Tagline

A Blog About Traveling Around The World From The Lens and Eyes of A Malaysian-Muslim Woman

Select Your Preferred Language


Select Your Preferred Language
BAHASA MELAYU | ENGLISH

Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini

Adsense



Jumaat, 14 Jun 2013

Dua Hari di Yogyakarta: Kota Sejarah, Budaya dan Pelancongan

S etelah Surabya dan Bandung kami melebarkan sayap ke Yogyakarta pula. Perjalanan kami di Pulau Jawa ini adalah satu pengalaman menimba ilmu. Ini adalah pertama kali kami sekeluarga berpeluang menjejakkan kaki di Yogya.

Yogyakarta menurut beberapa sumber adalah nama dalam bahasa Sanskrit yang diambil dari nama kota dalam epik Ramayana iaitu Ayodhya manakala 'kerta' bermaksud makmur. Dalam sebutan harian, Yogyakarta disebut Jogja. Banyak sejarah terdapat di Jogja dan ia terpamer melalui bangunan dan sosio budaya masyarakatnya. 

Terdapat banyak pusat seni dan budaya di Jogja. Garin Nugroho iaitu sutradara filem terkenal Indonesia berasal dari Jogjakarta. Antara filem beliau yang saya minati ialah Daun Di Atas Bantal, Rindu Kami Padamu dan Cinta Dalam Sepotong Roti.

Jogja juga adalah kota Pariwisata iaitu ia adalah pusat pelancongan utama Indonesia selepas Bali.

Peta lukis batik



Jangan marah kalau saya katakan bahawa ekskursi kami sekeluarga di Yogyakarta ini adalah GRATIS! Percuma lagi! He he he. Seronok, kan? Mengapa gratis memanjang ni? Ini kerana saya mempunyai pelajar dari Pulau Jawa yang dahulunya belajar di Malaysia, tetapi kini sudah bekerja di Indonesia. Demi meraikan kehadiran saya dan keluarga  saya yang pertama kali menjejakkan kaki di bumi Jawa ini mereka telah membuat jadual lawatan yang menarik untuk kami. Semuanya mereka sediakan. Kami tidak perlu fikir-fikirkan. Oleh kerana mereka sibuk bekerja dan tidak dapat bercuti untuk menemani kami, mereka sediakan pemandu wisatanya sekali. Tengok betapa bagusnya budi pekerti orang Jawa ini, mereka tidak lupa mengenang guru mereka.


Lion Air yang kami naiki dari Bandung ke Yogyakarta



Untuk ke kota bernuansa sejarah, budaya dan wisata ini kami menaiki Lion Air dari Bandung ke Surabaya. Lion Air inipun mereka dah siap tempah dan bayarkan tambangnya sekali. Kalau kami tempah sendiri dari Malaysia agar sukar. Terma dan syaratnya agak memeningkan kepala juga. Kami berangkat pada pukul 14.30 dan sampai 15.30. Dari atas kapalterbang kami sudah dapat melihat tapak-tapak candi di sekitar kawasan kami mendarat itu yang telah dibina beratus-ratus tahun dahulu. 



Sampai di Jogja

Iklan cokolat buatan Jogja yang terdapat di lapangan terbang


Menanti bagasi


Mas Totok sambut kami di lapangan terbang. Mas Totok menyangka kami tidak sampai kerana kami keluar dari lapangan terbang itu agak lewat. Ini disebabkan kami menunggu beg kami sampai dan kemudiannya solat di musala di situ.



Mas Totok menceritakan banyak tentang sejarah Yogyakarta, penglestarian bahasa Sanskrit dan hubungan di antara orang Malaysia dan Jawa. Mas Totok banyak menggunakan bahasa Melayu apabila berbual dengan kami kerana beliau sering ke Malaysia. Banyak ilmu yang kami dapat dari Mas Totok. Lagi satu ilmu yang kami dapat daripada Mas Totok ialah beberapa petua memasak. Rupa-rupanya Mas Totok ini pandai memasak! Kepandaian memasak beliau diketahui dalam kalangan orang yang rapat dengannya sehinggalah beliau pernah diundang memasak kenduri kahwin di Johor, Malaysia. Kagum!


