Tagline

A Blog About Traveling Around The World From The Lens and Eyes of A Malaysian-Muslim Woman

Select Your Preferred Language


Select Your Preferred Language
BAHASA MELAYU | ENGLISH

Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini

Adsense



Ahad, 12 Ogos 2012

KEMBARA SOLO KE XI'AN [3]: Bazaar Ramadhan dan Dugaan Berpuasa di Xi'an


H ari pertama saya di Xi'an saya penuhi dengan menjejak destinasi utama saya iaitu Lorong Muslim (Muslim Street). Jadi dalam entri kali ini saya hendak ceritakan tentang kisah saya mencari Lorong Muslim dalam bulan Ramadhan dua minggu lalu. Adakah saya berjaya menjejakinya dalam keadaan cuaca panas membara dan sedang berpuasa pula tu? Apakah dugaan-dugaan yang saya hadapi? Jadi teruslah membaca ruangan ini sehingga habis.

Petang itu saya ke kaunter hostel saya dan meminta untuk menyewa basikal ke Lorong Muslim. Tetapi tidak dibenarkan kerana menurut mereka ketika itu waktu kemuncak dan sesak, mereka takut berlaku kesusahan pada saya. Jadi tidaklah dapat saya berbasikal. Mereka suruh saya jalan kaki sahaja. Kata mereka cuma 30 minit berjalan kaki. 


Tembok yang mengelilingi kota Xi'an

Pagar Tembok Kota Xi'an


Menjejak Lorong Muslim


Berpandukan arahan mereka dan peta yang tidak lengkap yang diberi, sayapun berjalan kaki menjejak Lorong Muslim. Tetapi setelah berjalan saya dapati saya sudah silap faham. Saya tak jumpa yang dicari. Yang saya jumpa tembok yang membentengi bandar ini. "Oh inilah dia Tembok Kota (City Wall) yang sebelum ini saya baca!" Seronok juga dapat tengok tembok ini dengan tak sengaja.

Tembok ini mengelilingi Bandar Xi'an yang berbentuk empat segi. Ia telah dibina sejak zaman Maharaja Tang (618 - 907) lagi. Tujuannya sama seperti pembinaan Tembok Besar China iaitu untuk pertahanan kota ini.

Tidak lama kemudian saya dapati saya berada di Stesen Bas Shaanxi. Lalu saya bertanyakan pekedai di situ kedudukan Lorong Muslim. Pekedai itu memberitahu saya supaya menaiki bas nombor 611. Sayapun ambil bas itu dengan tambang cuma 1 yuan saja (RM0.50). Murahnya!!!

Stesen bas Shaanxi


Naiklah bas. Bas pergi agak jauh. Saya masih tak jumpa-jumpa Lorong Muslim itu. Saya mula phobia sebab semalam saya dah terlajak jauh semasa menaiki bas ke Beijing West Station. Saya pun turun. 

Berpandukan peta di tangan, saya pun menapak. Sambil menapak itu saya bertanya-tanyakan orang di tepi jalan, "Di mana Lorong Muslim?" Payung saya kembangkan untuk mengurangkan panas. Memakai payung adalah kebiasan di China, tidak kira lelaki atau perempuan. Ini disebabkan cuaca terlalu panas. Peluh meleleh-leleh di seluruh badan. Puasa pulak tu! Hebatnya dugaan saya.

Taman di tengah-tengah kota Xi'an


Bila penat berjalan, lepak sekejap di taman ini.


Sambil berjalan kaki itu dapatlah saya melihat bandar Xi'an. Besar juga bandar ini. Sambil-sambil itu saya window shopping. Sempat juga saya merembat dua biji keronsang yang bermutu baik. Harganya murah. Sebiji harganya 10 yuan (RM5)  Menyesal pulak tak beli banyak.

Saya dapati di Xi'an kos kehidupannya lebih rendah berbanding Beijing. Harga barang dan makanan pun lebih murah.

Restoren Pizza Hut yang bersenibina China


Langkah demi langkah saya berjalan sendirian. Hanya ditemani dengan Sang Suria yang panas membakar. Akhirnya saya sampai juga ke Lorong Muslim setelah badan saya bermandikan peluh dan tekak saya kering. Nampak jelas pintu gerbang Lorong Muslim dan ada batu bertulis tentang sejarah tempat itu. Alhamdulillah.

 

 

Bazaar Ramadhan di Lorong Muslim


Bestnya dah sampai sini! Di Lorong Muslim ada banyak kedai dan gerai. Yang menariknya semua peniaganya orang Islam. Wanitanya ada yang memakai hijab ada yang tidak. Lelakinya pula ada yang memakai kopiah putih dan berjanggut. Papantanda kedai dan gerai tertulis dengan kalimah Allah dan halal. Senangnya hati melihat suasana begini.

