Tagline

A Blog About Traveling Around The World From The Lens and Eyes of A Malaysian-Muslim Woman

Select Your Preferred Language


Select Your Preferred Language
BAHASA MELAYU | ENGLISH

Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini

Adsense



Memaparkan catatan dengan label VIETNAM - Hoh Chi Minh (2011). Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label VIETNAM - Hoh Chi Minh (2011). Papar semua catatan

Isnin, 10 April 2017

Candid Shots!: Macam-macam Gelagat Pengguna Motosikal


K etika mengembara di luar negara, saya suka melihat gelagat penduduk di negara itu menggunakan motorsikal, terutama di negara-negara Asia. Cara mereka agak berlainan dengan negara kita. Saya sempat merakamkan gelagat mereka secara candid. Mari kita lihat satu per satu.

1. Naik ramai-ramai


Di negara kita, penumpang yang membonceng motorsikal biasanya seorang atau mungkin berdua, tetapi di  beberapa buah negara Asia, penumpangnya mungkin tiga, mungkin empat, malahan ada yang sampai lima orang. 


5 orang boleh menaiki sebuah motorsikal di Medan Indonesia. Budak-budak tak payah pakai helmet.

4 orang menaiki motorsikal di bandar raya Hoh Chi Minh adalah perkara biasa

2. Selamba je sangkut beg tangan pada motorsikal! 


Beg tangan biasanya dikepit kuat-kuat oleh wanita ketika berada di dalam bandar kerana bimbang diragut. Amat jarang kita melihat mereka menyangkut beg tangan pada motorsikal. Tetapi di Kashgar, iaitu sebuah bandar di China, beg tangan disangkut dengan selamba pada motorsikal tanpa bimbang diragut.


Alangkah senangnya gadis ini menunggang motorsikal di Kashgar, China kerana beg tangan boleh disangkut dengan selamba pada motorsikal dan tidak bimbang akan diragut. 


3. Macam mana bawa barang banyak, berat dan besar di atas motorsikal?


Pernahkah anda melihat peti sejuk, almari atau mesin basuh diangkut di atas motorsikal kapcai? Bagaimana pula mengangkut barang yang besar empat kali ganda daripada motorsikal? Dah tu menutup muka pulak? Kita mungkin jatuh ketika menunggangnya. Tapi tidak bagi penunggang-penunggang ini:


Kulit kambing yang baru selesai dilapah dimasukkan dan ditindan banyak-banyak dalam bahagian belakang motorsikal. Tindanan kulit yang berat ini mungkin tidak mampu ditanggung oleh motorsikal yang berkuasa rendah. Tetapi ini tidaklah menjadi masalah pada penunggang motorsikal di Kashgar ~ sebuah bandar di Xinjiang, China.

Dua penunggang motorsikal di Hoh Chi Minh ini mengusung daun-daun dan bunga-bunga besar ini tanpa jatuh/berlanggar walaupun ia menutup muka penunggangnya. 

Mampukah anda membawa barang besar gedebak ini di atas motorsikal kecil? Cara ini sempat saya rakam ketika saya sedang mencari hotel di kota raya Shanghai, China

Motosikal dimodifikasikan supaya boleh membawa banyak barang besar dan tinggi seperti almari, peti sejuk dan mesin basuh. Gambar ini saya rakam di Kashgar, Wilayah Xinjiang di China


Barangkali mereka ini pekerja binaan. Kereta tolak dan barang-barang binaan diseret sekali bersama motorsikal. Gambar ini saya rakam ketika berada di Kashgar, Wilayah Xinjiang di China.



4. Meh tutup motor 


Ketika menaiki motorsikal debu dan habuk boleh menganggu pernafasan kita. Kalau hujan pula, tentulah badan kita basah. Meh tutup keliling motorsikal kita supaya kita selesa menaikinya.  Inilah yang dilakukan oleh pengguna motorsikal di beberapa negara Asia.

Motorsikal bertutup seperti tuk tuk ini memberi keselesaan kepada penumpang. Gambar ini saya rakam ketika berada di Phitsanulok Thailand.


Di Banda Acheh, motorsikal dimodifikasikan dengan menjadikan ia sebagai bemo (gabunga beca  dan motor). Penutup yang ringkas ini dibuat daripada plastik dan melindungi penumpang dari matahari. 

Di Beijing motorsikal diubahsuai untuk mengangkut penumpang dengan membuat penutup empat segi seperti sebuah peti. Motorsikal jenis ini dipanggil beng beng dan boleh memuatkan 2-3 orang bertubuh kecil. Ia digunakan untuk jarak dekat. namun ia tidak seimbang dan mudah rebah kalau penumpangnya tidak duduk diam atau jalanraya tidak rata.