Mas Totok mahir tentang sejarah Jojgjakarta dan juga pandai memasak





Jamu Selera di Yogya


Semasa di Yogjakarta kami makan malam dan tengahari di dua buah restoren iaitu:


a) Resto Sekar Kedhaton



Sekar Kedathon adalah restoren yang cukup eksklusif dan bernuansa sejarah. Ia mempunyai ciri-ciri senibina kraton dan pengaruh penjajahan Belanda. Letaknya di Jalan Tegalgendu No 28, Kotagede, Yogyakarata. Menikmati makan malam di sini membuat saya rasa seperti 'mem' pula kerana dilayan oleh pelayan yang sopan dengan lampu-lampu yang malap dan duduk di kerusi antik. Menu yang popular di sini ialah Mie Jawa. Tetapi Mie Jawanya tidak sama dengan Mie Jawa di Malaysia, ya.



Dewan makan Sekar Kedhaton


Kangkong goreng belacan


Mie Jawa





b) Rumah Makan Duta Minang


Di Duta Minang sudah tentulah masakan Padang dihidangkan. Ia sesuai dengan selera kami. Ini disebabkan masakan Minang ini banyak persamaan dengan masakan tradisional Perak. Lagipun jiran kami di Perak ialah orang Minang, jadi sejak kecil tekak kami sudah biasa makan makanan tradisional Minang.



Rendang ayam, rendang sapi, terong masak berlado, gulai lemak sotong, ikan berlado, kangkong goreng dihidang dengan banyak di Rumah Makan masakan Padang  ini. Tapi kami sudah pesan awal-awal pada Mas Totok jangan dihidangkan banyak-banyak. Tak larat hendak memakan semuanya. Di hari-hari biasa kami makan nasi dengan dua jenis lauk sahaja sama ada ikan atau daging dan sayur. Kami rasa sedih dan membazir sahaja kalau makanan yang dihidang terlalu banyak. Tetapi inilah kebiasaan yang dilakukan oleh semua Rumah Makan Minang/Padang di serata Indonesia. Penuh makanan satu meja, sedangkan bilangan orang yang memakannya cuma dua tiga orang sahaja.


Hidangan mewah Duta Minang


Alamat Duta Minang




Menginap di Hotel Santika


Selama dua hari di Jogja kami menginap di Hotel Santika di Jalan Jendral Sudirman No. 19. Hotel ini amat selesa dan cantik. Pada waktu pagi kami dapat menyaksikan matahari terbit dari jendela bilik tidur. Sarapan pagi di Hotel Santika amat unik kerana ia menyediakan masakan tradisional Jogja dan dihidangkan pula dengan cara tradisional. 



Hotel Santika


Hotel Santika menyajikan hidangan asli Jogjakarta

Matahari terbit kelihatan dari jendela bilik di Hotel Santika





Candi-candi Warisan


Terdapat banyak candi di Jogjakarta. Ada yang sudah runtuh dan sedang dibaikpulih untuk dijadikan tarikan pelancongan. Antara candi yang terkenal dan mendapat pengiktirafan UNESCO sebagai Warisan Dunia ialah Prambanan dan Borobudur.


a) Prambanan



Prambanan adalah candi Hindu tetapi sekarang ia tidak digunakan lagi. Ia telah beberapa kali rosak dan dibaikpulih. Ini disebabkan oleh gempa bumi yang sering melanda di Jogja. Tetapi kami tidaklah masuk ke dalam candi itu, hanya melihat dari luar. Sebenarnya kami sekeluarga tidak suka melawat tempat-tempat begini. Setiap kali kami melihat tempat ibadat orang kafir, kami lihat suasana di situ gelap dan suram. Ia membuatkan perasaan kami gelisah dan hendak cepat-cepat sahaja beredar dari situ. Mas Totok juga tidak menggalakkan kami masuk kerana sebagai orang Islam kita tidak seharusnya berbuat demikian. Kami amat memuji sikap Mas Totok ini yang walaupun bekerja sebagai pemandu pelancong yang membawa pelancong ke candi beliau memegang teguh ajaran Islam dan memahami batas-batas seseorang Muslim.



Saidina Umar bin Al-Khattab r.a berkata dalam sanad yang sahih:

"Janganlah kalian memasuki tempat ibadat orang kafir semasa perayaan mereka, kerana kemarahan Allah akan turun kepada mereka ketika itu."




Runtuhan candi Prambanan. Walaupun ada sebahagian candi ini rosak dan runtuh serta tidak digunakan namun pada hari-hari tertentu ada orang Hindu datang ke situ untuk meraikan acara keagamaan.