Ramai pelancong tempatan dan luar berada di situ. Masing-masing membawa kamera dan menangkap gambar di hadapan kedai dan lorong-lorong. Pelancong tempatan pun tangkap-tangkap gambar jugak.


Orang ramai mengunjungi Lorong Muslim


Gerai-gerai menjual makanan banyak di tepi jalan. Macam Bazaar Ramadhan di Malaysia pulak. Tetapi suasana di sini tentulah berbeza.


Ini murtabak Xi'an (istilah saya). Di dalamnya berintikan daging dan sayur-sayuran seperti kucai dan tauge. Saya beli sekeping yang berintikan sayur untuk makan berbuka. Sedap juga.

Kuih-muih orang Islam Xi'an

Brother ini menjual putu bambu/putu piring Xi'an. Toppingnya kacang hitam, kacang tanah dan gula. Sayapun beli. Rasanya manis.Ada juga topping warna merah macam strawberi.


Peniaga-peniaga di situ suka melihat saya dan memberi salam kepada saya. (Agaknya saya ni nampak jelas orang Islam pada pandangan mereka, yelah pakai tudung, kan?). Semuanya boleh mengagak yang saya orang Malaysia. Ini menunjukkan bahawa sudah ramai orang Malaysia datang ke sini. Lalu mereka mengajak saya membeli makanan dan minuman mereka. Oleh kerana ketika itu masih awal untuk berbuka saya memberitahu mereka, "Wo fung chai. Da bao." (Maksudnya, "Saya puasa. Bungkuskan.").

Mendengarkan saya berpuasa salah seorang peniaga di situ memberi saya air jus. Saya tanya, "Tuo shao shien?" (Maksudnya berapa harganya?). Dia kata, "Mian fei" (percuma). "Ini khas untuk orang berpuasa." Lalu dia tunjuk tulisan di dinding di belakangnya yang menyatakan minuman itu khas untuk orang berpuasa. Saya pun tengok tulisan itu. Macamlah saya faham sangat. Saya bukankah buta huruf?

Gembiranya saya dapat minuman percuma. Minuman itu saya tak tahu namanya. Warnanya hitam pekat. Bila berbuka saya minum, rasanya masam-masam manis. Air jus buah-buahan kering kot.

Sayapun bertanyakan bila waktu berbuka. Diapun memberitahu pukul 7.55 petang dan memberi saya jadual iftar dan imsak yang diterbitkan oleh persatuan Islam di situ.

Sambil itu saya bertanyakan kepada mereka, "Di mana Masjid Besar?" Mereka menunding jari ke arah kanan. Tetapi apabila saya cari saya tak jumpa. Bila saya tanya orang lain mereka tunjuk ke kiri. Itu yang tak jumpa-jumpa tu. Ada tunjuk kanan. Ada tunjuk kiri. Saya pun keliru. Lagipun tak faham bahasa.

Pada sekitar pukul 6.30 petang, kedengaran ayat-ayat suci Al-Quran dibaca oleh Qari dari CD yang dipasang kuat melalui speaker. Rasa tenang jiwa mendengar ayat-ayat suci ini diputarkan kuat-kuat begitu di lorong-lorong di negara yang bukan di bawah pemerintahan Islam. Suatu keistimewaan yang jarang berlaku. Agaknya dalam bulan puasa saja kot?


Kuih manis ini saya beli sebiji. Saya tanya, "Kuih ni nama apa?". Akak berbaju biru tu sebutlah nama kuih itu yang panjang berjela. Akak tu ajarlah saya macam mana nak sebut. Saya  ikutlah sebutan itu. Tapi tak dapat-dapat. Sayapun dah lupa nama kuih ini. Banyak makan semut kot.

Cewah..baik punya posing! Kuihnya saya tak beli. Ambil gambar saja. Brother ni tak kisahpun.

Buah-buahan kering, kurma kering dan kacang walnut dijual dengan banyak di sini. Kakak yang bertudung merah itu suruh saya simpan beg duit baik-baik dan suruh saya simpan kamera, takut nanti kena curi. Mahmud Chen pun dah pesan begini pada saya.




Dugaan berpuasa di Xi'an 


Berpuasa di Xi'an banyak dugaannya. Ini disebabkan Ramadhan di sini kelihatan sama seperti bulan-bulan lain. Dugaan berpuasa di Xi'an adalah:
1. Ada juga peniaga Islam di situ tidak berpuasa. Mereka menjual sambil merokok secara terbuka tanpa segan silu.

2. Saya menyaksikan maksiat berlaku walaupun pada bulan Ramadhan. Ada orang Xi'an bermain terup dan berjudi di tepi-tepi jalan. Tetapi bukan di Lorong Muslim. Saya rasa  mereka kafir. 