5. Meniaga pakai motor


Bagi petani atau pekebun yang menjadikan motorsikal sebagai sumber pendapatan, mereka menyusun dan mengikat hasil tanaman dengan kemas lalu dijaja ke bandar. Tentu anda merasa kagum di atas kehandalan mereka mengimbangi motorsikal dengan barang-barang itu.

Menjaja durian di atas motorsikal di bandar Hoh Chi Minh ini sama macam yang kita lihat di Malaysia, kan?


Sate pun boleh dibakar dan dijual di atas motorsikal. Gambar ini saya rakam di  kawasan Air Terjun Sipiso-piso Indonesia.

Bertandan-tandan pisang disusun dan diangkut menggunakan motorsikal. Kehandalan mengimbangi motorsikal ini membuatkan motorsikal tidak rebah dan pisang tidak pecah atau rosak. Gambar ini saya rakam dalam perjalanan saya dari Brastagi ke Danau Toba, di Indonesia

Handalnya penunggang di Kemboja ini kerana boleh memuatkan macam-macam jenis anyaman buluh di atas motorsikalnya


Adakah anda pernah menyaksikan gelagat pengguna motorsikal yang menarik? Kalau ada, kenapa tak kongsikan dengan saya di sini?

Khamis, 8 Disember 2011

Vietnam | 8 : Raya Korban di Vietnam

Meraikan ibadah korban di Vietnam adalah pengalaman indah yang tidak dapat saya lupakan. Pengalaman ini terlaksana setelah sahabat saya Sayang mengajak saya ke Hoh Chin Minh atau nama lamanya Saigon.  Sayang pernah tinggal di Vietnam lebih lima tahun. Kali ini dia ke Vietnam untuk mengerjakan ibadat korban. 

Di Vietnam terdapat ramai orang Islam. Oleh kerana kebetulan waktu itu saya mengambil cuti panjang dan tiket kapalterbang juga ada dan murah, maka saya pun mengambil keputusan untuk ke sana. Saya menaiki kapalterbang MAS pada 4 November 2011. Tambangnya memang murah ketika itu lebih kurang RM780 sahaja untuk penerbangan pergi balik dari Kuala Lumpur. Hotel telah ditempah oleh Ustaz Yusof iaitu orang Vietnam yang Sayang kenali semasa beliau tinggal di sana. Bersama Sayang ada lagi dua orang yang turut mengikutinya iaitu Kak Gi dan Evi. Jadi kesemuanya kami berempat.

Perjalanan dari KLIA ke Hoh Chih Minh memakan masa kira-kira satu jam setengah. Memang tak lama. Ketika menaiki kapalterbang, kami melintasi ruang udara Terengganu, Laut China Selatan dan Cambodia.

Sesampainya kami di Hoh Chih Minh, kami disambut oleh Ustaz Yusof dan isterinya Fatimah. Mereka orang Vietnam yang amat fasih berbahasa Melayu. Saya kagum kerana mereka tidak pernah datang ke Malaysia tetapi sudah fasih berbahasa Melayu. Beliau belajar bahasa Melayu dari orang Malaysia yang datang ke sana. Hanya dengan berurusan dengan orang Malaysia Ustaz Yusuf dapat menguasai bahasa Melayu dengan baik. Isterinya pula menguasai bahasa Melayu kerana setiap hari mendengar perbualan telefon Ustaz Yusuf dengan orang Malaysia.


 


Kami menaiki teksi terus ke Hotel Gia Huy yang terletak di pusat bandar, berdekatan dengan Pasar Ben Than iaitu pasar yang terkenal di kotaraya Hoh Chin Minh ini. Hotel itu kami berkongsi berempat. Kami perlu membayar RM200 semalam untuk satu bilik. Hotel itu sangat luas dan selesa. TV flatscreen disediakan sebanyak 2 buah. Satu di ruang tamu dan satu di dalam bilik tidur. Internet dan PC disediakan di dalam bilik hotel. Kami tinggal selama 4 malam di hotel ini. 