Jiwa kami menjadi keruh, muram dan resah-gelisah melihat kuil lalu segera meninggalkan tempat ini





Kedai ole-ole Jogjakarta di kawasan Wisata Candi Prambanan. Tetapi hati-hati banyak pakaian dan fridge magnet di sini mempunyai gambar candi yang tidak boleh dipakai/diguna oleh orang Islam.




b) Borobudur




Borobudur adalah candi Hindu/Buddha yang telah ditinggalkan. Ia tidak lagi digunakan sebagai kuil untuk acara keagamaan Hindu/Buddha tetapi dijadikan warisan untuk diketahui oleh generasi hari ini dan akan datang bahawa agama Hindu/Buddha pernah bertapak di Pulau Jawa ini.



Terdapat terlalu banyak candi-candi yang berbentuk loceng di sini. Ini membuat saya lebih mengerti bahawa Islam amat melarang kita menyimpan loceng di rumah kerana ia adalah alat ibadat orang kafir.

Candi/kuil (dan gereja) ialah salah satu tempat penyekutuan Allah, tempat menyebarkan perkara-perkara syirik dan di dalamnya terdapat loceng sehingga merupakan tempat yang paling jauh daripada keredhaan Allah serta yang paling dijauhi malaikat, sementara syaitan datang menghiasinya.

Abu Huraiah r.a mengatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
"Loceng itu adalah seruling syaitan." (Hadis sahih ditakhrijkan oleh Ahmad, Muslim dan Abu Daud) 

Abu Hurairah r.a. mengatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda: 
"Malaikat tidak akan menemani sekelompok manusia di tempat yang di dalamnya terdapat anjing atau loceng." (Hadis sahih ditakhrijkan oleh Ahmad, Muslim, Abu Daud dan Tarmizi)

Ummu Salamah mengatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda:


"Malaikat tidak akan memasuki rumah yang di dalamnya terdapat loceng. Malaikatpun tidak akan mendampingi orang yang di tengah-tengahnya terdapat loceng." (Hadis riwayat Abu Daud dan Nasai)


Di atas bukit terdapat satu bangunan berbentuk loceng yang digunakan untuk pengikut Hindu/Buddha mengelilinginya kerana percaya bahawa ia membawa mereka ke nirvana. Mereka mengeliling bangunan loceng itu mengikut arah jam. "Kita orang Islam jangan mengelilingi bangunan itu ikut arah jam. Begitu juga janganlah kita tawaf," kata pemandu wisata kami yang menggantikan Mas Totok. Kata-katanya itu mencerminkan dia mempunyai pengetahuan Islam yang baik.



Kami hanya melihat candi ini dari luar dan tidak masuk ke dalam bangunannya. Menyedari bahawa melawat candi adalah makruh, dan ia menjadi haram sekiranya ada upacara keagamaan diadakan, kami hanya melihatnya untuk mengetahui senibina purba serta sekadar untuk mengetahui sejarah agama yang pernah bertapak dan berpengaruh di nusantara.


Karya sutradara Garin Nugroho




Tugu Yogyakarta


Tugu Yogyakarta adalah mercu tanda kota Yogyakarta. Ketika kami melalui tugu ini yang letaknya di tengah-tengah bulatan jalan (round-about) ia sedang dibaikpulih.


Tugu Jogja yang sedang direnovasi



Malioboro

 
Malioboro ialah jalan perniagaan yang popular di Jogja. Terdapat banyak kedai-kedai dan pengangkutan awam di sini seperti kereta kuda, beca, bas dan teksi. Oleh kerana kami kesuntukan masa, kami tidaklah singgah di kedai-kedai ini tetapi lalu sahaja.


Kereta kuda di Malioboro
Banyak beca di pinggir jalan





Kilang Batik Rara Djonggrang




Siapa yang tidak mengenali batik. Seni kerajinan tangan ini mudah didapati sekiranya kita berada di Yogyakarta. Ia satu hasil seni yang amat dibanggakan di Indonesia. Tahukah anda bagaimana batik ini dibuat?



Menyaksikan batik dilukis, dicetak, dicanting dan dicelupkan adalah satu pengalaman yang menarik buat kami sekeluarga. Kami dapat saksikan ia di kilang Batik Rara Djonggrang yang terletak di Tirtodipuran No 18.