3. Saya melihat pergaduhan (perang mulut) di antara lelaki dan wanita di tepi-tepi jalan (juga bukan di Lorong Muslim). 

4. Cuaca panas membahang, peluh meleleh-leleh membasahi seluruh badan, tekak terasa TERAMAT kering.

5. Siang lebih panjang daripada malam. Jangkamasa berpuasa lebih lama. Waktu imsak pukul 4.15 pagi. Waktu terbit matahari (syuruk) pukul 5.15 pagi. Waktu iftar 7.55 malam.

Kedai busana muslim di Lorong Muslim


Selain daripada makanan, busana muslim dan tudung juga dijual. Sempat juga saya merembat tiga helai tudung bawal bersulam. Sehelai 30 yuan (RM15). Baju berseluar 90 yuan (RM45) sepasangpun saya rentap. Tudung jenis Arini di sini pendek-pendek. Jadi belilah tudung bawal, labuh sikit dan senang nak diubahsuai.

Pintu Gerbang Lorong Muslim


 

Iftar di Lorong Muslim


Apabila penat berjalan di sekitar lorong Muslim itu sayapun berehat di bangku di dataran di situ. Sayapun menunggu waktu berbuka yang hampir tiba. Semasa saya di bangku itu ada seorang wanita Islam warga emas duduk di situ dan mengajak saya berbual-bual tetapi disebabkan saya tidak berapa faham jadi perbualan itu tidaklah serancak mana. Beliau memakai tudung. Saya cakap sepatah sepatah macam budak belajar bercakap. Saya tidak tahu bahasa China tetapi dengan bahasa tubuh dan memahami satu dua perkataan sudah memadai untuk memahaminya. Saya rasa ini anugerah yang Allah telah berikan kepada insanNya.

Pukul 7.55 malam masuklah waktu iftar. Setelah berbuka dengan buah kurma, air jus yang diberi percuma kepada saya tadi dan kuih-muih yang saya beli di Lorong Muslim tadi saya pun mencari Masjid Besar, tetapi masih tak jumpa-jumpa. Saya niat solat jamak takhir.

Yang saya jumpa ialah Menara Gendang (Drum Tower). Sayapun ke Pusat Informasi Pelancong yang ada berdekatan dengan kawasan itu. Ia masih dibuka. Lalu pegawai di situ memberitahu saya. Oleh kerana hari sudah malam dan gelap saya bercadang untuk mencarinya pada keesokan hari.

Kedai di Lorong Muslim pada waktu malam


Dapatkah saya berjumpa Masjid Besar Xi'an? Nak tahu? Teruskan membaca Nota Kembara Solo saya di Xi'an dalam entri akan datang. Selamat Berpuasa.

...bersambung...
Baca kisah kembara selepas ini: 

Baca kisah sebelumnya di bawah ini:

8 ulasan:

  1. wahhh prof... dah ada sedikit perkembangan la...dah pandai ckp sket tu... tahniah ye.mana prof beljar tu.share la dgn saya.nanti saya nak pegi sennag sket... atleast yg bazic pun dah ok...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Saya tahu sikit-sikit je bahasa China. Basic je. Dah terpaksa. Kalau tidak susah untuk berkomunikasi. Saya belajar dengan kawan-kawan di sini, kebanyakan mereka student di CUC, BISU, BEIYU. Ada yang tolong dgn cara SMS, telefon, tulis, rakam suara, etc. Disamping itu saya tengok-tengok kat internet. Boleh share eKa, tak ada masalah.

      Padam
  2. Prof..inilah satu satunya tempat yang ingin sya pergi..saya teringin nak beli makan dan makan di situ..insyallah kalau ada offer Air asia nanti say sampai..paling dekat nak ke sini kita mesti kena ikut Beijing ke Shenzen

    BalasPadam
    Balasan
    1. NEKCIK, memang best pergi sini. Masa di Xian, tiap-tiap petang saya ke sini. Beli makanan halal. InsyaAllah NEKCIK akan sampai ke sini :)

      Padam
  3. Kat china ni, dia byk pakai bahasa mandarin ke kantonis prof....

    BalasPadam
  4. Kayrol, mereka banyak pakai bahasa Mandrin, kecuali di Xinjiang. Orang Xinjiang ada bahasa mereka sendiri. Kantonis banyak guna di Hong Kong.

    BalasPadam
  5. gambar pakcik yg bergaya sakan posing tu sama la cam dalam gambar blog Fatt part 7 cuma beza dalam blog Fatt pakai kopiah hehehehee... seronoknya kalau dpt gi Xian...bila la dpt gi..:D

    BalasPadam
    Balasan
    1. Hulubalang,
      Betul betul betul pakcik yang sama. Kebetulan. Cuma masa yg Fatt pergi tu musim sejuk, jadi fasal tu dia pakai kopiah. Saya pergi musim panas, pasal tu dia tak pakai kopiah kot... he he he...Nanti kalau Hulubalang pergi sana, carilah pakcik ni...ambik gambar dia pulak...he he he

      Padam

Kini giliran anda pula untuk memberi pandangan/ulasan.

Ulasan tanpa nama akan dipadamkan.