Pada malam itu kami memberi segala maklumat dan wang kepada Ustaz Yusuf untuk dibeli lembu dan kambing buat korban pada hari Raya nanti. Ustaz Yusuf memasukkan segala maklumat ke dalam iPad beliau. Canggihnya Ustaz ni, ada iPad. Saya sendiri pun tak ada iPad. Menurutnya daging-daging korban akan diagih-agihkan kepada beberapa orang di masjid-masjid dan kampung-kampung tertentu. Sebanyak 50 ekor binatang diamanahkan kepada Ustaz Yusuf untuk dikorbankan. Mereka yang melakukan ibadat ini kebanyakannya dari Malaysia, samada yang tinggal di Vietnam ataupun yang tinggal di Malaysia.

Pada pagi Hari Aidil Adha, Sayang mengajak saya ke Masjid Niamatul Islamiyah. Masjid itu letaknya di Cach Mang Thang Tam. Terdapat banyak masjid di Hoh Chi Minh tetapi yang disarankan oleh Sayang untuk saya merayakan hari Raya Aidil Adha ialah di masjid Niamatul Islamiyah kerana menurutnya, di sini penduduk tempatan ramai ke masjid ini. Dengan ini saya boleh dapat mengetahui cara sebenar mereka beraya. Barulah rasa "lokal" dan rapat dengan masyarakatnya. Memang inilah yang saya suka.



"Penduduk Islam Vietnam peramah dan memuliakan orang luar," kata Sayang pada saya. Masjid yang saya hadiri pada pagi Aidil Adha 2011 ini adalah masjid yang biasa dihadiri oleh golongan muallaf. Mereka gembira melihat kami. Sudah tentu kami ini nampak asing. Mereka nak berbual pun rasa malu, mungkin mereka tak tahu nak guna bahasa apa.

Saya sempat juga ke belakang masjid dan melihat beberapa ekor kambing dan lembu yang bakal dikorbankan. Tempat ambil wuduk, tandas dan bilik mandi ada di bahagian belakang. Setelah mengambil wudhu dan memakai telekung, saya pun duduk bersama-sama dengan jemaah wanita. Merekapun semuanya memakai telekung putih, sama macam kita. Seorang kenalan Sayang hadir di situ, lalu saya bersalaman dengannya. Beliau lalu menyuruh saya duduk di saf depan. Saya rasa dihormati.


Gambar di atas ini adalah antara jemaah wanita Vietnam yang hadir untuk solat Aidil Adha. Sebentar kemudian solat sunat dua rakaat dilakukan. Saya masih ingat lagi surah yang dibaca oleh Imam selepas Al-Fatihah ialah Surah Al-A'la. Selepas solat sunat, Imam membacakan khubah dalam bahasa Vietnam. Sepatahpun saya tidak faham, cuma apabila beliau menyebut beberapa perkataan Arab dan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran barulah saya mengerti sedikit topik khutbah beliau.

Setelah selesai solat sunat Aidil Adha dan khutbah, kamipun bersalam-salaman dan mahu beredar. Namun kami ditahan oleh seorang kenalan Sayang. Dia suruh kami tunggu untuk makan bersama mereka. Kamipun tunggu.

Saya pun melihat ke bahagian dapur. Saya dapati kaum hawa Vietnam sibuk menyediakan makanan untuk dijamu pada hari raya Aidil Adha ini. Berbagai-bagai juadah disediakan. Pagi itu kami belum bersarapan. Hidangan istimewa ini sudah tentu akan memenuhi perut kami yang berkeroncong itu.



Nasi goreng Vietnam akan dihidang sebentar lagi. Buah-buahan Vietnam juga disediakan. Kaum Adam menanti dengan sabar untuk menjamu selera.

Pada mula-mulanya sup atau bubur nasi dihidangkan panas-panas. Wap bubur nasi yang panas itu berkepul-kepul keluar dari mangkuk kecil yang dihidang. Tidak sabar rasanya hendak mencubanya. Tetapi doa dibacakan dahulu oleh pihak kaum Adam di suatu sudut masjid berhampiran dengan dapur.




Bagaikan pucuk dicita ulam mendatang kamipun menjamu selera sebaik-baik sahaja doa habis dibaca. Sup seperti bubur nasi membuka selera. Kemudian saya menyantap nasi goreng, cucur udang dan buah-buahan. Pizza pun ada, tapi saya tak makan sebab sudah kenyang. Alhamdulillah. Selepas perut terisi kami diajak bergambar beramai-ramai. Benar kata Sayang, orang di sini meraikan orang luar. Setelah mengucapkan terima kasih dan Selamat Hari Raya Aidil Adha kami pun beredar. Saya membawa pulang pizza yang diberikan tadi.