Terdapat banyak motif batik dipamerkan sebagai pilihan. Terdapat pelbagai nama bagi setiap motif itu seperti Kesumo, Truntum Gurdo, Ceplok Kawung, Delimo Drajad, Pisang Bali, Buntal Melati, Kopi Pecah dan macam-macam lagi. Kebanyakannya bermotifkan alam semulajadi seperti bunga-bungaan, buah-buahan, pohon-pohon dan binatang. Kesemuanya mempunyai makna yang tersendiri. Misalnya Truntum Gurdo adalah motif batik klasik yang mempunyai ciri-ciri burung garuda iaitu sayap, ekor dan kepala. Ia adalah lambang kegagahan. 




Bahan-bahan semulajadi dari alam adalah kandungan utama untuk membuat celup dan ini dipamerkan di kilang ini. Kami berpeluang melihat motif batik ini dilakarkan, dicap dan dicanting. Kemudian ia dicelup, dibasuh dan dijemur.




Batik-batik yang sudah siap dijual di bahagian jualan. Kami hanya membeli sehelai dua kain batik untuk dibawa pulang. Istimewanya batik ini ialah ia dilukis/dibuat dengan tangan, motifnya amat unik, warna celupnya tidak luntur dan kainnya halus serta lembut.


Dilukis


Dicap

Dicanting



Dicelup


Disusun diseragam



Dipamer, dijual






Dihias


Begitulah pengalaman menarik kami di Jogja.


11 ulasan:

  1. Assalam NA,
    Itulah sebabnya saya belum sampai lagi ke Jogja atau Siem Reap. Saya memang kurang selesa dengan tempat ibadat orang bukan Islam ni. Begitu juga dengan Bangkok dan Bali yang begitu hardcore dengan fahaman agamanya.

    Mas Totok pernah masak di Johor... Entah2 kat kampung saya... hehe

    BalasPadam
    Balasan
    1. Waalaikumusalam Mie,
      Kalau ke Jogja atau Bali tak usahlah melawat ke tempat ibadat orang kafir ni. Jiwa kita tentu gelisah dan tak suka melihat tempat begini. Pergilah ke pantai, air terjun, taman atau tempat kesenian.

      Semasa saya ke Jogja ini, anak murid saya tidak tahu yang saya dan keluarga tidak suka melawat kuil, jadi dia dah masukkan dalam jadual lawatan, saya pula tidak memberitahunya tentang itu. Jadi selepas itu semasa kami ke Bali dan Lombok kami berterus terang kepada anak murid saya supaya mereka memahami fahaman Islam kami. Hasilnya selepas itu tiada lagi lawatan begini dibuat.

      Ha ha ha Mas Totok mungkin memasak kenduri di kampung Mie...mungkin Mie dah kenyang makan masakan Jawanya :)

      Padam
  2. Matlamat tidak menghalalkan cara saya suka cara prof berdakwah melalui blog pelancongan ini berbeza dengan blog-blog yang biasa saya lawati..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih Ummu-razy. Semoga entri ini dapat diterima dengan fikiran yang terbuka oleh pembaca.

      Padam
  3. banyak betul aktiviti akak buat dalam satu hari, tinggal pulak dekat hotel yang best, makan pun best, baik sungguh anak murid akak. untungnya jadi seorang pendidik :)

    BalasPadam
    Balasan
    1. Tidaklah banyak tempat dapat pergi sebab kami di sini sekejap sahaja. Tapi aktiviti itu agak padat sikit. Ada tempat-tempat yang nak pergi tak dapat pergi. Hotel tu best dan makanannya pun best. Memang baik anak murid saya ni, memang orang Jawa amat memuliakan tetamu dan guru. Saya nak bayarkan semua ini tapi mereka menolak. Alhamdulillah ada juga anak murid yang mengenang saya :)

      Padam
  4. Assalamualaikum Prof,

    I've to admit that entry Prof kali ni betul-betul membuka minda saya. InsyaAllah will spread and share the same knowledge with my friends as well. Kadang-kadang kita terlepas pandang dan tak cuba untuk ambil tahu, mendalami tentang sesuatu perkara. Mujur Prof ada highlight mengenai di sini.

    Once again, terima kasih atas penerangan Prof dalam entry kali nie. InsyaAllah saya akan lebih berjaga-jaga while travelling dan pesanan prof tue akan saya ingat.

