurang-kurangnya seekor biri-biri untuk hari Raya Korban." 


Tawar menawar kulit biri-biri

Kulit dan bulu biri-biri dikumpulkan dan dibawa ke Urumqi untuk diproses di kilang


Ketika ini musim anggur. Banyak anggur ditanam di Kashgar. Ia banyak dijual  di bazar Kashgar dan rasanya sedap.


Jual bepang kacang


Setelah berjalan-jalan di Pasar Besar Kashgar, kami dibawa Adil ke tempat orang membuat permaidani. Pelbagai jenis permaidani indah dianyam di situ.

Selepas itu kami melihat batu jade dijadikan barang-barang kemas. Xinjiang mempunyai batu-batu jade yang bermutu baik. Jade ini terdapat dengan banyak di dalam perut bumi Xinjiang. Namun harga barang-barang kemas yang dijadikan daripada jade itu amatlah mahal. Tidaklah kami berminat membelinya. Jamu mata sahaja.


Permaidani Kashgar
Alat menenun
Batu-batu Kashgar

Tasik di kota Kashgar


Pada malam itu kami sekali lagi makan di restoren yang sama. Restoren ini letaknya di dalam sebuah hotel. Hanya restoren ini sahaja yang dibuka pada cuti hari Raya Korban di Kashgar. Menu utama kami ialah mee sejuk. Mee sejuk ini betul-betul sejuk, sejuk macam ais batu! Tetapi di dalamnya diletakkan cili yang terlalu pedas. Saya pun makanlah mee sejuk ini. Sedap jugak! Tetapi lepas itu perut saya rasa lain macam. Rasa tersangat sebu. Pedih ulu hati. Ini disebabkan cili yang pedas itu. Lagipun saya makan terlalu banyak pada hari itu. Saya pun telanlah beberapa biji ubat. Saya duduk berehat sahaja di hotel pada malam itu. Itulah bahananya makan tidak ikut sunnah he he he.

Mee  ini sejuk seperti ais tetapi pedas



Begitulah kami melihat orang Islam meraikan Hari Raya Korban di Kashgar. Pengalaman ini amat bermakna bagi kami.

Esok kami akan ke Urumqi. Bagaimanakan keadaan di Urumqi? Ikutilah kisah kembara saya di Jalan Sutera dalam entri akan datang.

bersambung...

Baca sambungannya KEMBARA JALAN SUTERA (BHG 3) DI SINI


Baca kisah sebelumnya KEMBARA JALAN SUTERA  (BHG 1) DI SINI

18 ulasan:

  1. bestnya akak, lain rasa cerita akak pasal travel ke China ni. Tapi, ada sikit perasaan kecewa bila akak cakap orang perempuan tidak dibenarkan solat di masjid, apalah diorang ni, masjid kan rumah Allah, saper-saper pun boleh solat.

    Kalau nak datang sini, kena bawah duit singgit banyak-banyak kot, kalau tak nanti macam mana nak tunjuk bendera M'sia dekat masyarakat tempatan :)

    BalasPadam
    Balasan
    1. Orga,
      Tempatnya lain daripada yang lain, jadi ceritanya pun lainlah jugak he he he. Saya pun mula-mula rasa tak percaya dan hairan apabila kawan saya kata orang perempuan tidak dibenarkan solat di masjid di Xinjiang. Tapi bila dah sampai sana, barulah percaya. Kami solat di dalam van sahaja masa kami di sana. Peristiwa ini diharap memberi iktibar kepada kita supaya janganlah kita melantik orang kafir sebagai ketua kita.

      Aaah bawa duit singgit banyak-banyak nak tunjukkan bendera Malaysia... Kelakarlah Orga ni...ha ha ha

      Padam
  2. Comel2 anak orang Uyughur ni, lain betul dengan anak Cina yang sepet2 tu...

    Karakter tulisan bangsa Uyughur ni sama dengan tulisan jawi ke...

    Tak sabar menunggu cerita di Wulumuqi pulak... hehe

    BalasPadam
    Balasan
    1. Mie,
      Memang comel anak orang Uyughur ni. Muka mereka macam orang Turki. Mata ada macam-macam warna. Birulah. Hijaulah. Coklatlah. Kulit mereka putih. Hidung mereka mancung.

      Ya, tulisan Uyughur ni sama dengan tulisan jawi. Kita boleh baca. Tulisan ini ada di papantanda jalan, kedai dan di merata tempat.

      InsyaAllah cerita di Wulumuqi akan menyusul tak lama lagi.

      Padam
  3. salam kak..nak tanya..mahal tk kos nak pegi uyughur ni..mcm berminat nk pegi silk road ni..

    BalasPadam
    Balasan
    1. fifi,
      Salam fifi. Saya belanjakan sebanyak RM4,930 untuk kapalterbang, hotel, makan, pengangkutan dan upah orang untuk bawa ke sana sini. Kami upah orang sebab masa kami terhad, 3 hari saja. Tetapi kalau pergi sendiri lagi murah.

      Padam
  4. salam, makanan2 tu mmg marvelous! banyaknya pilihan breakfast!

    masa raya korban ni ada tak melawat rumah tempatan..? teringin nak tahu bagaimana diorang sambut raya.. mesti meriah kan :) teringin sgt nak tengok jemaah penuhi Idkah masa solat raya mcm dalam gambar tu..

    kami tak berkesempatan ke Apakh Khoja.. mula2 plan nak pergi, tapi sibuk makan kebab di pekan kot akhirnya tak kesampaian :D

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam Ilyani,
      Makanan di sini sedap-sedap, semuanya nak dicuba, tapi apakan daya perut tak boleh nak sumbat semua.