Setelah itu saya dan Sayang serta dua orang kawan kami menuju ke rumah Ustaz Yusuf dan Fatimah untuk beraya di sana pula. Untuk ke rumah Ustaz Yusuf dan Fatimah kami perlu menaiki teksi, kemudian melalui pasar-pasar dan celah-celah rumah orang.

Kami disambut dengan senyum lebar oleh tuan rumah. Makanan tradisional Vietnam dimasak oleh Fatimah. Antara makanannya ialah popia basah (ada nama Vietnamnya, tapi saya lupa), keropok, kari ayam, bengkang dan rambutan.



Kami berpeluang melihat anak-anak Ustaz Yusuf membantunya menulis nama-nama orang yang melakukan ibadat korban di atas kad manila. Nama-nama itu dipamerkan di masjid-masjid tempat korban itu dilakukan. Mereka yang melakukan ibadat korban itu juga berpeluang melihat binatang yang dikorbankan samada hadir ke masjid-masjid atau melihat melalui gambar-gambar yang dihantar melalui emel.




Saya berpeluang melihat lembu dilapah di masjid yang terletak berdekatan dengan rumah Ustaz Yusuf dan beraya di rumah jiran-jiran Ustaz Yusuf. Dapatlah saya melihat masyarakat Islam Vietnam dengan lebih dekat. Dapatlah saya melihat kesusahan hidup sebahagian daripada mereka. Meraikan ibadah korban di Vietnam ini adalah kesempatan yang sangat bernilai dalam hidup saya.

"Sesungguhnya Kami (Allah) telah memberi engkau (ya Muhammad) akan kebajikan yang banyak. Oleh itu sembahyanglah engkau pada Hari Raya Haji  dan sembelihlah (binatang) korban" (Al-Kauthar: 1-2).


Vietnam | 7: Ruang Tinggal Yang Sempit Jadi Masalah

Ruang adalah masalah paling ketara di bandar Saigon. Melihatkan kedai-kedai di sepanjang jalan saja sudah cukup untuk memberitahu masalah yang dihadapi penghuninya. Keadaan ruangnya tidaklah melebar dari kiri ke kanan tetapi memanjang ke dalam. Kemudian ia dibina bertingkat-tingkat.

Begitu juga dengan rumah. Ruang tamu dan dapurnya di bahagian  bawah. Di sinilah aktiviti keluarga dilakukan. Motorsikal diletakkan di sini kerana tiada ruang meletaknya di luar. Lagipun kecurian amat mudah berlaku kalau di letakkan di luar. Bilik-bilik tidur pula di tingkat atas.

 

Beginilah keadaan bangunan yang dibina rapat-rapat. Ia meninggi, memanjang ke dalam dan bukan melebar.


Ruang kedainya memanjang  dan sempit. Orang yang berbadan besar tentu ada masalah nak masuk kedai ini.


Keadaan ruang sempit hanya membenarkan peniaga memamerkan barang-barang yang kecil dan sedikit.


Ruang depan hotel juga sempit, memanjang ke dalam dan tidak melebar.
 

Inilah kawasan perumahan yang laluannya hanya muat untuk sebuah kereta. Sekiranya dua kereta bertembung, salah satu kereta kena masuk ke laluan lain atau ke tepi. Pemandu di sini juga cekap mengundurkan (reverse) kereta mereka.


Lorong yang sempit hanya dapat dilalui oleh sebuah motorsikal.
 

Ruangan yang sempit juga membuatkan rumah jadi tempat jualan.


Motorsikal disimpan di ruangan dapur dalam rumah. Untuk membeli sebuah rumah begini memerlukan wang US$150,000 dan perlu dibayar TUNAI!

 

Keadaan rumah yang sempit, harga rumah yang mahal membuatkan orang di kota Saigon berniaga kecil-kecilan.


Lagak peniaga cermin mata ni tidak dapat kita lihat di tempat kita.


Nampaknya orang Vietnam suka berniaga.


Mengandar jualan begini masih lagi dilakukan.


Penyelesaian kepada ruang sempit ini - mereka lepak di taman. Dari jauh tamannya kelihatan cantik. Tapi awas! Belukar dan belakang pokok adalah tempat mereka membuang air kecil. Saya pernah terpandang seorang lelaki melakukan perbuatan tak senonoh ni..siang hari pulak tu.


Vietnam| 6: Shopping di Pasar Ben Tanh

Kebanyakan bandar raya ada pasar tumpuan ramai. Di bandar Hoh Chi Minh (Saigon) ini Ben Tanhlah tempatnya. Ia  terletak di tengah-tengah bandar dan berdekatan dengan kebanyakan hotel.