    Will be travelling to Bali too this upcoming Feb. Akan cuba utk mengikut nasihat yang diberikan.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Waalaikumusalam Zaraab,
      Salah satu tempat yang biasanya termasuk dalam acara lawatan kita di luar negara ialah melawat tempat-tempat ibadat. Jadi kalau tempat ibadat itu untuk orang bukan Islam elok kita jangan masuk. Tetapi kadang-kadang oleh kerana sikap malas saya, ambil ringan sahaja dan lemahnya iman saya, maka saya terperangkap. Jadi eloklah kita sama-sama ambil ikhtibar daripada entri ini.

      Terima kasih kerana menerima pandangan dalam entri ini dengan fikiran terbuka.

      Padam
  5. Mengenal budi orang jawa .? Menarik tulisannya prof..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Orang Jawa amat cakna dan mengenang budi. Kita patut contohi sikap mereka.

      Terima kasih Miftahul. Semoga dapat manafaat daripada tulisan ini :)

      Padam
  6. Assalamualaikum wr wb.

    Sebelumnya saya mohon maaf jika Tuan/ Puan/ Abang/ Akak kurang berkenan. Salam perkenalan nama saya Jati dari syarikat pelancongan Ganesha Jogja Tour & Travel. Kami adalah perusahaan pelanjongan khususnya dalam pakej pelancongan Jogja. Bilamana tuan/puan, abang/akak hendak melancong kat Jogja sila bole kol / whatsapp saya. Insya Allah saya bagi quotation menarik dengan harga yang berpatutan.

    Kami bole bagi harga yang berpatutan dengan pelayanan maksimal kerana semua kami handle langsung dari Jogja. Jika tuan/puan, abang/akak hendak melawat ke Jogja jangan sungkan whatsapp saya +628985101301 atau kol +62 85104919010, bole juga email kat ganeshabantul@yahoo.com. Tanya2 dulu tidak mengapa.. 

    Selain pakej pelancongan Jogja kami juga melayani paket pelancongan luar kota seperti Solo, Dieng, Bali, Lombok, Bromo, Karimunjawa, Bandung dan lain-lain. Ada juga sewa kereta / van / minibus dengan harga yang berpatutan. Harga bole kami sesuaikan dengan bajet Tuan/ Puan/ Abang/ Akak sekalian.

    Berikut contoh pakej pelancongan dari kami:

    Jogja 4D3N Tour (FULL BOARD / ALL IN)
    Kasongan (pottery production), parangtritis beach, manding (leather arts), borobudur temple, lava tour merapi (exploring the rest of merapi eruption using jeep), chocolate kotagede, masjid mataram kotagede (oldest mosque in Jogja), pusat kerajinan silver kotagede, kraton (sultan palace), tamansari watercastle, cave tubing goa pindul, indrayanti beach, bukit bintang
    Price start from: RM 482

    All package types include:
    • Private Car AC (Toyota Avanza / Grand Livina for 2-6 pax, isuzu elf 11 seats for 7-11 pax, isuzu elf 16/17 seats for 12-16 pax, medium bus 31-33 seats for 17-33 pax, bigbus 44-54 seats for more than 33 pax)
    • Hotels 3 nights *2/*3/*4 (+breakfast)
    • Driver
    • Driver Meals
    • Parking fees
    • Tour guide (by request)
    • Entrance ticket’s stated in itinerary
    • Dinner and lunch based itinerary
    • Documentation (by request)

    Exclude:
    • Airport taxes
    • Personal expences (laundry, pulsa, shopping dll)
    • Additional menu for dinner / lunch (if included)
    • Driver, driver’s assistant, guide tips (optional)

    Note:
    Harga dapat berubah sewaktu-waktu
    Harga tidak berlaku bagi high season

    Banyak lagi pakej yang lain seperti Jogja + Solo, Jogja + Dieng, Jogja + Semarang dan lain2. Sila jangan sungkan kol saya di +6285104919010, atau
    whatsapp +628985101301 (FREE).
    Email: ganeshabantul@yahoo.com
    FB: jati182@yahoo.co.id (Jati Wijaya)
    Atas perhatiannya kami ucapkan banyak2 terimakasih.

    Wassalamualaikum Wr Wb

    BalasPadam

Kini giliran anda pula untuk memberi pandangan/ulasan.

Ulasan tanpa nama akan dipadamkan.