      Masa raya tu, hanya rumah di Pekan Tua saja yang kami dapat masuk dan makan kuih raya dia orang. Jadilah. Kami ke Idkah pada Raya Kedua, jadi melepaslah tengok jemaah solat di situ.

      Walaupun Ilyani tak sempat ke Apak Khoja, tapi Ilyani dapat pergi Karakul Lake. Itu lagi best:) Saya tak berpeluang ke sana :(

      Padam
  5. Salam Yong

    Bertuah sungguh Yong dapat peluang ke sini...teman ni masih dalam mimpi2 yang kekadang muncul kekadang lenyap.....hehe...

    Masakan etnik ni memang sedap kan...nasib baik teman sempat menerkam masakan etnik ni masa kat Guangzhou dulu...daging rusuk kambing gurun panggang yang amat enak...berebut makan...

    Tapi Yong ngape ambik trip yang terlalu pendek ?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam kembali Yong ASP,
      Alhamdulillah dapat juga teman pijak bumi Xinjiang yang dah lama bebenor teman idam-idamkan, walaupun singkat, jadilah. Itule pasei, teman dan kawan teman ada hei, ate idokle dapat lelama. Kume tengok-tengok sample dulu.

      Memang sedap masakan etnik ni. Marvelous!

      Wow di Guangzhou mike makan kambing gurun panggang? Teman tak peronah pun makan kambing gurun. Mesti sedap gamaknya :D

      Padam
  6. Huii nampak je gambo makanan mula2 tu terus ngidam lapar.. heheh lepastu nampak lagi gambo makanan besor2 atas meja tu lagi pelik.. Memang macam2 makanan ada ye kat sana.

    Rekaan senibina bangunan di sana pon nampak sangat menarik cuma agak tak terjaga ye?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Janggel/Rain,
      Memang makanan di Xinjiang ni macam-macam jenis. Sedap-sedap pulak tu. Yang makanan besor-besor atas meja tu kuih raya Uyughur. Sedap jugak.

      Bangunan di penempatan Uyughur tu memang nampak tak terjaga. Ada yang pecah-pecah. Yang bubuh kain sebagai dinding pun ada. Tapi masih ada orang yang tinggal.

      Padam
  7. Assalamualaikum,

    Seronoknya prof dapat merasa mcm2 makanan di sana. sy tengok gambar pun dah terliur. saya paling suka daging kambing yg dimasak di sana, mgkin cara masakan yg sedikit berbeza membuatkan rasanya lebih sedap.

    tapi sy lebih tertarik pd pglmn prof ke rumah local di sana dan tengok tarian tradisional. wlpun berbayar, tapi bila tengok gmbrnya sy rasa WOW ini mmg bagus betul. rasa kelakar sbb penuh satu meja makanan...berbaloi2 sgt kalau dibandingkan dengan jumlah wang yg dikeluarkan.

    boleh sy tau, kat sini memang dorg langsung tak tau berbahasa inggeris ke? sy terfikir mcm mana kalau sy pegi redah sendiri dan terkial2. bkn tak pernah menjelajah di negara yg rakyatnya tak tahu berbahasa inggeris, tapi sy rasa kaget sikit dengan Urumqi :)

    BalasPadam
    Balasan
    1. Waalaikumusalam Fatt,
      Memang saya suka menerai makanan di tempat orang. Tetapi yang di sini memang sedap-sedap. Cuma perut je yang tak boleh nak isi semua he he he. Sesiapa yang pernah makan kambing terutamanya biri-biri biasanya akan mencari makanan itu. Sebab sedap. Fresh! Kesedapan daging kambing itu juga bergantung kepada jenis rumput yang dimakan oleh kambing itu.

      Masuk ke rumah orang sana, duduk-duduk minum teh, memang seronok betul. Bayarpun tak apa. Bukannya selalu. Kuih tu besar, kan? Kuih raya dia orang. Kuih tu pun sedap.

      Susah nak cari orang sini yang tahu bahasa Inggeris. Nasib nasib je. Yang saya baik dengan Arafat tu sebab dia pandai English. Ada juga orang Uyughur yang saya kenal dua tiga orang, tapi dia orang tak tahu English, jadi hubungan tu terputus begitu saja. Sayangkan? Tapi kalau Fatt nak redah je pun ok, nasib baik boleh jumpa yang tahu English. Masa saya ke Xian hari tu pun, saya pergi je gitu, saya pergi seorang, walaupun tak tahu bahasa China, sampai jugak he he he...

      Padam
  8. Assalamualaikum Puan Naramas,
    Saya baru berkesempatan membaca entry ini. Membuatkan saya rindu pada Kashgar. Sy baru saja ke sana awal May yang lepas dan Bandar lama Kashgar sekarang sudah berubah rupa. Dah tak macam bndr lama. Semua sudah dibuat baru. Mungkin rumah-rumahnya masih lama, tapi tampak bangunannya semuanya baru. Dah kurang authentic di situ. Saya tidaklah melawat kawasan makam di sana. Saya ke Sunday animal market dan Shipton Arch. Kemudian ke Tashkurgan dan Karakul. Seronok menjejak jalan sutera ni, budaya yang meriah, makanan sedap dan penting halal boleh makan apa sahaja, landskap nya juga berbeza-beza dan unik sekali. Terima ksih kerana berkongsi cerita :)

    BalasPadam
    Balasan
    1. Fiza, terima kasih kerana memberitahu saya tentang bandar lama di Kashgar yang telah berubah rupa. Mungkin ia telah direnovasi untuk kepentingan industri pelancongan. Wah hebatnya Fiza kerana dapat ke Tashkurgan dan Karakul! Tentu pengalaman Fiza amat berharga sekali.

      Padam

Kini giliran anda pula untuk memberi pandangan/ulasan.

Ulasan tanpa nama akan dipadamkan.