Inilah pasar Ben Tanh yang letaknya tidak jauh dari hotel saya  menginap. Gambar ni saya ambil dari tingkap hotel.

 
Keluar saja dari hotel sudah ada peniaga yang meminta saya membeli jualannya. 


Buah susu ini tak ada di Malaysia. Ini pertama kali saya melihat dan memakannya. Rasanya lemak, manis seperti susu.

Buah susu: gambar tangkap dekat.



Ada peniaga yang bermotosikal. Durian ni tak boleh lawan durian Perak, Balik Pulau, malah buah durian yang gred rendah sekali kat Malaysia pun masih menang. Durian Vietnam ni rasanya manis saja...tak ada rasa lemak.

Abang Beca di tengah jalan.
Abang Beca mengayuh beca sambil menelefon. Punyalah banyak beca dikayuh tapi tak ada pulak penumpang naik.


Jual buah

Yang perempuan menjual buah nona, epal Vietnam, ciku, buah naga, dll. Epal Vietnam ni pula lain rasanya, bukan macam epal yang biasa kita makan. Rasanya macam buah pear, ada biji besar di dalam. Epal ni saya beli bawa balik Malaysia. Dapatlah adik-beradik merasanya.
 
Mempelam

Buah mempelam banyak terdapat di sini. Kalau nak beli jangan beli yang besar-besar begini, "Yang besar tak berapa elok. Belilah yang bersaiz kecil," kata Fatimah, kawan Vietnam saya.

Fatimah fasih sangat-sangat berbahasa Melayu. MashaAllah. Dia tak pernah sampai Malaysiapun. Dia "pick up" bahasa Melayu dari suaminya yang tiap-tiap hari berurusan dengan orang Melayu. Suaminya pun tak pernah ke Malaysia. Disebabkan tiap-tiap hari suaminya bercakap di telefon dalam bahasa Melayu, Fatimah pun 'pick up' di situ.

Tidur tengahari di tepi jalan adalah kebiasan orang di sini.

Pelbagai jenis nasi dan pulut dijual. Macam-macam warna.

                                        Roti Peranchis ini adalah pengaruh dari pemerintahan Peranchis di sini.

                                                                                  Roti Peranchis ni tentu sedap kalau ia halal.
Pasar Ben Tanh dari depan.
 Bunga segar digubah indah dan dijual di luar pasar Ben Tanh.
Patung-patung kecil, bot-bot kecil dan beca adalah ikon Hoh Chi Minh.

Key chain, fridge magnet

Dalam pasar Ben Tanh terdapat macam-macam barang. Dari lukisan, kraftangan, kain, baju sehinggalah makanan. Di sini aku beli magnet peti sejuk (fridge magnet) dan rantai kunci (key chain). Murah je.

Kala jengking berbisa dijadikan ubat.

Lukisan sudah menjadi seni yang dikomersialkan. Ada lukisan yang dibuat daripada kulit telur.

Kena pandai tawar

Tempat ini tumpuan pelancong. Tawarlah barang yang anda beli sehingga separuh daripada harga yang diletakkan.

Tarik menarik tangan di antara peniaga dan pembeli berlaku di sini kerana peniaga ingin sekali kita membeli. Saya diperlakukan begini. Mula-mula mereka membelek-belek baju saua dengan jari lalu menolak  saya ke dalam bazar. Seorang lagi menarik tangan saya. Terperangkaplah saya di dalam bazar, tak boleh keluar selagi saya tak beli. Saya pun beli 2 helai blaus. Harganya taklah mahal...sebab saya tawar bagai nak rak. Dalam belasan ringgit je.

Kotak-kotak kayu adalah seni kraf yang digemari ramai.

Kain ela kapas

Kain ela berjenis kapas amat murah di sini. Ramai juga peniaga yang fasih berbahasa Melayu. Kagumnya saya. Mereka tak pernah datang Malaysia pun. Mereka belajar bahasa Melayu dari pelanggan sehingga mereka fasih. Ini menunjukkan bahasa Melayu bahasa lingua-franca. Bahasa perniagaan. Ini juga menggambarkan orang Malaysia suka membeli-belah di sini.

Peniaga di sini sukakan orang Malaysia datang membeli sehingga memaksa kita. Pernah juga mereka meminta duit seringgit daripada saya. Kata mereka "untuk kenang-kenangan." Kalau mereka dapat seringgit daripada setiap orang Malaysia yang datang tentu mereka untung kan? Saya dah kena.

Dalam pasar juga buah-buahan ada dijual.